Search This Blog

Friday, February 20, 2015

Kren Terbakar Di Tempat Letak Kenderaan


Diterbitkan: Jumaat, 20 Februari 2015 3:03 PM

SEREMBAN: Sebuah kren hangus 70 peratus dalam kebakaran di tempat letak kenderaan berat di Taman Layang-Layang, di sini, Jumaat.
Pegawai Bomba Kanan, Balai Bomba dan Penyelamat Seremban Jefri Mohd Uzus berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.48 pagi dan sebuah jentera bersama-sama tujuh anggota dihantar ke lokasi kejadian.
Api berjaya dikawal dalam tempoh lima minit dan dipadam sepenuhnya 10 minit kemudian dan tidak menjejaskan kenderaan lain yang terdapat di situ, katanya ketika dihubungi.
Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan, katanya.

Penduduk Rasa Banjir Seperti 'Baharu Semalam Berlaku'


Diterbitkan: Jumaat, 20 Februari 2015 12:31 PM
Khemah kediaman yang dibina sendiri di Kampung Pasir Tumboh

GUA MUSANG: Rasanya seperti baharu semalam banjir besar meragut hampir segala harta bendanya, kata penduduk Mohd Noor Ismail.

Televisyen, peti sejuk, almari, tilam, kipas dan mesin pemotong rumput miliknya semuanya rosak akibat banjir Disember lalu.

Lebih penting lagi, lelaki berusia 64 tahun itu tidak boleh keluar mencari rezeki kerana enjin botnya rosak dan tidak boleh diperbaiki.

Dia memerlukan kira-kira RM1,000 untuk membeli enjin baharu. Jumlah itu baginya, adalah satu jumlah wang yang besar untuk dia yang memperoleh pendapatan di antara RM500-RM1,000 sebulan dengan menoreh getah dan berkebun.

"Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Kita hanya perlu reda terhadap apa yang telah berlaku, " katanya dalam keadaan hampir tidak bermaya, apabila ditanya sama ada dia dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

Mohd Noor dan isterinya Rohana Ali, 56, telah membersihkan rumah mereka yang terletak di Kampung Pasir Tumboh di Gua Musang sejak banjir surut pada bulan Januari.


Walaupun kerja-kerja pembersihan sering dilakukan, kesan lumpur masih boleh dilihat di dalam dan di luar rumah papan mereka.

"Kaki saya sangat kotor sejak kebelakangan ini," katanya sambil ketawa dan menunjukkan tapak kakinya.

Keluarganya telah berjaya 'menghidupkan' semula lampu-lampu di rumahnya tetapi hanya itu sahaja yang mereka ada. Mereka masih perlu perlu tidur di atas lantai.

Mohd Noor, bagaimanapun tidak bersendirian kerana dia mempunyai 11 orang anak dan 12 cucu.

Seluruh kampungnya kelihatan seperti telah musnah oleh taufan atau tsunami.

Serpihan set televisyen lama, peti sejuk, tilam, kerusi dan mesin basuh dapat dilihat di mana-mana di bahagian luar rumah.

Beberapa buah rumah dilihat telah ditinggalkan terbiar, dengan lapisan lumpur kering setebal tiga inci. Beberapa buah rumah papan telah runtuh.

Kebanyakan penduduk tinggal di rumah mereka yang telah dibersihkan separuh bahagian sementara yang lain tidur di dalam khemah sementara.


Bekalan air ke kampung itu juga telah terganggu, kerana empangan di mana mereka mendapatkan bekalan air telah melimpah dan menyebabkannya pecah.

Daripada 94 buah rumah di situ, hanya 12 buah yang tidak ditenggelami air. Daripada 82 buah yang tenggelam, 10 buah telah musnah keseluruhannya.

"Penduduk kampung trauma dengan bencana ini. Harta benda yang dikumpul dan rumah yang didiami selama bertahun-tahun hilang dalam masa beberapa hari, " kata Ketua Kampung Pasir Tumboh Ahmad Seman yang tinggal di situ sejak sebelum Jepun menyerang Tanah Melayu.

Namun, mereka bernasib baik apabila sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Cakna UT,  membantu penduduk kampung membina semula rumah mereka.

Selain itu, banjir itu juga menyebabkan kerosakan jalan raya.

Jarak antara Pasir Tumboh dan bandar Gua Musang adalah kira-kira 30km tetapi kerana beberapa jalan telah musnah, laluan lebih jauh perlu dilalui dengan jarak kini kira-kira 110km.

Pada Disember, Pantai Timur Semenanjung Malaysia dilanda banjir besar menyebabkan lebih 200,000 orang terpaksa dipindahkan dengan jumlah kerugian berbilion ringgit.

Kemusnahan akibat banjir boleh dilihat di sepanjang jalan dan Sungai Kelantan, di mana pokok-pokok telah tumbang.

