Search This Blog

Thursday, February 19, 2015

Jadual penerbangan ditangguh akibat ribut salji di Turki


ISTANBUL: Ribut salji mengakibatkan jadual penerbangan ditangguhkan di lapangan terbang utama Istanbul dan memaksa penutupan Selat Bosphorus yang menjadi laluan utama kapal laut membawa bijirin dan minyak dari Russia, kata pegawai Turki.
Ribut yang menyebabkan kesesakan di bandar raya dihuni kira-kira 15 juta manusia dan mengakibatkan pengguna pengangkutan awam terpaksa berjalan kaki ke tempat kerja.
Skuad bola sepak Besiktas turut terperangkap di lapangan terbang. Pasukan itu dijadualkan menentang Liverpool di Britain, esok.
Pegawai agensi lapangan terbang berkata, semua jadual penerbangan di Lapangan Terbang Ataturk ditangguhkan dan tidak dapat dipastikan bila ia akan disambung semula.
Sementara itu, Turkish Airlines, syarikat penerbangan keempat terbesar di Eropah berkata, ia membatalkan 200 penerbangan bagi hari ini dan esok.
Syarikat tambang murah, Pegasus turut membatalkan sebahagian jadual penerbangan.
Selat Bosphorus yang membahagikan Istanbul kepada kawasan Asia dan Eropah turut ditutup di kedua-dua laluan.
Sekurang-kurangnya 13 kapal masih menunggu untuk memasuki selat berkenaan dan dijangka meneruskan pelayaran esok.
Selat Dardanelles di hujung Sungai Marmara pula masih dibuka.
Pihak berkuasa maritim terpaksa menutup Selat Bosphorus, laluan laut tunggal bagi membawa komoditi Russia, berikutan jarak penglihatan yang kurang baik dalam musim sejuk menyebabkan kos kargo meningkat.
Kira-kira 10,000 kapal tangki yang membawa kira-kira 150 juta tan produk petroleum melalui selat sempit itu setiap tahun. - Reuters

Pembantu pejabat didakwa cabul lelaki


Oleh Mohd Hilmie Hussin
Melaka: Seorang pembantu pejabat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan mencabul kehormatan seorang lelaki dalam tandas awam Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka di sini, tahun lalu.
Tertuduh Deraman Abu Chek, 58, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Norina Maludin.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang lelaki berusia 23 tahun dengan meramas kemaluan mangsa bagi niat mencabul kehormatannya dalam tandas lelaki, aras bawah bangunan UTC Melaka kira-kira 7.30 malam, 19 Mac 2014.
Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Muhamad Juhari Haron menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 ke atas tertuduh.
Bagaimanapun, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBK) Ishak Kari merayu supaya jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh seorang berpendapatan rendah selain mempunyai enam anak yang masih bersekolah.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Norina menawarkan ikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Mac depan untuk sebutan semula kes serta lantikan peguam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31801#sthash.55AqbwiJ.dpuf

Geng samun tumpas


Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

izlaily@hmetro.com.my

Johor Bahru: Polis menumpaskan sindiket samun selepas tiga lelaki ditahan dan merampas empat parang, pemotong besi, pemutar skru serta sebuah Proton Wira dalam serbuan awal pagi di sebuah rumah di Ulu Tiram di sini, Selasa minggu lalu.
Dalam serbuan 4.25 pagi itu, tiga lelaki berusia 21 hingga 33 tahun ditahan kerana dipercayai terbabit dalam beberapa siri kes samun di daerah ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, turut dirampas tiga komputer riba pelbagai jenis, empat telefon bimbit, tiga sarung muka dan enam sarung tangan.
"Semakan rekod jenayah lampau, seorang daripada suspek memilik rekod dikehendaki polis dalam kes dadah. Saringan awal ujian air kencing juga mendapati semua suspek positif Methaphatamin.
"Semua suspek ditahan reman dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31758#sthash.XZ6oLJqb.dpuf

Suspek sindiket Along ditahan di Senai


JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dengan sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau 'Along' dalam serbuan di rumah di Senai, dekat sini, dua hari lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, lelaki berumur 46 tahun itu ditahan pada kira-kira 11 malam selepas polis bertindak atas maklumat berkaitan kegiatan itu.
"Pemeriksaan menemui 79 keping kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) pelbagai bank, 71 sampul surat mengandungi dokumen butir peminjam, tiga buku tunai, tiga keping jadual pinjaman serta satu telefon bimbit," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.
Mohd Mokhtar berkata, semakan mendapati lelaki itu tidak memiliki rekod jenayah dan dia kini direman sehingga Jumaat bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang (APPW) 1951 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM250,000 dan tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam kes lain, Mohd Mokhtar berkata, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan lapan kes samun di bandar raya ini selepas menahan tiga lelaki di Ulu Tiram, di sini, 10 Februari lalu.
Beliau berkata, ketiga-tiganya yang berumur antara 21 dan 33 tahun ditahan pada 4.25 pagi dan polis merampas beberapa barang termasuk tiga komputer riba, empat telefon bimbit, tiga sarung muka, enam sarung tangan, empat parang, pemotong besi serta sebuah kereta.
"Saringan ujian air kencing mendapati kesemua mereka positif terhadap dadah manakala seorang daripadanya memiliki rekod dikehendaki polis melibatkan kes dadah," katanya.
Kesemua mereka kini direman bagi membantu siasatan, katanya. - Bernama
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31806#sthash.lD1MzDbE.dpuf

