Search This Blog

Sunday, February 8, 2015

Diserbu ketika urut pelanggan


Lima tukang urut warga Indonesia dan lima pelayan restoran warga Filipina ditahan dalam Ops Sayang di dua lokasi berasingan
Lima tukang urut warga Indonesia dan lima pelayan restoran warga Filipina ditahan dalam Ops Sayang di dua lokasi berasingan
JOHOR BAHRU – Lima wanita warga Indonesia antara 12 ditahan ketika sedang leka mengurut pelanggan hasil pemeriksaan Jabatan Imigresen Negeri Johor dalam dua serbuan berasingan di sini, kelmarin.

Serbuan pertama dilakukan di sebuah pusat rawatan tradisional di Taman Johor Jaya pada kira-kira jam 4.55 petang manakala serbuan kedua dilakukan pada jam 9.45 malam di sebuah kafe di Taman Seri Tebrau.

Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Johor, Kharulanuar Abu Bakar berkata, seramai 30 individu diperiksa dalam kedua-dua serbuan dan mereka yang ditahan terdiri daripada tujuh warga Indonesia dan lima warga Filipina termasuk 10 wanita.

“Dalam serbuan pertama lima wanita Indonesia ditahan ketika sedang mengurut pelanggan masing-masing di dalam bilik yang dikhaskan pihak premis.

Katanya, lima pelayan wanita warga Filipina dan dua pelanggan warga Indonesia ditahan dalam serbuan kedua ketika kesemua mereka sedang leka melayan pelanggan dan menjamu selera.

“Seramai 20 orang diperiksa dalam serbuan kedua dan tujuh daripadanya ditahan selepas disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Dua lelaki naik motosikal curi kena cekup


Dua suspek yang ditahan dalam operasi cegah jenayah itu.
Dua suspek yang ditahan dalam operasi cegah jenayah itu.
KUANTAN - Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Kuantan menahan dua lelaki yang disyaki menunggang motosikal curi kira-kira di Jalan Wong Ah Jang, Khamis lalu.

Dalam operasi kira-kira jam 2 pagi itu, URB yang diketuai Deputi Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin itu menahan lelaki terbabit selepas dilihat mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, mereka diminta memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan dan polis mendapati motosikal yang ditunggang mereka pernah dilaporkan hilang di bandar ini.

“Hasil siasatan mendapati nombor plat yang digunakan adalah palsu,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas suspek yang berusia 27 dan 35 tahun itu juga menemui 11 pil berwarna merah di dalam poket seluar disyaki dadah  yang melakukan pemantauan dan pemeriksaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.

Menurutnya, kedua-dua suspek yang berasal dari Tanah Putih Baharu itu di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk siasatan lanjut dan motosikal yang ditunggangi mereka turut dirampas.

Abdul Aziz berkata, kedua dua suspek akan disiasat lebih lanjut sama ada terbabit dengan kegiatan curi motosikal atau membeli daripada individu tertentu yang menjalankan jenayah terbabit.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua lelaki itu tiada rekod jenayah lampau namun untuk kes berkenaan, mereka mungkin akan disiasat Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Ibu rayu Nur Khairunisa pulang


Nur Khairul Nisa
Nur Khairul Nisa
ALOR SETAR - Seorang ibu merayu anaknya, Nur Khairunisa Ahmad Soid, 15, yang keluar dari rumah sejak enam hari lalu segera kembali ke pangkuan keluarga.

Izientie Mona Zakaria, 36, berkata, anak sulung dari tiga beradik itu didapati hilang selepas keluar dari rumah pada 2 Februari lalu.

"Khairunisa bersekolah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Bagaimanapun pada hari kejadian dia bercuti dan pulang ke rumah ayah kandungnya di Sik.

"Seorang jiran sempat melihatnya berpakaian baju dan bertudung hitam," katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurutnya, Khairunisa dipercayai berjalan seorang diri keluar dari rumah.

"Dia keluar tanpa membawa sebarang pakaian serta tidak meninggalkan apa-apa pesan. Telefon bimbitnya juga tidak dijawab.

"Seorang rakan anak memberitahu Khairunisa sempat menghubunginya kali terakhir memberitahu mahu pergi kedai.

"Ini kali pertama dia hilang. Laporan polis sudah dibuat sehari selepas kehilangannya," katanya.

