Search This Blog

Friday, February 13, 2015

10 maut nahas kereta api di India

NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 10 penumpang maut apabila sebuah kereta api tergelincir di selatan India selepas batu besar terjatuh di atas landasan, kata pegawai hari ini.
Pegawai berkata, lebih banyak mayat dikatakan terperangkap dalam serpihan kereta api berkenaan.
Sejumlah besar penumpang turut mengalami kecederaan dalam nahas pada pagi tadi dekat Anekal, kira-kira 40 kilometer dari bandar Bangalore.
Menteri Kereta Api Persekutuan, Suresh Prabhu berkata, beberapa gerabak tergelincir selepas batu besar itu terjatuh di atas landasan ketika kereta api antara bandar berkenaan sedang bergerak dari Bangalore menuju Ernakulam.
"Jumlah yang mati setakat ini 10 orang," kata pegawai kanan kereta api Bangalore, Rajiv Pratap Sharma.
Sementara itu, Menteri Undang-undang, Sadananda Gowda, yang bergegas ke tempat kejadian berkata: "Sebahagian mayat masih terperangkap.
Katanya, angka kematian dalam nahas itu juga mungkin meningkat. - AFP

Lima maut bot pukat tunda karam di Bangladesh

DHAKA: Sekurang-kurangnya lima orang maut apabila sebuah bot pukat tunda yang membawa 200 penumpang karam di sungai selatan negara ini dan kebanyakan mereka berjaya diselamatkan atau berenang ke tepi pantai, petang tadi.
Pentadbir kerajaan kerajaan tempatan, Kazi Tofayel Ahmed berkata, bot itu tidak dapat terapung akibat pusaran air besar sewaktu dalam perjalanan di Sungai Payra, daerah Barguna.
Nahas berlaku dekat Teluk Bengal.
Ahmed berkata, anggota penyelamat menemui sekurang-kurangnya lima mayat manakala dua lagi dilaporkan hilang.
Kebanyakan penumpang sama ada berenang ke pantai atau diselamatkan bot nelayan. - AP

Stesen Minyak Disamun Lelaki Bersenjata Pistol


Diterbitkan: Jumaat, 13 Februari 2015 4:16 PM
NIBONG TEBAL: Seorang pemilik stesen minyak kerugian RM5,000 selepas disamun dua lelaki di kedainya di Jalan Bukit Tambun, di sini malam tadi.

Jurucakap polis berkata dua lelaki bertopi keledar masuk ke stesen minyak itu pada 11.10 malam dan melarikan wang tunai RM5,000 daripada pejabat dan mesin daftar tunai stesen minyak berkenaan.

"Seorang lelaki bersenjatakan pistol memasuki pejabat pemilik stesen minyak itu dan mengarahkan pemilik stesen itu menyerahkan wang tunai kepadanya manakala seorang lagi bersenjatakan pisau menunggu di kaunter dalam stesen minyak itu.

"Bimbang dicederakan, pemilik stesen minyak berusia 49 tahun itu menyerahkan wang tunai RM4,000 kepada lelaki terbabit. Kedua-dua mereka melarikan diri dengan sebuah motosikal," katanya di sini, Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Wan Hassan Wan Ahmad ketika dihubungi berkata hasil siasatan mendapati dua lelaki berusia lingkungan 20-an itu menaiki motosikal Yamaha FZ biru hitam menuju ke arah Nibong Tebal.

Drama tebusan penjara berakhir



    Mayat enam banduan bergelimpangan selepas mereka bertindak membunuh diri. Foto: AFP
    Mayat enam banduan bergelimpangan selepas mereka bertindak membunuh diri. Foto: AFP
TAIPEI - TAIWAN. Enam banduan yang merampas senjata dan menjadikan tiga kakitangan penjara Kaohsiung di Taiwan sebagai tahanan bertindak membunuh diri, sekali gus mengakhiri drama tebusan selama lebih 14 jam itu.

Menurut laporan media tempatan, kesemua banduan terlibat membantah hukuman yang dikenakan terhadap mereka dan mendakwa diberi layanan buruk serta tidak dibicarakan secara adil.

Difahamkan, mereka di penjara atas pelbagai jenayah termasuk membunuh, kesalahan berkaitan dadah, pecah rumah dan pelbagai kesalahan lain.

