Search This Blog

Tuesday, January 27, 2015

Simpan Kereta Curi, Penganggur Dipenjara Enam Bulan


Diterbitkan: Isnin, 26 Januari 2015 3:13 PM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan ke atas seorang penganggur pada Isnin setelah dia mengaku bersalah memiliki sebuah kereta curi minggu lepas.
Majistret Nur Azura Murah memerintahkan NorNasrin Nasaruddin, 32, menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap, 22 Januari lepas.
Dia didakwa memiliki atau menyimpan sebuah kereta jenis Proton Waja berwarna kelabu milik seorang ahli perniagaan berusia 40 tahun di sebuah rumah di Jalan 1/2 Tasik Tambahan, Ampang, pada 8 malam hari sama.

Mengikut fakta kes, ahli perniagaan itu melaporkan keretanya dicuri ketika beliau berada di sebuah kedai buku di Jalan Ipoh, Sentul di sini pada 2.30 petang, 9 Januari lepas.

Pemeriksaan polis ke atas NorNasrin ketika dia ditahan menjumpai pelekat cukai jalan kereta itu di dalam poket seluar yang dipakainya.

Selepas disoal siasat, tertuduh membawa polis ke rumahnya tempat kereta itu disimpan.
Ketika rayuan, NorNasrin yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia tidak mempunyai pendapatan tetap dan perlu menyara isteri dan anak serta menanggung ibu bapanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Ravindran.

Tubuh Jawatankuasa Pantau Penyebaran Ekstremisme Di Sekolah Pondok


Diterbitkan: Selasa, 27 Januari 2015 11:33 AM

ALOR SETAR: Sebuah jawatankuasa khas bagi memantau dan menangani penyebaran jihad bermotifkan militan dalam kalangan pelajar madrasah dan sekolah pondok perlu ditubuh kerajaan negeri sebagai usaha mencegah fahaman ekstremisme daripada menular.
Setiausaha Persatuan Majlis Ummah Ahli Sunnah (MUAS) Kedah Muhamad Fazilul Helmi Raidzan berkata anggota jawatankuasa itu haruslah ditempatkan di setiap pejabat agama daerah bagi memudahkan pemantauan dan penerimaan sebarang laporan.
"Kena ada satu jawatankuasa khas memantau perkara ini, dapat kesan terus ambil tindakan undang-undang, sekiranya ada laporan guru mengajar lain daripada daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah, terus ambil tindakan," katanya dalam satu temu bual khas bersama Bernama pada Selasa.
Muhamad Fazilul yang juga Pengerusi Persatuan Pelajar Pondok Tauhid Kedah berkata institusi pondok dan madrasah tidak seharusnya dicemari dengan fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam sebenar, justeru pemilihan tenaga pengajar yang sesuai perlu dititikberatkan.
"Mereka (pelajar) dengan kezamanan yang kuat untuk berjihad tetapi pemikiran mereka itu sudah terpesong daripada guru yang silap, tidak belajar dari guru yang berpegang kepada ahli sunnah, ini sebab berlaku perpecahan," katanya.
Muhamad Fazilul turut mencadangkan tenaga pengajar di institusi sekolah pondok tidak memasukkan elemen politik di dalam pengajian kerana dikhuatiri menjadi punca permasalahan.
Katanya tiada keperluan untuk rakyat Malaysia untuk terlibat dengan perjuangan militan, sebaliknya jihad dari aspek pemikiran dan ekonomi adalah penting selain menyarankan agar umat Islam kembali bersatu berpegang kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Senada dengan itu, Pengerusi Persatuan Profesional Muda Islam Kedah (PROMIS) Dr Nazil Nuhairi Ismail berkata jawatankuasa dicadangkan terbabit perlulah juga berfungsi meneliti dan menapis ketat guru-guru di sekolah pondok.
Nazil berkata ini kerana peranan guru di sesebuah sekolah pondok adalah penting kerana kebiasaannya pelajar akan menganggap apa yang disampaikan oleh guru adalah 'betul' dan perlu diikuti.
Katanya ini termasuk meneliti dan memperhalusi pengajaran dan kaedah pengajaran di sekolah pondok selain memperkasa peranan Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) dalam memberi pendidikan dan pendedahan mengenai jihad.
Beliau menyarankan agar JAIK bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Islam di Kedah ke arah proses pemahaman jihad yang sepatutnya diamalkan.
"Langkah pencegahan daripada awal amat penting, kerana masalah ini tidak boleh dipandang ringan. Kita takut kalau tiba-tiba fahaman ini menular, tidak mustahil negara kita boleh diserang oleh pejuang IS (kumpulan militan Islamic State) ini," katanya.

