Search This Blog

Tuesday, February 3, 2015

Mangsa Kelar Diganggu Sejak Tingkatan Lima - Bapa

Diterbitkan: Selasa, 3 Februari 2015 4:43 PM


JITRA: Bapa kepada pelajar wanita yang maut akibat dikelar seorang lelaki pada Isnin pernah membuat laporan polis mengenai anaknya yang sering diganggu lelaki itu sejak di Tingkatan Lima.
Johari Hashim berkata pemuda tersebut merupakan rakan sekampung anaknya dan pernah meluahkan hasrat untuk menjalin hubungan serius dengan anaknya.
Namun beliau berkata mereka sekeluarga menghalang hasrat pemuda itu kerana dia disyaki menagih dadah.
"Anak saya hanya berkawan biasa. Tetapi dia mahu mengadakan hubungan serius.
Anak saya pernah beritahu kami, lelaki itu selalu mengganggunya. Saya pernah telefon dan hantar SMS kepada dia supaya jangan ganggu anak saya.
"Saya juga pernah membuat laporan polis empat tahun lepas. Apabila dia  bekerja di Melaka, saya ingatkan dia sudah berhenti ganggu anak saya kerana  anak saya tidak lagi bercerita mengenainya," katanya kepada pemberita.
Anaknya Nursyuhada, 20, yang merupakan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang maut selepas dipercayai dikelar seorang lelaki di Kilometer 228.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Bukit Gantang, Perak, Isnin.
Johari berkata namun selepas itu, anaknya memberitahu lelaki berkenaan masih menganggunya.
Beliau berkata keluarga pemuda itu mengetahui kelakuannya yang pernah bertindak ganas memecahkan pintu rumahnya di Taman Hosba di sini.
Beliau berkata pemuda tersebut pernah melarikan anaknya dengan kereta sebelum ini tetapi mereka sekeluarga menemuinya semula.
"Saya sangat terkejut apabila rakan kelas anak saya menghubungi isteri saya dan memberitahu anak saya akan dicederakan sekiranya anak saya tidak mahu menaiki kereta lelaki itu.
"Isteri saya cuba menghubunginya anak saya beberapa kali, tetapi panggilan telefonnya tidak dijawab. Saya juga menghubungi ibu bapa pemuda itu meminta mereka menghubungi anak mereka untuk membawa pulang anak saya," kata Johari.
Beliau berkata bapa lelaki itu kemudian menghubungi anaknya dan memaklumkan kepada Johari anaknya telah mengelar leher Nursyuhada.
Beliau juga kesal kerana lelaki itu dilapor memberitahu pihak polis bahawa dia melakukan perkara itu kerana mengalami sakit mental.
Johari berkata kali terakhir beliau bertemu anaknya ialah pada awal bulan lalu ketika menghantar anaknya di perhentian bas Shahab Perdana, Alor Setar untuk pulang ke kampus.
Nursyuhada yang meninggal di Hospital Kuala Kangsar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cherok Mokkan pagi Selasa.

Suspek Culik Budak Lelaki 5 Tahun Mungkin Rakan Perniagaan

Diterbitkan: Selasa, 3 Februari 2015 5:24 PM

ACP Kamarul Zaman Mamat mendukung kanak-kanak mangsa culik ketika melawat mangsa di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban, Isnin. Foto BERNAMA

