Search This Blog

Thursday, February 26, 2015

Dua warga asing maut


Dirempuh treler selepas cuba lari pemeriksaan polis

ANGGOTA polis melihat mayat warga asing yang dirempuh sebuah treler
ANGGOTA polis melihat mayat warga asing yang dirempuh sebuah treler di Kilometer 216.2 Lebuh Raya Utara-Selatan di Alor Gajah, Melaka, malam semalam.
ALOR GAJAH 25 Feb. - Dua lelaki warga asing maut dirempuh sebuah treler selepas cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Kilometer 216.2 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, dua lelaki berkenaan termasuk dua lagi rakannya dikatakan cuba melarikan diri dengan melintas lebuh raya selepas memberhentikan kereta Proton Iswara di kawasan kejadian menghala ke Johor Bahru, Johor.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, kereta suspek sebelum itu ditahan sepasukan anggota ronda cegah jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Paya Datuk untuk pemeriksaan selepas berada dalam keadaan mencurigakan dengan cermin belakangnya pecah.
Katanya, sebelum sempat ditahan, pemandu kereta itu bagai­manapun tiba-tiba bertindak di luar jangkaan dengan memecut laju menyebabkan dua anggota polis menaiki kereta peronda mengejarnya hingga ke Plaza Tol Simpang Ampat di sini.
“Bagaimanapun, semasa sampai di plaza tol terbabit, kereta dinaiki suspek kemudian merempuh palang automatik dan menuju ke arah Plaza Tol Ayer Keroh,” katanya kepada Utusan Malaysia di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini malam tadi.
Jelas Raja Shahrom, sebaik sahaja sampai di Plaza Tol Ayer Keroh, suspek kemudian berpatah balik dan memandu melawan arus sejauh 20 kilometer menuju ke Plaza Tol Lipat Kajang dan terus membuat pusingan sejurus menyedari polis membuat sekatan.
Beliau berkata, suspek kemudian memandu ke arah Kuala Lumpur dan dilihat memasuki semula Plaza Tol Simpang Ampat sebelum berpatah balik menghala ke arah Johor Bahru.
“Kira-kira satu kilometer dari persimpangan plaza tol tersebut, suspek memberhentikan kenderaan di lorong paling kanan lebuh raya untuk melarikan diri ke laluan bertentangan.
“Dua daripada suspek berjaya melintas dan melarikan diri ke kawasan belukar lebuh raya manakala dua lagi suspek gagal menyeberang dan maut selepas dilanggar sebuah treler yang dipandu laju di lorong kanan menuju arah utara,” katanya.
Pihak polis kemudian membuat pemeriksaan terhadap kereta dinaiki suspek namun tidak menemukan sebarang senjata atau dokumen pengenalan diri milik suspek.
“Namun demikian, hasil pemeriksaan nombor pendaftaran Proton Iswara terbabit mendapati ia palsu. Pemilik sebenar nombor pendaftaran itu merupakan seorang wanita yang tinggal di Kuala Lumpur,” katanya.
Tambah beliau, polis masih mengesan identiti kedua-dua warga asing berkenaan manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam masa sama, beliau turut memohon kerjasama orang ramai supaya menghubungi balai polis berdekatan sekiranya mempunyai maklumat berkaitan dua lagi lelaki yang melarikan diri.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/dua-warga-asing-maut-1.63785#sthash.JLHFR0ns.dpuf

Polis Colombia berjaya rampas dadah RM327 juta


NECOCLI 26 Feb. - Polis Columbia berjaya merampas 3.3 tan dadah jenis kokain dalam satu operasi besar-besaran di kawasan hutan tebal berhampiran sempadan Panama, semalam.
Ketua Polis Colombia, Jeneral Rodolfo Palomino berkata, dadah yang bernilai AS$90 juta (RM327 juta) yang dimiliki kumpulan Usuga Clan itu ditemui dalam kawasan hutan dan dipercayai akan diseludup ke Mexico.
Kumpulan Usaga Clan yang merupakan kumpulan penjenayah terbesar di negara ini dikatakan memiliki lebih 2,000 ahli dan kumpulan itu bukan sahaja terlibat dalam pengedaran dadah tetapi juga terlibat dalam perlombongan haram. - AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/polis-colombia-berjaya-rampas-dadah-rm327-juta-1.63660#sthash.31xTooST.dpuf

