Search This Blog

Friday, March 6, 2015

Lelaki tetak tiga beranak direman


IPOH: Seorang lelaki ditahan reman selama lima hari bermula hari ini kerana disyaki terlibat dalam kes menyerang dan menetak tiga beranak dengan parang di rumah mereka di Taman Maju Rapat di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, suspek berumur 35 tahun itu direman bagi membantu siasatan kes kerana mendatangkan kecederaan.

Suspek disyaki bekas teman lelaki mangsa wanita berusia 20 tahun yang kaki kanannya hampir putus akibat ditetak.

Bapa wanita itu berusia 47 tahun turut cedera di bahagian belakang sementara adik lelaki wanita tersebut yang berumur 17 tahun cedera di tangan kiri.

Kejadian serangan itu berlaku pada 4.40 pagi apabila lima suspek dilapor bertindak memecah pintu rumah mangsa sebelum menyerang mangsa.

Susulan kejadian itu, seorang lelaki ditahan di sekitar bandar raya Ipoh semalam. - Bernama

Harrison Ford cedera parah pesawatnya terhempas di LA



PESAWAT kecil kepunyaan pelakon Harrison Ford (gambar kecil) terhempas di Padang Golf Penmar, di Venice, California, hari ini. Jurucakap Jabatan Bomba Los Angeles tidak mengenali pelakon berusia 72 tahun yang terkenal dalam filem 'Indiana Jones' itu berkata, juruterbang pesawat satu enjin tersebut mengalami kecederaan kritikal dalam kemalangan. - Foto REUTERS
LOS ANGELES: Pelakon filem Indiana Jones, Harrison Ford, 72, cedera parah selepas kapal terbang kecil miliknya terhempas di padang golf dekat Los Angeles, awal pagi tadi, lapor laman web selebriti, TMZ dan media tempatan.
Pelakon itu mengalami luka parah di bahagian kepala dan dikejarkan ke hospital berkenaan untuk menerima rawatan.
"Kami boleh mengesahkan sebuah kapal terbang terhempas dan terdapat seorang juruterbang lelaki berusia antara 65-70 tahun.
"Mangsa dibawa ke hospital berdekatan dan dilaporkan stabil," kata jurucakap Jabatan Polis Los Angeles, Nuria Vanegas.
'Laporan itu berlaku pada kira-kira jam 2.25 petang waktu tempatan. Kerosakan mekanikal pesawat adalah punca nahas berkenaan," kata Vanegas.
Sehubungan itu, Jabatan Bomba Los Angeles berkata, juruterbang pesawat itu dilaporkan kritikal di sebuah hospital tetapi enggan mengulas identitinya.
Pegawai Seranta Ford pula tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan ulasan.
Carlos Lugo, 63, berkata, beliau sedang bermain golf di Penmar Golf Course apabila ternampak pesawat kecil itu dipercayai berlepas dari
Lapangan Terbang Santa Monica mengalami kerosakan dan berusaha untuk berpatah balik ke landasan.
"Pesawat itu terbang di celah pokok dan mendarat dekat lubang kelapan di padang golf itu," katanya.
Ford yang terkenal dengan watak dalam filem blockbuster seperti "Star Wars" and Indiana Jones memang seorang penggemar kapal terbang.
Pesawat vintaj dengan dua tempat duduk itu mengalami kerosakan teruk dan remuk di atas padang golf. - Reuters

Wanita parah kereta dipandu rempuh treler

JUMAAT, 6 MAC 2015 @ 4:35 PM

 
REMBAU: Seorang wanita parah apabila kereta yang dipandunya merempuh belakang sebuah treler membawa muatan kepingan plat besi di Kilometer 230.7 Lebuh Raya Utara-Selatan, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira 12.35 tengah hari di lebuh raya arah utara itu, Sharifah Suhaila Syed Othman, 27, tersepit dalam kereta Volkswagen Polo yang remuk.

Mangsa dipercayai patah kedua tangan dan kaki kiri, dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk rawatan lanjut.

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Rembau dan Alor Gajah, turut dikejarkan ke tempat kejadian.


Bagaimanapun, mangsa sudah dikeluarkan oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian.

Kereta api bawa minyak mentah tergelincir dekat Illinois


ASAP dan api marak menjulang dari kereta api membawa minyak mentah milik BNSF Railway tergelincir lalu terbakar di Galena, Illinois, hari ini. - Foto AP
GALENA, Illinois: Kereta api barang yang membawa minyak mentah milik BNSF Railway tergelincir dekat bandar raya Galena, Illinois dan kemudiannya terbakar, kata pihak berkuasa.
Sheriff tempatan, Sarjan Mike Moser berkata, kereta api itu tergelincir pada kira-kira jam 1.20 tengah hari waktu tempatan.
Kebakaran akibat nahas itu tidak memerlukan kerja pemindahan.
Pentadbir bandar raya Galena, Mark Moran berkata, anggota bomba bergerak pantas ke tempat kejadian kira-kira lima kilometer di selatan bandar raya berkenaan.
"Laporan yang diterima ialah lapan gerabak tergelincir dari landasan. Dua daripada gerabak itu masih dalam kedudukan tegak manakala enam lagi terbalik," kata Moran.
Kereta api itu mempunyai 103 gerabak yang berisi minyak mentah dan dua lagi gerabak berisi pasir.
Penolong Ketua Bomba, Bob Conley berkata, anggota bomba hanya boleh sampai ke tempat kejadian menggunakan laluan motosikal.
Sementara itu, jurucakap syarikat BNSF berkata, punca nahas belum dapat dipastikan.
Katanya, pekerja landasan kereta api berada di tempat kejadian dan tenaga kerja tambahan dikerah ke sana bagi mengendalikan nahas berkenaan. - AP
KELIHATAN asap tebal melanda kawasan kejadian keretapi tergelincir lalu terbakar, dekat bandar raya Galena, Illinois hari ini. - Foto AP

Ahli Geng 18 mati ditembak di Shah Alam

UMAAT, 6 MAC 2015 @ 5:27 PM

Oleh Naqiukamil Abdullah


bhnews@bh.com.my

SHAH ALAM: Seorang lelaki warga tempatan yang mempunyai 13 rekod jenayah ditembak mati polis, ketika berbalas tembak di Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, pagi tadi.

