Search This Blog

Wednesday, February 18, 2015

85 maut lima hari Op Selamat


KUALA LUMPUR 17 Feb. - Sebanyak 85 kematian dicatat­kan sepanjang lima hari Op Selamat dijalankan sempena perayaan Tahun Baharu Cina bermula 12 Februari lalu.
Dalam tempoh itu, sebanyak 6,456 kes kemalangan jalan raya turut dilaporkan.
Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Mohd. Fuad Abdul Latiff berkata, pecahan kematian mengikut kategori kenderaan adalah 55 motosikal, kereta (18), pejalan kaki (5), basikal (3) dan lain-lain (4).
Menurutnya, statistik kategori umur mangsa yang maut adalah antara 16 hingga 20 tahun (17 kematian) dan 21 hingga 25 tahun (sembilan kematian).
“Negeri-negeri yang mencatat­kan bilangan kematian tertinggi akibat kemalangan jalan raya adalah Perak (17), Johor (14), Selangor (13) dan Pulau Pinang (7),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Fuad memberitahu, pada Op Selamat kali ini, pihaknya memberi tumpuan kepada 60 kawasan hitam yang kerap berlaku kemalangan maut.
“Sebanyak 17 kawasan hitam dikenal pasti di Johor, Perak (12), Kelantan (7) manakala di Selangor dan Negeri Sembilan masing-masing mempunyai enam lokasi,”jelasnya.
Tambah Mohd. Fuad, sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 87,350 saman atau 17,000 saman sehari telah dikeluarkan ke atas pesalah trafik.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius serta mengambil tindakan tegas terhadap pemandu yang melakukan kesalahan lalu lintas seperti memandu me­lebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar dan melanggar lampu merah,”ujarnya.
Ujar Mohd. Fuad, sepanjang lima hari Op Selamat dijalankan, PDRM melalui rondaan berkereta dan motosikal telah melakukan 4,899 pemeriksaan ke rumah-rumah yang ditinggalkan kosong.
“Sepanjang tempoh itu juga, hanya 571 laporan balik kampung diterima daripada tuan punya rumah atau premis dan jumlah ini adalah amat rendah.
“Sehubungan itu, PDRM berharap lebih ramai akan tampil ke balai polis berhampiran untuk melaporkan rumah mereka akan kosong semasa cuti perayaan Tahun Baharu Cina supaya rondaan dapat dibuat secara lebih kerap,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/85-maut-lima-hari-op-selamat-1.61100#sthash.xWAOsVjh.dpuf

Tiga sekeluarga maut dalam kebakaran


MIRI 18 Feb. - Tiga sekeluarga maut dipercayai terperangkap dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah di Flat Permai Jaya di sini awal pagi ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Tan Min Chai berkata, dalam kejadian pukul 4 pagi tadi, mayat mangsa masih belum dikenal pasti iaitu dua wanita dan seorang lelaki dan sudah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/tiga-sekeluarga-maut-dalam-kebakaran-1.61118#sthash.Ohw4QcPr.dpuf

'Kepingan Pisau Cukur' Ditemui Dalam Kuih Kelupis


Diterbitkan: Rabu, 18 Februari 2015 10:10 AM
Awang terkejut apabila menemui kepingan pisau cukur dalam kuih kelupis yang dijual di Restoran Brunei miliknya di Beaufort pada Sabtu.

KOTA KINABALU: Seorang pemilik kedai kopi terkejut apabila menemui beberapa keping pisau cukur tertanam dalam kuih kelupis yang dijualnya.

Beliau percaya ada individu yang cuba mensabotaj perniagannya dengan meletakkan kepingan pisau cukur berkenaan dalam kuih tradisional tersebut.

Kuih kelupis merupakan sejenis kuih yang diperbuat daripada tepung beras pulut. Ia merupakan kuih tradisional masyarakat Melayu Brunei di Sabah dan Sarawak.

Peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Awang, 35, berkata dia baharu sahaja membuka perniagannya di bandar Beaufort apabila tiba-tiba seorang pelanggannya menunjukkan kepingan pisau cukur yang terdapat dalam kuih berkenaan pada pukul 9 pagi, 14 Februari lalu.

"Saya sangat terkejut dan membawa kuih kelupis tersebut ke balai polis dan membuat laporan pada pukul 4 petang hari yang sama," katanya.

Kuih kelupis yang dijual oleh Awang sangat digemari masyarakat tempatan dan popular di daerah tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Beaufort, Supritendan Mustaffa Maarof mengesahkan pihaknya telah menerima laporan daripada pemilik gerai tersebut. Beliau berkata pihak polis kini sedang menyiasat isu berkenaan.

"Kami sentiasa memantau perkara ini kerana nyawa orang awam di daerah ini mungkin terancam sekiranya insiden yang sama berulang kembali," katanya. 

Ahli Perniagaan Mengaku Tidak Bersalah Tipu RM1 Juta


Diterbitkan: Rabu, 18 Februari 2015 3:34 PM

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan syarikat perlombongan bijih besi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu terhadap pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan membabitkan RM1 juta, empat tahun lepas.
S. Ganesan, 39, didakwa menipu Armin Iskandar Abdullah, 43, untuk mempercayai bahawa dia boleh membekalkan 10,000 tan metrik "iron ore magnetite" gred minimum 62 peratus dari lombong miliknya.
Perbuatan itu didakwa mendorong Armin Iskandar menyerahkan wang deposit menerusi cek bernilai RM1 juta atas nama seorang lagi individu kepada Ganesan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di TM Selvam Trading, Off Jalan Chan Sow Lin, Cheras di sini pada 11 April 2011 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Aizam Aiza Zamran menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran.
Bagaimanapun, peguam Datuk K. Kumaraendran memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan anak guamnya tidak mempunyai rekod jenayah.
Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan Ganesan diikat jamin RM70,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Mac untuk sebutan.

26 Suspek Kes Bunuh Datuk Seri Bebas


Diterbitkan: Rabu, 18 Februari 2015 5:14 PM
Law Yeong Chow

BUKIT MERTAJAM: Mahkamah Majistret di sini membebaskan 26 suspek yang ditahan reman sehari untuk membantu siasatan kes pembunuhan ahli perniagaan bergelar Datuk Seri.
Mangsa, Datuk Seri Law Yeong Chow diculik di sini dan kemudiannya ditemui mati dibunuh.
Semua suspek dibebaskan pada kira-kira pukul 7 pagi Rabu di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai di Bandar Perda.
Pada Selasa, polis menahan sekumpulan suspek terbabit yang berusia antara 20 dan 50 tahun di rumah mereka dalam serbuan berasingan.
Mereka direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Majistret Dianne Ningrad Nor Azahar mengeluarkan perintah reman itu.
Pada 13 Januari, mangsa dilaporkan hilang di Bukit Tengah, Juru dekat sini.
Ahli perniagaan itu kali terakhir dilihat keluar dari pusat refleksologi di sini sebelum beberapa individu yang menaiki dua kenderaan menariknya masuk ke dalam salah sebuah kereta dan memecut meninggalkan kawasan itu. 
Siasatan polis mendapati, dua kereta dengan nombor pendaftaran palsu ditemui di Plaza Tol Changkat Jering di Taiping.

