Search This Blog

Thursday, March 12, 2015

Penjual Besi Buruk, Tiga Rakan Didakwa Culik, Bunuh Wanita


Diterbitkan: Khamis, 12 Mac 2015 5:28 PM

PETALING JAYA: Seorang penjual besi buruk dan tiga rakannya termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, Khamis atas pertuduhan menculik dan membunuh seorang pengarah urusan syarikat pembuatan jubin, bulan lepas.
Kavin Mukilan Chandrasegaran, 21, didakwa bersama-sama Sunil Singh, 26, A. Malarvili (wanita), S. Vivegkanathaa, 23, didakwa membunuh Balbir Kaur, 68, di Jambatan Kedua, KM12 Batu Kawan, Pulau Pinang, 14 Feb lepas.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 3.55 pagi dengan menutup mulut sehingga mangsa mati lemas dan mencampakkan mayat mangsa ke laut.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Kesemua tertuduh turut didakwa menculik Balbir bagi meminta wang tebusan sebanyak RM2 juta di sebuah tapak pembinaan tepi Sunway Pyramid, Bandar Sunway, di sini, pada pukul 1.40 tengah hari, pada 13 Feb lepas.
Bagi kesalahan kedua, mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika ia tidak dihukum mati, boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Kesemua mereka hanya mengganggukkan kepala tanda faham atas kedua-dua pertuduhan terhadap mereka dan tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menetapkan 14 April depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saphirra Selamat manakala peguam S. Prakash mewakili Kavin Mukilan, Vivegkanathaa dan Malarvili manakala Sunil pula tidak diwakili peguam.
Turut hadir di mahkamah hari ini ialah peguam Ram Karpal Singh yang merupakan peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa.
Sebelum ini akhbar melaporkan mayat ahli perniagaan wanita berbangsa Sikh  itu ditemui di kawasan laut di Sungai Udang, Pulau Pinang pada 14 Feb lepas dan penculik menuntut wang tebusan RM2 juta daripada keluarga mangsa bagi pembebasannya.

Dua Pelajar Perempuan Maut Kemalangan


Diterbitkan: Khamis, 12 Mac 2015 6:19 PM

TUMPAT: Dua pelajar perempuan maut selepas motosikal yang dinaiki terbabas dan berlanggar dengan sebuah kereta di Jalan Palekbang, Tumpat pada Rabu malam.

Ketua Polis Daerah Tumpat Supt Zaharudin Rasip berkata dalam kejadian 9.15 malam itu, Wan Nur Zulaikha Mohamed Najib, 15, yang menunggang motosikal, dipercayai hilang kawalan menyebabkan ia memasuki lorong bertentangan.

Sebuah kereta dari arah bertentangan cuba mengelak motosikal itu namun, gagal lalu melanggar Wan Nur Zulaikha dan rakannya yang membonceng Norhidayah Mohamad, 14, sebelum kereta itu terbabas ke dalam parit.

"Kedua-dua mangsa cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta cedera ringan," katanya di sini.

Wan Nur Zulaikha ialah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut manakala Norhidayah dari SMK (A) Morak di sini. 

Tiga rentung dalam kemalangan


JOHOR BAHRU - Tiga rentung manakala tiga lagi cedera selepas kereta Kia Spectra yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dan terbakar di KM164 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, dekat Tangkak, Ledang, hari ini.
Tiga rentung dalam kemalangan
Anggota-anggota Bomba dan Penyelamat Tangkak memadamkan kebakaran kereta Kia Spectra selepas ia terbabit dalam kemalangan maut di KM164 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah selatan dekat Tangkak hari ini. - Foto Bernama
    
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Kalidasan Gurbachan Singh, 22, manakala dua lagi masih belum dikenal pasti identitinya.
    
Katanya di sini, tiga yang cedera, kesemuanya wanita dikenal pasti sebagai K. Sarmila, 22, Suvathavanu, 18, dan Padisan.
    
Jurucakap itu berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 7.13 pagi dan sepasukan anggota bomba bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak tiba di tempat kejadian, kira-kira lima minit kemudian. - Bernama

Tembak telefon bimbit kekasih kerana cemburu


Tembak telefon bimbit kekasih kerana cemburu
Zakaria (kanan) menunjukkan barang dan senjata yang dirampas, semalam.
ALOR SETAR - Seorang lelaki sanggup menembak telefon bimbit teman wanitanya kerana melepaskan geram di sebuah restoran dekat Padang Terap, kelmarin.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam apabila wanita berkenaan didatangi dua lelaki warga Thailand.