Maut terperosok bawah kenderaan

Oleh Arifin Salleh
Alor Gajah: Seorang lelaki warga Indonesia terbunuh selepas motosikal ditunggang bertembung dengan pacuan empat roda di Jalan Alor Gajah-Pulau Sebang di Kampung Dalong, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 10.15 malam, mangsa dikenali Awi Sutopo, 30-an, menunggang motosikal jenis Modenas Kriss mati di tempat kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan.
Motosikal ditunggang mangsa dari arah pekan Alor Gajah menuju Pulau Sebang dipercayai hilang kawalan ketika hendak masuk ke satu simpang di sebelah kanan jalam sebelum bertembung dengan Toyota Hilux dinaiki lima beranak dari arah bertentangan.
Berikutan rempuhan itu, Awi yang bekerja di ladang kelapa sawit di Pedas Linggi terperosok di bawah pacuan empat roda menyebabkan badannya berlipat.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf mengesahkan kejadian dan berkata, mayat dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 1:52 PM


ANGGOTA polis memeriksa mayat mangsa yang maut dalam kemalangan malam tadi.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31791#sthash.eZlMsXts.dpuf

Dipenjara tujuh hari curi iPhone

Oleh Mohd Hilmie Hussin
Melaka: Seorang tukang kebun dijatuhi hukuman penjara tujuh hari oleh Mahkamah Majistret, di sini, atas tuduhan mencuri iPhone 4 dan dompet berisi wang tunai RM47 milik jemaah masjid di Ayer Keroh, Sabtu lalu.
Farid Raymee Ab Rahim, 36, dari Ayer Molek, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Norina Maludin selepas pertuduhan dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat curang mencuri telefon bimbit jenama iPhone 4 dan dompet yang mengandungi RM47 yang kesemuanya bernilai RM400 milik Mohd Nasiruddin Mohd Nasir, 21, di Masjid Al-Alami, Ayer Keroh, di sini, pada 1.40 petang, 14 Februari lalu.
Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau kedua-dua sekali.
Norina menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari ke atas tertuduh bermula hari ini.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 3:52 PM


TERTUDUH (baju biru) dijatuhkan hukuman penjara tujuh hari.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31798#sthash.6dKgWj0n.dpuf

Dua maut kereta rempuh penghadang jalan

Oleh Rosli Ilham

am@hmetro.com.my

Hulu Terengganu: Dua termasuk bayi berusia setahun terbunuh apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 384.1 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Ajil, hari ini.
Bayi terbabit, Zillamsya Zikrilah yang parah di bahagian kepala dan muka meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakan ayahnya, Shahrul Yusof, 22, meninggal dunia di Hospital Hulu Terengganu.
Sementara itu, ayah Zillamsya, Zikrilah Mohd Rawi, 25, serta adik iparnya, Yusnaidi Zulkifli, 21, pula parah di kepala dan dilaporkan kritikal.
Mereka kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir berkata, kejadian kira-kira 3 petang itu berlaku apabila kereta dipandu Zikrilah yang tinggal di Indra Sempurna, Kuantan, dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh penghadang jalan menyebabkan enjin kereta Honda Civic itu tercampak ke atas jalan sebelum kenderaan itu berpusing.
"Sebuah Proton Putra kemudian merempuh enjin terbabit dan melanggar Honda Civic berkenaan lalu melanggar penghadang jalan. Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 8:02 PM


KEADAAN kereta dinaiki mangsa (gambar kecil) selepas kemalangan. FOTO Rosli Ilham
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31813#sthash.fxH26cv2.dpuf

14 warga Thailand dituduh milik air ketum

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad
Seremban: Empat belas lelaki warga Thailand termasuk seorang juvana dituduh di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan bersama memiliki cecair disyaki air ketum kira-kira enam liter, awal bulan ini.
Mereka ialah Royali, 31; Muhammatlukman, 28; Maluepeng, 29; Emron, 28; Abdonloh, 25; Mohmadsobri, 22; Niasmin, 22; Marosee, 20; Wailbroheng, 22; Sulaiman, 24; Adam, 21; Mamuelee, 35; Khawee Do, 20; dan juvana berusia 17 tahun yang bekerja di restoran tomyam di Nilai, dekat sini.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama memiliki cecair disyaki air ketum anggaran enam liter di rumah beralamat PT5632, Taman Desa Anggrik, Nilai, kira-kira 3 petang, 9 Februari lalu.
Oleh itu, mereka didakwa melakukan kesalahan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 30 (5) akta sama, dibaca serentak Seksyen 34 Kanun Kesesksaan.
Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya sekali.
Kecuali Wailbroheng yang mengaku bersalah, semua tertuduh lain memohon dibicarakan sejurus mendengar pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak.
Timbalan Pendakwa Raya Kaiyisah Shukri mencadangkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh, namun mahkamah mengurangkan jumlah itu kepada RM2,500 selepas menimbangkan rayuan mereka.
Terdahulu, semua tertuduh merayu wang jaminan yang rendah kerana hanya bekerja di restoran tomyam dan mempunyai tanggungan di kampung halaman di Thailand.
Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 20 April depan bagi mendapatkan laporan kimia dan fakta serta hukuman terhadap Wailbroheng.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 9:36 PM


ANTARA 14 tertuduh warga Thailand yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31814#sthash.SJTqnqnL.dpuf

Polis wanita didakwa lepas tahanan



Oleh Hadzlihady Hassan

hadzlihady@hmetro.com.my

GEORGETOWN: Seorang pegawai polis wanita yang dituduh melepaskan tahanan dibawah jagaannya ketika dibawa ke mahkamah dua tahun lalu diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Majisret Diannee Ningrad Nor Azahar membuat keputusan itu selepas mendapti pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh Asisten Superintendan L Chandkumary, 58, di akhir kes pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 2 dan 6 April ini sebagai tarikh untuk membela diri.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja melepaskan K Prabaharan, 45, yang ketika itu dalam jagaan dan kawalannya di Kompleks Mahkamah Pulau Pinang, jam 1.50 petang pada 9 Oktober 2013.
Bagi kesalahan itu, Chand Kumari didakwa mengikut Seksyen 225A (1) (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Talib dan tertuduh diwakili Danny C Nevarednam.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 10:30 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31817#sthash.adEdWMh6.dpuf