Suspek, A Vismanathan, 37, yang juga ahli kongsi gelap Geng 18 mati ditembak pada jam 9 pagi, selepas terlebih dahulu melepaskan tembakan terhadap polis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abu Samah Mat, berkata sepasukan anggota Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor yang sedang membuat rondaan di sekitar kawasan Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil Ladang Emerald, Seksyen 33, terserempak dengan kereta suspek dalam keadaan mencurigakan, sebelum memintanya berhenti.


"Pada jam 8 pagi, polis cuba menagan lelaki ini untuk tujuan pemeriksaan, namun suspek bertindak melarikan diri dan melepaskan tembakan. Berikutan itu, bantuan beberapa pasukan lain turut diminta bagi memintas kereta suspek.

"Setelah kira-kira sejam, suspek berhentikan kereta dan cuba menyorok di dalam sebuah premis menjual besi buruk.

"Ketika ini, suspek sekali lagi melepaskan beberapa das tembakan. Bagi mempertahankan diri, kita terpaksa melepaskan tembakan menyebabkan suspek mati di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati suspek sangat dikehendaki polis kerana terbabit dalam beberapa kes jenayah, termasuk kes bunuh di sekitar negeri ini.

"Polis menemui sepucuk Revolver jenis Smith & Wesson .38 bersama tiga kelongsong peluru dan satu peluru hidup bersama suspek. Kita turut menahan dua lelaki di premis menjual besi buruk ini kerana didapati cuba membantu suspek melepaskan diri. Kita akan siasat kaitan dua orang ini dengan suspek yang mati tadi.

"Selain itu, polis juga akan menyiasat sama ada kereta yang dinaiki suspek adalah kereta curi atau tidak. Apapun, kita yakin kematian suspek ini berjaya menyelesaikan beberapa kes jenayah," katanya.

Diplomat cuba seludup emas AS$1.4 juta ditahan di Bangladesh

JUMAAT, 6 MAC 2015 @ 4:31 PM

 
DHAKA: Kastam Bangladesh hari ini menahan seorang diplomat Korea Utara yang cuba menyeludup masuk emas bernilai AS$1.4 juta ke negara itu, kata pegawai kanan.

"Kami menemui emas dalam bentuk jongkong dan perhiasan dari Setiausaha Pertama Kedutaan Korea Utara di Dhaka, Son Young Nam," kata Ketua Pengarah Jabatan Risikan Kastam, Moinul Khan.

Jumlah berat keseluruhan emas yang dirampas ialah kira-kira 27 kilogram.

Diplomat itu kemudiannya dibebaskan tetapi Bangladesh sedang dalam proses untuk mendakwanya.



Moinul berkata, diplomat terbabit sedang melepasi kawasan laluan hijau dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal selepas tiba dengan pesawat Singapore Airlines dari Singapura.

Pegawai kastam di lapangan terbang itu meminta untuk mengimbas beg yang dibawanya.

"Dia beritahu kepada pegawai berkenaan tiada apa yang perlu diimbas," kata Pengerusi Lembaga Hasil Negara, Najibur Rahman.

Katanya, pihaknya sudah memaklumkan kepada kementerian luar dan suspek dibebaskan hari ini mengikut Piagam Vienna.

"Kami juga sudah mulakan proses untuk memfail kes jenayah terhadapnya," katanya. - Reuters

Ketua Pembangkang Tajik Ditembak Mati Di Istanbul


Diterbitkan: Jumaat, 6 Mac 2015 5:39 PM
Umarali Kuvatov.

ISTANBUL: Ketua Pembangkang Tajik, Umarali Kuvatov dilaporkan ditembak mati oleh seorang individu yang tidak dikenali di sebuah jalan di Istanbul, menurut agensi berita Turki, Dogan pada Jumaat.
Kuvatov yang hidup dalam buangan di Turki dan pernah mengetuai pergerakan pembangkang "Group 24" (Kumpulan 24) yang terbunuh selepas ditembak di kepala pada kira-kira pukul 10.30 malam waktu tempatan pada malam Khamis di daerah Fatih di bandar itu, kata agensi berita berkenaan.
Tambah Dogan, penyerang itu bagaimanapun melarikan diri ketika kejadian.
Polis Istanbul bagaimanapun enggan mengulas mengenai insiden tersebut. 
Pihak berkuasa Turki sedang menjalankan siasatan terhadap kes pembunuhan tokoh politik berusia 47 tahun itu.
Menurut Dogan, ketika kejadian Kuvatov selepas menikmati makan malam di sebuah rumah.
Agensi berita itu melaporkan bahawa orang kuat kepada pemimpin berkenaan iaitu Imomali Rakhmon berkata, Kuvatov sudah pun meninggal dunia sebelum pasukan perubatan tiba di tempay kejadian. Pihak polis sedang membuat pemeriksaan bagi mendapatkan bukti yang boleh dikaitkan dengan pembunuhan itu."
Pergerakan "Kumpulan 24" yang diketuai oleh Kuvatov diisytiharkan sebagai "organisasi ekstemis" dan diharamkan oleh Mahkamah Tinggi Tajikistan pada Oktober tahun laku.
Beliau dikehendaki oleh pihak berkuasa Tajikistan di atas beberapa kes jenayah, termasuk estremisme, jenayah ekonomi dan menahan tebusan. 
Turki menolak permintaan untuk mengektradisi beliau ke Tajikistan.
Kuvatov turut menetap di Rusia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) beberapa tahun lalu sebelum berhijrah ke Turki. - REUTERS

