Search This Blog

Monday, February 9, 2015

12 Ditahan Selepas Pertengkaran Mengenai Seorang Wanita


Diterbitkan: Isnin, 9 Februari 2015 4:31 PM
Gambar hiasan.

KOTA BARU: Polis menahan 12 suspek sejam selepas dua kumpulan 'berbincang' sebelum bertengkar mengenai seorang wanita berusia 23 tahun di sini, awal pagi Isnin.
Dua kumpulan tersebut yang masing-masing terdiri daripada lima dan tujuh lelaki sedang berborak di sebuah restoran di Jalan Sri Cemerlang kira-kira pukul 12.15 pagi apabila 'perbincangan' tersebut terjejas dan berlaku pertengkaran.

Sebaik sahaja sekumpulan tujuh lelaki itu meninggalkan lokasi, ketua sebuah kumpulan kedua menembak ke arah kereta tersebut sebanyak dua kali.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazin berkata insiden berlaku semasa perbincangan yang diadakan untuk menyelesaikan pertengkaran berhubung wanita terbabit.

"Ia menjadi tidak terkawal dan berlaku pertengkaran serta ketua kepada sekumpulan lima lelaki itu melepaskan dua tembakan ke arah sebuah kereta milik kumpulan lain untuk menunjukkan kekuatannya," katanya di sini.

Polis tiba di lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada orang awam dan menahan lima lelaki.

Namun, sekumpulan lelaki yang lain menyerah diri ke balai polis beberapa jam kemudian.

"Polis menemui dua kelosong peluru dari sepucuk pistol di lokasi kejadian," kata Mazlan.

Polis merampas sebuah pistol jenis Steyr, tiga butir peluru dan sarung pedang daripada suspek.

"Pistol tersebut masih dipenuhi tiga peluru," kata Mazlan.

Polis Terus Buru Suspek Kes Tembak Di Bachok


Diterbitkan: Ahad, 8 Februari 2015 11:42 PM

KOTA BHARU: Polis sedang giat memburu seorang suspek bersama dua lagi rakan yang disyaki terlibat dalam kes menembak mati seorang peniaga di sebuah kedai peralatan binaan di Beris Lalang, Bachok, Khamis lepas. 
Anak perempuan peniaga itu cedera ditembak dalam kejadian tersebut.  
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, pihaknya juga meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kedai terbabit bagi mengenal pasti kesemua suspek yang terlibat. 
“Setakat ini kita percaya kesemua suspek berkenaan merupakan rakyat tempatan berdasarkan dialek yang digunakan dalam pertuturan dan hasil soal siasat yang dijalankan terhadap saksi," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa yang cedera Ainul Wahida Mustaffar, 18, di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini, Ahad.
Dalam kejadian pukul 5.45 petang itu yang bermotifkan samun, peniaga Mustaffar Sidek, 52, terbunuh. 
Tiga lelaki bertopeng meluru masuk ke kedai berkenaan di hadapan Sekolah Kebangsaan Beris Lalang, dan meminta wang. 
Namun mereka tidak berpuas hati kerana hanya memperoleh RM1,000.  
Beliau berkata, polis telah menyerbu kediaman suspek namun mereka tiada di rumah kerana mengetahui polis sedang memburu mereka.

Pemandu Peribadi Mengaku Tidak Bersalah Menyamar Polis


Diterbitkan: Isnin, 9 Februari 2015 5:56 PM

KUALA LUMPUR: Pemandu kepada seorang pengarah syarikat insurans tempatan pada Isnin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan menyamar sebagai anggota polis dan mengugut.

Bagi pertuduhan pertama, K. Ram Babu, 30, didakwa menyamar sebagai anggota polis berpangkat koperal ketika meminta seorang pekerja kilang, Iskandal Barnes, 30, menyerahkan kad pengenalannya untuk diperiksa.
Ram Babu didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan itu di Jalan Thambipillay, Brickfields di sini pada kira-kira pukul 10.30 malam, 5 Januari lepas.
Dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut didakwa pada masa dan tempat yang sama mengugut akan menembak Iskandal jika pekerja kilang itu melarikan diri.

