Search This Blog

Friday, February 6, 2015

Polis tahan 74 rakyat Malaysia didapati terbabit aktiviti militan di Syria


KUALA LUMPUR: Polis sehingga ini sudah menahan 74 rakyat Malaysia selepas mereka didapati terbabit dengan aktiviti militan di Syria, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, (kiri) Edisi Khas 'die-cast PDRM Toy Car Collection by DaiSheng' di Kuala Lumpur hari ini. - Foto Azhar Ramli
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas hadir melancarkan Edisi Khas 'die-cast PDRM Toy Car Collection by DaiSheng' di sini, sebentar tadi.
Berhubung isu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Khalid berkata, menteri Kabinet itu dijangka memberi keterangan berkaitan isu boikot peniaga, Isnin depan.

KPDNKK serbu pangsapuri jalankan kegiatan cetak rompak

Oleh Ikmal Ismail

PEGAWAI Operasi KPDNKKK Petaling Jaya membuat pemeriksaan CD cetak rompak di sebuah rumah dekat Flat Desa Mentari, Subang, awal pagi tadi. - Foto Ghazali Kori
PETALING JAYA: Tindakan rakan karib yang cuba berselindung di kediamannya bagi menjalankan kegiatan mencetak rompak cakera video digital (DVD) sejak beberapa bulan lalu akhirnya terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa, awal pagi tadi.
Serbuan diketuai bahagian penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor di Pangsapuri Desa Mentari, di sini itu berjaya menahan tiga individu termasuk seorang wanita.
Timbalan Ketua Penguatkuasa Daerah Petaling Jaya, Ramli Nayan berkata, serbuan diadakan hasil maklumat orang awam yang mencurigai terdapat sesuatu operasi menyalahi undang-undang di dalam kediaman terbabit.
Dalam serbuan itu katanya, pihaknya turut berjaya merampas lebih 5,000 keping VCD termasuk DVD dan pelbagai peralatan pemprosesan lain bernilai lebih RM65,000.
"Seramai 30 orang anggota bersama anggota polis terbabit dalam membuat serbuan di premis kediaman itu.

PEGAWAI Operasi KPDNKKK Petaling Jaya membuat pemeriksaan CD cetak rompak di sebuah rumah dekat Flat Desa Mentari, Subang, awal pagi tadi. - Foto Ghazali Kori
"Dua lelaki yang ditahan itu dipercayai suspek utama. Ketika ditahan kedua-duanya sedang sibuk mencetak VCD dan DVD pelbagai tajuk menggunakan 'burner'," katanya ketika ditemui, di sini.
Beliau berkata, kesemua yang ditahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 41(1G) Akta Hak Cipta 1987 di mana jika disabit kesalahan akan didenda RM20,000 bagi setiap salinan yang dicetak.

PDRM, Peguam Negara mohon Australia ekstradisi Sirul Azhar

Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan Peguam Negara untuk memohon dan berunding dengan Australia dalam usaha membawa pulang bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar ke negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata proses membawa pulang Sirul Azhar yang berhadapan dengan hukuman gantung sampai mati, melibatkan proses perundangan sebelum dia dapat dibawa pulang.
"Kita dah tahu Australia ada undang-undang yang mana menghalang mereka untuk bekerjasama dengan Malaysia...itu kita kena atasi dahulu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan edisi khas kenderaan-kenderaan mainan PDRM oleh syarikat pengeluar peralatan permainan Daisheng (M) Sdn Bhd di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan status terkini usaha untuk membawa Sirul Azhar pulang ke tanah air.
Menurutnya, beliau tidak dapat menentukan tempoh proses itu yang mungkin akan memakan masa yang lama.
Sirul Azhar dan Cif Inspektor Azilah Hadri didakwa membunuh membunuh model sambilan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006 dan disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi pada 2009.
Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar dengan membebaskan mereka daripada tuduhan berkenaan.
Pada 13 Januari lepas, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan membebaskan Sirul Azhar dan Azilah dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap mereka.
Bagaimanapun, Sirul Azhar tidak hadir ke mahkamah bagi mendengar keputusan kes itu kerana dipercayai berada di Australia.
Susulan itu, Mahkamah Persekutuan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.
Pada 16 Januari lepas, media tempatan memetik laporan akhbar Sydney Morning Herald berkenaan kerajaan Australia yang tidak akan memenuhi permohonan Malaysia untuk mendapatkan perintah ekstradisi Sirul Azhar.
Ini berikutan ia melibatkan hukuman mati dan Australia adalah antara negara yang tidak memperuntukkan hukuman mati dalam undang-undangnya.
- BERNAMA

