Search This Blog

Monday, February 2, 2015

Warga Hungary rugi RM10,000 diragut


Mangsa membuat laporan di Balai Polis Central selepas kejadian malam kelmarin.
Mangsa membuat laporan di Balai Polis Central selepas kejadian malam kelmarin.
GEORGETOWN - Nasib malang menimpa pelancong Hungary apabila kerugian kira-kira RM10,000 selepas beg tangannya diragut seorang lelaki di persimpangan Lebuh Chulia di sini malam kelmarin.

Mangsa berusia 57 tahun dikatakan sedang melihat peta untuk pulang ke hotel sebelum didatangi seorang lelaki dari arah belakang kira-kira jam 11.30 malam.

Difahamkan, lelaki berkenaan yang memakai topi kaledar bercermin gelap merampas beg tangan dengan memotong talinya menggunakan pisau.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, selepas mendapat beg itu, lelaki berkenaan melarikan diri dengan motosikal yang diletakkan tidak jauh dari tempat kejadian.

Beliau berkata, mangsa yang baharu tiba di sini kelmarin cedera ringan di bahagian tangan.

"Mangsa tidak dapat mengecam suspek kerana memakai topi keledar visor gelap selain kejadian berlaku terlalu pantas.

"Antara barang yang dilaporkan hilang adalah sebuah kamera digital, telefon pintar, Ipad, berus gigi elektrik dan cermin mata," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurutnya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Central selepas kejadian dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan.

Polis masih memburu suspek dan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun menggunakan senjata.

Mayat mereput ditemui di rumah kedai


2 Februari 2015


BUTTERWORTH - Mayat seorang lelaki yang telah mereput ditemui di sebuah rumah kedai di Taman Kimsar di sini, malam tadi.
 
Mayat Mohd Hasrulhakim Abd Rahman, 27, ditemui dalam keadaan terlentang dan hanya berseluar dalam oleh pemilik rumah berkenaan pada 8.10 malam.
 
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata, kali terakhir lelaki itu, yang bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat di Seberang Jaya, dilihat ialah pada Rabu lepas.
 
"Lelaki berkenaan menyewa bilik di tingkat dua rumah itu. Menurut pemilik rumah, beliau terpaksa memecahkan pintu bilik lelaki itu apabila terhidu bau busuk dari bilik itu," katanya ketika dihubungi hari ini.
 
Menurutnya berdasarkan pemeriksaan  forensik, lelaki itu dipercayai meninggal dunia sejak tiga hari lepas dan keadaan mayatnya juga berulat dan mereput.
 
Pemilik rumah berkenaan berkata lelaki itu dilihat kurang sihat, kurus dan badan berbau busuk dipercayai mengalami masalah kesihatan.
 
Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.  - Bernama

Maut akibat ditimpa kayu balak


Keadaan mangsa yang maut selepas ditimpa kayu balak dalam kejadian yang berlaku di Intan Suraya, Karai, pagi tadi.
Keadaan mangsa yang maut selepas ditimpa kayu balak dalam kejadian yang berlaku di Intan Suraya, Karai, pagi tadi.
SUNGAI SIPUT - Seorang pekerja di pusat pengumpulan balak maut selepas ditimpa kayu tersebut dalam kejadian di Intan Suraya, Karai, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa Mior Zaki Hamzah, 38, dari Sungai Sejok, sedang melakukan kerja mengikat rantai di atas lori sebelum satu daripada kayu balak jatuh dan menimpanya.

Menurutnya, kejadian itu disedari penyelia mangsa yang kemudian menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan kecemasan.

"Mangsa bagaimanapun mati di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga," katanya.

Beliau berkata, setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun siasatan masih diteruskan.

Mahu selfie dengan keretapi, 3 maut dirempuh


Gambar hiasan
Gambar hiasan
AGRA - INDIA. Gara-gara mahukan 'selfie berani' dan memuat naik gambar ke laman sosial, tiga pelajar kolej maut dirempuh kereta api.