Bagi kesalahan itu, Ram Babu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majistret Saifulakmal Said membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Norazlin Mohamad Yusoff manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hak Kebebasan Bersuara Diguna Hina Islam - Umat Islam UK


Diterbitkan: Isnin, 9 Februari 2015 10:04 AM

LONDON: Ribuan umat Islam berkumpul di Downing Street di sini pada Ahad bagi membantah gambaran menghina Nabi Muhammad seperti yang diterbitkan majalah Charlie Hebdo.
Cherlie Hebdo yang berpangkalan di Paris sebelum ini telah diserang oleh kumpulan bersenjata sehingga mengorbankan 12 kakitangan yang turut bertanggungjawab menghina Islam.
Forum Tindakan Islam (MAF) yang merupakan penganjurkan perhimpunan tersebut memberitahu, Cherlie Hebdo sering menggunakan hak kebebasan bersuara untuk menghina Nabi Muhammad menerusi sindiran dan karikatur.
Jurucakap MAF, Shaykh Tauqir Ishaq memberitahu, kekejaman pelampau dalam melakukan pembunuhan bukan tindakan yang betul dalam Islam, tetapi media bukan juga perlu melakukan tanggungjawab dengan baik.
"Pencinta keamanan sentiasa menghebahkan tentang kebaikan global dan bukan mewujudkan pendebatan, ketegangan dan pemikiran emosional.
"Media Perancis berbeza dengan media di United Kingdom kerana di British pihak media sentiasa menjaga sensitiviti umat Islam. Kami menghargainya," jelasnya.
Sementara itu, pihak berkuasa memberitahu, tiada penahanan dilakukan terhadap peserta perhimpunan berkenaan.

Tiga Lori Musnah Terbakar


Diterbitkan: Isnin, 9 Februari 2015 11:02 AM

NILAI: Tiga lori musnah terbakar di sebuah bengkel di Nilai Industrial Estate, di sini, Ahad malam.
Pegawai Bomba Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Mantin Yusof Jahidin berkata pihaknya menerima panggilan pada 9.04 malam dan enam anggota bersama-sama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.
"Setibanya kami di situ, kelihatan api sedang marak dan ketiga-tiga lori itu telah musnah terbakar kira-kira 70 peratus.
"Api dapat dipadamkan sepenuhnya selama satu jam kemudian," katanya ketika dihubungi di sini, Isnin.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta jumlah kerugian masih disiasat, katanya.

Tempoh Reman Lelaki Kelar Penuntut UiTM Disambung Hingga 16 Februari


Diterbitkan: Isnin, 9 Februari 2015 4:41 PM
Nurshuda maut selepas dikelar seorang lelaki di Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Bukit Gantang, 2 Februari lalu.

IPOH: Tempoh tahanan reman seorang lelaki yang mengelar leher penuntut perempuan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang di Kilometer 228.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Bukit Gantang pada 2 Februari lepas, disambung tujuh hari lagi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping Superintenden Ismail Che Isa berkata Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Taiping N. Mageswari membenarkan suspek berusia 25 tahun itu direman sehingga 16 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Masih ada lagi rakaman percakapan saksi yang belum diambil dan kita akan memeriksa bil telefon suspek untuk melengkapkan kertas siasatan," katanya.

Dalam kejadian pada kira-kira 12 tengah hari, mangsa Nursyuhada Johari, 20, bersama suspek menaiki kereta Proton Perdana menghala arah selatan.

Mereka dikatakan bertengkar di dalam kenderaan sebelum kereta itu berhenti dan mangsa kemudian keluar dari tempat duduk pemandu sebelum terjatuh di atas jalan.

Suspek kemudian keluar dan cuba menarik mangsa ke kiri jalan namun melarikan diri ke hutan berhampiran selepas menyedari kehadiran orang ramai di tempat kejadian.

Bagaimanapun, suspek kembali ke tempat kejadian untuk mengambil telefon bimbit di tempat kejadian dan kehadirannya disedari orang ramai yang kemudian bertindak menangkap suspek dan menyerahkannya kepada polis.

Nursyuhada disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Kangsar pada kira-kira 2 petang.