Kira-kira pukul 4.30 petang (waktu tempatan) kelmarin, dua banduan berpura-pura sakit untuk menarik perhatian dua pengawal sebelum memaksa pengawal membawa mereka ke bilik senjata dan mengambil empat rifle, enam pistol dan 200 peluru.

“Mereka menuntut meninggalkan penjara dengan selamat sebagai pertukaran nyawa tiga tebusan itu. Rundingan antara polis dan banduan terbabit selama 14 jam berakhir apabila mereka melepaskan semua tebusan dan membunuh diri,” menurut Central News Agency. - BBC

Tiga maut pelantar minyak meletup



    Kebocoran gas dipercayai menjadi punca pelantar minyak Petrobas meletup.
    Kebocoran gas dipercayai menjadi punca pelantar minyak Petrobas meletup.
  •  
RIO DE JANEIRO - BRAZIL. Sekurang-kurangnya tiga maut, 10 cedera dan enam yang lain hilang apabila pelantar minyak Petrobas meletup, kelmarin.

Menurut AFP, saksi berkata, letupan bermula sebaik berlakunya kebocoran gas.

"Ketika kejadian terdapat 74 pekerja berada di atas pelantar. Tiga mati di tempat kejadian dan mereka yang cedera di bawa ke hospital menggunakan helikopter," menurut kenyataan Petrobas.

Letupan berlaku di pelantar minyak FPSO Cidade de Sao Mateus yang terletak kira-kira 120 kilometer di luar pantai negeri Espirito Santo.
Pelantar itu milik sebuah firma dari Norway dan disewa oleh Petrobas.

Sementara itu, Agensi Petroleum Nasional (ANP) mengesahkan tiada tumpahan minyak berlaku di kawasan tersebut.

Ada motif kebencian agama


    Dari kiri: Yusor Mohammad, Deah Shaddy Barakat dan Razan Mohammad ditembak mati oleh suspek berfahaman ateis.
    Dari kiri: Yusor Mohammad, Deah Shaddy Barakat dan Razan Mohammad ditembak mati oleh suspek berfahaman ateis.

  •  
NORTH CAROLINA - AMERIKA SYARIKAT. Aktivis Muslim mendesak agar pihak berkuasa menyiasat kemungkinan satu insiden pembunuhan di Chapel Hill ada kaitan dengan jenayah kebencian.

Suspek, Craig Stephen Hicks menembak mati tiga pelajar Muslim berdekatan Universiti North Carolina.

Polis menyatakan, siasatan awal menunjukkan pembunuhan itu ada kaitan dengan satu pertikaian mengenai perebutan lot parkir.

Hicks, 46, dari Chapel Hill, diberkas dan didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh dengan sengaja dan kini ditahan dalam penjara, menurut Jabatan Polis Chapel.

Di laman Facebooknya, Hicks sering menulis catatan-catatan yang mengkritik agama.

Mangsa dikenal pasti sebagai pelajar jurusan pergigian, Deah Shaddy Barakat, 23 tahun, isterinya Yusor Mohammad Abu-Salha, 21, dan adik perempuannya, Razan Mohammad Abu-Salha, 19.

Insiden pembunuhan tersebut kurang mendapat liputan media arus perdana AS namun menjadi perbualan hangat di laman sosial.

Hashtag #MuslimLivesMatter dan #chapelhillshooting menjadi viral, dengan para pengguna media sosial mempersoalkan apakah peranan agama yang dianuti ketiga-tiga mangsa dalam insiden tersebut.

Empat penyamun ‘kenyang’

Tumpat: Sebuah peti besi mengandungi jongkong emas, pelbagai barang kemas serta wang tunai bernilai hampir RM700,000 dilarikan empat lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian samun di Kampung Dalam Rhu di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi, terdapat seorang penghuni banglo dua tingkat itu Mohd Husairi Mohd Hanif, 31, yang nyenyak tidur dalam bilik di tingkat atas.
Menurut pemilik rumah yang juga kakak Mohd Husairi, Wahida, 41, ketika kejadian adiknya sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi bising di tingkat bawah.
“Adik saya kemudian turun untuk melihat apa yang berlaku dan terkejut sebaik melihat tiga lelaki termasuk seorang yang memakai topeng sedang membuka pintu bilik.
“Adik kemudian berlari semula ke tingkat atas, namun sempat ditarik tiga lelaki itu yang kemudian menyeretnya turun dan mengikat tangan adik menggunakan dawai manakala kaki diikat dengan kain sebelum menyelongkar semua tiga bilik tidur di tingkat bawah termasuk bilik paling hujung yang menempatkan peti besi itu.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Februari 2015 @ 9:57 AM


