Search This Blog

Monday, March 9, 2015

Geng rompak bertelekung dipenjara


Geng rompak bertelekung dipenjara 6 bulan
Nurul Suhada (tengah) dihukum penjara selepas mengaku salah merompak seorang pengusaha butik pengantin.
KOTA BHARU - Seorang ibu tunggal empat anak dihukum penjara enam tahun enam bulan selepas mengaku salah merompak berkumpulan dan bersenjata parang serta pistol, di mahkamah sesyen, di sini, hari ini.
 
Tertuduh, Nurul Suhada Jusoh, 27, didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas merompak pengusaha butik pengantin, Nor Asuwah Ibrahim, 48, di rumah kedai di Kampung Landak, Padang Tembak, Pengkalan Chepa, di sini, pada jam 10.05 malam, 21 Julai tahun lalu.
 
Dalam rompakan itu, tertuduh melarikan gelang emas berlian; gelang emas tulisan jawi nama Asuwah; komputer riba; beg tangan yang dijual; beberapa helai jubah; beg tangan Coach mengandungi resit dan RM150 serta beg tangan Celline mengandungi kad pengenalan, Mykid, surat, buku cek, cermin mata Bonia yang keseluruhannya bernilai RM20,000.
 
Pada prosiding itu, tertuduh merayu di hadapan Hakim, Mohd Yusoff Yunus agar hukumannya diringankan kerana dia mempunyai anak kecil yang masih bersekolah.
 
“Saya juga baru sahaja melahirkan anak keempat di dalam penjara, dua bulan lalu dan sudah bercerai dengan suami pada 2013,” katanya.
 
Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azhari bagaimanapun memohon hukuman berat mengambil kira jenayah rompakan bersenjata yang semakin berleluasa. 
 
Mangsa turut memberitahu mahkamah, dia takut untuk membuka kedai pada waktu malam. 
 
Kes rompakan tersebut juga disiarkan Sinar Harian, tahun lalu.
 
Dalam kejadian lalu itu, mangsa bersama anaknya yang berusia 10 tahun berada di dalam kedai dan datang tertuduh bersama seorang lagi perempuan dengan memakai telekung sembahyang bertanyakan barangan dan pakaian pengantin.
 
Mereka mencuba pakaian dan perempuan tersebut keluar serta masuk semula bersama seorang lelaki. Lelaki itu kemudian mengeluarkan sebilah pedang dan pistol lalu mengacukan ke arah mangsa. 
 
Mereka mengugut dan menyuruh mangsa membuka barang kemas yang dipakai.
 
Mangsa ketakutan, tertuduh kemudian membuka gelang yang dipakai Asuwah sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta bersama barangan yang dirompak dan disimpan di sebuah bilik di rumah inap di Kampung Air Tawar, Cherang Ruku, Pasir Puteh.

Pemandu jengkaut maut dihempap bongkah batu


Pemandu jengkaut maut dihempap bongkah batu
Anggota Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai berusaha keras untuk mengeluarkan mayat seorang pekerja kuari yang mati dihempap batu besar semasa melakukan kerj-kerja kuari di Mukim Sungai Raya, Keramat Pulai di Ipoh hari ini. - Foto Bernama
IPOH - Seorang pemandu jengkaut maut selepas dihempap bongkah batu ketika melakukan kerja-kerja kuari di Sungai Raya, Keramat Pulai, di Simpang Pulai, dekat sini, hari ini.
 
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai, Rozmi Che Hamat berkata, dalam kejadian pada kira-kira 9 pagi itu, K. Kanian, 59, maut akibat tersepit dalam jengkaut yang dikendalinya selepas dihempap batu berkenaan.
 
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 9.27 pagi dan sejurus tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati meninggal dunia akibat tersepit di bahagian tempat pemandu.
 
Katanya, mangsa mengalami kecederaan parah dan mayatnya diserah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
 
"Sejumlah 11 pegawai dan anggota dari Balai Bomba Simpang Pulai melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dan kami terpaksa menggunakan sebuah jengkaut lain untuk menarik batu besar yang menghempap mangsa," katanya ketika dihubungi di sini.
 
Rozmi berkata operasi tamat pada 10.50 pagi dan kejadian dipercayai berlaku secara tiba-tiba apabila bongkah batu itu terjatuh di atas jengkaut itu. - Bernama

Pemandu lori ditahan buat laporan polis palsu


TAPAH - Seorang pemandu lori ditahan polis pada 19 Februari lepas kerana disyaki membuat laporan palsu mendakwa lorinya yang membawa muatan skru disamun membabitkan kerugian hampir RM200,000 di Temoh di sini.
 
Ketua Polis Daerah Tapah Superintenden Som Sak Din Keliaw berkata suspek membuat laporan itu pada 16 Februari mendakwa disamun oleh sekumpulan lelaki bersenjata pada 30 Januari lepas ketika lorinya singgah di sebuah stesen minyak.
 
Kes jenayahBeliau berkata suspek, yang dalam perjalanan dari Bidor ke Batu Gajah, kononnya disamun oleh kelindannya dan empat lelaki pada 2.30 pagi.
 
"Suspek mengatakan bahawa dia kemudian diikat dan dipaksa menaiki kenderaan Iswara Aeroback lalu dibawa ke dalam hutan di Kundang sebelum berjaya melepaskan diri dan meminta pertolongan daripada beberapa lelaki warga Indonesia di kawasan itu," katanya kepada pemberita dalam sidang media di IPD Tapah hari ini.
 
