Search This Blog

Sunday, March 8, 2015

Duit gaji jadi abu


Georgetown: “Semua barang termasuk wang gaji yang baru diterima kelmarin musnah dalam kebakaran,” kata Ghasim, 30, yang terselamat dalam kebakaran memusnahkan 20 bilik dijadikan asrama pekerja warga asing di Jalan Kampung Batak, Relau, di sini, semalam.
Menurutnya, ketika kejadian jam 10 pagi itu, dia bersama 50 lagi penghuni asrama terbabit yang terdiri warga Bangladesh sedang tidur.
“Kebanyakan daripada kami tidur selepas pulang bekerja malam dan langsung tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang berharga termasuk gaji yang baru dapat kelmarin.
“Api marak dengan cepat dan menyambar bilik diperbuat daripada kayu dan beratapkan zink itu,” katanya ditemui di lokasi kejadian.
Menurutnya, cuaca panas ditambah dengan faktor angin turut membuatkan api marak dengan cepat, namun dia bersyukur kerana semua penghuni asrama terbabit terselamat.
“Keadaan ketika itu kelam-kabut dan kami cuba memadam api menggunakan air, namun gagal kerana ia marak dan menyambar bilik dengan cepat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Bayan Baru Pegawai Bomba Kanan II Razman Abdul Halim berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.40 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba Bayan Baru bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pihaknya tiba di lokasi kejadian tujuh minit selepas itu dan api dikawal dalam tempoh lima minit.
“Setakat ini, kami masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian masih belum diketahui,” katanya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/35453#sthash.Q0EgAqG7.dpuf

Cabul ketika gunting


Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Muhaamad Hafis Nawawi

am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tindakan seorang tukang gunting rambut berusia lewat 30-an mencabul seorang pelanggan wanita di premisnya di Jinjang, di sini, mengundang padah apabila dia dibelasah suami mangsanya itu, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 malam itu, suri rumah berusia 22 tahun terbabit pergi ke kedai gunting rambut berkenaan bersama ibunya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad (gambar) berkata, ketika menggunting rambut, suspek lelaki itu dilapor meraba bahagian dada mangsa.
“Pada mulanya, mangsa sangkakan tukang gunting rambut itu mahu mengurut badannya. Sebaik menyedari dia dicabul, mangsa memarahi suspek.
“Suspek kemudian berhenti mencabul mangsa sebelum suri rumah itu beredar selepas selesai menggunting rambut,” katanya.
Zainuddin berkata, perbuatan keji tukang gunting rambut itu tidak disedari orang lain yang berada di premis berkenaan termasuk ibu mangsa kerana badan suri rumah itu ditutup dengan kain.
“Sebaik pulang ke rumah, mangsa menceritakan kejadian menimpanya itu kepada suaminya berusia lewat 20-an.
“Suami mangsa yang berang dengan tindakan keji suspek kembali ke kedai gunting rambut itu sebelum memukul tukang gunting berkenaan,” katanya.
Menurutnya, suami mangsa hanya berhenti memukul suspek selepas ditenangkan isterinya itu.
Katanya, pasangan suami isteri itu kemudian tampil ke Balai Polis Jinjang, di sini, sebelum membuat laporan mengenai kejadian itu.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK) kerana mencabul dan pihak berkuasa sedang mengesan tukang gunting rambut itu.
“Kita yakin suspek akan diberkas dalam masa terdekat,” katanya menasihatkan golongan wanita supaya lebih berhati-hati supaya mengelakkan mereka turut menjadi mangsa.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/35447#sthash.yir2797O.dpuf