Pegawai Kastam Maut Dirempuh Lori


Diterbitkan: Isnin, 9 Februari 2015 4:31 PM
Gambar hiasan

BUTTERWORTH: Seorang pegawai Jabatan Kastam Pulau  Pinang yang dalam perjalanan ke pejabatnya di Perai, terbunuh apabila motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah lori di Jalan Perusahaan, di sini pada Isnin.
Ghazali Ishak, 33, yang bertugas sebagai pegawai penyiasat di Kastam cawangan Perai, mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Rusli Mohd Noor berkata dalam kejadian pada 9.30 pagi itu, sebuah lori dikatakan hilang kawalan dan terbabas ke kanan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar motosikal Honda EX5 yang ditunggang mangsa.
Sementara itu, dalam kemalangan di KM119.3 Lebuhraya Utara Selatan menghala selatan berhampiran Bertam, dekat sini, seorang warga emas Chaw Kuai Sam, 65, maut apabila motosikal yang ditunggangnya melanggar belakang lori.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Abdul Rahman Ibrahim  berkata ketika kejadian pada 7.10 pagi, mangsa dari Sungai Petani, Kedah sedang  dalam perjalanan ke Seberang Jaya.
"Lori itu dikatakan berhenti di lorong kecemasan dipercayai kerana masalah brek," katanya.

Anwar: Penjara Atau "Istana Segambut'


Diterbitkan: Isnin, 9 Februari 2015 10:50 AM

PETALING JAYA: Penantian selama tujuh tahun oleh pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan berhubung dakwaan diliwat bekas ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berakhir esok.
Berbanding Saiful, keputusan Mahkamah Persekutuan itu dilihat lebih memberi kesan kepada Anwar selaku figura politik pembangkang khususnya mengenai masa depan gabungan pakatan pembangkang.
Bagi Ketua Pembangkang itu sendiri, tarikh 10 Februari sekali lagi bakal menjadi tarikh keramat baginya iaitu sama ada beliau akan meringkuk di dalam penjara atau kekal bertakhta di ‘istana Segambut’ miliknya.
Andai kata Anwar terpaksa meringkuk di penjara, keputusan itu tentunya secara langsung akan mengubah iklim politik di Malaysia lebih-lebih lagi mengenai hala tuju PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri.
Namun bagi Anwar, berdasarkan lenggok bahasa badan, ekspresi muka serta ‘mood’ yang ditunjukkan ketika berhadapan puluhan wakil media pada Ahad, beliau kelihatan tenang.
Tanpa berkerut dahi, Anwar sempat bergurau dengan pihak media yang terpaksa menunggu lama kehadiran pimpinan pakatan pembangkang untuk menyertai sidang media di lobi Pejabat Agung PAS.
"PAS kena tambah lif, satu tak cukup…lambat sangat. Nanti kita nak datang mesyuarat di sini lagi.
"Mesyuarat akan datang saya harap PAS dah ada lif baharu,” seloroh Anwar.
Persoalannya, masihkah ada ruang untuk Anwar menghadiri meysuarat Pakatan Rakyat yang seterusnya selepas 10 Februari ini?
Sebelum ini Anwar pernah menyuarakan keyakinan bahawa beliau akan dibebaskan berdasarkan kepada perincian fakta dan undang-undang kukuh yang telah dibentangkan di Mahkamah Persekutuan.
"Saya yakin akan dibebaskan berdasarkan perincian fakta dan undang-undang kukuh yang telah dibentangkan di hadapan panel Mahkamah Persekutuan.
"Fitnah tidak wajar dijadikan alat dalam tinju politik dan diberi ruang untuk memporak-perandakan negara. Saya panjatkan doa pada Allah Yang Maha Esa agar keadilan dapat ditegakkan dan saya dibebaskan," katanya.
Sejak dibebaskan pada 2004 iaitu selepas menjalani hukuman penjara hampir enam tahun kerana didapati bersalah terhadap empat pertuduhan rasuah, Anwar berperanan sebagai ejen penyatu di antara parti pembangkang.
Justeru tidak mustahil pakatan yang dibentuk tanpa ikatan yang sah itu bakal berhadapan krisis besar khususnya membabitkan calon pengganti Anwar untuk mengetuai Pakatan Rakyat.
Hingga ke saat ini, pakatan pembangkang masih belum menamakan calon pengganti Anwar sekiranya nasib tidak berpihak kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali sebelum ini pernah dilaporkan berkata bahawa pakatan pembangkang akan terus kekal sebagai entiti politik pembangkang yang kuat walaupun tanpa Anwar.
Menurutnya, jalinan ‘tahaluf siyasi’ atau kerjasama politik dalam Pakatan Rakyat bukan dibentuk atas dasar individu khususnya Anwar.
Sementara itu bagi Saiful, tempoh tujuh tahun yang dilaluinya selepas aduan yang mendakwa beliau diliwat pada 2008 iaitu ketika berusia 23 tahun merupakan penantian yang panjang.
Namun jelasnya sebagai pengadu, beliau akan menerima keputusan Mahkamah Persekutuan dengan hati terbuka walaupun tumpuan lebih diberikan mengenai nasib Anwar dari sudut politik.
"Terus terang saya ingin luahkan, muktahir ini, saya amat berdukacita dan terkilan. Suara, layanan, keadilan dan keprihatinan terhadap saya sebagai mangsa jarang sekali diambil kira, malah dianggap tidak relevan dan tidak penting. Walhal saya ini mangsa, Anwar Ibrahim orang yang dituduh.
"Sungguh mengecewakan saya lagi apabila ramai yang berbicara dan lebih ‘prihatin' tentang kesan kes ini terhadap senario politik berbanding kebenaran, fakta, nasib dan keadilan buat saya sebagai mangsa,” kata Saiful di blognya.
Namun menurut Saiful, beliau yakin Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan dengan seadil-adilnya tanpa mengambil kira faktor luaran sama ada latar belakang pengadu atau pihak tertuduh.
"Sebagai pengadu dan rakyat kecil, saya berkeyakinan penuh bahawa Mahkamah Persekutuan akan memutuskan kes ini dengan bebas, seadil-adilnya mengikut undang-undang, bukti-bukti dan semua keterangan sepanjang perbicaraan.
"Bagaimanapun sudah menjadi kebiasaan bagi saya dalam menghadapi sesuatu perkara, untuk siapkan diri berhadapan dengan 'worst case scenario'.
"Yang pasti, jika ditakdirkan keputusan nanti tidak berpihak kepada saya, saya akan tetap istiqamah dengan kebenaran ini walau betapa perit sekalipun untuk ditanggung, kerana saya yakin bahawa Allah tidak akan menzalimi hambaNya yang tegakkan kebenaran. Pasti ada hikmahnya. Jika tidak didunia, di Masyar pasti,” katanya.
Anwar, 67, membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati dia bersalah atas tuduhan meliwat dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun.
Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun lepas, membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan itu.
Jika Anwar kalah dalam rayuannya, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu boleh hilang kelayakan sebagai seorang ahli parlimen sebagaimana Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan seseorang anggota parlimen boleh dilucutkan kelayakannya jika beliau dijatuhkan hukuman penjara lebih daripada setahun atau didenda lebih daripada RM2,000.
Anwar diwakili oleh sepasukan 15 peguam diketuai bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pendakwaan.
Keputusan rayuan Anwar akan diumumkan oleh panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.
Turut sama bersidang Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali, yang mendengar rayuan Anwar pada November tahun lepas dan menangguhkan keputusan itu.