Harvard larang hubungan seks antara profesor dan pelajar


University Harvard
NEW YORK: Salah sebuah universiti paling berprestij di Amerika Syarikat, Harvard melarang profesornya supaya tidak mengadakan hubungan seks dengan pelajar berikutan kajian semula terhadap dasar pencabulan seksual.
Jawatankuasa Fakulti Seni dan Sains berkata, larangan "hubungan romantik atau seksual" dikenakan sama ada ke atas kakitangan fakulti yang mengajar atau menyelia pelajar dipersoalkan.
Larangan itu dikenakan terhadap mahasiswa dan mahasiswi serta lepasan ijazah serta dijadikan sebahagian daripada kajian semula bagi salah laku seksual.
Kajian semula "bagi menentukan huraian sedia ada berkaitan hubungan tidak sama status tidak mencerminkan jangkaan fakulti mengenai apa yang ditetapkan sebagai hubungan sewajarnya."
Keputusan itu dibuat apabila universiti terkenal di Amerika Syarikat mengambil pendekatan defensif terhadap aduan berkaitan keganasan seksual di kampus.
Mei lalu, Jabatan Pelajaran Amerika Syarikat menyenaraikan 55 kolej dan universiti bagi menjalani kajian semula berkaitan pengendalian aduan serangan seksual dan pencabulan.
Harvard, terletak di timur laut wilayah Massachusetts turut berada dalam senarai itu.
Pesaing tradisi universiti itu, Yale, melarang hubungan seksual di antara faculti dan pelajarnya pada 2010. -AFP

17 maut kebakaran gudang di China


KEBAKARAN di tingkat empat pasar borong di daerah Huidong, wilayah Guangdong menyebabkan 17 maut. - Foto news.xinhuanet.com
HONG KONG: Sekurang-kurangnya 17 orang maut dalam kebakaran di sebuah gudang di China, lapor agensi berita Xinhua, hari ini.
Kebakaran berlaku pada petang semalam di tingkat empat pasar borong di daerah Huidong, wilayah Guangdong.
Anggota bomba mengambil masa lebih enam jam untuk memadamkan kebakaran dan tiada sebarang maklumat lanjut diperoleh.
China, ekonomi kedua terbesar dunia, mempunyai terlalu banyak kes kebakaran di tempat kerja.
Pekerja tidak mendapat latihan mencukupi atau tiada peralatan bagi melindungi mereka daripada kemalangan di tempat kerja.
Kebakaran di sebuah pusat penyembelihan ayam di timur laut wilayah Jilin pada Jun 2013 menyebabkan 120 orang terkorban.
Kebakaran itu berpunca akibat pengurusan yang lemah, kurang pemantauan kerajaan dan laluan keluar atau pintu keluar tersekat. - Reuters

