Search This Blog

Friday, March 13, 2015

Lelaki rentung terperangkap dalam kebakaran rumah



ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat Wong Wing Sue, 53, selepas rumahnya di Jalan Cecily, Sandakan terbakar. - Foto NSTP
SANDAKAN: Seorang lelaki rentung selepas rumah kayu didiaminya di atas bukit di Jalan Cecily di sini, musnah dalam kebakaran, awal pagi tadi.
Mangsa, Wong Wing Sue, 53, ditemui rentung di ruang tamu rumah berkenaan oleh anggota bomba kira-kira sejam selepas rumahnya terbakar.
Difahamkan, ketika kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa tinggal sendirian dan tidak sempat menyelamatkan diri akibat terperangkap.
Penolong Kanan 1 Bomba dan Penyelamat Sandakan, Devi Rashedee Ensoi, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 4.26 pagi sebelum menghantar tiga jentera bersama 10 anggota ke lokasi kejadian.
Katanya, ketika anggota bomba tiba, kira-kira 90 peratus daripada rumah terbabit sudah terbakar, manakala mayat mangsa hanya ditemui pada jam 5 pagi.
"Punca sebenar kebakaran serta anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Dua ditahan berkaitan tembakan di kedai makan


DATUK Zakaria Yusoff (empat dari kanan) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Superintendan Mohd Nashir Ya (empat dari kiri) serta pegawainya menunjukkan selaras senapang pump gun bersama beberapa jenis peluru hidup yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kedah hari ini. - Foto Amran Hamid
ALOR SETAR: Dua lelaki tempatan ditahan polis semalam selepas disyaki terbabit dalam insiden tembakan di sebuah kedai makan di Padang Terap, dekat sini, Selasa lalu.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, Selasa lalu, salah seorang suspek melepaskan tembakan ke arah dua biji telefon bimbit kepunyaan pemilik kedai makan terbabit dipercayai akibat cemburu.
Rentetan itu, pemilik kedai makan terbabit yang juga seorang wanita tempatan membuat laporan polis bagi memaklumkan mengenai kejadian terbabit.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Zakaria Yusoff yang mengesahkan kejadian itu berkata, ketika tahanan dibuat ke atas dua suspek itu turut dirampas adalah selaras senapang jenis pump gun dan 24 peluru hidup.
"Kita membuat serbuan hasil aduan daripada pemilik kedai makan yang dipercayai teman wanita kepada salah seorang suspek.
"Suspek pertama berusi 30-an ditahan di sebuah stesen minyak sekitar Padang Terap kira-kira jam 3.30 pagi dan merampas sebutir peluru hidup bersama dua pasang gari.
"Susulan penahanan itu polis menjalankan serbuan di sebuah rumah di Padang Terap kira-kira jam 5.30 pagi dan menahan seorang lelaki berusia 30-an selain merampas selaras senapang pump gun bersama beberapa jenis peluru hidup," katanya, di sini hari ini.
Semua suspek direman selama tujuh hari hingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 (Penalti lebih berat) dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.

Pengawal keselamatan dipenjara bersalah mencuri di masjid


KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan dihukum penjara lima minggu oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri beg uncang milik seorang peniaga di sebuah masjid bulan lepas.
Majistret Saifulakmal Said memerintahkan Ismail Mat Din, 38, menjalani hukuman itu mulai daripada tarikh dia ditangkap pada 10 Februari lepas.
Ismail didakwa mencuri satu beg uncang yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad minyak Petron dan wang tunai berjumlah RM450 kesemuanya milik Rosli Salleh, 50, di Masjid Jamek, Sri Petaling, Brickfields di sini pada 9 malam, 9 Februari lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran kerana tugas tertuduh sepatutnya menjaga kepentingan awam.
Bagaimanapun, Ismail yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan sudah insaf dan tidak akan mengulangi perbuatan itu. - BERNAMA