Tiga Lori Musnah Terbakar


Diterbitkan: Isnin, 9 Februari 2015 11:02 AM

NILAI: Tiga lori musnah terbakar di sebuah bengkel di Nilai Industrial Estate, di sini, Ahad malam.
Pegawai Bomba Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Mantin Yusof Jahidin berkata pihaknya menerima panggilan pada 9.04 malam dan enam anggota bersama-sama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.
"Setibanya kami di situ, kelihatan api sedang marak dan ketiga-tiga lori itu telah musnah terbakar kira-kira 70 peratus.
"Api dapat dipadamkan sepenuhnya selama satu jam kemudian," katanya ketika dihubungi di sini, Isnin.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta jumlah kerugian masih disiasat, katanya.

Lapan Pegawai Imigresen Sabah Jual Pas Lawatan Ditahan


Diterbitkan: Isnin, 9 Februari 2015 10:47 AM

KUALA LUMPUR: Lapan pegawai imigresen Sabah ditahan kerana menjual pas lawatan kepada ratusan warga Pakistan, dengan memperoleh 'jutaan ringgit' sejak beberapa tahun.

Mereka yang ditahan adalah dari pejabat imigresen di Sandakan, Kota Kinabalu dan Lahad Datu.

Seorang jurucakap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, pihaknya menahan dua pegawai kanan imigresen, yang merupakan timbalan penolong pengarah dan lima lagi pegawai imigresen Sabah yang dipercayai terlibat dalam sindiket, pada 2 Februari lalu.

"Kita menahan ramai lagi pegawai pada 6 Februari lalu. Kesemua mereka direman sehingga minggu depan.