Insiden bermula dengan pertengkaran sepasang kekasih sebelum teman lelakinya merampas telefon bimbit wanita itu dan melemparnya ke tanah.

Lelaki itu kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah telefon bimbit teman wanitanya sebelum melarikan diri.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Zakaria Yusof berkata, mangsa yang berusia lingkungan 40-an kemudian membuat laporan di balai polis berdekatan kira-kira jam 1 pagi.

“Berikutan laporan wanita itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah melancarkan operasi khas untuk mengesan lelaki tersebut.

“Kita menahannya di sebuah stesen minyak berdekatan kira-kira jam 3.30 pagi,” katanya kepada media, semalam.

Menurutnya, polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki suspek bersama beberapa jenis peluru hidup dan dua pasang gari.

“Polis kemudian menyerbu sebuah rumah dipercayai kenalan suspek di daerah sama kira-kira jam 5.30 pagi.

“Kita menjumpai dan merampas selaras senapang angin bersama pelbagai jenis peluru hidup,” katanya.

Zakaria berkata, kedua-dua suspek berumur lingkungan 30-an direman sehingga 17 Mac ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata api dan peluru.

“Pelbagai senjata api dan peluru kita sudah rampas, tetapi pistol yang dipercayai digunakan semasa kejadian masih dalam pencarian.

“Suspek belum tunjuk di mana pistol itu berada atau dibuang," katanya.

Pada masa sama, polis merampas 22 beg hitam berisi daun ketum seberat 135 kilogram (kg) pada serbuan kedua di sebuah rumah dekat kawasan Padang Terap.

Daun ketum dianggarkan bernilai RM11,000 itu dipercayai untuk tujuan pasaran negara jiran.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat aktiviti penyeludupan senjata api atau pemilikan senjata api boleh memaklumkan segera kepada polis,” katanya.

Mayat lelaki dengan kesan terbakar ditemui


Mayat lelaki dengan kesan terbakar ditemui
Anggota-anggota polis forensik memeriksa mayat seorang lelaki dengan kesan terbakar di tepi jalan KM 253 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) menghala ke selatan 7 pagi tadi. - Foto Bernama
SEREMBAN - Mayat seorang lelaki dengan kesan terbakar ditemui di dalam longkang di tepi jalan Kilometer 253 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) menghala ke selatan, hari ini.
  
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, mayat itu ditemui 7 pagi ini, berusia lingkungan 20 hingga 30-an, dijumpai dalam keadaan terlentang dan terbakar 30 peratus iaitu hampir keseluruhan pakaiannya terbakar.
  
Beliau berkata, mayat dibakar dalam longkang dan jarak longkang tersebut dengan bahu jalan lebih kurang dua meter dan terdapat kesan darah di bahu jalan atas rumput.
  
"Tiada kecederaan yang nyata dijumpai pada fizikal mayat dan terdapat beberapa kesan kulit merekah pada tangan, badan dan kaki dipercayai akibat kebakaran," katanya di sini hari ini.
  
Beliau berkata, siasatan awal mendapati bahan yang digunakan untuk membakar adalah kotak dan plastik berwarna hitam.

"Tidak dapat dipastikan identiti mayat tersebut kerana tiada dokumen pengenalan diri dijumpai juga tiada barang kemas atau barang berharga ditemui pada mayat," katanya.
  
Muhamad Zaki berkata, mayat dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat dan usaha mengesan identiti daripada cap jari dan ujian DNA akan dibuat.
  