APMM banteras aktiviti seludup rokok, arak


KAPTEN Maritim Che Adnan Md Isa (kiri) bersama kakitangan Operasi Teknikal, memasukkan rokok seludup pelbagai jenama ke dalam kotak untuk pelupusan di pekarangan APMM Labuan, semalam. - Foto BERNAMA
LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan akan mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti haram di perairan di sini, khususnya bagi membanteras penyeludupan rokok dan minuman keras.
Ketua Penguatkuasa APMM Labuan, Kapten Maritim Che Adnan Md Isa berkata, kerugian besar dalam hasil pendapatan negara telah mendorong beberapa agensi penguatkuasaan, khususnya APMM untuk bertegas dan melumpuhkan kegiatan itu.
Beliau berkata APMM mengesan beberapa laluan antara perairan Labuan dan Sarawak, sering digunakan untuk menyeludup rokok dan minuman keras.
"Kami telah meningkatkan usaha untuk menangani kes-kes seperti ini dan kami berharap nelayan tempatan terus menjadi 'mata dan telinga' untuk menyebarkan maklumat mengenai sebarang aktiviti haram," katanya.
Che Adnan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Jabatan Kastam baru-baru ini, bahawa kerugian hasil akibat penyeludupan rokok dan minuman keras masing-masing mencecah RM1.9 bilion dan RM500 juta.
"Tidak syak lagi, Labuan sebagai pulau bebas cukai ini terdedah kepada penyeludupan. Masalah utama yang membawa kepada kerugian besar adalah penyeludupan skala besar menggunakan kapal kargo, namun terdapat juga bentuk perdagangan haram yang lain.
"Satu daripada faktor yang terus berlakunya penyeludupan ialah permintaan yang meningkat dan pembeli yang tersedia," katanya.
Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Matrang Suhaili dilaporkan berkata rokok dan minuman keras adalah yang paling kerap diseludup dan negara kehilangan sebanyak RM1.9 bilion setahun akibat kegiatan seludup rokok selain RM500 juta lagi daripada aktiviti penyeludupan minuman keras.
Sementara itu, Che Adnan berkata APMM Labuan telah berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan skala besar yang digunakan kapal kargo sejak penubuhan APMM yang bertanggungjawab menguatkuasa dan melindungi zon maritim Malaysia daripada sebarang unsur jenayah rentas sempadan. - BERNAMA

Dua maut nahas di Melaka



PENUNGGANG motosikal maut di tempat kejadian selepas bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda di Jalan Kandang di sini, malam tadi. - Foto ihsan pembaca BH
MELAKA: Dua maut dalam kemalangan membabitkan kenderaan pacuan empat roda dan motosikal di Jalan Kandang di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, penunggang motosikal, Muhamad Amiruddin Hakim Abdul Malik, 21, disahkan mati di tempat kejadian, manakala pemandu pacuan empat roda yang juga warga Thailand berusia 50 tahun mati ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka tidak lama selepas kejadian.
Turut cedera, adik kepada Amiruddin Hakim, Muhamad Shahril, 20, yang membonceng motosikal yang ditunggang abangnya itu.
Kemalangan dipercayai berlaku selepas pacuan empat roda itu dikatakan membuat pusingan U secara tiba-tiba, sebelum dirempuh motosikal dinaiki dua beradik itu.
Mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Bilik Mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Penjenayah paling dikehendaki mati ditembak di Laguna Merbok

KHAMIS, 12 MAC 2015 @ 7:04 PM

 
SUNGAI PETANI: Seorang lelaki berusia 27 tahun dipercayai anggota kongsi gelap maut ditembak selepas berbalas tembakan dengan polis di Lencongan Barat, Bandar Laguna Merbok di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Mohd Nashir Ya, berkata dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, K Sujenthiran, dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap 35, bertindak melepaskan tembakan sejurus sepasukan polis cuba menghampiri kenderaan suspek.

Beliau berkata, ia berlaku ketika sepasukan polis dari Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang yang melakukan rondaan terserempak dengan Proton Wira Aeroback hitam yang dipandu lelaki terbabit dalam keadaan mencurigakan.

"Ketika itu anggota polis keluar dari kenderaan dan memberi amaran kepada suspek. Selepas itu terdengar beberapa das tembakan dari dalam kenderaan suspek sebelum berlakunya tembakan balas oleh polis," katanya ketika ditemui di tempat kejadian malam ini.

Beliau berkata, suspek itu yang berasal dari Taman Bandar Baharu, Sungai Lalang, Bedong di sini, menggunakan pistol semi auto buatan Republic Czech iaitu Luger dengan kaliber 9mm.

Mohd Nashir berkata, lelaki itu adalah suspek utama yang dikehendaki berhubung penemuan mayat dengan kesan tembakan di kepala di Ladang Kelapa Sawit, Sidam Kiri di sini pada 16 September tahun lalu.