MANGSA menunjukkan tempat penyimpanan peti besi yang dilarikan suspek.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/30040#sthash.WsMthtc5.dpuf

Isteri anggota polis maut dikelar

Tanjung Rambutan: Isteri seorang anggota polis ditemui mati dipercayai akibat dibunuh dengan dikelar leher dalam kejadian samun dan bunuh di Taman Tanjung Emas di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, mangsa Izaah Abdullah, 52, yang juga isteri kepada seorang sarjan polis yang berkhidmat sebagai peronda lebuh raya, ditemui tertiarap dalam bilik tidur di kediamannya.
Mangsa ditemui oleh anak lelakinya sendiri yang dikatakan baru pulang daripada berniaga.
Memurut jiran mangsa, pada kira-kira 3 pagi dia mendengar jeritan anak mangsa dan kemudian keluar memeriksa sebelum anak mangsa meminta bantuan untuk menghubungi pihak berkuasa.
"Ketika ditanya, anak mangsa yang menangis hanya meminta saya memeriksa ibunya di dalam bilik dan saya terkejut apabila mendapati mangsa dalam keadaan tertiarap serta berdarah.
"Saya kemudian terus menghubungi 999 untuk memaklumkan kejadian dan meminta bantuan kerana tidak tahu sama ada mangsa masih bernyawa atau tidak," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, sumber polis berkata, tiga suspek termasuk remaja berusia 16 dan 19 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong dijangka akan mengadakan sidang media mengenai kejadian pada 9 pagi ini.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Februari 2015 @ 8:56 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/30033#sthash.dCHiOgNP.dpuf

Ajal papan pemuka

Baling: Seorang bayi lelaki berusia sebulan menemui ajal akibat terhentak pada papan pemuka kereta Proton Wira Aeroback yang dinaiki selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan balak di Kilometer 47.3, Jalan Baling-Sungai Petani, berdekatan Kampung Charok Bemban, Kupang, di sini, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang apabila mangsa Zul Izul Islam Zulfazli, sebulan, dikatakan terlepas daripada pangkuan ibunya selepas kereta dipandu bapanya, Zulfazli Zulkifli, 23, dipercayai merempuh tayar depan sebelah kanan lori terbabit menyebabkan kenderaan itu remuk di bahagian hadapan.
Sebelum kejadian, ketiga-tiga beranak itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuala Ketil untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Tersusun, Bandar Riang, Gerik, Perak.
Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Mat Daud Mat Hasan berkata, bayi itu dipercayai meninggal ketika dalam perjalanan ke Hospital Baling, manakala bapa mangsa parah di kepala dan menerima rawatan sementara ibunya Nurul Najihah Mohd Bakri, 19, dirawat sebagai pesakit luar.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Februari 2015 @ 7:00 AM


KEADAAN kereta PROTON yang remuk. Zul Izul Islam (gambar kecil)
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/30195#sthash.U893CzRw.dpuf

Jalan bogel

Kuala Lumpur: Berjalan sambil tanggal pakaian untuk mencari pelanggan. Itulah tindakan aneh dilakukan seorang wanita warga Indonesia berusia 20-an yang dikesan berjalan dalam keadaan bogel bermula dari Masjid Negara hingga ke Kampung Attap, di sini.
Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 12 tengah hari, Jumaat lalu, sebelum video dan gambar wanita terbabit mula tersebar melalui aplikasi WhatsApp hingga menimbulkan pelbagai kritikan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi Harian Metro berkata, wanita terbabit dipercayai adalah pelacur berdasarkan siasatan dilakukan.
“Ketika berjalan, wanita itu dilapor menanggalkan pakaiannya satu persatu untuk menarik perhatian pelanggan sehinggalah dia berbogel sepenuhnya,” katanya.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Februari 2015 @ 7:19 AM


WANITA terbabit berjalan dari Masjid Negara ke Kampung Attap.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/30203#sthash.PnKBm8Nj.dpuf