Mangsa ragut terima enam jahitan

Oleh Muhamaad Hafis Nawawi
Serdang: Seorang wanita warga Indonesia berusia 30-an menerima enam jahitan di kepala selepas menjadi mangsa ragut dua lelaki di Bandar Kinrara 2, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian 6.45 pagi semalam, mangsa sedang berjalan kaki sebelum tiba-tiba didatangi suspek dengan motosikal dan terus memukul mangsa dengan batang besi sebanyak tiga kali di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razimi Ahmad berkata, suspek kemudian terus mengambil beg tangan mangsa berisi wang tunai RM300 dan telefon bimbit dan melarikan diri.
Menurutnya, akibat kejadian itu mangsa menerima enam jahitan di kepala, dan lebam di badan akibat terjatuh.
"Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
"Orang ramai tidak perlu bimbang mengenai kejadian itu dan rondaan pencegahan jenayah akan dipertingkatkan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 9:59 AM


MANGSA ragut yang cedera dibantu orang ramai.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31964#sthash.MkWH3x3W.dpuf

Lelaki maut rempuh papan tanda

Oleh Muhamaad Hafis Nawawi
Kuala Lumpur: Seorang lelaki berusia 33 tahun maut selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh tiang papan tanda di pembahagi jalan di Jalan Sungai Besi, 3.40 pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan 3.44 pagi dan tiba ke lokasi kejadian enam minit kemudian.
Menurutnya, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pudu.
Katanya, kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Viva dipandu seorang lelaki Iban terbabas dan merempuh tiang papan tanda di pembahagi jalan.
"Mangsa tersepit ditempat duduk pemandu dan disahkan mati oleh pihak paramedik dilokasi.
"Mangsa yang tersepit berjaya dibawa keluar 4.30 pagi dan diserahkan kepada polis," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 10:10 AM


KERETA yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31967#sthash.MfXueYeg.dpuf

Bot karam, dua pemancing hilang


Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Kuala Kurau: Tiga bot yang dinaiki lapan pemancing dilaporkan karam selepas dipercayai dipukul ombak dan ribut kuat dalam kejadian berhampiran Rumah Api Kuala Gula, di sini awal pagi tadi.
Setakat ini, enam mangsa berjaya diselamatkan dan dua lagi mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun serta seorang lelaki warga Indonesia berusia 27 tahun masih hilang dikhuatiri lemas.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kurau ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada jam 7.41 pagi dan melancarkan operasi mencari mangsa dengan dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kuala Kangsar dan Ipoh.
"Berdasarkan maklumat yang diterima terdapat tiga bot dipukul ombak sebelum terbalik dan karam di kawasan berkenaan membabitkan lapan pemancing.
"Enam daripadanya sudah berjaya ditemui dan diselamatkan, manakala usaha mencari dua lagi mangsa iaitu seorang lelaki warga tempatan serta seorang lagi lelaki Indonesia," katanya.
Menurutnya, kejadian bot karam itu berlaku kira-kira 6 kilometer dari muara Kuala Gula pada tengah malam tadi dan operasi mencari kini meliputi kawasan seluas kira-kura 5 kilometer dari lokasi bot berkenaan dipercayai terbalik.
"Operasi meliputi pencarian dipermukaan laut danan menggunakan khidmat penyelam dari PPDA.
"Kekuatan anggota bomba adalah seranai 16 orang dengan dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) seramai lapan orang, polis (14), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) lima orang dan Jabatan Kesihatan seramai tiga orang," katanya.
Katanya, sebanyak enam bot penyelamat digunakan bagi melakukan operasi pencarian yang diketuai oleh Penguasa Kanan Bomba 1 Hamid Khalid.
Sehingga jam 11 pagi tadi kedua-dua mangsa masih gagal ditemui lagi.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31974#sthash.dUKHTdW5.dpuf

Maut 'dilauk' rakan sekampung


Oleh Mohamad Fahd Rahmat

fahd@hmetro.com.my

Johor Bahru : Gara-gara merosakkan motosikal milik orang lain, seorang lelaki berusia 23 tahun terbunuh selepas terbabit dalam pergaduhan dengan sekumpulan lelaki yang juga rakan sekampung dalam kejadian di Kampung Pasir Putih Pasir Gudang Johor kira-kira 7.15 malam tadi.
Difahamkan suspek diserang dan dipukul akibat perselisihan faham dengan sekumpulan enam lelaki yang dikenali pada tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Abdul Samad Salleh berkata, mangsa disahkan meninggal dunia apabila dibawa untuk mendapatkan rawatan ke klinik berhampiran.
"Polis mengesahkan menerima maklumat mengenai kejadian terbabit daripada orang awam semalam kira-kira 7.30 malam.
"Kejadian berlaku kira-kira 7.15 malam di Kampung Pasir Putih dan mangsa diserang oleh sekumpulan enam lelaki yang dikenali dari kampung yang sama.
Beliau berkata, susulan itu polis berjaya menahan dua suspek utama berusia 45 dan 22 tahun kira-kira 8.30 malam hari yang sama mangsa meninggal dunia.
"Polis kini memburu empat lagi suspek selain dua tangkapan akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut," katanya siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31975#sthash.J80o3DXt.dpuf

Padah ‘rompak’ hasil laut

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

srul@hhmetro.com.my
Kuantan: Tindakan sekumpulan nelayan warga asing mengambil kesempatan menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan ketika musim tengkujuh membawa padah apabila mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur, kelmarin.
Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Timur Laksamana Pertama Maritim Mamu Said Alee berkata, Kapal Ronda Maritim Malaysia Daerah Maritim 8 (Pahang) yang sedang menjalankan rondaan menahan dua bot nelayan warga Vietnam dengan dua tekong dan 13 awak-awak di dua lokasi berasingan kira-kira 76 batu nautika dan 61 batu nautika di timur laut Kuantan.
Beliau berkata, ketika kejadian, sebuah daripada bot terbabit sedang mencandat sotong dan cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran kapal peronda APMM.
“Bagaimanapun, tindakan pantas anggota APMM berjaya menahan mereka,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Mamu Said berkata, bot nelayan Vietnam yang menggunakan nombor pendaftaran BD 95918 TS dan BD 95890 TS itu serta semua nelayan asing berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, Terengganu, untuk tindakan lanjut.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 5:13 AM