Beliau berkata, polis juga mengesyaki suspek yang tidak bekerja dan terbabit dalam pengedaran dadah turut terlibat dalam satu lagi kes bunuh di Kota Setar serta kes membakar motosikal.

- BERNAMA

Mayat anggota PGA ditemui tertiarap di Tanjung Aru


Beliau berkata, mangsa dikenali sebagai Koperal Hasmadi Hasnan, 32, anggota di Pos Kawalan PGA Tanjung Pasir di sini. Mayatnya ditemui penduduk kampung jam 5 pagi setelah dilaporkan hilang sejak semalam.
Katanya, kehilangan mangsa disedari selepas isterinya, berusia 29 tahun datang ke pos kawalan PGA Tanjung Pasir semalam, untuk memastikan suaminya berada di situ selepas keluar dari rumah untuk balik ke pos kawalan itu Selasa lepas pada jam 2 petang.
Menurut beliau, penduduk kampung menemui bot yang dipercayai dinaiki Hasmadi berada dalam keadaan bocor dan tidak ada enjin, berserta kelengkapan lain seperti kasut, tangki minyak dan air di kawasan perairan Tanjung Aru pada 1.30 tengah hari, semalam.
"Laporan yang diterima menunjukkan Isnin lepas, mangsa balik ke rumahnya di Tanjung Aru dari pos kawalan PGA Tanjung Pasir dan dihantar dengan menaiki sebuah bot oleh rakan setugasnya serta memaklumkan akan kembali bertugas semula pada esoknya (Selasa)," katanya di sini.
Fadzil berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut tetapi siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian mangsa.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess Of Kent Sandakan dan diserahkan kepada anggota keluarga untuk urusan pengebumian di Tanjung Aru.
Hasmadi yang berasal dari Perak meninggalkan isteri dan seorang anak lelaki berusia tiga tahun.
- BERNAMA

39 PATI warga Myanmar, Bangladesh ditahan di Kedah


ALOR SETAR: Jabatan Imigresen Kedah menahan 39 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Myanmar dan Bangladesh menerusi Ops Sapu dan Ops Pintu di Kota Setar dan Kubang Pasu, awal hari ini.
Pengarahnya Mohamad Yusri Hashim berkata, operasi bermula 1.30 pagi itu sebanyak 20 lelaki dan tujuh wanita Myanmar serta lima lelaki Bangladesh berumur antara 17 dan 40 tahun ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah.
Turut ditahan katanya, tujuh kanak-kanak warga Myanmar iaitu lima lelaki dan dua perempuan berumur antara enam bulan dan 10 tahun.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati kesemua PATI itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63(pindaan 2002) kerana tiada dokumen dan pas yang sah untuk tinggal di negara ini.
"Operasi yang diketuai Penolong Pengarah Imigresen negeri, Nar Azaman Ibrahim tertumpu di tempat tinggal warga asing di sekitar bandar raya serta Kodiang dan Jerlun di Kubang Pasu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Yusri berkata, ketika pemeriksaan dilakukan beberapa warga asing cuba melarikan diri dengan terjun dari tingkat satu sebuah bangunan rumah kedai, namun gagal melarikan diri selepas diberkas anggota penguatkuasa.
Katanya, modus operandi warga asing adalah dengan menyewa rumah di luar kawasan tempat mereka bekerja bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.
Beliau berkata kesemua PATI yang ditahan ditempatkan di lokap Imigresen negeri di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Depoh Imigresen Belantik, Sik. - BERNAMA

Polis Johor tumpaskan sindiket menyamar pegawai kastam


JOHOR BAHRU: Polis Johor menumpaskan sindiket menyamar sebagai pegawai kastam selepas menahan tiga lelaki berusia antara 22 hingga 28 tahun dalam serbuan di Taman Johor Jaya di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata turut dirampas dalam serbuan itu empat pas kastam palsu, tiga jaket penguat kuasa, topi, satu kad kuasa Askar Timbalan Setia Johor milik seorang suspek dan wang tunai RM1,400.
Katanya, dengan tertumpasnya sindiket itu, polis berjaya menyelesaikan tujuh kes samun dan pemerasan menyamar sebagai pegawai kastam.

