Search This Blog

Tuesday, March 17, 2015

Mayat lelaki ditemui dalam hutan di Nibong Tebal



ANGGOTA polis mengangkat mayat dipercayai lelaki dalam keadaan sudah mereput di temui dalam kawasan hutan di Kampung Sethu, Nibong Tebal, Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar
NIBONG TEBAL: Mayat yang hampir reput dengan tangan terikat dan leher terjerut kain ditemui dalam kawasan hutan di Kampung Sethu di sini pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Mazlan Kesah, berkata mayat lelaki itu ditemui seorang pencari buluh pada jam pukul 10.17 pagi.
"Tangan mayat terikat tali nylon manakala lehernya terjerut dengan kain. Mayat hanya berseluar," katanya sambil menambah tiada sebarang dokumen diri ditemui bersama mayat.
Beliau berkata, kes disiasat bersabit bunuh.
- BERNAMA

5 ahli perniagaan Malaysia maut terhidu gas bocor di China



MENURUT kenyataan Persatuan Perniagaan Kecil Johor Bahru, presidennya, Chin Yoke Weng (dalam bulatan) adalah antara mangsa yang maut. - Foto The Rakyat Post
KUALA LUMPUR: Lima ahli perniagaan Malaysia, terbunuh, manakala seorang lagi selamat apabila terhidu gas yang bocor pada sistem pemanas air di hotel mereka menginap di Nanning, China, semalam, lapor The Rakyat Post.
Persatuan Peniaga Kecil Johor Bahru, dalam satu kenyataan berkata, presidennya, Chin Yoke Weng adalah antara mangsa yang maut.
Anak-anak mendiang dijangka ke Nanning untuk membawa pulang mayat bapa mereka.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Khoo Beng Ching yang menyatakan Chin ke Nanning untuk mencari peluang perniagaan selepas mendapat jemputan daripada rakan-rakannya.
Namun, identiti empat mangsa dan seorang lagi yang selamat masih belum dapat dipastikan kerana mereka bukan ahli persatuan peniaga kecil.
Kesemua ahli perniagaan itu ke Nanning pada Ahad lalu, 15 Mac. Lima daripada mereka adalah lelaki dan seorang perempuan yang sebelum ini dilaporkan berada di dalam keadaan kritikal tetapi keadaannya dikatakan sudah semakin pulih.
Kelima-lima ahli perniagaan itu dilaporkan meninggal dunia dalam tidur disebabkan kebocoran gas di dalam bilik.
Difahamkan kesemua mangsa berasal dari Johor Bahru.

Polis tumpas sindiket pengedaran dadah 'Mat Terengganu'

ISNIN, 16 MAC 2015 @ 9:57 PM

 
KOTA BAHARU: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah 'Mat Terengganu' selepas menahan dua lelaki di Jalan Sultan Ibrahim di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim, berkata anggota unit task force narkotik negeri menahan dua lelaki berusia 27 dan 45 tahun itu pada pukul 10.45 malam.

"Pemeriksaan terhadap kenderaan milik suspek membawa kepada penemuan 41 botol berisi dadah jenis heroin seberat 125 gram yang dianggarkan bernilai RM82,000.

"Pasaran suspek ini adalah di sekitar Kuala Terengganu (Terengganu) sehingga ke Kuantan (Pahang) dan mereka ini aktif sejak Oktober tahun lepas," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.


Beliau berkata, suspek dipercayai memperoleh bekalan dadah ini dari negara jiran dan polis mendapati 41 botol dadah yang dirampas itu mampu menghasilkan 200 tiub straw dadah dan boleh digunakan oleh kira-kira 8,500 penagih.

Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 13 Mac dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, katanya.

Sementara itu, Mazlan berkata, polis turut berjaya menahan 11 individu berusia 20 dan 40 tahun bagi kesalahan dadah dalam tiga serbuan di Kuala Krai, Pasir Puteh dan Pasir Mas pada Rabu dan Khamis lepas.

"Kami berjaya merampas 541 biji pil kuda, 23 gram dadah jenis syabu dan juga 372 botol kodien (ubat batuk) yang dianggarkan bernilai RM22,995 ... kegiatan dadah kini kian menular dalam kalangan remaja terutama pelajar," katanya.

Katanya bagi tempoh tahun ini sejak Januari lalu, seramai 93 remaja berusia 18 tahun ke bawah telah ditahan kerana terbabit dengan dadah.

Dalam pada itu, beliau berkata semalam polis dan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Rantau Panjang berjaya mematahkan cubaan membawa keluar 360 bungkus daun ketum seberat 60 kilogram di Kampung Gual Tok Deh, Rantau Panjang dan menahan seorang lelaki berumur 37 tahun.