Buruan 4 tahun berakhir

Putrajaya: Si ibu berpura-pura solat bagi memantau keadaan manakala si anak perempuan mencari peluang untuk mencuri, menyelongkar dan melarikan beg duit serta tas tangan mangsa sementara si bapa menunggu di dalam kereta.
Itu modus operandi tiga beranak dikenali Geng Bella Aziah yang terbabit dalam kes curi di surau di kompleks beli belah dan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, selepas empat tahun diburu, pasangan suami isteri masing-masing berusia 37 dan 47 tahun serta anak perempuan mereka berusia 23 tahun diberkas polis dalam satu serbuan di sebuah rumah sewa di Taman Hulu Langat Jaya, Cheras, Kuala Lumpur pada 5 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Mohd Yusoff Awang berkata, ketiga-tiga suspek berjaya diberkas hasil siasatan satu kes kecurian tas tangan di surau kompleks beli belah IOI City Mall, di sini pada 2 Februari lalu.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebanyak 54 jenis barangan dan gajet, termasuk telefon bimbit; rantai emas; kamera; komputer riba dan jam tangan dipercayai dicuri bernilai kira-kira RM50,000.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Februari 2015 @ 7:24 AM


MOHD Yusoff (dua dari kanan) menunjukkan barangan yang dirampas daripada suspek.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/30210#sthash.bTc5vz44.dpuf

Pijakan kebas gelang emas

Kulim: “Saya menahan kesakitan apabila kaki dipijak, saya cuba menjerit meminta tolong, tetapi kerana terlalu takut suara saya tak keluar,” kata seorang warga emas berusia 78 tahun yang cedera di lengan dan leher akibat diragut dua lelaki.
Dalam kejadian jam 9.30 pagi di Kampung Pondok Labu, di sini, wanita itu yang tinggal bersendirian kerugian lebih RM10,000 apabila 11 utas gelang emas dan dua rantai yang dipakainya diragut dua lelaki yang menyamar sebagai pekerja syarikat pendawaian elektrik.
Kata wanita itu, ketika kejadian dia sedang membersihkan halaman rumah dengan pintu pagar ditutup sebelum dihampiri dua lelaki berusia 20-an yang menunggang motosikal.
“Kedua-dua lelaki itu kemudian memperkenalkan diri sebagai pekerja sebuah syarikat pendawaian elektrik yang datang untuk membaiki bekalan elektrik dan lampu jalan yang rosak di kawasan kampung terbabit,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua lelaki itu terus memasuki halaman rumah dan menghampirinya sambil berpura-pura melihat tiang elektrik dan lampu jalan sebelum mereka menunjuk ke arah meter elektrik di tingkat atas rumah yang didakwa perlu diperbaiki bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 7:28 AM


WARGA emas menunjukkan lengan kiri yang luka.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/30441#sthash.LJTcpPsn.dpuf

Doktor haram sorok mayat diburu


Fujian, China: Seorang doktor tanpa lesen dipercayai sedang bersembunyi di Sichuan selepas melarikan diri dari Fujian apabila seorang daripada pesakitnya mati.
Mayat itu ditemui pihak berkuasa dalam keadaan mereput dan terapung di Sungai Fujian.
Jurucakap polis berkata, lelaki terbabit membuka sebuah klinik tanpa lesen.
“Mayat itu pula ditemui seorang pekerja pembersihan sungai pada 31 Januari lalu,” katanya.
Polis berkata, mayat lelaki itu ditemui berbalut beg plastik.
Menurutnya, polis mengesyaki mayat berkenaan sengaja dibuang ke situ untuk melindungi perbuatan suspek.
Selepas diperiksa, katanya, polis mengenal pasti mayat itu ialah seorang lelaki berusia 39 tahun yang dilaporkan hilang pada hari dia mendapatkan rawatan di klinik tanpa lesen berkenaan.
“Mangsa pergi ke klinik berkenaan kerana dia tak mahu dibebani pembayaran tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Bedah siasat mencadangkan, pesakit itu mati akibat disuntik ubat yang salah. - Agensi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/30288#sthash.qOkRM3ZA.dpuf

Bunuh diri elak dicekup


Rohtak: Tidak sampai lapan jam selepas polis memberkas lapan remaja dari kampung Gaddhi Kheri atas dakwaan merogol dan membunuh wanita Nepal, suspek kesembilan mengambil jalan pintas membunuh diri di Delhi, kelmarin.
Menurut polis, lelaki dikenali sebagai Sombir Kumar, 22, pekerja kilang di kampung itu membunuh diri dengan menelan pil beracun.
Sombir selama ini menyembunyikan diri di rumah keluarganya di Delhi bagi mengelak ditangkap polis.
Dalam sidang media semalam, Menteri Pertanian Haryana, Om Prakash Dhankar memberi wang pampasan kepada keluarga mangsa berjumlah Rs500,000 (RM29,000), selain berjanji menyelesaikan kes itu dengan segera.