Lori terbalik, 20,000 liter minyak sawit tumpah


26/02/2015 5:34pm

JELEBU - Sebuah lori tangki yang membawa 20,000 liter minyak kelapa sawit terbalik selepas terlibat dalam kemalangan menyebabkan muatannya melimpah di atas jalan sepanjang 700 meter.
Kemalangan pada pukul 1 petang yang berlaku di Bukit Tangga, Jalan Kuala Klawang di sini itu turut membabitkan sebuah lagi kereta iaitu Perodua Kelisa.
Ketua Bomba dan Penyelamat Balai Seremban, Mohd. Azlee Mohd. Arus berkata, seramai 26 anggota termasuk pegawai dari tiga buah balai bomba dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Setibanya di lokasi kejadian, kita mendapati lori tangki itu telah terbalik dan pemandunya berusia 40-an yang tersepit di bahagian kaki telah dikeluarkan pukul 2.45 petang lalu dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban.
"Kita meletakkan pasir dan habuk kayu di atas minyak kelapa sawit yang tumpah bagi mengurangkan licin sehingga mendatangkan risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya lain," katanya di sini hari ini.
Pemandu Perodua Kelisa, Mohd. Fikril Kamarudin, 25, yang bekerja sebagai polis bantuan Felda Tembangau, Serting Hilir dipercayai turut cedera dan dihantar ke hospital.
Sementara itu, Mohd. Shahril, 29, memberitahu, dia mengetahui kejadian menimpa Mohd. Fikril selepas mangsa menghubungi ayahnya memaklumkan dia terlibat dalam kemalangan.
"Dia (adik) beritahu terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan dari Felcra Lakai ke Seremban dan mukanya terkoyak.
"ketika kejadian, saya difahamkan lori tangki tersebut dari Pahang melanggar kereta adik saya yang berada di hadapannya menyebabkan kedua-duanya terbabas," jelasnya. - KOSMO!


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0226&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_24.htm#ixzz3SjVPJOjX 
Hakcipta terpelihara 

Dua maut nahas tiga kenderaan


26/02/2015 5:20pm

JEMPOL - Nahas membabitkan tiga buah kenderaan yang berlaku di Kilometer 5, Jalan Serting Tengah-Bandar Seri Jempol di sini kelmarin meragut dua nyawa termasuk seorang warga emas.
Mereka yang terkorban ialah pemandu kereta Nissan Sunny, Chung Ah Tong, 59, dan penumpang Perodua Myvi, Nor Qamarina Osman, 23.
Kejadian pada pukul 1.40 petang itu turut menyebabkan tiga yang lain cedera.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias berkata, Ah Tong disahkan mati pada pukul 2.55 petang di wad kecemasan Hospital Jempol di sini manakala Nor Qamarina meninggal dunia empat jam kemudian ketika dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban.
"Kemalangan dipercayai berlaku ketika kereta Perodua Kancil dari arah Serting ke Bandar Seri Jempol terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta Nissan Sunny yang pada mulanya cuba memperlahankan kenderaan dan mengelak.
"Pada masa sama, sebuah Perodua Myvi yang mengekori Nissan Sunny gagal membrek dan turut melanggar kenderaan di hadapannya. Dalam kejadian itu, Perodua Kancil terbalik manakala Nissan Sunny berpusing ke laluan bertentangan," katanya di sini hari ini.
Menurut Hamzah, penumpang Perodua Kancil yang tersepit dikeluarkan oleh anggota bomba dari Bandar Seri Jempol di sini.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol di talian 06-458 2222.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - KOSMO!


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0226&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_22.htm#ixzz3SjVGpnoF 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki mengamuk bunuh, bakar tiga orang



ANGGOTA polis Korea Selatan memeriksa sebuah kenderaan di lokasi kejadian amuk di Sejong, Koera Selatan semalam.


