Search This Blog

Sunday, March 15, 2015

Warga emas trauma lihat pesawat terhempas atas rumah anak



PENDUDUK, Abu Mutalib Said diusung anggota Bomba dan Penyelamat untuk diberi rawatan setelah pengsan dalam kejadian sebuah pesawat terhempas berhampiran rumahnya di Kampung Gelam, Kedawang, Langkawi. - Foto Shahrizal Md Noor
Nahas itu berlaku hanya 10 meter di depannya.
Berikutan itu, Abu Mutalib Said, 70, terpaksa dimasukkan ke Hospital Langkawi kerana mengalami trauma psikologi.
"Mangsa melihat sebahagian pesawat jatuh ke atas rumah dua anaknya dan meletup sebelum terbakar di depan matanya, mengakibatkan dia mengalami trauma yang serius," kata Pakar Perunding dan Penasihat Perubatan Kecemasan LIMA'15, Prof Datuk Seri Dr Abu Hassan Asaari Abdullah.
Beliau berkata, susulan itu mangsa dikejarkan ke hospital dan diberikan rawatan 'critical insiden stress management' (CISM).
"Kami melakukan rawatan CISM termasuk terapi pernafasan bagi mengurangkan tekanan dan mangsa kini sedang tidur dengan tenang tanpa tiada kecederaan fizikal padanya," katanya.
Dua pesawat aerobatik Jupiter Aerobatic Team milik AU-TNI terhempas dalam kejadian 2.04 petang selepas dipercayai bergesel di udara ketika melalukan latihan sebelum menyertai Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2015 di sini.
Sebuah daripadanya terhempas ke atas rumah anak mangsa.
Dr Abu Hassan berkata, anggota keluarga mangsa yang lain turut ditenangkan serta diberi kaunseling.
"Kita akan tahan mangsa buat sementara di wad untuk mengadakan rawatan lanjut. Apa-apa pun kita bersyukur kerana tiada orang di dalam rumah berkenaan ketika kejadian," katanya.
- BERNAMA

2 pesawat Jupiter Indonesia terhempas ketika latihan aerobatik LIMA '15

LANGKAWI: Dua pesawat Jupiter Aerobatic Team, Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia (AU-TNI) terhempas ketika melakukan latihan aerobatik sempena LIMA '15 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini, sebentar tadi.
Nahas kira-kira jam 2 petang itu berlaku ketika sekumpulan enam pesawat jenis KT-1B itu sedang melintasi ruang udara MIEC, sebelum dua daripadanya berselisih dan terbabas.
Kedua-dua pesawat kemudian dilihat terhempas di luar kawasan lapangan terbang, disusuli api dan kepulan asap.
Beberapa saksi melihat juruterbang dan pembantu juruterbang sempat melompat keluar dengan payung terjun sebelum pesawat terhempas.
Pasukan penyelamat turut dikejarkan ke dua lokasi pesawat terhempas.
Pihak keselamatan kemudian mengesahkan keempat-empat juruterbang dan pembantu juruterbang berkenaan selamat.

Korban nahas bas Brazil meningkat kepada 42 orang


Korban nahas itu pada mulanya dinyatakan seramai 30 orang tetapi angkanya meningkat apabila pasukan penyelamat terus menemui mayat di lokasi nahas di Santa Catarina.
Jurucakap kerajaan negeri itu, Cladio Thomas, berkata tiga kanak-kanak meninggal dunia di hospital selepas dibawa keluar dari lokasi kejadian.
Bas pesiaran itu terhumban ke dalam gaung sedalam 400 meter yang dilitupi pokok, sekali gus menyukarkan usaha menyelamat dan mengeluarkan mangsa.
Seramai 50 orang sepatutnya berada dalam bas berkenaan tetapi pihak berkuasa percaya bilangan penumpang lebih ramai daripada itu. - Reuters


Empat Juruterbang Jupiter Indonesia Selamat


Diterbitkan: Ahad, 15 Mac 2015 6:43 PM
Juruterbang pesawat Jupiter Aerobatic menyelamatkan diri menggunakan payung terjun selepas keluar daripada pesawat masing-masing.