Polis Cari Wanita Simbah Asid Pada Suami


Diterbitkan: Rabu, 18 Februari 2015 2:39 PM

GEORGE TOWN: Polis sedang mengesan seorang wanita warga Thailand yang menyimbah asid pada suaminya di sebuah pangsapuri di Gat Lebuh Macallum, di sini pada Selasa.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Rahman Ahmad berkata Ops Tutup telah dijalankan di jalan keluar masuk utama negeri ini sejak semalam termasuk menjalankan pemeriksaan di terminal bas dan teksi untuk menjejaki suspek.
"Kami juga telah memaklumkan kepada pihak di sempadan Bukit Kayu Hitam dan berkemungkinan suspek masih lagi berada di Pulau Pinang," katanya ketika dihubungi di sini, Rabu.
Katanya menurut jiran, suspek berusia 29 tahun itu kerap bertengkar dengan suaminya yang bekerja sebagai tukang paip sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Beliau berkata suaminya yang berusia 47 tahun dan merupakan warga tempatan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang akibat melecur teruk di tubuh, sebahagian muka dan mata.
Rahman berkata dalam kejadian pukul 6.40 pagi itu, pengawal keselamatan yang sedang bertugas terdengar jeritan mangsa yang meminta tolong dari dalam rumahnya yang terletak di tingkat tiga.
Katanya pengawal keselamatan itu mendapati pintu rumah berkenaan berkunci sehingga terpaksa memecahkannya sebelum menemui mangsa dalam keadaan kesakitan di dalam bilik tidur utama.
Beliau berkata suspek turut melarikan kereta suaminya..

Ahli Perniagaan Kerugian RM10,000 Rumah Dilempar Bahan Letupan


Diterbitkan: Rabu, 18 Februari 2015 5:46 PM
Abdul Rahman Ibrahim

BUTTERWORTH: Sepasang suami isteri yang merupakan ahli perniagaan kerugian kira-kira RM10,000 selepas perkarangan rumah mereka dibaling bahan letupan dipercayai mercun di Taman Mesra Permai, di sini awal pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, dalam kejadian 2.15 pagi itu, mangsa dan suaminya bersama tiga anak mereka berusia 12 hingga 17 tahun serta seorang pembantu rumah, sedang tidur sebelum terjaga selepas terdengar bunyi letupan yang kuat.
"Mangsa berusia 42 tahun yang sedang tidur dalam bilik di tingkat dua  bergegas turun ke tingkat bawah untuk membuat pemeriksaan dan ketika itu terdengar bunyi enjin sebuah motosikal beredar dari kediaman tersebut.
"Wanita itu kemudian memanggil suaminya berusia 44 tahun dan mereka membuat pemeriksaan dan mendapati keadaan tempat letak kereta depan rumah dalam keadaan berselerak dengan serpihan kaca dari pintu sliding (gelongsor) yang pecah," katanya ketika dihubungi di sini, Rabu.
Beliau berkata, mangsa juga mendapati terdapat kesan terbakar di perkarangan rumahnya dan kerosakan kecil pada kereta miliknya, dipercayai akibat dilempar dengan bahan letupan itu.
"Selain itu, pintu utama, pintu pagar, rak kasut dan kerusi plastik yang berada di perkarangan rumah turut rosak serta siling tempat letak kereta pecah akibat letupan berkenaan," katanya.
Abdul Rahman berkata, rumah mangsa tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan polis akan cuba mendapatkan rakaman CCTV daripada jiran mangsa bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Katanya siasatan lanjut masih dijalankan dan mangsa serta suami yang menjalankan perniagaan membekalkan pekerja asing, mendakwa tidak bermusuh dengan sesiapa serta tidak membuat sebarang pinjaman daripada along.
Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
"Polis tidak menolak kemungkinan suspek menggunakan mercun yang mempunyai daya letupan yang kuat," katanya.

