Search This Blog

Thursday, January 29, 2015

Budak main ‘polis, pencuri’ ditembak mati


Polis menyifatkan insiden ini sebagai kemalangan dan tiada tangkapan dibuat.
Polis menyifatkan insiden ini sebagai kemalangan dan tiada tangkapan dibuat.
EAGAN - MINNESOTA. Seorang remaja berusia 15 tahun menembak mati adiknya yang berusia 13 tahun ketika bermain ‘polis dan Pencuri’ di kediaman mereka pada Isnin, menurut pihak berkuasa.

Memetik laporan dari portal berita Msn.news, pasangan dua beradik itu menemui pistol milik bapa mereka di kediaman mereka di Minnesota sebelum merancang untuk bermain.

Polis dan paramedik bergegas ke kediaman mereka sebaik sahaja menerima panggilan daripada remaja berkenaan yang mengatakan adiknya mengalami pendarahan dan tidak sedarkan diri.

“Sebelum tiba di tempat kejadian, remaja itu memberitahu pihak polis adik lelakinya terjatuh dan tertikam dengan pisau di bahagian dada.

“Namun sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, dia memberitahu cerita sebenar mengenai apa yang berlaku,” katanya seperti yang dilapor oleh portal berkenaan.

Menurut pihak berkuasa, kedua beradik itu berada di rumah bersama seorang adik perempuan mereka yang berusia 11 tahun.

“Kedua mereka menemui pistol ayah mereka yang tidak berpeluru di rumah mereka. Kemudian mereka menemui peluru yang disimpan dibahagian lain. Salah seorang daripada mereka mengisi peluru dalam pistol itu dan mula bermain.

“Semasa mengejar adiknya, abangnya melepaskan satu das tembakan ke bahagian dada adiknya, menyebabkan budak lelaki itu meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya lagi.

Adik perempuan mereka bagaimanapun tidak menyaksikan kejadian tersebut.

Polis menyifatkan insiden ini sebagai kemalangan dan tiada tangkapan dibuat.

Polis digantung tugas kerana makan cicak


Salamander gergasi. - Foto Sumber Reuters
Salamander gergasi. - Foto Sumber Reuters
BEIJING - CHINA. 14 orang polis digantung tugas dan seorang ketua polis disiasat, semalam kerana disyaki memakan haiwan spesis terancam, salamander gergasi.

Menurut Reuters, kumpulan polis berkenaan makan haiwan amfibia terbesar dunia tersebut di sebuah restoran makanan laut.

Salamander gergasi mampu membesar sehingga 180 cm (6 kaki).

Pegawai polis dikatakan merampas kamera dan menyerang wartawan dan jurugambar yang cuba membuat liputan ketika kejadian tersebut berlaku.

Rayuan Ditolak, Tujuh Lagi Banduan Kes Dadah Akan Dihukum Mati


Diterbitkan: Khamis, 29 Januari 2015 2:37 PM
Pihak keselamatan mengawal ketat semua banduan kes dadah yang akan dikenakan hukuman mati.

JAKARTA: Indonesia kini bersiap sedia untuk melaksanakan hukuman mati terhadap tujuh banduan warga asing selepas permohonan rayuan mereka ditolak, kata pihak berwajib.
Ketegasan kerajaan pimpinan Presiden Joko Widodo itu menimbulkan rasa tidak puas hati pelbagai pihak termasuk keluarga banduan terbabit serta kepimpinan negara asal banduan yang mengemukakan rayuan.
Pihak berkuasa mendedahkan, dua ketua kumpulan dadah yang dikenali sebagai "Bali Nine" dari Australia gagal dalam permohonan rayuan dan akan menjalani hukuman ditembak sampai mati dalam masa terdekat.
Jurucakap pejabat peguam negara mendedahkan, rayuan lima lagi banduan yang dihukum kerana kesalahan dadah juga ditolak, masing-masing dari Perancis, Brazil, Nigeria dan Ghana.
Selain itu, empat warga Indonesia juga tidak berjaya dalam permohonan rayuan mereka.
"Pejabat peguam negara menjatuhkan hukuman mati terhadap 11 banduan dan ia akan dilaksanakan," kata jurucakap, Tony Spontana pada Rabu.
Spontana berkata, keputusan mengenai bila dan dimana hukuman itu akan dilaksanakan belum ditentukan setakat ini.
Sebelum ini, Indonesia menembak mati enam banduan atas kesalahan dadah termasuk lima warga asing.

