Search This Blog

Monday, March 2, 2015

Polis AS tembak mati gelandangan


Polis AS tembak mati gelandangan
Sedutan video yang tersebar di Facebook.
LOS ANGELES - AMERIKA SYARIKAT. Satu rakaman video amatur yang menunjukkan pergaduhan antara seorang lelaki yang dipercayai seorang gelandangan dan lima anggota polis, tersebar di Facebook hari ini.

Dalam video tersebut, kedengaran seorang aggota polis menyuruh lelaki berkenaan membuang senjatanya.

 Lima das tembakan kemudiannya dilepaskan selang beberapa saat.

Menurut BBC, punca sebenar kejadian tidak dapat dipastikan.

Pegawai polis, Andrew Smith memberitahu terdapat perebutan senjata api yang dibawa oleh salah seorang polis berkenaan.

Smith juga menyatakan tiada senjata lain ditemui di tempat kejadian.

'Saya dibelasah anak-anak 30 kali sehari'


 'Saya dibelasah anak-anak 30 kali sehari'
Pauline Bubb, Spencer, 11, Sapphire, 9, dan Jorja, 9.
SOUTHAMPTON - ENGLAND. Kebanyakan ibu bapa tidak sabar tunggu anak mereka pulang dari sekolah, namun Pauline Bubb, 47, akan sembunyi di dalam bilik dan mengunci pintu.

Bubb memberitahu Metro.uk bahawa beliau dipukul sehingga 30 kali sehari oleh Spencer, 11, Sapphire, 9 dan kembarnya, Jorja.

"Paling teruk, Sapphire serang saya sebanyak 30 kali sehari. Kaki saya lebam-lebam," kata Bubb.

Menurutnya, anak lelakinya Spencer lebih ganas dan pernah menikam perutnya dengan gunting ketika anaknya itu baru berusia 4 tahun.

Menurut pakar, Islay Downey, perkara tersebut berlaku kerana Bubb tidak mempunyai keyakinan sebagai ibu.

"Bila ibu dan bapa tidak mempunyai keyakinan, anak-anak akan mendapat kuasa lebih dari sepatutnya. Perbuatan anak-anak perlu dihadkan dan diletakkan sempadan," kata Downey.

"Anak-anak bersikap sedemikian kerana ibu bapa mereka sendiri," tambahnya.

Menurut Bubb pula, beliau berasa tidak konsisten ketika menjalankan tanggungjawab sebagai ibu.

"Saya tidak kisah dan (mula) hilang kuasa sebagai ibu. Anak saya tidak merasa selamat. Saya cuma mahu menjadi seorang ibu yang baik dan seorang kawan (kepada anak-anak)," ujarnya lagi.

Lelaki Kemaruk Batman Jadi 'Bad Man"


Diterbitkan: Ahad, 1 Mac 2015 4:57 PM

BRATISLAVA: Seorang lelaki Slovakia yang terlampau teringin menjadi watak adi wira fantasi Batman, ditangkap kerana disyaki mencabul seorang budak perempuan.
Zoltan Kohari mula memakai kostum seperti watak ciptaan Stan Lee itu kira-kira tiga tahun lalu bagi membantu pihak berkuasa di bandar Dunajska Streda, barat daya Slovakia menentang penjenayah.
Usaha Kohari mencegah aktiviti penjenayah menarik perhatian penduduk setempat dan pujian segera mencurah-curah untuknya.
Seorang jiran Kohari, Lenka Brezikova berkata, lelaki itu menjalani hidup yang sukar dan mencabar suatu ketika dulu tetapi kemudian menunjukkan perubahan yang baik.
“Kami terhutang budi kepada dia kerana menjadi pengawas keselamatan,” katanya.
Namun baru-baru ini Kohari, 29, ditangkap atas tuduhan melakukan serangan seksual ke atas seorang kanak-kanak perempuan.
Dia juga berdepan tuduhan menipu pinjaman.
Jurucakap polis berkata, penganggur itu pernah ditahan pada 2013 dan dihukum penjara empat tahun.
“Tetapi hakim mengarahkan hukuman berkenaan ditangguhkan kerana dia mahu siasatan lanjut dibuat.
“Dia sepatutnya hadir di mahkamah pada Februari lalu tetapi gagal menyebabkan mahkamah mengeluarkan waran tangkap untuknya,” katanya.
Mengenai tuduhan menipu, jurucakap polis berkata, Kohari meminjam wang kira-kira RM 122,730 tetapi ditolak, sebaliknya hanya RM8,400 diluluskan.
“Jumlah yang dipohon itu kemudian diberikan kepada sebuah syarikat yang ditubuhkan menggunakan nama Kohari.
“Dia menafikan ada kaitan dengan syarikat itu,” katanya.