Mexico selamat 129 pekerja disyaki 'dianiaya' firma Korea Selatan



FOTO yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri Mexico menunjukkan serbuan yang dilakukan oleh Institut Migrasi Negara (INM) ke atas kilang pakaian dikendali firma Korea Selatan, di Zapopan, daerah Jalisco, Mexico. - Foto AFP
MEXICO CITY: Pihak berkuasa Mexico menyelamatkan 129 pekerja termasuk enam kanak-kanak yang dipercayai dieksploitasi dan dianiaya secara fizikal dan seksual oleh kilang pakaian dikendalikan firma Korea Selatan, kata pegawai hari ini.
Empat rakyat Korea Selatan yang ditahan diserahkan kepada pendakwa raya di wilayah Jalisco selepas pekerja terbabit mengenal pasti mereka sebagai pemilik atau pengurus syarikat dikenali Yes International.
Pihak berkuasa menyerbu syarikat yang beroperasi di bandar Zapopan selepas menerima banyak maklumat.
Penyelaras Institut Migrasi Kebangsaan (INM), Ardelio Vargas Fosado berkata, firma Korea Selatan itu adalah "suspek kumpulan pemerdagangan manusia"
Pegawai menyelamatkan 121 wanita dan lapan lelaki termasuk enam remaja berusia di antara 16 dan 17 tahun.
Pekerja berkenaan memberitahu pendakwa raya bahawa mereka "menjadi mangsa penderaan fizikal dan seksual serta diancam, didera secara psikologi serta jadual kerja yang terlalu berat," katanya.
Sementara itu, empat warga Korea Selatan terbabit tidak dapat membuktikan sama ada menetap secara sah di Mexico.
Konsulat Korea Selatan sudah dimaklumkan bagi memberikan bantuan kepada semua suspek. - AFP

Bekas CEO Tekun Disiasat Kes Rasuah, Pecah Amanah


Diterbitkan: Jumaat, 6 Februari 2015 4:30 PM

PETALING JAYA: Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) yang tamat tempoh tahanan remannya baru-baru ini disiasat membabitkan dua kes iaitu meminta suapan dan pecah amanah.
Suspek bergelar Datuk itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta suapan daripada syarikat pengutip hutang pada 16 Januari lalu.
Bagaimanapun, sebaik tamat tempoh berkenaan dan dilepaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), suspek ditahan semula pada keesokannya.
Sumber memberitahu mStar Online, bekas pegawai kanan berusia 60 tahun itu seterusnya direman enam hari lagi untuk membolehkan siasatan berhubung dakwaan pecah amanah membabitkan nilai ratusan ribu terhadapnya dijalankan.
"Suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM untuk kali kedua pada 28 Januari lalu dan sehingga kini siasatan membabitkan kedua-dua kes berkenaan masih dijalankan," katanya.
Bagi kes meminta suapan daripada syarikat pengutip hutang, suspek disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009, manakala kes pecah amanah disiasat mengikut Kanun Keseksaan.
Sumber itu berkata, kertas siasatan yang lengkap akan dikemukakan ke pejabat Peguam Negara untuk pertimbangan lanjut, sama ada disusuli dengan pendakwaan atau disiasat dengan lebih terperinci.
Menurut rekod, suspek dilantik ke jawatan itu pada 2004 di mana ketika itu Tekun adalah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Bagaimanapun selepas kementerian itu dimansuhkan, Tekun kini diletak di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Tiga Ditahan Dalam Serbuan VCD Cetak Rompak


Diterbitkan: Jumaat, 6 Februari 2015 6:15 PM

PETALING JAYA: Tiga, termasuk seorang wanita yang dipercayai menjalankan operasi mencetak cakera video digital (DVD) secara haram di sebuah unit pangsapuri ditahan reman selama seminggu.
Timbalan Ketua Penguatkuasa Daerah Petaling Jaya, Ramli Nayan berkata, kedua-dua rakan karib itu ditahan selepas pihak berkuasa menjalankan operasi di sebuah unit pangsapuri Desa Mentari, di sini, awal pagi Jumaat.
"Dalam serbuan di antara pukul 3 hingga 5 pagi itu, pihak berkuasa merampas lebih 5,000 keping VCD/DVD filem dan lagu bahasa Melayu dan Inggeris, empat unit pencetak cakera padat dan lima buah pencetak berwarna.
"Operasi dijalankan berdasarkan maklumat orang awam dan risikan pihak berkuasa selama seminggu," katanya.
Beliau berkata, operasi bersama itu disertai lima anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, 16 pegawai penguatkuasa KPDNKK Petaling Jaya dan 10 pegawai penguatkuasa KPDNKK Shah Alam.
"Ketika ditahan, dua lelaki dipercayai suspek utama itu sedang sibuk mencetak VCD dan DVD pelbagai tajuk menggunakan 'burner'," katanya.
Turut dirampas sebuah kereta Proton Iswara dan dianggarkan rampasan bernilai lebih RM65,000.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 1(G) Akta Hak Cipta 1987 dan boleh dikenakan denda  RM20,000 bagi setiap salinan yang dicetak jika didapati bersalah.

