Search This Blog

Sunday, February 15, 2015

Lebih 100 bank di seluruh dunia digodam - NYT

WASHINGTON: Serangan siber sofistikated global menyasarkan lebih 100 bank di 30 negara, menyebabkan kecurian wang bernilai berjuta dolar, menurut The New York Times.
Merujuk laporan yang akan diumumkan syarikat keselamatan Kaspersky Lab, akhbar berkenaan menyatakan serangan itu membabitkan perisian yang memberikan akses jangka panjang kepada sistem perbankan.
Menurut laporan itu, sekumpulan warga Russia, China dan Eropah berupaya mengambil AS$300 juta, iaitu antara rompakan terbesar dunia.
Wang berkenaan dipindahkan ke akaun bank di seluruh dunia dalam jumlah yang kecil bagi mengelak dikesan.
Penggodam menumpukan serangan terhadap bank di Russia tetapi wang berjuta dolar turut diambil dari bank di Jepun, Belanda, Switzerland dan Amerika Syarikat.
Mereka mempunyai akses kepada sistem bank berkenaan dan boleh membuatkan mesin juruwang automatik (ATM) mengeluarkan wang tunai pada masa dan lokasi tertentu untuk diambil. - AFP

1 maut, 6 cedera dalam 2 serangan di Copenhagen



PAKAR forensik melakukan siasatan di lokasi kejadian tembakan yang menyasarkan pusat budaya yang menganjurkan debat mengenai kebebasan bersuara di Copenhagen, Denmark. - foto EPA
COPENHAGEN: Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan enam lagi cedera dalam dua kejadian tembakan di ibu negara Denmark semalam, termasuk satu yang menyasarkan pusat budaya yang menganjurkan debat mengenai kebebasan bersuara.
Insiden kedua, berhampiran rumah ibadat utama Yahudi di Copenhagen, menyaksikan seorang mangsa ditembak di kepala dan dua anggota polis ditembak di lengan dan kaki.
Dalam kejadian pertama, seorang lelaki berusia 40 tahun terbunuh manakala tiga anggota polis cedera dalam serangan di pusat budaya Krudttonden.
Tidak dapat disahkan bahawa kedua-dua kejadian itu adalah berkaitan.
Artis Sweden, Lars Vilks yang bertanggungjawab menghasilkan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW sehingga mencetuskan bantahan di seluruh dunia pada 2007, adalah antara peserta debat.
Polis sedang memburu seorang lelaki bersenjata yang menyasarkan majlis debat berkenaan dan melarikan diri selepas berbalas tembakan dengan polis.
Perdana Menteri Denmark, Helle Thorning-Schmidt, menyifatkan kejadian itu sebagai "serangan pengganas" dan Amerika Syarikat turut mengutuknya.
Duta Perancis ke Denmark, Francois Zimeray, berada di tempat kejadian tetapi tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, ia adalah usaha mengulangi serangan pada 7 Januari lalu terhadap pejabat majalah Charlie Hebdo di Paris yang membunuh 12 orang. - AFP