Lapan Pekerja Indonesia Cedera Dalam Kemalangan Bas


Diterbitkan: Ahad, 1 Mac 2015 11:49 PM
Lapan penumpang cedera bila sebuah bas yang membawa 48 pekerja warga Indonesia dari Tebedu ke Miri, hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan di Selepong Berayun, 28 kilometer dari Bandar Sri Aman, hari ini. Bas yang bertolak dari Pos Imigresen Tebedu pada jam 11 pagi itu terbabas di selekoh Selepong, Jalan Sri Aman-Sibu pada pukul 1.15 petang. Pemandu dan seorang penumpang Toyota Hilux mengalami cedera ringan, manakala pemandu bas tidak cedera. -- fotoBERNAMA

KUCHING: Lapan penumpang cedera bila sebuah bas yang membawa 48 pekerja warga Indonesia dari Tebedu ke Miri hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan di Selepong Berayun, 28 kilometer dari bandar Sri Aman pada Ahad.
Bas berkenaan bertolak dari Pos Imigresen Tebedu pada jam 11 pagi Ahad dan kemalangan berlaku di sekeloh Selepong, Jalan Sri Aman-Sibu jam 1.15 petang. 
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman Ranger Moss, bas terbabit dipercayai terbabas apabila cuba mengelak sebuah Toyota Hilux di hadapannya di laluan yang sama yang tiba-tiba hilang kawalan dan terlebih dahulu terbabas.

Bagaimanapun, tiada kemalangan berlaku antara bas dan Toyota Hilux berkenaan, katanya ketika dihubungi Bernama.

“Tujuh penumpang bas warga Indonesia cedera ringan dan seorang lagi yang patah tangannya dikenali sebagai Syaiful Anuar, 30, dihantar ke Hospital Sri Aman untuk menerima rawatan,” katanya.

Beliau berkata pemandu dan seorang penumpang Toyota Hilux hanya cedera ringan, manakala pemandu bas tidak cedera.

Jurugambar Ukraine maut


2 Mac 2015
KIEV - UKRAINE. Seorang jurugambar Ukraine terbunuh dalam satu serangan di timur Ukraine, kelmarin, meskipun terdapat laporan penurunan ketara dalam serangan daripada pemberontak.

Menurut laporan media Sevodnya, Serhiy Nikolayev meninggal dunia selepas terkena bedilan meriam berhampiran Pesky, di barat laut Donetsk.

Menurut Reuters, terdahulu, tentera Ukraine memberitahu pertempuran di timur negara itu berkurang dengan ketara, tetapi sebuah peluru berpandu GRAD didakwa telah menyerang bandar Avdiivka, yang terkenal dengan tumbuhan kok terbesar di Eropah.

Sementara itu, Presiden Petro Poroshenko bakal mengemukakan rang undang-undang ke Parlimen untuk membuat permintaan rasmi bagi mengatur kedudukan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memantau gencatan senjata.

Menerusi panggilan telefon dengan Naib Presiden Amerika Syarikat Joe Biden kelmarin, Poroshenko meminta pemantauan berterusan di seluruh Donetsk dan Mauripol.

Tiga maut kereta terhumban ke sungai



ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Jalan Tenom-Keningau dekat Kampung Sinagang, Sabah, malam tadi. Tiga lelaki maut dalam kejadian itu. - Foto ihsan bomba
KENINGAU: Tiga lelaki maut selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum terhumban ke dalam sungai di Jalan Tenom-Keningau dekat Kampung Sinagang, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat pelbagai kecederaan, selain tersepit pada kenderaan mereka.
Difahamkan, ketika kejadian, pemandu kenderaan itu hilang kawalan sebelum kenderaan itu terbabas dan terjunam ke dalam sungai sedalam kira-kira 12 meter.
Bomba menerima panggilan memaklumkan kejadian itu pada jam 11.42 malam sebelum menghantar sepasukan anggota bersama jentera ke lokasi.
Jurucakap polis, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan.
Mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Keningau untuk bedah siasat.