Permaisuri Jordan Ziarah Isteri & Keluarga Leftenan Moaz


Diterbitkan: Jumaat, 6 Februari 2015 7:50 PM
Permaisuri Jordan, Puteri Rania cuba mententeramkan isteri kepada Allahyarham Moaz al-Kasasbeh yang mati dibakar oleh militan Isis dua hari yang lalu.

AMMAN: Permaisuri Rania dari Jordan, memeluk erat isteri kepada juruterbang Tentera Udara Diraja Jordan, yang mati dibakar oleh militan Isis sebaik sahaja baginda menziarahi keluarga tersebut di bandar Karak di Selatan negara itu pada Khamis.
Permaisuri Rania tidak dapat menahan sebak sebaik sahaja dia memeluk Anwar Tarawneh dan mendengar cerita bagaimana isteri juruterbang itu mengetahui tentang kematian tragis suaminya melalui laman Facebook.
Anwar Tarawneh baru sahaja mendirikan rumahtangga dengan Leftenan Moaz al-Kasasbeh, 26, lima bulan yang lalu sebelum suaminya itu ditangkap oleh pejuang-pejuang Isis sebaik sahaja pesawatnya ditembak jatuh oleh mereka ketika misi pengeboman kubu Isis di utara Syria.
Sejurus sebelum pertemuan itu berlangsung, Kerajaan Jordan mengumumkan bahawa pesawat-pesawat pejuangnya telah melancarkan serangan balas ke atas kubu militan Isis.
Menteri Luar Jordan, Nasser Judeh memberi amaran ini hanyalah serangan permulaan dan Jordan akan mengorbankan apa jua yang mereka ada untuk membalas dendam ke atas kematian tragik warganya itu.
Ketika ditemuramah oleh akhbar Britain, The Independent, Tarawneh berkata dia menerima panggilan telefon daripada ibunya pada Selasa lalu berhubung kematian suaminya itu.
Suaminya telah menjadi tahanan Isis sejak lima minggu yang lalu selepas pesawatnya berjaya ditembak jatuh berhampiran bandar Raqqa, Syria iaitu kubu kuat militan Isis.
"Apabila saya membuka laman facebook menggunakan telefon saya, baru saya sedar yang suami saya telah meninggal dunia dibakar oleh Isis,' ujarnya.
Dia juga menceritakan bagaimana suaminya itu berasa gundah gelana pada hari dia menyertai misi pengeboman kubu militan Isis di Raqqa.
"Moaz mengharapkan hari itu (24 Disember 2014), misi mereka akan dibatalkan kerana kabus tetapi itu tidak berlaku dan dia menyatakan kepada saya yang dia dapat merasakan sesuatu yang tidak kena akan berlaku...saya berasa tidak sedap hati kerana dia tidak pernah berkata seperti itu sebelum ini," tambahnya lagi.
Dan beberapa jam kemudian, pesawat canggih F-16 yang dipandu Moaz ditembak jatuh oleh pejuang-pejuang Isis berhampiran Raqqa. Sejak itu dia berjaya ditangkap dan ditahan sebagai tebusan.
Pada mulanya, kumpulan militan itu berjanji yang mereka akan membebaskan Moaz sebagai pertukaran dengan pengebom berani wanita mereka Sajida al-Rishawi, yang ditahan oleh Jordan sementara menunggu hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya pada 2005.
Jordan cuba berunding menggunakan pemimpin-pemimpin kabilah di sempadan Iraq.
Bagaimanapun dua hari lalu, Isis memuat naikkan video yang menunjukkan mereka membakar Moaz yang dikurung di dalam kandang besi dan kemudian dicurahkan dengan minyak dan kemudian dibakar hidup-hidup.
Sementara itu, stesen televisyen Jordan turut menyiarkan rakaman lawatan Raja Abdullah ke kampung keluarga Moaz.

Pesawat ringan rempuh menara pemancar


Pesawat Piper PA-46 yang terhempas
Pesawat Piper PA-46 yang terhempas
TEXAS - AMERIKAS SYARIKAT. Seorang dilaporkan terbunuh selepas sebuah pesawat ringan merempuh menara pemancar pada 7.30 malam waktu tempatan, hari ini.