Beliau turut meminta orang awam yang nampak kejadian tersebut atau yang kehilangan ahli keluarga atau rakan untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Seremban di talian 06-6033222 atau talian terus 06-6014999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
  
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama

Dua lelaki ditahan, miliki pump gun dan peluru


ALOR SETAR - Dua lelaki ditahan polis dalam serbuan berasingan kerana memiliki selaras senapang dan sejumlah peluru di sebuah stesen minyak dan rumah di Padang Terap awal pagi semalam.
Dua lelaki ditahan, miliki pump gun dan peluru
Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Zakaria Yusof (dua,kiri) dan Ketua Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontijen Negeri Kedah (IPK) ACP Nashir Ya (kiri) melihat senjata api yang dirampas daripada dua lelaki pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kedah hari ini. - Foto Bernama
 
Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Zakaria Yusof berkata tangkapan dua lelaki tempatan berusia 30-an itu dibuat selepas menerima laporan daripada seorang wanita yang juga peniaga kedai makanan di Padang Terap yang membuat laporan polis 1 pagi semalam.
 
Beliau berkata, wanita berusia 40-an itu membuat laporan polis selepas seorang daripada suspek bertindak melepaskan beberapa das tembakan kira-kira 9 malam pada 10 Mac lalu di kedai makanan tersebut.
 
"Suspek yang menggunakan sepucuk pistol melepaskan tembakan pada telefon bimbit milik wanita itu yang dipercayai teman wanita suspek yang dicampak ke tanah. Ia bermotifkan cemburu dan tembakan itu tidak mencederakan wanita tersebut.
 
"Suspek pertama yang melepaskan tembakan di kedai makanan, kita tahan di sebuah stesen minyak di Padang Terap pada 3.30 pagi semalam dan hasil pemeriksaan dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda itu polis menemui sebutir peluru dan dua pasang gari," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.
 
Zakaria berkata suspek kedua yang mempunyai kaitan dengan suspek pertama ditahan 5.30 pagi semalam di sebuah rumah kampung di Padang Terap dan menemui selaras senapang jenis pump gun dan sejumlah peluru pelbagai jenis dalam rumah tersebut.
 
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek tidak mempunyai lesen senjata api dan peluru serta senjata yang mereka miliki dipercayai diseludup dari negara jiran, Thailand.
 
"Kita juga sedang mengesan sepucuk pistol yang digunakan suspek yang melepaskan beberapa das tembakan. Kita juga sedang siasat kegiatan jenayah lain seperti menyamar sebagai polis berikutan penemuan senjata api dan dua pasang gari," katanya.
 
Katanya, dua suspek yang bekerja sendiri itu ditahan reman bermula semalam hingga 17 Mac ini bagi membantu siasatan.
 
Zakaria berkata, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 jika sabit kesalahan penjara selama 14 tahun dan sebatan tidak kurang dari enam sebatan.
 
Katanya bagi pemilikan peluru, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 yang jika sabit kesalahan, penjara selama tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
 
"Nasihat saya kepada masyarakat setempat sekiranya mempunyai maklumat mengenai penyeludupan atau pemilikan senjata api tanpa lesen maklumkan kepada polis demi keselamatan orang ramai," katanya. - Bernama

Tiga minggu dipenjara cederakan isteri


12 Mac 2015


KUALA LUMPUR - Akibat mencederakan isteri yang menyuruhnya mencari pekerjaan lain, seorang penghantar surat dipenjara tiga minggu oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Saifulakmal Said memerintahkan Muhammad Ishak Krishnan, 29, menjalani hukuman itu mulai tarikh dia ditangkap pada 9 Mac lepas.

Muhammad Ishak mengaku bersalah terhadap pertuduhan dengan sengaja mencederakan isterinya Nisaalina Abdul Rashid Veloo, 29, seorang pekerja pemasaran.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam kereta di bawah Flat Blok A, Sri Kelantan Jalan Sentul Pasar, Sentul, di sini pada 8.30 malam, 3 Mac lepas mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntuk hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, mangsa telah menyuruh suaminya mencari pekerjaan lain namun tertuduh yang marah dengan permintaan itu, telah menampar muka mangsa dan memukulnya di bahagian leher sehingga menyebabkan lebam di muka dan belakang kepala.

Terdahulu, Muhammad Ishak yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya kelihatan sedih dan menangis memohon hukuman ringan dengan alasan dia berpendapatan rendah dan perlu menanggung keluarga.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran. - Bernama

Helikopter terhempas: 11 dikhuatiri terbunuh


Helikopter terhempas: 11 dikhuatiri terbunuh
11 dikhuatiri terbunuh dalam nahas helikopter milik Amerika Syarikat.
FLORIDA - AMERIKA SYARIKAT. Tujuh anggota tentera laut dan empat anggota tentera darat dikhuatiri terbunuh selepas sebuah helikopter tentera Amerika Syarikat terhempas ketika sedang menjalani latihan.

