Search This Blog

Wednesday, January 21, 2015

Maut selepas main 'video games'


Gambar hiasan
Gambar hiasan
KAOHSIUNG - TAIWAN. Seorang lelaki dijumpai tidak bernyawa di sebuah kafe siber di sini selepas bermain permainan video.

Dalam kejadian 8 Januari lalu, Hsieh, 32, dilaporkan sudah meninggal dunia beberapa jam sebelum itu kerana mayatnya sudah mula mengeras.

Polis memberitahu, Hsieh berkemungkinan besar mengalami kegagalan jantung.

"Suhu sejuk dan kepenatan melampau dalam temph masa lama berkemungkinan besar antara penyebab kegagalan jantung Hsieh," kata polis.

Menurut laporan CNN, Hsieh mula bermain permainan video di kafe siber berkenaan pada 6 Januari.

Menurut Taipei Times, Hsieh merupakan pelanggan tetap kafe siber berkenaan, dan selalu menghabiskan masa berhari-hari bermain permainan video atas talian di situ.

Pemandu lori ikan maut rempuh pokok


Orang ramai mengutip ikan yang bertaburan selepas lori membawa muatan ikan terbabas sebelum melanggar pokok ru di Lembah Bidong, semalam.
Orang ramai mengutip ikan yang bertaburan selepas lori membawa muatan ikan terbabas sebelum melanggar pokok ru di Lembah Bidong, semalam.
SETIU - Seorang pemandu lori yang membawa muatan ikan maut selepas lori yang dipandunya terbabas lalu merempuh sebatang pokok ru di Kilometer 35.9 Jalan Pantai Kuala Terengganu - Kampung Raja dekat Lembah Bidong, semalam.

Kejadian kira-kira jam 3.10 pagi itu menyebabkan Mohd Azrul Hisham, 32, maut di tempat kejadian, manakala kelindan, Mohd Azuhar Mohd Rosli, 22, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, kejadian berlaku apabila lori dipandu mangsa terbabas ke kanan sebelum merempuh pokok ru menyebabkan bahagian kanan lori remuk teruk.

“Mangsa yang tersepit cedera parah di kepala dan badan, maut di tempat kejadian sementara kelindannya hanya cedera ringan,” katanya.

Mohd Azrul dari Projek Kandis, Telong, Bachok Kelantan dikatakan dalam perjalanan menghantar ikan ke Kuala Terengganu sementara kelindannya dari Tawang, Bachok.

Mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Besut untuk bedah siasat dan Mohd Azuhar mendapat rawatan di hospital sama.

Sementara itu, orang ramai mengambil kesempatan mengutip ikan yang bertaburan di tempat kejadian.

Bapa maut, anak parah


Kereta dinaiki tiga beranak terperosok bawah lori.
Kereta dinaiki tiga beranak terperosok bawah lori.
BANDAR KUALA KANGSAR - Seorang lelaki maut, manakala anak gadisnya parah setelah kereta dinaiki gagal mengelak sebuah lori yang mengubah laluan di Kilometer 257.3 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara), kira-kira jam 6.30 petang, kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa, Mohd Raimi Ab Talib, 57, yang duduk di bahagian penumpang hadapan maut serta-merta di tempat kejadian, manakala anaknya, Intan Munira, 17, parah dan dihantar ke Hospital Ipoh untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, seorang lagi anak mangsa, Mohd Azrul, 23, duduk di bahagian penumpang belakang tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ghuzlan Salleh berkata, berdasarkan siasatan awal, lori yang membawa muatan perabot itu dipercayai dari Ipoh menghala ke Alor Setar, manakala kereta mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke lokasi sama.
Menurutnya, kereta Perdana dipandu Intan Munira gagal mengelak lori yang membawa muatan perabot berkenaan yang mengubah laluan ke lorong kanan disebabkan penutupan lorong kiri jalan berikutan kerja naik taraf lampu di kawasan itu.

"Rempuhan itu menyebabkan kereta dinaiki tiga beranak berkenaan terperosok bawah lori.

"Pemandu dan penumpang hadapan kereta terbabit tersepit. Mohd Raimi maut di tempat kejadian, pemandunya parah sementara penumpang di belakang tidak cedera," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan, termasuk membuat pemeriksaan sama ada pemandu kereta terbabit mempunyai lesen atau tidak.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat," katanya.

Lelaki didenda RM6,000 akibat tunjuk kemaluan


WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Januari 2015


KUANTAN - Seorang lelaki warga Indonesia berstatus penduduk tetap terpaksa menanggung akibat atas tindakan tidak senonohnya apabila sengaja menunjukkan kemaluan kepada seorang gadis di sini penghujung tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Hesim Abdullah, 50 beralamat di Puchong, Selangor dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan atas kesalahan itu 16 Disember tahun lalu bagaimanapun ketika itu dia mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Dia yang hadir ke mahkamah untuk sebutan kes tersebut semalam akhirnya akur dengan kesalahan yang dilakukan apabila memilih untuk  mengaku bersalah sebelum dihukum denda RM6,000 atau lapan bulan penjara jika gagal menjelaskan denda tersebut.