Polis jumpa bom tangan dalam beg plastik


Polis menemui sebutir bom tangan yang disorokkan di dalam plastik beras di dapur sebuah rumah di Kampung Lalang, Penanti di Bukit Mertajam hari ini. Dalam serbuan tersebut, dua lelaki yang pernah lolos dari tahanan polis telah ditahan bersama dadah jenis syabu seberat kira-kira 60 gram. - Foto Bernama
Polis menemui sebutir bom tangan yang disorokkan di dalam plastik beras di dapur sebuah rumah di Kampung Lalang, Penanti di Bukit Mertajam hari ini. Dalam serbuan tersebut, dua lelaki yang pernah lolos dari tahanan polis telah ditahan bersama dadah jenis syabu seberat kira-kira 60 gram. - Foto Bernama
BUKIT MERTAJAM - Polis menemui sebutir bom tangan disebuah rumah di Kampung Lalang, Penanti di sini hari ini selepas menahan dua lelaki yang disyaki anggota sindiket pengedaran dadah.

Bom tangan yang dibungkus plastik dan disembunyikan dalam beg plastik mengandungi beras pulut itu ditemui sepasukan polis yang membuat pemeriksaan di rumah berkenaan jam 10 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, pemeriksaan di rumah itu dibuat hasil soal siasat terhadap dua lelaki berumur 28 dan 36 tahun yang ditahan dalam serbuan di rumah itu jam 6 pagi semalam.

"Lelaki berumur 36 tahun yang merupakan pemilik rumah itu ditahan kerana disyaki pernah memberi perlindungan kepada banduan yang lolos dalam kejadian dua tahun lepas.

"Pasukan Ops Cantas Khas SPU turut merampas dadah jenis syabu seberat 60 gram bernilai RM10,000 dan pelbagai barang yang dipercayai hasil samun dan pecah rumah geng itu," katanya kepada pemberita di sini.

Abdul Rahman berkata pemeriksaan secara terperinci di rumah itu turut dibantu Unit Anjing Pengesan (K-9) dan Unit Pemusnah Bom (UPB).

"Bom itu dimusnahkan oleh UPB di kawasan ladang sawit belakang rumah berkenaan pada jam 1.25 tengah hari," katanya.

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan bom itu diperoleh dari negara jiran dan dipercayai digunakan sindiket pengedaran dadah terbabit untuk mempertahankan diri.

Abdul Rahman berkata siasatan mendapati dua banduan yang ditahan 22 Januari lepas setelah dua tahun meloloskan diri itu adalah anggota sindiket sama dan dipercayai bersembunyi di rumah berkenaan selama tiga hari sebelum melarikan diri ke negara jiran.

"Ketika itu suspek belum tinggal di kediamannya kerana rumah itu belum siap sepenuhnya," katanya.

Abdul Rahman berkata siasatan awal mendapati rumah yang didiami lelaki berumur 36 tahun terbabit bersama isteri dan enam anak itu dijadikan tempat transit dadah sebelum diedar kepada pembeli.

"Semasa serbuan semalam, isteri dan enam anak lelaki itu tiada di rumah dan dipercayai pulang ke kampung mereka. Siasatan juga mendapati pemilik rumah dan rakannya yang tiada pekerjaan itu turut aktif memecah rumah dan samun di sekitar Kulim, Kedah dan Seberang Perai Tengah (SPT) di sini," katanya.

Abdul Rahman berkata kedua-dua lelaki yang mempunyai pelbagai rekod jenayah itu direman bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian pada 7 Januari 2013, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas membaling serbuk cili kepada anggota polis.

Mereka turut memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring dengan tangannya mereka yang bergari.

Dua daripada mereka diberkas semula berhampiran van polis yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor; dua lagi ditembak mati pada 10 Januari 2013; dua ditahan pada 12 Januari 2013; seorang ditahan pada 13 Januari 2013; manakala dua lagi ditahan di Jitra, Kedah, 22 Januari lepas, setelah dua tahun menjadi buruan polis. - Bernama

Lelaki ditembak kerana serang anjing polis


WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Januari 2015
CALIFORNIA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang lelaki ditembak mati oleh pihak berkuasa Stockton, utara Calofornia apabila menyerang anjing polis dan seorang pegawai polis dengan tukul besi, pada Selasa malam.

Lapor portal berita Associated Press, lelaki tersebut disahkan meninggal dunia setelah mendapat rawatan di Pusat Perubatan Stockton.

Menurut jurucakap pihak berkuasa Stockton, Joe Silva, pegawai itu tidak mengalami kecederaan dan anjing tersebut kini  menerima rawatan dan dijangka sembuh tidak lama lagi.