Ibu dalam pantang mati dibunuh

Oleh NUR AISHAH AMIN


Anggota polis mengangkat mayat Rabiatul Adawiah yang ditemui mati di Pangsapuri Mentari Court malam kelmarin.


PETALING JAYA – Seorang wanita yang masih dalam pantang ditemui mati bersebelahan bayi perempuannya yang sedang tidur dalam bilik di rumahnya di tingkat 8 Pangsapuri Mentari Court, Bandar Sunway di sini malam kelmarin.
Mangsa yang dikenali sebagai Rabiatul Adawiah berusia 23 tahun itu ditemui terlentang di atas katil dalam keadaan separuh bogel dengan kedua-dua tangan dan kakinya terikat oleh suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang elektronik di Kelana Jaya kira-kira pukul 8 malam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kasim berkata, kejadian itu disedari suami mangsa yang baru pulang daripada kerja selepas mendapati pintu rumah berkunci daripada dalam.
“Suami mangsa terpaksa memecahkan pintu rumah selepas gagal dibuka dengan kunci. Malah, panggilannya juga tidak dijawab,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini malam kelmarin.
Menurutnya, pemeriksaan pada badan mangsa tidak menemui sebarang kesan kecederaan, namun terdapat tompokan darah yang masih belum dikenal pasti sama ada milik mangsa atau suspek serta sejenis senjata tajam dalam rumah berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0306&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz3TZIlTJIk 
Hakcipta terpelihara 

Geng perompak laut tumpas


Geng perompak laut tumpas
Khon Chiang (tengah) menunjukkan peralatan yang dirampas bersama empat suspek dalam operasi, kelmarin.
JOHOR BAHRU - Pasukan Polis Marin Wilayah Dua berjaya menumpaskan jenayah rentas sempadan membabitkan sindiket mencuri enjin, bot dan peralatan menangkap ikan dalam operasi yang dijalankan di perairan Benut, Pontian, awal pagi kelmarin.

Komandernya, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, hasil maklumat risikan dan perancangan operasi yang dijalankan pasukan khas Polis Marin sekitar jam 3.30 pagi berjaya memberkas empat suspek warga Indonesia.

Menurutnya, hasil penahanan lelaki berusia antara 30 hingga 33 tahun, anggota Polis Marin turut merampas empat unit enjin sangkut, tiga bot dipercayai dicuri dan peralatan lain seperti tiga parang, dua pemotong serta dua botol bom petrol.

“Sebaik sahaja menerima maklumat pergerakan sindiket berkenaan, pasukan khas Polis Marin telah membuat serbuan hendap di laut Selat Melaka dan berjaya mengesan bot suspek yang sedang menunda dua bot nelayan di Perairan Benut.

“Menyedari kehadiran polis, suspek telah meninggalkan bot yang dicuri dan cuba meloloskan diri, tetapi berjaya dipintas dan menahan bot berkenaan selepas 20 minit aksi dikejar,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Khon Chiang berkata, pihaknya percaya terdapat lima lelaki berada dalam bot berkenaan, namun hanya empat berjaya ditahan manakala seorang lagi sempat meloloskan diri dengan terjun ke laut.

Menurutnya, pihaknya juga percaya berjaya menyelesaikan 18 kes kecurian enjin, bot dan peralatan bot nelayan yang berlaku di daerah Pontian sejak awal tahun ini hasil penahanan empat lelaki berkenaan.

“Kita juga sedang menyiasat sama ada bot yang digunakan keempat-empat suspek semasa melakukan jenayah berkenaan merupakan bot curi atau tidak.

“Kesemua suspek direman sehingga 18 Mac depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,  Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,
Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

Dua penternak ikan rugi besar


Dua penternak ikan rugi besar
Lai Soon menunjukkan ikan ternakannya yang mati hingga mengakibatkan dia menanggung kerugian RM300,000
GELANG PATAH - Dua pengusaha ikan sangkar Pendas Laut, di sini, ‘berputih mata’ selepas terpaksa tanggung kerugian kira-kira RM600,000 apabila lebih satu tan metrik ternakan mereka mati dalam kejadian kira-kira jam 3  pagi, kelmarin.

Menurut, Goh Lai Soon, 37, setahun lalu pernah mengalami kerugian ratusan ribu ringgit akibat kejadian sama namun pengusaha tidak berputus asa dengan memulakan kembali ternakan ikan sangkar.

Mangsa yang lebih 10 tahun mengusahakan ternakan ikan sangkar memaklumkan kejadian pertama juga berlaku sehari sebelum menjelang Chap Goh Mei iaitu pada 13 Februari tahun lalu.

“Selepas itu, saya mulakan kembali ternakan ikan sangkar bulan Julai tahun lalu. Sepatutnya kami dapat menuai hasil beberapa minggu lagi namun tidak kesampaian.

“Ia lebih buruk daripada tahun sebelumnya kerana kami tak sempat menyelamatkan ‘ibu ikan’ yang dijadikan baka ternakan,” katanya.