Polis rampas ganja RM94,000 di Setapak



DATUK Law Hong Soon (tiga dari kanan) menunjukkan ganja bernilai RM94,000 yang dirampas daripada seorang pengedar di Jalan Padang Balang Setapak, di sini, kelmarin. - NSTP
KUALA LUMPUR: Seorang penjual alat ganti kenderaan yang dipercayai mengedar dadah jenis ganja sejak empat bulan lalu ditahan di Jalan Padang Balang Setapak, di sini, kelmarin, membabitkan rampasan bernilai RM94,000.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Law Hong Soon, berkata berdasarkan serbuan yang dilakukan di rumah suspek berusia 40-an itu, berjaya menemui sebanyak lebih 30 kilogram dadah jenis ganja.
"Suspek kini ditahan reman selama enam hari bermula semalam akan disiasat mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, (IPKKL), sebentar tadi.

Polis berjaya selesaikan kes culik kanak-kanak

JUMAAT, 13 MAC 2015 @ 10:19 AM

 
KLANG: Polis berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak berusia setahun empat bulan yang diculik dari rumah pengasuhnya di Taman Sri Andalas, di sini, kelmarin.

Kanak-kanak itu diselamatkan di sebuah pangsapuri di Kepong semalam dan kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Polis menahan dua wanita Indonesia iaitu suspek utama di IKEA Damansara dan selepas itu menahan seorang lelaki berusia 26 tahun bagi membantu siasatan kes penculikan itu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, polis juga merampas tiga telefon bimbit dan sebuah kereta Proton Wira milik suspek.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Awasi penyamun bersiri di Seremban - Polis


SEREMBAN: Wanita yang berada di depan rumah dengan pagar tidak berkunci, menjadi sasaran sekumpulan empat penyamun bersiri yang dikesan aktif di daerah ini, sejak Januari lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Nor Azman Muhammad, berkata kumpulan itu yang bersenjatakan parang dan menaiki motosikal Yamaha 125Z hitam serta merah dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya 20 kes samun sehingga kini.
"Mereka mencari wanita yang membuka pagar rumah untuk memasukkan atau mengeluarkan kereta, selain rumah yang pagarnya tidak berkunci di kawasan taman perumahan di sekitar daerah ini, termasuk di Nilai.
"Berdasarkan siasatan, kumpulan suspek biasanya akan berpecah dua, seorang atau dua orang akan menyerbu mangsa dan selebihnya menunggu di luar rumah untuk mengawasi keadaan sekitar.
"Mereka menggunakan parang untuk memaksa mangsa menyerahkan barang kemas, wang tunai, telefon bimbit dan barang berharga yang lain," katanya di sini.
Katanya, kumpulan itu menyembunyikan parang di dalam beg yang diletakkan di dalam bakul motosikal dan dikesan sering melakukan kegiatan itu antara jam 9 pagi hingga 1 tengah hari, iaitu ketika kebanyakan lelaki bekerja.
Beliau berkata, semua suspek dipercayai berusia dalam lingkungan 20-an serta bertubuh tinggi dan kurus, sering memakai baju T dan jeans, selain topi keledar dengan pelindung matahari gelap bagi menyembunyikan wajah.
Nor Azman berkata, polis sedang memburu kumpulan terbabit dan menasihatkan orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada polis.
Difahamkan, kumpulan itu turut dipercayai terbabit dalam kejadian samun di sebuah TADIKA di Taman Bunga Raya di Mantin di Nilai, dekat sini, Rabu lalu.

Remaja lelaki didakwa culik remaja perempuan


KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menculik seorang remaja perempuan, Mei tahun lalu.
Remaja lelaki berumur 18 tahun itu didakwa menculik kenalannya berusia 15 tahun ketika kejadian itu di Lot 485-116 Lorong Kerdas 2, Kampung Kerdas Batu 6, Gombak, di sini antara 8 pagi hingga 12 tengah malam, 24 Mei tahun lepas.
Dia yang merupakan peniaga di pasar malam, didakwa di bawah Seksyen 361 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 363 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md Nor membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan dia perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan.
Mahkamah menetapkan 23 April untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Nom Phot Prackdit. - BERNAMA

3 maut rusuhan penjara di Honduras



BANDUAN dipindahkan menggunakan helikopter ke penjara lain berikutan rusuhan penjara di penjara San Pedro Sula. - Foto AFP
TEGUCIGALPA: Tiga banduan terbunuh termasuk seorang ditembak ketika rusuhan penjara di Honduras dan menyebabkan tujuh banduan lain serta lapan pengawal mengalami kecederaan, kata pihak berkuasa.
Jurucakap Polis Kebangsaan negara itu berkata, 400 pegawai dan anggota tentera yang dikerah ke Penjara San Pedro Sula berdepan tembakan senjata api yang dilepaskan dalam kawasan penjara dan mereka dibaling batu serta objek lain.