Begitu juga di di Mukim Stong yang mempunyai tujuh buah kampung dengan jumlah penduduk kira-kira 3,000 orang.

Di Kampung Kemubu, hanya 34 dari 243 buah rumah di kampung itu terselamat, manakala selebihnya tenggelam dengan 45 dikelaskan sebagai musnah keseluruhannya.

Di sini penduduk tinggal di rumah transit manakala yang lain tinggal dengan saudara-mara, kata ketua Mukim Stong, Raduan Jusoh.

"Kami tidak boleh menganggarkan jumlah kerosakan tetapi anda boleh lihat sendiri bagaimana teruknya keadaan," katanya sambil menambah 40 buah kereta dan lebih 100 buah motosikal ditenggelami banjir.

Mengenai jalan raya, perjalanan lima minit untuk ke tempat kerja selama ini telah mengambil masa selama 40 minit, kerana jambatan merentasi sungai telah rosak.

Jambatan ini juga menjadi jambatan yang sama dengan landasan kereta api. Akibatnya, perkhidmatan KTM ke Tumpat telah digantung buat sementara waktu.

"Bagi saya, apa yang dilihat ini seolah-olah banjir itu berlaku tiga atau empat hari lalu. Ini adalah takdir dan kita perlu menerimanya, " kata Reduan.

Terdapat 13 khemah perumahan yang digunakan oleh mangsa di kampung itu untuk berlindung. Mereka memasak dan mandi di dewan badminton bersebelahan khemah.

Siti Hawa Hamid, 75, sedang berbaring di dalam dewan kerana keadaan di dalam khemah itu panas menjelang petang.

"Saya rasa sangat letih," katanya, sambil bangun dan kemudian baring semula.


Che Aziz Bakar, 50, dan isterinya Che Sharifah Che Leh, 46, membasuh selimut di rumah mereka yang berusia 15 tahun di Kampung Kerinting, Gua Musang.

"Saya belum selesai lagi (mencuci). Kalau saya hantar ke dobi, ia akan berdebu semula. Lebih baik saya hanya melakukannya sendiri, " kata Che Sharifah.

Che Sharifah menjelaskan, selimut itu terselamat kerana ia tidak digunakan dan berada dalam sarung plastiknya.

Hampir semua barangan terpaksa dibuang selepas rumah dan kedai runcitnya ditenggelami air.

Kereta mereka terselamat kerana Che Aziz telah pergi menjalani rawatan dialisis pada masa itu.

Dia menganggarkan kerugian sekurang-kurangnya RM10,000 untuk kedai runcit yang musnah . Namun, dia teragak-agak untuk menjawab apabila ditanya sama ada mereka akan pulih daripada banjir yang melanda.

Isterinya, bagaimanapun, masih mampu tersenyum dan yakin bahawa mereka akan pulih suatu hari nanti.

"Saya rasa kami akan mengambil masa beberapa tahun untuk kembali normal," katanya.

Tempoh Ikat Jamin Rizalman Dilanjutkan Sehingga April


Diterbitkan: Jumaat, 20 Februari 2015 11:04 AM
Muhammad Rizalman

PETALING JAYA: Bekas kakitangan Pembantu Pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, Muhammad Rizalman Ismail yang dituduh menyerang seorang wanita di New Zealand, tampil di mahkamah Wellington, Khamis,lapor The New Zealand Herald.
Rizalman, 38, didakwa atas tuduhan pecah rumah dan melakukan serangan dengan niat untuk melakukan perlanggaran seksual.

Kehadirannya di mahkamah pada Khamis adalah untuk mengubah tempoh ikat jamin.

Dia ditangkap pada 9 Mei tahun lalu berhubung dakwaan cubaan pecah rumah dan serangan seksual terhadap seorang wanita berusia 21 tahun dari Wellington .

Dia didakwa pada hari berikutnya dan berdepan hukuman maksimum penjara 10 tahun bagi setiap kesalahan.

Selepas meninggalkan New Zealand dan kembali ke Malaysia di bawah kekebalan diplomatik, Rizalman telah diekstradisi ke New Zealand pada Oktober lalu.

Dia berada di bawah jaminan di alamat yang tidak didedahkan selepas menyerahkan pasportnya dan berada di bawah perintah berkurung pada waktu malam dengan perintah untuk tidak menghubungi mangsa.

Pada Khamis, Rizalman ditahan dengan jaminan sehingga penampilan seterusnya pada April.

'Harimau Makan Orang' Ditembak Mati Di India


Diterbitkan: Jumaat, 20 Februari 2015 2:33 PM

NEW DELHI: Tentera pengawal hutan menembak mati seekor 'harimau makan orang' di selatan India selepas haiwan itu menyerang dan membunuh seorang petani dan pekerja ladang teh, kata seorang pegawai, Khamis.

Harimau tersebut bertindak menerkam petani yang memasuki hutan di negeri Kerala awal bulan ini dan makan sebahagian besar tubuhnya, kata pegawai hutan C. Badrasamy kepada AFP.