Som Sak berkata pihaknya menahan kelindan lori terbabit pada 17 Februari dan siasatan mendapati pemandu itu membuat laporan palsu.
 
"Kita mengesyaki suspek membuat laporan palsu mengenai lori itu supaya dia dapat menjual skru berkenaan di sebuah kedai jualan barang lusuh di Banting dengan harga yang lebih murah iaitu RM30,000.
 
"Syarikat skru berkenaan juga telah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan mereka sedang menyiasat sama ada, ada pekerja mereka yang pecah amanah," katanya dan menambah siasatan masih dijalankan.
 
Sementara itu, beliau berkata pihaknya sedang menjejaki seorang lelaki yang dipercayai terlibat dengan satu kes pecah rumah di Sungkai pada 11 Julai tahun lepas.
 
Dalam kejadian itu, mangsa kerugian hampir RM4,000 selepas rumahnya dipecah masuk melalui pintu belakang.
 
"Kita mengesan cap jari suspek di cermin tingkap rumah berkenaan dan mendapati ia sepadan dengan rekod jenayah atas nama Abdul Halim Abdul Ghaffar.
 
Som Sak berkata Abdul Halim, 28, yang mempunyai alamat terakhir di No 61, Felcra Changkat Sulaiman, Sungkai memiliki dua rekod jenayah berkaitan kesalahan dadah.
 
"Sekiranya orang ramai mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh berhubung terus dengan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tapah Asisten Superintenden Md Nasri Fadzir di Hotline IPD Tapah 05-4015 222," katanya. - Bernama

Polis tumpas sindiket permit palsu


PDRM
IPOH - Polis menumpaskan satu sindiket mengeluarkan permit palsu dengan penahanan 20 individu, termasuk dua dalang yang mengendalikan kegiatan itu lebih daripada setahun, dalam tiga serbuan sekitar Sitiawan, Jumaat lepas. 
 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak Superintenden Maszely Minhad berkata, tangkapan itu melibatkan seorang warga tempatan dan seorang warga Pakistan yang menjadi dalang sindiket manakala 18 lagi merupakan pekerja asing.
 
"Kesemua mereka yang ditahan berumur lingkungan 20 hingga 46 tahun," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak hari ini.
 
Beliau berkata tangkapan pertama dilakukan sepasukan anggota polis membabitkan tiga lelaki warga India dalam sebuah kereta tanpa dokumen pengenalan diri pada 1.30 pagi di Sitiawan.
 
"Hasil pemeriksaan dalam kereta suspek, polis merampas sebuah kotak yang mengandungi 38 pasport India, lapan pasport Pakistan dan 14 pasport Myanmar yang mana masing-masing disyaki mengandungi permit kerja pekerja asing palsu.
 
"Polis turut menemui 24 salinan fotostat pasport dan gambar bersaiz pasport," katanya.
 
Maszely berkata hasil soal siasat, seorang daripada suspek mengaku menjalankan kegiatan itu selain membekalkan pekerja asing kepada syarikat di sekitar Manjung.
 
Susulan itu, beliau berkata polis menahan 15 lelaki warga India dipercayai pendatang tanpa izin serta merampas sebuah komputer riba dan tujuh unit pendrive dalam serbuan kedua di dua premis di Sitiawan pada kira-kira 2.30 pagi. 
 
Dalam serbuan berikutnya, dua lagi ditahan disyaki dalang sindiket itu, di sebuah kedai dipercayai tempat mencetak permit palsu pada 4.45 pagi, katanya.
 
"Polis percaya suspek warga tempatan itu merupakan bekas tentera yang pernah lari semasa bertugas di Sabah. Kami sedang mengesahkan perkara itu dengan pihak Kementerian Pertahanan," katanya.
 
"Pemeriksaan lanjut dalam kedai terbabit, polis merampas barang untuk mencetak antaranya dua buah komputer riba yang mengandungi sampel permit dan pelbagai jenis sijil yang telah diimbas, sebuah mesin cetak, tiga pasport, 46 keping salinan fotostat pasport warganegara asing, 10 keping gambar bersaiz pasport dan lima keping kertas sijil kosong," katanya.
 
Maszely berkata, modus operandi sindiket yang bertindak sebagai ejen dipercayai membekalkan pekerja asing kepada syarikat di sekitar Sitiawan dan Manjung dengan menggunakan pendatang tanpa izin.
 
"Sindiket ini menggunakan permit pekerja asing palsu dengan memperdaya majikan di syarikat terbabit bahawa pekerja asing yang dibekalkan mempunyai permit kerja yang sah. 
 
"Mereka juga mengenakan bayaran RM4,000 hingga RM5,000 kepada syarikat yang menggaji pekerja berkenaan iaitu sama seperti ejen yang sah. 
 
"Mereka turut menyediakan tempat penginapan dan pengangkutan untuk pekerja dengan mengenakan bayaran bulanan kepada pekerja. Sindiket ini juga akan menerima komisen daripada gaji bulanan pekerja sepanjang pekerja ini bekerja dengan syarikat tersebut," katanya.
 
Beliau berkata, sindiket terbabit turut menyediakan sijil kemahiran palsu untuk pekerja warga asing bagi meyakinkan pihak syarikat bahawa pekerja itu mempunyai kemahiran dalam bidang tertentu, khususnya pembinaan.
 