Pengkalan Tentera Udara Eglin di Florida berkata, anggota marin yang terlibat adalah sebahagian daripada kumpulan operasi khas dan tentera darat pula adalah dari unit keselamatan kebangsaan yang berpangkalan di Lousiana.

Helikopter jenis UH-60L Blackhawk dilaporkan hilang kira-kira pukul 8.30 malam waktu tempatan semalam dan pasukan operasi mencari dan menyelamat menemui serpihan helikopter berkenaan kira-kira 2 pagi.

Jurucakap Pengkalan Tentera Udara Englin, Andy Baourland berkata, buat masa ini, semua mangsa yang terlibat masih belum ditemui.

"Nama-nama mangsa yang terlibat akan dumumkan kelak", katanya dipetik Mirror.uk

Helikopter tersebut menjalani latihan rutin di kawasan pantai terpencil antara Pensacola dan Destin.

Baourland menambah, helikopter tersebut berlepas dari lapangan terbang berhampiran Destin dan kemudiannnya menyertai pesawat lain dalam latihan tersebut.

Semalam dua helikopter bertembung di Argentina, menyebabkan 10 terbunuh di mana tiga daripadanya adalah bintang sukan Perancis.

Berlusconi terlepas dakwaan


Silvio Berlusconi
Berlusconi
ROM - ITALI. Sebuah mahkamah di Itali, kelmarin menggugurkan dakwaan ke atas bekas Perdana Menteri, Silvio Berlusconi yang didakwa membayar untuk mendapat layanan seks daripada penari bawah umur.

Keputusan oleh hakim Mahkamah Rayuan itu dibuat selepas hujan selama sembilan jam, sekali gus membolehkan jutawan media tersebut meneruskan pembabitannya dalam arena politik di Itali.

Difahamkan, Berlusconi, 78, juga telah menamatkan hukuman khidmat masyarakat yang dikenakan ke atasnya atas kesalahan penipuan cukai dan beberapa kes lain.

Pada 2013, penari tersebut, Karima El-Mahroug atau lebih dikenali sebagai Ruby mendakwa dia pernah dilanggan oleh Berlusconi ketika berusia 17 tahun dalam parti 'bunga bunga' yang diadakan di vila mewahnya di Milan. - AFP

Coklat Cadbury tertera gambar babi?


SHAH ALAM - Cadbury Malaysia hari ini menafikan bahawa coklat jenis Cadbury Milk Kids 20g yang tertera gambar babi adalah keluarannya.
 
Coklat Cadbury tertera gambar babi?
Coklat jenis Cadbury Milk Kids 20g yang didakwa tertera gambar babi.
Ketua Perhubungan Hal Ehwal Korporat Cadbury, Raja Zalina Raja Safran berkata, produk tersebut adalah produk import dan bukan dihasilkan di Malaysia.
 
“Produk ini diimport pihak ketiga yang bebas mengimport mana-mana produk keluaran luar negara. 
 
“Pengimportan atau pembelian mana-mana coklat keluaran Cadbury oleh pihak ketiga adalah di luar kawalan pihak Cadbury Malaysia dan kami tidak mempunyai hak untuk menyekat mahupun mengawal mana-mana pihak yang ingin membeli dan menjual produk-produk tersebut.
 
“Sekiranya pengguna ingin maklumat lanjut tentang produk tersebut sila hubungi pihak penjual,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Jelas Zalina coklat Cadbury keluaran Malaysia adalah dijamin halal oleh itu beliau menasihati pengguna agar hanya memilih coklat Cadbury keluaran Malaysia bagi mengelak berlakunya sebarang pembelian yang mengelirukan.
 
“Kami ingin meyakinkan para pengguna bahawa kesemua Coklat Cadbury yang diperbuat di Malaysia mematuhi Sijil Halal Malaysia dan ia merangkumi lokasi dan bahan-bahan mentah yang digunakan dalam pengeluaran produk berkenaan. 
 
“Jadi nasihat kami, pengguna harus memilih Coklat Cadbury keluaran Malaysia,” jelasnya.
 