Binatang yang sama kemudian menyerang seorang wanita yang sedang bekerja di ladang pada Sabtu, selepas harimau terbabit dilihat berkeliaran di seberang hutan negeri kejiranan Tamil Nadu, kata Badrasamy.

"Penduduk berasa panik dan marah dan mereka mula menggeledah hutan, menuntut harimau itu dibunuh serta-merta," kata Badrasamy melalui telefon dari Tamil Nadu.

Sebuah pasukan dengan 50 orang yang terdiri daripada pegawai, konstabel dan doktor haiwan telah mengawasi seluruh hutan di Tamil Nadu.

Tetapi harimau itu berjaya melarikan diri di tengah-tengah adegan huru-hara selepas kira-kira 500 penduduk kampung berkumpul untuk melihat haiwan itu, kata Badrasamy.

Selepas itu ia sekali lagi dilihat di dalam hutan dan para pegawai cuba menggunakan senjata dart tetapi terpaksa melepaskan tembakan dengan peluru hidup pada Rabu kerana ia cuba menerkam ahli pasukan.

"Sudah tentu keutamaan kami untuk menangkap dan tidak membunuh harimau itu. Tetapi keadaan seperti menjadikan kami tidak mempunyai pilihan lain, "kata Badrasamy.

"Ia boleh menyerang orang lain selepas ini pada bila-bila masa."

Lebih separuh dari populasi harimau liar di dunia semakin merosot dengan cepat di India menerusi bancian baru-baru ini.

"'Harimau makan manusia' sangat jarang berlaku. Harimau tertentu ini mungkin mempunyai beberapa kecederaan, mungkin telah kehilangan wilayahnya dan diusir, "kata Badrasamy.

Kerajaan India telah berusaha untuk mengurangkan pertembungan maut di antara harimau dan manusia, memandangkan petani sering masuk dan meneroka hutan, memaksa harimau keluar mencari air dan makanan.

Seekor lagi harimau dipercayai telah membunuhlebih 10 orang di utara India Februari lalu. Haiwan itu dipercayai masih belum dibunuh atau ditangkap.

Mangsa ragut cedera 
dipukul guna batang besi


KUALA LUMPUR 19 Feb. – Seorang wanita warga Indonesia mene­rima enam jahitan di kepala selepas menjadi mangsa ragut dua lelaki dalam kejadian di Bandar Kinrara 2, di sini semalam.
Razimi Ahmad
Dalam kejadian kira-kira 6.45 pagi semalam, mangsa yang berusia dalam lingkungan 30 tahun sedang berjalan kaki didatangi suspek menaiki motosikal sebelum dipukul dengan batang besi sebanyak tiga kali di bahagian kepala dan badan.
Akibat pukulan tersebut, mangsa terjatuh di tepi jalan dan me­ngalami kecederaan serta harus menerima enam jahitan di kepala selain mukanya bengkak dan lebam di badan.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razimi Ahmad berkata, suspek kemudiannya terus melarikan diri selepas mengambil beg tangan mangsa yang berisi wang tunai sejumlah RM300, pasport antarabangsa dan sebuah telefon bimbit.
“Usaha mengesan suspek sedang dija­lankan dan orang ramai tidak perlu bimbang kerana kita akan mempertingkatkan rondaan jenayah bagi mengelak­kan perkara seumpama berulang,” ujarnya dalam satu kenyata­an, di sini hari ini.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/mangsa-ragut-cedera-8232-dipukul-guna-batang-besi-1.61544#sthash.HQaOiwE5.dpuf

Suami culik diri sendiri



Minta wang tebusan RM1,624 dari isteri

MEXICO CITY 19 Feb. - Gara gara menipu isterinya dengan mendakwa dirinya diculik, seorang lelaki Mexico berdepan hukuman penjara lima tahun selepas perbuatannya memeras ugut wanita itu dibongkar polis.


Eliot Garrido Guido, 36, yang juga seorang penganggur, dengan bantuan rakannya, Carlos Amilcar Martinez Reyes, 42, menyusun komplot rancangan penculikan itu dengan memuat naik gambar dirinya dalam keadaan terikat di akaun Facebooknya.
Reyes kemudian meminta isteri Guido supaya membayar seba­nyak AS$450 (RM1,624) bagi membolehkan lelaki itu yang didakwa dilarikan sejauh 1,448 kilometer dibebaskan ataupun lelaki itu akan dibunuh.
“Bila saya melihat mesej dan gambar itu, saya tidak percaya apa yang berlaku.
“Penculik minta saya membayar wang tebusan atau suami saya akan diseksa dan dibunuh,’’ kata isteri Guido seperti lapor Mail Online.
Pihak berkuasa Mexico percaya, Guido malu kerana isterinya mempunyai pendapatan melebihi diri­nya, apatah lagi dia kehilangan kerja tiga bulan sebelum komplot culik itu dilakukan.
Wanita itu berkata, dia yang risau kemudian menghubungi penculik yang mahukannya meninggalkan wang tebusan itu di Mexico City, sedangkan suspek mendakwa mereka berada di Playa del Carmen.
“Saya yang meragui dakwaan penculik menghubungi polis,’’ katanya menambah, polis yang tiba di rumahnya kemudian berjaya mengesan kedudukan penculik.
Seorang jurucakap polis berkata, polis menemukan kedua-dua suspek itu di sebuah rumah kira-kira 300 meter dari rumah wanita itu.
“Mereka mengaku melakukan peras ugut dan ditahan serta merta di tempat kejadian,’’ katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/suami-culik-diri-sendiri-1.61448#sthash.P6o6V86A.dpuf