Marwan Dipercayai Terbunuh Dalam Pertempuran Senjata


Diterbitkan: Selasa, 27 Januari 2015 10:17 AM

KUALA LUMPUR: Adakah pengganas yang paling dikehendaki di Asia Tenggara, Zulkifli Abdul Hir telah meninggal dunia?
Pihak berkuasa sedang berusaha untuk mengesahkan laporan mengenai Zulkifli, yang turut dikenali sebagai Marwan, 48, telah ditawan dan terbunuh dalam satu pertempuran senjata antara pasukan keselamatan Filipina dan pejuang Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di selatan Filipina pada Ahad.
Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) menawarkan AS$5 juta (RM18 juta) kepada sesiapa yang dapat membawa kepada penangkapan Marwan.
Dia dipercayai terlibat dalam beberapa serangan pengganas dan letupan bom di Mindanao melibatkan Jemaah Islamiyah (JI) membantu kumpulan Abu Sayyaf.
Pada November lalu, Marwan yang merupakan pakar bom mengetuai JI yang dikaitkan dengan al-Qaeda dan beberapa pemimpin Pergerakan Kebebasan Islam Bangsamoro (BIFF), yang berjuang kepada pembentukan sistem khalifah baharu di Iraq dan Syria oleh kumpulan militan Negara Islam (IS).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, beliau telah menghubungi rakan sejawatnya di Filipina untuk mengesahkan laporan berhubung kematian Marwan.
"Kita sedang menunggu pengesahan. Masih terlalu awal untuk menentukan apa-apa pada masa ini," katanya pada Isnin.
Beberapa sumber mendedahkan berita mengenai kematian Marwan telah menyebabkan kesibukan agensi perisikan.
Laporan media dari Filipina menunjukkan Marwan dan seorang pengganas warga Filipina mungkin terbunuh bersama lebih 30 komando polis dalam satu pertempuran antara pasukan keselamatan Filipina dan tentera MILF. 
Sekiranya benar, kematiannya akan memberi tamparan hebat kepada rangkaian keganasan di rantau ini.

Dua Gudang Kayu Musnah Terbakar


Diterbitkan: Isnin, 26 Januari 2015 12:33 PM

TAWAU: Dua gudang menyimpan kayu di Kompleks Perindustrian Kayu-Kayan Tanjung Batu di sini musnah dalam kebakaran awal pagi Isnin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Mohd Razali Awang Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan pada 4.12 pagi dan tiga jentera bomba bersama-sama 16 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kami turut dibantu 15 anggota dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan empat anggota polis.

"Kebakaran berjaya dikawal pada 4.40 pagi dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Punca kebakaran masih disiasat dan kerugian dianggarkan bernilai RM950,000, katanya.

Polis Rampas Dadah Bernilai RM110,000, Tahan Tujuh Suspek


Diterbitkan: Ahad, 25 Januari 2015 7:33 PM
Supt Abdul Razak Mohd Zin (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada dadah pelbagai jenis bernilai RM110,000 yang berjaya dirampas pada sidang media mengenai kes rampasan dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di Alor Setar, Ahad. Foto BERNAMA

ALOR SETAR: Polis Kedah merampas pelbagai dadah bernilai RM110,000 berikutan penahanan tujuh suspek termasuk seorang wanita dalam tiga serbuan berasingan di Kuala Kedah dan Langkawi, sejak Rabu lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah, Supt Abdul Razak Mohd Zin berkata, sebanyak 2.47 kilogram heroin dan 657 gram syabu dirampas dalam serbuan tersebut.
Beliau berkata, tangkapan pertama dibuat pada 21 Januari lepas apabila anggota JSJN negeri menangkap dua lelaki di Kuala Kedah pada 11 pagi dan menemui dadah bernilai RM79,000, katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini, Ahad.
Hasil pemeriksaan, polis menemui lima paket syabu seberat 407 gram dan lima paket herion seberat 2.3 kilogram yang disorok dalam kereta milik lelaki berkenaan, katanya.
"Kita percaya dadah ini untuk pasaran Alor Setar dan Sungai Petani dan kita masih menyiasat dari mana mereka mendapatkan bekalan dadah itu," katanya.
Kedua-dua lelaki berusia 35 dan 45 tahun itu dari Tasik Gelugor dan Butterworth kini ditahan reman tujuh hari sehingga 29 Januari bagi membantu siasatan, katanya.
Dalam serbuan pada 22 Jan lepas katanya, anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi menahan seoarang lelaki berusia 32 tahun di Kompleks Jeti Feri di Kuah, yang cuba menyeludup masuk dadah Syabu ke pulau itu.
Beliau berkata pemeriksaan terhadap beg sandang lelaki yang berasal dari Kubang Pasu itu, polis menemui bungkusan dadah syabu seberat 250gram bernilai RM27,500.
Katanya, dalam operasi susulan polis telah menyerbu sebuah rumah di Kedawang, Langkawi pada 1.30 tengah hari pada hari sama dan berjaya menahan seorang wanita berusia 33 tahun dan dua lelaki berusia 20 tahun.
Polis merampas 72.6 gram heroin dan 0.5 gram syabu dalam operasi itu, katanya menambah, seorang lagi lelaki ditahan di Taman Nilai, pulau itu pada 23 Jan dan merampas 100 gram heroin.