6 rumah lebih 100 tahun musnah dalam kebakaran

MELAKA: Enam rumah teres dua tingkat dipercayai berusia lebih 100 tahun, musnah dalam kebakaran di Jalan Parameswara di sini hari ini.
Ketua Zon Selatan 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Azman Sulaiman, berkata tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan premis yang diperbuat daripada batu serta kayu itu telah lama dikosongkan.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.56 pagi dan tiba di lokasi kejadian dua minit kemudian dengan tujuh jentera termasuk kenderaan utiliti bomba bersama-sama 32 anggota.
"Ketika bomba tiba, api dalam keadaan marak dan dipercayai bermula dari bahagian tengah sebuah rumah sebelum merebak ke rumah bersebelahan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, api padam sepenuhnya pada 12.02 tengah hari dan memusnahkan lebih 80 peratus rumah teres berkenaan.
"Siasatan awal mendapati rumah itu dipercayai telah beberapa kali diubah suai pemiliknya dan bekalan elektrik serta air di lima premis itu telah ditamatkan," katanya.
"Unit forensik bomba sedang melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kebakaran itu dan anggaran kerugian," katanya.
- BERNAMA

Warden asrama bunuh murid dihukum mati

AHAD, 1 MAC 2015 @ 12:40 PM

 
ALOR SETAR: Seorang warden asrama dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah membunuh seorang murid berusia tujuh tahun di Arau, Perlis, empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Zaki Abd Wahab menjatuhi hukuman itu kepada tertuduh, Hanif Muhammad Ali, 31, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, Hanif yang juga seorang ustaz dituduh membunuh Saiful Syazani Saiful Sopfidee di dalam sebuah bilik warden di sebuah sekolah rendah Islam di Arau pada jam antara 6 petang hingga 12 tengah malam, 31 Mac 2011.

Tertuduh yang masih bujang dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.



Tiga beranak maut motosikal bertembung pacuan 4 roda

AHAD, 1 MAC 2015 @ 12:45 PM

 
KOTA MARUDU: Tiga beranak termasuk kanak-kanak berusia satu setengah tahun terbunuh selepas motosikal mereka bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Kampung Tanah Merah, Jalan Kudat, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, Japri Maun, 27, rentung di tempat kejadian apabila motosikal ditunggangnya terbakar selepas bertembung pacuan empat roda terbabit.

Isterinya, Lili Murni Gilong, 24, dan anak perempuan mereka maut akibat tercampak.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu, Rashid Sulaiman, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 8.20 malam sebelum menghantar tujuh anggota yang tiba di lokasi 30 minit kemudian.


Jurucakap polis, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu namun punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan.

Lelaki maut, isteri dan 3 anak cedera kereta bertembung traktor


Oleh Ravale Savarinathan
TELUK INTAN: Seorang lelaki berusia 33 tahun maut manakala isteri serta tiga anaknya cedera selepas Perodua Kancil dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah traktor di Kilometer 14, Jalan Teluk Intan-Chenderong Balai, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa Dasril Anshuar, maut di tempat kejadian selepas cedera parah dan tersepit di tempat duduk pemandu manakala isteri serta tiga anaknya hanya mengalami kecederaan di beberapa bahagian anggota badan.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata nahas dipercayai berpunca daripada traktor yang membelok masuk ke jalan utama tanpa melihat kenderaan mangsa yang datang di jalan utama.
Katanya, polis terpaksa meminta bantuan bomba untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu sebelum berjaya dikeluarkan beberapa minit selepas itu.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat manakala isteri serta tiga anaknya menerima rawatan di hospital sama. Kes disiasat mengikut seksyen 41(1) APJ 1987," katanya.