Kejadian itu tidak ubah seperti kes rogol 16 Disember di Delhi yang membabitkan mangsa wanita cacat mental dari Nepal.
Mangsa berusia 28 tahun itu dirogol sebelum dibunuh dengan kejam dan mayatnya dibuang di ladang berhampiran di Lebuh Raya Rohtak-Hsar.
Bedah sisasat menunjukkan kecederaan teruk pada kemaluan mangsa selain batu, pisau dan kondom ditemui dalam perut mangsa.
Mangsa tinggal mangsa tinggal bersama kakaknya sejak tiga bulan sebelum kejadian dan menjalani rawatan di Institut Perubatan Pascasiswazah Pandit Bhagwal Dayal Sharma di Rohtak.
Kakak mangsa melaporkan kehilangannya apabila mengesyaki sesuatu buruk selepas adiknya tidak pulang. Mayat mangsa ditemui tiga hari selepas itu. - Agensi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/30043#sthash.O44MVY2e.dpuf

Dua maut nahas 100 kenderaan dalam kabus

PENYELAMAT membantu mangsa kemalangan di Jambatan Yeongjong Grand di Incheon, Seoul, semalam.


Seoul: Dua maut dan sekurang-kurang 65 yang lain cedera semalam selepas kira-kira 100 kenderaan terbabit dalam kemalangan ketika cuaca berkabus menyelubungi jambatan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, kata pegawai.
Petugas Jabatan Pengurusan Keselamatan dan Kebakaran Incheon, Byeon Tae-u berkata, tujuh mangsa kemalangan berada dalam keadaan kritikal dan jumlah itu mungkin bertambah.
Bagaimanapun, Byeon tidak menjelaskan dengan lebih lanjut punca kemalangan berlaku, namun mengakui keadaan jalan berais.
Seorang pemandu yang terbabit dalam kemalangan berkenaan, Lee Gyeong-hoon, 39, kabus tebal menyebabkan dia terpaksa memandu dengan amat perlahan kerana jarak penglihatan hanya kira-kira 10 meter saja.
Jurucakap lapangan terbang pula memberitahu, cuaca berkabus menyebabkan 18 penerbangan berlepas dan tujuh pesawat yang sepatutnya tiba, ditangguhkan. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Februari 2015 @ 8:43 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/30291#sthash.M6PJkYGY.dpuf

Australia rayu lagi selamatkan dua warga

Sydney: Menteri Luar Australia Juli Bishop semalam berkata, negara itu melancarkan usaha terakhir untuk mendapatkan pembebasan dua rakyatnya daripada hukuman mati atas tuduhan dadah dalam kes yang menggugat hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Myuran Sukumaran, 33, dan Andrew Chan, 31, adalah antara lapan banduan yang akan menjalani hukuman tembak selepas rayuan pengampunan mereka ditolak Presiden Joko Widodo (Jokowi), bulan lalu.
Sejak Jokowi mengambil alih pemberintahan Oktober lepas, enam orang dihukum tembak atas kesalahan jenayah dadah, lima daripadanya warga asing.
Sejak itu, Indonesia menolak rayuan pengampunan kedua-dua warga Australia berkenaan.
Bercakap dengan penuh semangat di Parlimen semalam, Bishop menggariskan aktiviti mengenai hubungan diplomatik antara kedua-dua negara dan merayu Indonesia terhadap kedua-dua rakyatnya.
“Kami berharap kerajaan Indonesia akan bersimpati terhadap Sukumaran dan Chan, sama seperti ia merayu rakyatnya yang dihukum mati di luar negara.
“Kita tidak akan menyerah dan menghentikan usaha menyelamatkan nyawa rakyat Australia begitu saja,” katanya.
Chan dan Sukumaran adalah anggota kumpulan yang digelar ‘Bali Nine’ didapati bersalah atas tuduhan cuba menyeludup lebih lapan kilogram heroin.
Mereka ditahan di Lapangan Terbang Denpasar, Bali pada 2005 dan kes mereka mencetuskan isu politik di Australia.
Julie berkata bulan lalu, dia tidak menolak kemungkinan memanggil pulang duta negara itu jika hukuman itu diteruskan.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 7:32 AM


SUKUMARAN dan Chan dikawal ketika perbicaraan mereka beberapa tahun lalu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/30446#sthash.lq3MGowx.dpuf

