IPOH 4 Mac - Seorang wanita tidak menyangka aduan anak sulungnya mengenai pengasuh yang sering memukul dia dan adik perempuannya berakhir dengan tragedi apabila anak bongsu daripada tiga beradik itu meninggal dunia semalam.
Mangsa, Norsaraniya Abdullah, 3, dan abangnya, Muhammad Darven Raj, 6, dijaga pengasuh berusia 26 tahun yang juga rakan baik kepada ibu kanak-kanak terbabit di rumahnya dekat Taman Klebang Jaya di sini.
Difahamkan, dua beradik itu dijaga wanita tersebut sejak tiga bulan lalu ekoran ibu mangsa, Halimah Abdullah, 38, yang bekerja sebagai pembantu jualan di kedai pakaian dekat Taman Klebang Restu sering bekerja di luar daerah.
Menurut Halimah, ketika dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 5.45 petang, dia sedang bekerja di Muar, Johor dan meminta suaminya, Mohamad Hajimeer Dollah, 34, untuk menjenguk anak-anak mereka.
Katanya, rakannya yang dikenali sejak 10 tahun lalu itu memberitahu anak bongsunya meninggal dunia selepas terjatuh dari katil dua tingkat ketika cuba menangkap cicak.
“Kali terakhir saya berjumpa dengan anak-anak saya ialah pada pertengahan bulan lalu. Semasa saya menghubungi Muhammad Darven baru-baru ini, dia ada mengadu mereka dipukul oleh pengasuh.
“Saya terkejut dan tidak menyangka rakan baik sendiri akan memukul anak-anak saya. Walaupun kami jarang bertemu namun setiap bulan saya akan menjenguk mereka dan memberi wang sebanyak RM250 kepada pengasuh sebagai upah,” katanya kepada pemberita di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.
Halimah memberitahu, badan anak sulungnya juga terdapat beberapa kesan kecederaan dipercayai akibat dirotan.
“Kedua-dua beradik ini dipelihara oleh pengasuh manakala seorang lagi anak saya, Araseni, 5, pula dijaga oleh neneknya. Saya tidak sangka perkara ini boleh terjadi kerana saya percayakan wanita itu,” ujarnya.
Sementara itu, Mohamad Hajimeer berkata, dia kesal dengan tindakan pengasuh terbabit yang seakan-akan cuba melarikan diri daripada memberi penjelasan berhubung kejadian yang menimpa anaknya.
“Saya sedih melihat anak saya, mengapa dia diperlakukan seperti itu sedangkan tiga kanak-kanak lain di rumah itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Mereka hanya memberitahu yang anak saya terjatuh dari katil semasa mahu menangkap cicak.
“Saya berharap siasatan dapat dilakukan bagi mengetahui punca kematian anak saya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan berhubung perkara itu sedang dijalankan.
Katanya, maklumat lanjut mengenai perkara itu akan diketahui selepas bedah siasat dijalankan.