Tujuh Mangsa Dakwa Ditipu Peniaga Kereta Terpakai


Diterbitkan: Isnin, 26 Januari 2015 11:28 AM

KLANG: Tujuh individu berkumpul bersama-sama dengan mendakwa mereka ditipu oleh seorang peniaga kereta terpakai yang membeli kenderaan mereka.
Ng Yuan Hock, Dr Siti Syahirah Mohd Ridzwan, Ernest Quek Kien Hock, Ummi Najah Salam Mohammad Zabri, Lim Yee Boon, Mohd Zainorizam Mohammad dan Fisyah Zainon mendakwa kenderaan tersebut masih lagi berdaftar di bawah nama mereka walaupun sudah dijual kepada pihak ketiga.

Mereka mendakwa perjanjian sewa beli ditandatangani antara pembeli baharu dengan syarikat tersebut dan bukannya dengan bank.

Ketujuh-tujuh mangsa membuat laporan polis terhadap syarikat tersebut yang terletak di Kuala Lumpur.

Suami Dr Siti Syahirah, Wan Naazreen Idham Yakub, 28, berkata isterinya pergi ke pejabat jualan kereta pada Mac tahun lepas untuk menjual kereta model Ford Fiesta mereka.

"Namun dia diberitahu bahawa keretanya mempunyai pembeli berpotensi dan dia mengisi semua dokumen berkaitan termasuk borang pemindahan hak milik.

"Kami terkejut apabila menerima satu panggilan pada September lalu dari pusat perkhidmatan Ford di Kota Baru meminta kami untuk mengambil kereta kerana ia sudah habis diselenggara.

"Kami kemudiannya dimaklumkan oleh bank bahawa kereta tersebut masih lagi dibawah nama kami.

"Kami menuntut jawapan daripada wakil syarikat, dia mendakwa permohonan pembeli baharu ditolak dan mereka sedang mencari pembeli baharu yang lain," katanya.

Quek berkata dia menjual kereta Toyota Harriernya kepada syarikat yang sama pada Januari tahun lalu dan menerima sebanyak RM1,500, perbezaan daripada hasil jualan.

Namun, Quek diberitahu oleh bank bahawa dia masih ada baki pinjaman walaupun peniaga tersebut berjanji untuk menyelesaikan baki pinjaman sebanyak RM96,000.

Lima lagi mangsa lain turut mengalami nasib sama seperti Wan Naazreen dan Quek.

Perodua Viva Rempuh Bas, Dua Pelajar Kolej Maut


Diterbitkan: Isnin, 26 Januari 2015 1:02 PM

KUANTAN: Dua pelajar Kolej Shahputra Kuantan maut selepas Perodua Viva yang mereka naiki melanggar belakang sebuah bas ekspres di KM153.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuantan dekat Maran, tengah malam Ahad.
Mangsa yang maut ialah pemandu kereta Aimi Sarah Abd Hissam, 20, berasal dari Taman Muda Cheras, Kuala Lumpur dan penumpang hadapan, Nurul Aida Ahmad Tajuddin, 20, dari Setiawan, Perak.
Ketua Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang DSP Mohd Noor Yusof Ali berkata kemalangan berlaku pada 12.45 tengah malam semasa mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan.
"Sebaik tiba di tempat kejadian, dipercayai mangsa telah melanggar bahagian belakang bas ekspres yang berhenti di lorong kecemasan.
"Akibat rempuhan itu, kedua-dua mangsa mati di tempat kejadian kerana parah di kepala dan badan," katanya ketika dihubungi di sini, Isnin.
Beliau berkata siasatan awal mendapati bas terbabit berhenti di lorong kecemasan kerana seorang penumpang tiba-tiba mengalami sakit perut dan terdesak hendak membuang air besar.
Mohd Noor berkata, bagaimanapun pemandu bas terbabit bersama semua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mangsa Banjir Di Sarawak Meningkat


Diterbitkan: Selasa, 27 Januari 2015 2:06 PM

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Sarawak terus meningkat tengah hari Selasa kepada 1,326 orang berbanding 1,153 mangsa pagi tadi, dengan dua lagi pusat pemindahan dibuka di Sibu.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak berkata kesemua 392 keluarga itu ditempatkan di lapan pusat pemindahan, termasuk dua pusat di Sibu.
Katanya, dua pusat di Sibu yang dibuka itu menempatkan seramai 227 mangsa daripada 45 keluarga dari Rumah Janting dan Rumah Gansau dalam daerah Selangau.
Di Bintulu kekal 744 mangsa banjir daripada 245 keluarga, Samarahan (54 orang), Mukah (66 orang), dan Limbang (235 orang).
Di SABAH, menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Beaufort, mangsa banjir tengah hari ini kekal 47 orang daripada 10 keluarga yang ditempatkan di satu pusat pemindahan di Dewan Baru Membakut.