"Berdasarkan siasatan awal, pegawai-pegawai ini menjual ratusan pas lawatan kepada warga asing di sini.

"Mereka telah pun beroperasi selama beberapa tahun," katanya sambil menambah para pegawai berkenaan memperoleh jutaan ringgit hasil penjualan tersebut.

Selain itu, jurucakap berkenaan berkata, sepuluh warga Pakistan turut ditahan, termasuk seorang individu yang menjadi orang tengah kepada pegawai imigresen dan warga asing.

Suspek menjual pas tersebut pada harga antara RM5,000 dan RM7,500 setiap satu bergantung kepada tempoh lawatan untuk warga Pakistan.

Suruhanjaya itu kini memperluaskan gerakannya dan menjalankan siasatan ke atas pegawai-pegawai lain di negeri itu.

"Dijangka lebih ramai akan ditahan tidak lama lagi," kata jurucakap itu.

Berikutan penahanan itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata, tiada kompromi terhadap integriti di kalangan pegawai kerajaan.

Beliau turut berkata, kerajaan negeri berharap supaya tindakan tegas dikenakan ke atas mereka yang terlibat.

Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mustafa Ibrahim tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen berhubung perkara tersebut.

Lelaki Maut Diratah Jerung


Diterbitkan: Isnin, 9 Februari 2015 11:51 AM
Pantai Shelly kini ditutup untuk aktiviti riadah.

SYDNEY: Seorang lelaki terbunuh apabila diserang jerung ketika sedang mandi di pantai Shelly, Ballina pada pagi Isnin.
Sehari sebelum kejadian maut itu, seorang lelaki mengalami kecederaan parah apabila turut diserang jerung ketika berada di pantai berhampiran.
"Seorang lelaki maut selepas mengalami kecederaan parah akibat diserang jerung ketika sedang mandi di pantai.
"Orang ramai cuba menyelamatkan mangsa ketika diserang dan ditarik jerung, tetapi tidak berjaya," kata polis tempatan.
Berikutan itu, pantai berkenaan ditutup untuk aktiviti riadah.
Lelaki yang cedera akibat diserang pada Ahad kini sedang mendapatkan rawatan di hospital berdekatan.

Polis siasat ancaman tembak di FB


Lee Hsien Loong
Lee Hsien Loong
SINGAPURA - Satu laporan polis dibuat susulan beberapa ancaman terhadap Perdana Menteri, Lee Hsien Loong, kata jurucakap polis semalam.
  
Beliau berkata "siasatan sedang dijalankan".
  
Saluran televisyen tempatan, Channel NewAsia (CNA), melaporkan ancaman itu dibuat dalam catatan di laman Facebook pada 6 Februari lepas.

Dalam satu daripada catatan itu, penulis mengugut untuk menembak perdana menteri manakala catatan lain mendakwa satu bom ditinggalkan di Lapangan Terbang Changi.
  
CNA melaporkan catatan itu turut ditag kepada Hsien Loong dan Polis Singapura. - Bernama

90 penggodam siber berkumpul di Tokyo


90 peserta dari tujuh negara bersaing dalam pusingan akhir Seccon di Tokyo, Jepun.
90 peserta dari tujuh negara bersaing dalam pusingan akhir Seccon di Tokyo, Jepun.
TOKYO - Kira-kira 90 penggodam dari beberapa buah negara berkumpul di Tokyo, Jepun, bagi menyertai pusingan akhir Pertandingan keselamatan 2014 (Seccon).

Menurut laporan AFP, penggodam muda Jepun diuji bersama pesaing antarabangsa yang disertai 90 penggodam dalam 24 pasukan dari tujuh negara dan wilayah iaitu China, Japan, Poland, Russia, Korea Selatan, Taiwan dan Amerika Syarikat.
Menurut penganjur, pemenang pertandingan akan mara ke pertandingan berprestij Def Con CTF (Capture the Flag) yang dijangka diadakan pada akhir tahun ini.

"Terdapat keperluan mengadakan sebuah forum di mana penggodam muda boleh mengembangkan lagi pemahaman mereka mengenai dunia luar. Ia juga penting bagi mengelakkan mereka daripada menyalahgunakan kemahiran dimiliki," menurut ketua jawatankuasa penganjur Seccon, Yoshinori Takesako.

Katanya lagi, penganjuran pertandingan itu turut mendapat sokongan agensi kerajaan, syarikat teknologi dan ahli akademik yang ingin mengubah imej media Jepun yang jauh ketinggalan berbanding negara lain dalam bidang keselamatan siber.