Dua bekas pelacur 
tarik saman


Strauss-Kahn
Strauss-Kahn

LILLE 17 Feb. – Dua bekas pelacur semalam menggugurkan saman terhadap bekas Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn yang sedang dibicarakan kerana didakwa menjadi bapa ayam di Perancis.
Bekas pelacur itu, Jade dan Mounia membuat pengakuan dramatik semasa perbicaraan kes itu tentang bagaimana mereka merasa tidak berdaya untuk mengatakan tidak kepada Strauss-Kahn yang meliwat mereka semasa satu parti seks.
Bagaimanapun peguam yang mewakili kedua-dua wanita itu berkata, mereka rasa tidak mampu untuk membuktikan bahawa bekas ahli politik itu tahu bahawa wanita berkenaan adalah pelacur dan mereka menggugurkan saman ke atasnya.
“Kami yakin Strauss-Kahn mempunyai pengetahuan tentang status pelacur itu, namun dengan hanya mempunyai kepercayaan itu dengan jelas tidak membuktikan bahawa undang-undang telah rosak,’’ kata peguam itu, Gilles Maton.
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pasukan Bertindak Menentang Bapa Ayam turut menggugurkan tuntutan saman mereka.
Strauss-Kahn, bagaimanapun hanya menunjukkan sedikit reaksi ketika kenyataan itu dibacakan di mahkamah di Lille di utara Perancis.
Kes-kes sivil mereka dijalankan selari dengan perbicaraan jenayah yang menyaksikan Strauss-Kahn dan 13 tertuduh yang lain didakwa kerana menjadi bapa ayam dan boleh dipenjara maksimum 10 tahun jika disabitkan kesalahan. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/dua-bekas-pelacur-8232-tarik-saman-1.60918#sthash.gHESt8Qn.dpuf

20 mati dalam satu karnival


PORT-AU-PRINCE, Haiti 19 Feb. - Sekurang-kurangnya 20 orang maut selepas dipijak apabila keadaan menjadi kecoh dan panik setelah seorang pemain muzik lelaki di atas pentas sebuah kereta berhias terkena renjatan elektrik daripada kabel di sebatang tiang yang merentangi udara di Haiti, semalam.
Beberapa orang saksi berkata, ketika kejadian orang ramai menjadi panik dan berasak-asak melarikan diri kerana terkejut ekoran seorang pemuda terkena renjatan elektrik dari sebatang tiang yang mana kabelnya merentangi udara selain mencetus panik yang mana berpuluh-puluh orang dipijak.
Dr. Joel Desire, seorang doktor dari Hopital Awam berkara, kebanyakan mereka yang terkorban itu didapati dipijak sehingga mati apabila orang ramai berlari keluar dari tapak karnival. - AGENSI
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/20-mati-dalam-satu-karnival-1.60992#sthash.R1YaCnBs.dpuf

Gempa bumi, tsunami kecil landa pantai utara Jepun


Pakar gempa bumi dari Agensi Meteorologi Jepun, Yasuhiro Yoshida
Pakar gempa bumi dari Agensi Meteorologi Jepun, Yasuhiro Yoshida menerangkan kepada wartawan tentang kejadian gempa bumi di sepanjang pantai utara negara ini di Tokyo, semalam. - AFP
TOKYO 17 Feb. – Satu gempa bumi dasar laut sekuat 6.9 pada skala Richter berlaku hari ini sehingga mencetuskan tsunami kecil di sepanjang kawasan pantai utara Jepun, yang sebelum ini pernah dilanda bencana sama pada tahun 2011.
Gempa bumi tersebut turut diikuti dengan beberapa siri gegaran, dengan yang terkuat mencatat bacaan 5.8 pada skala Richter.
Namun, tiada laporan kecederaan atau kerosakan diterima setakat ini.
Ombak setinggi 20 sentimeter dicatatkan di bandar Kuji kira-kira pukul 9.07 pagi waktu tempatan (waktu 8.07 pagi Malaysia), jauh lebih rendah berbanding ramalan Agensi Meteorologi Jepun (JMA) yang menganggarkan ombak setinggi satu meter akan terbentuk.
Selain itu, ombak setinggi 10 sentimeter turut dicatatkan berlaku di sepanjang pantai wilayah Iwate.
Sejurus gempa bumi berlaku, sistem amaran tsunami Jepun yang sudah diuji keberkesanannya mula berfungsi, dengan rangkaian televisyen NHK menyiarkan laporan meluas tentang kejadian itu.
JMA dalam kenyataan memaklumkan, gegaran kuat 6.9 pada skala Richter dilaporkan berlaku pada pukul 8.06 pagi waktu tempatan (7.06 pagi waktu Malaysia) di Lautan Pasifik, kira-kira 210 kilometer timur Miyako, pada kedalaman 10 kilometer.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat pula melaporkan, gempa bumi berkenaan mencatatkan bacaan 6.7 pada skala Richter. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/gempa-bumi-tsunami-kecil-landa-pantai-utara-jepun-1.60916#sthash.Kw7I6O3K.dpuf