Kejadian yang berlaku pada 27 Januari lalu mengorbankan tiga pelajar kolej, lapor The Times of India.

Mereka yang terkorban dikenal pasti sebagai Takub, Iqbal dan Afzal. Ketiga-tiga mangsa dilaporkan berusia 20-an dan merupakan pelajar sebuah kolej.

Memetik laporan tersebut, rakan mangsa yang maut, Aneesh berkata, beliau bersama tiga rakannya tersebut sedang dalam perjalanan ke Agra untuk melihat Taj Mahal.

Menurut pegawai polis, Sanjay Kumar memberitahu, keempat-empat pelajar berkenaan ingin 'selfie' dengan keretapi yang sedang bergerak.

Aneesh, yang sedang mengambil gambar memberitahu, mereka tidak sempat mengelak keretapi tersebut.

Budak tidak sengaja tembak ibu, ayah


Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
ALBUQUERQUE - NEW MEXICO. Seorang kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun dilaporkan melepaskan tembakan dari sepucuk pistol dan menyebabkan kecederaan kepada kedua ibu bapanya pada Sabtu lalu.

Memetik laporan daripada portal berita BBC, kejadian berlaku di sebuah motel di bandar itu di mana kanak-kanak tersebut melepaskan satu tembakan dan peluru tersebut mengenai kedua ibu bapanya.

Peluru tersebut mengenai bahagian belakang si ayah, Justin Reynolds dan lengan ibunya Monique Villescas.

Menurut Reynolds, dia baharu sahaja membuat pesanan ke atas makanan segera sebelum mendengar bunyi tembakan dilepaskan.

“Sesaat kemudian, saya tersedar Monique yang mengandung lapan bulan mengalami pendarahan. Semasa saya duduk untuk tenangkan dia, baharu saya sedar bahawa saya juga terkena tembakan.

“Saya hubungi talian kecemasan dan cuba lekapkan luka dilengannya dengan menggunakan tuala sebelum menenangkan anak saya yang kelihatan takut dan menangis. Saya risau jika dia juga terkena tembakan,” katanya seperti yang dipetik menerusi laporan tersebut.

Sementara itu, anak perempuannya yang berusia dua dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kedua ibu bapa kanak-kanak tersebut dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Menurut pihak berkuasa Albuquerque, anak kecil itu pada asalnya cuba mencapai gajet Iphone di dalam beg tangan ibunya namun dia tidak sengaja menarik picu pistol yang diletakkan di dalam beg tersebut.

“Pejabat peguam daerah akan menentukan sama ada ibu bapa itu akan menghadapi tuduhan kecuaian.

“… Buat masa sekarang, kanak-kanak itu diletakkan dibawah jagaan keluarga angkat,” katanya.

Penuntut UiTM Maut Dikelar Teman Lelaki Dekat R&R Bukit Gantang


Diterbitkan: Isnin, 2 Februari 2015 6:19 PM
Mangsa rebah di tepi kereta selepas dikelar teman lelakinya di R&R Bukit Gantang, Ahad.

IPOH: Seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) meninggal dunia selepas dikelar di bahagian leher oleh teman lelakinya di tepi Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Gantang dekat Taiping, Isnin.
Susulan kejadian itu, Nursyuhada Johari, 17, segera dihantar ke Hospital Kuala Kangsar namun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 2 petang.
Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping Supritendan Ismail Che Isa berkata, beberapa saksi yang melihat kejadian itu berkata, pasangan itu dilihat bergaduh di dalam  sebuah kereta Proton Perdana di tepi lebuh raya itu pada 12.30 tengah hari.
"Gadis itu kemudian dilihat terjatuh dari kereta berkenaan dan terdapat kesan luka pada bahagian lehernya akibat dikelar dengan pisau," katanya ketika dihubungi Bernama, Isnin.
Beliau berkata, orang ramai yang melihat kejadian itu segera menahan lelaki berkenaan dan menyerahkannya kepada pihak polis.
Polis sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dua Anggota Polis Didakwa Rogol Pelajar Ditahan Reman


Diterbitkan: Isnin, 2 Februari 2015 2:25 PM

PETALING JAYA: Dua anggota polis dijangka akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Isnin kerana didakwa merogol dan memeras ugut seorang pelajar kolej berusia 19 tahun, polis mengesahkan.