Kena bedil di Golok

Kota Bharu: Perbalahan peribadi menyebabkan seorang warga Malaysia cedera selepas ditembak dalam kejadian di sebuah pusat hiburan di Jalan Chaoreanket, dekat Sungai Golok, Selatan Thailand, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 1.35 pagi itu, mangsa yang berusia 46 tahun dan berasal dari Kampung Atas Banggol, Jalan PCB, di sini, mengalami kecederaan di tangan kanan.
Sumber polis Thailand berkata, mangsa dipercayai ditembak akibat perbalahan peribadi dan dikejarkan ke Hospital Sungai Golok untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, keadaan mangsa dilaporkan stabil dan sudah dihantar untuk mendapatkan rawatan susulan di sebuah hospital di Malaysia.
“Hasil maklumat awal dipercayai mangsa ke pusat hiburan itu bersama beberapa rakan lain.
“Bagaimanapun, berlaku pergaduhan sebelum mangsa ditembak sehingga tercedera di tangan kanan,” katanya.
Ketua Polis Sungai Golok Kolonel Kongart Suwankham dalam satu kenyataan mengesahkan mengenai kejadian itu.
Beliau berkata, polis Thailand akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.
Sementara itu, sumber Konsulat Jeneral Malaysia di Songkla menasihatkan rakyat Malaysia mengelakkan diri daripada mengunjungi pusat hiburan di negara jiran.
“Mereka perlu merujuk kepada nasihat perjalanan dikeluarkan Wisma Putra dari semasa ke semasa untuk mengelakkan kejadian buruk,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2015 @ 5:17 AM


MANGSA cedera ditembak di tangan kanan dirawat di Hospital Sungai Golok.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/35456#sthash.3cp2PiZ4.dpuf

Pakai burka pun jadi


Allahabad: Mungkin tidak semua lelaki di India buas, namun kejadian terbaru membabitkan mangsa yang memakai burka menjadikan tanggapan itu sukar untuk diketepikan.
Media semalam melaporkan, seorang wanita berusia 20 tahun menjadi mangsa serangan seksual empat lelaki sebelum ditinggalkan di pinggir bandar Jhusi.
Sumber polis berkata, wanita itu anak seorang doktor.
“Mangsa ditemui pengsan di tepi jalan dan masih memakai burka.
“Dia mengalami pendarahan teruk dan dibawa ke Hospital Dufferin untuk rawatan,” katanya.
Sumber berkata, mangsa sebelum itu keluar dari rumahnya di Pratapgarh pada tengah hari, tetapi tidak pulang setelah hari semakin lewat.
Mangsa menceritakan pengalaman pahitnya itu kepada polis sejurus selepas tersedar daripada pengsan.
Katanya, dia dibawa ke tempat terpencil dan dirogol berkali-kali.
“Bagaimanapun, polis masih perlu menjalankan siasatan rapi kerana mangsa belum stabil serta kerap mengubah kenyataannya.
“Pada awalnya, dia mendakwa diculik beberapa lelaki menaiki kenderaan SUV ketika menuju ke kolej sebelum dibawa ke tempat tersembunyi dan diperkosa.
“Bagaimanapun, mangsa mengubah kenyataannya dengan mengatakan pada hari kejadian dia sedang dalam perjalanan untuk berjumpa bapanya di Allahabad selepas bertengkar dengan ibunya.
“Dia dipaksa turun dari bas oleh beberapa rakan dan kekasihnya lalu dibawa ke sebuah tempat dan dirogol,” katanya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/35251#sthash.1fS5lDgL.dpuf

Polly si ibu setan


Agensi
Essex: Ayesha Ali baru berusia lapan tahun ketika dia menyiapkan senarai perangainya - yang baik dan buruk - di dalam biliknya.
Pada bahagian baik, Ayesha antara lain mencatatkan kebiasaannya meletakkan sesuatu di tempat yang sesuai, menghabiskan makanan dan tidak liat untuk mandi.
Namun di bahagian perangai buruk, senarainya lebih panjang.
Misalnya, sering berbohong, berpura-pura tidak mendengar arahan, acuh tak acuh dan kasar.
Pada bahagian akhir senarai itu Ayesha menulis azamnya untuk “berusaha sebaik mungkin menjadi orang yang lebih baik” selain “tidak akan melukai perasaan orang lain.”
“Saya benci dihukum dan perlu memastikan saya berubah,” tulisnya.
Namun itu tidak memadai untuk ibunya, Polly Chowdhury, 35, dan kekasih wanita itu mengubah sikap terhadap Ayesha.
Akhirnya Ayesha mati di tangan Polly dan pasangan sejenisnya, Kiki Muddar, 43.
Media semalam melaporkan, Polly dan Kiki disabitkan kesalahan mendera serta membunuh Ayesha di rumah mereka pada Ogos 2013.
Pemeriksaan perubatan mendapati Ayesha mati akibat cedera parah di kepala kerana dipukul dengan objek keras.
Jurucakap polis berkata, Polly dan Kiki boleh dianggap sebagai pasangan yang pelik.
Kiki pula dipercayai mempunyai masalah psikologi kerana sering menghantar mesej di laman Facebook untuk mempengaruhi Polly supaya membenci anaknya sendiri.
Dalam perbicaraan, Polly didedahkan pernah menghantar mesej: “Anda tiada hak untuk menyayangi atau menyukai anak setan itu” kepada Polly.
Kiki juga sering meyakinkan Polly bahawa Ayesha adalah anak syaitan dan perlu dibunuh.
Penyiasat polis, Andy Nimmo memberitahu mahkamah, kedua-dua tertuduh memandang mangsa dengan penuh perasaan benci.
Ketika ditemui, mayat kanak-kanak malang itu ditemui dengan lebih 50 kesan kecederaan pada badannya.
Sepanjang perbicaraan, Polly enggan memberi sebarang bukti mempertahankan dirinya.
Surat Ayesha ditemui penyiasat di biliknya.
Hakim akan menetapkan hukuman ke atas Polly dan Kiki pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/35257#sthash.O3KBfIun.dpuf