NSA, GCHQ godam kad SIM - The Intercept


Laman web The Intercept.
WASHINGTON: Perkhidmatan risikan AS dan British boleh mengakses komunikasi suara dan data kebanyakan peranti selepas mencuri kunci enkripsi pembuat kad SIM utama, menurut satu laporan.
Laporan itu, daripada laman web The Intercept, menyatakan Agensi Keselamatan Negara (NSA) dan GCHQ British memperoleh kunci enkripsi daripada pembuat SIM global, Gemalto.
Merujuk satu dokumen yang didedahkan pada 2010 oleh bekas kontraktor NSA, Edward Snowden, laporan itu menyatakan dengan kunci enkripsi itu, perkhidmatan risikan boleh memantau sebahagian besar komunikasi global menerusi peranti mudah ahli tanpa waran.
Menurut The Intercept, operasi rahsia yang diketuai GCHQ dengan bantuan NSA boleh mendengar perbualan peribadi jurutera di Gemalto yang berpangkalan di Belanda.
Laporan itu mencadangkan perkhidmatan risikan berkenaan boleh mengakses komunikasi lain lebih daripada apa yang dilaporkan sebelum ini.
NSA tidak menjawab pertanyaan AFP berhubung laporan itu.
Gemalto yang membuat berbilion kad SIM serta identiti digital lain, menyatakan ia memberikan "khidmat digital yang dipercayai dan mudah untuk berbilion individu". - AFP

Ribut badai timur laut Australia

GLADSTONE, Australia: Ribut melanda kawasan yang padat dengan penduduk di timur laut Australia ketika pihak berkuasa memberi amaran mengenai "malapetaka".
"Ribut tropika Marcia, kategori 5, kini melintas pantai berhampiran Shoalwater Bay di utara Yeppoon," menurut Biro Meteorologi Queensland menerusi Twitter. - AFP

Ibu Tegar kembali mengemis



TEGAR bersama ibunya, Ratna Dwi.


KUALA LUMPUR – Ibu penyanyi jalanan popular Indonesia, Tegar Septian kembali menjadi pengemis gara-gara kesempitan hidup selepas anaknya didakwa ditipu oleh pengurus baharunya, Arif Dollah.
Ibunya, Ratna Dwi Sisi, 32, dikatakan menjadi pengemis sejak awal bulan ini di Subang, Bandung, Indonesia kerana pendapatan dan wang simpanan Tegar, 14, semakin berkurangan berikutan penyanyi itu tidak dapat keluar dari Indonesia untuk membuat persembahan.
Pengarah Urusan Harpa Records, Handoko Kusumo mengesahkan kehidupan penyanyi yang popular menerusi lagu Aku Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang kembali susah kerana tidak mempunyai simpanan yang stabil, selain sudah dua kali ditipu pengurus.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0220&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz3SFcgt71q 
Hakcipta terpelihara 

Dicekup berjudi di kedai kopi




LEDANG – Kesempatan balik kampung untuk meraikan Tahun Baru Cina disalah guna oleh 13 lelaki apabila mereka ditangkap ketika berkumpul sambil bermain judi di sebuah kedai kopi di Simpang Lima Pekan dekat sini kelmarin.

Mereka yang baru sampai dari Skudai, Johor Bahru, Segamat, Muar dan selebihnya penduduk dari daerah ini menggunakan peluang bertemu semula sempena perayaan itu dengan bermain judi mahjong.

Semasa ditahan kesemua lelaki tersebut leka berjudi dan langsung tidak menyedari polis sudah berada di belakang dan membuatkan mereka tergamam kerana tidak menyangka diserbu pada pukul 5.22 pagi.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Mohamed Salleh Abd. Razak berkata, mereka mengambil kesempatan menggunakan peluang balik kampung untuk mencari duit raya dengan berjudi di tempat terbuka.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0220&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3SFcOM6en
Hakcipta terpelihara 

Dua nelayan dikhuatiri lemas



Lokasi kejadian bot karam di perairan Kuala Gula, Kuala Kurau semalam.