Atendan hospital, pelajar sekolah bawa parang ditahan

GEORGETOWN: Polis menahan seorang atendan hospital swasta dan tiga pelajar sekolah disyaki terlibat dalam kegiatan samun selepas menahan sebuah kereta di Jalan Campbell, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid, berkata pada kejadian 11 pagi itu sepasukan anggotanya yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah mengarahkan mereka berhenti kerana didapati berkelakuan mencurigakan.
"Bagaimanapun pemandu kereta Proton Saga itu terus memecut namun mereka gagal meloloskan diri dan dapat diberkas beberapa kilometer dari tempat kejadian," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemui dua parang panjang yang dibalut dengan surat khabar disembunyikan di bawah tempat duduk penumpang dan empat topi keledar bercermin gelap dipercayai digunakan untuk kegiatan samun.
Katanya, semua suspek termasuk pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka ditahan untuk siasatan lanjut.
Dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash berkata polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun yang cuba menyamun sebuah rumah di Lorong Delima, Island Glades di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam kejadian 2.37 pagi itu sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada penduduk setempat dan mengepung suspek.
"Suspek yang panik kemudiannya bertindak menyerang anggota polis. Akibat pergelutan itu seorang anggota kita mengalami kecederaan di bahu sebelah kiri dan retak jari kelingking kanan manakala suspek cedera ringan di telinga kiri," katanya.
Katanya, polis percaya suspek yang tinggal berdekatan kawasan perumahan itu turut terlibat dalam beberapa kes pecah rumah di sekitar Island Glades dan dia ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
- BERNAMA

Isteri anggota sukarelawan polis maut dikelar

GUA MUSANG: Isteri kepada seorang anggota sukarelawan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang maut akibat dikelar di leher oleh penjenayah yang dipercayai cuba menyamun rumahnya di Kampung Batu Papan di sini awal pagi tadi.
Yashmin Fauzi, 26, yang berlumuran darah ditemui terbaring di atas jalan di hadapan rumahnya oleh suaminya, Mohd Azrul Isahak, 30, kira-kira pukul 2.40 pagi.
Beliau kemudian membawa isterinya ke Hospital Gua Musang tetapi meninggal dunia kira-kira 6.40 pagi.
"Mangsa dipercayai sedang tidur apabila rumahnya diceroboh masuk, disyaki oleh beberapa orang sebelum leher mangsa dikelar.
"Mangsa kemudiannya dipercayai diusung keluar dan ditinggalkan di atas jalan di hadapan rumahnya," kata Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Saiful Bahri Abdullah.
Beliau berkata, motif kejadian sedang disiasat walaupun ia disyaki bermotifkan samun.
"Siasatan awal juga mendapati terdapat tompokan darah dalam bilik tidur mangsa dan dipercayai berlaku pembunuhan di situ. Suspek dipercayai mengusung keluar mangsa kerana menganggap mangsa sudah meninggal dunia.
"Kita juga dimaklumkan ketika suami mangsa pulang, mangsa masih bernyawa dan sempat menceritakan kejadian yang menimpanya sebelum dia dikejarkan ke hospital," katanya.
Saiful Bahri berkata, suami mangsa yang baru memulakan tugas pada pukul 1 pagi di IPD itu dilaporkan merasa tidak sedap hati dengan keselamatan isterinya lalu mengambil keputusan untuk pulang ke rumah.
- BERNAMA

Kedai berusia 100 tahun terbakar



DERETAN enam rumah kedai dua tingkat yang berusia 100 tahun musnah dalam kebakaran di Jalan Parameswara, Banda Hilir, Melaka semalam.


MELAKA – Sebuah bangunan kedai dua tingkat yang berusia 100 tahun di Jalan Parameswara di sini musnah sama sekali selepas terbakar dalam kejadian pukul 9.40 pagi semalam.
Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian yang melibatkan deretan enam kedai dengan lima daripadanya sudah tidak lagi beroperasi sejak beberapa minggul lalu itu.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Azman Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.57 pagi sebelum mengejarkan jentera pertama yang tiba dua minit kemudian di tempat kejadian.
“Sebaik tiba, kami lihat api sedang marak, namun bomba bejaya mengawal kebakaran dalam masa 10 minit sejurus jentera pertama tiba di situ.
“Kami percaya api bermula dari bahagian bawah lot kedua rumah kedai berkenaan sebelum merebak ke premis-premis bersebelahan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0302&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3TBAcN4Q7 
Hakcipta terpelihara 