Pembunuh albino dihukum mati

Arusha, Tanzania: Sebuah mahkamah semalam menjatuhi hukuman mati ke atas empat tertuduh kerana bertanggungjawab membunuh seorang wanita berpenyakit albino bagi mendapatkan anggota tubuhnya sebagai bahan ritual sihir.
Hukuman itu ditetapkan selepas Presiden Tanzania, Jakaya Kikwete mengecam gelombang pembunuhan individu menghidap albino sebagai perkembangan “menjijikkan dan amat memalukan negara.”
Seorang daripada pesalah itu ialah Charles Nassoro - suami kepada seorang wanita albino yang dibunuh.
Sumber mahkamah di Mwanza berkata, kedua-dua kaki dan tangan kanan isteri Nassoro dipotong dengan kapak serta parang selepas diserang ketika makan malam di kampungnya.
Hakim Mahkamah Tinggi Mwanza, Joaquine Demello berkata, pendakwa berjaya mempunyai kes itu melangkaui keraguan munasabah sehingga dia tidak mempunyai pilihan kecuali menyabitkan kesalahan tertuduh.
“Keputusan ini diambil dengan mengambil kira peningkatan amalan membunuh penghidap albino di Tanzania,” katanya.
Menurut pakar, serangan ke atas penghidap albino menyebabkan kematian sekurang-kurangnya 75 orang sejak 2000.
Anggota badan mereka pula dijual lebih RM2200 setiap satu, manakala seluruh tubuh boleh mencecah harga sehingga RM276,500.
Awal minggu ini, Kikwete mengadakan pertemuan dengan pejuang hak asasi penghidap albino dan berjanji mengambil tindakan tegas bagi menghentikan pembunuhan berkenaan. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2015 @ 5:06 AM


WANITA Tanzania membawa anak masing-masing yang menghidap albino di Dar es Salaam, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/35400#sthash.8se4yOiP.dpuf

‘Roh saya tak tenang’


Agensi: Seorang daripada banduan kini berada di detik terakhir hidupnya sebelum ditembak mati, mengingatkan rohnya bergentayangan jika hukuman itu dijalankan tanpa proses sepatutnya.
Masagus Zainal Abidin memberitahu, dia melakukan proses rayuan dan perundangan seperti apa yang dibenarkan undang-undang.
“Ketika ini saya belum tahu keputusan semakan semula kes yang dikemukakan.
“Untuk tidak tertanya-tanya, hakim yang mendengar permohonan saya perlu memberikan penjelasan,” katanya.
Kandungan surat itu didedahkan peguam Masagus, Ade Yuliawan.
Media semalam melaporkan, Masagus menulis surat kepada Peguam Negara Indonesia, Muhammad Prasetyo untuk menyatakan kekesalannya terhadap hukuman mati yang dijalankan.
Masagus disabitkan kesalahan memiliki 58.7 kilogram ganja pada 2001 dan dihukum penjara 15 tahun selepas dibicarakan di Palembang.
Masagus membawa kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Palembang, hakim mengubah keputusan mengarahkan dia dihukum mati.
Masagus antara 10 banduan pelbagai negara yangmenghitung detik terakhir sebelum diletakkan di depan skuad penembak di Penjara Nusakambangan, Jawa Tengah.
Dalam surat berkenaan, Masagus menulis: “Apabila Peguam Negara dan semua yang terbabit dalam pelaksanaan hukuman mati terhadap diri saya tetap meneruskan proses ini, roh saya tidak tenang, bergentayangan untuk menuntut balas, termasuk ke atas isteri, anak dan keturunan anda. Ini janji dari lubuk hati saya yang paling dalam.”
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/35401#sthash.YwfyAhg5.dpuf