“Pegawai kami menerima panggilan dari orang awam yang mengadu diganggu oleh lelaki mabuk di kawasan kejiranan mereka.

“Lelaki itu memusnahkan pelbagai harta berta di kejiranan tersebut dengan menggunakan tukul besi yang dibawa bersamanya,” katanya seperti yang dipetik menerusi laporan tersebut.

Kata Silva lagi, lelaki tersebut telah diberi amaran awal untuk melepaskan senjata (tukul) yang dipegang namun lelaki itu dilaporkan enggan menurut arahan pihak berkuasa.

“Pegawai polis menggunakan pistol pegun ke atasnya namun ia gagal menghentikan tindakan amuk lelaki itu,” katanya lagi.

Jelasnya, melihatkan perilaku lelaki itu yang semakin agresif, anjing polis mula menyerangnya untuk menjatuhkan suspek ke lantai, namun anjing tersebut dipukul dengan tukul sehingga cedera.

Seorang anggota polis kemudiannya meluru ke arah anjing tersebut; menyebabkan suspek cuba menyerang pegawai polis tersebut.

Pegawai lain yang berada ditempat kejadian melepaskan tembakan ke arahnya bagi melindungi pegawai polis dan anjing tersebut.

Bunuh diri kerana takut kiamat

Foto sumber AP

UTA - AMERIKA SYARIKAT. Lima sekeluarga yang ditemui maut pada 27 September lepas disebabkan oleh kebimbangan 'berlakunya kiamat', kata polis.
Keluarga tersebut, Benjamin dan Kristi Strack, bersama-sama anak mereka berumur 11, 12 dan 14 tahun ditemui tidak bernyawa di rumah mereka kerana pengambilan dadah berlebihan.
Menurut Yahoo News, polis menjumpai surat-surat lama Kristi Strack yang dialamatkan kepada banduan yang juga sebelum membunuh ahli keluarganya 'atas nama tuhan'.
Dalam sidang media Selasa lepas, Ketua Polis J Scott Finlayson memberitahu, salah seorang ahli keluarga berkenaan, Benson Strack, 14, telah menulis sebuah surat mengucapkan 'selamat tinggal'.
Mayat lima sekeluarga berkenaan ditemui oleh Janson Strack, 18, anak sulung keluarga tersebut.

QZ8501: Operasi cari korban tetap diteruskan, tiada penamatan - Ketua BASARNAS

JAKARTA: Tiada penamatan operasi mencari mangsa korban pesawat QZ8501 AirAsia Indonesia di Selat Karimata, Laut Jawa sebaliknya misi tetap diteruskan, kata Ketua Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS), Bambang Soelistyo sebentar tadi.
Bercakap dalam sidang media di sini, Soelistyo menjelaskan apa yang berlaku ialah Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI), Jeneral Moeldoko menarik balik pasukan TNI dari Selat Karimata, Kalimantan Tengah dan bukan bermakna operasi mencari korban pesawat QZ8501 dihentikan.
"Saya tegaskan di sini, operasi pencarian tetap berlanjutan. Sekali lagi tetap berlanjutan," kata Soelistyo. - Detik.com

BASARNAS tetap teruskan usaha cari mayat mangsa QZ8501

JAKARTA: Usaha mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan 92 lagi baki mayat mangsa nahas pesawat Airasia Indonesia Penerbangan QZ8501 akan diteruskan walaupun tiada lagi pembabitan pihak berkuasa lain seperti Tentera Nasional Indonesia (TNI).
Ketua Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS), Bambang Soelistyo, berkata penarikan diri TNI tidak ada kaitan dengan tindakan memberhentikan operasi seperti yang dilaporkan media.
"Sepanjang saya selaku penyelaras usaha mencari dan menyelamat, belum dinyatakan ditutup. Maka operasi pencarian masih tetap berlanjut," katanya dalam sidang akhbar yang disiarkan secara langsung menerusi siaran televisyen MetroNews di sini, hari ini.
Bambang berkata, kekuatan BASARNAS tidak lemah walaupun tanpa pasukan TNI kerana BASARNAS turut mempunyai sistem pencarian seperti alat pencarian di bawah air dan sedang diusahakan oleh kapal milik SKK Migas.
Katanya, BASARNAS memberikan tempoh dua hari untuk pasukan SAR berehat selepas bekerja selama sebulan di tengah laut.
Usaha mencari pesawat Airasia memasuki hari ke-31. Penerbangan QZ8501 itu hilang daripada imbasan radar pada 28 Dis lepas semasa dalam penerbangan ke Singapura dari Surabaya, Indonesia bersama 155 penumpang dan tujuh anak kapal.
Pesawat malang itu terhempas di perairan Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah, Indonesia.
Setakat ini, usaha mencari dan menyelamat telah menemukan 70 mayat dan daripada jumlah itu, 55 mayat telah dikenal pasti dan diserahkan kepada waris masing-masing.
BASARNAS kini akan menumpukan usaha mencari mayat dan tidak lagi menjalankan kerja-kerja mencari bangkai pesawat berkenaan.
Pihak berkuasa juga sudah memulakan siasatan kejadian selepas menemui kotak hitam pesawat minggu lalu dan sudah menaikkan badan pesawat itu yang terbenam dalam dasar laut di Selat Karimata di Laut Jawa dua hari lalu.
- BERNAMA