Sekat halaman hina Nabi


Protes di ibu pejabat akhbar Cumhuriyet yang menerbitkan artikel Charlie Hebdo, 14 Januari lalu.
Protes di ibu pejabat akhbar Cumhuriyet yang menerbitkan artikel Charlie Hebdo, 14 Januari lalu.
ANKARA - TURKI .Sebuah mahkamah di Turki mengarahkan laman sosial, Facebook supaya menyekat halaman berunsur provokasi yang menghina Nabi Muhammad SAW, menurut media tempatan, kelmarin.

Stesen penyiar TRT melaporkan arahan itu dikeluarkan selepas perkara itu disuarakan oleh pihak pendakwa raya di negara terbabit.

"Mahkamah turut mengancam untuk menghentikan akses seluruh laman sosial terbabit jika mereka ingkar dengan arahan tersebut," jelas laporan itu lagi.

Difahamkan, ia adalah langkah terbaharu diambil Ankara dalam usaha untuk membendung penyebaran sebarang bahan yang boleh menyinggung perasaan orang Islam.

Awal bulan lalu, pendakwa raya melancarkan siasatan ke atas beberapa media cetak yang didakwa mencetak semula beberapa kandungan daripada majalah satira Perancis, Charlie Hebdo. - Reuters

PBB kutuk pembunuhan tebusan Jepun


Pembunuhan Yukawa (kanan) didakwa disebarkan melalui sebuah video.
Pembunuhan Yukawa (kanan) didakwa disebarkan melalui sebuah video.
NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT . Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk pembunuhan seorang tebusan di Jepun oleh kumpulan militan Negara Islam (IS) dan menggesa pembebasan tebusan kedua.

Dalam akuan sebulat suara itu, 15 anggota majlis keselamatan menyelar kezaliman kumpulan tersebut terhadap pembunuhan Haruna Yukawa.

"Majlis Keselamatan mengutuk perbuatan yang keji dan pengecut. Keganasan yang tidak bertoleransi dan kebencian mesti dihapuskan," menurut agensi itu dalam satu kenyataan.

Katanya lagi pembunuhan Yukawa adalah jenayah dan peringatan tentang keadaan bahaya di Syria setiap hari termasuk untuk pengamal media. - Channel News Asia

Amaran ribut salji tebal


27 Januari 2015


WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT . Pihak berkuasa di Timur Laut Amerika Syarikat, semalam memberi amaran ribut yang didakwa boleh menyebabkan kemusnahan besar selepas Boston dan New York dilitupi salji setebal 1 meter.

Ribut salji tersebut dijangka melanda utara New Jersey, selatan Connecticut, Rhode Island dan beberapa bahagian di Massachusetts.

Kelmarin, Datuk Bandar New York, Bill de Blasio turut memberi peringatan kepada semua penduduk supaya bersedia untuk menghadapi ribut salji yang paling buruk dalam sejarah kota metropolitan itu.  - AFP

Mesir kembali berdarah


Protes di beberapa bandar utama bertukar ganas selepas pihak berkuasa bertindak melepaskan gas pemedih mata.
Protes di beberapa bandar utama bertukar ganas selepas pihak berkuasa bertindak melepaskan gas pemedih mata.
KAHERAH - MESIR . Sekurang-kurangnya 18 termasuk tiga anggota polis terbunuh dalam insiden pertempuran ganas antara pasukan keselamatan dan kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan ketika sambutan ulang tahun ke-4 revolusi kebangkitan rakyat di negara itu, kelmarin.

Kementerian Kesihatan melaporkan puluhan penunjuk perasaan turut cedera selepas pihak berkuasa bertindak melepaskan tembakan dan gas pemedih mata sebagai langkah untuk menyuraikan mereka yang sedang berarak menuju ke Dataran Tahrir di ibu negara.

Difahamkan, kawalan keselamatan turut diperketat di Kaherah dan beberapa bandar utama lain selepas kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan menggesa supaya mengadakan protes mengutuk pemerintahan Presiden Abdel Fattah al-Sisi.

Dalam kejadian berasingan, sebutir bom dilaporkan meletup di kejiranan Alf Maskan di timur Kaherah dan ia dipercayai didalangi kumpulan militan, Ajnad Misr.

Dua suspek militan turut terkorban selepas mereka secara tidak sengaja meletupkan diri sendiri ketika cuba untuk mensabotaj menara elektrik di Delta Nil di wilayah Baheira.

Ketegangan meningkat di ibu negara selepas seorang penunjuk perasaan wanita maut ketika bertempur dengan pihak berkuasa sehari sebelum sambutan ulang tahun tersebut. - AFP

Pencuri cantik tumpas


Andrea Torres
Andrea Torres
Pencuri cantik tumpas

KECANTIKAN memang aset yang paling berharga bagi seorang wanita dan Andrea Torres memang tahu bagaimana untuk memanfaatkannya.

Berbekalkan wajah cantik, Andrea, 28, menggunakan asetnya itu untuk memecah masuk kira-kira 300 apartmen di sekitar Bogota, Colombia.

