KUALA TERENGGANU – Kes denggi di Terengganu meningkat sebanyak 64.7 peratus dalam tempoh lima minggu pertama tahun ini berbanding tahun lalu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu, Dr Mohammad Omar berkata, sejumlah 219 kes denggi dicatatkan bermula Januari hingga 7 Februari lalu di seluruh negeri dan ia bertambah 86 kes berbanding 133 kes tahun lalu.
Menurutnya, Kuala Terengganu menjadi penyumbang utama kejadian denggi di negeri ini dengan 59.8 peratus atau 131 kes dilaporkan berlaku di daerah ini, diikuti Dungun (51 kes), Kemaman (20), Marang (10), Hulu Terengganu (3), Besut (2) dan dua kes di Setiu.
“Dari segi peratus peningkatan mengikut daerah pula, yang tertinggi adalah Kemaman iaitu sebanyak 400 peratus, diikuti Dungun 364 peratus, Hulu Terengganu dan Setiu masing-masing 200 peratus, Marang 100 peratus dan Kuala Terengganu 28.4 peratus.
“Semua daerah menunjukkan peningkatan kecuali Besut mencatatkan penurunan sebanyak 80 peratus,” katanya.
Katanya, peningkatan kes denggi di Terengganu dilihat ketara sejak awal Ogos tahun lalu sehingga sekarang, dengan purata antara 30 hingga 60 kes dilaporkan berlaku setiap minggu.
Setakat ini terdapat enam lokaliti wabak dikesan masih aktif di dua daerah iaitu Pulau Rusa Hilir, Kampung Nibong Atas, Kampung Pengkalan Setar, Kampung Jalan Tuanku Ahmad dan Kampung Gong Tok Nasek Hilir di Kuala Terengganu.
“Hanya satu lokaliti wabak masih aktif di Dungun iaitu di Kampung Nibong Stesen. Bagaimanapun keadaan di semua lokaliti ini masih terkawal,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 27,279 premis telah diperiksa oleh Jabatan Kesihatan negeri sepanjang tahun ini dan daripada jumlah itu, 228 premis dikesan positif dengan tempat pembiakan aedes.
Berikutan itu katanya, premis terbabit dikenakan kompaun.
Selain itu, sebanyak 2,132 notis atau amaran pembersihan di bawah Seksyen 8 dikeluarkan kepada premis yang mempunyai banyak bekas berpotensi membiak nyamuk aedes di dalam rumah atau persekitaran premis masing-masing.
Dalam menyelesaikan kes denggi, Jabatan Kesihatan negeri telah mengambil beberapa langkah antaranya membunuh nyamuk dewasa melalui aktiviti fogging dalam masa 24 jam di semua kawasan yang dilaporkan mempunyai kes.
Turut dilakukan adalah membunuh jentik-jentik dengan melakukan aktiviti larviciding di lokasi berpotensi, menggalakkan penduduk menggunakan aerosol (penyembur nyamuk) di dalam rumah terutama pada lewat senja dan awal pagi, serta memutuskan transmisi denggi dengan memusnahkan semua bekas-bekas berpotensi nyamuk aedes melalui aktiviti gotong royong.
“Kita harap semua pihak sama ada pemimpin masyarakat atau penduduk setempat dapat melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti gotong-royong bagi membersihkan persekitaran rumah dari bekas-bekas berpotensi membiak aedes.
“Kita juga mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas kerjasama yang diberikan bagi menangani kes denggi di negeri ini. Sebarang pertanyaan boleh pergi ke pejabat kesihatan berhampiran atau layari http://www.gov.my,” katanya.