Kerana dadah

Millvale, Pennsylvania: Seorang bayi berusia sembilan bulan mati kebuluran selepas ibunya terbunuh akibat mengambil dadah berlebihan di rumah mereka.

Pihak berkuasa semalam berkata, kejadian berlaku di sebuah apartmen di Pittsburgh.
Jurucakap polis Allegheny, James Morton berkata, bayi malang itu terbiar sendirian selepas ibunya mati.
Mayat pasangan anak-beranak itu ditemui adik wanita terbabit pada awal pagi selepas mengesyaki sesuatu kerana dia gagal menghubungi mereka dalam tempoh agak lama.
Kata Morton, wanita itu dikenali sebagai Sara Kessler, 22.
“Polis mengesyaki Sara mungkin mati satu atau dua minggu sebelum ditemui saudaranya.
“Mayat sara ditemui di atas katil, manakala anak lelakinya, Casey ditemui kaku di ruang tamu,” katanya.
Polis kemudian menolak kemungkinan berlaku perbuatan jenayah atau khianat.
Kata Morton, suasana sangat pilu di sekita kawasan apartmen berkenaan.
“Nampaknya bayi itu cuba mencari makanan sendiri, tetapi tiada apa yang boleh dimakannya,” katanya.
November lalu, ibu Sara meninggal dunia akibat sakit biasa di apartmen berkenaan.
Menjelang bedah siasat hari ini, Morton berkata, polis mengesyaki Sara ialah penagih dadah.
“Dia mengambil bahan larangan itu dan mati,” katanya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/35402#sthash.3Q1diegT.dpuf

Warkah terakhir seorang kekasih

Madiun: Seorang daripada pesalah dadah yang menunggu hukuman mati dijalankan ke atasnya sempat menulis surat kepada kekasihnya - seorang pelajar sekolah menengah di Madiun.
Berikut antara kandungan surat ditulis lelaki warga Nigeria, Raheem Agbaje Salami kepada Angela Intan bertarikh 2 Mac lalu:
“Perkara terakhir yang paling utama mahu aku katakan ialah mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal pada kekasih hatiku yang sangat dicintai: Angela Intan yang selama ini begitu setia mendampingi dalam suka dan duka.
“Aku mendoakan kamu berjaya menduduki peperiksaan yang akan diadakan tahun ini dan lulus dengan baik.
“Meskipun aku sudah tiada, kamu harus kuat menghadapi cabaran.
“Terima kasih atas segalanya. Kebersamaan kita yang tercipta dengan baik adalah anugerah Tuhan sehingga aku boleh mengenal dan mencintai kamu walau singkat.
“Aku gembira kamu dapat menerimaku apa adanya.”
Raheem berkenalan dengan Angela ketika pelajar terbabit menyertai rombongan ahli gereja Katolik ke penjara. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2015 @ 5:16 AM


ANGELA diiringi polis ketika mahu bertemu Raheem untuk kali terakhir beberapa hari lalu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/35454#sthash.rAOs94pN.dpuf

Pelakon wanita ditangkap khalwat kali kedua


KUALA LUMPUR – Seorang pelakon wanita yang sinonim dengan filem seram ditangkap khalwat kali kedua dengan lelaki yang sama dekat sebuah rumah di Subang Mewah, Subang Jaya, awal pagi semalam.
Pelakon berusia 34 tahun yang juga janda beranak tiga itu ditangkap khalwat bersama teman lelakinya oleh sepasukan anggota Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kira-kira pukul 4 pagi.
Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim dalam satu kenyataan berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat awam mengenai kehadiran pasangan bukan muhrim itu di rumah berkenaan.
Pada Disember lalu, pasangan tersebut ditangkap khalwat di sebuah kediaman dekat Ukay Perdana, Ampang, Selangor.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0308&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3TkNmfSYY 
Hakcipta terpelihara 