Lai Soon yang ditemui Sinar Harian memaklumkan terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM300,000 mengakui berasa amat sedih dengan insiden berkenaan.

“Saya sempat mengambil sampel air pada hari kejadian. Saya tidak pasti adakah punca kematian ikan serupa seperti insiden tahun lalu memandangkan beberapa hari sebelum ini air kelihatan kemerahan.

“Bagaimanapun ikan tidak mati serta merta, selepas air berubah seperti biasa, ikan ternakan pula mati,” katanya yang turut mengusahakan ternakan ikan sangkar di perairan Kukup, Pontian.

Sementara itu Pengarah Jabatan Perikanan Johor, Munir Mohd Nawi telah dimaklumkan insiden terbabit dan pihaknya masih menjalankan siasatan mengenai punca kejadian dan jumlah kerugian ditanggung pengusaha.

Tukar gambar Masjidilharam jadi kuil


Riyadh: Polis Arab Saudi semalam menangkap seorang lelaki warga India sebelum dia meninggalkan negara itu dengan pesawat atas tuduhan menghina Islam.
Lelaki itu yang namanya tidak didedahkan dikatakan menyiarkan gambar mencemarkan Masjidilharam dalam laman Facebooknya.
Menurut laporan akhbar Okaz, dia menukar gambar masjid paling suci umat Islam itu dengan kuil Hindu.
Akhbar berkenaan memetik sumber polis sebagai berkata, suspek memberitahu pendakwa raya, dia hanya menyalin gambar itu daripada majalah asing.
Lelaki itu ditahan di Lapangan Terbang Jeddah selepas seorang lelaki membuat laporan polis mengenai gambar itu,
Dia didakwa dengan tuduhan menghina Islam dan berdepan dengan hukuman penjara lima tahun atau denda SR3 juta (RM2.6 juta).
“Suspek melakukan kesalahan besar yang memerlukan hukuman berat,” lapor akhbar itu, memetik kenyataan seorang bekas pendakwa, Saad Al Malki. - Agensi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/34741#sthash.Wjc9A1IO.dpuf

Jururawat kaut untung jual seluar dalam polis

Nakhon Ratchasima: Polis Thailand menahan seorang jururawat kerana mencuri seluar dalam ramai kadet polis untuk dijual di Facebook.
Jurucakap polis berkata, sepasukan anggota keselamatan tempatan menyerbu sebuah bilik di Apartmen VS di daerah Muang.
Apabila diperiksa, mereka menemui lebih 300 helai seluar dalam milik kadet polis di premis berkenaan.
“Serbuan dibuat selepas kadet polis yang mengadu sering kehilangan seluar dalam,” katanya.
Ketua penyiasat, Narong Sawek berkata, polis mengesyaki seseorang yang menggunakan nama Aijorn Klubjai di Facebook sebagai dalang kecurian itu.
Kata Narong, Aijorn sering menawarkan seluar dalam terpakai lelaki di rangkaian sosial itu.
“Polis kemudian menyamar dan menghubungi Aijorn kononnya untuk membeli empat pasang seluar dalam dengan harga 500 baht (RM50).
“Selepas kami menerima kiriman daripada Aijorn, polis menjejakinya ke suatu alamat dan melakukan serbuan,” katanya.
Narong berkata, suspek mencuri seluar dalam ketika ia dijemur di kem latihan polis.
“Semua seluar dalam itu diiklankan di Facebook dengan tanda check-in bagi menjelaskan lokasi ia dicuri.
“Tindakannya itu menjadikan harga setiap seluar dalam itu lebih mahal,” katanya.
Ada seorang pembeli sanggup membayar 3,000 baht (RM300) untuk 30 pasang seluar dalam curi itu.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 7:58 AM


ANGGOTA polis memeriksa sebahagian daripada seluar dalam yang ditemui di dalam bilik seorang jururawat, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/34755#sthash.JnIADJic.dpuf

Alat sulit disengat lebah


Hanoi: Beberapa penumpang sebuah bas cedera akibat disengat sekumpulan lebah yang mengamuk selepas mereka kencing di sarang serangga berkenaan.
Kejadian berlaku apabila bas itu berhenti di tepi lebuh raya di wilayah Quang Ngai dekat sini bagi memberi laluan beberapa penumpang membuang air kecil.
Bagaimanapun, sebahagian penumpang lelaki secara tidak sengaja kencing di atas sarang lebah.
Tindakan itu menyebabkan lebah berkenaan mengamuk dan terus menyengat alat sulit mereka dan menyerang penumpang di dalam bas.
Menurut doktor, seramai 22 penumpang diserang lebah berkenaan dan sebahagian mereka terpaksa dirawat di hospital.
Beberapa penumpang mengadu disengat di alat sulit mereka dan penumpang yang lain disengat di muka dan tangan.
Bagaimanapun, semua mangsa dilapor stabil. - Agensi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/34756#sthash.irJ6L4Yf.dpuf