PETALING JAYA: Enam individu, termasuk seorang remaja, dipercayai dalang penculikan ke atas seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun, mungkin merupakan rakan perniagaan," kata Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Kamarul Zaman Mamat.
Kamarul Zaman berkata, walaupun suspek boleh menjadi rakan perniagaan, polis tidak menolak kemungkinan bahawa mereka merupakan orang yang tidak dikenali yang bersama-sama untuk melakukan jenayah itu.
Kanak-kanak itu diculik oleh dua lelaki dari bilik tidurnya di kediaman keluarganya di Taman Maznah, Klang pada kira-kira pukul 2 pagi, 22 Januari lalu.
Dia kemudiannya diselamatkan sembilan hari selepas itu dari sebuah apartment di Port Dickson oleh Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Jabatan Siasatan Jenayah Selangor.
Enam suspek, termasuk seorang remaja lelaki berusia 16 tahun, ditahan di Port Dickson dan Subang Permai, Subang Jaya.
Kamarul Zaman berkata, polis menahan suspek-suspek yang menjadi dalang penculikan itu.
"Kes ini dianggap ditutup dan kami sedang menunggu pihak hospital bagi mengeluarkan laporan perubatan.
"Kita perlu laporan untuk menentukan jenis dadah yang diberikan kepada kanak-kanak itu," tambahnya. 
Kamarul Zaman turut mengesahkan laporan yang mendakwa penculik telah merancang untuk membunuh kanak-kanak itu dan menghapuskan mayatnya.
"Tiada senjata yang ditemui di rumah itu tetapi berdasarkan maklumat yang kami kumpulkan, suspek-suspek merancang untuk membunuh budak ini kerana ibu bapanya tidak dapat membayar sejumlah wang tebusan yang dituntut mereka.
"Kumpulan penjenayah itu sudah tentu akan membunuh kanak-kanak terbabit sekiranya polis lambat bertindak untuk menghalang mereka," katanya.
Dalang penculikan itu telah mengirimkan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada bapa kanak-kanak itu yang seorang ahli perniagaan, dengan menuntut wang tebusan dalam tiga mata wang yang berbeza - AS$100,000 (RM363,155), A$100,000 (RM282,135) dan RM200,000.
ACP Kamarul Zaman berkata, polis masih menyiasat mengapa wang tebusan yang dituntut dalam tiga mata wang yang berbeza.

Lelaki Kelar Penuntut UiTM Direman

Diterbitkan: Selasa, 3 Februari 2015 2:55 PM


IPOH: Suspek lelaki yang mengelar leher penuntut perempuan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang di Kilometer 228.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Bukit Gantang semalam, ditahan reman tujuh hari bermula Selasa.
Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping Supt Ismail Che Isa berkata lelaki berusia 25 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut.
"Kes ini tiada melibatkan samun dan siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari, mangsa Nursyuhada Johari, 20, bersama teman lelakinya itu, menaiki kereta jenis Proton Perdana menghala arah selatan.
Pasangan tersebut dikatakan bertengkar di dalam kenderaan sebelum kereta itu berhenti dan mangsa kemudian keluar dari tempat duduk pemandu dan terjatuh ke atas jalan.
Suspek kemudian keluar dan cuba menarik gadis terbabit ke kiri jalan sebelum melarikan diri ke hutan berhampiran, namun orang ramai yang menyedari kejadian itu bertindak memberkas suspek dan menyerahkannya kepada polis.
Nursyuhada disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Kangsar kira-kira 2 petang. 

Suri Rumah Dera Anak Dipenjara 10 Tahun

Diterbitkan: Jumaat, 30 Januari 2015 11:28 PM


IPOH: Seorang suri rumah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana menganiaya dan mendera anak perempuannya yang berusia lima tahun sehingga menyebabkan kematian, dua tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas mendengar rayuan Choong Mee Chin, yang diwakili peguam Chong Kok Yew, dan Timbalan Pendakwa Raya How May Ling.

Chong, 32, mengaku melakukan kedua-dua kesalahan terhadap Ho Yan Hui di ruang tamu rumah mereka di Taman Wang, Menglembu pada pukul 9 pagi 12 Ogos 2013.

Bagi pertuduhan mendera sehingga menyebabkan kematian, Chong dijatuhi hukuman penjara enam tahun manakala bagi kesalahan menganiaya, dia dihukum penjara empat tahun.

Bagaimanapun, Noorin mengarahkan tertuduh menjalani kedua-dua hukuman serentak bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 16 Ogos 2013.

Selain itu, mahkamah turut mengenakan syarat tambahan terhadap tertuduh iaitu dia perlu menyempurnakan bon jaminan berkelakuan baik selama tiga tahun sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

Noorin juga memerintahkan Chong agar membawa dua lagi anaknya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk pemerhatian sekali setiap bulan.

Dalam penghakimannya, beliau berkata mahkamah terkesan dengan rayuan tertuduh yang menyifatkan insiden itu sebagai 'satu tragedi keluarga yang tidak berkemampuan'.