Remaja berkenaan membuat laporan pada Sabtu, mendakwa kedua-dua pegawai polis terbabit telah menangkap dia dan teman lelakinya yang sedang melakukan hubungan seks di dalam kereta di Kota Damansara pada 26 Januari dan telah mengambil kesempatan terhadap dirinya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, mangsa mendakwa seorang pegawai membawanya ke dalam kenderaan polis, manakala seorang lagi pegawai membawa teman lelakinya ke balai polis dengan keretanya.

"Mangsa mendakwa semasa di dalam kereta polis, pegawai tersebut telah memintanya membayar RM2,000 untuk dilepaskan.

"Mangsa bersetuju dan pegawai tersebut kemudian menurunkan dia dan teman lelakinya di tepi jalan. Dia berkata pegawai itu kemudian mengambil butir-butir dirinya," kata Azmi.

Pelajar itu mendakwa pada hari yang sama, dia menerima panggilan daripada pegawai yang didakwa menuntut bayaran rasuah itu.

Azmi berkata gadis itu mendakwa pegawai itu membawanya ke pusat beli-belah berdekatan, selepas mengambilnya dari asrama dan memaksanya melakukan seks oral di dalam keretanya.

"Katanya, pegawai itu kemudian membawanya ke tandas pusat beli-belah dan memperkosanya. Dia memberitahu, jika tidak melakukan apa yang disuruh, dia akan ditangkap," kata Azmi.

Menurut laporan mangsa, pegawai itu tidak berhenti di situ. Gadis itu mendakwa lelaki itu telah menghubunginya lagi sehingga minggu lalu untuk meminta mengadakan hubungan seks.

"Selepas menerima laporan itu, kita menahan dua pegawai terbabit pada Ahad.

"Kami akan mendapatkan perintah reman untuk kedua-dua lelaki dan menyiasat dakwaan mangsa dengan teliti," katanya.

Azmi berjanji akan melakukan tindakan pantas dan tegas jika dakwaan itu terbukti benar.

Wanita dakwa dirogol pemandu saman syarikat teksi


NEW DELHI: Seorang wanita yang mendakwa dirogol pemandu teksi syarikat Uber di ibu negara India menyaman syarikat perkhidmatan teksi dalam talian itu di mahkamah Amerika Syarikat kerana gagal memastikan keselamatan penumpang.
Dalam tuntutan mahkamahnya, wanita India itu menuduh Uber mendahulukan keuntungan daripada keselamatan, dia menggelar syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu sebagai 'pengangkutan elektronik percuma di zaman moden'.
Dalam e-mel kepada AFP pada Khamis, peguam Amerika yang mewakili wanita berusia 25 tahun itu berkata, Uber disaman bagi ganti rugi yang tidak dinyatakan jumlahnya untuk 'kecederaan fizikal dan emosi'.
"Sekalipun komitmen menyediakan keselamatan, menggunakan aplikasi Uber dan menetapkan lokasi mengambil penumpang terbukti ia hanya 'pengangkutan elektronik percuma di zaman moden'," menurut tuntutan mahkamah yang difailkan di mahkamah California itu.
"Pengguna perlu berhati-hati - kita semua tahu bagaimana kisah dalam filem berakhir," butiran tuntutan mahkamah itu, menuduh kecuaian Uber .
Sementara itu, seorang peguam wanita, Douglas H. Wigdor, sebelum ini mewakili pembantu hotel yang menuduh bekas ketua Tabung Kewangan Antarabangsa Dominique Strauss-Kahn melakukan serangan seksual pada tahun 2012.
Syarikat yang berpangkalan di San Francisco itu tidak mengulas berhubung tuntutan mahkamah sebaliknya berkata "takziah yang tidak terhingga kepada mangsa jenayah ngeri ini".
Jurucakap syarikat itu juga berkata mereka 'bekerjasama sepenuhnya' dengan pihak berkuasa bagi memastikan orang yang bertanggungjawab bagi jenayah itu dibawa ke muka pengadilan.
Uber diharamkan beroperasi di Delhi selepas kejadian serangan ke atas wanita terbabit pada 5 Disember lalu, yang mencetuskan kebimbangan keselamatan baru di bandar yang mempunyai rekod yang tinggi membabitkan keganasan seksual.
Perbicaraan membabitkan pemandu syarikat terbabit yang didakwa menyerang wanita itu ketika dia dalam perjalanan pulang dari makan malam, sedang berjalan. Beliau mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan merogol, penculikan dan ugutan jenayah.
Uber, yang menghubungkan penumpang kepada pemandu melalui aplikasi telefon pintar, minggu lalu berkata ia memulakan operasi di Delhi, tetapi pihak berkuasa menolak permohonan untuk mendapatkan lesen beroperasi sebagai sebuah syarikat radio-teksi.
Uber berkata ia komited untuk melindungi penumpang di India dan di seluruh dunia.
India adalah salah satu pasaran utama syarikat di luar Amerika Syarikat dan beroperasi di keseluruhan bandar-bandar utama di India. - AFP