SEOUL – Seorang lelaki bersenjata di Korea Selatan menembak mati tiga orang di sebuah kedai serbaguna sebelum membakar mereka dalam serangan balas dendam terhadap keluarga bekas kekasihnya, lapor agensi berita Yonhap semalam.
Yonhap menyatakan, mayat suspek kemudian ditemui di tebing sebatang sungai berdekatan. Penyerang itu dipercayai membunuh diri.
Jenayah senjata api amat jarang berlaku di Korea Selatan sekali gus kejadian di bandar Sejong yang terletak kira-kira 120 kilometer dari sini menerima liputan besar-besaran media tempatan.
Suspek berumur 50 tahun itu melepaskan tembakan menggunakan sepucuk senapang patah di kedai berkenaan yang dikendalikan oleh bekas kekasihnya.
“Teman lelaki terbaharunya, bapa dan saudara lelaki mangsa ditembak mereka disahkan meninggal dunia di sebuah hospital,” menurut Yonhap.
Wanita berkenaan masih hilang dengan dia dipercayai diculik oleh suspek sebelum lelaki itu membunuh diri.
Undang-undang kawalan senjata api Korea Selatan melarang orang awam daripada memiliki senjata itu.
Pengecualian diberikan kepada pemburu tetapi mereka perlu menyimpan senapang masing-masing di balai polis setempat. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0226&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3SjUy4vSh 
Hakcipta terpelihara 

Anggota Tentera Cedera Diserang Ikan Todak


Diterbitkan: Khamis, 26 Februari 2015 9:18 AM

KOTA KINABALU: Seorang anggota tentera yang sedang menyertai misi bantuan kemanusiaan mengalami kecederaan di bahagian abdomen akibat diserang ikan todak. 

Dia bagaimanapun terselamat apabila anggota tentera laut yang bertugas di kawasan berhampiran membawa beliau ke Hospital Duchess of Kent untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Koperal Jain Humjak, yang juga anggota tentera Rejimen Sempandan yang ditempatkan ditempatkan di Pulau Tugupil,  di bawa ke pada pukul 11.45 pagi Rabu.
Terdahulu, kapal KD Perlis yang berada di bawah pegawai pemerintah, Leftenan Komander Mohd Firdaus Hassan menerima panggilan kecemasan pada pukul 1 pagi. 
Ketika kejadian kapal tersebut sedang melakukan pemantauan di kawasan perairan sekitar Pulau Tigabu yang terletak kira-kira 40 kilometer daripada Pulau Tugupil segera bergegas ke tempat kejadian untuk membantu mangsa.
Bagaimanapun, sebaik sahaja kapal berkenaan tiba pada pukul 3.30 pagi, pasukan tentera laut tidak dapat masuk ke Tugupil kerana air surut dan mereka terpaksa menunggu hingga air pasang pada pukul 7 pagi. 
Selepas itu, baharulah Koperal Jain di bawa keluar daripada pulau berkenaan dengan menaiki bot tentera, Barakuda.
"Koperal Jain, yang menggeletar menahan kesakitan, diberikan rawatan oleh anggota tentera laut yang berada di atas kapal KD Perlis," kata Komander Tentera Laut Sandakan, Laksamana Pertama Ahmad Abdullah.
"Mangsa turut mengalami mabuk laut kerana keadaan laut yang berombak ketika itu. Jain kemudiannya segera di bawa ke Hospital Sandakan," katanya.

Sempadan Pulau Tugupil terletak kira-kira 90 kilometer daripada Sandakan. 

Mula-Mula Dirompak, Kini Dibunuh


Diterbitkan: Khamis, 26 Februari 2015 8:22 AM
Chen memberikan penghormatan terakhir kepada ibunya, Jia Lian Yu selepas menuntut mayat mangsa di rumah mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

IPOH: Tiga minggu lalu, rumah Jin Lian Yu telah dipecah masuk dan beberapa barangan berharganya dirompak. 

Ahad lalu, kejadian lebih buruk berlaku, apabila nyawanya pula menjadi taruhan.

Pemilik kedai kopi di Bercham itu sedang bekerja seorang diri di dapur pada pukul 5 petang apabila dia tiba-tiba didatangi oleh individu yang tidak dikenali.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Supritendan Ahmad Termizi Abdul Haq berkata tiada sesiapa berada di kedai berkenaan ketika insiden malang itu berlaku.
"Ketika seorang pelanggan datang untuk membeli rokok dia melihat tiada sesiapa berada di kaunter. 
"Pelanggan tersebut kemudiannya pergi ke bahagian dapur kedai berkenaan dan terkejut apabila melihat seorang wanita warga emas terbaring di atas lantai.

"Dia mengalami pendarahan yang teruk di bahagian kepala," katanya.
Jin kemudiannya dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun dengan menaiki ambulans namun dia disahkan meninggal dunia pada pukul 3 petang hari berikutnya, kata Supritendan Ahmad Termizi. 
"Laporan bedah siasat menunjukkan kepalanya dipukul dengan objek tumpul," katanya.