Izientie berkata, pelbagai usaha sudah dilakukan untuk mengesan anaknya termasuk membuat majlis bacaan Yasin namun masih tidak ditemui hingga kini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Khairunisa boleh menghubungi balai polis berdekatan atau menefon talian 018-9400890.

Mayat juruterbang ditemui


QZ8501

JAKARTA - INDONESIA . Anggota mencari dan menyelamat Indonesia berjaya menemui dan memindahkan salah seorang daripada dua mayat juruterbang dari dalam kokpit AirAsia QZ8501.

Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS), Bambang Soelistyo berkata, mayat ditemui 20 meter dari badan pesawat itu masih berada di kerusi kokpit dan dipercayai juruterbang berdasarkan pakaian seragam dipakai.

Soelistyo bagaimanapun memaklumkan, mayat gagal dikenal pasti sama ada milik juruterbang pesawat, Iriyanto atau pembantunya, Remy Plesel kerana keadaannya yang telah reput.

"Ia mungkin mayat Plesel kerana beliau memakai pakaian seragam dengan tiga jalur di bahu. Pengesahan rasmi akan diberi selepas pasukan Pengenalan Mangsa Bencana (DVI) selesai membuat pengecaman.

Sementara itu, sebanyak 93 mayat telah ditemui setakat ini dan diharap lebih banyak mayat ditemui termasuk seorang lagi juruterbang. - Channel News Asia

Penari sarkas diserang singa


FATEN El-Helw dikatakan sedang melakukan rutin biasanya di pentas tersebut sebelum singa yang diberikan nama Mandy itu menerkam dan menumbangkannya dihadapan orang ramai.
 
Memetik laporan daripada Metro.co.uk, singa tersebut merupakan singa yang sama menyerang dan membunuh suaminya, Ibrahim dalam satu kejadian pada tahun 2004.
Rakaman video yang direkodkan menerusi telefon bimbit salah seorang penonton dan telah dimuatkan menerusi laman sosial Youtube.
Rakaman video yang direkodkan menerusi telefon bimbit salah seorang penonton dan telah dimuatkan menerusi laman sosial Youtube.
 
Kejadian yang berlaku kepada El-Helw itu direkodkan menerusi telefon bimbit salah seorang penonton dan rakaman video itu dimuatkan menerusi laman sosial Youtube.
 
Rakaman video tersebut turut merekodkan suara dan reaksi panik penonton yang menyaksikan serangan tersebut.
 
Bagaimanapun, El-Helw dilaporkan terselamat dari sebarang kecederaan.
 
Dia dikatakan berada dalam keadaan stabil dan masih mampu berjalan walaupun menerima serangan tersebut.

Cubaan Rompak Bank Gagal, 13 Maut Ditembak Polis


Diterbitkan: Sabtu, 7 Februari 2015 3:39 PM

BRASILIA: Cubaan sekumpulan 30 lelaki untuk merompak sebuah bank Salvador tidak kesampaian apabila 13 daripada mereka maut ditembak polis pada Jumaat.
Rancangan kumpulan tersebut untuk merompak gagal apabila risikan polis menerusi kerjasama dengan pihak bank terlebih dahulu berjaya menghidu gerakan mereka.
Berikutan itu, berlaku siri berbalas tembakan antara polis dan penjenayah sehingga menyebabkan seorang anggota pihak berkuasa berpangkat sarjan cedera.
Lima suspek turut mengalami kecederaan dan dua daripada mereka dilaporkan parah serta dirawat di hospital. Suspek lain pula berjaya ditahan.
Polis turut merampas sejumlah senjata berkaliber tinggi yang digunakan penjenayah untuk merompak.
Polis bagaimanapun menerima kritikan dengan didakwa menggunakan kekerasan dalam membendung jenayah di negara berkenaan.