QZ8501: Indonesia sambung operasi mencari mangsa



ANGGOTA Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (BASARNAS) menunjukkan lokasi penemuan mangsa dan serpihan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 di Makassar, Selatan Sulawesi semalam. - Foto AFP
JAKARTA: Pasukan menyelamat Indonesia hari ini meneruskan pencarian baki 86 lagi mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang masih hilang.
Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (BASARNAS), Bambang Soelistyo minggu lalu menyatakan pasukan mencari dan menyelamat diberi dua hari rehat selepas berminggu melakukan pencarian dalam keadaan tidak menentu.
Seramai 68 penyelam dari agensi mencari dan menyelamat termasuk syarikat dan kelab akan memberi tumpuan untuk menarik keluar badan pesawat QZ8501 dan baki jasad mangsa di dasar laut.
Sehingga kini, 76 mayat berjaya ditemui sejak pesawat malang itu terhempas di Laut Jawa ketika ribut dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura pada 28 Disember lalu.
"Operasi mencari sudah disambung semula. Fokus kami pada hari ini adalah untuk mencari jasad yang masih terperangkap di dalam pesawat atau terbenam dalam lumpur.
"Cuaca baik, dan ombak hanya beberapa meter tinggi," kata Pengarah Operasi BASARNAS, SB Supriyadi kepada AFP sambil menambah bahawa enam bot telah berada di kawasan carian. - AFP

Kontraktor pertahanan AS sahkan pekerja ditembak di Arab Saudi

AHAD, 1 FEBRUARI 2015 @ 3:53 PM

 
RIYADH: Kontrak pertahanan Amerika Syarikat (AS) mengesahkan dua rakyat Amerika yang ditembak di Arab Saudi adalah pekerja syarikat.

Menurut Vinnell Arabia, serangan itu adalah yang kedua sejak beberapa bulan lalu.

"Kami boleh sahkan bahawa dua pekerja Vinnell Arabia terbabit dalam insiden itu semalam.