PETALING JAYA: Empat juruterbang pasukan Jupiter Aerobatic Team dari Indonesia yang terlibat dalam insiden pesawat terhempas pada Pameran Udara dan Maritim Langkawi (Lima 2015) dilaporkan selamat.

Menerusi kenyataan, penganjur HW Lima berkata keempat-empat juruterbang berkenaan kini sedang menerima rawatan di Hospital Langkawi.

Mereka dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.

Keempat-empat juruterbang Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) dikenali sebagai Arief Hartono, Sri Rahardjo, H.S Romas dan Hunaidi Syarif Romas.

"Operasi mencari dan menyelamat yang diketuai oleh Tentera Udara Diraja Malaysia berjaya menemui kesemua juruterbang dalam masa beberapa minit selepas insiden berlaku.

"Mereka ditemui di Kedawang, kira-kira 11.3km dari Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri," demikian menurut kenyataan itu.

Tentera Udara Indonesia dan Tentera Udara Diraja Malaysia membentuk satu pasukan bersama untuk menyiasat kejadian itu.

Kedua-dua pesawat pasukan Jupiter itu terhempas selepas bergeser sesama sendiri ketika mengadakan latihan bersempena Lima yang akan berlangsung dari 17 hingga 21 Mac ini.

Helikopter Terhempas Semasa Bawa Bayi Ke Hospital


Diterbitkan: Ahad, 15 Mac 2015 10:17 AM
Tentera Serbia membuat pemeriksaan terhadap bangkai helikopter yang terhempas di Belgrade. Foto AFP

BELGRADE: Sebuah helikopter tentera Serbia yang membawa seorang bayi berusia lima hari untuk mendapatkan rawatan kecemasan di hospital terhempas dalam keadaan kabus tebal dan mengakibatkan kesemua tujuh orang di dalamnya maut. 
Perdana Menteri Serbia, Aleksandar Vucic memberitahu saluran televisyen RTS, mereka yang terkorban ialah empat kru, dua kakitangan perubatan, termasuk seorang bayi.
Seorang ketua pegawai tentera Serbia, Ljubisa Dikovic berkata, ia merupakan insiden seumpamanya yang terburuk berlaku sejak 1996.
Kementerian Pertahanan Serbia dalam satu kenyataan berkata, ketika kejadian, helikopter jenis Mi-17 itu sedang membawa seorang bayi yang mengalami masalah pernafasan ke sebuah hospital di Belgrade dekat ibu negara pada lewat malam Jumaat.
Terdahulu, bayi itu dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans, tetapi kenderaan itu terkandas dalam perjalanannya akibat kejadian tanah runtuh di tengah Serbia, kira-kira 200 kilometer selatan Belgrade.
Pusat kawalan trafik udara terputus hubungan dengan helikopter itu yang sedang menunggu kebenaran untuk mendarat.
Vucic berkata, helikopter itu hilang dari radar beberapa minit kemudian.
Komando unit helikopter, Predrag Bandic memberitahu para pemberita bahawa helikopter itu cuba untuk mendarat sebanyak dua kali dalam keadaan kabus tebal yang mengehadkan jarak penglihatan.
Media tempatan melaporkan bahawa beberapa penerbangan komersial dilencongkan ke lapangan terbang lain berikutan keadaan kabus tebal.
Menurut pegawai tentera, juruterbang itu merupakan tentera Serbia yang paling berpengalaman, dengan catatan 4,000 jam penerbangan.
"Kru terbabit merupakan yang terbaik dalam tentera Serbia dan helikopter itu berfungsi baik sepenuhnya sebelum berlepas," kata Bandic.
Kerajaan Serbia mengisytiharkan Ahad sebagai hari berkabung buat negara itu. - AFP

Isteri trauma diugut suami


KOTA BHARU - Seorang wanita trauma selepas suaminya mengugut mencederakannya dengan pisau dan membakar rumah, dalam kejadian di Nilam Puri, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa berusia 29 tahun diugut suaminya selepas berlaku perselisihan faham antara mereka.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama empat anaknya berusia 3 hingga 13 tahun berada di rumah dan mengetahui suaminya tidak ke tempat kerja, sebaliknya menagih dadah di bangsal tidak jauh dari kediaman mereka.