APMM Wilayah Timur menahan nelayan warga asing yang menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31906#sthash.ezbI2FFl.dpuf

Tragedi malam Tahun Baru Cina

Miri: Hasrat sebuah keluarga menyambut Tahun Baru Cina esok tidak kesampaian apabila tiga daripada anggota keluarga itu mati dalam kebakaran di rumah pangsa di Permai Jaya, di sini, awal pagi tadi.
Difahamkan, dua wanita dan seorang lelaki itu mati lemas akibat asap tebal selepas gagal mencari jalan keluar sejurus rumah mereka yang masih dalam proses ubahsuaian terbakar kira-kira 1 pagi tadi.
Dua jentera bomba bersama 10 anggota, masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri dan Lopeng dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.
Mangsa dikenali sebagai Tiong Ing Tai, 61; Tang Pah King, 46, dan Tiang Yong Wuu, 14.
Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Miri untuk bedah siasat.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 11:08 AM


FOTO ihsan Bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31707#sthash.VWLzBvcQ.dpuf

Buta dijirus asid

Georgetown: Seorang tukang paip berusia 47 tahun buta kedua-dua mata akibat disimbah asid oleh isterinya sendiri dalam kejadian Flat Sri Saujana, Lebuh Maccalum, pagi semalam.
Kejadian dipercayai berlaku pada 6.30 pagi ketika mangsa sedang tidur sebelum isterinya seorang wanita warga Thailand berusia 29 tahun dipercayai menyimbah asid ke seluruh badan mangsa.
Isteri mangsa kemudian melarikan diri dengan menaiki kenderaan mangsa dan membiarkan lelaki terbabit meraung kesakitan di dalam bilik akibat melecur teruk.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan Abdul Rahman Ahmad berkata, mangsa bernasib baik apabila jeritannya didengari pengawal keselamatan flat berkenaan yang kemudian memecahkan pintu jeriji untuk menyelamatkan mangsa.
Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan serius dan matanya dipercayai buta selain masih tidak sedarkan diri dan kini dirawat di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang.
Polis masih memburu isteri mangsa dan kejadian dipercayai berlaku kerana perselisihan faham.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 2:17 PM


PEMANGKU Ketua Polis Daerah Timur Laut (tiga dari kiri) meninjau keadaan bilik mangsa. FOTO Mikail Ong
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31796#sthash.Zjgiyp7J.dpuf

Bunuh keluarga sebelum bunuh diri


Chengde (China): Seorang lelaki mengamuk dan membunuh tujuh anggota keluarganya sebelum membunuh diri beberapa hari sebelum perayaan Tahun Baru China.
Dalam kejadian itu, Wu Shouguo, 38 tahun dipercayai memukul isterinya, dua anak dan empat anggota keluarga isterinya malam Ahad lalu, menurut kenyataan akhbar dikeluarkan biro awam bandar Chengde, semalam.
Wu kemudian membunuh diri dengan meminum racun serangga.
Polis menemui tujuh mayat, termasuk Wu, di kediamannya di kampung Xiaonangou di wilayah Hebei.
Mayat kakak iparnya ditemui di kilang yang terletak 100 meter dari rumahnya.
Wu tinggal bersama ibu bapa dan kakak iparnya sejak mereka berkahwin pada 2000, tetapi dia kerap bertengkar dengan keluarga isterinya.
Dia dipercayai terlalu marah hingga menyebabkan dia bertindak membunuh isteri, anak lelaki dan perempuan berumur tujuh dan 14 tahun, mentuanya serta anak saudara lelaki berusia 10 tahun.
Polis berkata, Wu kemudian pergi ke asrama kilang tempat kakak iparnya tidur malam itu dan memukulnya hingga mati sebelum pulang ke rumah untuk membunuh diri. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 5:09 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31884#sthash.6hQeN4SA.dpuf

Polis tumpas sindiket ah long


Polis tumpas sindiket ah long
JOHOR BAHRU - Polis menumpaskan sindiket pemberian pinjaman wang tanpa lesen (ah long) susulan penahanan seorang lelaki berusia 46 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Senai, Isnin lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 11 malam dan polis telah merampas 76 kad pengeluaran wang automatik (ATM) milik pelbagai individu.

Katanya, dalam serbuan itu polis turut merampas 71 sampul surat mengandungi dokumen butir peminjam serta tiga buku tunai, tiga jadual pinjaman dan sebuah telefon bimbit.

“Lelaki berkenaan ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan ah long, bagaimanapun hasil semakan mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

“Suspek direman hingga Jumaat ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang (APPW).

“Jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan denda tidak kurang RM250,000 dan tidak lebih RM1 juta dan boleh juga dipenjara lima tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, polis turut merampas sepucuk pistol ketika membuat Ops Bersepadu di Taman Johor Jaya pada 10 Februari lalu kira-kira jam 3.35 pagi.

Mohd Mokhtar berkata, dalam kejadian itu, anggota polis cuba memeriksa dua lelaki menaiki motosikal yang didapati berada dalam keadaan mencurigakan, namun mereka bertindak melarikan diri.

“Polis mengejar mereka dan ternampak satu objek menyerupai pistol dicampak suspek sebelum terus melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan mendapati objek itu merupakan sepucuk pistol jenis semi-auto bersama satu kelopak mengandungi tujuh peluru,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971) dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

“Polis sedang giat mengesan kedua-dua suspek dan akan membuat tangkapan dalam masa terdekat. Kita juga sedang menyiasat dari mana pistol ini diperoleh,” katanya.