"Perkara ini tidak seharusnya terjadi dan kesempitan hidup tidak wajar dijadikan alasan mengapa tragedi ini berlaku dan anak-anak berhak mendapat kasih-sayang serta penjagaan yang sewajarnya, dan bukan dijadikan tempat untuk melepaskan tekanan," katanya.

Noorin berkata memukul anak untuk memberi pengajaran menjadi norma dalam masyarakat namun jika ia membabitkan tahap kecederaan yang serius sehingga membawa kepada kematian, maka perkara itu tidak boleh dibiarkan berleluasa dan terus menjadi norma.

"Penderaan sehingga membawa kepada kematian adalah satu jenayah yang tidak akan dipandang ringan kerana faktor kepentingan awam tetap menjadi keutamaan dan jenayah ini adalah jenayah yang serius.

Anak yang nakal dan sukar dikawal serta tekanan hidup tidak boleh dijadikan alasan untuk kamu memukulnya sehingga mati kerana anda perlu mencari alternatif untuk menangani perkara ini. Kecederaan yang dialami mangsa menunjukkan dia telah mati dalam keadaan perlahan tetapi amat menyakitkan," katanya dalam nada sebak.

Terdahulu, Choong memaklumkan mahkamah bahawa dia telah insaf dan menyesal atas perbuatan itu.

"Saya mohon diberi satu lagi peluang untuk memulakan hidup baharu. Saya mahu menjaga dan memberi kasih sayang kepada dua lagi anak dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan seperti itu pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, How ketika meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal berkata bedah siasat mendapati ada lebih 100 kesan kecederaan pada badan kanak-kanak malang itu terutama di bahagian kepala termasuk kesan baharu dan ini menunjukkan mangsa seringkali didera ibunya.

"Mahkamah juga perlu mengambil kira faktor kekerapan kes dera yang dilaporkan media... malah menurut laporan akhbar, tidak lama lagi akan ada pindaan undang-undang bagi menjadikan tindakan merotan kanak-kanak sebagai satu kesalahan," katanya.

Seorang Mati, Sembilan Cedera Letupan Di Pusat Beli-Belah Di Perth

Diterbitkan: Selasa, 3 Februari 2015 1:57 PM


SYDNEY: Satu letupan di sebuah pusat beli-belah di Perth pada pagi Selasa menyebabkan seorang mati dan sehingga sembilan yang lain cedera, menurut laporan media.

Tiga lelaki telah dikejarkan ke hospital dengan kesan terbakar yang teruk, dan enam lagi dirawat selepas terhidu asap dan mengalami tekanan di tempat kejadian, lapor News.com.au.

Letupan itu berlaku pada pukul 9.30 pagi waktu tempatan di pusat beli-belah Morley Galleria di utara-timur Perth.

Saksi, Christine Saarinsen yang dinamakan oleh News.com.au sebagai berkata bahawa dia melihat api yang marak keluar dari bahagian tepi pusat beli-belah dan sekurang-kurangnya tiga orang berada dalam kebakaran itu.

Dipercayai letupan itu disebabkan oleh transformer elektrik yang rosak. Mangsa yang meninggal dunia dan tiga mangsa yang melecur dipercayai bekerja di kawasan berhampiran transformer, kata polis dalam satu kenyataan.

Mangsa yang paling parah, melecur lebih dari 80 peratus bahagian tubuhnya, jurucakap St John Ambulans berkata, menurut ABC News.

Seorang lagi saksi, Jonathon McDonagh, menceritakan bagaimana mereka yang terlibat dengan kebakaran berlari keluar sambil menjerit, dan orang yang lalu-lalang cuba membantu dengan menyimbah air yang diambil dari pili bomba berdekatan dengan apa sahaja bekas yang ada.

Ada juga yang membaling basah baju-T basah, katanya.

"Ia bukan satu perkara yang menarik untuk dilihat, terutamanya apabila anda melihat orang terbakar," katanya, menurut ABC News. - The Straits Times/ANN

Kereta Dipandu Warga Emas Rempuh Kedai Serbaneka Stesen Minyak

Diterbitkan: Selasa, 3 Februari 2015 12:47 PM


PETALING JAYA: Seorang warga emas berusia 61 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan apabila kenderaan yang dinaikinya merempuh kedai serbaneka di sebuah stesen minyak di Jalan PJU 1A / 20 pagi Selasa.