Suspek didakwa tembak tiga penuntut Islam


Craig Hicks
Craig Hicks
DURHAM, Carolina utara 17 Feb. – Jemaah juri Amerika Syarikat (AS) semalam mendakwa seorang lelaki Carolina Utara kerana menembak mati sepasang pe­ngantin baharu Islam dan adik pe­rempuan pengantin itu dalam satu kejadian di Chapel Hill, Rabu lalu.
Craig Hicks, 46, didakwa di mahkamah atas tiga pertuduhan pembunuh­an kelas per­tama dan satu lagi pertuduhan kerana me­lepaskan tembakan ke arah kediaman yang berpenghuni, kata kerani pembantu Mahkamah Agung Durham County, Angela Kelly.
Deah Barakat, 23, seorang pelajar pergigian Universiti Carolina Utara, isterinya, Yusor Abu-Salha, 21, dan adik perempuan Yusor, Razan, 19, ditembak mati di sebuah kondominium kira-kira tiga kilometer dari kampus universiti itu.
Pegawai penyiasat sebelum ini berkata, kejadian itu berpunca daripada pertikaian tempat letak kereta, namun mereka turut melihat kemungkinan lain sama ada serangan Hicks didorong oleh faktor agama memandangkan ke­semua mangsa beragama Islam.
Hicks seorang pelajar pembantu perundangan di Kolej Komuniti Teknikal Durham sejak 2012 digambarkan menerusi laman Facebook miliknya ada­lah seorang ateis dan memuuatnaik status antiagama.
Kes itu menarik perhatian masyarakat antarabangsa dan me­nimbulkan kebimbangan dalam kalangan penganut Islam di Amerika yang mendakwa melihat peningkatan ancaman terhadap me­reka sejak beberapa minggu lalu.
Dalam perkembangan berasingan, tunjuk perasaan yang disertai berpuluh-puluh belia diadakan di Gaza semalam bagi membantah kematian tiga pelajar Islam warga AS yang memaksa penutupan sementara beberapa pertubuhan bantuan di wilayah itu.
“Kami datang ke sini hari ini bagi menutup institusi-institusi Amerika selama dua jam. Acara ini bertujuan untuk mengecam dasar media tertutup dan media AS yang berdiam diri serta sikap membisu pegawai kerajaan Amerika,’’ kata seorang aktivis, Jamal Yaghi. – REUTERS/AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/suspek-didakwa-tembak-tiga-penuntut-islam-1.60908#sthash.QmeR0Smo.dpuf

Dua pelajar IPT ditahan sebar poster provokasi mahkamah - KPN


KUALA LUMPUR: Polis menahan dua penuntut institut pengajian tinggi (IPT) kerana memuat naik poster provokasi di media sosial berkaitan bantahan terhadap sistem keadilan mahkamah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pelajar dari Unisel dan Universiti Sains Malaysia (USM) berkenaan ditahan semalam dan mereka akan direman.
Beliau berkata demikian dalam laman Twitternya, sebentar tadi.
Dalam laman itu juga memaparkan poster tertera perkataan "Mercunkan Mahkamah" beserta dengan tarikh serta waktu.

16 maut dihempap kabel elektrik ketika perarakan karnival di Haiti



WARIS mengecam mayat ahli keluarga. - Foto EPA
PORT-AU PRINCE: Sekurang-kurangnya 16 maut apabila kabel bervoltan tinggi menghempap peserta perarakan karnival di sini hari ini yang disaksikan ribuan penonton, kata pegawai.
Selain itu, 78 orang pula mengalami kecederaan dalam kejadian berkenaan yang berlaku pada kira-kira jam 3 pagi waktu tempatan sekali gus menyebabkan penduduk Haiti berkabung pada hari kedua penganjuran karnival berkenaan yang biasanya disambut dengan penuh meriah.
Ahli keluarga dan waris berkumpul di kompleks utama hospital di sini bagi mencari orang tersayang ketika doktor bekerja keras memberikan rawatan kepada mereka yang tercedera.