Modus operandinya ialah menggoda pengawal keselamatan bagi membenarkannya masuk ke kawasan apartmen yang menjadi sasaran.

Ada kalanya, dia berjaya meyakinkan pengawal keselamatan bahawa dia adalah teman wanita kepada pemilik apartmen yang kehilangan kunci rumah. Bagaimanapun, baru-baru ini taktik liciknya tidak berjaya apabila ditahan ketika cuba memecah masuk sebuah apartmen di pinggir Bogota.

Difahamkan, Andrea pertama kali dipenjarakan atas kesalahan mencuri pada usia 17 tahun.

Ketika di penjara, dia memenangi pertandingan ratu cantik bagi banduan wanita. - Mirror

Budak ditembak di kepala sempat telefon polis


NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Seorang kanak-kanak perempuan yang ditembak di kepala menembusi mata, sempat menelefon, membuka pintu dan bercakap dengan polis.
 
Kes tembak
Dalam kejadian Sabtu lepas, Jonathon Walker, 34, dilaporkan menembak dua anak perempuannya, teman wanita dan ibu teman wanita sebelum dijumpai mati membunuh diri.
 
Mangsa yang maut dikenali sebagai Kayla Walker, 7, ibu teman wanita, Viola Warren, 62, dan teman wanita, Shantai Hale, 31
 
Menurul Yahoo News, kanak-kanak tersebut yang berumur 12 tahun, dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
 
Polis masih menyiasat pembunuhan ngeri tersebut.

Pesawat mendarat dengan sebelah tayar


A320 Air France Airbus didakwa mengalami masalah ketika mendarat di Lapangan Terbang Birmingham.
A320 Air France Airbus didakwa mengalami masalah ketika mendarat di Lapangan Terbang Birmingham.
BIRMINGHAM – BRITAIN. Bagi mana-mana individu yang takut untuk berada di atas awan, anda dinasihati untuk tidak menonton video ini.

Beberapa klip video kini muncul dan tersebar di media internet dan laman sosial, memaparkan beberapa buah pesawat berasingan menghadapi kesulitan untuk mendarat di Lapangan Terbang Birmingham berikutan angin kencang melanda kawasan tersebut kira-kira dua minggu lepas.

Sebuah video berdurasi dua minit 27 saat menunjukkan sebuah pesawat Flybe melakukan pendaratan sukar di landasan lapangan terbang tersebut berikutan gelora angin kencang yang dihadapi.

Pada minit pertama, penonton video dapat menyaksikan pesawat tersebut ‘bergelut’ untuk mendarat di landasan terbabit.

Setelah hampir 30 saat cuba mengimbangi kedua tayar, pesawat berkenaan terpaksa menangguhkan pendaratannya.

Sebuah lagi pesawat A320 Air France Airbus turut menghadapi masalah yang sama ketika melakukan pendaratan di lapangan terbang berkenaan.

Memetik laporan daripada portal berita The Indipendent, lapangan terbang tersebut pernah berhadapan dengan masalah yang sama sebelum ini.

Menurut laporan tersebut lagi, sebuah pesawat Turkish Airlines Boeing 737 didakwa terpaksa membatalkan pendaratan berikutan angin kencang yang dihadapi pada Ogos tahun lepas, manakala penerbangan Emirates dari Dubai pula mencatatkan dua kegagalan untuk mendarat pada Disember 2013 atas masalah yang sama.

Bagaimanapun, jurucakap pihak pengurusan Lapangan Terbang berkenaan menafikan dakwaan tersebut.

Menurutnya, walaupun keadaan cuaca tidak menentu, lapangan terbang terbabit tidak mencatatkan sebarang insiden kemalangan.

"Seperti semua lapangan terbang United Kingdom, Lapangan Terbang Birmingham juga mengalami keadaan cuaca yang mencabar sekali-sekala, tetapi pesawat kekal mendarat dengan selamat tanpa insiden,” katanya seperti yang dipetik menerusi laporan portal terbabit.

Lapangan Terbang Birmingham merupakan salah satu lapangan terbang tersibuk di dunia dengan pengendalian lebih daripada 9.7 juta penumpang.

Lapangan Terbang tersebut turut mencatatkan peningkatan sebanyak 6.5 peratus berbanding tahun 2013.