Dia yang memandu kereta itu baharu selesai mengisi petrol kereta Proton Wira kira-kira pukul 9.30 pagi apabila keretanya merempuh masuk ke dalam kedai serbaneka itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Komisioner Azmi Abu Kassim berkata siasatan mendapati wanita itu berniat untuk mengundurkan keretanya.

"Tetapi dia secara tidak sengaja memandu keretanya ke depan," kata Azmi.

Beliau menambah bahawa tiada siapa yang cedera dalam kejadian itu.

Mangsa Kelar Diganggu Sejak Tingkatan lima -Bapa

Diterbitkan: Selasa, 3 Februari 2015 4:43 PM

JITRA: Bapa kepada pelajar wanita yang maut akibat dikelar seorang lelaki pada Isnin pernah membuat laporan polis mengenai anaknya yang sering diganggu lelaki itu sejak di Tingkatan Lima.
Johari Hashim berkata pemuda tersebut merupakan rakan sekampung anaknya dan pernah meluahkan hasrat untuk menjalin hubungan serius dengan anaknya.
Namun beliau berkata mereka sekeluarga menghalang hasrat pemuda itu kerana dia disyaki menagih dadah.
"Anak saya hanya berkawan biasa. Tetapi dia mahu mengadakan hubungan serius.
Anak saya pernah beritahu kami, lelaki itu selalu mengganggunya. Saya pernah telefon dan hantar SMS kepada dia supaya jangan ganggu anak saya.
"Saya juga pernah membuat laporan polis empat tahun lepas. Apabila dia  bekerja di Melaka, saya ingatkan dia sudah berhenti ganggu anak saya kerana  anak saya tidak lagi bercerita mengenainya," katanya kepada pemberita.
Anaknya Nursyuhada, 20, yang merupakan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang maut selepas dipercayai dikelar seorang lelaki di Kilometer 228.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Bukit Gantang, Perak, Isnin.
Johari berkata namun selepas itu, anaknya memberitahu lelaki berkenaan masih menganggunya.
Beliau berkata keluarga pemuda itu mengetahui kelakuannya yang pernah bertindak ganas memecahkan pintu rumahnya di Taman Hosba di sini.
Beliau berkata pemuda tersebut pernah melarikan anaknya dengan kereta sebelum ini tetapi mereka sekeluarga menemuinya semula.
"Saya sangat terkejut apabila rakan kelas anak saya menghubungi isteri saya dan memberitahu anak saya akan dicederakan sekiranya anak saya tidak mahu menaiki kereta lelaki itu.
"Isteri saya cuba menghubunginya anak saya beberapa kali, tetapi panggilan telefonnya tidak dijawab. Saya juga menghubungi ibu bapa pemuda itu meminta mereka menghubungi anak mereka untuk membawa pulang anak saya," kata Johari.
Beliau berkata bapa lelaki itu kemudian menghubungi anaknya dan memaklumkan kepada Johari anaknya telah mengelar leher Nursyuhada.
Beliau juga kesal kerana lelaki itu dilapor memberitahu pihak polis bahawa dia melakukan perkara itu kerana mengalami sakit mental.
Johari berkata kali terakhir beliau bertemu anaknya ialah pada awal bulan lalu ketika menghantar anaknya di perhentian bas Shahab Perdana, Alor Setar untuk pulang ke kampus.
Nursyuhada yang meninggal di Hospital Kuala Kangsar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cherok Mokkan pagi Selasa.

Wanita tutup akaun Facebook selepas dikritik


Beberapa rakaman aksi kanak-kanak terbabit bersama seekor kucing yang didakwa didera.
Beberapa rakaman aksi kanak-kanak terbabit bersama seekor kucing yang didakwa didera.
SEORANG wanita di Mexico terpaksa menutup akaun Facebooknya selepas tindakannya memuat naik video anak perempuannya bermain dengan kucing menimbulkan kemarahan pengguna laman sosial itu.