Lapan Anggota Abu Sayyaf Terbunuh


Diterbitkan: Sabtu, 7 Februari 2015 4:00 PM

ZAMBOANGA: Seramai lapan anggota kumpulan militan Abu Sayyaf yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda terbunuh dalam pertempuran dengan pihak berkuasa Filipina di selatan negara itu, kata tentera pada Sabtu.
Jurucakap agensi kerajaan, Chester Ramos berkata, dalam pertempuran  dengan kumpulan Abu Sayyaf yang mengawal kepulauan Jolo itu, seramai 13 anggota pihak berkuasa dari unit anti-pengganas turut mengalami kecederaan.
Jelasnya, anggota Abu Sayyaf yang terbunuh merupakan pengikut Radullan Sahiron - kumpulan bersenjata yang dikehendaki dengan nilai sebanyak AS$1 juta oleh kerajaan Amerika Syarikat.
Ramos memberitahu, kumpulan Sahiron mula bertempur dengan pihak berkuasa di Patikul, Jolo sejak seminggu lalu sehingga menyebabkan enam anggota anti-pengganas cedera.
Abu Sayyaf merupakan kumpulan militan yang menguasai kawasan pedalaman Jolo sejak awal 1990 selain melakukan pengeboman di tempat awam sehingga mengorbankan banyak nyawa.

Bogel: Dua Beradik Diusir


Diterbitkan: Ahad, 8 Februari 2015 1:30 PM

PHNOM PENH: Dua bersaudara warga Amerika yang ditangkap kerana merakam gambar bogel masing-masing di kompleks kuil Angkor yang terkenal di Kemboja diusir balik ke negara asal, menurut pegawai pada Ahad.
Lindsey Adams, 22, dan adiknya Leslie, 20 dikesan melakukan perbuatan itu dalam kuil Preah Khan yang terletak dalam kawasan Tapak Warisan Dunia itu pada Jumaat.
Kejadian ini adalah yang kedua dalam masa dua minggu. Sebelum ini, tiga pelancong Perancis ditangkap dalam keadaan bogel di lokasi berkenaan.
Mereka juga dihalau dari negara itu hujung minggu lalu selepas mengaku salah mengambil gambar bogel di salah satu kuil di situ.
Mereka dijatuhi hukuman penjara enam bulan yang ditangguhkan pelaksanaannya, selain diharamkan daripada memasuki Kemboja selama empat tahun.
Aksi bogel pelancong itu yang terbaru mencetuskan kemarahan penduduk di negara ini.
Pendakwa raya Mahkamah Wilayah Barat Laut Siem Reap, Koeut Sovannareth memberitahu AFP, kedua-dua beradik itu dikenakan hukuman penjara enam bulan yang ditangguhkan dan dilarang masuk ke negara itu selama empat tahun.
"Mahkamah memutuskan untuk mengusir mereka dari Kemboja.
“Kedua-duanya mengaku melakukan kesilapan apabila mengambil gambar bogel,” katanya.
Jurucakap Apsara, Chau Sun Kerya berkata, tindakan mereka menyinggung penduduk negara ini kerana Angkor dianggap tanah suci.
“Mungkin mereka tidak tahu Angkor ialah tapak suci. Tetapi tindakan mereka menjejaskan kesucian tempat ini,” katanya.

Pesawat AirAsia X Ke Jeddah Berpatah Balik Kerana Masalah Teknikal


Diterbitkan: Ahad, 8 Februari 2015 6:41 PM
Imej FlightRadar menunjukkan laluan pesawat itu mengelilingi ruang udara Selat Melaka.

KUALA LUMPUR: Pesawat AirAsia X dalam penerbangannya ke Jeddah pada Ahad terpaksa berpatah balik ke Kuala Lumpur kerana mengalami masalah teknikal. 
Pesawat itu terpaksa menghabiskan masa kira-kira empat jam mengelilingi Selat Melaka untuk membakar bahan apinya bagi membolehkan ia mendarat dengan selamat.
Pesawat itu yang berlepas pada kira-kira pukul 12.20 tengah hari itu bagaimanapun mendarat selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada kira-kira pukul 5.40 petang.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pesawat AirAsia X penerbangan D7172 mengalami "masalah teknikal" sejurus selepas berlepas dari KLIA2. Juruterbang terpaksa berpatah balik semula ke lapangan terbang.
Liow berkata, insiden tersebut sedang disiasat.
"Saya dimaklumkan bahawa kesemua mereka yang menaiki pesawat itu selamat. Juruterbang terpaksa terbang selama empat jam untuk membakar bahan api bagi membolehkan pesawat itu lebih ringan untuk mendarat dengan selamat," kata Liow.
AirAsia X dalam satu kenyataan mengenai Penerbangan D7172 berkata: "Sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan dan mematuhi semua piawaian keselamatan antarabangsa, pesawat itu berpatah balik dan mendarat selamat di KLIA2 pada pukul 5.40 petang."
"Kesemua penumpang yang menaiki pesawat itu kini dipindahkan ke pesawat lain di mana penerbangannya dijadualkan pada pukul 7 petang hari ini," katanya.