“Berang dengan isterinya yang mengetahui kegiatannya itu, lelaki terbabit merampas telefon bimbit isterinya dan mengetuknya dengan pisau sehingga pecah.

“Suspek turut mengugut wanita itu dengan mengatakan jika isterinya tidak mahu hidup bersama lagi, lebih baik dia dan isterinya mati,” katanya.

Rohaimi berkata, mangsa memegang tangan suspek yang memegang pisau namun ditepis suspek dan terus keluar dari rumah.

“Mangsa guna telefon bimbit yang lain untuk menghubungi bapanya. Mangsa meminta bapanya mengambil dia dan anak-anak di rumah kerana bimbang dengan keselamatan dirinya.

"Tidak lama kemudian, suspek menghubungi mangsa dan mengarahkan isterinya pulang ke rumah dan mengugutnya, jika tidak pulang sehingga jam 12 tengah malam, dia akan membakar rumah mereka.

“Mangsa dan anak-anak enggan pulang kerana takut diapa-apakan dan berkeras untuk tinggal di rumah bapanya," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Tragedi 75 tahun berulang


Tragedi 75 tahun berulang
Mayat mangsa dijumpai dalam parit sebuah kebun di Kampung Teluk, Tanjung Sedili, pagi semalam
KOTA TINGGI - Selepas lebih setengah abad berlalu, peristiwa sama berulang kembali apabila seorang lelaki OKU ditemui tidak bernyawa dipercayai diserang gajah liar di Kampung Teluk, Tanjung Sedili, dekat sini, dalam kejadian awal pagi semalam.

Mangsa, Roslan Kamar, 32, ditemui di kawasan kebun tepi jalan utama kampung itu dalam keadaan tidak berbaju dan hanya berseluar panjang, kira - kira 1.6 kilometer dari rumahnya.

Turut kelihatan, beberapa kesan tapak kaki gajah berhampiran tempat mangsa dijumpai dengan tanaman kelapa sawit telah rosak dipercayai dimakan haiwan liar tersebut.

Difahamkan, kejadian sama yang menimpa mangsa adalah kali kedua berlaku di perkampungan tersebut selepas kejadian pertama pada tahun 40-an, di mana seorang mangsa maut akibat dipijak gajah.

Bapa mangsa, Kamar Mahasin, 54, berkata, dia mengetahui kejadian menimpa anaknya selepas dimaklumkan penduduk kampung, kira-kira jam 9 pagi.

Menurutnya, dia tidak menyangka anak kedua daripada 13 beradik itu menjadi korban serangan haiwan liar tersebut.

“Selepas dimaklumkan kejadian tersebut oleh penduduk kampung, saya segera ke tempat kejadian dan melihat mayat anak berada dalam parit di kebun itu.

“Dua hari lepas memang ada kejadian gajah masuk kampung. Saya sendiri pernah terjumpa seekor gajah sedang makan tanaman penduduk,” katanya kepada Sinar Harian di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT), semalam.

Kamar berkata, masalah serangan gajah liar di kawasan itu telah berlarutan sejak sekian lama malah ia sudah sering diadukan kepada pihak berkenaan.

Tegasnya, apa yang diharapkan ada tindakan lebih drastik, bukan sekadar pemantauan daripada pihak berkenaan agar kejadian sama tidak berulang lagi.

Mayat mangsa dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk untuk dikebumikan, petang semalam.

Ekoran kejadian itu, Kamar turut membuat laporan di Balai Polis Kuala Sedili.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman, mengesahkan kejadian tersebut.