Al-Fatihah dinyanyi diiringi muzik disiasat


Manama: Kementerian pelajaran Bahrain semalam melancarkan siasatan selepas satu rakaman video menunjukkan seorang pelajar menyanyi ayat suci al-Quran dengan diiringi muzik menjadi viral di Internet.
Dalam rakaman itu, seorang pelajar menyanyi Surah al Fatihah, sementara seorang lagi rakannya bermain selo.
Ia sebahagian daripada pertunjukan bakat yang dianjurkan sebuah sekolah swasta.
“Perkara itu sudah dirujuk kepada penyiasat kementerian dan langkah perlu sudahpun diambil,” menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian berkenaan, semalam.
Dalam kenyataannya pula, pihak berkuasa Sekolah Antarabangsa Abdul Rahman Kanoo berkata, mereka memberi kerjasama kepada penyiasat.
“Kami komited mempertahankan kesucian Islam dan negara. Kejadian berlaku ketika festival kreativiti yang kami anjurkan. Wakil sebuah sekolah mengadakan pertunjukan nyanyian, termasuk menyanyikan ayat suci al-Quran walaupun jawatankuasa penganjur menggesa peserta mematuhi peraturan yang sudah ditetapkan,” kata jurucakap sekolah.
Disember lalu, pihak berkuasa Universiti Al-Azhar mengeluarkan fatwa mengharamkan menyanyi ayat suci al-Quran dengan iringan muzik.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas laporan mengenai sebuah syarikat opera Indonesia menyanyikan ayat suci dengan diiringi orkestra.
“Membaca berbeza dengan menyanyi. Menyanyi ayat suci adalah diharamkan. Menambah muzik pada al-Quran menjadikan kitab suci itu sama dengan lagu,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Al-Azhar.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/34988#sthash.95aYxNPP.dpuf

2 remaja Jerman dihukum sebat, penjara di Singapura

Singapura: Dua pemuda warga Jerman dihukum penjara sembilan bulan dan tiga sebatan oleh sebuah mahkamah di sini semalam kerana menyembur cat di dalam sebuah kereta api pada tahun lalu.
Andreas Von Knorre, 22, dan Elton Hinz, 21, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku salah atas tuduhan vandalisme dan menceroboh.
Kedua-dua mereka mengakui tindakan itu satu kesilapan bodoh.
“Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan sembilan bulan dan tiga kali sebatan kepada kedua-dua tertuduh,” kata Hakim Mahkamah Daerah, Liew Thiam Leng.
Mereka dihukum penjara empat bulan kerana menceroboh sebuah depoh kereta api pada November 2014 dan lima bulan penjara serta tiga sebatan kerana merosakkan sebuah gerabak dengan menyembur cat.
Kedua-dua mereka melarikan diri ke Malaysia dan cuba pergi ke Australia selepas kejadian itu, tetapi berjaya ditahan sebelum diekstradisi ke Singapura.
Singapura hab kewangan utama Asia dan negara itu juga terkenal dengan hukuman keras terhadap jenayah.
Undang-undang vandalisme Singapura menjadi tajuk berita utama dunia pada 1994 selepas seorang remaja Amerika Syarikat, Michael Fay dirotan kerana merosakkan kereta dan harta benda awam.
Pada 2010, ekspatriat warga Switzerland, Oliver Fricker dihukum penjara tujuh bulan dan tiga sebatan selepas menyembur cat di dalam sebuah kereta api.
Hukuman rotan di Singapura diwarisi daripada zaman penjajahan British.
Pesalah dipukul dengan rotan panjang dan biasanya meninggalkan kesan parut kekal. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 7:36 AM


VON Knorre (kiri) dan Hinz.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/34995#sthash.wB3OR4lu.dpuf

32 mayat ditemui

Donetsk: Pasukan penyelamat semalam menemui mayat 32 pelombong dalam lombong arang batu Zasyadko di timur Ukraine, sehari selepas letupan berlaku dalam lombong berkenaan.
“Kami menemui 32 mayat pelombong berkenaan awal pagi,” kata jurucakap kementerian kecemasan Republik Rakyat Donetsk, dalam satu kenyataan.
Menurutnya, usaha kini dilakukan untuk membawa mayat berkenaan keluar dan pada masa sama pasukan penyelamat masih berusaha mencari seorang lagi pelombong yang dilapor hilang dalam kejadian itu.
Republik Rakyat Donetsk ditubuhkan kumpulan pemberontak Ukraine yang pro-Russia.
Lombong berkenaan terletak di pinggir bandar Donestk yang dikuasai kumpulan itu, hanya beberapa kilometer dari garisan hadapan medan tempur antara ia dan tentera Ukraine.
Letupan kelmarin yang berlaku ketika 230 berada di dalam lombong itu bagaimanapun bukan disebabkan pertempuran.
Presiden Ukraine Petro Poroshenko mengarahkan hari berkabung seluruh negara dengan bendera dikibar setengah tiang.
Ia juga membatalkan semua acara hiburan.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 7:34 AM


PELOMBONG arang batu Ukraine mengangkat mayat rakan mereka yang terbunuh dalam letupan lombong di Donetsk, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/34993#sthash.hb9XwGTs.dpuf