Mercun RM10,000 dirampas


Mercun RM10,000 dirampasLEDANG - Hasrat seorang penjual insurans mendapatkan duit lebih sempena Tahun Baru Cina tidak kesampaian apabila mercun bernilai RM10,000 yang disimpan dalam rumahnya dirampas di Taman Tangkak Jaya, di sini.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Mohd Salleh Abd Razak berkata, serbuan pada awal pagi 12 Februari lalu dilakukan sepasukan anggota Balai Polis Tangkak hasil maklumat orang awam.

Menurutnya, pemeriksaan di rumah milik lelaki tersebut menjumpai 34 kotak yang mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api.

“Kita turut menahan lelaki berusia 55 tahun itu dalam Ops Limau sempena Tahun Baharu Cina untuk siasatan lanjut dan mengakui bahan letupan tersebut miliknya.

“Suspek juga gagal menunjukkan  sebarang dokumen yang membenarkan dia memiliki mercun dan bunga api,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, semalam.

Beliau berkata, walaupun suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis, tetapi siasatan masih diteruskan untuk mengetahui punca bekalan mercun diperolehinya.

“Kita percaya suspek menjadi penjual dan bahan letupan itu disimpan dalam rumah sebelum dijual kepada pembeli di daerah ini  untuk kegunaan pada musim perayaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akat Bahan Letupan 1957 yang boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Mohd Salleh berkata, walaupun setakat ini  baru melakukan satu tangkapan, tetapi pihaknya sentiasa mempergiatkan  usaha mengesan mana-mana pihak yang memiliki bahan larangan itu  dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap pesalah terlibat.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak bakar mercun pada musim perayaan ini kerana bukan sahaja tidak dibenarkan, tetapi juga boleh mendatangkan kecederaan dan kemusnahan harta benda.

“Kita akan memantau  dengan  membuat rondaan di sekitar kediaman penduduk sama ada kawasan perumahan atau kampung bagi memastikan tiada yang yang langgar larangan ini,” katanya.

Dipenjara akibat seludup rokok


Dipenjara akibat seludup rokok
KUANTAN – Menggunakan kuasa air mata, mengenangkan hukuman yang bakal dihadapi dan isterinya baru dikahwini di Bangladesh, seorang warga asing tidak henti merayu kepada Mahkamah Majistret Kuantan, di sini, agar mengurangkan hukuman dikenakan atas kesalahan menyeludup rokok haram, semalam.

Kelicikannya itu tidak menggugat keputusan, malah dengan mengambil kira jumlah seludupan, kerugian kepada pendapatan negara dan merupakan kesalahan pertama tertuduh serta telah memberikan kerjasama,  Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali  mendapatinya bersalah mengenakan hukuman penjara 10 bulan dari tarikh tangkap, 6 Februari lepas.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh, Osman (berdasarkan nama pada pasport), 32, dari Bangladesh dituduh melakukan kesalahan menyeludup kira-kira 1,620 paket rokok pelbagai jenama di Asrama Pekerja, Felda Lepar Hilir 8, lebih kurang jam 3.30 petang pada 6 Februari lepas.

Barang-barang yang mengandungi tembakau dan dilarang pengimportannya di bawah perintah kastam itu ditaksirkan bernilai RM2,830.

Dalam pada itu juga, tertuduh boleh dikenakan denda minima 10 kali ganda nilai iaitu RM28,304 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau hukuman maksima tidak lebih daripada 20 kali  ganda nilai iaitu RM56,608 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, ketika pemeriksaan dilakukan penguat kuasa yang tiba di asrama pekerja Felda Lepar Hilir 8 itu pada 6 Februari lepas telah menemui Rokok Putih dan Rokok Kretek pelbagai jenama yang disyaki belom diluluskan oleh kastam yang disimpan di antara celah peti sejuk dan almari di bucu biliknya.

Hasil siasatan dijalankan mendapati sebahagian rokok dirampas tidak mempunyai amaran kesihatan bergambar, maklumat kesihatan dan label cukai kastam.

Dalam pada itu, tertuduh yang bekerja sebagai pencuci kawasan asrama pekerja  itu merayu agar dikurangkan hukuman memandangkan baharu sahaja berkahwin dan perlu menyara isteri yang berada di Bangladesh.

Sementara itu, dalam perbicaraan lain di mahkamah berasingan, kelicikan seorang lelaki yang juga menyeludup rokok sebanyak 49 paket dan ditafsirkan pihak kastam bernilai RM79.60, akhirnya menerima padah apabila dikenakan penjara selama 10 hari dan denda sebanyak RM800 setelah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret 2 Kuantan, semalam.

Tertuduh, R. Navin, 23, dari Taman Dato’ Abdul Rashid, dekat sini, dituduh melakukan kesalahan tersebut di Vasugi Mini Mart, Taman Dato’ Abdul Rashid, Jalan Kuantan By-Pass, lebih kurang jam 3.30 petang, 11 Februari lepas.

Dalam pada itu juga, tertuduh boleh dikenakan denda minima 10 kali ganda nilai iaitu RM796 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau hukuman maksima tidak lebih daripada 20 kali  ganda nilai iaitu RM1,592 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam kes tersebut, mahkamah telah mendapati tertuduh bersalah dan Majistret Noor Aisah Mohamad menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dari tarikh tangkap dan denda RM800 dan sekiranya gagal akan dikenakan penjara lapan hari.