Lelaki maut motosikal hilang kawalan


WARTAWAN SINAR HARIAN
15 Mac 2015


SEREMBAN - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan dan terbabas ketika melalui selekoh menuruni bukit di Jalan Mantin-Seremban, berhampiran Bukit Mantin di sini, petang, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, mangsa, Gan Seong Wan, 57, dari Taman Baiduri, dekat sini, meninggal dunia akibat mengalami cedera parah di kepala dan badan.

 Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdullah Roning berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Suzuki Smash bersendirian dalam perjalanan dari Seremban menghala ke Mantin.

“Sebaik sampai di kawasan selekoh menuruni bukit, motosikal ditunggangnya hilang kawalan lalu terbabas menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban dekat sini, untuk bedah siasat.

9 cedera termasuk 7 kanak-kanak


9 cedera termasuk 7 kanak-kanak
Anggota Bomba berusaha mengeluarkan seorang mangsa yang tersepit.
IPOH - Tujuh kanak-kanak cedera manakala dua lagi mangsa parah dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer 277.3, Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara berhampiran susur keluar Tambun di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, pemandu kereta Perodua Kancil, Raja Mohd Nor, 34, mengalami kecederaan di leher manakala, penumpang hadapan Proton Saga, Halimaton Sa’diah Awang Isa, 42, cedera di mata dan dagu akibat terkena serpihan kaca.

Raja Mohd Nor berkata, dia dan isteri serta lima anak dalam perjalanan dari Bukit Beruntung, Selangor untuk mengambil anak sulung mereka yang berusia 11 tahun di sebuah madrasah di Balik Pulau, Pulau Pinang sempena cuti sekolah.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, anak perempuannya berusia tujuh tahun diberikan rawatan berikutan bahagian badannya tidak berfungsi ketika pemeriksaan dijalankan.

“Kejadian itu berlaku dalam sekelip mata dengan tiba-tiba kereta berpusing dan terbalik. Dalam hati, saya hanya memikirkan keselamatan isteri dan anak-anak yang merangkak keluar melalui cermin yang pecah.

“Saya bersyukur apabila isteri dan bayi kami berusia 12 bulan tidak mengalami sebarang kecederaan dan begitu juga dengan anak saya yang berusia lima dan sembilan tahun,” katanya yang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Dalam masa sama, Proton Saga dipandu lelaki berusia 43 tahun bersama lima ahli keluarganya termasuk tiga kanak-kanak dalam perjalanan menuju ke kampung mereka di Lenggong.

Difahamkan, kesemua mereka yang berasal dari Kuala Lumpur hanya mengalami kecederaan ringan kecuali ibu mereka yang menjalani pembedahan akibat terkena serpihan kaca.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, siasatan awal mendapati pemandu Perodua Kancil dipercayai berhenti di lorong kecemasan untuk berehat sebelum kemalangan.

Menurutnya, kereta Proton Saga yang mengekori rapat tidak sempat mengelak menyebabkan kereta Kancil dinaiki enam sekeluarga berpusing dan terbalik di tengah jalan.

“Akibat kecuaian itu, kesemua mangsa dihantar untuk mendapatkan rawatan lanjut di HRPB selain bantuan Bomba diperlukan untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan namun, siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung kejadian ini,” katanya.

Dikhuatiri lemas terjatuh bot


WARTAWAN SINAR HARIAN
15 Mac 2015


ALOR SETAR - Seorang lelaki terjatuh ke dalam laut ketika menaiki sebuah bot nelayan dikhuatiri lemas di Perairan Tanjung Jaga, Pulau Bidan dekat Yan, pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Yan, Mohd Firdaus Bukari berkata, mangsa dikenali Azren Lateh, 35, dari Sematang Tepi Sungai, Batas Paip dipercayai terjatuh ketika mahu membaiki papan yang berada di bahagian belakang bot dinaiki bersama rakan.

Menurutnya, usaha mencari mangsa dijalankan dengan bantuan penyelamat Skuba.

“Kami menerima panggilan kira-kira jam 9.58 pagi tadi dan 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Yan dan lima penyelam dari unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani bergegas ke tempat kejadian.