Seccon direka untuk membolehkan jurutera teknologi muda Jepun menunjukkan kemahiran mereka di pentas dunia, di samping menggalakkan lebih ramai menyertai dunia keselamatan siber.

Menteri tak berapa sihat?

Hyderabad: Baru hari pertama bertugas sebagai menteri kesihatan, Laxma Reddy sudah menunjukkan ‘belang’ dengan mengabaikan seorang lelaki yang terbaring hampir mati di luar hospital.
Menurut media, dalam lawatan pertamanya, Reddy sepatutnya menjalankan pemeriksaan mengenai cara pegawai perubatan menangani penularan virus influenza.
Dalam lawatan itu, dia dan beberapa pegawai dilihat langsung tidak mengendahkan seorang lelaki yang terbaring nazak di luar pintu masuk hospital.
Reddy kemudian meneruskan lawatan di Hospital Besar Osmania di Hyderabad dengan memeriksa unit kawalan pesakit, memberi cadangan mengenai kaedah kawalan penyakit dan cara menanganinya.
Akibat sikap tidak prihatin itu, Reddy kini teruk dikutuk pelbagai pihak kerana mengabaikan orang yang benar-benar sakit.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Februari 2015 @ 7:17 AM


REDDY langsung tidak menghiraukan seorang lelaki yang nazak di luar Hospital Besar Osmania ketika dia melawat ke situ.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/29217#sthash.O0uiWn58.dpuf

Berapi bila bersama

Kluang: Seorang ibu dari Felda Kahang Timur di sini, terpaksa berpisah buat sementara dengan anak perempuan berumur 10 tahun bagi mengelak kejadian tidak diingini berikutan kebakaran misteri berterusan berlaku setiap kali dua beranak itu bersama.
Nor Hawa Ahmad, 34, mendakwa kejadian pelik itu berlaku sejak November tahun lalu, apabila mula diganggu perkara pelik seperti pintu dan tingkap rumah ditutup dan dibuka sendiri.
Katanya, gangguan itu berpanjangan sehingga beberapa barangan dalam rumahnya seperti telekung, langsir, tilam, selimut serta pakaian pula tiba-tiba terbakar.
“Selepas beberapa minggu melalui kejadian pelik itu, kami bercadang menumpang di rumah ibu mentua berhampiran, namun kebakaran itu berlaku pula di rumahnya.
“Ia berlarutan apabila kami berpindah ke rumah ibu saya di Kulaijaya dan keadaan menjadi lebih teruk kerana kebakaran berlaku lebih besar sehingga memerlukan bantuan bomba untuk memadamkan api,” katanya yang ditemui di rumahnya di felda itu, semalam.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Februari 2015 @ 7:39 AM


IBU mentua Nor Hawa, Hamimah (kiri) bersama Hafsah melihat kesan kebakaran di rumahnya di FELDA Kahang Timur.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/29237#sthash.T6YNU7tr.dpuf

Diseret lima meter, terperosok bawah bas

Taiping: Seorang wanita berusia awal 30-an nyaris maut apabila motosikal yang ditunggang dirempuh lalu terperosok di bahagian bawah sebuah bas yang membawa pekerja kilang dalam kejadian di hadapan Sekolah Rendah All-Saint, Kamunting petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 4 petang, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha bagaimanapun hanya luka di beberapa anggota badan serta muka.
Seorang saksi kejadian yang enggan namanya dikenali berkata, dia yang dalam perjalanan pulang ke rumah dari arah pekan Taiping terkejut apabila mendapati seorang wanita terbaring di tepi jalan sambil merayu meminta tolong.
Menurutnya, dia melihat motosikal mangsa dalam keadaan terperosok di bawah bas kilang itu.
"Berikutan itu, saya segera mendapatkan bantuan kecemasan dengan menghubungi ambulans. Anggota perubatan dari Hospital Taiping tiba 20 minit kemudian lalu membawa wanita itu untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.
Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:10 AM


MANGSA yang cedera dibantu orang ramai.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/29399#sthash.jC6CgNvb.dpuf

Suspek culik kena ‘kutip’