Duta AS dikelar di Seoul

Seoul: Duta Amerika Syarikat ke Korea Selatan Mark Lippert dikelar di muka dan tangannya di Seoul oleh seorang aktivis bersenjatakan pisau yang menentang latihan tentera kedua-dua negara itu.
Washington mengecam ‘keganasan’ itu yang menyaksikan Lippert mengalami luka dalam pada pipi kanan dan terpaksa dikejarkan ke hospital.
Laporan terbaru menyatakan, keadaannya stabil.
Penyerang yang berpakaian tradisional Korea dan dikenali sebagai Kim Ki-Jong, 55, ditahan serta-merta.
Ketika menyerang Lippert, Kim menjerit slogan menyokong penyatuan semula dua negara Korea sebelum melaungkan bantahan terhadap latihan tentera Amerika Syarikat-Korea Selatan yang bermula Isnin lalu.
Kim pernah dihukum penjara tertunda dua tahun pada 2010 kerana melontar batu ke arah duta Jepun ke Seoul ketika itu.
Duta berusia 42 tahun itu dibawa ke hospital dengan kereta polis ke hospital berhampiran sebelum dipindahkan ke hospital lebih berprestij.
Ketua polis daerah Yoon Myung-Soon berkata, Kim menyerang duta itu dengan pisau sepanjang 25 sentimeter.
Lelaki itu mengetuai kumpulan aktivis yang berjuang menyatukan semula Korea Selatan dengan Utara dan sering menganjurkan tunjuk perasaan menentang tuntutan Jepun terhadap sekumpulan pulau kecil yang dikuasai Korea Selatan.
Ketika dibawa ke hospital kerana kecederaan pada buku lali selepas serangan itu, Kim memberitahu wartawan dia merancang menyerang duta Amerika Syarikat itu sejak 10 hari lalu.
Latihan tahunan tentera bermula Isnin lalu mencetuskan kemarahan Korea Utara yang melepaskan tembakan dua misil.
Kira-kira 30,000 tentera Amerika Syarikat ditempatkan di Korea Selatan dan Washington akan mengambil alih operasi ketenteraan sekiranya konflik dengan Korea Utara meletus.
Kedua-dua negara di semenanjung Korea itu secara teknikalnya masih berperang memandangkan peperangan pada 1950-53 berakhir dengan gencatan senjata tanpa perjanjian damai. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 7:36 AM


LIPPERT (tengah) yang luka di pipi dibawa memasuki kereta polis untuk dihantar ke hospital.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/34997#sthash.NsHVGR2G.dpuf

Tolak tukar tahanan

Jakarta: Indonesia semalam menolak cadangan Australia untuk menukar tahanan dalam usaha Canberra menyelamatkan dua warganya yang dijadual menjalani hukuman mati atas kesalahan menyeludup dadah beberapa hari lagi.
Kementerian Luar Indonesia berkata, tidak wujud asas perundangan untuk negara itu melayan cadangan yang dikemukakan Menteri Luar Australia Julie Bishop.
“Pada asasnya, Indonesia tidak mempunyai peraturan atau rangka perundangan mengenai pertukaran tahanan,” kata jurucakap kementerian Armanatha Nasir.
Menurutnya, cadangan itu dikemukakan kepada pihak berkuasa Indonesia dua hari lalu dan kerajaan sudah memberikan jawapan.
Dua warga Australia, Myuran Sukumaran, 33, dan Andrew Chan, 31, dijangka menjalani hukuman itu bersama-sama 11 pesalah lain, kebanyakannya warga asing, di Nusakambangan.
Julie, pada satu acara di luar bangunan Parlimen di Canberra berkata, dia mengemukakan cadangan menukarkan tahanan itu kepada Menteri Luar Indonesia beberapa hari lalu.
“Saya memberitahunya terdapat tahanan Indonesia di penjara Australia dan sama ada kami boleh menimbang untuk menukar tahanan.
“Saya hanya meminta supaya persediaan untuk melaksanakan hukuman mati ke atas Sukumaran dan Chan ditangguhkan seketika supaya pegawai kedua-dua negara mengkaji cadangan itu,” kata Julie.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Tony Abbot berkata, beliau sekali lagi meminta untuk bercakap dengan Presiden Joko Widodo (Jokowi), semalam.
Bagaimanapun, dalam wawancara dengan stesen televisyen Al Jazeera, Jokowi berkata, pesalah berkenaan akan dihukum mati sedikit masa lagi, tetapi bukan minggu ini.
Jokowi mengambil sikap tegas terhadap penyeludup dadah dan mereka yang dihukum mati dengan menolak rayuan pengampunan.
Hukuman mati di Indonesia dilaksanakan semula pada 2013 selepas lima tahun terhenti dan rakyat dari Brazil, Malawi, Belanda, Nigeria serta Vietnam adalah antara mereka yang menjalani hukuman itu Januari lalu.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 7:39 AM


SEORANG lelaki menunjukkan duit syiling yang dikumpul untuk diserahkan kepada Perdana Menteri Australia Tony Abbot ketika menunjuk perasaan menyokong hukuman mati ke atas pesalah dadah di luar kedutaan Australia di Jakarta, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/35000#sthash.8b13JANg.dpuf

Pasangan bakar bayi hidup-hidup ditangkap


Jakarta: Sepasukan anggota polis Indonesia berjaya menahan sepasang suami isteri yang dipercayai membunuh bayi perempuan mereka dengan membakar mangsa hidup-hidup.
“Kedua-dua suspek berjaya dikesan sebelum ditangkap di sekitar pasar di Jatinegara dekat sini.
“Pasangan suami isteri berusia 46 dan 42 tahun itu ditahan ketika menjual buah di pasar berkenaan,” kata jurucakap polis, Kompol Dasril kelmarin.
Ketika disoal siasat kedua-dua suspek mengaku membunuh bayi mereka dengan kejam.
Kejadian kejam itu terbongkar selepas tiga remaja menemui mayat bayi yang sudah hangus dan busuk di tapak pembuangan sampah di Jatinegara pada Isnin lalu.
Bayi malang itu ditemui berbalut kain selimut yang sebahagian sudah hangus akibat dibakar.
Mangsa dipercayai mati selepas dibakar hidup-hidup oleh kedua-dua ibu bapanya sendiri. - Agensi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/34998#sthash.6lbEen4n.dpuf