BANDUAN yang cedera dibawa keluar dari penjara itu oleh pasukan kecemasan selepas menyertai rusuhan dan bertembung dengan polis. - Foto AFP
Selepas keadaan berjaya dikawal, polis berkata, mereka merampas raifal, pistol automatik dan senjata lain dari dalam penjara berkenaan.
Banduan yang cedera dibawa keluar dari penjara itu oleh pasukan kecemasan selepas menyertai rusuhan dan bertembung dengan polis.
Penjara San Pedro Sula terletak kira-kira 240 kilometer di utara bandar raya Tegucigalpa dan hanya boleh menampung 1,300 banduan tetapi sebaliknya dihuni 2,900 orang.
Pegawai berkata, salah seorang banduan mati akibat tembakan di kepala tetapi tidak diketahui punca kematian dua orang banduan lain. - AFP

Polis akan bertindak tegas terhadap penghasut



NOOR Rashid diiringi Suruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman (dua dari kiri) bersalam dengan pegawai kanan polis ketika hadir pada seminar Integriti Ketua Polis Balai, di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK), Sabah. - Foto Izhari Ariffin.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan akan bertindak tegas terhadap sesiapa sahaja yang cuba mencetuskan isu berbau hasutan.
Noor Rashid berkata tindakan tegas seperti itu perlu diambil pihak polis bagi memastikan rakyat dan negara terus berada dalam keadaan aman dan sejahtera.
"Kalau kita rujuk kepada takrif Seksyen 2, Akta Hasutan, (ia) dipanggil kecenderungan untuk menghasut.
Sesiapa sahaja yang mempertikai kedudukan Raja-Raja, sesiapa sahaja mempertikai kewibawaan mahkamah yang ada dalam negara kita, sesiapa sahaja menghasut yang menimbulkan ketegangan kaum, kita takrifkan (perbuatan itu) di bawah Seksyen 2, Akta Hasutan (1948) ini," katanya.
Noor Rashid berkata demikian kepada pemberita semasa mengulas mengenai siasatan polis terhadap Doris Jones yang dikaitkan dengan kumpulan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) selepas menutup Seminar Integriti Ketua Balai Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini.
Turut hadir ialah Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.
Noor Rashid berkata polis akan melakukan siasatan sebelum mengambil tindakan sewajarnya termasuk membuat tuduhan di mahkamah ke atas sesiapa sahaja yang cuba mempertikai perkara-perkara di bawah Seksyen 2, Akta Hasutan itu.
Beliau berkata walaupun Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan kebebasan bersuara atau berbuat sesuatu kepada rakyat di negara namun kebebasan berkenaan ada had atau batasannya.
"Maknanya, kalau kita nak bercakap, kita kena tahu batasannya. Kalau anda melangkau batasan berkenaan. Maka sebagai pegawai polis, dengan tujuan untuk memelihara keamanan dan ketenteraman negara, kita akan mengambil tindakan sewajarnya," katanya.
Mengulas mengenai seminar berkenaan, Noor Rashid berkata ia akan dilaksanakan di seluruh negara dan antara negeri yang sudah melaksanakan seminar berkenaan selain Sabah ialah Kuala Lumpur, Johor, Selangor dan Pulau Pinang.
Katanya seminar, anjuran Jabatan Integriti dan Pematuhan (JIP), iaitu jabatan baharu dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diwujudkan pada Julai tahun lalu, adalah untuk memastikan pegawai dan anggota PDRM mematuhi piawaian yang ditetapka ketika melaksanakan tugas.
"Dalam usaha kita memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, kita pun telah menetapkan penanda aras kita dan pegawai dan anggota harus mampu melepasi piawaian yang ditetapkan. Ini untuk memastikan pegawai dan anggota polis sentiasa peka dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka dan peka dengan kehendak masyarakat," katanya. -BERNAMA