89 GRO Siam, Laos kena cekup



SEBAHAGIAN daripada GRO warga asing yang ditahan ketika serbuan Ops Noda di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seramai 89 wanita yang menjadi pegawai perhubungan pelanggan (GRO) ditahan dalam Ops Noda di empat buah pusat hiburan berasingan sekitar ibu kota awal pagi semalam.
Operasi selama tiga jam bermula pukul 1 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Anti Maksiat Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Kesemua GRO yang ditahan itu adalah warga Thailand dan Laos berumur dalam lingkungan 22 hingga 40 tahun.
Ketua operasi tersebut, Superintendan Razali Abu Samah berkata, terdapat beberapa orang GRO cuba melarikan diri semasa serbuan tetapi gagal kerana kawasan premis telah dikepung polis.
Menurutnya, dua lelaki tempatan berumur 40-an yang merupakan pengurus premis turut ditahan dalam operasi tersebut.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0302&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3TBASOd6W 
Hakcipta terpelihara 

Ustaz digantung sampai mati

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA


Hanif (menutup muka) diiringi anggota polis sewaktu dibawa ke Mahkamah Tinggi Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Seorang ustaz yang juga penyelia asrama di sebuah sekolah agama di Perlis dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam kerana didapati bersalah menyebabkan kematian seorang pelajar, Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, (gambar kecil) empat tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd. Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Hanif Muhammad Ali, 31, selepas pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah dalam kes tersebut pada akhir pembelaan.
Hanif yang hadir ke mahkamah memakai baju-T putih dan berseluar hitam bagaimanapun kelihatan tenang sebaik keputusan itu dibacakan di hadapannya.
Tertuduh didakwa membunuh Saiful Syazani di bilik warden Asrama Putera Sekolah Rendah Agama Al-Furqan, Arau antara pukul 6 petang dan 12 tengah malam 31 Mac 2011.
Pertuduhan terhadap Hanif dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.
Dalam penghakimannya, Mohd. Zaki berkata, hujah pihak pembelaan yang menyatakan Hanif tidak mempunyai niat untuk membunuh adalah bersifat penafian terhadap perbuatan tertuduh semata-mata.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0302&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz3TBAInjHV 
Hakcipta terpelihara 

1,076 kanak-kanak hidap HIV



SEBAHAGIAN daripada 250 peserta yang menyertai Program Kayuhan Amal AIDS di Taman Tasik Cyberjaya, Sepang semalam.


CYBERJAYA – Sebanyak 1,076 kanak-kanak berumur di bawah 13 tahun dikesan dijangkiti virus HIV di negara ini sehingga Disember 2013.
Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan, pada tahun 2013 sahaja sebanyak 50 kanak-kanak dikesan dijangkiti virus tersebut berbanding 52 orang pada 2012 dan 65 orang (2011).
Pengarah Eksekutif Yayasan AIDS Malaysia, Jasmin Jalil (gambar kecil) berkata, angka tersebut mewakili satu peratus daripada jumlah keseluruhan jangkitan virus HIV/AIDS sepanjang tempoh 27 tahun.
“Kanak-kanak itu telah dikesan mendapat virus HIV sejak dilahirkan dan ia disebabkan oleh ibu yang tidak mengambil sebarang ubat semasa mengandung untuk mengelakkan jangkitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Kayuhan Amal AIDS di Taman Tasik Cyberjaya di sini semalam.
Program yang disertai seramai 250 peserta itu berjaya mengumpul dana sebanyak RM5,030 dan diserahkan kepada Yayasan AIDS Malaysia.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0302&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3TBA9kaCf 
Hakcipta terpelihara 

Isteri polis sukarelawan dibunuh



Gambar kenangan Yashmin (duduk dari kanan) bersama suami, Azrul dan anak-anak.


GUA MUSANG – Rasa tidak sedap hati seorang anggota polis sukarelawan ketika bertugas membawa petanda buruk apabila isterinya mati dikelar oleh penjenayah dalam kejadian di Kampung Batu Papan di sini semalam.
Sebelum kejadian pada pukul 2.40 pagi, ibu muda, Yashmin Fauzi (gambar kecil), 26, berada di rumah bersama tiga orang anak lelakinya iaitu Mohd. Kasri, 6, Mohd. Adli, 5, dan Mohd. Adam yang berusia lima bulan kerana suaminya, Konstabel Mohd. Azrul Isahak, 30, keluar bertugas.
Namun tidak sampai sejam bertugas, Mohd. Azrul yang ketika itu berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang berasa tidak sedap hati lalu memohon izin daripada pegawainya untuk pulang menjenguk keluarganya.
Alangkah terkejut Mohd. Azrul ketika menghampiri rumahnya dia menemui isterinya yang hanya ditutupi kain selimut berada di atas jalan dalam keadaan menggelupur menahan sakit akibat leher dikelar.
Tiga anak-anaknya pula ditemui menangis di bilik tidur de­ngan baju masing-masing berlumuran darah daripada kecederaan dialami ibu mereka.
Yashmin dipercayai me­rangkak keluar dari rumah bagi mencari bantuan selepas dirompak dan dicederakan oleh penjenayah yang masuk ke rumahnya melalui pintu dapur.
Jarak antara rumah dan lokasi mangsa ditemui ialah kira-kira 100 meter.
Cerita Mohd. Azrul, dia me­ninggalkan isteri dan anak-anak­nya di rumah kerana bertugas pada pukul 1 pagi hingga 5 pagi.
“Ketika bertugas saya rasa tidak sedap hati lalu mohon pulang. Semasa menghampiri rumah saya terkejut menemui isteri tanpa pakaian berselubung kain selimut dalam keadaan berdarah dan menggelupur di atas jalan,” ceritanya ketika ditemui di Hospital Gua Musang di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0302&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz3TB9yk6PN 
Hakcipta terpelihara 