Tikam isteri suka berleter


Cirebon: Kerana tidak tahan dileteri, seorang lelaki, Supranadi, 32, menikam isterinya, Sri Meati, 39, sebelum dia menikam dirinya untuk membunuh diri.
Pasangan itu bagaimanapun berjaya diselamatkan selepas mereka dihantar ke hospital berhampiran oleh polis dan jiran.
Ketika disoal polis, Supranadi mengaku menikam isterinya kerana terlalu marah dengan tindakan Sri Meati yang setiap hari memaksa dia mencuci, memasak dan membersihkan rumah.
Kemarahannya semakin memuncak apabila Sri Meati memberitahu jiran sekeliling rumah bahawa dia akan berkahwin satu lagi.
“Saya tidak diperlakukan seperti manusia. Lelaki mana yang tidak marah apabila setiap hari dimarahi dan diherdik.
“Saya memberitahu dia, kalau seperti ini, lebih baik kita sama-sama mati,” katanya.
Supranadi berkata, dia menikam perut dan dada wanita yang menjadi isterinya sejak empat tahun lalu sebelum menikam dirinya tiga kali.
Sementara itu, Sri Meati berkata, dia bertengkar dengan suaminya sebelum kejadian kerana marah apabila Supranadi enggan menjaga anaknya dari suami dulu yang cedera dalam satu kemalangan.
“Saya meminta dia jaga anak saya. Dia enggan. Sebaliknya, lepas makan, dia tidur,” kata wanita itu.
Dalam pada itu, jiran yang mendengar jeritan Sri Meati selepas ditikam, memukul Supranadi dan mengheretnya keluar dari rumah itu sebelum dia diselamatkan polis. - Agensi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/35001#sthash.JNlawImh.dpuf

Pemandu teksi ditipu penumpang patung

London: Hasrat seorang pemandu teksi untuk mendapatkan bayaran tambang £140 (RM779) daripada penumpangnya tidak kesampaian apabila mendapati pelanggan itu sebenarnya patung.
Kejadian itu berlaku apabila pemandu teksi yang dikenali sebagai Stutter mengambil tiga penumpang lelaki di stesen kereta api Brighton pada jam 2 pagi baru-baru ini.
Ketiga-tiga lelaki itu dengan salah seorang daripada mereka dilihat sedang tidur meminta pemandu teksi berkenaan menghantar mereka ke London.
Apabila sampai di London pemandu teksi berkenaan menurunkan penumpang pertama yang memberitahu rakannya akan membayar tambang.
Selepas menurunkan penumpang kedua, lelaki itu pula memberitahu bahawa rakannya yang sedang tidur akan menjelaskan tambang berkenaan.
Lelaki itu kemudiannya memberikan satu alamat dan meminta pemandu teksi berkenaan mengejutkan rakannya apabila sampai ke lokasi.
Sejurus tiba di alamat yang diberi, pemandu teksi itu mengejutkan ‘lelaki’ berkenaan, tetapi terkejut apabila mendapati penumpangnya itu sebenarnya patung.
Pengurus syarikat teksi CityCabs, Andy Cheesman berkata, kejadian itu salah satu peristiwa lucu yang berlaku terhadap pemandu mereka.
“Walaupun pemandu itu diperdaya, tetapi dia tetap menganggapnya sebagai satu perkara yang melucukan.
“Dia juga menjadi bahan ketawa pemandu teksi yang lain apabila pulang semula ke pejabat,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 7:40 AM


GAMBAR hiasan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/35003#sthash.wh4MwK3X.dpuf

Rompak bank senjatakan sudu


Vienna, (Austria): Seorang lelaki boleh dianggap penjenayah paling bodoh apabila cuba merompak sebuah bank di sini kelmarin dengan bersenjatakan sudu.
Lelaki itu yang tidak memakai topeng masuk ke bank berkenaan dan berpura-pura mempunyai pisau sebelum mengarahkan juruwang menyerahkan wang.
Juruwang berkenaan menyedari lelaki itu bersenjatakan sudu dan terus menghubungi polis.
Akhbar The Local melaporkan, lelaki berusia 24 tahun itu masuk ke bank di Weintraubengasse di sini pada jam 4 petang dan terus ke kaunter juruwang.
Lelaki berkenaan dilihat yakin bahawa pekerja bank berkenaan mempercayai sudu yang dibawanya itu pisau.
Juruwang terbabit yang menyedari helah lelaki itu berpura-pura mahu mengambil wang, tetapi sebaliknya menghubungi polis.
Menurut laporan itu lagi, lelaki berkenaan duduk di ruangan menunggu dan masih sabar menanti sehingga polis tiba dan terus menahannya.
Beberapa saksi berkata, tiada siapa yang takut atau mengambil serius ancaman lelaki itu.
Lelaki itu kini ditahan di penjara memberitahu dia melakukan rompakan itu kerana tidak mempunyai wang. - Agensi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/35004#sthash.LD14PH45.dpuf