Pihak berkuasa membatalkan hari ketiga dan terakhir sambutan karnival itu dan mengumumkan hari berkabung selama tiga hari.
Perdana Menteri, Evans Paul meminta rakyat negara itu memberikan penghormatan kepada mereka yang terkorban dengan berpakaian serba putih dan berarak secara senyap di tempat kejadian, Champ de Mars.
Perarakan yang membawa kumpulan rap terkenal dikenali Barikad Crew. Mereka dihempap kabel berkenaan ketika melalui kawasan Champ de Mars.
Penyanyi kumpulan itu, "Fantom," dihempap kabel berkenaan dan dilaporkan dalam keadaan kritikal.
Ramai yang mati dan cedera adalah penari dan pemuzik dalam perarakan karnival berkenaan.
Ribuan orang menyaksikan karnival terbabit ketika nahas berlaku.
"Kerajaan berkongsi kesedihan keluarga mangsa, kita memutuskan untuk membatalkan semua aktiviti karnival itu di seluruh negara," kata kenyataan pejabat perdana menteri.
Bendera separuh tiang turut dikibarkan di semua bangunan kerajaan manakala majlis pengebumian negara diadakan Sabtu ini. - AFP

Zamani masuk pusat pemulihan

 Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN


Zamani dikerumuni jurugambar ketika hadir di Mahkamah Majistret Ampang atas pertuduhan memiliki dadah di Ampang, Selangor pada 29 Januari lalu.


KUALA LUMPUR – Kontroversi kes penyebaran video menyanyi sambil tangan bergari dan kes sabitan mahkamah yang masih belum selesai tidak mematahkan semangat bekas vokalis kumpulan Slam, Zamani Ibrahim, 43, untuk menjalani rawatan pemulihan dadah di sebuah pusat pemulihan dadah di ibu negara.
Menurut pembantu peribadinya, Aalan Ahmad, 41, pelantun lagu Gerimis Mengundang itu dilaporkan berada dalam keadaan baik selepas menjalani rawatan sejak hujung bulan lalu.
“Alhamdulillah, Zamani memberikan maklum balas yang positif sepanjang dirawat di pusat pemulihan dadah tersebut dan proses rawatan secara tradisional dan moden masih dijalankan sehingga minggu hadapan.
“Keputusan untuk mendapatkan rawatan melawan ketagihan dadah itu merupakan kehendak Zamani sendiri selain permintaan keluarga. Menurut pegawai perubatan, Zamani menunjukkan tanda-tanda positif mahu berubah.
“Selain kaunseling dan terapi untuk membuang ketagihan, tiada lawatan daripada pelawat luar mahupun anggota keluarga dibenarkan sehingga pesakit benar-benar pulih. Selepas tamat rawatan, Zamani bagaimanapun masih perlu meneruskan terapi susulan,” katanya yang dihubungi di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0218&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3S41kE3gC 
Hakcipta terpelihara 

Tuntut wang tebusan RM2 juta

 Oleh NORHAYATI YAHAYA


MOHD. ADNAN (tengah) bersama para pegawainya menunjukkan gambar individu yang dicari bagi membantu kes culik seorang wanita pada sidang akhbar di IPK Selangor, Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Enam individu yang disyaki terlibat dengan kes culik seorang ahli perniagaan wanita yang mayatnya ditemui terapung di perairan Sungai Udang, Nibong Tebal, Seberang Perai, Pulau Pinang pada Sabtu lalu ditahan dalam serbuan berasingan baru-baru ini.
Kesemua suspek termasuk dua wanita berusia 19 hingga 28 tahun itu diberkas di sekitar Selangor, Perak dan Pulau Pinang bermula Sabtu hingga Isnin lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd. Adnan Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes culik wanita berbangsa Sikh berusia 59 tahun itu di tepi jalan sebuah pusat beli-belah di Bandar Sunway dekat sini pada 13 Februari lalu pukul 5.50 petang.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0218&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz3S41ZH8W4 
Hakcipta terpelihara 