Geng sondol kenderaan tumpas



Laman twitter rasmi Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar


KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menum­paskan sindiket samun kenderaan yang menggunakan taktik langgar belakang selepas menahan 26 ahli sindiket itu dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang dan Perak kelmarin.
Serbuan dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur dengan kerjasama Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) serta JSJ Bukit Aman.
Dalam serbuan itu pihak polis turut mengesan bengkel haram di satu lokasi di Taiping, Perak yang disyaki menjadi lokasi untuk proses meleraikan dan mengambil komponen-komponen penting kenderaan terbabit.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar kecil) dalam laman Twitternya mengesahkan perkara tersebut dan turut mengucapkan penghargaan kepada pasukan yang berjaya membanteras kumpulan penjenayah terlibat.
“Syabas Stafoc, JSJ Kuala Lumpur & JSJ Bukit Aman @PDRMsia berjaya tangkap 26 org ahli geng langgar belakang dan samun. Bengkel haram mereka di Taiping juga di bongkar,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0308&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz3TkNREzwJ 
Hakcipta terpelihara 

Ah long paksa peminjam melacur bayar hutang





KUALA LUMPUR – Peminjam wang tidak berlesen ataupun ah long sanggup melakukan apa sahaja termasuk menjadikan mangsa sebagai pelacur untuk mendapatkan balik wang mereka.

Mangsa yang tidak mempunyai wang untuk membayar balik pinjaman diminta melakukan khidmat seks di rumah pelacuran sebagai gantian untuk membayar balik hutang mereka.

Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKP) Samsudin Mohamad Fauzi berkata, sepanjang tahun lepas, PKP menerima tiga aduan berbeza daripada wanita berumur awal 30 tahun, yang ditawarkan kaedah pembayaran tersebut.

“Mangsa yang ketakutan tanpa berfikir panjang bersetuju menjual kehormatan mereka sebagai tukaran untuk membayar hutang kepada ah long.

“Mereka memberitahu PKP menerima panggilan daripada sebuah rumah pelacuran tidak sampai 15 minit selepas bersetuju dengan tawaran ah long,” katanya.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0308&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3TkNKkCKt
Hakcipta terpelihara 

Zakia dibebaskan selepas lapan bulan diculik



Musa (kanan) bersama Zakia pada sidang akhbar pengumuman pembebasan anggota polis marin tersebut selepas lapan bulan diculik kumpulan bersenjata dari Sulu, Filipina di Sandakan semalam.


SANDAKAN – Anggota pasukan polis marin, Lans Koperal Zakia Aleip, 27, yang diculik sekumpulan lapan lelaki bersenjata ketika melakukan rondaan di sebuah resort di Pulau Mabul, Semporna dekat sini pada 12 Julai 2014 dibebaskan semalam.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, proses untuk membebaskan Zakia bermula pada 6 Mac lalu, apabila sebuah pasukan khas berlepas ke Sulu.
Katanya, pasukan itu kemudian berjaya membawa keluar anggota polis terbabit dari sebuah lokasi di Indanan, Sulu sebelum dibawa ke Sandakan dengan menaiki sebuah bot.
“Pasukan ini berjaya membawa Zakia dari lokasi penahanannya dan selamat tiba di Sandakan pada pukul 7.30 pagi,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai dakwaan pembebasan tersebut melibatkan sebarang pembayaran wang tebusan.
Terdahulu, pengumuman rasmi mengenai pembebasan Zakia dilakukan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.
Musa berkata, beliau telah menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memaklumkan mengenai perkembangan itu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0308&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3TkN7mSst 
Hakcipta terpelihara 

Pencuri satu bilion alamat e-mel pengguna didakwa





WASHINGTON – Dua warganegara Vietnam dan seorang rakyat Kanada didakwa terlibat dalam jenayah siber mencuri lebih satu bilion alamat e-mel, kata Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (AS) kelmarin.

Alamat e-mel yang dicuri itu kemudian digunakan bagi menghantar tawaran jualan produk pengisian komputer.

Menurut dokumen mahkamah yang tidak didedahkan nama syarikat yang menjadi mangsa jenayah berkenaan, Jabatan Keadilan menyifatkan kes tersebut sebagai salah satu kecurian siber terbesar berjaya dibongkar dalam sejarah AS.