Terdahulu, seorang pengguna telah meluahkan perasaan tidak puas hatinya di media sosial apabila, terbeli coklat Cadbury bergambar babi baru-baru ini.

Dipecat selepas selfie dengan pesakit


SEORANG paramedik wanita dipecat selepas tindakan tidak berperikemanusian apabila 'selfie' dengan pesakit yang sedang kritikal di dalam ambulans.
Dipecat selepas selfie dengan pesakit
Antara gambar yang dimuatnaik Titiana. - Foto CEN
Tatiana Kulikova, 25, memuatnaik gambar itu bersama pesakit yang sepatutnya di bantunya dengan kapsyen ‘another moron’ dan  ‘how i hate my job’.

Dia kemudiannya telah dirujuk kepada pegawai perkhidmatan kecemasan di Rusia dan kemudiannya dipecat selepas mengaku melakukan perkara tersebut.

Perbuatannya itu mengundang rasa kurang senang di kalangan penduduk setempat terutamanya kepada keluarga mangsa.

Pegawai kempen kesihatan tempatan, Artem Golubev, 40, berkata, gambar tersebut jelas menunjukkan ketika Tatiana mengambil gambar, dia tidak menjaga pesakitnya.

“Dia menunjukkan sikap tidak berhati perut untuk menjaga kesejahteraan pesakitnya malah sesetengah daripada mereka meninggal dunia."

“Saya tidak terkejut sekiranya keluarga mereka mengambil tindakan saman terhadapnya dan pihak jabatan perkhidmatan kecemasan terbabit,” katanya.

Seorang jurucakap perkhidmatan kecemasan berkata, sebaik sahaja kami diberitahu gambar -gambar tersebut dimuat naik dalam talian kami menggantung kerja paramedik berkenaan.

"Selepas siasatan dijalankan, pekerja yang terlibat telah dipecat,” katanya dipetik metro.uk.

Bagaimanapun Titiana tidak membuat sebarang komen berhubung kejadian berkenaan.

Wartawan ditembak selepas terima ancaman bunuh


Wartawan ditembak selepas terima ancaman bunuh
Lokasi kejadian dua wartawan ditembak, semalam. - Foto AP
GUETEMALA CITY - GUETEMALA. Seorang lelaki bersenjata menembak mati dua wartawan dan mencederakan seorang lagi ketika mereka sedang bersiar-siar di sebuah taman di selatan Guatemala, semalam.

Mangsa adalah Danilo Lopez wakil akhbar Prensa Libre dan Federico Salazar wartawan Radio Nuevo Mundo.

Editor Prensa Libre, Miguel Angel Mendez Zentina berkata, Danilo telah bekerja  dengan akhbar berkenaan selama lebih sedekad dan baru-baru ini telah memfailkan aduan terhadap Jose Linares Rojas, Datuk Bandar San Lorenzo atas tuduhan membuat ancaman bunuh terhadapnya.

"Lopez juga telah menulis cerita tentang ketidaktulusan dana awam dalam pentadbiran Jose Linares.

"Danillo adalah seorang wartawan yang beretika, sangat telus dan amat baik dalam prosedur perakaunan dana awam dan bagaimana ia memberi kesan terhadap masyarakat," katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Radio Nuevo Mundo, Marvin Robledo berkata, Federico tidak pernah bercerita apa-apa masalah atau ancaman yang diterimanya dan tidak membuat sebarang laporan khas ketika dia dibunuh.

"Kami akan menunggu siasatan, dan tidak tahu apa motif pembunuhan tersebut, kata Marvin yang dipetik AP.

Video aksi tetak tersebar di media sosial


Video aksi tetak tersebar di media sosial
Sedutan video yang dimuatnaik ke Youtube
SINGAPURA - Sebuah video melibatkan seorang lelaki menyerang seorang lelaki lain menggunakan senjata tajam telah viral selepas dimuatnaik ke laman sosial Facebook, Twitter dan Youtube.
 
Video berdurasi 25 saat memaparkan seorang lelaki berbaju putih kelihatan cuba menetak seorang lelaki berbaju hitam di depan orang ramai.
 