Penjaga mati dibaham singa


Seoul: Seekor singa membaham penjaga zoo hingga mati selepas lelaki itu memasuki kandangnya.
Rakaman kamera keselamatan di Zoo Kanak-Kanak Grand Park Kanak-kanak di Seoul menunjukkan singa jantan itu menyerang lelaki berusia 50-an itu selepas dia memasuki kandang berkenaan berkenaan untuk memasang beberapa peralatan, lapor agensi berita Yonhap.
“Dia kritikal apabila anggota penyelamat tiba. Dia mengalami kecederaan teruk pada seluruh tubuhnya,” kata pegawai dari Balai Bomba Gwangjin.
Sehubungan itu, pihak zoo mengeluarkan kenyataan mengenai kejadian itu tetapi kakitangan enggan mengulas dengan lanjut. - AFP
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/30447#sthash.dzN8FS58.dpuf

Empat remaja direman 6 hari

Oleh FIRDAUS HASSAN


EMPAT remaja lelaki yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes pembunuhan isteri seorang anggota polis di Taman Tanjung Emas, Tanjung Rambutan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh semalam.


IPOH – Empat remaja yang merupakan suspek kes bunuh isteri kepada anggota polis berpangkat sarjan di Taman Tanjung Emas, Tanjung Rambutan di sini direman selama enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan.
Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab terhadap kesemua suspek yang berusia 14 hingga 19 tahun.
Peguam Mohamed Yazzer Azzad Zainudin yang mewakili kesemua tertuduh ketika ditemui semalam memberitahu, mahkamah mengeluarkan perintah agar mereka direman sehingga 17 Februari depan.
“Selepas ini mereka akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh untuk disoal siasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Terdahulu, keempat-empat remaja itu yang dibawa menaiki sebuah van polis tiba ke mahkamah kira-kira pukul 11 pagi untuk mendapatkan perintah reman.
Ahli keluarga semua suspek dilihat turut berada di pekarangan mahkamah sejak pukul 8 pagi lagi.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0213&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz3RZtWVkki 
Hakcipta terpelihara 

Bebola ikan ada plasma darah haiwan

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID, NORAINI HASSAN BASRI, ARINA AZLAN dan HAIKAL ISA


PARA pengguna Islam perlu memastikan bebola ikan yang dibeli di pasaran mempunyai logo halal Jakim. – Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Pengguna beragama Islam dinasihatkan supaya tidak membeli dan memakan bebola ikan yang kebanyakannya dijual di pasaran kerana dikhuatiri mengandungi plasma darah haiwan termasuk babi.
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal Jabatan kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd. Amri Abdullah (gambar kecil) mendakwa, plasma darah haiwan yang digunakan adalah terdiri daripada ayam, lembu dan babi bertujuan untuk mencantikkan serta menambah kualiti bebola ikan supaya menjadi lebih kenyal.
Menurutnya, laporan saintifik mendapati anggota dalaman dan luaran babi mampu menghasilkan 185 produk mi­salnya, usus haiwan itu boleh digunakan dalam pro­ses pembuatan sarung sosej manakala darah atau serum haiwan berkenaan ditemui dalam vaksin serta ubat.
“Berdasarkan hukum syarak, produk makanan yang me­ngandungi mana-mana bahagian haiwan yang tidak halal dan anggota manusia adalah tidak dibenarkan (untuk dimakan),” jelasnya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Pensijilan Halal Jakim: Integriti Menangani Skandal dan Isu-Isu Berkaitan Halal di Malaysia pada Seminar Industri Halal di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini semalam.
Plasma darah merupakan bahagian cecair haiwan tidak berwarna dan diproses menjadi bentuk serbuk yang digunakan untuk menambah kepejalan dan keke­nyalan sesuatu produk.
Bebola ikan pula diperbuat daripada isi ikan jenis tenggiri atau kembung dan dikisar sehingga hancur serta dicampur dengan tepung ubi atau tepung jagung sebelum direbus untuk dimakan.
Menurut Mohd. Amri, pengguna Islam kini perlu berhati-hati dengan memastikan terlebih dahulu hanya bebola ikan yang mempunyai sijil halal dibeli di pasaran.
Tambah beliau, bagi memudahkan umat Islam ketika membeli barangan tanpa was-was, mereka perlu melihat sijil halal Jakim terlebih dahulu kerana ia terjamin halal, bersih, selamat, berkualiti dan dijamin.
Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kimia dan Teknologi Makanan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Khan Ayob berkata, berdasarkan hukum syarak penggunaan plasma darah daripada haiwan sememang­nya haram.
Jelas Mohd. Khan, lazimnya para pengeluar gemar menggunakan plasma darah haiwan dalam pembuatan makanan di­sebabkan ia murah dan mudah didapati,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0213&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3RZtKZ0H3 
Hakcipta terpelihara 