Dua maut kereta terbabas


Dua maut kereta terbabas
HULU TERENGGANU - Dua maut termasuk seorang bayi lelaki dianggarkan berusia setahun, manakala dua cedera parah dan dua lagi cedera ringan dalam satu kemalangan babitkan dua kereta di Kilometer 384.2 LPT2 Bukit Besi-Ajil (Felda Jerangau Barat) di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 2.20 petang itu, mangsa maut ialah penumpang Honda Civic iaitu Zill Amsyar Mohd Zikrullah, 1, dan Mohd Shahrul Faizan Mat Yusof, 24, beralamat di Kampung Belaoh, Jertih, Besut.

Manakala, dua yang cedera parah ialah pemandu kenderaan berkenaan, Mohd Zikrillah Mohd Rawi, 26, beralamat di Kampung Gong Datuk, Pasir Puteh Kelantan dan seorang lagi penumpang, Yusnaidi Zulkifli, 20, dari Kampung Belaoh, Jertih, Besut.

Sementara itu, mangsa yang alami cedera ringan ialah pemandu dan penumpang Proton Putra iaitu Md Zamzuri Abdullah beralamat di Maras, Kuala Terengganu serta Ahmad Yusri Abdullah, 24, berasal dari Pasir Mas, Kelantan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu,  Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir berkata, siasatan awal mendapati Honda Civic dipandu Mohd Zikrillah bersama tiga penumpang yang datang dari Kuantan menghala ke Kelantan dipercayai terbabas secara tiba-tiba.

“Berikutan itu, kereta berkenaan yang terbabas ke kiri jalan telah melanggar besi pengadang jalan  sebelah kiri sebelum berpusing beberapa kali di tengah jalan.

"Pada masa itu, Proton Putra dipandu Md Zamzuri telah terlanggar kereta terbabit," katanya.

Daripada maklumat diperoleh juga, Proton Putra dinaiki bersama seorang penumpang itu dalam perjalanan dari Johor Bharu menghala ke Kuala Terengganu.

Pangku mayat bayi

Sebelum kejadian, kereta tersebut berada di lorong kanan jalan, manakala Honda Civic di sebelah kiri jalan.

“Salah seorang mangsa iaitu bayi lelaki maut di tempat kejadian setelah dipercayai tercampak keluar dari kenderaan, manakala mangsa kedua, Mohd Shahrul Faizan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Hulu Terengganu (HHT).

“Bedah siasat sedang diusahakan. Maklumat lanjut juga masih dalam siasatan pihak polis,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, tinjauan ke lokasi kejadian cukup mengharukan apabila pengguna lebuh raya bergilir-gilir memangku mayat bayi berkenaan selain turut memayunginya sementara tunggu pihak yang berkaitan tiba.

Malah, lalu lintas dari arah Bukit Besi menghala ke Ajil juga turut sesak serta bergerak perlahan namun berjaya  dikawal peronda LPT serta pihak polis terutamanya dari Cawangan Trafik IPD Hulu Terengganu dengan dibantu IPD Dungun.

Enjin kereta tercabut

Sementara itu, salah seorang orang awam yang terawal tiba di lokasi kejadian iaitu Syed Fazril Tuan Razak, 26, dari Felda Jerangau Barat berkata ketika tiba di lokasi kejadian dia melihat empat mangsa terbaring di tiga lokasi berasingan.

Menurutnya, sebelum kejadian dia bersama rakannya dalam perjalanan pulang melalui jalan di Felda Jerangau Barat daripada memancing di sungai dan terdengar bunyi riuh di lebuh raya lalu mengambil keputusan untuk melihat keadaan sebenar.

“Saya benar-benar terkejut kerana kemalangan yang berlaku menyebabkan seorang mangsa terbaring atas lebuh raya, seorang di atas tebing dan dua orang lagi termasuk seorang bayi lelaki terjatuh dalam gaung.

“Malah, kedua-dua enjin kereta kenderaan terlibat juga tercabut. Walaupun kemalangan tidak berlaku di hadapan mata tetapi saya dan rakan antara yang terawal berada di lokasi serta turut membantu mangsa apa yang sepatutnya.

“Ketika itu, bayi berkenaan sudahpun tidak bergerak manakala tiga yang lain berdarah serta mengerang kesakitan," katanya.

Kata Syed Fazril, mulanya ada seorang wanita memangku kanak-kanak tersebut sebelum diserahkan kepada seorang lelaki kerana dia ingin teruskan perjalanan.

“Tidak lama kemudian mayat bayi tersebut diserahkan kepada saya untuk dipangku.

"Saya dan pengguna jalan raya lain bergilir memangku bayi ini sementara tunggu ketibaan pihak berkenaan,” ujarnya.

Bayi lelaki maut kereta bapa hilang kawalan


18 Februari 2015


HULU TERENGGANU - Dua orang termasuk seorang bayi lelaki berusia setahun maut setelah kenderaan yang dinaiki mereka terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 384.2 Lebuh Raya Pantai Timur Bukit Besi-Ajil, di sini petang tadi.
 
Bayi berkenaan yang dikenali sebagai Zill Amsyar Mohd Zikrillah meninggal dunia di tempat kejadian.
 
Seorang lagi penumpang kereta berkenaan, Mohd Shahrul Faizan Mat Yusof, 24, yang merupakan rakan kepada bapa mangsa, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Hulu Terengganu.
   
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Rosli Mohd Amir berkata, dalam kejadian 2.45 petang itu, kenderaan yang dipandu bapa bayi berkenaan, Mohd Zikrillah Mohd Rawi, 26, dipercayai hilang kawalan ketika melalui lokasi kejadian.

Katanya ekoran itu, kenderaan yang dinaiki empat orang itu yang datang dari arah Kuantan menghala ke Kelantan itu merempuh besi penghadang jalan sebelah kiri sebelum berpusing beberapa kali di tengah jalan.

"Namun pada masa yang sama, sebuah kereta jenis Proton Putra yang datang dari Johor Baharu menghala ke Kuala Terengganu gagal mengelak lalu terlanggar kereta mangsa yang berpusing di tengah jalan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Susulan perlanggaran itu, bapa bayi berkenaan bersama adik iparnya Yusnaidi Zulkifli, 20, masing-masing cedera parah.