Persatuan kebajikan haiwan mengkritik Molina Tapia, 31, kerana video anaknya itu dianggap sebagai mendera kucing dan ia mungkin boleh menjadikan kanak-kanak itu seorang yang ganas apabila dewasa kelak.

Polis di Mexico City berkata, mereka bagaimanapun tidak boleh mengambil tindakan terhadap Tapia kerana kekejaman haiwan tidak bertentangan dengan undang-undang di negara itu.

Awal bulan lalu, Tapia memuat naik video berjudul ‘Anak perempuan kesayangan saya dengan kucing kesayangan kami’.

Menurut laporan Mirror, Video berdurasi 1.21 minit itu menunjukkan kanak-kanak terbabit duduk di atas badan kucing yang jelas menyebabkan kesakitan kepada haiwan itu, sebelum memusingkannya di sekitar ruang tamu rumah mereka.

Seorang ahli kumpulan hak asasi haiwan Justicia para Callejerit berkata, terdapat perbezaan antara melayan haiwan dengan buruk dan melayan manusia dengan buruk, dan kanak-kanak yang sering mendera haiwan berkemungkinan membesar sebagai orang yang ganas.

Tahan sakit lebih sejam


Kaki mangsa yang terperosok dalam mangkuk tandas dalam kejadian, malam kelmarin.
Kaki mangsa yang terperosok dalam mangkuk tandas dalam kejadian, malam kelmarin.
KOTA BHARU - Seorang wanita terpaksa menahan sakit lebih sejam selepas kaki kirinya terperosok dalam lubang tandas di sebuah rumah di Kampung Gajah Mati, Melor, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nur, 31, berkata, dia tergelincir menyebabkan kaki kirinya termasuk ke dalam lubang tandas cangkung tersebut.

"Saya cuba tarik kaki saya beberapa kali tetapi gagal. Saya panik bila kaki tak boleh keluar dan jerit minta tolong sambil menahan kesakitan yang teramat sangat," katanya.

Sementara itu, abangnya, Rizalman Che Hussin, 39, berkata, selepas dimaklumkan kejadian itu oleh ahli keluarganya yang terdengar jeritan mangsa, dia segera memecahkan pintu tandas dan menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.

“Menggunakan alat khas, akhirnya kaki adik saya berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba," katanya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Wan Asri Wan Yaacob berkata, bersama enam anggotanya, mereka cuba mengeluarkan kaki mangsa yang terperosok dalam lubang tandas tersebut.

“Kami ambil masa lebih satu jam untuk mengeluarkan kaki kiri mangsa dengan kaedah yang selamat bagi memastikan kakinya tidak patah atau terseliuh iaitu menggunakan sejenis alat khas untuk memudahkan proses memecahkan lubang tandas.

"Mangsa hanya mengalami luka ringan dan dia dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan” katanya.

Curi setandan kelapa, dua sabahat didenda RM1,000


Suhaimi (kiri) dan Alias masih sempat tersenyum ketika keluar dari mahkamah, hari ini.
Suhaimi (kiri) dan Alias masih sempat tersenyum ketika keluar dari mahkamah, hari ini.
KOTA BHARU - Kedengaran lucu, namun ia realiti. Pengajaran buat dua sahabat kerana mencuri setandan kelapa milik seorang pekebun, mereka akhirnya didenda RM1,000 oleh mahkamah majistret, di sini, hari ini.

Denda diputuskan Majistret, Mohd Firdaus Zainal Abidin selepas kedua-duanya mengaku salah atas tuduhan itu dan sekiranya gagal menjelaskan denda, mereka perlu menjalani hukuman penjara selama sebulan.

Mohd Alias Ali, 29, dan rakannya, Suhaimi Salleh, 37, didakwa mencuri kelapa milik Ahmad Awang, 64, di kawasan kebun Kampung Binjai Banggu, di sini, pada jam 5.30 petang, 29 Januari lalu.

Dalam kejadian itu, pengadu sendiri melihat dua lelaki berkenaan sedang mengait buah kelapa di dalam kebunnya dan bertindak menghubungi pihak polis.

Selang lima minit kemudian, datang polis dan menahan kedua-duanya. Ketika ditahan, mereka juga gagal menunjukkan kad pengenalan diri.