"Daun ketum ini untuk dibawa ke negara jiran kerana pasarannya amat tinggi dan kami percaya daun ini diproses untuk dijadikan dadah tiruan," katanya. - BERNAMA

Tiga Pemuda Pukul Pemandu Kereta Ditahan


Diterbitkan: Selasa, 17 Mac 2015 4:08 PM

KUCHING: Mahkamah Majistret di sini pada Selasa mengeluarkan perintah reman terhadap tiga suspek yang terlibat dalam kejadian buli dan memukul seorang lelaki di Jalan Demak, di sini pada Isnin.
Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret Kuching Bryan Brian Mason memerintahkan ketiga-tiga lelaki berusia 21 hingga 27 tahun itu ditahan reman empat hari bermula Selasa.
Ketiga-tiga suspek ditahan pada 2 pagi ini selepas polis menerima laporan daripada seorang pengadu mendakwa dipukul selepas berlaku perselisihan faham antara mereka di Jalan Demak.
Video aksi ganas dua suspek bertindak memukul pengadu telah menjadi viral di laman sosial Facebook.
Sementara itu, Pegawai Penyiasat kes berkenaan, Inspektor Wan Amir Wan Mohammad berkata ketiga-tiga suspek akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya jika sabit kesalahan.
"Polis juga yakin akan ada lagi tangkapan dibuat kerana ketika kejadian dipercayai ada beberapa suspek lagi selain mereka bertiga," katanya ketika ditemui pemberita.
Katanya ketiga-tiga suspek mungkin didakwa di mahkamah Isnin depan.

Ibu, anak jadi mangsa ragut


Ibu, anak jadi mangsa ragut
Faridah dirawat di HSI kerana cedera akibat diragut.
JOHOR BAHRU - “Selepas motosikal kami terbalik ditendang peragut, saya dah tak fikir apa kecuali mendapatkan umi yang terbaring kesakitan,” luah seorang anak yang menjadi mangsa ragut bersama ibunya di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, malam kelmarin.

Mohd Faiz Kelana, 24, berkata, dia menunggang motosikal bersama ibunya, Faridah Harith, 47, ke sebuah pasaraya membeli barangan keperluan harian untuk dibawa pulang ke kampung, semalam.

Bagaimanapun menurutnya, motosikal yang ditunggang bersama ibu ketika pulang sekitar jam 8.30 malam diekori dua lelaki dan sekelip mata menarik beg tangan ibunya yang diletakkan di tengah-tengah tempat duduk mereka.

“Saya syak peragut itu mengekori kami dari sebuah stesen minyak berhampiran pasaraya itu selepas saya singgah mengisi angin motosikal.

“Sebab itu mereka nampak beg tangan yang disembunyikan umi di balik tudung labuh yang dipakainya dan diletakkan di tengah-tengah tempat duduk antara saya dan umi,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Mohd Faiz berkata, dia tidak berhenti mengajar ibunya mengucap dua kalimah syahadah dan berbual sambil meriba ibunya yang terbaring ketika menunggu kehadiran ambulans.

“Walaupun lega melihat kepala umi tak berdarah, tapi saya sangat bimbang dengan keselamatan umi yang ketika itu tidak mampu bergerak.

“Saya ajar mengucap dua kalimah syahadah dan ajak umi berbual kerana tak mahu umi tidur sehinggalah ambulans sampai,” katanya.

Sementara itu, suami mangsa, Kelana Bakri, 50, berkata, Faridah dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) kerana mengalami patah tangan dan jari kanan, selain kedua-dua kakinya tidak mampu bergerak selepas tulang belakangnya patah, manakala anak sulungnya cedera ringan.

Menurutnya, dia baharu menyerahkan wang sebanyak RM1,200 kepada isterinya untuk membayar yuran persekolahan anak-anak selepas menerima gaji, kelmarin.

“Saya tenang menerima ujian ini, tapi sedih melihat keadaan isteri terbaring kesakitan kerana selama ini dia adalah tulang belakang saya dalam menjalankan kerja-kerja kebajikan mengagihkan sumbangan kepada orang susah.

“Saya sudah membuat laporan polis semalam di Balai Polis Pasir Gudang dan berharap polis dapat menangkap penjenayah  tersebut," katanya.

Kenderaan melayang depan mata


WARTAWAN SINAR HARIAN
17 Mac 2015
Kenderaan melayang depan mata
Tiga kereta rosak teruk disebabkan lembu berkeliaran di LPT2.

Kenderaan melayang depan mata
Kesemua enam beranak yang menaiki Honda City ini mengalami kecederaan setelah terlanggar bangkai lembu.

Kenderaan melayang depan mata Kesemua enam beranak yang menaiki Honda City ini mengalami kecederaan setelah terlanggar bangkai lembu.

KEMAMAN - Angkara seekor lembu, sebanyak tiga kereta terlibat dalam nahas menyebabkan kesemuanya remuk hingga dua pemandu dan lima penumpang tercedera.

Kemalangan itu berlaku di Kilometer 302 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) dekat susur keluar Tol Kijal, Bandar Seri Bandi dalam kejadian kira-kira jam 8 malam.

Salah seorang mangsa, Muhammad Zharfan Abu Bakar, 21, yang juga penuntut Politeknik Dungun berkata, nahas berkenaan cukup mengerikan kerana dia melihat sendiri sebuah kenderaan melayang depan matanya.

Menurutnya, kemalangan itu berlaku selepas sebuah Honda Civic yang dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan yang dipandu seorang lelaki berusia 30-an tidak dapat mengelak daripada melanggar seekor lembu yang sedang merayau di atas jalan.