Pesawat Piper PA-46 berkenaan sedang menghampiri Lapangan Terbang Preston Smith ketika kejadian.

Menara pemancar tersebut, milik syarikat televisyen KCBD, runtuh dan mengakibatkan bekalan elektrik terputus di bandar dan penempatan berdekatan.

Nama mangsa yang terkorban belum disiarkan oleh pihak berkuasa.

Kejadian masih dalam siasatan.

TransAsia: Juruterbang dijulang sebagai hero


Pesawat TransAsia rempuh jambatan sebelum terjunam
Pesawat TransAsia rempuh jambatan sebelum terjunam
TAIPEI - Juruterbang pesawat TransAsia yang terlibat dalam nahas di Taiwan dijulang sebagai seorang wira atas usaha dan kemahirannya mengelak daripada melanggar bangunan tinggi di kawasan perumahan berdekatan lapangan terbang bangunan tinggi sebelum merempuh teksi pada Rabu.

Juruterbang tersebut dikatakan bergelut bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku dalam nahas pesawat malang itu sejurus membuat panggilan kecemasan.

Memetik laporan dari The Guardian, kemalangan tersebut telah mengorbankan sejumlah 31 orang setakat ini dengan lebih banyak mayat ditemui, termasuk mayat juruterbang tersebut dan pembantunya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pesawat TransAsia rempuh jambatan sebelum terjunam]

Ketika ini, pasukan penyelamat Taiwan masih meneruskan pencarian ke atas 12 mangsa yang masih hilang.

Pesawat TransAsia ATR 72-600 itu terhempas tidak lama selepas berlepas dari lapangan terbang di utara Songshan, Taipei.

Pesawat  yang dilaporkan menghadapi masalah enjin itu miring ke sisi sebelum melanggar sebuah teksi dan jambatan sebelum terjunam ke Sungai Keelung.

QZ8501: Misteri bangkai monyet dalam pesawat


QZ8501: Misteri bangkai monyet dalam pesawat
PETUGAS di Unit forensik (DVI) polis Jawa Timur, Indonesia terkejut sebaik mendapati mayat nahas pesawat QZ8501 yang disangka manusia adalah seekor monyet.

Memetik laporan dari Kompas, Ketua pasukan DVI Jawa Timur, Komisaris Besar Budiyono berkata, penemuan tersebut disahkan menerusi ujian DNA yang dilakukan ke atas mayat itu.

“Jenazah dilabelkan B077 yang tiba di Hospital Bhayangkara Polis Daerah Jawa Timur ternyata bukan manusia tetapi sejenis primat. Ia mungkin dari spesis monyet,” katanya seperti yang dipetik menerusi laporan portal tersebut.

Menurut Budiyono, ciri-ciri fizikal haiwan itu juga berbeza dengan ciri-ciri fizikal seorang manusia.

“Kulit bahagian belakangnya sangat tebal, keras dan kasar. Ia bukan menunjukkan ciri-ciri fizikal manusia,” katanya lagi.

Siasatan awal itu diperkuat dengan ketinggian tubuh bangkai itu yang hanya sepanjang 30-35 sentimeter.

Adik Paris Hilton dipenjara 20 tahun?


Conrad Hilton
Conrad Hilton
LOS ANGELES - AMERIKA SYARIKAT. Adik Paris Hilton, Conrad Hilton, 20, berkemungkinan dipenjara selama 20 tahun kerana mengamuk dan memanggil orang awam sebagai 'orang miskin'.

Hilton, yang muncul di mahkamah Selasa lepas didakwa mengamuk dan mengancam orang ramai dalam sebuah penerbangan dari London.

Seorang pramugari mendakwa, Hilton mengamuk hampir 4 jam, mencarut, mengancam, menghisap dadah dan menyebabkan kanak-kanak menangis dalam penerbangan British Airways, Januari lepas.

Menurut Mirror UK, Hilton juga didakwa mencabar pembantu juruterbang penerbangan tersebut untuk bergaduh dengannya.

Saksi juga memberitahu mahkamah bahawa mereka terbau ganja dibakar dari bilik air pesawat penerbangan tersebut.