Helikopter Vietnam terhempas, 4 askar maut

HANOI: Sebuah helikopter buatan Amerika Syarikat (AS) yang pernah digunakan semasa Perang Vietnam, terhempas dalam misi latihan di negara Asia Tenggara itu, mengakibatkan sekurang-kurangnya empat anggota tentera terbunuh.
Timbalan Ketua Turus Angkatan Tentera, Leftenan Jeneral Vo Van Tuan, berkata helikopter Huey itu hilang dari radar kira-kira lapan minit selepas berlepas dari pangkalan udara di Bandaraya Ho Chi Minh.
Punca nahas masih belum jelas namun helikopter itu ditemui terhempas di sebuah ladang di pinggir bandar ini.
Beliau berkata, pesawat berkenaan pada asalnya milik tentera AS tetapi dirampas oleh tentera komunis selepas perang berakhir pada tahun 1975.
Media tempatan melaporkan, tentera Vietnam menguasai hampir 50 helikopter Huey milik AS selepas perang berkenaan dan kebanyakannya masih digunakan untuk misi latihan ketenteraan dan operasi mencari dan menyelamat. - AP

Kartel dadah akui tersilap bunuh 43 guru pelatih disangka ahli geng musuh



BAPA kepada mangsa, Felipe de la Cruz, bercakap pada sidang media di Mexico City hari ini. - FOto AFP
MEXICO CITY: Seramai 43 orang pelajar Mexico hilang empat bulan lalu dibunuh atas arahan kartel dadah yang tersilap bahawa mereka adalah ahli geng musuh, akhirnya mengesahkan kematian kesemua guru pelatih itu.
Kehilangan mereka pada malam 26 September lalu di bandar tenggara Iguala, membawa kepada protes besar-besaran di Mexico serta kritikan antarabangsa membabitkan keadaan keselamatan negara itu, memalukan Presiden Enrique Pena Nieto dan meletakkan pentadbiran beliau dalam krisis paling teruk.
Sehingga kini, kerajaan hanya menyatakan bahawa pelajar terbabit hampir pasti dibunuh selepas insiden pergaduhan malam di Iguala dengan pegawai polis rasuah yang menyerahkan mereka kepada geng dadah tempatan Guerreros Unidos.
"Pastinya semua pelajar ini kehilangan nyawa, kebebasan dan dibakar serta dibuang ke dalam Rio San Juan," kata Peguam Negara Jesus Murillo, merujuk kepada sungai di pekan Cocula, dekat Iguala.
Murillo berkata, bahawa ahli geng berkenaan disyakki membunuh pelajar dan teliti dalam memusnahkan mayat, menjadikan tugas mengenalpasti mayat sukar. Hanya satu mayat pelajar hilang berjaya dikenalpasti sehingga ini.
Datuk Bandar Iguala dan isterinya kemudian menahan dua suspek utama. Kes itu menjadi cerminan kaitan antara jenayah terancang dan politik yang dipercayai diamalkan di seluruh Mexico.
Pejabat peguam negara berkata Felipe Rodriguez salah seorang ahli geng Guerreros Unidos mengaku menerima arahan salah seorang bosnya untuk membunuh 43 mangsa yang menuntut di kolej perguruan berdekatan.
"Pelajar itu dikenalpasti sebagai penjenayah dan ahli geng musuh di wilayah itu," kata ketua agensi siasatan jenayah Tomas Zeron.
Ibu bapa pelajar terbabit menuduh kerajaan cuba menutup kes sebelum ia diselesaikan sebaiknya. "Kami tidak mempunyai bukti cukup untuk menerimanya," kata salah seorang ibu bapa, Epifanio Alvarez.
Kerajaan berkata, geng samseng itu mempercayai bahawa pelajar sudah dimasuki geng yang dikenali sebagai Los Rojos. Peguam negara menolak tuduhan terhadap pelajar dan berkata siasatan masih diteruskan. - AGENSI