Ahmad Termizi berkata polis masih sedang mengenalpasti barangan mangsa yang dicuri, dan setakat ini belum tangkapan yang dibuat.

Jin, yang berasal dari Harbin, China merupakan seorang ibu tunggal yang mempunyai tiga cahaya mata berusia antara 40 hingga 44 tahun.

Anak lelaki Jin, Chen Hai Ken,40 yang tinggal di Shanghai berada di hospital untuk menuntut mangsa ibunya.

Dia berkata sejak insiden rompakan pertama berlaku, ibunya, Jin pernah menyatakan hasrat untuk pulang ke China kerana merasakan tidak selamat untuk berada di Malaysia.

"Ibu tiba di Malaysia pada 2012 kerana dia mengikut seorang temannya yang tinggal di sini dan melihat prospek perniagaan yang baik di negara ini.

"Kali terakhir saya bercakap dengannya ialah pada hari pertama sambutan Tahun Baru Cina.

"Saya tidak tahu itulah kali terakhir saya berbual dengannya," kata Chen dalam nada sedih.

Awal bulan ini, Jin yang tinggal seorang diri di Kampung Bercham di sini, mengalami kerugian apabila cincinnya, wang tunai sebanyak RM400 serta pasportnya dicuri oleh dua lelaki yang memecah masuk rumahnya.

Dia mengalami kecederaan ringan  di bahagian mata sebelah kiri dan paha kanannya dalam kejadian tersebut. 

Akibat Cinta Tak Direstui, Gadis Dikurung Enam Tahun


Diterbitkan: Khamis, 26 Februari 2015 3:40 PM
Keadaan Zhang yang dikurung selama enam tahun di dalam sebuah rumah terbiar di China.

SEORANG gadis berusia 24 tahun dikurung di dalam sebuah rumah terbiar selama enam tahun selepas enggan memenuhi permintaan ibu bapanya untuk menamatkan hubungan cinta dengan kekasihnya.

Polis menyiasat dakwaan mangsa, Zhang Qi, dikatakan cuba melarikan diri dari rumahnya di perkampungan Jingang di wilayah Hubei, tengah China sebelum dikurung di dalam sebuah rumah terbiar.
Zhang dikatakan dibiarkan bersendirian di rumah terbiar itu.
Ibu bapa mangsa didakwa tidak merestui hubungan cinta Zhang dengan kekasihnya pada 2009.
Zhang ditemui seorang penduduk di kampung tersebut, Chow Jen, 50, dalam keadaan kurus kering.
Menurut Chow, ibu bapa mangsa adalah individu berpengaruh di kampung tersebut dan orang ramai diminta untuk tidak mencampuri urusan mereka.
"Semua orang tahu gadis itu dikurung di dalam rumah tersebut. Saya telah berpindah dan datang untuk melawat kampung ini, jadi saya tidak peduli dengan ancaman tersebut," katanya.
Chow berkata beliau bertindak memuat naik gambar Zhang secara dalam talian selepas pihak berkuasa enggan mengambil sebarang tindakan.
"Polis masih belum memberikan sebarang komen mengenai kes ini," katanya.

Cederakan Warga Emas: Pemandu Teksi Dipenjara & Denda RM8,000


Diterbitkan: Khamis, 26 Februari 2015 4:06 PM

KUALA LUMPUR: Gara-gara mencederakan seorang warga emas menggunakan kabel besi, seorang pemandu teksi dihukum penjara sehari dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, Khamis. 

Majistret Mohd Rehan Mohd Aris menjatuhkan hukuman itu ke atas G. Giva, 43, setelah dia mengaku bersalah mencederakan Lai Moon, 77, dan jika gagal membayar denda tersebut dia diperintah menjalani hukuman penjara 10 bulan.

Giva, didakwa melakukan kesalahan menggunakan kabel besi pengunci tayar motosikal di Jalan Tun Tan Cheng Lock, Dang Wangi, di sini, pada pukul 3.30
petang, 3 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Mengikut fakta kes, mangsa melintas jalan di persimpangan lampu isyarat yang ketika itu menunjukkan isyarat lampu merah namun tertuduh yang memandu sebuah teksi tidak berhenti tetapi meneruskan pemanduannya.