Katanya, kebetulan sejurus kemalangan itu, dia yang memandu Proton Waja yang dinaiki dua lagi rakannya melalui kawasan itu dan mendorong mereka memberhentikan kereta di lorong kecemasan untuk menghulurkan bantuan.

“Saya berhentikan kereta kira-kira 10 meter di depan Honda Civic yang tersadai remuk, sementara lembu yang dilanggar berada di tengah jalan.

“Pun begitu, sebaik keluar dari kereta untuk membantu.. kami dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat seperti ledakan bom kerana sebuah lagi kereta iaitu Honda City terlanggar bangkai lembu sebelum kereta itu melayang dan terkena kereta saya di lorong kecemasan,” katanya.

Insiden itu menyebabkan Muhammad Zharfan dan dua lagi rakannya, Muhammad Aiman Nazhim Aidy Amran, 19, dan Muhammad Zulkanain Ismail, 19, tergamam.

Honda City berkenaan dipandu lelaki berusia 40-an yang membawa isteri dan empat anak.

Muhammad Zharfan berkata, mereka bertiga bernasib baik kerana sudah keluar dari kenderaan semasa dilanggar Honda City.

“Kalaulah kami bertiga masih berada dalam kereta, saya tak tahulah apa yang akan terjadi. Saya bersyukur kerana terselamat biarpun kereta remuk,” katanya.

Jelasnya, ketika kejadian dia dan dua rakannya dalam perjalanan dari Politeknik Dungun ke Bandar Cheneh Baru.

Akibat kejadian, pasangan suami isteri itu bersama empat anak mereka cedera termasuk pemandu Honda Civic.

Kesemua mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan dengan bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai serta orang awam.

Warga emas hayun helmet pertahan diri elak diragut


Warga emas hayun helmet pertahan diri elak diragut
Normah menunjukkan kesan luka di tangannya selepas terjatuh dari motosikal dalam cubaan ragut.
JOHOR BAHRU - “Selepas peragut dipukul oleh jiran, saya bertindak menendang 'anu' penjenayah itu dan menghayun helmet ke kepalanya hingga pecah cermin helmet saya,” kata Normah Mohd Yassin, 56.

Kisah warga emas berkenaan menjadi viral di internet selepas kejayaannya memberkas seorang lelaki yang sebelum itu cuba meragutnya ketika sedang menunggang motosikal untuk ke pasaraya berhampiran kira-kira jam 12 tengahari kelmarin.

Normah berkata, insiden itu berlaku ketika dia menunggang motosikal sendirian ke pasaraya berhampiran untuk membeli barangan dapur.

Menurutnya, ketika tiba di persimpangan jalan kira-kira 200 meter dari rumahnya, seorang lelaki mengekori dari belakang dan cuba merentap rantai emas yang dipakainya.

“Saya memegang erat rantai dan menyebabkan kami terjatuh, namun lelaki terbabit tidak berputus asa apabila sempat mendirikan motosikal dan mencapai beg saya, lalu kami saling menarik beg terbabit.

“Saya bernasib baik kerana ketika aksi tarik menarik beg itu, jiran saya melihat kejadian dan membantu memukul lelaki terbabit sebelum menjerit meminta tolong hingga lelaki itu berjaya ditahan.

“Saya bersyukur hanya mengalami cedera ringan di tangan, leher dan bengkak di bahagian lutut,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Daya, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh mengesahkan menerima laporan polis dibuat mangsa.

”Suspek berusia 28 tahun itu dilaporkan cuba meragut rantai mangsa, tetapi tidak berjaya dan diberkas orang ramai.

"Kes ini juga masih dalam siasatan polis,” katanya.

Pencuri tertinggal telefon bimbit


KULIM - Seorang remaja yang sedang tidur berdepan detik cemas apabila biliknya dimasuki pencuri dalam satu kejadian di rumahnya di Karangan, awal pagi semalam.

Dalam kejadian itu, suspek yang dikenali mangsa berjaya melarikan wang tunai sebanyak RM300, namun tercicir telefon bimbitnya ketika melarikan diri melalui tingkap.

Mangsa, Nursyafiqah Hashim, 14, berkata, kejadian itu disedarinya kira-kira jam 2 pagi apabila suspek cuba mendekatinya ketika sedang tidur.
Pencuri tertinggal telefon bimbit
Hashim dan Nursyafiqah menunjukkan laporan polis yang dibuat.
"Saya terkejut dan cuba membuka lampu namun suspek menarik saya sehingga terduduk.
"Saya nak jerit tapi mulut ditekup dan leher dicekik sehinggalah saya gigit tangan suspek. Dia pun lepaskan tangan saya," katanya kepada Sinar Harian.

Nursyafiqah berkata, selepas menjerit, suspek itu terus melarikan diri melalui tingkap.

"Saya terus buka lampu dan waktu itu juga saya tak sedar rupanya tangan saya sudah cedera berdarah ditikam pencuri," katanya.

Bapa mangsa, Hashim Osman, 50, berkata, ketika kejadian dia dan isteri serta dua lagi anaknya tidak mendengar sebarang bunyi mencurigakan.