"Kita juga percaya yang pekerja asing tersebut tidak tahu bahawa mereka turut ditipu kononnya mempunyai permit yang sah untuk bekerja," kata Maszely yang menggangap penahanan itu adalah yang terbesar pada tahun ini.
 
Beliau berkata, dua suspek yang disyaki dalang sindiket itu ditahan reman sehingga Khamis ini manakala 18 lagi dalam tahanan reman Jabatan Imigresen sehingga 16 Mac depan.
 
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara mandatori setahun atau maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan.
 
Maszely meminta syarikat atau individu yang menggaji pekerja melalui sindiket itu tampil membuat laporan polis.
 
"Selain itu, pihak polis turut menasihati orang awam supaya berhati-hati sebelum menggaji pekerja asing agar tidak tertipu dengan sindiket yang membekalkan pekerja asing menggunakan permit kerja palsu," katanya. - Bernama

Perompak mati ditembak, rompakan di Cheras


Kes tembak
KUALA LUMPUR - Seorang anggota kumpulan perompak bersenjatakan parang mati ditembak pengawal keselamatan dalam rompakan di sebuah premis pengurup wang di sebuah pasaraya di Maluri, Cheras di sini hari ini. 
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata dalam insiden kira-kira 11 pagi itu, kumpulan empat suspek yang memakai topi keledar 'bercermin penuh' itu terlebih dahulu melanggar premis berkenaan dengan kereta dinaiki mereka secara berundur beberapa kali.
  
Ini mengakibatkan struktur premis itu, terletak di luar pasaraya tersebut pecah.
  
Menurut Zainuddin, seorang daripada suspek menggertak seorang pekerja di situ dengan parang supaya menyerahkan wang.
  
"Namun, seorang pengawal keselamatan yang bertugas di premis lain yang kebetulan berada di situ, bertindak melepaskan tiga das tembakan, satu daripadanya terkena dada suspek menyebabkan dia mati di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di lokasi itu.
  
Mayat dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat.
  
Menurut Zainuddin, tiga suspek lain bagaimanapun sempat melarikan sejumlah wang, dua daripada mereka dengan motosikal dan seorang lagi berlari meninggalkan tempat kejadian.
  
Usaha memburu mereka sedang dilakukan. Kesemua anggota kumpulan itu berusia dalam lingkungan 30an.
  
Beliau berkata, siasatan awal mendapati si mati mempunyai rekod jenayah curi kenderaan, dan kereta yang digunakan dalam rompakan itu dilaporkan hilang di Jinjang tahun lepas.
  
Turut ditemui di lokasi kejadian ialah dua bilah parang.

Zainuddin berkata, polis percaya kumpulan sama telah merompak kedai pengurup wang itu tahun lepas berdasarkan modus operandi mereka.
     
Dalam perkembangan lain, Ketua Angkatan Muda Keadilan Nik Nazmi Nik Ahmad direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan di ibu negara Sabtu lepas.
  
Zainuddin, yang mengesahkan penahanan itu, berkata polis akan memanggil beberapa individu lain untuk diambil keterangan dalam tempoh terdekat.
  
Semalam, Nik Nazmi ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada kira-kira 10 pagi.  - Bernama

Padah membungkus dadah, dipenjara 12 bulan


KUALA LUMPUR - Padah membungkus 44 paket dadah, seorang pengawal keselamatan dan rakannya dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
 
penjara
Majistret Saifulakmal Said menjatuhkan hukuman itu selepas Zamri Mohd Hashim, 48, dan rakannya Mohd Faez Azreen Shah Mazelan, 26, mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki dadah seberat 1.88 gram itu di alamat No 102 Blok D
16, Seksyen 2, Wangsa Maju di sini pada 14 September 2014. 
 
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya.
 
Mengikut fakta kes, ketika polis menyerbu tempat kejadian, Zamry dan Mohd Faez berada di dalam sebuah bilik sedang membungkus dadah ke dalam paket-paket lutsinar.
 
Polis kemudian merampas 44 paket plastik itu yang disyaki dadah jenis heroin.
 
Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan dua tahun tempoh pengawasan bagi setiap seorang tertuduh selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan memasukkan dadah jenis morfin ke dalam badan mereka di pejabat Siasatan Narkotik Kuala Lumpur, pukul 1.35 pagi pada 14 September lepas. Mereka didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000 dan
diwajibkan pengawasan di bawah Seksyen 38B akta yang sama tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.
 
Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman ke atas Zamry dan Mohd Faez yang tidak diwakili peguam itu berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 13 September lepas. 
 
Ketika rayuan, Zamry yang mempunyai lebih tiga rekod jenayah lampau sejak 1985 memohon supaya hukuman terhadapnya diringankan atas alasan dia menanggung seorang anak yang masih bersekolah manakala isterinya telah meninggal dunia.
 
Mohd Faez juga memohon hukuman ringan atas alasan ibunya menderita sakit buah pinggang dan dia perlu menanggung keluarga di kampung.
 
Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak memohon hukuman setimpal kerana kes melibatkan dadah kini semakin menjadi-jadi. 
 
Sebelum menjatuhkan hukuman, Saifulakmal memberi amaran kepada kedua-dua tertuduh supaya tidak lagi terlibat dengan kegiatan dadah atau jenayah lain. - Bernama

10 warga Myanmar ditahan di Bukit Kayu Hitam

Imigresen Malaysia

ALOR SETAR - Sepuluh warga Myanmar ditahan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Kedah ketika cuba keluar secara haram dari negara ini, hari ini.
 