Menurut laporan Straits Times Singapura, kejadian tersebut berlaku di sebuah kolej di Singapura
 
Sebuah tweet pula menunjukkan video pergaduhan awal beserta ayat " Seorang cedera dan jarinya hampir putus."
 
Selain daripada itu, foto menunjukkan darah, kereta polis dan van ambulans juga dimuatnaik.
 
Polis menahan seorang pemuda berumur 16 tahun untuk membantu siasatan.

Remaja kena tahan 'culik' bas bawa jalan-jalan


Remaja kena tahan 'culik' bas bawa jalan-jalan
- Foto StraitsTimes
SINGAPURA - Seorang remaja berumur 17 tahun ditahan kerana disyaki melarikan sebuah bas persendirian dan memandunya lebih enam jam sejauh 155km, semalam.

Menurut Straits Times, kenderaan tersebut diparkir di kawasan industri, Woodlands.

Difahamkan, remaja tersebut melalui kawasan Yishun, Ang Mo Kio, Telok Kurau, East Coast Park, Toa Payoh, Choa Chu Kang, Bukit Batok, Boon Lay dan Jurong East sebelum ditahan di Bukit Batok Central.

Pengurus operasi syarikat AZ Bus, Francis Toh berjaya mengesan bas berkenaan menggunakan alat pengesan GPS.

Polis masih menyiasat motif kejadian.

Haron Din Mursyidul Am Pas baharu





KUALA LUMPUR – Majlis Syura Pas pada Ahad lepas sebulat suara melantik Datuk Dr. Haron Din sebagai Mursyidul Am parti yang baharu bagi menggantikan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Majlis itu yang terdiri daripada 15 anggota mewakili pelbagai pihak membuat keputusan pada satu mesyuarat di ibu pejabat Pas Pusat di sini.
Mereka turut me­lantik Pemangku Ke­tua Dewan Ulama Pas yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob sebagai Timbalan Mursyi­dul Am Pas.
Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu dicapai berdasarkan Perlembagaan Pas yang memberi kuasa kepada seluruh anggota Ma­jlis Syura melantik individu paling layak mengetuai mereka sebagai mursyidul am.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini semalam.
Jawatan Mursyidul Am Pas kosong berikutan penyandangnya Nik Aziz yang juga bekas Menteri Besar Kelantan meninggal dunia akibat kanser pro­stat pada 12 Februari lepas.
Allahyarham Nik Aziz menyandang jawatan Mursyidul Am sejak 1995.
Sementara itu, Haron sebelum dilantik memegang jawatan itu merupakan Timbalan Mursyidul Am Pas dan antara tokoh ulama yang paling disegani dalam parti tersebut.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0312&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3U92WSKcs 
Hakcipta terpelihara 

Anggota polis tidur ketika bertugas ditukarkan 24 jam



Gambar dua anggota polis yang sedang tidur di Balai Polis Komuniti Mak Mandin, Butterworth, Seberang Perai ketika sedang bertugas menjadi viral di laman sosial Facebook dan blog sejak kelmarin.


SEBERANG PERAI – Penyebaran gambar dua anggota polis yang sedang tidur ketika bertugas di Balai Polis Komuniti Mak Mandin, Butterworth di sini telah menyebabkan mereka ditukarkan ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara berkuat kuasa serta-merta.
Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi (gambar kecil) berkata, tindakan itu dibuat selepas penyebaran gambar berkenaan menerusi laman sosial Facebook.
“Kertas siasatan tatatertib telah dibuka untuk tindakan disiplin, sementara menunggu tindakan disiplin, anggota yang terlibat diarahkan bertukar dalam tempoh 24 jam,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Kelmarin, gambar dua anggota terbabit yang sedang tidur di atas kerusi di bahagian kaunter pertanyaan balai polis tersebut telah menjadi viral di laman sosial Facebook dan blog.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan tarikh gambar berkenaan telah dirakam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0312&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz3U92NQh6H 
Hakcipta terpelihara 

Padah makan buah payung



INILAH buah payung Indonesia yang didakwa menyebabkan beberapa pelajar lelaki SMK Mergong, Alor Setar keracunan selepas memakan biji kekacang di dalamnya kelmarin.