"Tapi seorang lagi anak perempuan saya yang berada di bilik berlainan terdengar bunyi bising di tingkap namun tak mengendahkannya.

"Sebelum ini ada juga kejadian kecurian berlaku dan kehilangan wang, namun mereka tak masuk ke dalam rumah. Hanya guna kayu dengan mengait seluar yang digantung bagi mendapatkan wang yang ditinggalkan dalam kocek," katanya.

Berikutan kejadian itu, satu laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim kira-kira jam 5 pagi, semalam.

“Sebelum ini ada juga kejadian mencuri dan kehilangan wang namun mereka tak masuk ke dalam rumah hanya menggunakan kayu cuba mengait seluar yang digantung untuk mendapatkan wang yang ditinggalkan di dalam kocek,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Abdullah Arshad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan kes akan disiasat.

Ditumbuk gara-gara ketawa


Ditumbuk gara-gara ketawa
Mangsa yang cedera di mata sebelah kiri setelah ditumbuk seorang kakitangan awam membuat laporan polis.
GEORGETOWN - Seorang lelaki terkedu apabila ditumbuk secara tiba-tiba oleh seorang kakitangan awam ketika dia menjalankan urusan di kaunter sebuah pejabat kerajaan, di sini.

Menurut mangsa, dia berbual dengan seorang kakitangan awam lain di sebuah kaunter ketika menunggu urusannya selesai.

“Saya sudah kenal dia lebih daripada dua tahun dan kami juga ketawa dan sebagainya masa itu sebelum dia tumbuk saya tiba-tiba.

"Rupa-rupanya dia tak puas hati sebab saya dikatakan cuba mentertawakannya. Saya ada minta maaf tapi dia tetap hendak tumbuk saya sekali lagi," katanya.

Kejadian yang berlaku minggu lalu turut disaksikan orang awam dan kakitangan yang berada di pejabat berkenaan.

Berikutan kejadian itu, mangsa yang berusia 46 tahun cedera di mata sebelah kiri.

Lelaki yang berasal dari Sungai Ara itu berkata, dia terkilan dengan perbuatan kakitangan berkenaan yang menyerangnya secara tiba-tiba.

"Kami saling mengenali antara satu sama lain.

"Mujur juga ada kakitangan lain yang cuba meleraikan ketika dia mahu tumbuk saya buat kali kedua," katanya.

Difahamkan, berikutan kejadian itu, mangsa turut membuat laporan polis demi menjamin keselamatannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Lai Fah Hin berkata, beliau akan menyiasat kejadian tersebut.

“Saya masih belum mendapat maklumat jelas berhubung isu berkenaan, bagaimanapun saya akan siasat berdasarkan laporan yang diberikan,” katanya.

'Pakcik teksi bukan bodoh, pekak atau tak berguna'


'Pakcik teksi bukan bodoh, pekak atau tak berguna'
Sedutan video yang dimuatnaik ke YouTube.
SINGAPURA - "Pakcik (pemandu) teksi bukan bodoh, pekak atau tak berguna. Pemandu teksi ada keluarga. Mereka adalah ayah yang bekerja 14 jam sehari, tujuh hari seminggu termasuk pada hari cuti am, supaya orang macam saya dan adik saya dapat pelajaran."

Ayat tersebut tertulis dalam sebuah video viral yang dimuatnaik pada 14 Mac lepas.

Menurut Straits Times, video yang dirakam oleh seorang anak perempuan pemandu teksi telah mendedahkan kelakuan seorang penumpang yang biadab.

Penumpang tersebut yang menaiki teksi dari  Chai Chee ke stesen MRT Telok Ayer telah meninggikan suara dan memarahi pemandu teksi tersebut sejak awal perjalanan.

Penumpang berkenaan menuduh pemandu teksi tersebut gagal mengambilnya walaupun beliau melambai-lambai dari tepi jalan utama.

Selain memanggil pemandu teksi tersebut sebagai 'kelawar buta', penumpang tersebut juga menuduh teksi berkenaan bergerak dengan perlahan kerana cuba untuk menipu.

Video berkenaan menarik perhatian lebih setengah juta pelayar yang kebanyakannya bersimpati dan mengecam sikap penumpang berkenaan.

Anak perempuan pemandu teksi berkenaan yang berumur 27 tahun dan bekerja dalam industri media memberitahu supaya pelayar tidak mendedahkan identiti penumpang berkenaan.

"Apa yang penumpang tersebut lakukan adalah salah, tapi semua orang membuat kesilapan dan kita ada pilihan untuk menjadi lebih baik dan memberi kemaafan," katanya yang enggan dikenali.

Cedera parah dirempuh ketika kejar van aiskrim


Cedera parah dirempuh ketika kejar van aiskrim
Nathaniel Verril
MIDDLESBROUGH - ENGLAND. Seorang kanak-kanak cedera parah selepas dirempuh sebuah teksi ketika sedang berlari ke sebuah van aiskrim di luar rumahnya, Ahad lepas.

Menurut ibunya Katrina Verrill, anaknya Nathaniel Verrill, 4, retak di bahagian tengkorak, luka di bahagian otak, paru-paru gagal berfungsi, perut berlubang, hati dan limpa gagal berfungsi dan telinga terkoyak.