Pengarah Imigresen Kedah Mohamad Yusri Hashim berkata, kesemua warga asing itu ditahan di kawasan hutan Black Forest, Bukit Kayu Hitam pada 10.45 pagi tadi.
 
"Mereka ditahan ketika cuba keluar dari negara ini melalui pagar keselamatan sempadan yang telah dipotong dalam cubaan meloloskan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.
 
Menurutnya, mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tidak memiliki pas atau permit sah untuk berada di Malaysia.
 
Mereka kini ditahan di lokap Jabatan Imigresen Negeri di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini untuk siasatan sebelum dihantar ke Depot Imigresen Belantik, Sik, katanya. - Bernama

Lelaki Muslim ditembak


Lelaki Muslim ditembak
Al-Jumaili (kanan) ditembak mati oleh sekumpulan lelaki di Dallas.
TEXAS - AMERIKA SYARIKAT. Seorang lagi penduduk Muslim ditembak mati di Amerika Syarikat ketika mangsa sedang mengambil gambar salji bersama keluarganya di Dallas.

Menurut laporan Press TV, mangsa dikenali sebagai Ahmed al-Jumaili, 36, berasal dari Iraq.

Al-Jumaili yang baharu sebulan menetap di AS ditembak pada Khamis.

Insiden itu berlaku genap sebulan selepas pembunuhan tiga pelajar Muslim di Chapel Hill di North Carolina.

Jurucakap Jabatan Polis Dallas, Monica Cordova berkata, al-Jumaili mati semasa dalam perjalanan ke hospital.

Menurutnya, siasatan dijalankan untuk menentukan sama ada kebencian menjadi motif pembunuhan tersebut.

Sementara itu, Majlis Hubungan Amerika-Islam (Cair) menggesa pihak berkuasa menyiasat pembunuhan tersebut sebagai jenayah kebencian.

"Polis perlu telus dalam menyiasat kes ini, " katanya. - Press TV

Wanita ditikam ketika telefon suami


Wanita ditikam ketika telefon suami
Prabha Arun Kumar
SYDNEY - AUSTRALIA. Seorang isteri ditikam hingga maut ketika sedang berhubung dengan suaminya melalui telefon, kelmarin.

Menurut laporan AFP, Prabha Arun Kumar, 41, ditikam ketika sedang melalui sebuah jalan pintas di Parramatta Park pada jam 9.30 malam.

"Dia tikam saya, sayangku," kata Prabha kepada suaminya, Arun Kumar.

Mangsa disahkan meninggal dunia di hospital kerana kehilangan banyak darah.

Menurut teman Prabha, mangsa sering bekerja sehingga lewat malam.

"Saya ada beritahu dia supaya jangan melalui taman berkenaan pada waktu malam," kata Sarada, rakan serumah Prabha.

Pihak polis masih menyiasat motif serangan.

Bayi dilahirkan lepas ibu maut kemalangan


Bayi dilahirkan lepas ibu maut kemalangan
Keadaan kenderaan yang dinaiki mereka selepas kemalangan.
NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Seorang bayi berjaya dilahirkan walaupun ibu dan bapanya maut dalam sebuah kemalangan 3 Mac lepas.

Menurut laporan BBC, ibu bapa bayi pra-matang berkenaan, Nachman Galuber dan Raizy Glauber, masing-masing berumur 21 tahun maut selepas teksi yang mereka naiki dirempuh sebuah kereta.

Pemandu dan penumpang kereta yang merempuh teksi berkenaan melarikan diri sejurus kejadian.

Nachman dan Raizy dikatakan dalam perjalanan ke hospital ketika kejadian.

Mangsa rogol terima 200 sebatan


WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Mac 2015


RIYADH - ARAB SAUDI. Seorang wanita Arab Saudi yang menjadi mangsa rogol beramai-ramai dijatuhkan hukuman enam bulan penjara dan 200 sebatan oleh mahkamah, selepas didapati bersalah bercakap kepada media mengenai jenayah yang dilakukan ke atas dirinya.

Pada 2006, wanita terbabit menaiki kenderaan seorang rakan lelakinya sebelum dibawa ke sebuah kawasan terpencil dan kemudian dirogol oleh tujuh lelaki lain.

Ketika kejadian, wanita tersebut berusia 19 tahun.

Sebelum ini, dia dikenakan hukuman 90 sebatan kerana berada di dalam kereta bersama lelaki bukan muhrim.

Undang-undang Arab Saudi menetapkan bahawa wanita yang keluar di tempat awam mesti ditemani oleh saudara lelaki pada setiap masa.

Peguam yang mewakili wanita itu, Abdul Rahman al-Lahem pula dilarang mengendalikan kes tersebut selain lesennya dirampas kerana mendedahkan isi kandungan rayuan Mahkamah Agung kepada media.

Al-Lahem juga telah dipanggil untuk pendengaran tatatertib yang dijadualkan pada akhir bulan ini.

"Kepada sesiapa yang membantah hukuman itu, rayuan boleh dibuat kepada Mahkamah Agung tanpa perlu bercakap kepada media," menurut jurucakap mahkamah.

