Sumber Reuters berkata, Kapten Iriyanto dilaporkan bergerak dari tempat duduknya yang menyebabkan pesawat itu dikendalikan oleh pembantu juruterbang, Remy Plesel dan apabila beliau kembali mengambil alih kawalan pesawat, sudah terlalu lewat untuk menyelamatkan keadaan.
Maklumat tentang saat-saat akhir pesawat QZ8501 kemungkinan menyebabkan siasatan memberi sebahagian fokus kepada penyelenggaraan, prosedur dan latihan walaupun pihak berkuasa Indonesia menegaskan, masih terlalu awal untuk menentukan punca nahas tersebut.
Pesawat QZ8501 tersebut dipercayai mengalami kesilapan penyelenggaraan melibatkan komputer kawalan penerbangan utama, dan sumber yang mahir dengan perkara itu mendakwa Iriyanto telah menerbangkan pesawat yang sama, beberapa hari sebelum nahas berlaku, dengan kerosakan tersebut.
Reuters pada minggu ini melaporkan, masalah penyelenggaraan pada sistem komputer pesawat atau Flight Augmentation Computers (FAC) dan cara juruterbang mengendalikan pesawat, menjadi fokus utama siasatan.
Portal berita Bloomberg News, semalam melaporkan, apabila kapten kapal cuba membetulkan semula peralatan itu, beliau bertindak menarik suis pemutus litar bagi memutuskan bekalan kuasa pada peralatan itu.
“Anda boleh membetulkan peralatan FAC, namun untuk memutuskan kesemua kuasanya adalah satu perkara luar biasa. Anda tidak akan memutuskan bekalan kuasa kecuali berlaku kecemasan.
“Saya tidak tahu sama ada berlaku kecemasan dalam kes ini namun keadaan sangat luar biasa,” kata seorang juruterbang pesawat Airbus A320 yang enggan namanya didedahkan kepada Reuters.
Juruterbang itu berkata, peralatan pemutus litar itu berada di dinding panel di belakang pembantu juruterbang dan adalah sukar untuk mencapainya dari tempat duduk jururterbang.
AirAsia bagaimanapun tidak mahu mengulas tentang perkara yang sedang di bawah siasatan oleh Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional Indonesia (NTSC).
Sementara itu, Perancis semalam membuka satu siasatan jenayah rasmi berhubung nahas yang mengorbankan kesemua 162 penumpang pesawat itu atas dakwaan 'bunuh’. – REUTERS/AFP