Mayat bekas guru di kebun sawit

 Oleh ATIKAH DALI


Anggota polis memeriksa lokasi mayat Norini yang ditemui di kawasan kebun kelapa sawit di Mantin, Nilai kelmarin.


NILAI – Misteri kehilangan seorang bekas guru wanita pada minggu lalu terjawab apabila mayatnya ditemui di kawasan kebun kelapa sawit di Mantin di sini kelmarin.
Mayat mangsa, Norini Sofian, 58, dijumpai pada pukul 6.45 petang oleh pemilik kebun itu dengan lengkap berpakaian, namun pergelangan tangan kirinya sudah tiada dipercayai dimakan binatang.
Pemeriksaan juga mendapati, mayat mangsa sudah membengkak dan mukanya hampir reput.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdullah Roning berkata, Norini didapati memakai baju-T berwarna putih dan seluar panjang berwarna coklat sama seperti pakaian yang dipakai mangsa ketika dilaporkan hilang pada 11 Februari lalu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0218&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3S40s7MVT 
Hakcipta terpelihara 

Suami isteri maut digilis lori tangki



SHAH ALAM - Sepasang suami isteri maut digilis sebuah lori tangki apabila motosikal yang ditunggangi mereka bergesel dengan kenderaan itu di Kilometer 35.5 Jalan Klang-Teluk Intan dekat sini hari ini.
  
Dalam kejadian kira-kira jam 12.55 tengah hari, Mohd Razali Mohd Saad, 65, berasal dari Parit 1 Barat, Sungai Besar dekat sini, dan isterinya Jahrah Daud, 49, berasal dari Kampung Ujung Permatang, Kuala Selangor, disahkan mati di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Mohd Taib Ahmad berkata, pasangan suami isteri berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuala Selangor menghala ke Klang sebelum nahas itu.

"Kedua-dua mangsa dipercayai cuba memintas lori tangki itu namun tidak berjaya lalu bergesel dengan kenderaan itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya susulan itu, kedua-dua mangsa terjatuh daripada motosikal sebelum digilis lori berkenaan dan meninggal dunia akibat kecederaan parah di seluruh anggota badan.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tanjung Karang dekat sini untuk bedah siasat.

Mohd Taib berkata, pemandu lori tangki itu kini ditahan bagi membantu siasatan.  - Bernama

Diburu lebih 30 ah long



Diburu lebih 30 ah long
KUALA LUMPUR - Seorang kaki judi mungkin terpaksa bersembunyi selama-lamanya selepas menjadi buruan 30 ah long.

Difahamkan, lelaki berusia 58 tahun itu sanggup menggadaikan nyawa ahli keluarganya sendiri selepas gagal melangsaikan hutang berjumlah lebih RM100,000 yang digunakan untuk berjudi.

Isterinya dikenali sebagai Lim tidak sanggup membayar hutang suaminya yang begitu banyak dan tidak tahan dengan ugutan ah long setiap hari.

Pasangan ini tidak lagi duduk sebumbung sejak lima tahun lalu. Namun suaminya dikenali sebagai Gwee, sering mengambil kesempatan ke atas Lim, 57, yang melunaskan sebahagian hutangnya.

“Selepas berpisah, kami sekeluarga gagal menghubunginya terutama sejak dua tahun lalu. Tetapi dia guna alamat rumah ini untuk berurusan dengan ah long. Bulan ini sahaja dia pinjam lebih RM60,000 daripada lebih 30 ah long.

“Setiap hari saya terima ugutan dari ah long berlainan. Mereka ugut akan cederakan kami. Rumah kami pernah disimbah cat pada September tahun lalu,” katanya.