Difahamkan, kumpulan lelaki yang merogol wanita itu hanya dijatuhkan hukuman penjara lima tahun. - Press TV

'Gadis cantik jadi penjenayah'


'Gadis cantik jadi penjenayah'
CAROLINA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang gadis yang memiliki rupa paras yang cantik dan menawan, kini menjadi terkenal di laman sosial Twitter selepas gambarnya disebar kepada umum apabila ditahan polis kerana mencuri.

Memetik laporan portal MTV.COM, gadis yang berasal dari Amerika Syarikat yang dikenali sebagai Alysa Bathrick, 18, juga pernah ditahan beberapa kali di atas pelbagai kesalahan termasuk menyerang orang.

Alysa atau nama gelarannya ‘cute mugshot girl’ berasal dari wilayah North Carolina sebelum ini dengan bangga memuatnaik gambar wajahnya di dalam lokap di laman Twitternya yang mana gambar itu dikongsi lebih 1,000 kali.

Teruskan hukuman


Teruskan hukuman
Aktivis berkumpul di luar penjara Nusakambang bagi menyokong pelaksanaan hukuman mati.
JAKARTA - INDONESIA. Bekas Presiden Indonesia, Megawati Soekarnoputri meminta Joko Widodo supaya bertegas dalam pelaksanaan hukuman mati ke atas pengedar dadah yang didapati bersalah di republik itu.

Katanya, Jokowi tidak perlu tunduk dengan permintaan dan desakan luar supaya pesalah terbabit diberi pengampunan.

Menurut Kompas.com, Megawati menjelaskan, hukuman mati itu perlu diteruskan kerana penyalahgunaan dadah di Indonesia berada pada tahap kritikal.

"Saya harap Jokowi tidak beri pengampunan kepada banduan yang menunggu pelaksanaan hukuman mati.

"Hukuman mesti diteruskan supaya ia dijadikan iktibar kepada orang lain," katanya ketika berucap pada sambutan Hari Wanita Sedunia di Jakarta, semalam.

Sebelum ini, Jokowi meminta pihak luar supaya tidak mencampuri urusan undang-undang di Indonesia.

Sejak beberapa minggu lalu, Australia melakukan pelbagai cara bagi memastikan dua warganya, Myuran Sukumaran dan Andrew Chan diberi pengampunan termasuk bersedia melakukan pertukaran banduan dengan Jakarta.

Pada Januari lalu, Indonesia melaksanakan hukuman mati ke atas enam banduan, lima daripadanya adalah warga asing.

White House dakwa diceroboh


White House
White House
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. White House dilaporkan mengenakan protokol keselamatan serta-merta sebaik sahaja bunyi tembakan didakwa kedengaran berdekatan dengan bangunan tersebut.

Difahamkan, pada waktu kejadian, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan keluarganya yang berada di dalam White House sedang bersiap untuk berlepas ke Selma, Alabama bagi menghadiri satu majlis.

Sebaik ‘tembakan’ kedengaran, ejen-ejen Perkhidmatan Rahsia mengarahkan prosedur keselamatan diaktifkan, termasuk protokol memindahkan Obama dan keluarganya dari bangunan itu ke lokasi yang dipercayai lebih selamat.

Memetik laporan sebuah portal kelmarin, sebuah van dilaporkan mengalami kebakaran dilihat diluar bangunan White House.

Namun tidak dapat dipastikan sama ada ia mempunyai kaitan dengan bunyi tembakan yang didakwa didengar oleh ejen.

Bagaimanapun, Presiden AS itu dilaporkan pulang semula ke White House pada awal pagi semalam selepas lawatan ke South Carolina.

Kejadian tersebut merupakan insiden terbaru dalam siri pelanggaran peraturan keselamatan White House.

Produk baju mohon maaf diskriminasi wanita


Produk baju mohon maaf diskriminasi wanita
Jersi Salvo Sports
INDONESIA - Sebuah syarikat pakaian memohon maaf selepas arahan membasuh di sebuah produk keluaran syarikat berkenaan dikecam kerana dianggap mendiskriminasikan wanita.
 
Ayat 'Berikan jersi ini kepada wanita, itu kerja mereka' dihentam oleh pelayar di laman sosial media.
 
Menurut Dailystar, syarikat berkenaan, Salvo Sports tidak berminat untuk menghina wanita dan memohon maaf melalui laman sosial Twitter, Sabtu lalu.

Wanita serah RM5.1 juta kepada kekasih alam maya


Wanita serah RM5.1 juta kepada kekasih alam maya
Sarah, yakin hubungannya dengan Olsen akan berjaya. – Foto Metro.uk.
CALIFONIA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang wanita mengaku menghabiskan sehingga AS$1.4 juta (RM5.1 juta) termasuk menggadaikan apartmennya untuk kekasihnya yang hanya dikenali menerusi laman sosial.

Bagaimanapun, wanita itu memberitahu media, dia tidak pernah menyesal untuk berbuat demikian demi lelaki yang dicintainya.

Memetik laporan portal Metro.co.uk, wanita yang hanya menggelar dirinya sebagai Sarah itu berkata, walaupun sudah mengalami perceraian sebanyak dua kali, dia mengakui masih tidak serik untuk menjalin hubungan cinta.

Kata Sarah lagi, meskipun dia tidak pernah bertemu dengan lelaki yang dipanggil Chris Olsen, perkenalan selama 18 bulan dan perbualan berjam-jam menerusi telefon tidak pernah menggoyahkan perasaannya.