Bagi kesalahan itu, mereka masing-masing didenda RM1,000 atau dua bulan penjara jika gagal jelas denda terbabit.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kelantan, Nurliyana Md Zukri memohon hukuman yang dapat memberi pengajaran kepada mereka dengan alasan bukti kecurian adalah jelas apabila mereka ditahan ketika kecurian itu.

“Kedua-duanya juga dilihat seperti sengaja tidak membawa kad pengenalan untuk melakukan kesalahan lain (mencuri),” katanya.

'Power Rangers' tikam rakan dengan pedang


'Power Rangers' tikam rakan dengan pedang
'Power Rangers' tikam rakan dengan pedang
PALMDALE - CALIFORNIA. Bekas bintang rancangan bersiri ‘Power Rangers’ ditahan dan dipenjara polis atas dakwaan membunuh rakan sebiliknya pada minggu lalu.

Memetik laporan portal Fox 411, Ricardo Medina Jr, 36, yang ditahan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin ASD1 juta dilaporkan menikam rakan serumahnya, Joshua Sutter, 36, dengan menggunakan pedang di sebuah apartment di Palmdale pada Sabtu lalu.

Jurucakap Jabatan Syeriff Los Angeles, Juanita Navarro-Suarez, bintang Power Rangers itu dikatakan bertengkar dengan Sutter yang kemudiannya menjurus ke arah pergaduhan.

Sejurus selepas pergaduhan tersebut berakhir, Medina masuk ke biliknya bersama teman wanita sebelum mengunci pintu bilik.

Sutter yang dikatakan masih tidak berpuas hati memaksa Medina membuka pintu biliknya.

Medina yang berang mengambil sebilah pedang yang disimpan di dalam bilik itu sebelum menikam rakannya dibahagian abdomen.

“Suspek kemudian membuat panggilan ke talian kecemasan dan menunggu pihak berkuasa sampai ke lokasi kejadian,” katanya seperti yang dipetik menerusi laporan terbabit.

Medina memegang watak sebagai adiwira Red Lion Wild Force Ranger dalam siri ‘Power Rangers Wild Force’ pada tahun 2002.

Sementara itu, ejen Medina, Gar Lester dikatakan tergamam saat menerima berita penahanan Medina.

“Dia kawan dan juga klien saya selama 12 tahun dan dia sebenarnya sangat baik. Dia melayan anjingnya dan orang sekeliling dengan baik selama ini,” katanya.

Penantian hampir setahun isteri pramugara MH370 berakhir



Intan Maizura (duduk atas kerusi) bersama jemaah berdoa pada majlis tahlil di Masjid Alam Impian, Shah Alam kelmarin.


SHAH ALAM – Penantian hampir setahun Intan Maizura Othman, 35, untuk mengetahui nasib sebenar suaminya, Mohd. Hazrin Mohamed Hasnan yang merupakan salah seorang pramugara pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 telah berakhir.
Ini disebabkan kerajaan pada Khamis lalu mengisytiharkan MH370 sebagai kemalangan dan kesemua 239 penumpang serta kru pesawat malang itu dianggap telah terkorban.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0203&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3QeDcu6gk 
Hakcipta terpelihara 

Kereta api langgar jengkaut



Keadaan kereta api yang membawa 130 penumpang dari Beaufort ke Tanjung Aru yang tergelincir selepas melanggar sebuah jengkaut di Membakut dekat Kota Kinabalu semalam.


KOTA KINABALU – Perjalanan jauh 130 orang menuju ke pusat bandar tersekat selepas kereta api penumpang yang mereka naiki tergelincir setelah merempuh sebuah jengkaut dalam kejadian di Membakut dekat sini semalam.
Kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi tersebut berlaku ketika kereta api penumpang itu dalam perjalanan dari Beaufort menuju Tanjung Aru di Kota Kinabalu.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Mustaffa Maarof Mustaffa berkata, kejadian itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepada penumpang.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0203&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz3QeD2dsD5 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki cuba jual bangkai Lamborghini Huracan



LAMAN web jualan atas talian eBay menunjukkan bangkai sebuah kereta Lamborghini yang hancur dijual kepada orang ramai.