Peguam bela Hilton, Robert Shapiro memberitahu bahawa anak guamnya mengambil pil tidur sebelum penerbangan dan kemungkinan pil tersebut mempengaruhi tindak tanduk Hilton.

Hilton diikat jamin sebanyak RM360,000 oleh penjamin.

CCTV rakam orang awam tak peduli warga emas rebah


Sedutan rakaman video litar tertutup, CCTV
Sedutan rakaman video litar tertutup, CCTV
YUHUAN - CHINA. Seorang warga emas yang rebah di atas jalan, tidak dipedulikan oleh lebih 23 orang awam yang melintas dan akhirnya beliau dilanggar oleh kereta, 1 Februari lepas.

Berdasarkan sebuah rakaman video litar tertutup CCTV, warga emas tersebut rebah dan tidak dipedulikan oleh orang awam dan kenderaan yang melintas selama lebih dari 8 minit, sebelum seorang wanita menegurnya.

Menurut Shanghai IST, wanita tersebut yang kebetulan jiran kepada warga emas berkenaan kemudian berlalu untuk mendapatkan keluarga warga emas berkenaan.

Ketika ditinggalkan oleh wanita berkenaan, sebuah kereta dirakam melanggar warga emas berkenaan yang masih terbaring di tempat beliau rebah, dan mengheret warga emas tersebut.

Keadaan mangsa tidak dapat dipastikan dan siasatan sedang dijalankan.

Dibelasah sebab gagal beli rokok



Muhamad ZAKI (kanan) melihat keadaan kanak-kanak lelaki yang dibelasah oleh bapa sendiri hanya kerana gagal membeli rokok di Wad Kanak-kanak Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban semalam.


SEREMBAN – Gara-gara gagal membeli dua batang rokok se­perti diarahkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dibelasah oleh bapa kandungnya. Dia ditumbuk, ditendang dan dipukul menggunakan tali pinggang di rumah mereka di Taman Jujur, Sikamat dekat sini kelmarin.
Kejadian tersebut menyebabkan murid sebuah sekolah di Sendayan dekat sini itu kini me­nerima rawatan di Wad Kanak-kanak, Hospital Tuanku Ja’afar di sini akibat lebam pada pipi dan kepala selepas dipukul bapanya dengan tangan selain le­bam pada belakang badan setelah dilibas dengan tali pinggang.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, sebelum kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa disuruh oleh bapanya untuk pergi ke kedai runcit untuk membeli dua batang rokok namun tidak diberikan wang menyebabkan kanak-kanak berkenaan gagal membeli rokok tersebut.
Menurutnya, lelaki tersebut yang berang selepas melihat kanak-kanak itu pulang ke rumah tanpa membawa balik rokok yang diminta telah me­numbuk kedua-dua pipi, memukul pinggang menggunakan tali pinggang dan menendang dada mangsa.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0206&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz3Qwcavau1 
Hakcipta terpelihara 

Rangka manusia ditemui bertaburan


Keadaan tulang manusia yang ditemui bertaburan dalam semak berhampiran sawah padi dekat kampung Parit Haji Amin, Bagan Serai kelmarin.


BAGAN SERAI – Penduduk setempat gempar selepas tulang-tulangan manusia ditemui bertaburan di dalam semak berhampiran sawah padi dekat Kampung Parit Haji Amin di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, penduduk kampung terkejut sebaik melihat cebisan tulang manusia yang ditemui oleh salah seorang pemilik sawah yang pada waktu itu sedang membersihkan semak samun berhampiran tanamannya.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, saksi yang terkejut dengan penemuan rangka berkenaan termasuk tengkorak manusia telah bertindak menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian itu.

Penduduk kampung melihat anggota polis menjalankan siasatan di tempat kejadian.