15 maut pertempuran sambut ulang tahun revolusi Mesir



PENUNJUK perasaan anti-kerajaan membantu rakan mereka yang mengalami kecederaan selepas bertempur dengan penunjuk perasaan yang menyokong kerajaan di Kaherah hari ini. - Foto Reuters
KAHERAH: Pertempuran antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan menyebabkan sekurang-kurangnya 15 terbunuh dalam sambutan ulang tahun Revolusi Mesir 2011 sempena penggulingan Hosni Mubarak.
Ini susulan tindakan pasukan keselamatan mengetatkan kawalan di Kaherah dan beberapa bandar lain selepas penganut Islam melancarkan tunjuk perasaan terhadap Presiden, Abdel Fattah al-Sisi, bekas ketua tentera yang menyingkirkan bekas Presiden, Mohamed Morsi pada 2013.
Penunjuk perasaan yang majoritinya beragama Islam yang menyokong Morsi, bertempur dengan anggota polis, menyebabkan 13 penunjuk perasaan maut di Kaherah dan Alexandria.
Seorang pegawai kerajaan berkata, seorang penunjuk perasaan ini di Alexandria ditembak mati oleh polis selepas mangsa melepaskan tembakan ke arah mereka.
Beratus penunjuk perasaan bertempur dengan polis di tengah Bandaraya Kaherah.
Kementerian Dalam Negeri berkata, penunjuk perasaan ditembak mati selepas bertempur di dua kawasa kejiranan di utara Kaherah, kawasan yang dikuasai penunjuk perasaan beragama Islam.
Di tengah Kaherah pula, anggota polis terpaksa melepaskan tembakan di udara dan menyembur gas pemedih mata terhadap ratusan penunjuk perasaan yang berkumpul di Dataran Tahrir yang menjadi kawasan utama ketika revolusi menggulingkan Mubarak pada 2011.
Kenderaan perisai tentera juga dikerah berjaga-jaga di sekitar Dataran Tahrir. - AP

Sekat halaman hina Rasulullah

Ankara: Sebuah mahkamah Turki memerintahkan Facebook menyekat mana-mana halaman yang dianggap menghina Nabi Muhammad SAW.
Media semalam melaporkan, arahan itu dikeluarkan hakim selepas dia membenarkan permohonan seorang pendakwa.
Namun, sehingga malam tadi, rangkaian media sosial yang diasaskan Mark Zuckerberg itu belum memberikan sebarang kenyataan berhubung perintah berkenaan.
Langkah terbaru itu dilihat sejajar dengan corak pemerintahan presiden Recep Tayyip Erdogan yang cenderung ke arah Islam walaupun Turki masih mempertahankan perlembagaan sekular. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 5:05 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/26548#sthash.xU2SKmEQ.dpuf

PM Britain ditipu pemabuk

London
Seorang lelaki mabuk berjaya menghubungi Perdana Menteri David Cameron selepas menyamar sebagai ketua risikan Britain.
Lelaki itu menghubungi tabloid The Sun dan sambil ketawa menceritakan bagaimana dia berjaya menipu agensi pemantauan GCHQ sehingga dapat bercakap dengan ketuanya, Robert Hannigan.
Dia kemudian melakukan satu lagi panggilan - kali ini ke pejabat Cameron di Downing Street - dengan menyamar sebagai Hannigan.
“Habis GCHQ ditipu bulat-bulat. Saya berjaya mendapatkan nombor telefon bimbit pengarahnya walaupun mabuk.
“Saya tidak tidur sepanjang malam dan sepanjang perbualan itu gagal bercakap dengan rasional. Memang lawak!” katanya.
Rekod mengesahkan seorang pemanggil - kononnya Hannigan - menghubungi Downing Street sebelum disambungkan ke telefon bimbit rasmi Cameron.
Pihak berkuasa menegaskan tiada kebocoran maklumat sensitif dalam kejadian Ahad lalu itu, namun sudah pasti ia menampakkan prosedur keselamatan yang terlalu longgar.
Jurucakap kerajaan berkata, dalam kes pertama, panggilan telefon dibuat kepada GCHQ dan nombor telefon bimbit pengarah ‘terlepas.’ Namun nombor itu tidak pernah digunakan untuk maklumat rahsia.
“Dalam kejadian kedua, pemanggil yang kononnya pengarah GCHQ disambungkan kepada perdana menteri namun beliau menamatkan panggilan itu kerana nyata ia penipuan,” katanya.
Dia menegaskan GCHQ dan Downing Street memandang serius kejadian itu dan kini menyemak semula prosedur digunakan untuk mengelak kejadian berulang.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 5:05 AM


Cameron
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/26544#sthash.C8RUCkbj.dpuf