KERIAN – Dua nelayan hilang manakala empat lagi berjaya diselamatkan ketika tiga buah bot yang mereka naiki karam selepas dilambung ombak kuat dan ribut di perairan Kuala Gula di sini kelmarin.
Kedua-dua nelayan yang masih belum ditemui itu ialah Muhammad Farid Hussain, 34, dari Kampung Nelayan Kuala Gula dan Patahhul Karim, 27, dari Indonesia.
Empat nelayan terselamat merupakan warga Indonesia yang dikenali sebagai Handoyo, Asmani dan Abdul Beri berusia dalam lingkungan 34 hingga 46 tahun selain seorang warga tempatan, Dahalan Jalamudin, 36.
Ketua Operasi Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia Pengkalan Kuala Kurau, Leftenan Mohd. Fairul Haswadi Abu Bakar berkata, kejadian berlaku pada pukul 7 malam ketika tiga buah bot nelayan yang dinaiki enam nelayan itu sedang menaikkan pukat ekoran cuaca buruk.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0220&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3SFc20OD9 
Hakcipta terpelihara 

Pemandu kereta sewa maut ditimpa dahan pokok ru

Keadaan van yang remuk selepas dihempap dahan pokok ru di Jalan Persiaran Putra, Pekan Kuah, Langkawi semalam.


LANGKAWI – Seorang warga emas yang bekerja sebagai pemandu kereta sewa sempat memberikan wang pendapatan terakhir kepada isterinya sebelum dia menemui maut setelah dihempap dahan pokok ru yang tumbang di Jalan Persiaran Putra, Kuah di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 12 tengah hari, mangsa, Khamis Jani, 65, dari Kampung Huma, Mukim Air Hangat di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan leher.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Perlis, Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, ketika kejadian mangsa yang memandu van jenis Nissan Vanette sedang dalam perjalanan menghala ke Jeti Kuah dipercayai untuk mengambil penumpang.
“Bagaimanapun, ketika sampai ke tempat kejadian, van yang dipandu mangsa telah dihempap sebatang dahan pokok ru yang tiba-tiba tumbang.
“Ekoran itu, bahagian depan van tersebut remuk hingga menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduknya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0220&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3SFbqrQta 
Hakcipta terpelihara 

Ahli Parlimen Turki bergaduh, lima cedera

SEORANG ahli parlimen pembangkang, Kurkcu mengalami kecederaan di kepala dalam pergaduhan di Parlimen Turki pada malam Selasa lalu.


ISTANBUL – Parlimen Turki kelmarin menjadi huru-hara selepas satu pergaduhan besar berlaku ketika parti pemerintah cuba meluluskan satu rang undang-undang kontroversi untuk menambah kuasa polis.
Sebilangan ahli parlimen dilihat mengayun tukul kayu istiadat ketika mengejar rakan sejawat daripada parti-parti lain dalam kekecohan lewat malam yang disifatkan melucukan.
Pergaduhan itu berterusan dari malam Selasa sehingga ke awal pagi Rabu menyebabkan lima orang tercedera.
Beberapa ahli parlimen lain turut membaling cawan kepada rakan-rakan mereka di dalam Dewan, kata saksi yang juga seorang ahli parlimen wanita daripada parti pembangkang CHP, Melda Onur kepada akhbar Hurriyet.
Satu gambar yang tersebar di internet menunjukkan seorang ahli parlimen terjatuh ke dalam petak pokok hiasan ketika kekecohan itu berlaku.
Lima wakil rakyat pembangkang dilaporkan cedera dalam pergaduhan itu dengan dua daripadanya mengalami kecederaan di kepala kerana dipukul tukul kayu istiadat yang kebiasaannya digunakan speaker Dewan, lapor agensi berita Dogan.
Empat daripada mangsa yang cedera turut memerlukan rawatan lanjut di hospital, manakala sesi persidangan yang berlanjutan sehingga selepas tengah malam akhirnya ditangguhkan ke petang Rabu.
Pergaduhan bermula ketika satu sesi tertutup di Parlimen selepas ahli parlimen daripada parti pemerintah, Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) cuba menyekat ahli parlimen pro-Kurdis daripada Parti Demokratik Rakyat (HDP) daripada berucap.
Ahli parlimen pembangkang, Ertugrul Kurkcu mendakwa dia dan rakan-rakannya diserang menggunakan tukul kayu istiadat milik speaker di samping loceng parlimen dan kerusi besi.
Pembangkang khuatir rang undang-undang yang diperkenalkan AKP itu akan menjadikan Turki sebuah negara polis di bawah Presiden Recep Tayyip Erdogan. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0220&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3SFbF1kSV 
Hakcipta terpelihara 