BUDAPEST – Seorang lelaki mengiklankan sebuah kereta Lamborghini bernilai £186,000 (RM1.01 juta) untuk dijual pada harga cuma £4,000 (RM21,859.46) di sebuah laman web di Hungary baru-baru ini.
Bagaimanapun, apa yang sebenar dijual oleh Csapo Joska, 35, itu merupakan bangkai sebuah kereta Lamborghini milik rakannya dari Republik Czech yang remuk dan hangus terbakar selepas satu kemalangan di sini pada September tahun lalu. Joska menulis iklan: “Lamborghini Huracan, hanya satu pemilik terdahulu, dijual seperti yang dilihat.”
Dia menyiarkan iklan itu sebagai usaha mendapatkan sebanyak mungkin duit untuk membayar ganti rugi kepada rakannya selepas syarikat insurans enggan membayar sebarang pampasan.
Joska yang memandu pada kelajuan 336 kilometer sejam pada tahun lalu melanggar besi penghadang di tepi jalan.
Selain memusnahkan kenderaan itu, dia turut disaman kerana pelbagai kesalahan termasuk memandu secara berbahaya. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0203&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3QeC4Zrde 
Hakcipta terpelihara 

Kapten terperangkap di luar kokpit pesawat


Gambar video amatur menunjukkan kapten pesawat Delta Air Lines
Gambar video amatur menunjukkan kapten pesawat Delta Air Lines menenangkan penumpang selepas dia terperangkap di luar kokpit pesawat. – AGENSI
LAS VEGAS 2 Feb. – Seorang kapten pesawat Delta Air Lines terperangkap di luar kokpit selepas dia pergi ke tandas, ekoran pintu kokpit tidak boleh dibuka kerana mengalami masalah teknikal, menyebabkan pesawat itu terpaksa melakukan pendaratan cemas setibanya di Las Vegas.
Kapten tersebut yang tidak didedahkan identitinya, bagaimanapun berjaya menenangkan para penumpang dan memaklumkan bahawa pesawat tersebut akan melakukan pendaratan cemas sebaik-baik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Mc­Carran.
Kejadian itu berlaku ketika pesawat itu dalam penerbangan dari Minneapolis ke Las Vegas pada Khamis lalu.
“Tuan-tuan dan puan-puan, saya kapten pesawat ini dan saya terkunci di luar kokpit!” katanya selepas menyedari pintu kokpit mengalami masalah teknikal dan tidak boleh dibuka.
Portal, Mail Online melaporkan, ekoran kejadian itu, menyebabkan anak kapal pesawat itu membuat panggilan kecemasan kepada Lapangan Terbang Antarabangsa McCarran.
Bagaimana pun, pesawat yang membawa 168 orang penumpang itu berjaya mendarat dengan selamat dengan dikemudi oleh pembantu juruterbang.
Saksi kejadian, Curry Russell yang merekodkan kejadian itu berkata, keadaan dalam pesawat agak `gila’ tetapi pada masa sama dia berasa teruja.
Seorang lagi penumpang, Jesse Dougherty memberitahu agensi ABC News, pada separuh perjalanan yang mengambil masa lebih dua jam itu, dia melihat kapten pesawat itu berada di luar kokpit.
“Orang ramai berasa panik dan keliru dengan situasi tersebut,” katanya.
Pembantu juruterbang pesawat Md-90 itu menggunakan kawalan di tempat duduknya untuk mengemudi pesawat itu kerana dia lebih cekap menggunakan sistem susun atur kawalan di tempat duduknya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kapten-terperangkap-di-luar-kokpit-pesawat-1.55353#sthash.OO2x6VT3.dpuf