Pengacara muzik dipenjara, sebat rosakkan harta awam

Singapura: Ketua kumpulan Prinsep Link yang terbabit dalam kes vandalisme dijatuhi hukuman penjara 24 bulan dan tiga sebatan, lapor media semalam.
Pengacara muzik bebas, Danial Ryan Salleh, 26, mengaku bersalah melakukan kerosakan pada tiang Sunshine Plaza bersama tiga rakannya.
Dia juga menghadapi dua tuduhan mencuri, melakukan seks bawah umur dan mencederakan pemandu teksi.
Sepuluh kesalahan lain akan dipertimbang ketika hukuman dijatuhkan.
Dua rakan Danial ialah Muhammad Qamarul Arifin Sa’adon, 23, dan Muhammad Fadzly Aziz, 22, masing-masing dihukum penjara dua bulan dan tiga sebatan Ogos lalu selepas disabitkan kesalahan vandalisme.
Mahkamah diberitahu, kumpulan itu berada di luar perhentian bas sepanjang Orchard Road selepas menonton wayang pada 4 November 2013 apabila Danial mendakwa menerima panggilan daripada seseorang yang mengaku sebagai pembantu ketua kumpulan penggodam Anonymous.
Pemanggil dari Switzerland itu mengarahkannya menyembur perkataan “We Are One. We Are Legion. We Will Never Forgive. We Will Never Forget. Expect Us.”
Mereka kemudian membeli dua tin cat kekal dari Mustafa Centre. Ketika melalui Sunshine Plaza kira-kira jam 4 pagi, Danial menggunakan cat hitam untuk membuat grafiti pada tiang manakala Qamarul, Fadzly dan Muhammad Fitri Abu Kasim, 25, bertindak sebagai peninjau.
Fitri diberi amaran bersyarat 12 bulan.
Danial turut mengadakan hubungan seks tanpa perlindungan dengan gadis berusia 15 tahun selepas berkenalan melalui Twitter pertengahan November 2013. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 5:06 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/26551#sthash.jAwCY695.dpuf

Pemangsa wanita tua terus mengganas

Nakhon Pathom: Perogol bersiri yang memiliki nafsu terhadap wanita warga emas menyerang lagi untuk kali ke-10, kata polis semalam.
Mangsa terbaru lelaki misteri itu ialah wanita berusia 73 tahun.
Penolong Pesuruhjaya Polis Thailand, Sopon Pisuttiwong berkata, lelaki terbabit juga melarikan beberapa barangan berharga milik mangsa.
“Polis akan mengepung kawasan sekitar 10 kilometer dari tempat mangsa terbaru itu diserang dan yakin suspek dapat ditangkap tidak lama lagi,” katanya di sidang media semalam.
Sebelum ini polis mendedahkan memburu perogol bersiri yang menyasarkan wanita warga emas untuk memuaskan nafsunya.
Kata polis, hampir semua mangsa berusia 70-an dan dua daripada mereka mati dibunuh.
Sopon berkata, polis yakin dapat menangkap suspek kerana bukti terbaru menunjukkan lelaki terbabit semakin hampir dikesan.
Dalam kejadian terbaru semalam, anak lelaki mangsa berkata, dia tidur di sawah 300 meter dari rumahnya dan terkejut apabila mendapati ibunya keluar dari rumah sambil menangis.
Ibu mangsa memberitahu seorang lelaki memecah masuk ke rumah dan mengacukan pisau sebelum merogolnya.
Penyerang turut mencuri barang berharga dan membunuh anjing mereka dengan racun. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 5:06 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/26552#sthash.dC6s1Gta.dpuf

49 terbunuh MILF polis bertempur

Manila: Sekurang-kurangnya 49 anggota komando polis terbunuh ketika bertempur dengan kumpulan pemberontak Islam di selatan kelmarin.
Pertempuran selama 11 jam itu tercetus selepas polis memasuki bandar terpencil Mamasapano kira-kira jam 3 pagi tanpa memaklumkannya terlebih awal.
Ia dianggap melanggar perjanjian gencatan senjata dicapai kerajaan dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) sebelum ini.
Jurucakap polis berkata, mayat 49 anggota polis terbabit sudah dipindahkan ke kem tentera.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan jumlah kematian di pihak MILF.
Jurucakap itu berkata, polis memburu dua suspek pengganas berprofil tinggi dalam operasi berkenaan.
Sementara itu, perunding damai MILF, Mohagher Iqbal berkata, perkembangan terbaru itu akan memberi kesan besar terhadap proses keamanan di selatan Filipina.
“Pihak berkuasa memburu pemimpin Jemaah Islamiah serantau, Zulkifli Hir, yang dikehendaki Amerika Syarikat,” katanya.
Zulkifli adalah warga Malaysia yang diburu pihak berkuasa AS dengan janji habuan sebanyak AS$5 juta (RM18 juta).
Dia yang juga dikenali dengan nama Marwan adalah pakar membuat bom untuk kumpulan militan. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 5:06 AM


LELAKI Muslim tempatan menyorong basikalnya melepasi kereta perisai komando polis di Mamasapano, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/26556#sthash.JSXB59x9.dpuf