Ketika itu, Katrina dan Nathaniel baru selesai minum teh.

"Saya beritahu dia, 'anda sudah makan aiskrim'. Kemudian saya tertanya 'kenapa pintu hadapan terbuka?'" kata Katrina.

"Saya tak tahu apa terjadi. Saya berlari keluar dan nampak anak saya terbaring,"  tambahnya.

Petugas kecemasan tiba beberapa minit kemudian dan Nathaniel diberi bantuan pernafasan setibanya di hospital Royal Victoria di Newcastle.

Polis meminta pemandu van aiskrim berkenaan supaya tampil membantu siasatan.

Bos Geng 04 tumpas

Oleh Omar Osman 
am@hmetro.com.my

Sungai Petani
Kelicikan ketua kumpulan kongsi gelap Geng 04 bersama orang kanannya dalam kegiatan pengedaran dadah berakhir apabila ditahan polis bersama dadah jenis heroin seberat 5.4 kilogram dalam serbuan di Kilometer 83.4 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Plaza Tol Gurun, di sini, Khamis lalu.
Dalam serbuan jam 9.15 malam itu, kedua-dua suspek berusia 33 dan 26 tahun ditahan selepas polis berjaya memintas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dan pemeriksaan lanjut menemui dadah bernilai RM120,000 di bawah tempat duduk penumpang.
Mereka adalah antara enam individu termasuk pasangan suami isteri yang ditahan dalam serbuan anggota Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman dengan dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.
Timbalan Komander STING Senior Asisten Komisioner Roslan Abd Wahid berkata, suspek yang ditahan di Gurun adalah ketua dan orang kanan Geng 04 paling dikehendaki polis kerana terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.
Katanya, kedua-dua suspek adalah pembekal utama dan semua dadah yang dirampas dibungkus semula dalam peket plastik kecil sebelum dijual di beberapa sarang penagih sekitar Padang Lembu, Gurun, Bukit Selambau, Sungai Division dan Sidam Kiri.
“Lelaki berusia 33 tahun itu adalah adik kepada ketua Geng 04 yang mengambil alih kumpulan kongsi gelap terbabit apabila abangnya mati selepas kereta dipandunya merempuh pokok akibat ditembak, kira-kira dua tahun lalu.
“Selain itu, polis turut menahan dua lelaki berusia 53 dan 25 tahun dalam serbuan di sebuah rumah banglo di Sungai Division selain sepasang suami isteri berusia 35 dan 26 tahun selepas menyerbu sebuah rumah di Taman Sri Wang pada awal pagi Jumaat lalu.
“Siasatan mendapati seorang daripada dua lelaki yang ditahan di Sungai Division memiliki rekod lampau bersangkut kes Seksyen 304 Kanun Keseksaan dan seorang lagi terbabit dalam rusuhan manakala pasangan suami isteri adalah perancang utama aktiviti pengedaran dadah,” katanya pada sidang media semalam.
Hadir sama, Ketua JSJN Kedah Superintendan Abd Razak Md Zin dan Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Superintendan Mohd Sabri Mohamad.
Roslan berkata, dalam serbuan itu polis merampas sembilan kereta, dua motosikal, tiga utas rantai emas, wang tunai RM16,000 dan tiga televisyen LCD dengan nilai keseluruhan RM610,000.
Katanya, polis dalam proses merampas wang tunai dianggarkan berjumlah puluhan ribu ringgit dipercayai hasil penjualan dadah yang disimpan di dalam akaun bank milik suspek.
“Polis sudah mengenal pasti saki-baki geng berkenaan dan akan menahan mereka tidak lama lagi. Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 32 Akta Perlucutan Harta 1988.
“Kejayaan ini adalah hasil risikan pasukan STING dan JSJN negeri selama lima bulan selepas berlaku pelbagai kejadian jenayah kekerasan di daerah Kuala Muda sejak 2014 lalu disebabkan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi Geng 04,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 5:35 AM


ROSLAN (kanan) menunjukkan wang tunai yang dirampas daripada Geng 04.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/37550#sthash.j9TYsKYQ.dpuf

Kantoi hidup mewah

Oleh Muhammad Apendy Issahak 
apendy@hmetro.com.my


Ipoh: Sebelas daripada 15 individu termasuk anggota dan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang direman selama enam hari minggu lalu bagi membantu siasatan kes rasuah disambung reman selama tiga hari lagi bermula esok.
Difahamkan empat daripada suspek yang juga terdiri daripada orang awam dibebaskan dengan jaminan.
Penolong Pegawai Undang-Undang Mahkamah Khas Rasuah, Wong Lok Hai, membenarkan semua 11 suspek berkenaan yang sebelum ini direman bermula minggu lalu hingga hari ini, disambung reman tiga hari lagi sehingga 19 Mac ini.
Terdahulu, kesemua suspek dibawa ke mahkamah menaiki bas kira-kira 10 pagi, sebelum dibawa meninggalkan mahkamah kira-kira 12.30 tengah hari menaiki bas sama.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini menahan 15 individu membabitkan enam pegawai TLDM dan sembilan orang awam.
Tangkapan dibuat susulan maklumat awam dan hasil siasatan SPRM terhadap gaya hidup semua penjawat awam terbabit yang melebihi daripada kemampuan pendapatan bulanan mereka.
Difahamkan, rasuah itu juga berkaitan dengan beberapa isu mencurigakan berkaitan kontrak dan pembelian barangan.
Pegawai TLDM berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, manakala orang awam pula disiasat mengikut Seksyen 17(b) akta sama.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2015 @ 1:39 PM