“Setakat jam 6 petang (semalam) mangsa masih belum ditemui,” katanya.

Kes keganasan rumah tangga di India menurun


NEW DELHI - Jumlah kes keganasan rumahtangga terhadap wanita di India menunjukkan penurunan ketara berikutan meningkatnya kesedaran tentang penyakit sosial itu.

Jumlah kes yang didaftarkan mengikut Akta Keganasan Rumahtangga 2005, menunjukkan trend menurun sejak tiga tahun lepas, Dewan Rakyat India (Lok Sabha) dimaklumkan semasa sesi perbahasan.
  
Pada 2013, sejumlah 4,204 kes dilaporkan berbanding 16,351 pada 2012 manakala hanya 531 kes keganasan terhadap wanita dilaporkan pada 2014.
  
Menteri Kesatuan Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Maneka Sanjay Gandhi dalam kenyataan bertulis berkata, ini berdasarkan data Biro Rekod Jenayah Nasional (NCRB) sehingga 2014.
  
Menurut kenyataan media kementerian, pada 2014, jumlah tertinggi kes seperti itu didaftarkan di Uttar Pradesh (265 insiden) dan diikuti Kerala (124).
  
Bagaimanapun, dalam satu lagi jawapan bertulis, menteri itu mengakui bahawa kes rogol dan serangan terhadap wanita menunjukkan trend meningkat pada 2011 dan 2013.
  
Beliau berkata, berdasarkan data NCRB, jumlah kes sedemikian yang didaftarkan pada 2013 adalah 117,035 kes.
  
Pada 2012, sejumlah 79,447 kes dilaporkan manakala pada 2011 kes yang dilaporkan berjumlah 75,744.
  
Beliau berkata kerajaan telahpun mengambil beberapa langkah seperti meminda Akta Undang-undang Jenayah (Pindaan) 2013 dengan memperuntukkan hukuman lebih berat bagi kesalahan seperti rogol.
  
Peruntukan untuk meningkatkan hukuman bagi kesalahan rogol berkumpulan dan mengakibatkan kecederaan serius kepada mangsa sehingga berada dalam keadaan vegetatif juga sedang dalam perancangan, katanya.
  
"Kesalahan baharu seperti penggunaan asid, gangguan seksual, mengintai dan menghendap serta menanggalkan pakaian wanita telahpun dirangkumkan ke dalam Kanun Keseksaan India.
  
"Beberapa pindaan tertentu turut diperkenalkan dalam Kanun Tatacara Jenayah dan Akta Keterangan India, misalnya ketika rakaman kenyataan mangsa rogol dan serangan seksual oleh seorang pegawai polis wanita," katanya. - Bernama

Pesawat patah balik sebab tandas sangat berbau


Pesawat patah balik sebab tandas sangat berbau
Pesawat British Airways
LONDON - BRITAIN. Sebuah pesawat syarikat British Airways (BA) dilaporkan terpaksa berpatah balik berikutan bau tandas pesawat kurang menyenangkan.

Memetik laporan dari portal Metro.co.uk, ia berpunca daripada penumpang yang membuang air besar sehingga menyebabkan bau yang mengganggu keselesaan penumpang.

Kebanyakan penumpang pesawat yang dalam penerbangan ke Dubai itu dikatakan kecewa sebaik juruterbang pesawat mengumumkan terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Heathrow akibat perkara tersebut.

Antara rungutan penumpang yang lantang disuarakan termasuk ahli politik Britain, Abhishek Sachdev yang dikatakan dalam perjalanan ke Dubai untuk urusan kerja.

Menerusi petikan Twitter, Abhishek menjelaskan apa yang diberitahu oleh juruterbang pesawat berkenaan serta punca kapal terbang tersebut berpatah balik pada malam Khamis lalu.

“Ini suatu yang diluar jangkaan! Penerbangan BA kami terpaksa patah balik ke lapangan terbang kerana bau najis di dalam tandas terlalu busuk.

"Terpaksa menunggu lebih 15 jam untuk penerbangan seterusnya,” katanya seperti yang dipetik menerusi posting di akaun Twitternya.