Tiga Exco Pemuda PBS maut



Anggota bomba menyusun tiga mayat mangsa kemalangan Honda CRV terjunam ke dalam gaung di Kilometer 22, Jalan Keningau-Tenom di Keningau kelmarin.


KENINGAU – Tiga Exco Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) terkorban selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV dinaiki mereka terbabas lalu menjunam ke dalam gaung di bawah jambatan Senagang di Kilometer 22 Jalan Keni­ngau-Tenom kelmarin.
Dalam kejadian pukul 11.40 malam itu, ketiga-tiga mangsa iaitu pemandu kenderaan Wong Wan Siang, 43, bersama dua rakannya, Peter Tan Chee Vui @ Peter Chin, 44, dan Dolsin Merindang, 42, dalam perjalanan pulang ke Kota Kinabalu selepas menghadiri majlis Santai Bersama Rakyat di Kampung Lalagubon Pamilan di Tenom dekat sini.
Peter dan Dolsin ditemui mati tercampak ke tebing sungai di bawah gaung berketinggian kira-kira 10 meter. Mayat Wan Siang pula ditemui tersepit di tempat pemandu dalam kenderaan yang tenggelam di Sungai Senagang.
Ketua Polis Daerah Ke­ningau, Deputi Superintendan Douglas Nye­ging Taong berkata, kemala­ngan dikatakan berlaku selepas Wan Siang hilang kawalan semasa menuruni selekoh berbukit menghampiri jambatan itu.
“Kita syak Honda CRV dipandu laju menyebabkan ia terbabas ke kanan jalan lalu melanggar papan tanda dan penghadang di tepi kanan jambatan sebelum terjunam ke bawah jambatan,” kata beliau.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0302&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3TB9QzFvL 
Hakcipta terpelihara 

IS campak lelaki gay dari atas bangunan



SEORANG lelaki gay kelihatan dicampak dari bumbung sebuah bangunan. - AGENSI


RAQQA, Syria – Kumpulan militan Islamic State (IS) kelmarin mendedahkan satu video terbaharu seorang lelaki gay dihukum mati dengan dicampak dari atas sebuah bangunan di sini.
Dalam kejadian yang dipercayai berlaku di Tel Abiad iaitu sebuah bandar dikuasai IS di Raqqa itu, lelaki tersebut kemudian direjam dengan batu oleh sekumpulan penyokong kumpulan militan berkenaan.
Lelaki yang tidak diketahui identiti itu sebelum kejadian didakwa di mahkamah kendalian IS atas tuduhan seorang homoseksual dan dijatuhi hukuman mati.
Dia juga disabitkan dengan kesalahan di bawah undang-undang liwat.
Terdahulu, seorang lelaki yang menggunakan alat pembesar suara membuat pengumuman kepada orang ramai di luar bangunan berkenaan memberitahu bahawa mahkamah telah memutuskan hukuman terhadap lelaki itu.
Mangsa yang diikat tangan dan kaki serta ditutup mata dengan kain hitam itu kemudian dicampak dari bumbung bangunan oleh dua anggota militan.
Badan mangsa yang jatuh di atas konkrit kemudian dikerumuni penyokong IS yang merebut-rebut melontar ketulan batu ke arahnya. – AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0301&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3TB8Xnuwd 
Hakcipta terpelihara