Difahamkan ketika kejadian, kesemua mangsa yang menaiki kereta jenis Honda Accord itu dalam perjalanan pulang ke kampung di Kelantan dan Besut. Ibu kepada bayi malang itu tiada bersama dalam kenderaan kerana tidak dapat pulang ke kampung bersama suami dan anaknya kerana bertugas.

Mohd Rosli berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk dibedah siasat.

Katanya pemandu kereta Proton Putra, Ahmad Zamzuri Abdullah dan penumpang Ahmad Yusri Abdullah hanya cedera ringan. - Bernama

Niat murni berakhir tragedi


Niat murni berakhir tragediBACHOK – Niat murni seorang lelaki untuk menyelamatkan mangsa yang hampir lemas berakhir dengan tragedi apabila dia sendiri kehilangan nyawa selepas dihanyutkan ombak dalam kejadian di Pantai Aur Telong, jam 4 petang, semalam.

Anak mangsa, Mohd Rossmaizat Rosli, 20, memberitahu, bapanya, Rosli Arifin, 48, cuba menyelamatkan beberapa orang yang dikatakan hampir lemas semasa mandi di pantai berkenaan.

Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang berjoging di tepi pantai apabila terlihat adik rakannya terkapai-kapai kelemasan.

"Salah seorang rakan saya yang memakai jaket keselamatan turun ke air dengan segera untuk menyelamatkannya, tetapi rakan saya itu juga dilihat lemas menyebabkan saya juga turun ke air untuk menyelamatkan mereka.

"Malangnya paras air terlalu dalam dan ombak kuat menyebabkan saya juga hampir lemas. Kami bertiga berpegang pada jaket keselamatan rakan saya sehinggalah abah datang," katanya ketika ditemui di pekarangan Klinik Kesihatan Bachok semalam.

Mohd Rossmaizat berkata, ayahnya bersama seorang rakan, Zawadi Che Pa, 49, membawa pelampung untuk mereka bertiga tetapi selepas itu dia sendiri dihanyutkan arus air yang deras.

Katanya, mereka kemudiannya dibantu oleh penduduk yang menghulurkan buluh bagi mengheret mereka ke daratan manakala mayat bapanya timbul 100 meter dari lokasi kejadian dan dibawa naik ke darat oleh orang awam.

Sementara itu, rakan mangsa, Zawadi menceritakan, ketika kejadian, dia baru selesai solat zuhur sebelum melihat orang ramai berlari ke pantai.

"Saya terus turun ke air namun gagal tiba di tempat Rosli lemas, menyebabkan saya sendiri lemas. Tetapi saya diselamatkan orang awam.

"Kami datang ke pantai ini seramai tujuh keluarga sempena hari keluarga kumpulan WhatsApp Cendikiawan. Saya sendiri datang bersama sembilan ahli keluarga. Kami tidak menyangka ia akan berakhir dengan tragedi sebegini," katanya.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad mengesahkan kejadian dan memaklumkan, mangsa terselamat di bawa ke hospital di Kota Bharu.

Mayat Rosli dituntut ahli keluarga untuk disemadikan di kampung halamannya

Peniaga trauma diserang 4 lelaki


Peniaga trauma diserang 4 lelaki
BATU KARANG – Empat penjenayah memperkenalkan diri terlebih dahulu, sebelum menyamun pasangan suami isteri yang baharu sahaja membuka kedai runcit, jam 6.45 pagi semalam.

Mangsa, Kamarudin Abd Rashid, 39, berkata, dua penjenayah menunggang motosikal jeni Yamaha Lagenda manakala dua lagi menunggang motosikal jenis Honda, bersenjatakan parang dan kayu serta memakai topeng muka.

Menurutnya, semasa kejadian, dia baru sahaja tiba di kedai runcit di Kampung Gual To' Edeng, di sini, selepas membeli kelengkapan jualan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung untuk dihantar ke Pasar Tanah Merah.

“Dua lelaki menerkam isteri saya dan cuba mengambil beg tangan. Namun disebabkan isteri saya melawan, suspek memukulnya dengan bahagian belakang parang sehingga terjatuh.

“Dua lagi lelaki melibas parang dan berusaha menghalang saya daripada mendekati kedai kemudian menolak saya ke kebun getah yang terletak 30 meter dari tempat kejadian,” katanya.

Kamarudin berkata, dalam kekalutan semasa kejadian itu, sebilah parang terlepas daripada pegangan salah seorang suspek dan mereka melarikan diri ke arah Jalan Batu Karang-Tanah Merah menaiki motosikal sama.

Sementara itu, isteri Kamarudin, Fatimah Ramli, 40, berkata, dia kehilangan wang tunai sebanyak RM5,000, barang kemas bernilai RM60,000, sembilan buku bank dan kunci.

Katanya, dia tidak sanggup meninggalkan barang kemas pusaka di rumahnya kerana ia baru sahaja dipecah masuk beberapa bulan lalu.

“Walaupun trauma dengan kejadian ini, namun perniagaan perlu diteruskan kerana pelanggan kami mengharapkan bekalan bahan mentah untuk kegunaan kenduri ketika musim perayaan ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, pihaknya masih mengesan empat lelaki dalam lingkungan usia 20 hingga 30-an.

Menurutnya, siasatan turut menyentuh sama ada motosikal yang digunakan adalah motosikal curi atau tidak, manakala senjata digunakan dalam kejadian tersebut dibawa ke balai untuk siasatan lanjut.

“Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan. Namun peniaga mengalami kecederaan ringan kerana bergelut dengan penjenayah terbabit. Kes ini disiasat di bawah Sekyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Kereta dua wakil rakyat DAP kena pecah


Kereta dua wakil rakyat DAP kena pecah
SEREMBAN - Dua kereta milik wakil rakyat dari DAP dipecah individu tidak dikenali dalam satu kejadian di kawasan letak kereta sebuah restoran di Rahang di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, Adun Repah, S Veerapan dan Adun Senawang, P Gunasekaran, sedang menikmati makan malam di restoran terbabit bersama beberapa lagi Adun DAP negeri ini.

Veerapan kerugian hampir RM2,000 apabila komputer riba yang ditinggalkan di dalam kereta jenis Honda CRV itu dilarikan pencuri, manakala Gunasekaran rugi kira-kira RM200 apabila cermin sisi belakang kereta jenis Mercedes Benz miliknya pecah.

Veerapan memberitahu, dia menyedari cermin keretanya pecah selepas majlis makan malam berakhir.

“Saya terperanjat melihat cermin sisi belakang kanan pecah dan mendapati beg mengandungi komputer riba dalam kereta turut hilang," katanya.

Sementara itu, Gunasekaran berkata, dia bernasib baik kerana tiada barang berharga ditinggalkan dalam keretanya.

Saya hanya rugi RM200 kerana terpaksa baiki cermin yang pecah.

“Saya tidak pasti siapa lakukan perkara ini. Saya minta polis menyiasat perkara ini,” katanya sambil mengesahkan telah membuat laporan polis.

Gara-gara belasah isteri, lelaki masuk penjara


Gara-gara belasah isteri, lelaki masuk penjara
KOTA BHARU - Gara-gara membelasah isterinya, seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan dijatuhi hukuman 10 bulan penjara

Hukuman diputuskan Majistret, Mohamad Nasrudin Mohamed ke atas pekerja pam minyak terbabit, Mohd Hasrul Omar, 30, selepas tertuduh mengaku bersalah.

Lelaki tersebut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada isterinya seorang warga Indonesia, Rumisih Suwarno dengan menumbuk di kepala, dada dan bahu kanan di alamat Kampung Kuala Besar, Badang, di sini, pada jam 12 tengah hari, 13 Februari lalu.

Dalam kejadian itu, tertuduh dipercayai penagih dadah menumbuk mangsa dengan tangan dan lutut serta turut menendang di badan dengan kaki hingga isterinya cedera lebam-lebam di badan.

Tertuduh pada mulanya meminta duit dengan mangsa, namun permintaan itu tidak dapat dipenuhi kerana tidak mempunyai wang menyebabkan berlaku pertengkaran mulut.

Tertuduh kemudian bertindak ganas dengan membelasah mangsa hingga ibu mertua mangsa datang meleraikannya.

Pada prosiding semalam, tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kelantan memohon hukumannya diringankan.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepadanya.

“Saya mohon mahkamah mempertimbangkan rekod jenayah lampau tertuduh dan mengambil kira jenayah keganasan rumah tangga yang semakin berleluasa terutama di negeri ini,” katanya.

Dua lelaki ditahan dalam ladang


Dua lelaki ditahan dalam ladang
MUADZAM SHAH – Dua lelaki yang dicurigai telah ditahan di kawasan saluran paip gas ladang Felda Keratong 5, di sini, dalam Ops Sarang yang dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya, berkata, penahanan kedua suspek berusia 30-an itu membawa kepada penemuan sepeket dadah.

“Ops Sarang yang dilakukan adalah hasil maklumat orang awam. Kedua-dua suspek telah ditahan sekitar jam 4 petang semalam (kelmarin) dan soal siasat serta pemeriksaan di sekitar lokasi mereka ditangkap turut dilakukan sambil diperhatikan oleh suspek.

“Setelah beberapa ketika pemeriksaan dilakukan akhirnya membawa kepada penemuan satu beg pinggang bewarna hitam berada di atas tanah yang mengandungi 479.46 gram serbuk keputihan dipercayai dadah berbahaya jenis heroin,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Johari, sebuah motosikal jenama Honda turut dirampas, manakala kedua suspek dan kesemua barang kes telah dirampas untuk tindakan lanjut.

“Saringan awal air kencing yang dilakukan ke atas kedua-dua suspek juga mendapati positif dadah dan suspek juga mempunyai beberapa rekod jenayah lampau,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1) ADB 1952.

Maut digilis beberapa kenderaan


Maut digilis beberapa kenderaan
JOHOR BAHRU - Seorang penunggang maut dalam kemalangan di Kilometer 95.7 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) selepas tercampak daripada motosikal ditunggangnya dan digilis kenderaan lain, tengah malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 malam itu, lelaki berkenaan dilapor meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kemalangan berlaku apabila mangsa dipercayai gagal mengelak kenderaan jenis Proton Waja yang berada di lorong kecemasan.

“Mangsa merempuh kenderaan berkenaan dan menyebabkannya tercampak ke bahagian tengah jalan raya sebelum dilanggar kenderaan jenis Proton Exora yang tidak sempat mengelak daripada melanggar mangsa.

“Pada masa sama, mangsa turut dilanggar beberapa kenderaan lain yang melalui lokasi berkenaan, yang tidak sempat mengelak mangsa,” katanya.

Katanya, mangsa cedera parah dan disahkan maut di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat untuk dibedah siasat.

Din berkata, kejadian turut menyebabkan Proton Exora yang berhenti di lokasi kejadian dilanggar sebuah kenderaan jenis Ford sebelum datang dua lagi kenderaan dari arah belakang dan merempuh satu sama lain.

“Ketiga-tiga kenderaan yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak Proton Exora yang berhenti di lokasi kejadian dan menyebabkan berlaku rempuhan.

“Siasatan awal mendapati cuaca baik ketika kejadian dan keadaan jalan di lokasi adalah rata dan lurus, namun suasana di situ gelap dan tidak berlampu,” katanya.

Tambahnya, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi menyiasat punca sebenar kemalangan.