Mangsa kemudian telah menunjukkan isyarat lampu merah kepada tertuduh menyebabkan tertuduh marah lalu memberhentikan kenderaannya dan memukul mangsa menggunakan tangan sebelum bertindak mengambil batang besi dan memukul pengadu di bahagian kepala, muka, tangan kanan dan jari kanan.

Terdahulu, Giva dalam rayuannya memohon hukuman ringan dengan alasan sudah insaf dan mempunyai penyakit kencing manis.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Inspektor Zuraimi Kamarozzaman meminta hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana tertuduh telah mencederakan seorang warga emas.

Fitnah Bekas Pemandu, Pelakon Zahida Rafik Diarah Bayar RM150,000


Diterbitkan: Khamis, 26 Februari 2015 2:00 PM
Zahida Rafik - Gambar: Bernama

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis memerintahkan pelakon Zahida Mohamed Rafik (gambar) membayar ganti rugi sebanyak RM150,000 kepada bekas pemandunya setelah didapati besalah memfitnah beliau.

Hakim Hue Siew Kheng dalam hujahnya menyatakan, Zahida dalam sebuah akhbar berbahasa Melayu menuduh kononnya Noor Azman Azemi melarikan wangnya sebanyak RM200,000 adalah fitnah.

Beliau menambah, beberapa bukti yang dikemukakan oleh pihak Zahida dalam mahkamah terhadap tuduhan itu adalah tidak boleh dipercayai.

Noor Azman

Sehubungan itu Noor Azman layak menerima RM150,000 sebagai ganti rugi manakala RM40,000 pula sebagai kos.

Hue Siew Kheng turut menolak tuntutan balas Zahida untuk mendapatkan semula RM200,000 yang didakwanya diambil oleh bekas pemandu itu.

Beliau turut menolak permohonan peguam Zahida iaitu Sarah Abishegam untuk menggantung pelaksanaan perintah itu.

Noor Azman telah memfailkan saman terhadap Zahida pada 27 November  2013, berhubung satu artikel bertajuk "Zahida Rafik Terkedu", di mana pelakon itu menuduhnya melarikan RM200,000 selepas dia diarahkan untuk memasukkan wang berkenaan dalam akaun banknya.

Dalam pernyataan tuntutannya, Noor Azman berkata beliau telah ditahan oleh polis selama empat hari selepas Zahida membuat laporan berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, akibat perkara itu dia kehilangan kerjanya sebagai pemandu dan bekerja sebagai pemandu teksi.

Pada Mei 2012, Zahida telah mengadakan satu sidang media bagi menafikan tuduhan yang dibuat Noor Azman berhubung hubungannya dengan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal.

Dalam sidang media itu Zahida menegaskan dia tidak pernah mengenali menteri berkenaan.

Murid 7 tahun maut, tujuh rakan cedera nahas di Seremban

SEREMBAN: Seorang murid perempuan berusia tujuh tahun maut manakala tujuh rakannya cedera apabila van sekolah dinaiki bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Jalan Sungai Ujong berhampiran Taman Mantau Indah di sini, 3.50 petang tadi.
Pemandu van terbabit pula cedera parah dan tiga sekeluarga yang menaiki pacuan empat roda itu turut cedera dan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk rawatan.
Jurucakap polis berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan hilang kawalan dan terbabas ke laluan van berkenaan sebelum bertembung.
Mangsa yang maut tersepit di dalam van yang remuk itu dan dikeluarkan bomba kira-kira sejam kemudian.