ANTARA individu termasuk enam pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia yang direman. FOTO Supian Ahmad
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/37336#sthash.DdoUYr2r.dpuf

Kisah sebenar video pukul

Oleh: Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail 
rabiatul@hmetro.com.my


Kuching: Sudahlah mabuk, pukul orang pula. Itu kisah sebenar video dua lelaki memukul seorang lelaki dalam kejadian dikatakan berlaku di Jalan Bako, di sini, yang ‘viral’ di laman sosial sejak petang tadi.
Kejadian 3.30 petang itu sebenarnya berlaku di Jalan Demak, di sini, membabitkan mangsa berusia 46 tahun yang sudah membuat laporan polis selepas kejadian.
Berdasarkan laporan dibuat, pada mulanya mangsa bersama rakannya yang memandu Toyota Unser melalui kawasan berkenaan sebelum mendapati ada sebuah motosikal tanpa nombor pendaftaran ditunggang dalam keadaan bahaya.
Rakan mangsa membunyikan hon untuk menegur penunggang motosikal itu tetapi menerima ‘hadiah’ isyarat lucah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Entusa Imam berkata, penunggang motosikal itu memberhentikan kenderaannya, diikuti mangsa dan rakannya.
"Mangsa dan rakannya memberhentikan kenderaan, turun daripada kereta dan berlaku pertengkaran dengan penunggang motosikal yang dipercayai dalam keadaan mabuk.
"Tiba-tiba penunggang motosikal itu dengan rakannya memukul mangsa dengan topi keledar, manakala rakan mangsa dihalang daripada membantu," katanya ketika dihubungi, hari ini.
“Akibat kejadian itu mangsa lebam di kepala dan dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya
Menurut Entusa, siasatan masih dijalankan dan setakat ini belum ada tangkapan dibuat.
"Saksi yang menyaksikan kejadian diminta tampil di balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2015 @ 10:20 PM


ANTARA klip foto yang dipetik dari video tersebut.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/37356#sthash.0PGnAKx7.dpuf

Meraung besi ‘makan’ kaki

Alor Setar: “Saya cuba memujuk supaya dia bertenang kerana bimbang keadaan menjadi lebih parah sekiranya dia terus meronta-ronta semasa kaki kanan tersepit pada besi penutup longkang,” kata Othman Saidin, saksi kejadian seorang kanak-kanak perempuan tersepit pada besi penutup longkang selama hampir sejam di di Taman Aman, dekat sini, semalam.
Othman, 58, berkata, bagaimanapun, mangsa yang berusia 10 tahun mungkin terkejut dikerumuni orang ramai menyebabkan dia terus menangis.
“Saya terus bergegas ke pejabat Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kota Setar berhampiran dengan motosikal untuk mendapatkan bantuan,” katanya di sini, semalam.
Kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu dipercayai berlaku apabila kanak-kanak terbabit turun dari Proton Saga dipandu datuk sebelum kaki termasuk ke dalam besi penutup longkang.
Othman berkata, dia berada di hadapan rumahnya sedang bersiap untuk meracun rumput di sawah yang terletak tidak jauh dari situ sebelum terdengar kanak-kanak itu menangis.
“Sebelum kejadian saya ternampak datuknya memberhentikan kenderaan di tepi jalan, tetapi tidak perasan ada longkang menyebabkan kaki cucunya termasuk ke dalam besi penutup longkang dan gagal dikeluarkan.
“Besi penutup longkang itu sudah lama rosak dan hanya ditutup dengan kayu sebagai tanda, tetapi tidak sangka pula kejadian itu boleh berlaku,” katanya.
Menurutnya, dia bersama anaknya, Mohd Rohizat, 26, cuba memujuk kanak-kanak itu, tetapi tidak berani menarik kaki kanannya keluar dari longkang berkenaan kerana bimbang patah.
Katanya, dia kemudian meminjam alat pemotong untuk memotong besi sementara menunggu pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian.
“Kami cuba memotong besi itu, tetapi gagal apabila kanak-kanak terbabit terus meraung sehingga mencetuskan suasana panik.
“Anggota JPAM Kota Setar cuba menenangkan mangsa sebelum bomba membantu mengeluarkan kaki kanan mangsa yang masih tersepit itu,” katanya.
Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohamad Mahyuddin bersama sebuah jentera bertindak memotong besi penutup longkang itu untuk mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit.
“Mangsa dihantar ke HSB bagi mendapatkan rawatan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 5:53 AM


KAKI kanak-kanak yang tersepit di celah besi penutup longkang.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/37564#sthash.a4FPbUXj.dpuf