Port Dickson: Polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 32 tahun yang dipercayai menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, kanak-kanak terbabit dikatakan berada di halaman rumah rakan ibunya di Kampung Paya, dekat sini, sebelum didatangi seorang lelaki yang bertindak melarikan mangsa menggunakan kereta Perodua Axia.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Baharudin Mustapha berkata, ibu mangsa membuat laporan mengenai kejadian itu dan pihaknya menjalankan siasatan sebelum berjaya mengesan kereta suspek di Jalan Sua Betong menghala ke Lukut, di sini.
Menurutnya, polis kemudian mengejar kereta dipandu suspek sebelum berjaya menahannya di Kilometer 28.8 Jalan Sua Betong, kira-kira 4.10 petang.
Katanya, mangsa diselamatkan dan dibawa ke Hospital Port Dickson untuk pemeriksaan lanjut manakala suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:11 PM


POLIS menahan suspek yang melarikan seorang kanak-kanak. FOTO Rozainah Abdul Rahim
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/29484#sthash.H3BkLMX4.dpuf

Penyamun terkulai

Oleh Nur Syazwana Mansor

am@hmetro.com.my
Yan: Seorang pemilik kedai menjual telefon bimbit nekad mengekori empat lelaki menaiki dua motosikal yang menyamun premisnya sejauh 500 meter sebelum menghimpit mereka sehingga terjatuh, sekali gus menahan keempat-empatnya dengan bantuan orang ramai, kelmarin.
Sebelum kejadian jam 4 petang, mangsa Yeah Soon Khai, 33, yang sedang melayan seorang pelanggan di premisnya terletak di Batu 17, Guar Chempedak, di sini, sebelum tiga motosikal berhenti secara mengejut di hadapan kedainya.
Difahamkan, empat lelaki yang bertopi keledar menerpa masuk sambil dua daripada mereka memegang parang, manakala dua lagi menunggu di atas motosikal di luar premisnya.
Soon Khai berkata, dia yang terkejut dengan kemunculan mereka, tidak berani melawan lalu mengikut kemahuan lelaki terbabit yang memintanya menyerahkan semua barangan berharga milik iaitu seutas rantai emas, komputer riba dan wang tunai RM2,000 dengan nilai keseluruhan RM14,000.
Menurutnya, penjenayah terbabit bergegas meninggalkan kedainya, tetapi pada masa sama dia turut bergegas menaiki kereta dan memandu seorang diri untuk mengekori dari belakang tanpa mereka sedari.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Februari 2015 @ 5:14 AM


SEORANG suspek yang cedera selepas terjatuh ke parit akibat dihimpit kenderaan mangsa yang disamunnya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/29599#sthash.fzyrCwA5.dpuf

Marah orang tanah besar

Hong Kong
Polis Hong Kong semalam melepaskan penyembur lada dan menahan penunjuk perasaan yang membantah kemasukan pelawat dari tanah besar China di dalam sebuah pusat beli-belah.
Lebih 100 orang mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan di bandar Tuen Mun, tidak jauh dari lintasan sempadan ke tanah besar China.
Penduduk tempatan semakin berang dengan jumlah pelawat dari China yang meningkat kerana dianggap mengganggu kehidupan seharian, selain memberi kesan terhadap pengangkutan awam.
Ini berikutan penduduk tanah besar kerap datang ke Hong Kong menaiki kereta api dan mengambil kesempatan membeli barangan keperluan daripada iPad hinggalah susu tepung dengan harga lebih murah, pilihan lebih banyak dan barangan lebih berkualiti selain bijak mengelak membayar cukai ketika pulang.
Bantahan semalam bermula dengan aman, namun sekumpulan aktivis kemudian berpecah dan memasuki pusat beli-belah berhampiran walaupun diberi amaran oleh polis.
Media tempatan melaporkan kira-kira 10 orang ditahan selepas bersikap kasar termasuk mencaci polis dan penduduk tanah besar China sehingga mengakibatkan beberapa kedai terpaksa ditutup awal.
Perkara itu dimaklumkan kumpulan yang menganjur demonstrasi, Hong Kong Indigenous di laman Facebooknya.
“Polis menggunakan penyembur lada dan cota di dalam pusat beli-belah. Ada orang yang cedera dan dikelilingi polis,” katanya.
Kejadian itu yang pertama melihat polis menggunakan penyembur lada sejak beberapa demonstrasi prodemokrasi diadakan di pusat bandar Hong Kong, tahun lalu, yang turut melihat beberapa pertempuran antara polis dengan penunjuk perasaan.
Hong Kong mengenakan sekatan terhadap pelawat dari tanah besar, namun kuota pelancong dinaikkan pihak berkuasa sejak beberapa tahun lalu untuk meningkatkan ekonominya.
Keputusan itu mengakibatkan ketegangan antara penduduk Hong Kong dengan pelawat dari tanah besar.
Mengikut laporan, 10,000 hingga 12,000 peniaga dari China datang ke Tuen Mun dalam tempoh tiga jam selepas pusat beli-belah di situ menawarkan khidmat bas percuma.
Pada 2013, bandar itu melarang orang ramai membawa susu bayi dalam kuantiti besar memasuki tanah besar China.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/29575#sthash.Hd3pXEA3.dpuf