BANK CAP AYAM

Agensi
Nanjing
Sebuah koperasi luar bandar dilaporkan mengumpul deposit lebih 200 juta yuan (RM116 juta) daripada 200 pelanggan sejak tahun lalu dengan menyamar sebagai sebuah bank di wilayah Jiangsu.
Agensi berita Xinhua semalam melaporkan, koperasi itu dipersiapkan dengan baik dan tampil meyakinkan orang ramai sebagai sebuah bank berdaftar.
Antara kemudahan yang disediakan di situ ialah skrin LED, dokumen palsu dan kakitangan lengkap berpakaian seragam.
Menurut Xinhua, koperasi itu berjaya menarik ratusan pelanggan dengan memberi jaminan mereka akan mendapat pulangan faedah lebih tinggi daripada biasa.
Seorang pelanggan berkata, bangunan koperasi itu kelihatan sama seperti bank biasa.
“Bahagian depan, kaunter dan mesin giliran, semuanya dibuat dengan baik dan meyakinkan kami.
“Pengurus di situ pula sentiasa memastikan perkhidmatan diberi dengan baik.
“Saya sangat yakin ia benar-benar sebuah bank,” katanya.
Setakat ini, seorang wakil koperasi berkenaan dan empat pengurusnya telah ditahan bagi siasatan lanjut.
Polis menjangkakan lebih ramai mangsa akan tampil selepas terbongkarnya kes itu.
Jurucakap polis berkata, kebanyakan mangsa adalah golongan ahli perniagaan dari wilayah Zhejiang yang terletak bersebalahan Jiangshu.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 5:07 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/26558#sthash.gyCbL62a.dpuf

Pencuri jatuh depan polis

Houston: Sudah jahat, malang pula. Seorang pencuri mengalami nasib amat malang ketika dia cuba memecah masuk ke sebuah pasar raya semalam.
Jurucakap polis berkata, lelaki itu menyelinap ke pasar raya Family Dollar melalui bumbung bangunan terbabit.
Katanya, lelaki itu kemudian bersusah-payah merangkak untuk sampai ke bahagian siling.
Pada masa sama, pekerja pasar raya mengesyaki ada pencuri di atas siling dan menghubungi polis.
Ketika polis tiba untuk menyiasat, lelaki terbabit tiba-tiba terjatuh di depan anggota keselamatan.
Sebaik melihat suspek meraung kesakitan, pegawai terbabit terus menahannya di tempat kejadian.
Sumber berkata, suspek mencuri bersendirian dan memanjat pokok di bangunan bersebelahan untuk menyelinap masuk melalui lubang pada bumbung pasar raya itu.
“Polis mengesyaki suspek memecah masuk pasar raya itu untuk mencuri rokok,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 5:07 AM


POLIS berkawal di depan pasar raya ketika pencuri (dalam bulatan) terbaring di atas lantai
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/26560#sthash.1OfVTakW.dpuf

Sembilan jam padam api kebakaran


TAWAU – Pasukan bomba dan penyelamat terpaksa mengambil masa kira-kira sembilan jam untuk memadamkan kebakaran dua buah gudang simpanan kayu di Kilang Hap Seng Timber, Jalan Tanjung Batu Laut di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, api merebak dengan cepat kerana kesemua barang yang terdapat di kilang tersebut merupakan bahan mudah terbakar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Mohd. Razali Awang Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.12 pagi dan tiga jentera bomba dengan kekuatan 16 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
Menurut beliau, pasukannya dapat mengawal kebakaran sepenuhnya pada pukul 1.15 petang selepas kira-kira sembilan jam usaha memadam api dijalankan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3PyQuO1XG 
Hakcipta terpelihara 

Import ayam guna permit palsu



ABDUL LATIF (dua dari kiri) bersama pegawai JKDM menunjukkan ayam sejuk beku yang cuba dibawa masuk dari negara jiran menggunakan permit palsu di pejabat JKDM Kedah, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Hasrat dua lelaki untuk membawa masuk 15 tan ayam sejuk beku dari negara jiran menggunakan permit import palsu tidak kesampaian apabila kegiatan mereka ditumpaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) baru-baru ini.
Pengarah JKDM Kedah, Abdul Latif Abdul Kadir berkata, 1,250 kotak ayam tanpa tulang bernilai RM102,789 itu dirampas di Kompleks Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bukit Kayu Hitam dekat sini pada Rabu lalu.
Katanya, pihaknya melalui Cawangan Import/Eksport Bukit Kayu Hitam telah menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah lori kontena yang dikatakan membawa ayam sejuk beku dari Thailand pada pukul 10.30 malam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3PyQke8hG 
Hakcipta terpelihara 

‘Saya fikir saya sudah mati’



BEGINILAH keadaan pergelangan tangan kiri Pak Mat yang hampir putus selepas bergelut dengan seekor buaya di Sungai Saribas, Betong kelmarin.


BETONG – “Ketika sedang leka memancing, saya terkejut apabila seekor buaya tiba-tiba menerkam lalu menggigit tangan kiri saya.
“Entah daripada mana kekuatan yang saya peroleh, saya terus mencucuk matanya bertalu-talu dengan jari telunjuk kanan dan cuba mengorek biji matanya sebelum tangan saya dilepaskan buaya ganas itu.”
Itu detik cemas yang diceritakan oleh seorang nelayan yang dikenali sebagai Pak Mat, 45, yang hampir maut dibaham sang bedal itu ketika mencari rezeki di Sungai Saribas di sini kelmarin.
Ujar lelaki yang berasal dari Kampung Sebemban, Saribas di sini, insiden menakutkan itu berlaku ketika dia sedang menjala ikan di tebing sungai itu yang terletak kira-kira 1 kilometer dari kampungnya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3PyQP0ULM 
Hakcipta terpelihara