ALOR SETAR – Seramai 22 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mergong di sini mengalami muntah dan cirit-birit akibat keracunan dipercayai selepas memakan biji buah payung Indonesia kelmarin.
Kesemua pelajar lelaki tingkatan satu hingga tingkatan tiga itu dikatakan makan biji seperti kekacang di dalam buah tersebut kira-kira pukul 8 malam selepas selesai menunaikan solat Maghrib di surau sekolah.
Pokok payung Indonesia atau dikenali sebagai pokok buah letup ditanam di sekolah itu sebagai hiasan.
Mereka mengalami muntah dan cirit-birit bermula pukul 10 malam sebelum dikejarkan oleh guru ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) II di sini.
Seramai 17 pelajar terpaksa ditahan di wad untuk rawatan lanjut.
Kesemua mangsa tinggal di asrama dan kebanyakannya merupakan atlet olahraga dan sepak takraw sekolah.
Seorang ibu kepada pelajar tingkatan satu yang enggan dikenali memberitahu, anaknya bersama sekumpulan pelajar lain makan kekacang di dalam buah itu selepas seorang daripada mereka mendakwa ia baik untuk menguatkan badan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0312&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3U92F7Nlt 
Hakcipta terpelihara 

Peket kopi segera berisi dadah



Martin KHOO (tengah) menunjukkan serbuk dadah yang diisi di dalam peket minuman kopi segera 3 dalam 1 di Sibu semalam.


SIBU – Taktik baharu sindiket pengedaran dadah dengan membungkus serbuk ekstasi di dalam peket kopi minuman segera 3 dalam 1 terbongkar selepas polis memberkas tiga lelaki tempatan di pusat bandar ini kelmarin.
Mereka yang berusia antara 18 hingga 20 tahun itu ditahan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu pada pukul 12.15 tengah hari.
Serbuk itu boleh dicampurkan dengan sebarang jenis air termasuk minuman keras untuk dijadikan minuman yang mengkhayalkan yang dinamakan ‘Happy Water’.
Serbuk bungkusan minuman segera itu dipercayai dijual pada harga RM200 sepeket.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Martin Khoo berkata, jika dilihat secara kasar, peket-peket kopi minuman segera yang dirampas itu kelihatan seakan-akan seperti peket minuman biasa yang belum dibuka.
Katanya, serbuk ekstasi dimasukkan ke dalam bungkusan minuman itu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa sebelum diedarkan di sekitar Sibu.
“Dadah seberat 1.1 kilogram itu ditemui di dalam Toyota Hilux yang dinaiki ketiga-tiga suspek.
“Kita turut merampas beberapa botol kecil bersaiz 10 mililiter mengandungi cecair ketamin dan 175 pil ekstasi,” katanya di sini semalam.
Martin Khoo memberitahu, nilai kesemua dadah terbabit kira-kira RM22,540 dan polis turut merampas wang tunai berjumlah RM3,900 daripada suspek.
“Semua suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika bersalah,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0312&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3U91xZfGX 
Hakcipta terpelihara 

4 jari hancur digilis mesin tebu



ORANG ramai cuba membantu mengeluarkan tangan kiri Mohd. Faizullah (belakang kiri) yang tersepit di dalam mesin tebu di Gurun semalam.


SUNGAI PETANI – Niat murni seorang remaja bekerja sambilan dengan berniaga air tebu di gerai milik bapanya bertukar menjadi tragedi selepas empat jari tangan kirinya hancur akibat digilis mesin itu semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu mangsa, Mohd. Faizullah Norazham, 18, sedang memerah tebu di gerai milik bapanya yang terletak di Taman Gurun Jaya, Gurun di sini.
Menurutnya, ketika kejadian dia sedang leka memerah beberapa batang tebu ke dalam mesin sambil berbual-bual dengan seorang rakannya yang berada di situ.
“Tiba-tiba saya berasa sakit yang amat sangat, selepas itu baru saya tersedar tangan kiri telah tersepit di dalam mesin tebu.
“Melihat keadaan itu, saya segera menutup suis mesin sebelum hampir pitam apabila melihat darah yang banyak,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini semalam.
Mohd. Faizullah yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gurun memberitahu, dalam keadaan kesakitan itu, dia sempat menjerit meminta pertolongan daripada orang ramai yang lalu-lalang di hadapan gerainya untuk membuka mesin berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0312&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz3U91q4uEj 
Hakcipta terpelihara