Tertuduh, Viet Quoc Nguyen, 28, didakwa kerana menggodam sekurang-kurangnya lapan syarikat penyedia perkhidmatan e-mel.

Nguyen dan rakannya, Giang Hoang Vu, 25, itu juga dituduh menggunakan alamat e-mel berkenaan untuk menghantar e-mel kempen jualan.

Sementara rakyat Kanada, David-Manuel Santos Da Silva, 33, didakwa terbabit dalam konspirasi penggubahan wang haram dalam urus niaga melibatkan Nguyen dan Vu yang menerima jutaan dolar daripada komisen jualan. – Reuters



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0308&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3TkMfi2e1
Hakcipta terpelihara 

Korban selsema babi di India cecah 1,289


NEW DELHI 8 Mac - India mencatat 50 lagi kematian akibat wabak selsema babi (H1N1) semalam sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 1,289 sejak ia merebak awal tahun ini, dengan jumlah kes yang disahkan mencecah 24,000, lapor kerajaan India kelmarin.
Kementerian Kesihatan Kesatuan berkata, sementara jumlah bilangan orang yang telah meninggal dunia mencecah 1,289 dan mereka yang terjejas oleh wabak itu merentasi beberapa buah negeri berjumlah 23,922 sejak 5 Mac tahun ini.
Kementerian telah berkata pada hari Jumaat, bahawa jumlah kematian di seluruh negara dari penyakit ini adalah 1,239, manakala pada 4 Mac, jumlah mereka yang dijangkiti penyakit ini telah mencapai 23,153.
Walaupun bilangan orang yang dijangkiti oleh wabak ini menunjukkan trend menaik di Gujarat dengan 5,236 orang, jumlah kematian setakat hari Jumaat mencapai 311 orang di beberapa negeri di bahagian barat India itu. - Agensi
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/korban-selsema-babi-di-india-cecah-1-289-1.66957#sthash.361Fu9tB.dpuf

47 terkorban di Negeria, 3 letupan berlaku


MAIDUGURI 8 Mac. - Sebanyak tiga kejadian pengeboman berasingan berlaku di Maiduguri, di timur laut Nigeria semalam, sekali gus menyebabkan sekurang-kurangnya 47 terkorban, manakala 50 lagi cedera, kata beberapa saksi kepada AFP.
Beberapa saksi dan pegawai tempatan berkata, serangan pertama dilakukan seorang pengebom nekad wanita dan meragut 18 nyawa di pasar ikan Baga, pada pukul 11.20 pagi waktu tempatan.
Kemudian disusuli letupan kedua kira-kira sejam selepas itu di Pasar Monday yang mengorbankan 15 orang, demikian menurut Pengerusi Kesatuan Nelayan di Negeri Borno, Abubakar Gamandi yang turut disokong beberapa saksi lain dan seorang pekerja kesihatan.
Pesuruhjaya Keadilan Negeri Borno, Kaka Shehu yang mengesahkan kedua-dua letupan itu menambah, serangan ketiga pula menggegarkan Stesen Bas Borno Express yang sibuk, sejurus selepas pukul 1 tengah hari waktu tempatan. - AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/47-terkorban-di-negeria-3-letupan-berlaku-1.66958#sthash.pBa6xO9a.dpuf

Bekas anggota polis, Wan Muhaimin dicari


LIMBANG 7 Mac - Polis Daerah Limbang sedang mengesan bekas anggota, Wan Muhaimin Wan Mohd. Yusoff yang dikeluarkan waran tangkap di Mahkamah Majistret Limbang.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Bukhori Saffai berkata, waran tangkap tersebut di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, alamat penama adalah di No 99, Taman Bunga Matahari, 32400 Ayer Tawar Perak.
“Penama pernah berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang dan ditamatkan perkhidmatan atas tindakan disiplin kerana didapati bersalah atas kes Mahkamah Syariah.
“Kerjasama orang ramai diperlukan untuk menyalurkan maklumat ke balai berdekatan atau boleh menghubungi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Limbang di talian 085-211466/211691 atau 019-2711032,” katanya. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/bekas-anggota-polis-wan-muhaimin-dicari-1.66480#sthash.cTVlDKCZ.dpuf