Terbaru, pada 12 Februari lalu, Lim menerima ugutan daripada tiga ah long selang sejam. Gwee yang menghilangkan diri pula gagal dikesan. Malah cubaan anaknya menghubungi Gwee dibalas dengan herdikan bapanya yang jelas tidak mahu bertanggungjawab.

Lebih malang, Lim yang sering melunaskan hutang suaminya terpaksa menjual rumahnya di Johor Bahru demi melangsaikan hutang suaminya yang gemar berjudi.

“Saya harapkan suami akan bertaubat. Tetapi dia tidak pernah serik. Tidak mahu berubah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, setakat 17 Februari tahun ini, pihaknya menerima 71 kes membabitkan pinjaman ah long dengan nilai lebih RM11.5 juta.

“Kebanyakan mereka yang meminjam ah long kerana kalah berjudi dan sebahagiannya masih gagal menyelesaikan hutang,” katanya.

Remaja maut selepas bermain 'Russian Roulette' - Global - Sinar Harian

Remaja maut selepas bermain 'Russian Roulette'


CALIFORNIA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang remaja berusia 17 tahun terbunuh selepas bermain permainan dikenali sebagai 'Russian Roulette'.

Menurut Yahoo News, mangsa dilaporkan memiliki sebuah pistol jenis revolver dan mengajak dua lagi kawannya bermain bersamanya, namun dibantah.

“Abang mangsa yang tinggal bersama mangsa dilaporkan tidak tahu adiknya memiliki sepucuk pistol,” kata pegawai penyiasat.

Kematian remaja tersebut diklasifikasikan sebagai kemalangan.

Tindakan pantas polis selamatkan wanita dari lemas

Tindakan pantas polis selamatkan wanita dari lemas


AUCKLAND - NEW ZEALAND. Tindakan polis memecahkan tingkap berjaya menyelamatkan seorang wanita yang terperangkap dalam sebuah kereta yang sedang tenggelam, hari ini.



Menurut Stuff NZ, sebelum itu, kereta yang dipandu seorang wanita berkenaan terbabas dan terjunam ke pelabuhan Waitemata.



Seorang saksi memberitahu beliau segera membunyikan loceng amaran dan dua orang polis tiba ke tempat kejadian selepas beberapa saat.



Pegawai polis tersebut tidak mempunyai pilihan lain selain memecahkan cermin tingkap kenderaan selepas pintunya gagal dibuka.



Mangsa dilaporkan cedera ringan dan tindakan pantas anggota polis tersebut dipuji selepas berjaya menyelamatkan mangsa dari mati lemas.

Beri peluang lebih jumpa keluarga

Sydney: Pemindahan dua warga Australia yang menunggu pelaksanaan hukuman mati ke tempat yang ditetapkan, ditunda bagi memberi peluang kepada keluarga masing-masing meluangkan lebih banyak masa, lapor media semalam.
Memetik Peguam Negara Indonesia, H M Prasetyo, Sydney Morning Herald melaporkan, pihak berkuasa berhasrat membenarkan waris Andrew Chan dan Myuran Sukumaran bertemu lebih lama.
“Ini bukan menunda hukuman, tetapi sekadar memberi lebih banyak masa kepada keluarga tertuduh,” katanya.
Chan, 31, dan Sukumaran, 33, dihukum mati pada 2006 atas pembabitan mereka sebagai anggota sindiket menyeludup heroin dari Bali ke Australia.
Mereka dijadual dipindahkan dari penjara di Bali ke Nusakambangan untuk menjalani hukuman mati di depan penembak tepat Indonesia.
Setakat ini tiada tarikh diumumkan bagi pelaksanaan hukuman itu.- AFP
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 7:52 AM


SAUDARA kandung Andrew Chan, Michael Chan (tengah) meninggalkan Penjara Kerobokan bersama keluarganya selepas melawat pesalah itu di Bali, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/31603#sthash.qA9e4Kpf.dpuf