Sebaliknya, wanita itu bertambah yakin untuk memindahkan sejumlah besar wang ke akaun lelaki itu setelah didesak berulang kali oleh Olsen.

“Walaupun suara dan loghat percakapannya sering berubah, tapi saya yakin 95 peratus dia benar-benar wujud.

“Dia beritahu saya dia berasal dari Milan dan menjalankan perniagaan di Afrika Selatan,” kata Sarah seperti yang dipetik menerusi laporan portal berkenaan.

Dalam masa yang sama, lelaki tersebut turut mendakwa bekerja di Nigeria dan Benin di Afrika Barat.

Menurut Sarah lagi, Olsen juga memberitahu sering ditangkap dan ditahan polis setiap kali lelaki itu cuba melintasi sempadan AS semata-mata untuk berjumpa dengannya.

“Dia sangat baik dan lemah-lembut. Tidak mungkin dia akan menipu saya.

“Saya percaya dia (Olsen) menganggap saya sebagai isterinya,” katanya lagi.

Sarah yang yakin dengan kejayaan hubungannya kini bergantung kepada seorang pengacara televisyen eksklusif, Dr Phil untuk membantu menyatukan mereka berdua.

Bumbung runtuh ketika berparti


Bumbung runtuh ketika berparti
Sedutan video bumbung runtuh.
CALIFORNIA - AMERIKA SYARIKAT. Lebih sembilan pelajar cedera selepas bumbung sebuah rumah runtuh ketika sebuah pesta sedang berlangsung, semalam.

Menurut Dailymail, sebahagian hadirin merupakan pelajar politeknik Universiti California dan dihadiri lebih 1,000 orang.

Berdasarkan sebuah video dan gambar yang dimuatnaik, bumbung tersebut runtuh selepas gagal menampung berat lebih 30 individu yang berada di atas bumbung berkenaan.

Lima terbunuh serangan kelab malam di Mali



KELAB malam dimana berlakunya kejadian lima termasuk dua warga Eropah dan seorang anggota polis Mali terbunuh dalam serangan dipercayai dilakukan kumpulan Islam Bamako, di tengah ibu negara Bamako, malam tadi. - Foto EPA
BAMAKO: Lima termasuk dua warga Eropah dan seorang anggota polis Mali terbunuh dalam serangan dipercayai dilakukan kumpulan Islam Bamako di sebuah kelab malam di tengah ibu negara Bamako, malam tadi.
Ia adalah serangan pertama mensasarkan warga Barat di bandar raya berkenaan oleh kumpulan berkenaan sejak 2012.
Sekurang-kurangnya seorang lelaki bersenjata yang bertopeng memasuki kelab malam berkenaan yang popular kepada rakyat asing di Mali kira-kira jam 1 pagi waktu tempatan.

Penyerang kemudian terus meledak tembakan menggunakan senjata api automatik serta melempar bom tangan, demikian menurut beberapa saksi.
Jurucakap kumpulan jihad Al-Murabitoun yang diketuai militan Algeria, Mokhtar Belmokhtar, mengaku bertanggungjawab atas serangan.
Kenyataan kumpulan itu disebarkan menerusi rakaman suara yang disiarkan oleh agensi berita Mauritania , Al-Akbar.
"Kami mengakui bertanggungjawab dalam operasi terbaharu di Bamako yang dianggotai oleh pejuang berani Al-Murabitoun kepada warga Barat yang mencari dan menghina Nabi Muhammad," demikian rakaman suara yang disiarkan itu. - AFP

Banduan merusuh bunuh dua polis


Mazar-i-Shari: Banduan yang merusuh di utara Afghanistan membunuh dua anggota polis dan membakar seorang lagi selepas menahan mereka sebagai tebusan, semalam, sebelum mereka cuba melarikan diri.
Pegawai berkata, 20 orang cedera dalam kejadian itu.
Banduan berkenaan menyerang polis yang menjalankan pemeriksaan mencari pisau, telefon bimbit dan barangan lain di penjara di Shibirghan, ibu negeri wilayah Jawzjan, kata ketua polis tempatan, Faqir Mohammad Jawzjani.
“Mereka mulanya menahan tiga polis sebagai tebusan dan kemudian membunuh dan mencincang mayat dua daripada mereka.
“Banduan itu kemudian membakar anggota ketiga hidup-hidup. Bagaimanapun, mangsa berjaya diselamatkan dan dibawa ke hospital dengan 75 peratus anggota tubuhnya melecur. Keadaannya amat tenat,” kata Faqir.
Seorang banduan juga terbunuh dan 15 cedera selepas mereka cuba melarikan diri.
Ketua majlis wilayah Jawzan mengesahkan kejadian itu dan berkata, pihaknya turut campur tangan untuk menamatkan krisis berkenaan. - Agensi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/35592#sthash.97qQ6Uqg.dpuf