Ratu Pasifik terlepas lagi

Mexico City: Wanita diberi nama jolokan Queen of the Pacific kerana terbabit dengan penyeludupan dadah dan pernah menjadi ilham dalam sebuah drama siri, dibebaskan dari penjara semalam kerana rayuannya di mahkamah diterima hakim.
Sandra Avila Beltran, 54, dibebaskan apabila hakim memutuskan dia tidak boleh dibicarakan dua kali untuk jenayah sama.
Pegawai persekutuan berkata, Sandra sebelum ini dihukum penjara lima tahun kerana terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram pada September tahun lalu.
Awalnya dia ditahan di Mexico City pada 2007 bersama kekasihnya, Juan Diego Espinosa yang digelar El Tiger.
Lelaki terbabit menjadi orang tengah antara sindiket dadah Sinaloa dan penyeludupan Columbia.
Sandra pernah dibebaskan dari tuduhan menguruskan dana haram pada 2012, tetapi pihak berkuasa mengekstradisinya ke Amerika Syarikat bagi menghadapi tuduhan bersubahat mengimport lima kilogram kokain antara 1999 dan 2004.
Seorang hakim menjatuhi hukuman penjara seumur hidup dan menghantarnya kembali ke Mexico pada Ogos 2013.
Walaupun Sandra mengaku mengenali pengedar dadah terkenal, dia berkeras menafikan terbabit dalam aktiviti penyeludupan.
Katanya, kekayaan dimilikinya adalah hasil perniagaan hartanah dan kerjaya fesyennya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Februari 2015 @ 5:09 AM


SANDRA
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/29584#sthash.fjd6cq7m.dpuf

SYAITAN, BUKAN MANUSIA

Chandigarh
Beberapa lelaki tidak dikenali memperlakukan seorang wanita cacat mental seperti haiwan sebelum membunuhnya di daerah Rohtak, Haryana.
Menurut laporan media semalam, mangsa ditemui dalam keadaan amat mengerikan - tanpa organ utama selain beberapa batang kayu, batu dan kondom disumbat dalam alat sulitnya.
Media tempatan melaporkan, mangsa dilaporkan hilang tiga hari sebelum ditemui pada Rabu.
Jurucakap polis berkata, mangsa dipercayai dibunuh pada 1 Februari lalu.
Pegawai penyiasat berkata, mayat itu sudah mereput ketika bedah siasat dijalankan di Institut Sains Perubatan Pascasiswazah Pandit Bhagwat Dayal Sharma (PGIMS).
Ketua Bahagian Forensik PGIMS Dr S K Dhatterwal berkata, selama 29 tahun bertugas, tidak pernah dia menemui kes pembunuhan sekejam itu.
“Dua batu dimasukkan ke alat sulit mangsa. Mukanya digigit haiwan, paru-paru dan jantungnya hilang, manakala otaknya mengalami keretakan serta wujud kesan kecederaan pada kedua-dua paha dan dada,” katanya.
Kata Dr Dhatterwal, pembedahan itu mengambil masa hingga lima jam.
“Kami menemui kayu sepanjang 16 sentimeter dan selebar 4 sentimeter dalam alat sulit mangsa.
“Kami mengesyaki kayu lebih panjang digunakan, tetapi ia patah dalam badan mangsa. Selain itu, kami turut menjumpai beberapa kondom dalam alat sulitnya,” katanya.
Mangsa berasal dari daerah Vadia di Nepal dan sedang menjalani rawatan mental di Haldwani.
Beberapa bulan lalu dia datang ke Rohtak untuk melawat kakaknya yang bekerja sebagai pembantu rumah di bandar itu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/29588#sthash.Bv9PJ7B2.dpuf