72 Saat Yang Mencemaskan


Diterbitkan: Ahad, 8 Februari 2015 9:59 AM
Waris mangsa dan pihak berkuasa melakukan upacara keagamaan di lokasi pesawat TransAsia Airways terhempas.

TAIPEI: Hanya 37 saat sebaik berlepas, salah satu enjin pesawat TransAsia Airways 235 dikatakan berhadapan masalah, menyebabkan juruterbangnya memadam enjin kedua.
Juruterbang yang dianggap hero kerana berusaha mengemudi pesawat itu bagi mengelak merempuh bangunan di bandar ini seterusnya dilaporkan cuba menghidupkan semula kedua-dua enjin berkenaan.
Bagaimanapun, masalah yang dihadapi pesawat malang itu gagal diatasi apabila ia terhempas 72 saat selepas itu.
Perkara itu dimaklumkan Pengarah Ekseutif Majlis Keselamatan Penerbangan, Thomas Wang.
"Enjin kanan pesawat itu mengeluarkan isyarat kecemasan 37 saat selepas berlepas," katanya seperti dilaporkan media.
Pasukan penyelamat dan pihak berkuasa mengusung mayat yang ditemui dalam pesawat yang terhempas, Sabtu.
Rekod juga menunjukkan pesawat itu tidak terhenti seperti dimaklumkan juruterbang kepada menara kawalan, sebaliknya melahu tanpa perubahan tekanan minyak.
Enjin kiri ditutup 46 saat kemudian, dipercayai oleh salah seorang juruterbang sebelum usaha dilakukan untuk menghidupkannya semula.
Punca enjin kedua ditutup belum dipastikan kerana pesawat itu mampu terbang dengan hanya satu enjin.
Berikutan itu, agensi berita China News Agency berkata, pihak berkuasa kini melihat kemungkinan berlaku ‘kesilapan profesional.’
Sehubungan itu, 71 juruterbang TransAsia Airways akan menjalani ujian kemahiran, dengan 90 penerbangan dibatalkan dalam tiga hari akan datang, seperti diarahkan Pentadbiran Aeronautika Awam Taiwan.

28 Banduan Lari Selepas Warden Penjara Digoda Tiga Wanita


Diterbitkan: Ahad, 8 Februari 2015 3:08 PM

SERAMAI 28 banduan melarikan diri dari sebuah penjara di Brazil selepas tiga wanita yang berpakaian fantasi ala pakaian seragam polis berjaya 'menggoda' tiga warden penjara, menurut satu laporan.
Polis menemui ketiga-tiga warden penjara berkenaan dalam keadaan berbogel dan digari di dalam penjara awam Nova Mutum, dekat Cuiaba, tengah Brazil pada waktu pagi selepas insiden banduan melarikan diri itu.
Menurut penyiasat, ketiga-tiga wanita tersebut dilaporkan memberikan minuman keras yang telah diletakkan dadah di dalamnya kepada warden penjara dan memperdayakan mereka untuk menyertai satu 'pesta liar'.
Sekumpulan banduan melarikan diri menggunakan pintu utama, malah sempat mengambil senjata dari tempat persembunyian di penjara tersebut.
Polis kemudiannya menemui sebuah beg yang mengandungi pakaian dalam wanita dan pakaian seragam polis yang digunakan wanita sebagai fantasi untuk melakukan hubungan seks, dipercayai telah dipakai oleh ketiga-tiga wanita berkenaan bagi menggoda warden penjara.
Menurut polis, ketiga-tiga wanita tersebut, di mana salah seorangnya dilaporkan merupakan teman wanita kepada salah seorang banduan yang melarikan diri, tiba di penjara itu pada pukul 3 pagi Khamis waktu tempatan dan meminta kebenaran untuk berada di dalam kawasan penjara untuk berbual dan minum.
Warden penjara itu dilaporkan memenuhi permintaan itu dan kemudiannya diperdayakan untuk meninggalkan tempat bertugas bagi menemani wanita tersebut ke kuartes kakitangan.
Menurut ketua polis, Angelina de Andrades Ferreira, kesemua warden penjara itu kemudiannya diberikan dadah sebelum tangan mereka digari.
Tambahnya, ketiga-tiga wanita itu kemudiannya mengambil kunci dan membuka semua sel penjara, menyebabkan sekumpalan banduan berjaya melarikan diri.
Bercakap pada sidang media, beliau berkata: "Rancangan mereka adalah untuk menggoda warden penjara dengan memberikan minuman yang mengandungi dadah supaya mereka khayal. Kemudiannya membuka pintu utama yang menghubungkan sel penjara di bahagian dalam.
"Mereka yang melarikan diri melalui pintu hadapan.
"Kesemua warden yang khayal tidak dapat mengingati apa-apa. Seorang daripada mereka ditemui dalam keadaan pening kepala dan cuba untuk bangun. Seorang lagi tidur sepanjang waktu petang sehingga tidak dapat disoal siasat.
Polis kini sedang memburu kesemua 28 banduan yang melarikan diri menerusi satu operasi mencari secara besar-besaran.
Polis berkata, seorang banduan ditemui berjalan-jalan dengan memegang senapang yang dicuri di sekitar tengah bandar Nova Mutum.
Manakala seorang lagi ditangkap selepas mencuri sebuah trak dari ladang dan kemudiannya terbabit dalam satu kemalangan. - mirror.co.uk