34 PATI ditahan di Bukit Jambul


GEORGE TOWN: Polis menahan 34 rakyat asing dalam Ops Rantau di sekitar Kompleks Bukit Jambul di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 30 lelaki dan empat wanita iaitu 13 rakyat Indonesia, 11 Myanmar, enam Nepal dan Bangladesh serta Pakistan masing-masing dua orang.
"Kesemua mereka gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah, tidak mempunyai permit bekerja atau tinggal melebihi tempoh masa ditetapkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata sebanyak 282 lelaki dan 82 wanita telah diperiksa dalam operasi itu terdiri daripada 128 rakyat Indonesia, 129 Nepal, 77 Bangladesh, 17 Myanmar, sembilan Vietnam, tiga Pakistan dan seorang Sri Lanka.
Beliau berkata kesemua mereka yang ditahan berusia antara 20-an dan 30-an itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk siasatan lanjut. - Bernama
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/32012#sthash.0sbVwO1W.dpuf

Kolej dah jadi hotel

Oleh Muhammad Apendy Issahak

apendy@hmetro.com.my

Ipoh : Seramai kira-kira 80 pelajar sebuah kolej swasta di sini, mendakwa diri mereka teraniaya akibat terpaksa menanggung bebanan pinjaman dan tidak dapat menghabiskan pembelajaran selepas kolej mereka ditutup dan pihak pengurusan menghilangkan diri.
Menurut seorang pelajar S Dorairaj, 25, dia mendaftar dalam kursus Mekatronik di kolej berkenaan pada 2013, namun ketika selesai latihan praktikal dan ingin kembali semula ke kolej pada pertengahan Oktober tahun lalu ia didapati sudah ditutup.
Pelajar diploma tahun akhir itu berkata, lebih malang pihak pengurusan kolej berkenaan dikatakan sudah melarikan diri dan gagal dihubungi bagi mendapatkan penjelasan mengenai status sebenar kolej berkenaan serta pembelajaran mereka.
"Kebanyakan pelajar menjalani latihan praktikal bermula Mei hingga Oktober tahun lalu dan selepas selesai latihan kami diberikan cuti selama seminggu, namun terkejut apabila kembali ke kolej berkenaan dan mendapati ia sudah ditutup.
"Seorang pensyarah yang berada di kolej pada masa itu, memberitahu kami bahawa pihak pengurusan sudah melarikan diri dengan dana dari kolej. Bagaimanapun pensyarah terbabit mendakwa isu itu akan diselesaikan dalam masa dua minggu dan kami akan mendapatkan diploma kami," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis bersama beberapa pelajar lain di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, di sini hari ini. 
Dorairaj berkata, masalah berkenaan sehingga kini tidak lagi diselesaikan dan kesemua pelajar kini dalam keadaan tertekan kerana perlu menanggung beban pinjaman sedangkan pelajaran tidak dapat ditamatkan.
"Pelajar ramai yang membuat pinjaman dengan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dengan ibu-bapa menjadi penjamin termasuk saya sendiri.
"Jumlah keseluruhan pinjaman yang saya buat adalah sebanyak RM32,000 dan kami khuatir penjamin akan disenarai hitam jika gagal membayar pinjaman," katanya.
Menurutnya, dia berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan berhubung kes ini dan jika kolej berkenaan mengalami masalah kewangan kesemua pelajar berharap ia diisytihar bankrap.
"Pinjaman kami diinsuranskan dan jika kolej mengisytiharkan kebankrapan maka syarikat insurans perlu membayar PTPK," katanya.
Sementara itu, seorang lagi pelajar Rozana Sabar, 24, berkata dia kini menanggung hutang pinjaman sebanyak RM24,000 yang tidak dapat dibayar kerana gagal mendapat pekerjaan susulan tidak memperoleh diploma dari kolej berkenaan.
"Saya memasuki kolej berkenaan pada 2012 untuk kursus sijil dan diploma, dimana sijil berjaya ditamatkan namun diploma masih tidak dapat kepastian kerana kolej sudah ditutup.
"Pihak kolej sehingga kini gagal dihubungi dan kami harap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya kerana kami semua teraniaya," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 4:58 PM


SEKUMPULAN penuntut sebuah kolej menunjukkan laporan polis yang telah dibuat oleh mereka. FOTO Supian Ahmad
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31996#sthash.OrT8HcUs.dpuf

Suspek culik, bunuh dicekup


Oleh Fuad Hadinata Yaacob
Shah Alam: Seorang lelaki yang dikehendaki polis dalam kes culik dan bunuh seorang ahli perniagaan wanita Jumaat lalu akhirnya dicekup polis di Pulau Pinang semalam.
Lelaki berusia 23 tahun itu ditahan di Gat Lebuh Macallum kita-kira jam 7.30 malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Selangor.
Menurutnya, dengan penahanan suspek kes berkenaan selesai.
Dalam kejadian Jumaat lalu, mangsa berusia 59 tahun diculik di Bandar Sunway oleh individu yang pernah bekerja dengannya sebelum ini dan menuntut wang tebusan RM2 juta.
Wanita itu dibunuh dan mayatnya ditemui orang awam kira-kira 10 pagi di tepi pantai di Sungai Udang, Pulau Pinang sehari kemudian.
Polis berjaya menahan empat lelaki dan dua wanita berusia antara 19 hingga 28 tahun di Subang Jaya; Hentian Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Gua Tempurung, Perak; sebuah rumah masing-masing di Lorong Bukit Gambir dan Gelugor, Pulau Pinang selepas kejadian itu
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/32006#sthash.VU2fp16v.dpuf