Beliau dalam pada itu turut menegaskan punca pesawat tersebut berpatah balik, bukannya disebabkan masalah teknikal pesawat.

30 maut nahas bas di Brazil


Pasukan menyelamat sedang berusaha menghampiri bas berkenaan tetapi akses ke lokasi nahas di Santa Catarina itu amat sukar.
Jurucakap kerajaan tempatan menyatakan angka korban mungkin meningkat. - AFP

Pemandu melecur treler terjunam

Sungai Petani: Seorang lelaki cedera selepas kenderaan dipandunya terhumban dari ketinggian lima meter ke bawah jambatan di Kilometer 86.3, Lebuhraya PLUS arah utara, berhampiran susur keluar Plaza Tol Gurun, hari ini.
Kejadian 12.45 tengah hari itu menyebabkan pemandu, Mohd Iswandi Adzmi, 33, melecur 30 peratus dari paras pinggang ke kaki apabila treler membawa muatan gula mentah terbabit terbakar.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.54 tengah hari lalu bergegas ke tempat kejadian bersama sebuah jentera, Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS) serta jentera BBP Guar Chempedak dengan kekuatan 11 anggota.
Menurutnya, sebaik tiba, pihaknya mendapati treler terjunam di bawah jambatan lebuh raya dan bahagian depannya terbakar.
“Berikutan itu, anggota terpaksa menggunakan peralatan pemotong sebelum mangsa dikeluarkan pada 3.40 petang. Mangsa yang cedera serta melecur 30 peratus kemudian dikejarkan ke HSAH oleh ambulans,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas treler dipandu mangsa dari Changlun terbabas lalu merempuh penghadang besi pada jambatan sebelum terjunam ke bawah lalu terbalik dengan kesemua tayarnya ke atas.
“Akibat itu, bahagian depan treler yang dalam perjalanan dari Butterworth, Pulau Pinang ke Alor Setar, Kedah terbakar dan pemandunya tersepit,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 9:15 PM


KEADAAN treler membawa muatan gula mentah yang terjunam ke bawah jambatan. FOTO Omar Osman
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/36728#sthash.g4KVe2Kp.dpuf

Amah simbah asid ditahan

Sharjah: Seorang wanita Indonesia ditahan polis di sini selepas mengaku menyimbah asid pada seorang kanak-kanak berusia tiga tahun.
Omar Yousif al-Wafi melecur teruk akibat tindakan itu dan kini dirawat di sebuah hospital.
Ibu saudara Omar, Amina berkata, pembantu rumah berkenaan yang namanya tidak didedahkan, bertindak demikian ketika membasuh muka Omar yang berlumuran dakwat selepas dia bermain dengan sepupunya yang berusia 10 tahun.
“Dia membawa Omar ke dapur untuk membasuh mukanya. Apabila Omar menjerit, kami meluru ke dapur dan terkejut melihat tubuh Omar berasap.
“Pembantu rumah itu mendakwa Omar menyimbah sendiri asid itu,” kata Amina.
Bagaimanapun, ketika disoal siasat polis, amah berusia 40-an itu mengaku dia yang menyimbah asid berkenaan.
Menurut Amina, keluarganya sentiasa melayan baik amah berkenaan sepanjang empat tahun dia bekerja dengan mereka.
Wanita itu baru-baru ini meminta mereka melanjutkan khidmatnya apabila visanya hanya tinggal sebulan sebelum dia dihantar pulang. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2015 @ 5:14 AM


OMAR yang melecur teruk dirawat di hospital.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/36796#sthash.13wq2n2t.dpuf