"Kedua-dua mereka cedera tetapi dalam stabil di sebuah hospital tempatan," menurut kenyataan syarikat itu. - AFP

QZ8501: Bahagian badan mayat dipercayai penumpang ditemui di Selat Makassar



PASUKAN penyelamat Indonesia menunjukkan lokasi di mana mereka menemui mayat mangsa dipercayai penumpang pesawat AirAsia Indonesia QZ8501, di Makassar, Sulawesi Selatan, hari ini. - Foto AFP
MAKASSAR: Bahagian badan manusia dipercayai penumpang pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 ditemui penduduk di pesisir pantai Dusun Tatakko, Desa Tubo Tengah, Sulawesi Barat, hari ini.
Ketua Perhubungan Awam Polis Sulawesi Selatan, Endi Sutendi berkata, mayat yang ditemui warga tempatan dikenali Sudirman, 31, itu berada dalam keadaan tidak sempurna.
"Keadaan mayat yang terdampar itu kelihatan tidak sempurna, badan tanpa kepala, tangan dan kaki, ditemui pada jam 13.30 Waktu Indonesia Bahagian Tengah (WITA)," katanya kepada Detikcom.
Beliau berkata, bahagian badan itu kemudian dibawa ke Rumah Sakit Majene, sebelum dihantar ke Rumah Sakit Bhayangkara Makassar.
Jenazah terbaru ini adalah yang ketujuh ditemui di perairan Selat Makassar. Enam sebelum ini ditemui di Majene, Sulbar dan satu jenazah ditemui di pesisir pantai Suppa, Kab Pinrang, Sulawesi Selatan.
Selain badan jenazah, nelayan dan pasukan mencari dan menyelamat juga menemui serpihan pesawat dan barang milik penumpang QZ8501.
Semua jenazah yang berjaya ditemui sebelum ini sudah dibawa ke Surabaya untuk proses mengenalpasti oleh pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) Polda Jawa Timur. -Detiknews.

QZ8501: Ada mayat sukar dikeluarkan dibelit kabel - Penyelam


JAKARTA: Pasukan penyelam yang ditugaskan membuat carian jasad nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 di dasar laut berdepan kesukaran mengeluarkan mangsa berikutan keadaan serpihan pesawat sudah berkecai.
Seorang penyelam dari kelab Indonesian Divers (I-Divers) yang ditemui turut memaklumkan ada satu jasad mangsa yang ditemui sukar dikeluarkan kerana dibelit kabel pesawat.
Memasuki hari kedua pencarian selepas Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) memberi rehat dua hari kepada pasukan penyelam sebelum ini, hari ini empat jasad baharu berjaya dikeluarkan setakat pagi tadi.
"Kami lihat dianggarkan tujuh jenazah berada di bahagian badan pesawat. Empat jasad sudah kami angkat ke Kapal KN SAR Pacitan.
Tiga jasad lainnya akan diangkat oleh penyelam berikutnya.
"Satu jenazah agak sukar dikeluarkan kerana dibelit kabel pesawat," kata Rendra yang ditemui selepas menamatkan penyelaman, pagi tadi.
Berbeza semalam, keadaan cuaca pada hari ini dilapor baik dengan ombak dianggarkan setinggi satu meter, sementara arus di dasar laut berkelajuan antara satu hingga dua knot.
Sejumlah 26 penyelam kini ditugaskan di lokasi pencarian dasar laut bagi mencari baki jasad mangsa nahas pesawat malang itu yang masih tidak ditemui. - Kompas.com

‘Memang dia salah’

Seoul: “Memang salah dia kerana tidak mampu mengawal emosi.”
Begitu pengakuan pemilik Korean Air, Cho Yang-Ho dalam perbicaraan kes anak perempuannya, bekas timbalan presiden syarikat penerbangan berkenaan yang dibicarakan kerana melanggar peraturan keselamatan selepas mengamuk dengan cara dia dihidangkan kacang makademia.
Cho yang memohon maaf atas kejadian itu berkata, anaknya Hyun-Ah, 40, tidak patut menghalau anak kapal terbabit turun dari pesawat itu.
Hyun-Ah berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun bagi kejadian yang berlaku Disember lalu itu, yang turut memaksa penerbangan dari New York ke Seoul berkenaan terpaksa berpatah balik bagi menurunkan anak kapal terbabit.
Dia yang ditahan sejak 30 Disember lalu, mempunyai tuduhan tambahan mendesak kakitangan penerbangan itu memberi keterangan palsu dan mengganggu tugasan mereka.
Dia bagaimanapun, menafikan menyerang ketua pramugara Park Chang-Jin. Park mendakwa Hyun-Ah memaksanya melutut meminta maaf sambil mencucuknya dengan risalah penerbangan.
Pramugari di kabin kelas pertama, Kim Do-Hee pula memberi keterangan bahawa Hyun-Ah membaling buku risalah ke dadanya sebelum menolak dan menjerit supaya dia turun dari pesawat itu.
“Saya percaya dia tahu pesawat itu sedang bergerak ketika itu,” katanya.
Dia mengaku memberi keterangan palsu kerana bimbang dibuang kerja.
“Saya diarahkan supaya tidak menceritakan sebarang kekasaran atau jeritan dilakukan tertuduh,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Februari 2015 @ 5:05 AM