Rakam video pornografi dekat piramid Giza

WANITA yang didakwa pelakon porno.
Kaherah: Kerajaan Mesir melancarkan siasatan mengenai rakaman pornografi yang dilakukan berhampiran piramid Giza membabitkan pelancong asing.
“Terdapat adegan lucah di kawasan piramid dirakam pelancong asing wanita,” kata Menteri Antikuiti Mesir Mamdouh al-Damaty.
Menurutnya, isu itu diserahkan kepada pendakwa raya.
Rakaman berdurasi 10 minit itu dimuat naik ke Internet tahun lalu, lapor akhbar tempatan Al Masry Al Youm.
Bagaimanapun, ia hanya mendapat perhatian apabila akhbar itu menyiarkan laporan mengenainya dengan gambar dipetik daripada video itu dengan imej payudara wanita dikaburi.
Menurut akhbar itu, klip itu memaparkan adegan bogel dan seks pelancong berbahasa Russia berhampiran piramid berusia 4,500 tahun itu.
Wanita dipercayai bintang porno dan menjadi pelakon utama dalam rakaman itu juga dilihat merungut beberapa kali mengenai piramid didakwanya tidak siap sambil berkata, dia tidak akan datang lagi ke kawasan itu untuk penggambaran selanjutnya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 5:28 AM

Kereta terjunam dalam longkang



ANGGOTA bomba memeriksa keadaan kereta yang dipandu oleh mangsa yang terjunam ke dalam longkang sedalam 20 meter di Jalan Persiaran Senawang 1, Taman Matahari Heights, Seremban semalam.


SEREMBAN – Seorang lelaki menemui ajal selepas kereta yang dipandunya terjunam ke dalam longkang sedalam 20 meter di Jalan Persiaran Senawang 1 dekat Taman Matahari Heights di sini malam kelmarin.
Mayat K. Kumaran, 38, dari Rumah Rakyat Panchor dekat sini ditemui oleh pasukan bomba pada pukul 8.15 pagi semalam berdekatan keretanya jenis Proton Saga FL.
Dalam kejadian pada pukul 10.45 malam itu, rakan si mati, Abdul Samad Mydin Gani, 39, yang duduk di kerusi penumpang hadapan terselamat apabila berjaya keluar menyelamatkan diri selepas kenderaan mereka dimasuki air.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta yang dinaiki dua rakan karib dari Senawang ke Taman Tasik Jaya itu terbabas sebelum terjunam ke dalam longkang besar yang terletak di kiri jalan.
“Kereta itu kemudian dibawa arus deras sebelum berhenti akibat tersangkut kira-kira 200 meter dari lokasi kemalangan. Penumpang dapat menyelamatkan diri dan naik ke tebing manakala pemandu tidak dijumpai.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0309&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz3TslUToZH 
Hakcipta terpelihara 

Gudang bekalan banjir terbakar



Suasana kebakaran sebuah pusat penyimpanan bekalan barangan keperluan mangsa pascabanjir milik MKN di Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa semalam.


KOTA BHARU – Sebuah pusat penyimpanan bekalan barangan keperluan mangsa pascabanjir milik Majlis Keselamatan Negara (MKN) musnah dalam satu kebakaran di Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 1.30 petang itu, bekalan yang musnah melibatkan lebih 300 tan beras, khemah serta pelbagai barang keperluan lain yang akan diagihkan kepada 87,000 mangsa banjir di negeri ini.
Bagaimanapun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
Setiausaha MKN Kelantan, Azhar Mohd. Yusuf (gambar kecil) berkata, beras serta barangan keperluan yang musnah tersebut disumbangkan oleh kerajaan Thailand serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan ia akan diagihkan kepada penerima bersama wang ihsan sebanyak RM500.
“Pihak kami amat kesal kerana tidak sempat mengagihkan semua barangan itu kepada penerima.
“Kerja-kerja pengagihan barangan bersama wang ihsan ini bermula 31 Januari lalu dan dijangka berakhir hujung bulan ini. Setakat ini, kita telah agihkan kepada 19,000 penerima di sekitar Jeli, Pasir Puteh, Bachok, Kuala Krai, Tumpat dan Gua Musang,” katanya.
Menurut Azhar, pihaknya mengesyaki api bermula dari tempat penyimpanan khemah.
“Ketika ini, keadaan cuaca amat panas, jadi tidak mustahil boleh menyebabkan barang-barang mudah terbakar,” ujarnya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Husin Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.15 petang dan lapan jentera serta 60 anggota tiba di lokasi kejadian lapan minit kemudian.
“Apa dapat dikawal dalam tempoh 30 minit dan kami juga berjaya mengawal api daripada merebak ke dua buah bangunan berhampiran iaitu Asrama Klinik Cure & Care 1Malaysia Agensi Anti Dadah Kebangsaan Kelantan serta Pusat Aktiviti Warga Emas,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0309&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz3TslAntuJ 
Hakcipta terpelihara 

Lari tinggal mayat rakan



ANGGOTA polis memeriksa kerata Proton Wira dinaiki dua lelaki warga Thailand yang terbabas ketika melarikan diri menyebabkan salah seorang daripada mereka maut di Kilometer 20, Jalan Raya Timur-Barat, Gerik semalam.


GERIK – Akibat panik selepas terserempak anggota polis, dua lelaki warga Thailand yang disyaki pengedar dadah terbabit dalam kemalangan di Kilometer 20, Jalan Raya Timur - Barat di sini ketika melarikan diri sebelum salah seorangnya maut semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3.45 pagi itu, sebuah kereta jenis Proton Wira dinaiki suspek bertembung dengan sebuah kereta peronda polis di Kilometer 11 jalan raya itu sebelum membuat pusingan U dan memecutkan kenderaannya.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Baharum berkata, apabila tiba di satu selekoh tajam, kereta itu gagal dikawal sebelum terbabas ke kiri jalan dan terbalik beberapa kali di dalam semak.
“Kemalangan itu mengakibatkan pemandunya yang berusia 20-an tercampak keluar dan mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat berlumuran darah itu ditemui atas rumput kira-kira semeter dari kereta.
“Dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik yang mengekori kereta suspek kemudian menemui kenderaan itu dalam keadaan terbalik dengan keempat-empat tayar ke atas,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0309&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3Tsl2T5VF 
Hakcipta terpelihara 

Pemuda maut kereta putus dua

Oleh MUSTAPA LAKAWA


Keadaan kereta dinaiki Mokhtar yang terputus dua selepas melanggar sebatang pokok di Jalan Pintas berhampiran Kampung Kopungit, Kota Kinabalu semalam.


