Search This Blog

Friday, February 27, 2015

Lelaki dipercayai cuba culik bekas isteri ditahan polis



Oleh Suzalina Halid
ALOR SETAR: Bekas suami kepada wanita berusia 30 tahun yang kini koma dirempuh kereta ketika dikatakan cuba menyelamatkan diri daripada diculik, berjaya diberkas polis awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Md Jan, berkata lelaki berusia 53 tahun itu diberkas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kota Setar, kira-kira jam 4 pagi tadi di sebuah rumah di sekitar Baling untuk membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
"Lelaki berkenaan yang disyaki mempunyai kaitan dengan kejadian menimpa mangsa, kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 325 kanun keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya.
Semalam, seorang wanita cedera di bahagian kepala, badan dan kaki selepas terjun dari sebuah kereta dikatakan milik bekas suaminya yang dipercayai cuba menculik mangsa, sebelum wanita itu parah dirempuh sebuah kenderaan lain yang datang dari arah belakang.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut dan kini berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Difahamkan, wanita itu sering kali diugut dan diganggu oleh bekas suaminya sejak mereka bercerai kira-kira tujuh bulan lalu.