Pemuda maut ketika hantar ibu ke hospital


dua kereta yang terlibat dalam kemalangan hingga menyebabkan
dua kereta yang terlibat dalam kemalangan hingga menyebabkan pemandu kereta Proton Wira maut dalam kemalangan di Jalan Tun Sardon, Pulau Pinang, semalam.
PULAU PINANG 5 Mac – Niat seorang pemuda untuk membawa ibunya menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Balik Pulau tidak kesampaian apabila dia maut selepas kereta yang dipandunya dirempuh sebuah kendera­an lain yang hilang kawalan tengah hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari di Jalan Tun Sardon, di sini, Khairul Syakirin Jamaludin, 34, meninggal dunia di tempat kejadian selepas tersepit dalam kereta Proton Wira.
Ibunya, Noriah Jirin, 63, yang duduk di bahagian belakang bersama anaknya, Adam Rayyan, 5, cedera parah.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Lai Fah Hin berkata, kemalangan berkenaan berpunca daripada sebuah kereta jenis Proton Exora yang dipandu seorang lelaki dari arah Balik Pulau ke Air Itam yang hilang kawalan ketika mela­lui jalan yang berbukit dan berselekoh menyebabkan dia terbabas lalu merempuh kereta mangsa.
Akibat rempuhan kuat berke­naan katanya, mangsa tersepit dan mengalami pendarahan serius di bahagian kepala.
“Pasukan Bomba dan Penyelamat Paya Terubong mengambil mangsa 15 minit untuk mengeluarkan mangsa.
“Ibu dan anaknya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan manakala mayat Khairul Syakirin dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/pemuda-maut-ketika-hantar-ibu-ke-hospital-1.66431#sthash.rgS5NlVR.dpuf

Maut terkena bilah mesin rumput


Mohd. Eddy Mohd. Ruzaini (kanan) menunjukkan bilah pemotong rumput
Mohd. Eddy Mohd. Ruzaini (kanan) menunjukkan bilah pemotong rumput yang patah terkena batu dan terpelanting ke arah bapa saudaranya, Ali Dulok dalam kejadian di Empangan Bekok, Batu Pahat, Johor, semalam.
BATU PAHAT 5 Mac – Seorang pemotong rumput maut apabila terkena serpihan bilah mesin tersebut yang patah ketika memotong rumput di Empangan Bekok, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, Ali Dulok, 47, disahkan meninggal dunia akibat kece­deraan parah di bahagian usus selepas serpihan bilah mesin itu terpelanting ter­kena bahagian perutnya.
Anak saudara mangsa, Mohd. Eddy Mohd. Ruzaini, 22, memberi­tahu, dia bersama mangsa dan anaknya Muhamad Nurul Ghiat Ali, 31, baru sejam memulakan kerja memotong tersebut di kawasan berkenaan.
Menurutnya, dia dan mangsa berada berdekatan semasa kejadian itu berlaku, manakala sepupunya itu di kawasan lain.
“Ketika itu saya sedang memotong rumput membelakangi mang­sa dalam jarak kira-kira 10 meter sebelum terdengar bunyi bilah pemotong rumput terkena batu.
“Saya segera menoleh dan melihat mangsa sedang tunduk sambil memegang perutnya yang berdarah serta mengerang kesakitan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail, di sini hari
Mohd. Eddy dan sepupunya segera membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Yong Peng, namun dimaklumkan bapa saudaranya itu mengalami pendarahan dalaman yang terlalu banyak.
Sementara itu, Muhamad Nurul Ghiat yang masih terkejut de­ngan kejadian itu tetap reda dengan pemergian bapanya.
“Jenazah akan dibawa pulang ke Kampung Permatang Duku, Benut di Pontian dan akan dikebumikan petang ini,” katanya sebak.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Mat Razali Awang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tentang kejadian tersebut.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/maut-terkena-bilah-mesin-rumput-1.66428#sthash.S4Nkhtti.dpuf

Budak mati terkena renjatan elektrik


06 Mac 2015 2:18 AM


Mohd. Azmar Tahkim Mohd. Asri mati terkena renjatan elektrik dari pelompat (gambar kecil) ketika cuba mengecas bateri motosikal milik abangnya di rumahnya di Taman Puteri, Pokok Sena, Alor Setar, Kedah, semalam. – UTUSAN/ismail kamadin

ALOR SETAR 5 Mac – Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun tidak sempat menghadiri majlis anugerah cemerlang yang akan diadakan di sekolahnya selepas ditemui maut akibat terkena renjatan elektrik di rumahnya di Taman Puteri, Pokok Sena hari ini.
Mangsa, Mohd. Azmar Tahkim Mohd. Asri yang merupakan murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Bukit Tembaga, Pokok Sena ditemui terbaring di bilik tidur rumahnya oleh ibunya, Sarinah Akob, 40-an kira-kira pukul 4.50 petang.
Difahamkan mangsa dipercayai cuba mengecas bateri motosikal milik abang sulungnya yang berusia 18 tahun dengan menggunakan kabel yang disambung pada soket elektrik dan berlaku litar pintas sehingga menyebabkan mangsa terpelanting.

Advertisement
Ibu dan abangnya yang ketika itu sedang tidur di rumah terdengar jeritan lalu mendapatkan mangsa di bilik tidurnya namun mangsa dipercayai telah meninggal dunia.
Seorang guru mangsa yang enggan dikenali berkata, majlis anugerah cemerlang itu akan diadakan pada minggu depan dan mangsa bakal menerima hadiah setelah berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam Bahasa Arab.

Advertisement
“Mohd. Azmar Tahkim juga mendapat nombor tiga ketika peperiksaan akhir tahun ketika dia berada dalam darjah satu dan dia juga cemerlang dalam Bahasa Arab.
“Jika mengikut perancangan minggu depan, pihak sekolah akan mengadakan majils anugerah cemerlang namun nampaknya murid saya ini tidak sempat menghadirinya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini hari ini.
Difahamkan, mangsa yang me­rupakan anak keempat daripada lima beradik akan dikebumikan malam ini di Tanah Perkuburan Kampung Padang Serai, Pokok Sena malam ini.
Dalam pada itu, Timbalan Ke­tua Polis Daerah Kota Setar, Superin­tenden Rohana Omar mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/budak-mati-terkena-renjatan-elektrik-1.66444#sthash.8KCkIXUH.dpuf