KOTA KINABALU – Seorang pemuda maut dalam keadaan mengerikan apabila kereta yang dinaiki terputus dua setelah merempuh sebatang pokok dalam kejadian di Jalan Pintas berhampiran Kampung Kopungit di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5.25 pagi itu, mangsa, Mokhtar Mustari, 20, yang duduk di kerusi penumpang hadapan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.
Pemandu kereta tersebut, Clauson Oliver Dee, 28, pula dilaporkan cedera parah manakala seorang lagi penumpang, Shazny Tony, 25, mengalami luka pada kaki.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, kejadian dikatakan berlaku ketika kereta jenis Toyota Silika itu dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu menuju Kepayan.
“Ketika melakui Jalan Pintas, kereta itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar sebatang pokok,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, rempuhan itu menyebabkan mangsa yang duduk di kerusi penumpang hadapan tersepit sebelum maut di tempat kajadian.
Katanya, pemandu kereta pula terpelanting keluar dari kenderaan manakala seorang penumpang belakang hanya mengalami kecederaan ringan.
“Mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat dua rakannya turut dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan lanjur,” jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0309&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3TskpbhVi 
Hakcipta terpelihara 

UPP rampas 100 kilogram daun ketum


ROSLI KARIM (tiga dari kiri) menunjukkan daun ketum yang dirampas
ROSLI KARIM (tiga dari kiri) menunjukkan daun ketum yang dirampas UPP di Rantau Panjang, Kelantan, kelmarin. – UTUSAN/NURUL AKMAR AIDA SUHAIMI
RANTAU PANJANG 8 Mac – Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) berjaya mematahkan cubaan menyeludup 100 kilogram daun ketum yang bernilai RM10,000 di Lalang Pepuyu di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, sebuah kereta jenis Proton Gen.2 yang dipandu lelaki berusia 30-an merempuh sekatan jalan yang dilakukan oleh pasukan keselamatan tersebut setelah diarahkan berhenti.
Komander UPP Kelantan, Rosli Karim berkata, bagaimanapun kenderaan yang dipandu suspek terbabas di Kampung Kubang Itik ketika dikejar oleh anggota pasukan tersebut.
“Suspek berjaya melarikan diri dan hasil pemeriksaan yang dilakukan kita menemui 500 bungkusan kecil di dalam 10 plastik hitam ini dipercayai dapat menghasilkan 250 liter air daun ketum.
“Rampasan dilakukan apabila pihak kami mengesan sebuah kenderaan yang mencurigakan melalui sekatan jalan raya yang dibuat oleh UPP,” katanya kepada pemberita di Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) di sini hari ini.
Rosli berkata, kereta yang dipandu suspek yang dipercayai rakyat tempatan akan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.
Katanya, bekalan daun ketum tersebut di bawa dari Kedah dan Perlis untuk dibekalkan kepada penagih di negeri ini.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau keduanya sekali.
“Rampasan ini adalah yang terbesar sejak tahun ini,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/upp-rampas-100-kilogram-daun-ketum-1.67343#sthash.7DscDjph.dpuf

Warga Bangladesh dicari bantu siasatan kes kelar


PUTRAJAYA 8 Mac – Polis kini giat mencari seorang lelaki warga Bangladesh bagi membantu siasatan berhubung pembunuhan seorang wa­nita India di rumahnya di Jalan Putra Perdana 5F, Taman Putra Perdana, Puchong dekat sini Khamis lalu.
Mohd. Yusoff Awang
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Mohd. Yusoff Awang berkata, lelaki berkenaan dipercayai teman lelaki mangsa berdasarkan keterangan yang diambil daripada tujuh individu dalam kalangan ahli keluarga, jiran-jiran dan rakan sekerja wanita tersebut.
Beliau berkata, setakat ini polis masih belum membuat sebarang tangkapan berhubung kes ber­kenaan dan senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa juga tidak ditemui.
“Motif pembunuhan mungkin disebabkan cemburu dan bukan samun kerana beberapa barangan berharga mangsa masih ada bersamanya ketika ditemui,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sabtu lalu, Utusan Malaysia me­laporkan D. Komethy, 31, yang merupakan janda anak empat ditemui mati di atas tilam dengan memakai baju blaus bercorak petak bunga dan berseluar paras lutut di dalam rumah sewa yang baharu didudukinya selama dua hari.
Ketika ditemui pada pukul 9 malam itu, mayat mangsa berada dalam keadaan terlentang manakala pemeriksaan pada badannya menemui tiga kesan luka akibat dikelar pada bahagian depan hingga belakang leher, telinga kanan dan pipi kirinya.
Sehubungan itu, Mohd. Yusoff meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di talian 03-8777 4222 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/warga-bangladesh-dicari-bantu-siasatan-kes-kelar-1.67345#sthash.UrvTPaIU.dpuf