CHO bercakap kepada pemberita di luar mahkamah. Gambar kecil, Hyun-Ah.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/27750#sthash.qmmEqinq.dpuf

‘Tiada beza’



Agensi
Jakarta: Dua warga Australia yang didapati bersalah cuba menyeludup lapan kilogram heroin keluar dari Bali pada 2005 tetap akan dilaksanakan hukuman mati walaupun sudah memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan itu.
Jurucakap Peguam Negara Indonesia Tony Spontana berkata, ia tidak mengubah apa-apa bagi Andrew Chan serta Myuran Sukumaran kerana perjanjian antara jabatan kerajaan dan mahkamah bererti permohonan semakan itu berkemungkinan besar akan ditolak.
“Secara lazimnya, semakan kehakiman tidak menghentikan proses hukuman mati. Apatah lagi permohonan untuk pengampunan daripada presiden sudah ditolak,” katanya.
Bagaimanapun, peguam bela Chan dan Myugran, Todung Mulya Lubis berkata, isu itu sewajarnya dibiarkan kepada mahkamah untuk diputuskan.
“Ia bukan lagi dalam bidang kuasa peguam negara. Hukuman tidak patut dilaksanakan selagi proses perundangan belum selesai,” katanya.
Menurutnya, pihaknya mengusahakan supaya hukuman dua tertuduh itu diubah kepada penjara 20 tahun.
“Mereka banyak berubah sejak ditahan. Saya percaya mereka wajar diberi peluang kedua.
Chan dan Sukumaran antara kumpulan dikenali sebagai ‘Bali 9’ dan dijadualkan dihukum tembak dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Antara dokumen difailkan kepada Mahkamah Daerah Denpasar termasuk surat ditulis sendiri Chan dan Myuran dalam bahasa Indonesia, merayu pengampunan daripada presiden dan ketua hakim mahkamah agung.
Chan dalam suratnya mengaku sewajarnya dihukum penjara untuk tempoh lama.
“Memang saya bersalah, bukanlah saya tidak mengaku atau memperlekehkan kesilapan dilakukan. Cuma saya merayu supaya diberi peluang kedua untuk membuktikan saya sudah berubah,” katanya.
Myuran turut menyatakan kekesalannya.
“Saya menyesal dan malu kerana menconteng arang ke muka keluarga serta negara dengan perbuatan ini. Saya kini cuba menjadi manusia lebih berguna.
“Hakikatnya penjara ini mengajar saya supaya berubah,” katanya.
Sementara itu, bekas Menteri Luar Australia Bob Carr berkata kerajaan malah juga Perdana Menteri Tony Abbott dan Menteri Luar Julie Bishop sudah melakukan segala yang terdaya untuk menyelamatkan dua rakan itu.
Chan dan Myuran ditahan bersama tujuh yang lain pada 2005.
Hukuman mati dijangka dilakukan di pusat penahanan di Pulau Nusa Kambangan namun tarikhnya belum ditetapkan.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Februari 2015 @ 5:05 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/27755#sthash.DKpPJVvN.dpuf

Warga emas dicekup edar dadah



SAIFUL BAHRI (kanan) menunjukkan pil kuda dan serbuk heroin yang dirampas daripada sepasang suami isteri warga emas pada sidang akhbar di IPD Gua Musang, Kelantan semalam.