Kantoi kelengkapan mencuri

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

am@hmetro.com.my

Georgetown: Dua lelaki yang aktif dalam kegiatan mencuri motosikal dicekup polis dalam satu operasi di Jalan Kampung Jawa Baru, di sini, semalam.
Serbuan dilakukan pada 3 petang oleh sepasukan anggota rondaan jenayah dari Balai Polis Jalan Patani dan Balai Polis Lebuh Pantai yang melakukan operasi Ops Rentap.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, dua suspek terbabit dilihat menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, anggota polis kemudian mengarahkan kedua-dua lelaki berusia 28 dan 33 tahun itu berhenti untuk pemeriksaan dan hasilnya pihaknya menemui kabel yang disyaki digunakan untuk kegiatan jenayah.
Katanya, siasatan lanjut mendapati motosikal yang ditunggang mereka adalah motosikal curi dan pernah dilaporkan hilang di Tanjung Tokong, di sini.
"Polis turut menemui pelbagai peralatan seperti pemutar skru, playar, spanar, gunting besi dan pisau pemotong kertas dalam beg silang yang dibawa mereka.
"Kita percaya yang kedua-dua suspek ini aktif melakukan jenayah curi motor dan merek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) untuk siastaan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati seorang daripada suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau bersangkut kes dadah manakala rakannya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
"Ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif syabu," katanya.
Mior Faridalathrash berkata, pihaknya akan sentiasa melakukan pemeriksaan dan pemantauan bagi menumpaskan segala kegiatan jenayah yang berlaku sekitar daerah Timur Laut dan meminta kerjasama orang ramai menyalurkan apa juga maklumat kepada polis.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi IPDTL di talian 04-2181822 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 4:39 PM


PERALATAN yang digunakan suspek. FOTO Rudy Syareme Sheriffudin
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31994#sthash.vnYUsSpM.dpuf

'Bunyi berdesing macam kapal terbang'

Oleh Omar Osman

am@hmetro.com.my

Sungai Petani: Kira-kira 15 rumah termasuk lapan daripadanya mengalami kerosakan teruk pada bahagian bumbung apabila diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Kampung Pantai Prai dan Kampung Kong Kedah di Sidam Kiri, di sini, kira-kira 3.30 petang semalam.
Mangsa Che Miah Ahmad, 57, dari Kampung Kong Kedak, berkata, dia sedang tidur bersama cucu Mohd Waqiyuddin Faris Abdullah, 5, di tingkat bawah rumah dua tingkatnya kerana kurang sihat dan ketika itu hujan renyai-renyai.
Katanya, dia juga ada mendengar bunyi deruan angin, namun tidak mengendahkannya, tetapi secara tiba-tiba bertukar kuat dengan disusuli hujan lebat.
"Pada masa sama, anak saya Nurul Najwa Che Roslan, 25, baru tiba di rumah lalu menyuruh saya bangun untuk makan sebelum tiba-tiba kami mendengar bunyi berdesing yang kuat seperti kapal terbang melintas.
"Saya kemudian mendengar ada sesuatu seperti merempuh rumah sebelum mendapati rumah menjadi cerah selepas bumbung diterbangkan angin kuat dan pada sama hujan lebat menyebabkan bahagian dalam rumah mula dibasahi air.
"Ketika itu, saya tidak mampu untuk bangun dan hanya sempat melaungkan 'Allahuakbar' beberapa kali sambil menjerit kepada anak 'habislah rumah kita'," katanya.
Katanya, anaknya kemudian membawa dia dan cucunya ke tempat selamat di dapur untuk menyelamatkan diri kerana bimbang berlaku kejadian lebih buruk berikutan kesemua bumbung sudah hilang diterbangkan angin kencang.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Muda berkata, pihaknya sedang menjalankan bancian bagi menilai kerosakan yang dialami mangsa sebelum bantuan disalurkan kepada mereka.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 1:03 PM


ANTARA rumah yang rosak dipukul ribut.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31977#sthash.uXDLdsau.dpuf