Seorang maut tunjuk perasaan guru di Mexico



POLIS Mexico menahan anggota Ceteg (Penyelaras Negeri Guru Guerrero) yang tercedera selepas penunjuk perasaan menyekat laluan utama ke Lapangan Terbang Acapulco, hari ini. - Foto REUTERS ihsan http://www.theguardian.com/
ACAPULCO: Seorang penunjuk perasaan maut apabila pertelingkahan berlaku di antara polis Mexico dan guru yang menyekat kawasan Lapangan Terbang Acapulco, kata pegawai hari ini.
Selain itu, tujuh anggota polis mengalami kecederaan selepas dirempuh bas penunjuk perasaan.
Kira-kira 5,000 membuat tunjuk perasaan menuntut gaji lebih baik dan keadilan dalam kes 43 pelatih guru yang hilang, bertindak menyekat laluan ke lapangan terbang di pusat peranginan berkenaan selama enam jam sebelum polis anti rusuhan campur tangan.
"Malangnya, saya dapat pengesahan bahawa seorang mati. Saya tidak dapat memastikan punca kematian, tapi ia adalah seorang yang cedera di bahagian kepala dan dikejarkan ke hospital dengan ambulans," kata pegawai perlindungan awam wilayah Guerrero, Raul Miliani.
Sehubungan itu, jurucakap Kesatuan Sekerja Guru CETEG berkata, mangsa ialah bekas guru berusia 65 tahun, Claudio Castillo dan dipukul oleh anggota polis.
"Dia ada masalah kesihatan, masalah beralih-alih tempat. Ketika mendapatkan rawatan, sekumpulan anggota polis persekutuan mengalihkan paramedik dan terus memukulnya," katanya.
Sementara itu, pihak berkuasa kemudiannya membebaskan 99 daripada 106 yang ditahan ketika tunjuk perasaan berkenaan. - AP

Rogol anak saudara hingga hamil: Si kudung dijel


Rogol anak saudara hingga hamil: Si kudung dijel
Lelaki berkenaan keluar dari mahkamah untuk dihantar ke penjara.
KOTA BHARU - Haruan makan anak. Itu perumpamaan buat seorang lelaki kudung yang merogol anak saudaranya hingga hamil terima padah setelah dihukum penjara 17 tahun serta 10 sebatan oleh mahkamah sesyen, di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Hakim, Mohd Yusoff Yunus terhadap lelaki berusia 56 tahun terbabit selepas dia mengaku merogol mangsa berusia 16 tahun di sebuah rumah di Kampung Dabong, Kuala Krai antara jam 2 dan 4 pagi, Julai 2013.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azhari mohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh kerana perbuatannya itu.

“Tertuduh sepatutnya menjadi pelindung dan bukan merogol mangsa seperti ini. Mohon mahkamah mengambil kira penderitaan mangsa yang menyembunyikan kandungan hingga melahirkan anak itu seorang diri,” katanya.

Mangsa sebelum itu, ke rumah ibu saudara sebelah bapa untuk melawat wanita berkenaan dan bermalam di sana. Suami wanita tersebut turut sama berada di dalam rumah dan ketika tidur, tertuduh merogolnya serta memberi amaran supaya tidak memberitahu kejadian itu kepada orang lain. Takut dengan amaran tersebut, dia berdiam diri.

Mangsa bagaimanapun hamil dan menyembunyikan kehamilannya serta menanggung penderitaan bersendirian sehingga melahirkan seorang bayi lelaki pada 26 Mei 2014.

Segalanya terbongkar apabila abang mangsa mendengar tangisan bayi di belakang rumah di Kampung Lubok Bongor, Kuala Balah, Jeli, pada jam 8.45 malam.

Abang dan bapanya yang pergi melihat dan mendapati bayi itu sudah dilahirkan. Mangsa kemudiannya memberitahu dia dirogol tertuduh hingga mengandung.

Selepas laporan dibuat, tertuduh ditahan dan analisa ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) oleh Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya mengesahkan tertuduh adalah bapa kandung bayi berkenaan.

Rumah terbakar gara-gara Nutella


LONDON - BRITAIN. Gara-gara coklat Nutella, sebuah rumah di Twickenham, di sini mengalami kebakaran teruk termasuk mengakibatkan kematian seekor anjing pemilik rumah tersebut.

Seperti yang dipetik menerusi sebuah portal, hasil siasatan baru-baru ini mendedahkan kebakaran yang berlaku pada 15 Februari lalu berpunca daripada balang coklat itu yang diletakkan di tingkap rumah tersebut.

Difahamkan kebakaran berpunca akibat cahaya matahari musim sejuk yang dibiaskan balang coklat tersebut.

Keluarga tersebut dilaporkan menggunakan balang tersebut sebagai bekas menyimpan getah pengikat di rumahnya. Cahaya matahari yang dibiaskan oleh balang itu menghala ke tirai  menyebabkan tirai tersebut terbakar sebelum merebak ke bahagian lain.

Pemilik rumah, Declan Murphy berkata, dia keluar menyambut ulang tahun bersama isterinya, Lindsay dan dua anak-anak mereka ketika kejadian berlaku.