GUA MUSANG – Sepasang suami isteri warga emas berusia 58 dan 66 tahun antara enam individu ditahan kerana disyaki mengedar dadah menerusi Ops Jala yang dijalankan selama sembilan hari berakhir kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, dalam operasi itu, polis merampas 644 biji pil kuda serta 26 botol serbuk dipercayai heroin bernilai RM67,000 dalam beberapa tangkapan berasingan.
Menurutnya, pada pukul 2 petang Jumaat lalu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah berjaya menahan kenderaan warga emas itu dari Rantau Panjang di Kampung Bertam di sini yang dipercayai masuk ke daerah ini untuk memasarkan dadah.
“Hasil siasatan ke atas wanita berumur 58 tahun itu, polis menemui 587 pil merah dan enam pil hijau dipercayai pil kuda bersama tiga botol serbuk putih dipercayai heroin yang disorok di dalam colinya.
“Wanita tersebut bersama suaminya berumur 66 tahun dipercayai mendapat bekalan dadah dengan berjumpa seorang lelaki di stesen minyak Gual Tinggi, Rantau Panjang dan pasangan tersebut masih tidak serik walaupun pernah ditangkap di daerah lain sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0202&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3Qa83NS5T 
Hakcipta terpelihara 

Nyaris maut dikelar pada leher





GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga Indonesia nyaris maut setelah dikelar pada leher menggunakan sebilah pisau semasa pulang berhibur di hadapan sebuah pusat karaoke di Jalan Rumbia, Sungai Nibong di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, mangsa berusia 21 tahun yang bekerja sebagai pengutip sampah di Relau di sini telah didatangi seorang suspek sene­garanya lalu bertindak mencederakan mang­sa semasa mahu menaiki sebuah teksi.
Semasa insiden berlaku, mangsa bersama dua rakan termasuk seorang wanita dikatakan baru selesai meraikan majlis perpisahan kenalan mereka di pusat hiburan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid (gambar kecil) berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian semasa mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang dalam keada­an berlumuran darah.
“Siasatan mendapati mangsa pada mulanya telah dipukul oleh dua lelaki selepas dia menghalang suspek terbabit daripada menga­cau rakan wanitanya. Ketika itu datang lagi beberapa lelaki, namun berjaya dihalang.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0202&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz3Qa7vFik3 
Hakcipta terpelihara 

Tauke jual telefon rugi RM100,000



ANGGOTA polis sedang memeriksa kedai telekomunikasi di Jalan Temenggung, Parit Buntar yang diceroboh penjenayah semalam.


PARIT BUNTAR – Seorang pemilik kedai menjual alatan telekomunikasi di Jalan Temenggung di sini kerugian kira-kira RM100,000 selepas premis tersebut diceroboh pencuri semalam.
Kejadian tersebut disedari oleh pemiliknya pada pukul 7 pagi selepas seorang jiran menghubunginya bagi memaklumkan pintu utama premis miliknya mempunyai kesan diumpil.
Pemilik premis itu, seorang lelaki berusia 40-an yang enggan dikenali berkata, dia bergegas ke premisnya dan melihat mangga kuncinya telah dipotong.
“Sebaik pintu dibuka, saya terkejut mendapati lebih 100 buah telefon pintar pelbagai jenama, tiga buah komputer riba jenis Toshiba, dua buah komputer jenis Asus dan sebuah televisyen telah lesap.
“Turut lesap sejumlah wang tunai yang disimpan oleh pekerja saya di dalam sebuah mesin wang,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0202&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz3Qa7mdSrt 
Hakcipta terpelihara 

Mayat bungkus plastik hitam di tepi jalan



Mayat dibungkus plastik hitam berserta nota ditemui di Kubang Menerong, Kepala Batas semalam.