Bot karam, dua pemancing hilang


Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Kuala Kurau: Dua nelayan hilang manakala empat lagi selepas tiga bot yang dinaiki mereka dipukul ombak dan ribut di berhampiran Rumah Api Kuala Gula, di sini malam tadi.
Sehingga jam 2 petang ini dua mangsa yang hilang dikenali sebagai Muhammad Farid Hussin, 35, berasal dari Kuala Gula dan Patahhul Karim, 27, warga Indonesia masih belum ditemui lagi.
Ketua Operasi mencari Leftenan Maritim Malaysia Pengkalan Kuala Kurau, Mohd Fairul Haswadi Abu Bakar berkata , lebih kurang jam 7 malam tadi, tiga bot nelayan dinaiki dua nelayan tempatan dan empat warga Indonesia sedang menaikkan pukat di lokasi kejadian dan dipercayai karam berikutan keadaan cuaca yang buruk.
Menurutnya, sedang mereka menaikkan pukat, kawasan perairan itu dilanda ribut dan ombak besar hingga menyebabkan ketiga-tiga bot berkenaan terbalik dan karam.
"Kejadian itu menyebabkan seorang nelayan tempatan dan seorang nelayan warganegara Indonesia masih dilaporkan hilang sehingga kini.
"Jarak lokasi kejadian dari Kuala Gula adalah sekitar satu kilometer dan sebanyak enam agensi dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Jabatan Perikanan, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), bomba dan Jabatan Kesihatan Kuala Kurau terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mohd Fairul Hawadi berkata, dalam tempoh setengah jam selepas bot mereka karam terdapat sebuah bot nelayan yang berada di kawasan berhampiran membantu menyelamatkan mangsa yang tenggelam di tengah laut.
Menurutnya, bot terbabit berjaya menyelamatkan empat mangsa, manakala dua lagi gagal dikesan.
"Mangsa yang berjaya diselamatkan adalah Dahalan Jamaludin, 36, dari Kampung Nelayan Kuala Gul dan tiga lagi mangsa dari Indonesia berusia lingkungan 34 tahun hingga 46 tahun, " katanya.
Menurutnya, kekuatan anggota penyelamat adalah bomba seramai 16 orang APMM (8), polis (14), JPAM (5) dan Jabatan Kesihatan seramai tiga orang.
Katanya, sebanyak enam bot penyelamat digunakan bagi melakukan operasi pencarian.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31974#sthash.2OHOWItl.dpuf

Maut selepas selamatkan sepupu

Oleh Maiamalina Mohamed Amin

maiamalina@hmetro.com.my

Bachok: "Kami mandi elok je pada awalnya, tapi tiba-tiba saya rasa seperti kena tarik dengan ombak dan makin lama, makin jauh.
"Saya lambai tangan dan jerit minta tolong sebelum dua abang sepupu datang bantu. Malangnya mereka yang hanyut dan terus hilang," kata Raja Amir Hamzah Mohamed, 11, yang hampir lemas di Pantai Irama, di sini, kira-kira 9.15 pagi tadi.
Dalam kejadian itu, Raja Amir Hamzah hampir lemas ketika mandi di pantai berkenaan sebelum diselamatkan dua sepupunya Mohd Faiz Mat Adam, 19 dan abangnya Mohd Firdaus, 24.
Bagaimanapun, selepas berjaya menolak murid tahun lima itu ke tepi pantai, dua beradik terbabit hanyut dibawa ombak.
Mayat Mohd Faiz dijumpai kira-kira 11.14 pagi dan dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, manakala abangnya masih hilang.
Bercerita mengenai kejadian itu, Raja Amir Hamzah berkata, mereka ke pantai itu bersama sembilan lagi anggota keluarga dari rumah mereka di Kampung Petani, Sering, di sini.
Katanya, kira-kira 8.10 pagi dia turun ke pantai untuk mandi bersama sepupu yang berusia lapan dan 10 tahun.
"Kami mandi dekat tepi benteng pemecah ombak. Mulanya elok saja, tapi secara tiba-tiba saya rasa badan seperti ditarik ke tengah laut.
"Abang Faiz yang duduk di tepi pantai ketika itu segera bantu untuk tarik saya ke tepi dan abang Firdaus menyusul kemudiannya. Selepas saya ditolak ke tepi, mereka berdua hanyut dan hilang.
"Saya sedih kejadian ini berlaku kerana mereka hanya mahu menyelamatkan saya sahaja," katanya ketika ditemui di Pantai Irama, di sini, tadi.
Mohd Faiz lepasan sekolah, manakala Mohd Firdaus penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang difahamkan bakal menjalani latihan praktikal di sebuah agensi kerajaan di Pengkalan Chepa, 23 Februari ini.
Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Kasyfi Syahmi Ghazali berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira 9.23 pagi.
"Sepasukan anggota dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kota Bharu dan Pengkalan Kubor ke tempat kejadian, dengan mangsa pertama berjaya ditemui jam 11.14 pagi.
"Dia ditemui kira-kira 20 meter dari tempat lemas dan operasi menyelamat masih berlangsung untuk mencari mangsa kedua iaitu Mohd Firdaus berusia 24 tahun," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 3:58 PM


FOTO ihsan pembaca
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31990#sthash.H8atiGYM.dpuf