Geng langgar, samun kenderaan tumpas


KUALA LUMPUR 7 Mac - Selepas beberapa bulan aktif melakukan jenayah samun kenderaan dengan menggunakan taktik langgar belakang, akhirnya kumpulan penjenayah itu ditum­paskan polis dalam beberapa serbuan berasingan semalam.
Dalam operasi yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur dengan kerjasama Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) serta JSJ Bukit Aman itu, seramai 26 ahli kumpulan terbabit ditangkap semalam.
Serbuan itu dilakukan beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang dan Perak.
Polis turut mengesan bengkel haram di Taiping, Perak kerana disyaki menjadi lokasi untuk me­leraikan dan mengambil komponen kenderaan terbabit.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam laman Twitter beliau mengesahkan perkara tersebut dan turut mengucapkan penghargaan kepada pasukan yang berjaya membanteras kumpulan penjenayah itu.
“Syabas Stafoc, JSJ Kuala Lumpur dan JSJ Bukit Aman @PDRMsia berjaya tangkap 26 org ahli geng langgar belakang dan samun. Bengkel haram mereka di Taiping juga di­bongkar,” katanya.
Sebelum ini, polis Kuala Lumpur mendedahkan sekurang-kurangnya 40 kes samun menggunakan modus operandi langgar belakang dilaporkan sejak Jun tahun lalu.
Antara kereta yang menjadi sasaran kumpulan ini adalah Toyota Hilux, Toyota Camry dan Honda CRV.
Kejadian itu kerap berlaku di sekitar Brickfields, Cheras dan Sentul serta susur keluar lebuh raya sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/geng-langgar-samun-kenderaan-tumpas-1.66848#sthash.M7agAGRy.dpuf

Suspek rogol dibunuh, 3 pegawai digantung tugas


Suspek kes rogol (tengah), dibogelkan dan diheret sebelum dipukul
Suspek kes rogol (tengah), dibogelkan dan diheret sebelum dipukul sehingga mati dalam kejadian di Dimapur di negeri Nagaland, timur laut India, kelmarin. - AFP
GUWAHATI 7 Mac – Kerajaan negeri Nagaland di timur laut India, bertindak menggantung tiga pegawainya dari tugas semalam berikutan kejadian seorang suspek perogol diheret keluar dari sebuah penjara dan dipukul sehingga mati oleh ratusan penduduk.
Mereka yang digantung tugas ialah seorang hakim majistret daerah Dimapur, superitendan polis dan warden penjara, kata Ketua Menterinya, T. R. Zeliang.
Tindakan itu dilakukan apabila sekumpulan penduduk membelasah sehingga mati suspek kes rogol berkenaan selepas dia dibogelkan dan diheret sejauh enam kilometer.
Polis juga melancarkan ope­rasi memburu beberapa orang lelaki yang dipercayai mendalangi insiden itu.
Dalam insiden semalam, seorang orang awam turut terkorban, sementara beberapa yang lain cedera apabila polis bertindak melepaskan tembakan ke arah kumpulan demonstrasi berkenaan.
Beberapa buah kedai dan perniagaan juga terpaksa ditutup di Dimapur hari ini dan pasukan tentera telah dikerah melakukan kawalan keselamatan di sekitar bandar tersebut yang kini di bawah perintah berkurung.
Pembunuhan suspek kes rogol itu mencetuskan kebimbangan di seluruh India, berhubung keganasan seksual yang sering terjadi dalam kalangan wanita.
Suspek ditangkap pada 24 Februari lalu kerana disyaki merogol seorang wanita tempatan.
Menteri Dalam Negeri, ­Rajnath Singh telah meminta satu laporan tentang kejadian pecah masuk penjara itu diserahkan kepadanya.
Sementara itu, insiden tersebut turut mencetuskan bantahan dari negeri jiran, Assam yang merupakan tempat asal suspek rogol berkenaan yang dikenali sebagai Farid Khan.
Kumpulan penunjuk pe­rasaan di Assam bertindak membuat satu sekatan jalan raya di kawasan tersebut dan menahan beberapa lori yang membawa barangan serta kenderaan lain dari memasuki Nagaland.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/suspek-rogol-dibunuh-3-pegawai-digantung-tugas-1.66946#sthash.F4cLpNGW.dpuf