3 mayat atas kubur

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi 
mhafis@hmetro.com.my

Kuala Lumpur
Ajal di tanah perkuburan. Itu nasib tiga lelaki warga asing dipercayai Myanmar apabila dibunuh dengan kejam sehingga ada yang leher hampir putus.
Pembunuhan kejam itu dipercayai berlaku awal pagi semalam berpunca akibat pergaduhan sesama mereka yang sebelum itu melepak dan mabuk di Tanah Perkuburan Kristian, Jalan Kuari Off Jalan Cheras.
Mayat ketiga-tiga mangsa berusia 20-an itu ditemui jam 12.45 tengah hari semalam oleh pekerja di tanah perkuburan itu.
Saksi kejadian yang juga penyelia kawasan itu, Rajeevan Nair, 30, berkata, dia mengetahui penemuan mayat itu selepas dihubungi pekerjanya.
“Sebaik sampai, saya kemudian melihat satu mayat lelaki terbaring di atas tanah dengan kesan berlumuran darah dan kesan tetakan.
“Saya terus menghubung polis, namun ketika menunggu polis saya menemui satu lagi mayat lelaki 70 meter (m) dari mangsa pertama,” katanya.
Rajeevan berkata, selang beberapa minit kemudian satu lagi mayat dijumpai 50 m dari mangsa kedua.
“Pekerja saya juga memberitahu ketika membersihkan tanah perkuburan dia menemui bekas minuman keras berselerakan berhampiran kawasan pembunuhan.
“Apa yang kami ketahui, malam tadi (semalam) terdapat satu kumpulan datang melepak di sini dan mabuk,” katanya.
Mangsa pertama luka di leher yang dikelar dan hampir putus selain luka kesan tetakan di belakang badan dan ibu jari kiri putus.
Mangsa kedua pula cedera di belakang kepala, muka dan jari kanan hampir putus dan mangsa terakhir luka di muka, pergelangan tangan kiri hampir putus, luka di belakang kepala dan jari telunjuk kiri putus.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, pihaknya sedang mengenal pasti identiti mangsa berikutan tiada pengenalan diri ditemui bersama mereka.
Siasatan awal mendapati mereka datang ke sini untuk melepak dan mabuk sebelum berlaku pergaduhan sehingga dibunuh.
“Operasi khas dijalankan untuk menangkap suspek. Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 5:40 AM


ANGGOTA unit forensik memeriksa lokasi pembunuhan mangsa.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/37553#sthash.fCORx2TW.dpuf

Wartawan terselamat kenderaan terbalik

Jasin: Penolong Pengarang Meja Ekonomi (New Media) Berita Harian, Abdul Halim Yusoff, 44, bersama keluarganya terselamat apabila terbabit dalam kemalangan ngeri di Kilometer 189.8, Lebuhraya Utara-Selatan, arah Utara, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 6 pagi, Abdul Halim dan keluarganya dalam perjalanan pulang ke Cheras, Kuala Lumpur selepas majlis kenduri arwah anak mereka di Kampung Sertang Batu, Parit Sulong, Johor.
Dalam kejadian itu, kereta kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV dipandu Abdul Halim Yusoff, 44, bersama isterinya, Noraida Ahmad, 43, serta dua anak mereka berusia lapan dan 14 tahun hilang kawalan setibanya di tempat kejadian apabila cuba mengelak kenderaan.
Menurut sumber, kejadian dipercayai berpunca apabila kereta Perodua Kancil dipandu Mohd Yusuf Mat, 56, terlanggar belakang lori menyebabkan lampu kereta itu terpadam, lalu terhenti di tepi jalan, menyebabkan pemandunya keluar dan berlindung di sebalik penghadang jalan.
“Beberapa minit selepas Perodua Kancil itu terhenti, kereta SUV tiba di lokasi kejadian dan dipercayai cuba mengelak daripada merempuh kereta Perodua Kancil itu menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan,” kata sumber itu.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 5:43 AM


KEADAAN kereta Produa Kancil yang rosak teruk selepas terbabit dalam kemalangan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/37556#sthash.0GO9FVdn.dpuf

Hilang dibunuh


Muhaamad Hafis Nawawi dan Nabihah Kamal

am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur
Tangan, kaki dan badannya diikat dengan tali nilon selain lehernya dijerut dengan kemeja-T.
Itu keadaan mayat seorang jurujual barangan elektrik berusia 47 tahun yang dipercayai ‘diculik’ dan dibunuh sebelum mayatnya ditemui di ladang kelapa sawit di Sepang, dekat sini, jam 3 petang kelmarin.
Mangsa sebelum ini dilaporkan keluar dari rumahnya di Jalan Kuching, di sini, kira-kira jam 3 petang 11 Mac lalu untuk ke Melaka dengan menaiki kereta Volkswagen Passat bagi bertemu pelanggannya.
Menurut sumber, pelanggan mangsa kemudiannya menghubungi majikan kepada jurujual itu selepas lelaki terbabit tidak muncul seperti dijanjikan.
“Majikan mangsa kemudiannya menghubungi isteri pekerjanya itu kira-kira jam 10 malam sebelum dimaklumkan bahawa jurujual terbabit sudah meninggalkan rumahnya untuk bertemu pelanggannya di Melaka,” katanya.
Menurutnya, selepas usaha menghubungi dan mengesan mangsa gagal, isterinya tampil membuat laporan di Balai Polis Sentul untuk tindakan lanjut.
“Pemeriksaan polis kemudian mendapati suspek menggunakan beberapa laluan berdasarkan penggunaan kad Touch N Go seperti Bukit Jalil, Seremban dan Nilai sebelum dilaporkan hilang.
“Semakan polis juga mendapati mangsa ataupun individu yang dipercayai menculiknya ada melakukan tiga pengeluaran wang hampir RM5,000 di sebuah bank di Nilai menggunakan kad ATM milik jurujual itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan lanjut masih dilakukan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/37554#sthash.hP143ILD.dpuf