Enam banduan bunuh diri selepas tawan penjara

REUTERS - MAYAT enam banduan yang membunuh diri dengan menembak diri sendiri selepas merampas senjata dan menawan tebusan di penjara Taiwan semalam.


TAIPEI – Enam orang banduan yang merampas senjata dan menjadikan seorang warden serta pengawal keselamatan sebagai tebusan di penjara Taiwan telah bertindak membunuh diri, kata seorang pegawai kanan semalam.
Dua tebusan iaitu warden penjara, Chen Shih-chih dan ketua pengawal, Wang Shih-tsang bagaimanapun terselamat dalam kejadian itu.
“Kesemua enam banduan telah membunuh diri setelah tidak tahu apa yang ingin mereka lalukan lagi,” kata Timbalan Menteri Keadilan, Chen Ming-tang.
Tambah Ming-tang, semua banduan didapati menembak diri mereka sendiri.
Media tempatan melaporkan bahawa banduan di bandar pelabuhan Kaohsiung di selatan Taiwan itu berpura-pura mahu mendapatkan rawatan perubatan petang kelmarin sebelum menjadikan beberapa orang pengawal sebagai tebusan dalam percubaan melarikan diri.
Mereka telah mengambil senapang, pistol dan peluru di penjara tersebut.
Dalam usaha menyelamatkan tebusan, Shih-chih dan Shih-tsang menawarkan diri sebagai ganti tebusan lain.
Pihak berkuasa cuba berunding dengan banduan berkenaan yang semuanya dikenakan hukuman penjara 10 tahun atau lebih, manakala ratusan anggota polis mengepung penjara itu. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0213&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3RZt0HDpF 
Hakcipta terpelihara 

Kanak-kanak tersepit celah dinding bangunan

AGENSI - GAMBAR menunjukkan dua orang kanak-kanak lelaki tersepit di celah dinding sebuah bangunan di perkampungan Guabo di wilayah Guangdong, China baru-baru ini.


GUANGDONG, China – Dua kanak-kanak lelaki berusia empat dan lima tahun berdepan situasi cemas apabila tersepit di celah dinding sebuah bangunan gara-gara mahu pulang ke rumah mengikut jalan pintas di sini baru-baru ini.
Jie Tai, 4, dan Ming Huang, 5, berjaya diselamatkan sekumpulan anggota bomba dalam satu operasi dramatik di perkampungan Gaobu yang terletak di selatan wilayah Guangdong selepas menerima panggilan daripada orang ramai yang gagal mengeluarkan mereka.
“Insiden itu mula disedari apabila beberapa orang yang lalu-lalang di sekitar kawasan tersebut mendengar tangisan dua kanak-kanak.
“Setelah diperiksa, mereka dapati terdapat dua kanak-kanak lelaki tersepit di celah dinding antara dua bangunan,” menurut jurucakap pihak bomba, Cheng Lin.
Jarak antara dua bangunan tersebut sekitar 15 sentimeter.
Tai dan Huang dipercayai mahu mengikut jalan pintas untuk pulang ke rumah yang terletak tidak jauh dari tempat insiden itu berlaku selepas keluar bermain.
“Kami perlu berhati-hati agar mereka tidak tercedera sewaktu memecahkan dinding dalam operasi menyelamat. Selepas lubang berjaya ditebuk, kami berjaya menarik mereka ke dalam bangunan,” katanya lagi.
Operasi menyelamat mengambil masa kira-kira 10 minit, manakala kedua-dua kanak itu tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi trauma dengan kejadian yang menimpa mereka. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0213&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3RZspARvn 
Hakcipta terpelihara 

Kapten kapal dipenjara 16 tahun



AFP - GAMBAR fail pada 15 Januari 2012 menunjukkan kapal persiaran Costa Concordia yang karam berhampiran Pulau Tuscan, Itali.