Menurutnya, mangsa dipercayai ditinggalkan di kawasan berkenaan sejak lebih sebulan lalu dan tulang-tulang yang bertaburan itu dipercayai dimakan dan digonggong binatang seperti anjing dan biawak.
“Siasatan oleh pakar patalogi dari Hospital Parit Buntar di tempat kejadian mengesahkan cebisan tulang-tulang berkenaan adalah rangka manusia.
“Bagaimanapun, tiada sebarang tanda-tanda atau identiti pengenalan diri mangsa ditemui di kawasan itu dan cebisan tulang berkenaan diserahkan ke Bahagian Forensik Ibu Pejabat Kontinjen Polis untuk mendapatkan pengesahan asid deoksiribonukleik (DNA),” katanya ketika ditemui semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0206&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3Qw33G8Pz 
Hakcipta terpelihara 

Naluri bapa hindar bencana


Penumpang TransAsia minta tukar tempat duduk dalam pesawat

Sebahagian bagasi dan barangan milik mangsa nahas pesawat, disusun
Sebahagian bagasi dan barangan milik mangsa nahas pesawat, disusun berhampiran bangkai pesawat TransAsia ATR 72-600 yang terhempas di Sungai Keelung, Taipei, Taiwan, kelmarin, sementara (gambar kecil) menunjukkan detik-detik Ji-yao, 2, diselamatkan. – AFP
TAIPEI 5 Feb. - Permintaan seorang penumpang lelaki pesawat TransAsia Airways untuk menukar tempat duduknya dan dua lagi ahli keluarganya, menyelamatkan mereka daripada maut, dalam nahas udara yang setakat ini meragut 31 nyawa di Taiwan, semalam.
Tindakan pantas lelaki itu, Lin Ming-wei yang meminta tempat duduk mereka sekeluarga ditukar tidak lama sebelum pesawat yang membawa 58 penumpang itu berlepas, menyelamatkan isterinya, Chiang Yu-ying dan anak mereka berusia dua tahun, Ji-yao.
Malah, ketiga-tiga beranak itu hanya cedera ringan bersama 12 lagi mangsa yang terselamat, lapor portal focustaiwan.tw.
Mereka sepatutnya duduk di tempat duduk sebelah kiri pesawat ATR 72-600 tersebut, namun Ming-wei meminta supaya dibenarkan duduk di bahagian kanan yang kosong.
Hal ini kerana, Ming-wei rasa kurang senang akan bunyi bising yang didengarnya sewaktu duduk pada bahagian kiri tempat duduk pesawat yang menggunakan enjin turboprop itu.
Ternyata, tindakannya itu menyelamatkan dia dan ahli keluarganya selepas laporan awal mendedahkan bahawa bahagian kiri pesawat rosak teruk apabila kapal terbang tersebut terhempas ke dalam Sungai Keelung di sini, tiga minit selepas berlepas, pagi semalam.
Sejurus nahas itu berlaku, Ming-wei memanjat keluar daripada pesawat yang terbuka dan mencari isteri serta anaknya untuk menyelamatkan mereka, kata seorang ahli keluarga mereka yang dipetik media tempatan.
Ming-wei kemudiannya mendapati anaknya terapung di dalam air dan memohon bantuan pernafasan mulut ke mulut (CPR) untuk menyelamatkannya.
Menurut Hospital Taipei City, lelaki itu merupakan satu-satunya mangsa nahas pesawat tersebut yang tidak menerima rawatan di hospital.
Sementara itu, pasukan penyelamat Taiwan hari ini bertungkus lumus meneruskan operasi mencari dan menyelamat baki 12 penumpang pesawat TransAsia Airways yang masih hilang.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/naluri-bapa-hindar-bencana-1.56496#sthash.WgbprIHu.dpuf