Giat cari mangsa

Dhaka: Pasukan penyelamat semalam meneruskan gerakan mencari mangsa di bawah runtuhan kilang yang roboh kelmarin.
Sekurang-kurangnya tujuh orang disahkan terbunuh dalam kejadian itu.
Bagaimanapun, jumlah mereka yang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan itu jauh lebih kecil berbanding 100 orang, anggaran awal yang dibuat pihak berkuasa.
Tentera dan pelaut di bandar pelabuhan Mongla membantu pasukan perkhidmatan kecemasan menyelamat dan mencari dan berjaya menarik keluar hampir 50 mangsa yang terselamat dan dua lagi mayat.
“Kebanyakan mereka dalam bangunan itu sudah diselamatkan tetapi operasi mencari akan diteruskan sehingga mangsa terakhir ditemui,” kata pegawai kanan daerah Mohammad Shah Alam Sardar.
Sebaik kemalangan itu, polis menganggarkan 100 orang terperangkap. Tetapi, menurut Mohammad Shah, jumlah itu jauh lebih rendah.
“Kami percaya hanya beberapa mayat masih lagi berada di bawah runtuhan itu,” katanya.
Pegawai berkata, 30 pekerja cedera.
Kilang itu diuruskan anak syarikat tentera Bangladesh masih dalam pembinaan di bandar itu, 335 kilometer ke barat daya Dhaka apabila ia runtuh.
Punca kejadian masih disiasat. Menurut seorang mangsa yang terselamat, bumbung itu runtuh dulu, membayangkan ia mungkin disebabkan perancah yang didirikan tidak betul.
Bangladesh mempunyai rekod buruk mengenai keselamatan pembinaan.
Sebuah kompleks kedai dan kilang kecil runtuh pada 2013, menyebabkan lebih 1,130 orang terbunuh, kebanyakannya pekerja kilang kain.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2015 @ 5:15 AM


PASUKAN penyelamat berusaha mencari pekerja yang terperangkap dalam runtuhan bumbung kilang di Mongla, Bangladesh, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/36803#sthash.CdKJEttD.dpuf

Maut terjatuh tingkat 10

Johor Bahru: Seorang lelaki ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat 10 flat di Sri Stulang di sini, petang tadi.
Mangsa berusia 43 tahun itu ditemui penduduk flat berkenaan kira-kira 6 petang, dalam keadaan mengiring dengan tangan yang menutup muka.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, mangsa yang tinggal di flat berhampiran dipercayai datang sendiri ke flat berkenaan dengan memandu kereta miliknya.
"Menurut isteri mangsa, suaminya itu gagal dihubungi sejak 4.30 petang sebelum diberitahu lelaki itu ditemui mati di flat ini.
"Tiada sebarang unsur-unsur jenayah ditemui pada mayat mangsa.
"Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut, bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 8:40 PM


MAYAT lelaki yang ditemui di kawasan flat.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/36726#sthash.RjYI4PqC.dpuf

Dua kabin musnah terbakar

ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran kabin pejabat di Mukim Pekan Bukit Kepayang. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan

Seremban: Dua kabin digunakan sebagai pejabat sementara syarikat pembinaan jalan di Mukim Pekan Bukit Kepayang di sini, musnah terbakar, 4.30 petang tadi.
Kejadian disedari beberapa pekerja yang sedang membuat jalan berhampiran lokasi berkenaan sebelum menghubungi pihak bomba.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan II Badrottamam Abd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.48 petang dan tiba ke lokasi 10 minit kemudian dengan tiga jentera bersama 17 anggota.
"Sebaik tiba, kami mendapati api sedang marak membakar kedua-dua kabin yang terletak bersebelahan antara satu sama lain dan berjaya memadam api sepenuhnya 20 minit kemudian.
"Tiada mangsa yang terperangkap atau mengalami kecederaan. Punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi di sini.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 8:30 PM


Lumur wajah dengan najis

New Orleans: Seorang lelaki yang didakwa membelasah ibu teman wanitanya sehingga mati mengejutkan mahkamah dengan tindakannya yang menjijikkan apabila membuang air besar dan melumurkan najis ke wajahnya ketika prosiding.
Bryan Schwartz, 27, yang terpaksa dibawa keluar dari mahkamah dengan mukanya dipenuhi najis turut didengar berkata ‘Life is like a box of chocolates’ (Hidup umpama sekotak coklat) - kata-kata dari filem Forrest Gump yang digunakan untuk menggambarkan pahit manis kehidupan.
Schwartz melakukan perbuatan meloyakan itu ketika dirantai bersama banduan lain di dalam kandang tertuduh. Perbicaraannya yang dijadualkan untuk semalam juga ditangguhkan.
Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2015 @ 5:20 AM