Dua kali digilis

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi 
am@hmetro.com.my

Bagan Serai: Seorang pekerja kilang maut selepas digilis dua kenderaan di Kilometer 185 Lebuhraya Utara- Selatan arah utara, dekat sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dalam kejadian jam 9.20 malam itu, M Sathiyaraj, 29, yang menaiki motosikal Honda EX5 dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya di Pulai Pinang sejurus melawat kakak di Taiping.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas hingga menyebabkan dia terjatuh.
“Bas ekspres dari arah sama dipercayai tidak sempat mengelak dan menggilis mangsa.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa dikatakan tercampak sekali lagi ke lorong laju dan dilanggar pula kenderaan Toyota Avanza,” katanya di sini, semalam.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 5:46 AM


BAS dipercayai menggilis Sathiyaraj.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/37558#sthash.fyW53O9b.dpuf

‘Si warak’ putar alam

Oleh Mohd Hasbi Sidek 
hmetroshahalam@hmetro.com.my

Shah Alam
Berselindung di sebalik perwatakan warak di laman sosial Facebook (FB), seorang lelaki menggunakan medium berkenaan untuk memperdayakan orang ramai bagi mendapatkan wang dengan cara mudah.
Lelaki berasal dari Cheras itu akan menghubungi mangsa untuk mendapatkan belas kasihan berbentuk wang ringgit dengan alasan menyambung pengajian di sebuah pusat pengajian Islam di Jambi, Indonesia.
Malah, lelaki berusia dalam 20-an berkenaan turut menyertakan surat tawaran pengajian daripada institusi berkenaan bagi meyakinkan individu yang cuba diperdaya mengenai ‘niat’ sebenar dia meminta derma.
Lelaki terbabit juga memberikan alasan baru saja mengalami kemalangan jalan raya serta mengalami masalah kewangan, namun terpaksa meminjam wang kerana terdesak mahu menyambung pelajaran dalam tempoh terdekat.
Lelaki ini dikesan menyasarkan lelaki atau individu mempunyai status kewangan kukuh serta daripada golongan berpendidikan agama sebelum menyapa mangsa menggunakan FB.
Seorang lelaki yang dikenali sebagai Abdul Qayyum berkata, selepas melihat respons baik daripada mangsa, lelaki terbabit akan mula bercerita mengenai kesusahan yang dialaminya bagi menimbulkan rasa simpati seterusnya meminta bantuan kewangan.
“Selepas menjadi rakan dalam FB, lelaki terbabit bijak menyusun kata-kata dan mula ‘cucuk jarum’ dengan menceritakan kesusahan dialami selain mengakui melanjutkan pengajian di Indonesia,” katanya.
Selain itu, individu ini dipercayai pernah ‘ditendang’ dari sebuah institusi kerana menipu pelajar lain dan pensyarah dengan menggunakan taktik sama selain dikesan memperdayakan beberapa ustaz terkenal di FB.
Menurutnya, dia hampir diperdaya lelaki berkenaan apabila dihubungi dalam kejadian Selasa lalu.
Katanya, menggunakan nama Sinar Islam, lelaki itu pada awalnya memohon bantuan sekadar termampu dan individu berminat boleh memasukkan wang ke dalam akaun.
“Namun, lelaki terbabit semakin mendesak dan turut memberikan dua nombor akaun bank bagi tujuan sumbangan dengan alasan memudahkan saya selain menyertakan surat tawaran pengajian daripada sebuah institusi pengajian Islam.
“Saya mula curiga kerana surat itu tertera tarikh pendaftaran pada 17 Oktober 2014 ditulis dalam bahasa Melayu sepenuhnya sedangkan ia dikeluarkan institusi pengajian Islam di Indonesia,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor Superintendan Mohd Sakri Arifin berkata, orang ramai yang mengesyaki berlakunya kes penipuan di Internet diminta membuat laporan.
“Apabila laporan dibuat, pihak kami mengadakan siasatan sama ada kes itu benar-benar memperdayakan orang ramai atau tidak dan sekiranya benar, kami akan mengambil tindakan.
“Sama ada mangsa sudah menyerahkan wang atau belum, mereka diminta tampil membawa bukti dan jika didapati bersalah tindakan akan diambil mengikut Akta Multimedia dan Komunikasi 1998,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 5:51 AM


ANTARA perbualan mangsa dan lelaki terbabit.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/37562#sthash.tjiPpsuG.dpuf