Lelaki Maut Tertembak Diri Sendiri Ketika Buru Babi Hutan


Diterbitkan: Ahad, 8 Februari 2015 4:40 PM

MELAKA: Seorang lelaki maut selepas tertembak diri sendiri menggunakan senapang pam ketika memburu babi hutan pada Ahad.
Ong Thai Hock, 56, dari Bembam Baru dipercayai tidak sengaja menembak dirinya sendiri yang mengenai bahagian rahang kanannya pada kira-kira pukul 2 pagi Ahad semasa dia mengeluarkan peluru daripada senjata itu.
Kejadian berlaku di sebuah jalan kampung kira-kira 100 meter dari jalan utama Jalan Gapam di Ayer Keroh.
Rakannya yang juga seorang pemburu menemuinya selepas Ong gagal untuk kembali ke tempat perjumpaan mereka untuk pulang ke rumah bersama.
Rakannya yang dalam lingkungan 40-an berkata, dia menunggu Ong selama kira-kira setengah jam selepas mereka selesai melakukan pemburuan pada malam itu di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan.
Mereka mengambil laluan yang berbeza bagi membuat pemburuan dan bersetuju untuk berjumpa di sebuah persimpangan dekat jalan utama.
Bagaimanapun, Ong tidak muncul dan membuatkan rakannya cuba untuk mencarinya. 
Difahamkan, motosikal milik Ong masih dalam keadaan enjinnya yang masih hidup ketika dia ditemui terbaring kaku dan berlumuran darah.
Abang Ong, Thai San, 63, berkata, penduduk kampung dan anggota komuniti di Bemban sering memberitahu Ong, yang merupakan seorang pemburu dan juga anggota Rela dari semasa ke semasa, mengenai babi hutan liar dan binatang lain memasuki ladang dan estet mereka.
Mereka meminta Ong untuk memburu haiwan berkenaan daripada terus melakukan kerosakan. 
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bemban-MCA, Datuk Ng Choon Koon yang merupakan anak saudara lelaki Ong berkata, bapa saudaranya telah bersara daripada melakukan perniagaan sub-kontrak sebelum ini sebelum keluarga memintanya untuk membantu menyelia satu projek perumahan baru-baru ini.
"Keluarga kami sangat sibuk dan bekerja keras untuk menyiapkan projek ini yang dijangka siap pada Mei ini. Bapa saudara saya hanya mempunyai satu hari cuti setiap dua minggu dan semalam merupakan hari cutinya.
"Dia ada beritahu kami sebelum ini yang dia mahu berhenti kerja sepenuhnya selepas projek ini selesai.
"Ia amat mendukacitakan kerana dia telah pergi meninggalkan kami," katanya.
Ong meninggalkan seorang balu, seorang anak lelaki, seorang anak perempuan dan tiga cucu.