Bekas isteri Presiden Perancis didakwa tampar lelaki


Valerie Trierweiler
PARIS: Bekas wanita pertama Perancis didakwa menampar seorang lelaki dalam sebuah kafe selepas mangsa bertanya mengenai bekas suaminya iaitu Presiden Francois Hollande.
Sumber berkata, lelaki itu kemudiannya terus pergi ke balai polis untuk membuat aduan terhadap Valerie Trierweiler atas kejadian berkenaan.
Kejadian berlaku di selatan Paris.
Katanya, seorang pelanggan mendekati Trierweiler dan secara menyindir bertanya mengenai keadaan Hollande. Selepas bertikam lidah, bekas wanita pertama itu menampar lelaki berkenaan.
Dalam buku yang diterbitkan tahun lalu dan diterjemah dalam berpuluh bahasa, Trierweiler menceritakan mengenai pergolakan rumah tangga enam tahun bersama Hollande termasuk 18 bulan di sisi suaminya apabila pemimpin Sosialis itu menjadi presiden pada 2012.
Bagaimanapun, peranannya sebagai wanita pertama berakhir apabila sebuah majalah selebriti menerbitkan gambar presiden itu menipu isterinya apabila menjalin hubungan dengan aktres Julie Gayet.
Sementara itu, sumber kehakiman berkata, aduan lelaki itu dibuat atas alasan kelakuan ganas.
Plaintif perlu berjumpa doktor bagi mendapatkan sijil perubatan menyatakan berapa lama dia tidak cergas untuk bekerja. - AFP

11 orang dikhuatiri maut helikopter terhempas di AS


ANGGOTA tentera menjalankan misi mencari di pantai di bawah kabus yang tebal di Pangkalan Udara Eglin. - Foto AP
MIAMI: Seramai 11 askar marin dan empat anak kapal dipercayai hilang dan dikhuatiri mati selepas helikopter tentera terhempas ketika latihan waktu malam di Florida, kata pegawai tentera.
Helikopter UH-60 Black Hawk dilaporkan hilang pagi semalam dekat Pangkalan Udara Eglin.
Kawasan berkenaan dilanda kabus tebal tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ia menjadi punca nahas.
Jurucakap pangkalan udara, Andy Bourland berkata, pasukan mencari dan menyelamat mengesan serpihan pesawat itu dan penyiasatan sedang dijalankan.
"Doa dan ingatan daripada kami di sini di Rumah Putih untuk ahli keluarga mereka yang terkorban dalam nahas ini," kata jurucakap Rumah Putih, Josh Earnest.

SEBUAH ambulans Okaloosa County berada di pintu masuk Pangkalan Udara Eglin. - Foto AP
Sementara itu, Presiden Barack Obama juga merakamkan ucapan takziah menerusi panggilan telefon dengan komander tentera yang terbabit.
"Presiden memberi penghargaan atas segala pengorbanan askar terbabit dan ahli keluarga mereka bagi menjaga serta melindungi negara ini," kata Earnest.
Sementara itu, sebuah lagi pesawat Black Hawk selamat kembali ke pangkalan. - AFP

62 terkorban akibat hujan di Angola


LUANDA: Seramai 62 orang terkorban termasuk sebahagian besar kanak-kanak selepas hujan lebat melanda bandar Lobito, lapor agensi berita rasmi, Angop.
Kawasan perumahan Bairro Novo di Lobito, terletak di pantai Atlantik kira-kira 500 kilometer selatan ibu negara Luanda, paling teruk ditimpa hujan dengan bacaan paras air meningkat sehingga tiga meter di beberapa tempat.
Seramai 35 daripada 62 orang yang terkorban ialah kanak-kanak.
Sehubungan itu, Presiden Jose Eduardo dos Santos meminta kerajaan tempatan bagi membantu keluarga yang terjejas dan merakamkan ucapan takziah di atas kematian ahli keluarga.
Ribut kencang membadai Angola pada setiap musim bunga menyebabkan tanah runtuh dan banjir yang menimpa kawasan perumahan paling mundur negara itu.
Sementara itu, seorang penduduk maut dalam ribut Selasa lalu dan menghabiskan 137 rumah dan lebih 400 keluarga hilang tempat tinggal di Luanda. - AFP

Tujuh maut, 25 hilang kebakaran pusat beli-belah Russia

ANGGOTA penyelamat berada di bangunan pusat membeli-belah yang musnah dalam kebakaran di Kazan. - Foto AFP
MOSCOW: Tujuh maut dan kira-kira 25 orang dilaporkan hilang selepas sebuah pusat membeli-belah di sini terbakar, kata pegawai.
Anggota penyelamat membersihkan sisa bangunan tiga tingkat yang musnah dalam kebakaran di Kazan, ibu negeri Tatarstan terletak kira-kira 800 kilometer timur Moscow.
"Mereka masih perlu menempuh sisa bangunan sebanyak 8,000 kubik meter," kata jurucakap kementerian hal ehwal kecemasan di Tatarstan.
"Ia akan mengambil masa beberapa hari."