Kebakaran tersebut mengorbankan anjing kesayangan keluarga Murphy yang terperangkap di dalam rumah, merosakkan bumbung rumah dan memusnahkan seluruh bilik tidur ditingkat bawah.

Suami isteri diserang angkara hutang dadah

Tanah Merah: Angkara hutang dadah, suami isteri nyaris terkena tembakan selepas diserang empat lelaki dalam kejadian di Kampung Alor Bemban, Bukit Kecik, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, dalam kejadian 9.20 pagi itu, suspek melepaskan sedas tembakan namun tersasar selepas si suami berusia 38 tahun melarikan diri.
Isteri mangsa berusia 25 tahun yang tidak melarikan diri bagaimanapun tidak dicederakan.
Katanya, suspek kemudian bertindak membakar dua motosikal di hadapan rumah mangsa sebelum meninggalkan lokasi kejadian.
"Suspek pada mulanya bertanyakan kepada mangsa berkenaan seorang lelaki bernama Juli kerana hutang dadah, namun mangsa enggan memberi kerjasama dan berlaku pertengkaran.
"Suspek kemudian melepaskan satu tembakan namun tersasar disebabkan mangsa melarikan diri
" Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan," katanya.
Dalam pada itu Mazlan berkata, mangsa, isteri dan rakannya yang turut berada di situ ditahan selepas pemeriksaan terhadap mereka menemui beberapa pil jenis methampetamine.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Februari 2015 @ 7:42 PM


SATU daripada dua motosikal yang dibakar suspek. FOTO Muhamaad Razis Ismail
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/33093#sthash.SnAyKMuq.dpuf

201 PATI dicekup

Johor Bahru: Seramai 201 PATI ditahan Jabatan Imigresen Johor Bahru dalam serbuan di Taman Sri Pandan Johor Bahru 3 pagi ini.
Serbuan membabitkan lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan paling padat dengan warga asing di bandar raya ini.
Penolong Pengarah Kanan Imigresen Johor, Masri Adul berkata, seramai 500 warga asing diperiksa dalam serbuan membabitkan 120 anggota penguat kuasa itu.
Katanya, 201 yang ditahan didapati melakukan kesalahan tinggal lebih masa dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
"Mereka terdiri daripada 150 warga Pakistan, Indonesia (30), Myanmar (12) dan sembilan Bangladesh," katanya.
Semua PATI berusia tiga hingga 55 tahun yang ditahan itu dibawa ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika untuk tindakan lanjut.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Februari 2015 @ 3:22 PM


PATI yang ditahan di Taman Sri Pandan Johor Bahru. FOTO Zainuz Fitri
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/33073#sthash.KgV12Sc6.dpuf

Lelaki maut, dua parah nahas tiga kenderaan

Teluk Intan : Seorang lelaki maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Dato Maharajalela, Batu 4 dekat sini, pagi tadi.
Dalam kejadian 7 pagi, kemalangan membabitkan dua kenderaan jenis Perodua Kancil dan sebuah kenderaan jenis Kia Spectra.
Jurucakap bomba negeri berkata, mangsa yang juga pemandu Kia Spectra meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit.
"Maklumat awal bomba juga mendapati, dua yang parah adalah seorang kanak-kanak dan seorang wanita dewasa dipercayai yang juga penumpang Kia Spectra.
"Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut," katanya.
Menurutnya, identiti mangsa yang maut dan cedera masih belum dapat dikenal pasti.
Beliau berkata, operasi diketuai Penguasa Bomba Sharifuddin Jubri dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan ditamatkan pada 7.43 pagi.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Februari 2015 @ 12:05 PM


KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/33011#sthash.dEXIj5l2.dpuf

Rugi RM700,000 disamun empat lelaki


Oleh Rosliza Mohamed
Kota Bharu: Seorang peniaga wanita kerugian lebih RM700,000 selepas disamun empat lelaki bersenjatakan parang di sini semalam.
Dalam kejadian di Jalan Hamzah pada 10.30 pagi itu, mangsa bersama suami dan pembantu rumahnya diikat dengan tali sebelum suspek menggeledah rumah mangsa.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, antara barang yang dilarikan termasuk wang tunai RM6,000, tiga jam Rolex dan barang kemas.
"Semua suspek kemudian melarikan diri dengan menggunakan dua MPV Toyota Vellfire.
"Usaha memburu suspek sedang giat dijalankan," katanya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/33013#sthash.hCkz8mm9.dpuf