Pekerja Maut Dihempap Gelung Besi Atas Kapal


Diterbitkan: Ahad, 8 Februari 2015 6:20 PM

BUTTERWORTH: Seorang pekerja maut dipercayai ditimpa gelung besi ketika memunggah barang di atas sebuah kapal dagang di Pelabuhan Dermaga Dalam di sini, Ahad.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, M.Parasuraman, 45, maut di tempat kejadian manakala rakannya M.Panner Selvan, 29, cedera di pinggang selepas ditimpa gelung besi yang dianggar seberat empat tan.
"Mangsa bersama rakan sekerjanya sedang melakukan kerja dalam kapal yang tiba dari China dengan membawa gelung besi. Mayatnya ditemui dalam keadaan badan berlipat di bawah gelungan besi dan dia dipercayai mati berikutan sukar bernafas di samping mengalami kecederaan," katanya di sini, Ahad.
Beliau berkata, beberapa pekerja lain yang turut berada di situ tidak sempat menyelamatkan mangsa.
Mangsa dan tiga rakannya dikatakan sedang mengikat gelung besi terbabit sebelum diangkat dengan kren, namun mereka hilang kawalan menyebabkan gelung berkenaan menghempap mangsa dan seorang lagi rakannnya, katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat manakala rakannya turut dihantar ke hospital sama.

Lima individu bawa poster menghasut ditahan


KOTA KINABALU 8 Feb. - Lima individu termasuk dua wanita yang membawa poster dan membuat pungutan suara membawa Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) ditahan pasukan polis di Lahad Datu, di sini semalam.
Kesemua individu yang berusia 21 hingga 58 tahun itu ditahan polis di sekitar pekan Lahad Datu pada pukul 4 petang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Datuk Salehhudin Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/lima-individu-bawa-poster-menghasut-ditahan-1.57210#sthash.FcVkFYEv.dpuf

Sindiket guna pelbagai helah


KUALA LUMPUR 7 Feb. – Ketegasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras kegiatan judi haram ternyata menyebabkan sindiket yang terlibat bagaikan ‘cacing ke­panasan’ kerana mereka kerugian berpuluh-uluh juta ringgit sebulan.
Berikutan itu satu sumber memberitahu, sindiket kini berusaha mengubah modus operandi mereka bagi memastikan pendapatan daripada kegiatan haram itu tidak terjejas.
Jika sebelum ini, mereka menjalankan kegiatan itu di premis kini ia dipindah ke pelbagai tempat termasuk di kedai makan, kediaman dan kondominium mewah, atau secara mobil menggunakan komputer mudah alih seperti komputer riba serta gajet pintar tablet bagi mengelakkan daripada dikesan oleh pihak berkuasa.
“Apa yang membimbangkan, mereka menjadikan pelajar universiti atau kolej daripada kalangan keluarga kaya sebagai sasaran,” katanya kepada Mingguan Malaysia, di sini.
Sumber itu turut mendedahkan, walaupun pihak polis proaktif menjalankan operasi bagi membanteras kegiatan haram tersebut namun masih ada sindiket yang tidak gentar.
Dakwanya, ini terbukti apabila di ibu negara terdapat sekurang-kurangnya empat premis perjudian haram di sekitar Brickfields dikesan beroperasi kembali sejak 13 Disember lalu dan awal tahun ini.
Tambah sumber tersebut, setiap premis mempunyai kira-kira 20 buah komputer berunsur perjudian dan dikawal oleh rakyat tempatan dengan dibantu oleh beberapa lelaki warga asing.
“Pintu belakang menjadi laluan kepada pelanggan bagi memudahkan mereka melarikan diri jika serbuan dilakukan oleh pihak berkuasa,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/sindiket-guna-pelbagai-helah-1.57177#sthash.zxbKQGgu.dpuf