ANGGOTA penyelamat membawa mangsa keluar dari bangunan pusat membeli-belah yang musnah dalam kebakaran di Kazan. - Foto AFP
Tujuh yang maut termasuk seorang wanita sudah disahkan terkorban.
Dua mangsa berasal dari Tajikistan.
Katanya, kementerian kecemasan tidak akan mengumumkan nama yang masih hilang selagi tidak menemui mayat mereka.
Terdahulu, Pengarah Kementerian Hal Ehwal Kecemasan, Igor Panshin berkata, 25 orang yang hilang itu mungkin berada di bawah timbunan runtuhan. - AFP
ANGGOTA penyelamat berada di dalam bangunan pusat membeli-belah yang musnah dalam kebakaran di Kazan. - Foto AFP

7 mati, berpuluh terperangkap kilang simen runtuh di Dhaka

DHAKA: Sekurang-kurangnya tujuh orang mati dan berpuluh lagi dikhuatiri terperangkap selepas bumbung sebuah kilang simen yang masih dalam pembinaan runtuh di selatan Bangladesh, kata polis dan anggota penyelamat.
Lebih 90 orang berada di tapak pembinaan di bandar pelabuhan Mongla ketika struktur bangunan itu runtuh petang semalam menyebabkan ramai yang terperangkap di bawah runtuhan.
Askar dan anggota kecemasan menggunakan dua kren dan pemotong besi untuk membersihkan sisa runtuhan dan menyelamatkan berpuluh orang.
"Jumlah kematian ialah tujuh dan jumlah mereka yang cedera ialah 53 termasuk sekurang-kurangnya enam dilaporkan kritikal," katanya.
Tidak dapat dipastikan jumlah sebenar yang masih terperangkap di celah runtuhan kilang berkenaan. - AFP
KEADAAN kilang simen yang runtuh di bandar pelabuhan Mongla, barat daya Dhaka. - Foto Reuters
ANGGOTA penyelamat bertugas di kawasan kilang simen yang runtuh di bandar pelabuhan Mongla, barat daya Dhaka. - Foto Reuters

Pemain Ski Parah Dilanggar Pesawat Ringan


Diterbitkan: Jumaat, 13 Mac 2015 9:12 AM

LYON: Seorang pemain ski warga Poland cedera parah selepas dilanggar oleh sebuah pesawat ringgan yang membuat pendaratan cemas di Banjaran Alps, Perancis pada Khamis.
Pesawat itu gagal untuk berlepas dalam keadaan landasan yang bersalji pada altitud tinggi dekat kawasan ski di Avoriaz.
Juruterbang itu tidak dapat menghentikan pesawat berkenaan menyebabkan ia jatuh ke cerun dan hampir mengenai sekumpulan kanak-kanak di bawah kabel kerusi gantung sebelum mengenai seorang wanita dan hampir memutuskan tangannya.
"Kami hanya nyaris mengelakkan kemalangan," kata sumber anggota bomba yang tidak mahu dikenali.
Menurus perkhidmatan kecemasan, kipas pesawat itu mengenai wanita berusia 55 tahun dan nyaris memutuskan tangannya.
Wanita itu dengan segera diberikan rawatan oleh seorang doktor di resort sebelum dihantar ke sebuah hospital tempatan menggunakan helikopter.
"Pesawat itu secara tiba-tiba berada di belakangnya dan tiada bunyi kedengaran. Dia tidak mendengarnya," kata seorang pendakwa raya, Patrick Steinmetz kepada AFP.
Steinmetz berkata, juruterbang itu merupakan "seorang yang profesional yang boleh berhadapan dengan situasi seperti itu" ketika berlepas.
Pejabat pendakwa itu sedang menyiasat kes berkenaan. - AFP

Protes Di Ferguson, Dua Anggota Polis Ditembak


Diterbitkan: Khamis, 12 Mac 2015 11:58 PM

FERGUSON: Dua anggota polis ditembak dan mengalami kecederaan semasa perhimpunan bantahan di Ferguson, Missouri, awal hari Khamis, beberapa jam selepas ketua polis di bandar ini meletak jawatan berikutan laporan Jabatan Kehakiman AS yang mendapati pasukannya berat sebelah dan bersifat perkauman.