Jokowi tolak pengampunan 11 banduan dihukum


Ahli keluarga Myuran Sukumaran, Chintu (kanan) memeluk ibunya,
Ahli keluarga Myuran Sukumaran, Chintu (kanan) memeluk ibunya, Raji, ketika mereka tiba di penjara Denpasar, Bali, semalam untuk bertemu dengannya. – AP
JAKARTA 5 Feb. – Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi, menolak rayuan untuk mendapatkan pengampunan daripada 11 banduan yang dijatuhi hukuman mati sebaliknya, hukuman itu diteruskan dalam tempoh terdekat, lapor Pejabat Peguam Negara (AGO), semalam.
Jurucakap AGO, Tony Tribagus Spontana seperti yang dilaporkan agensi berita Antara berkata, lapan banduan terbabit didapati bersalah atas jenayah dadah, sementara tiga lagi merupakan banduan kes bunuh.
Jelas Spontana, antara banduan kes dadah berkenaan adalah rakyat Australia, Myuran Sukumaran dan anggota kumpulan pengedar dadah Bali Nine, Andrew Chan.
“Kesemua rayuan banduan itu ditolak oleh Presiden Jokowi dan akan menjalani hukuman mati tidak lama lagi. Bagaimanapun, tarikh pelaksanaan hukuman masih belum ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Agensi Narkotik Kebangsaan (BNN), Jeneral Anang Iskandar berkata, pihaknya menyokong penuh pelaksanaan hukuman terbabit sebagai langkah pencegahan yang lebih berkesan.
Baru-baru ini, AGO menghukum mati enam banduan atas kesalahan dadah, termasuk lima rakyat asing, selepas permintaan mereka untuk mendapatkan pengampunan ditolak oleh Presiden.
Jokowi mengambil langkah tegas dalam usaha memerangi dadah di negara ini dan menegaskan bahawa Indonesia berada dalam keadaan darurat ekoran masalah najis dadah selepas statistik menunjukkan kira-kira 50 penagih dadah mati pada setiap hari atau 18,000 orang pada setiap tahun.
Indonesia mempunyai penagih dadah seramai 4.5 juta orang yang perlu menjalani proses pemulihan dan 1.2 juta daripada jumlah itu menghadapi masalah yang lebih teruk.
Bulan lalu, Jokowi menolak rayuan pengampunan 64 banduan berhubung kes dadah walaupun menerima tekanan daripada pelbagai pihak termasuk masyarakat antarabangsa.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/jokowi-tolak-pengampunan-11-banduan-dihukum-1.56492#sthash.Iu9Bg2Yy.dpuf

Lelaki jalin hubungan intim dengan mayat


Sharkur LUCAS dalam temubual dengan televisyen Ghana, mengaku
SHARKUR LUCAS dalam temubual dengan televisyen Ghana, mengaku mengadakan hubungan seks dengan mayat wanita di sebuah rumah mayat di Accra. – AGENSI
ACCRA 5 Feb. - Seorang pekerja sebuah rumah mayat di Ghana membuat pengakuan mengejutkan dalam satu rancangan yang disiarkan secara langsung di sebuah ste­sen televisyen, apabila mendakwa dirinya menjalinkan hubungan intim dengan mayat.
Lebih memeranjatkan, Sharkur Lucas dalam temubual itu mengaku mengadakan hubungan seks dengan mayat wanita selepas diarahkan oleh pegawainya, kononnya sebagai latihan supaya dia tidak lagi takut dengan mayat.
Katanya, dia melakukan perbuatan terkutuk itu di rumah mayat Hospital Pelatih Perubatan Korle Bu di ibu negara Ghana selepas pekerjaannya itu membuatkan wanita menjauhkan diri daripadanya.
Ketika pengacara rancangan televisyen vibeghana.com meminta Lucas menjelaskan maksud tidur dengan mayat, lelaki itu dengan bersahaja menjawab dia melakukan hubungan seks dengan mayat.
“Apabila anda pertama kali belajar tentang pekerjaan di rumah mayat, pegawai atasan akan meminta anda melakukan perkara-perkara sedemikian kerana dengan perbuatan itu anda tidak lagi akan takut,’’ kata Lucas sebagaimana lapor Mail Online.
Dalam temubual kedua dengan stesen televisyen Adom TV, Lucas mendakwa dia sukar untuk mendapat teman wanita selepas pekerjaannya itu membuatkan golongan berkenaan menjauhinya.
“Saya ingin berkahwin, tetapi wanita sering menjauhi saya kerana saya bekerja di rumah mayat. Saya boleh memuaskan diri saya di rumah mayat kerana gadis-gadis tidak mahu membuat janji temu dengan saya,’’ katanya.
Sementara itu, Lucas dilaporkan telah dipecat oleh majikannya dan mendakwa dia juga turut diburu oleh polis.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/lelaki-jalin-hubungan-intim-dengan-mayat-1.56485#sthash.WimL0mIi.dpuf