SCHWARTZ
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/37102#sthash.kPLlUruX.dpuf

Minuman coklat palsu

Nilai : Pada mata kasar, ia tidak ubah seperti produk minuman coklat jenama terkenal, namun risikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sembilan mendapati produk itu sebenarnya palsu.
Sindiket berpangkalan di sini dikesan menghasilkan produk minuman coklat palsu jenama terkenal itu sebelum diedarkan di pasar raya seluruh semenanjung Malaysia.
Taktik licik sindiket itu yang menjadikan sebuah rumah banglo di Taman Mulia, Mantin di sini, sebagai ‘kilang’ bagaimanapun berjaya dibongkar KPDNKK jam 3.30 petang kelmarin.
Hasil serbuan, sebanyak 225 bungkun minuman bercoklat palsu yang sedia untuk dipasarkan dan beberapa tong serbuk minuman itu ditemui di dalam rumah berkenaan.
Turut dirampas pembungkus, besi tertera nombor siri, mesin pencetak dan penimbang.
Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2015 @ 5:20 AM


SAIFULBAHRI menunjukkan serbuk minuman coklat tiruan berjenama terkenal.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/37104#sthash.gp1nrjhT.dpuf

OKU maut dipijak gajah

Kota Tinggi: Seorang lelaki yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) maut dipijak gajah liar dalam kejadian di kebun kelapa sawit di Kampung Teluk, di sini, pagi tadi.
Mayat Roslan Kamar, 32, yang mempunyai masalah mental dan bisu ditemui penduduk kampung di kebun itu pada 7 pagi.
Menurut bapa mangsa, Kamar Mahasin, 63, anak keduanya itu kerap keluar rumah tidak kira siang atau malam, namun tidak menyangka menjadi mangsa serangan gajah liar.
“Arwah memang sukar dikawal dan suka merayau termasuk pergi ke warung dan masuk ke dalam kebun," katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik, Hospital Kota Tinggi di sini, sebentar tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Rahmat Othman mengesahkan kejadian itu dan laporan polis dibuat bapa mangsa di Balai Polis Kuala Sedili, di sini.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2015 @ 5:34 PM


Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi. FOTO Ahmad Othman
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/36931#sthash.pPnB81MG.dpuf

Taubat 4 bulan

Ipoh : “Suami saya memang kaki judi mesin, namun hampir empat bulan dia sudah tidak lagi bermain berikutan kedai judi sudah tutup dan sejak itu kami langsung tidak mempunyai masalah duit seperti sebelum ini.
“Bagaimanapun, sejak sebulan lalu saya pelik melihat telatahnya asyik dengan telefon bimbit hampir 24 jam dan dia mula berubah apabila tidak lagi memberikan wang kepada saya menyebabkan saya mula mengesyaki sesuatu,” kata seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Rina.
Rina, 33, berkata, berikutan tidak tahan lagi dengan perubahan perangai suaminya itu menyebabkannya bertindak memeriksa telefon bimbit milik suaminya sebelum menemui satu aplikasi bertulis ‘Live Games’.
Katanya, pada mulanya dia menyangka aplikasi itu hanya permainan video seperti biasa, namun apabila aplikasi itu dibuka ia jelas menunjukkan ia adalah perjudian seperti mana yang pernah dimain suami saya sebelum ini.
“Saya pernah pergi ke kedai judi tempat dia berjudi sebelum ini untuk memintanya pulang selepas seharian berada di situ dan disebabkan itu saya tahu mengenai permainan itu.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2015 @ 5:33 AM


RINA menunjukkan permainan yang menjadi kegilaan suaminya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/36892#sthash.MuuZoFTE.dpuf