Komander pengganas dari Asia Barat tumpas


Tidak sampai sebulan bersembunyi di Malaysia

Anggota polis menahan seorang suspek warga asing yang juga anggota
Anggota polis menahan seorang suspek warga asing yang juga anggota kanan sebuah kumpulan pengganas yang beroperasi di Asia Barat di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR 7 Feb. - Tidak sampai sebulan bersembunyi di Malaysia, seorang pengganas paling dikehendaki di sebuah negara di Asia Barat tumpas apabila dia dicekup sepasukan polis di sebuah hotel di ibu negara, akhir bulan lalu.
Anggota kanan berpangkat Ko­mander yang berusia 45 tahun itu dikatakan bersembunyi dalam kalangan warga asing yang ramai di negara ini.
Dia masuk ke Malaysia pada pertengahan Januari lalu dengan menggunakan pasport palsu bagi mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa yang telah lama memburunya ekoran aktiviti keganasan yang serius.
Lelaki itu dipercayai paling dikehendaki di negaranya kerana mempunyai pengalaman luas dalam aktiviti keganasan selain mempunyai rangkaian pengganas dengan kumpulan militan di negara bergolak.
Malah suspek juga difahamkan memim­pin salah sebuah kumpulan pengganas di Syria dan Iraq sebelum melarikan diri ke beberapa buah negara termasuk Malaysia.
Sementara itu, Ke­tua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, penangkapan suspek oleh Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman merupakan satu kejayaan memerangi kegiatan keganasan di rantau ini.
“Satu operasi khas dilaksanakan pada 31 Januari lalu yang membawa kepada penahanan anggota kanan sebuah kumpulan pengganas di Syria di sebuah premis, di ibu negara.
“Suspek yang berusia 45 tahun dan berasal dari sebuah negara di Timur Tengah itu dikesan telah menyertai kumpulan pengganas sejak Mei, 2012 hingga Mei, 2014.
“Dia pernah memasuki beberapa negara di Asia Barat, uta­ra Afrika dan sebuah lagi negara di Asia Tenggara sebelum me­nyusup masuk ke Malaysia pada perte­ngahan Januari lalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Ujar Khalid, suspek juga dikesan adalah bekas komander sebuah kumpulan pengganas yang beroperasi di Syria dan Iraq.
“Disebabkan penglibatannya dalam aktiviti keganasan, lelaki ini disenaraikan dalam senarai paling dikehendaki oleh pihak keselamatan di sebuah negara.
“Suspek telah ditangkap di bawah Akta Imigresen 1959/63 ke­rana disyaki menggunakan pasport palsu dan semalam, dia telah diusir balik ke negara asal dalam satu operasi khas,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/komander-pengganas-dari-asia-barat-tumpas-1.57163#sthash.ldBvKlh9.dpuf

Anak bunuh ibu selepas dengar suara ghaib


KUANTAN 7 Feb. - Seorang anak sanggup bertindak kejam de­ngan memukul ibunya bertalu-talu menggunakan batang cangkul selepas mendakwa mendapat arahan suara ghaib dalam kejadian di Batu 8, Jalan Kuantan-Gambang di sini semalam.
Kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu berlaku ketika mang­sa, Hamidah Mat Zin, 47, berehat di ruang tamu rumahnya.
Hamidah yang cedera parah akibat kejadian meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) kira-kira pukul 9.30 pagi ini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, semasa kejadian, suspek, Khairul Nizam Zainuddin, 20, dikatakan meracau seorang diri sebaik sahaja memasuki ruang tamu sebelum bertindak memukul kepala ibunya bertalu-talu.
Beliau berkata, sus­pek kemudian lari meninggalkan rumah dan meninggalkan ibu­nya yang tidak sedarkan diri akibat kecederaan parah.
“Bagaimanapun, anak saudara mangsa, Ahmad Fazillan yang kebetulan singgah di rumah itu menyedari kejadian tersebut selepas melihat mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah.
“Dia kemudian membawa mang­sa ke HTAA dan membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Balai Polis Jaya Gading,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Abdul Aziz, pihaknya berjaya menahan suspek yang kembali ke rumah berkenaan kira-kira dua jam selepas kejadian.
“Berdasarkan laporan siasatan awal, suspek mengalami masalah mental sejak berusia 16 tahun dan mendakwa sering mendengar suara ghaib yang mengarahkannya memukul ibunya sehingga mati.
“Ibu suspek yang bekerja sebagai pekerja am di Sekolah Kebangsaan Fakeh Abdul Samad di sini disahkan meninggal dunia pagi ini. Jenazah mangsa sudah dituntut ahli keluarganya untuk urusan pengebumian,” katanya.
Tambah Abdul Aziz lagi, siasatan lanjut sedang dijalankan dan pihaknya merampas batang cangkul yang digunakan dalam kejadian itu.
“Suspek kini ditahan reman selama seminggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Ke­seksaan kerana menyebabkan kematian,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/anak-bunuh-ibu-selepas-dengar-suara-ghaib-1.57120#sthash.DC58g9hr.dpuf