SEBERANG PERAI – “Assalamualaikum. Nama saya Farok. Saya Muslim. Saya mahu sembahyang (disembahyangkan) dulu, terima kasih/Bangladesh.”
Begitulah kandungan nota yang ditemui ditinggalkan di atas dada mayat seorang lelaki dipercayai warga Bangladesh yang dijumpai di tepi jalan berdekatan ladang kelapa sawit di Kubang Menerong, Kepala Batas di sini semalam.
Mayat berkenaan ditemui oleh orang awam pada pukul 3.15 petang dalam keadaan berbungkus kemas dengan plastik hitam.
Bagaimanapun, semasa plastik hitam itu dibuka, mayat yang dalam lingkungan umur 30-an itu berbau harum dipercayai sudah direnjis dengan air mawar.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, pihaknya sedang menyiasat identiti mayat berkenaan yang semasa ditemui tiada dokumen pengenalan diri.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0202&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3Qa7X0vZh 
Hakcipta terpelihara 

15 tahun dadah tersorok di dalam pintu van



LIMA bungkusan dadah mampat yang ditemui di dalam ruangan di pintu van milik Melodie ini. - Agensi


ALBUQUERQUE, Amerika Syarikat – Seorang wanita di sini terkejut selepas menemui sejumlah dadah jenis ganja seberat hampir enam kilogram yang disembunyikan di dalam sebuah van miliknya selama 15 tahun.
Wanita tersebut, Melodie Peil berkata, dia membeli van jenis Chevrolet itu kira-kira 15 tahun lalu daripada seorang lelaki dan tidak menyedari ada beberapa ketul dadah di dalam pintu kenderaan itu.
Katanya, pada minggu lalu, seorang rakannya membuka pintu van berkenaan untuk dibaiki tetapi terkejut selepas menemui lima bungkusan ganja mampat yang disembunyikan di dalamnya.
“Saya sungguh terkejut dan terus menghubungi polis kerana rakan saya memberitahu, bungkusan berkenaan kemungkinan adalah dadah.
“Beberapa anggota polis yang datang membuat pemeriksaan mengesahkan bungkusan tersebut adalah dadah jenis ganja.
“Bagaimanapun, pihak polis mengesahkan dadah itu sudah tidak berguna lagi kerana tersimpan terlalu lama di dalam pintu van berkenaan,” katanya. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0202&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3Qa6QGt4s 
Hakcipta terpelihara 

Ibu mati direjam dengan botol arak


Sa Kaeo, Thailand: Polis sudah mengenal pasti sekumpulan remaja yang menyebabkan kematian seorang wanita selepas mereka ‘merejam’ mangsa dengan botol arak.
Jurucakap polis berkata, sekurang-kurangnya dua daripada remaja terbabit dikenali pasti - dikenali dengan nama panggila Ice dan Ble.
“Namun identiti sebenar mereka tidak boleh didedahkan kerana masih di bawah umur,” katanya semalam.
Dalam kejadian Selasa lalu, Ranjuan Jongrak, 40, terbunuh akibat dibaling botol arak.
Dia dan anak lelakinya, Aye, 19, serta saudara mereka dalam perjalanan pulang selepas menghadiri pesta buah epal tempatan kira-kira jam 1 pagi.
Ketika menunggu suami Ranjuan yang bekerja sebagai sukarelawan keselamatan di pesta itu, mereka tiba-tiba dihampiri 17 remaja menaiki trak pikap.
Mangsa kemudian dilontar dengan botol bir.
Ranjuan mengalami kecederaan parah di muka dan dikejarkan ke hospital, namun disahkan mati akibat pendarahan melampau.
Sumber berkata, tiga bulan lalu Aye terbabit dalam pergaduhan dengan sekumpulan remaja dan sekali lagi tiga hari sebelum kejadian.
Jurucakap polis berkata, semua suspek dinasihat hadir ke balai polis terdekat bagi memudahkan siasatan.
“Jika tidak, waran tangkap akan dikeluarkan,” katanya. - Agensi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/27922#sthash.G26IfTK6.dpuf