Kejadian tembak ke atas pegawai tersebut, yang kini berada dalam keadaan serius di sebuah hospital tempatan, berlaku selepas kegawatan selama beberapa bulan di pinggir bandar St Louis di Ferguson, kawasan di mana tercetusnya pembunuhan seorang remaja kulit hitam yang tidak bersenjata oleh seorang anggota polis kulit putih Ogos lalu.

Kematian remaja berusia 18 tahun, Michael Brown menyebabkan Ferguson menjadi tumpuan perdebatan nasional berhubung penguatkuasaan undang-undang kekerasan yang digunakan terhadap kumpulan minoriti, khususnya terhadap lelaki hitam, dan membawa kepada protes selama beberapa bulan di seluruh negara.

Pada Khamis, pemburuan sedang dijalankan selepas dua pegawai telah terkena tembakan di luar ibu pejabat polis Ferguson semasa perhimpunan protes beberapa jam selepas peletakan jawatan Ketua Polis Thomas Jackson.

Kedua-dua pegawai yang ditembak bukan sebahagian daripada anggota pasukan polis Ferguson, yang hampir keseluruhannya berkulit putih, manakala majoriti penduduk di bandar ini adalah Afrika-Amerika.

Seorang pegawai berusia 41 tahun dari St Louis County Police telah terkena tembakan di bahu dan seorang pegawai berusia 32 tahun dari Jabatan Polis dekat Webster Groves terkena tembakan hampir mengenai bahagian muka.

"Pegawai-pegawai polis berdiri di sana dan mereka ditembak, hanya kerana mereka adalah pegawai polis," kata Ketua St Louis County Jon Belmar kepada pemberita awal hari Khamis.

"Saya telah berkata selama ini bahawa kita tidak boleh bertahan selama-lamanya tanpa sebarang masalah," katanya, merujuk kepada ketegangan yang membarah di bandar itu sejak kematian Brown pada musim panas lalu.

Pemandu Parah Kepala Lori Gula Terbakar


Diterbitkan: Jumaat, 13 Mac 2015 7:17 PM
Sebuah lori membawa muatan gula mentah terbabas ketika menaiki jambatan sebelum terbalik di KM86.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke arah selatan, Jumaat. -fotoBERNAMA

ALOR SETAR: Seorang pemandu lori gula mentah cedera akibat terbakar selepas lorinya terbabas ketika menaiki jambatan dan terbalik di Km 86.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dekat Guar Cempedak menghala ke selatan kira-kira 12.54 tengah hari Jumaat.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Safuwan Md Saad berkata pemandunya yang dikenali sebagai Iswandi Adzmi, 33, tersepit di bahagian pemandu dengan kepala lori sedang terbakar.

"Kita sempat memadamkan api di bahagian kepala lori sebelum mengeluarkan mangsa," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata mangsa melecur kira-kira 33 peratus pada bahagian kaki, tangan dan badan dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani  untuk rawatan lanjut.

Seramai 14 anggota bersama dua buah jentera serta Unit Perkhidmatan Respons Perubatan Kecemasan (EMRS) digegaskan ke tempat kejadian, katanya.

Mayat Tanpa Biji Mata Ditemui Di Pantai Besut


Diterbitkan: Jumaat, 13 Mac 2015 8:43 PM

BESUT: Mayat lelaki tanpa pakaian dan tanpa kedua-dua biji mata ditemui terdampar di Pantai Kampung Beting Lintang, sempadan Besut dan Setiu pagi Jumaat.
Seorang pemungut telur penyu menemui mayat kira-kira 6.30 pagi dengan kulit muka mayat merekah dan badannya membengkak kerana dipercayai hampir seminggu telah mati dan dibawa ombak ke pantai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Khaled Che Lah berkata tiada dokumen pengenalan diri pada mayat yang dijangka berumur lingkungan 40 hingga 50 tahun.

Mayat kini berada di bilik mayat Hospital Besut.

Mereka yang kehilangan saudara mara diminta agar menghubungi polis.