Ribut salji landa Chicago


Seorang kakitangan majlis perbandaran membersihkan jalan raya
Seorang kakitangan majlis perbandaran membersihkan jalan raya dari longgokan sajli menggunakan sebuah mesin khas di Chicago, Illinois, kelmarin. – REUTERS
KANSAS CITY 2 Feb. – Satu fenomena ribut salji melanda beberapa kawasan di bahagian barat tengah Amerika Syarikat (AS), semalam sekali gus menyebabkan bandar Chicago diselaputi salji setebal 30 sentimeter, sebelum ribut itu bergerak menuju ke New England.
Ribut salji turut menyebabkan beberapa buah sekolah di barat tengah dan timur AS terpaksa ditutup.
Sebuah sekolah, Chicago Public School yang merupakan sekolah terbesar di AS diikuti beberapa daerah di Detroit, Boston dan Kepulauan Rhode terpaksa membatalkan kelas mereka, hari ini setelah Jabatan Cuaca Kebangsaan mengeluarkan amaran ribut melanda dari barat Iowa hingga ke New England.
“Kami bimbang keadaan angin dan amaran ribut salji serta keadaan berkabus yang semakin teruk.
“Keadaan itu mengurangkan jarak penglihatan dan menimbulkan masalah bagi orang ramai untuk bergerak pada waktu malam,” kata seorang ahli meteorologi, Amy Seeley yang berkhidmat dengan Jabatan Kajicuaca Kebangsaan di Chicago.
Salji setebal 15 sentimeter melanda kawasan seperti Cleveland, Ohio dan salji tebal diramal melanda New York City dan kawasan Boston, kata Jabatan Kajicuaca Kebangsaan, selain ramalan angin kencang selaju 65 kilometer/sejam.
Bencana itu turut menyebabkan kira-kira 2,000 penerbangan terpaksa dibatalkan dan 2,100 penerbangan tertunda.
Kebanyakan penerbangan yang ditunda itu ialah di Chicago, kata laman web syarikat penerbangan FlightStats.
Keadaan jalan raya yang licin dan bersalji dilaporkan berlaku dibeberapa negeri dan Ohio Turnpike telah mengeluarkan larangan kepada kenderaan menggunakan jalan raya pada hari Ahad kecuali lori treler.
Di selatan Dakota, seorang wanita maut, kelmarin apabila kereta yang dipandunya tergelicir akibat jalan raya berais, kata Jabatan Keselamatan Awam AS semalam.
– REUTER
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ribut-salji-landa-chicago-1.55355#sthash.gftPVZ6u.dpuf

PM Thailand arah tingkat keselamatan


Pegawai forensik menyiasat lokasi letupan bom dekat pintu masuk
Pegawai forensik menyiasat lokasi letupan bom dekat pintu masuk ke pusat membeli-belah Siam Paragon di Bangkok, kelmarin. – AGENSI
BANGKOK 2 Feb. - Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayuth Chan-ocha mengarahkan supaya kawalan keselamatan diperketatkan di kota Bangkok, hari ini selepas dua letupan bom paip menggegarkan sebuah pusat membeli-belah mewah, Siam Paragon, semalam menyebabkan dua orang cedera ringan.
Letupan itu dipercayai satu cubaan untuk menggugat politik Thailand sejak tentera merampas kuasa bagi menstabilkan keamanan pada Mei tahun lalu.
“Saya telah mengarahkan keselamatan ditingkatkan kerana kes ini melibatkan keharmonian rakyat.
“Ini menunjukkan kami masih memerlukan undang-undang tentera... masih ada pihak yang mengganggu keamanan negara. Kami perlu mencari jalan untuk menghukum mereka,” kata beliau.
Tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab dalam insiden berkenaan, manakala satu rakaman kamera litar pintas menunjukkan dua orang suspek berada dekat dengan bom paip yang meletup di pusat perniagaan paling sibuk di Bangkok itu.
Bagaimana pun, polis melaporkan, imej rakaman itu tidak jelas dan dua individu berkenaan tidak dapat dikenal pasti.
Menteri Pertahanan, Prawit Wongsuwan berkata, letupan itu menjejaskan keyakinan kepada negara ini memandangkan industri pelancongan merupakan 10 peratus daripada sumber ekonomi Thailand.
Krisis politik Thailand semakin tegang sejak bulan lalu apabila kerajaan junta melarang bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra daripada melibatkan diri dalam politik selama lima tahun.
Keputusan itu mencetuskan kemarahan penyokong Yingluck dan abangnya, Thaksin Shinawatra, namun tiada tanda-tanda tunjuk perasaan akan dilancarkan berikutan kawalan ketat tentera. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pm-thailand-arah-tingkat-keselamatan-1.55357#sthash.CpUiHfiv.dpuf