GROSSETO, Itali – Seorang bekas kapten kapal persiaran Costa Concordia dijatuhi hukuman penjara 16 tahun oleh sebuah mahkamah di sini kelmarin selepas didapati bersalah dalam tragedi kapal karam yang meragut nyawa 32 penumpang berhampiran Pulau Tuscan pada 2012.
Tertuduh, Francesco Schettino (gambar kecil) didapati mengendalikan kapal sepanjang tiga kali ganda padang bola sepak itu terlalu rapat dengan pesisir pantai sehingga melanggar batu.
Dia disabitkan atas kesalahan menyebabkan kematian beramai-ramai, menyebabkan kapal karam serta mengabaikan keselamatan penumpang dalam satu kemalangan kapal berprofil tinggi.
Dia bagaimanapun belum lagi dipenjarakan sehingga proses rayuan berakhir.
Penyiasat sebelum ini mengkritik hebat tindakan Schettino semasa mengendalikan tragedi tersebut apabila dia telah mengemudi kapal sepanjang 290 meter itu terlalu rapat ke pesisir pantai.
Dia juga dituduh menangguhkan pemindahan penumpang serta pengosongan kapal sebelum 4,229 penumpang dan kapal diselamatkan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun atas kesalahan menyebabkan kematian, lima tahun penjara kerana menyebabkan kapal karam serta satu tahun penjara akibat mengabaikan keselamatan penumpang.
Selain itu, tertuduh bersama pemilik kapal berkenaan, Costa Cruises diarah membayar pampasan €30,000 (RM123,000) kepada setiap penumpang, selain perlu membayar €1 juta (RM4.1 juta) sebagai ganti rugi kepada kerajaan Itali, wilayah Tuscony dan kepulauan Giglio kerana menyebabkan kemusnahan alam sekitar.
Badan kapal gergasi Costa Concordia itu dibiarkan selama dua setengah tahun sebelum dialihkan dalam satu operasi menyelamat kapal karam paling mahal di dunia. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0213&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3RZscfsEV 
Hakcipta terpelihara 

Kebencian jadi punca pembunuhan


DEAH SHADDY bersama isterinya, Yusor dan adik iparnya, Razan yang mati akibat ditembak seorang lelaki di kampus Universiti Carolina Utara pada Selasa lalu.


CAROLINA UTARA, Amerika Syarikat – Pihak polis yang menyiasat kes pembunuhan tiga pelajar Islam di sini pada Selasa lalu sedang melakukan siasatan lanjut sama ada kejadian itu bermotifkan perkauman.
Suspek, Craig Stephen Hicks, 46, didakwa melakukan pembunuhan tersebut di kampus Universiti Carolina Utara di bandar Chapel Hill yang mencetuskan kemarahan dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia.
Polis menegaskan bahawa siasatan awal menunjukkan berlaku pertelingkahan antara Hicks dan mangsa mengenai tempat letak kereta.
Dalam kejadian berkenaan, Hicks melepaskan tembakan menyebabkan kematian Deah Shaddy Barakat, 23, isterinya, Yusor Mohammad, 21, dan adik Yusor, Razan Mohammad, 19.
Bagaimanapun, polis berkata, mereka tidak menolak kemungkinan faktor kebencian Hicks terhadap umat Islam menjadi punca pembunuhan tersebut.
“Kami memahami kebimbangan mengenai kemungkinan bahawa pembunuhan ini bermotifkan kebencian. Oleh itu, kami berusaha meneliti setiap petunjuk untuk memastikan jika itu yang berlaku,” kata Ketua Polis Chapel Hill, Chris Blue.
Bapa kepada dua beradik yang terbunuh itu menuntut penyiasatan dilakukan terhadap pembunuhan tersebut yang disifatkannya sebagai jenayah kebencian.
“Ini bukan disebabkan pergaduhan terhadap tempat letak kereta, ini merupakan satu jenayah bermotifkan kebencian kepada Islam,” kata Mohammad Abu Salha.
“Lelaki ini telah mengugut anak saya dan suaminya beberapa kali sebelum ini dan dia bercakap dengan pistol di tali pinggangnya,” kata Mohammad.
Dia memberitahu akhbar tempatan, News & Observer bahawa anak perempuannya pernah menyuarakan kebimbangan terhadap Hicks ming­gu lalu.
“Demi Allah, dia bencikan kami kerana apa yang kami ada dan rupa kami,” tegas Mohammad memetik kata-kata anaknya itu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0213&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3RZsShvRQ 
Hakcipta terpelihara