Hukuman ke atas tertuduh diputuskan Majistret Noor Aisah Mohamed manakala pendakwaan diwakili Pegawai pendakwa Inspektor Boon Chun Yee.

Berdasarkan fakta kes, mangsa, seorang pelajar berusia 15 tahun ketika kejadian berada di belakang rumah untuk mengambil serai.

Dalam kejadian di belakang sebuah rumah di Lorong IM12/12, Alam Perdana, Bandar Indera Mahkota  di sini kira-kira jam 12.15 tengah hari, 9 Disember 2014 itu, gadis terbabit terpandang tertuduh ketika hendak masuk ke dalam rumah.

Mangsa mendakwa terpandang tertuduh menunjukkan kemaluan ke arahnya bagai tujuan mengaibkan.

Ekoran perbuatan tertuduh itu, gadis terbabit bersama keluarga membuat laporan polis sehingga membawa kepada penahanan lelaki tersebut.

Tertuduh dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam rayuannya sebelum itu, tertuduh merayu agar hukuman ke atasnya diringankan dan memohon agar mahkamah hanya mengenakan hukuman denda.

Menurutnya, dia hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan kira-kira RM45 sehari dan hasil gajinya itu digunakan untuk menyara isteri dan enam anak.

Ketika ditanya mahkamah sama ada dia mampu untuk menjelaskan denda, tertuduh diam seketika bagaimanapun selepas itu dia memaklumkan akan meminta saudara menjelaskan denda tersebut.

Buang bayi: Pelajar ditahan


Laporan Sinar Harian, semalam.
Laporan Sinar Harian, semalam.
KOTA BHARU - Seorang pelajar berusia 17 tahun ditahan berhubung kes buang bayi di Kampung Gual Nering, Rantau Panjang, di sini, petang kelmarin.

Pelajar terbabit ditahan kira-kira jam 2.30 petang selepas laporan polis dibuat oleh seorang lelaki berusia 43 tahun yang menjumpainya berhampiran rumah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim mengesahkan menerima laporan tangkapan terbabit.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan polis Kelantan masih menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan yang berlaku pada 24 Disember lalu ketika musim banjir.

Bayi lelaki seberat 3.2 kilogram itu ditemui dalam bungkusan dan berada dalam keadaan sihat.

[ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat kes jumpa bayi depan rumah]

Pekerja gores dan menang didakwa


Pekerja syarikat gores dan menang yang berdepan tuduhan hadir di mahkamah, semalam.
Pekerja syarikat gores dan menang yang berdepan tuduhan hadir di mahkamah, semalam.
SEREMBAN – Seramai 32 pekerja syarikat gores dan menang termasuk tiga wanita dan tiga remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, di sini semalam.
Kesemua mereka didakwa secara berasingan atas pertuduhan menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa memiliki lesen perniagaan yang sah pada tarikh, waktu dan lokasi berbeza.

15 daripada tertuduh iaitu Leong Weng Khee, 19, Lai Jai Hing, 20, Goh Teck Hoe, 25, Yong Boon Kit, 22, Lee Mun Fai, 25, Jonathan Ting Zhi Haw, 22, Anthony Yoong Wee Ann, 31, Alex Lim Wee Yeow, 26, Lim Wei Zhang, 20, Teh Yong Xin, 19, Sim Zhi Chun, 25, Yap Yeong Sen, 32, Wai Fu Tian, 19, Sei Keh Hoo, 19, dan Yee Mei Teng, 20, yang masing-masing dituduh secara berasingan membuat pengakuan bersalah selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan di hadapan Majistret Siti Khairiah Abd Razak.

Kesemua mereka yang tidak diwakili peguam memohon agar mahkamah memberikan hukuman minima berikutan ia kesalahan pertama mereka.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Siti Khairiah memberikan peringatan supaya tidak memandang mudah akan kesalahan berkenaan dan perlu jadikan pengajaran.

Siti Khairiah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama sehari dan denda RM100 setiap seorang. Sekiranya gagal membayar denda berkenaan, tertuduh boleh dikenakan penjara 14 hari.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, seramai 15 lagi tertuduh turut membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret K B Elena Hong Tze Lan.

Mereka ialah Wong Tze Yee, 21, Chia Yong Yoo, 22, Wong Chee Kit, 27, Yee Chee Chun, 32, Lee Yong Sian, 23, Wong Chin Hao, 29, Kong Kok Siong, 22, Lye Chooi Fun, 21, Paul Yong Yung Chen, 22, Lai Jai Hing, 20, Tee See Yew, 20, Khoo Wai Mun, 29, Hoo Li Hoon, 26, dan Lee Ching Hong, 28, termasuk seorang yang dituduh sebelum ini, Leong Weng Khee, 19.

Tertuduh diwakili peguam Paul Krishnaraja merayu agar hukuman ringan diberikan kerana kesalahan terbabit adalah kesalahan pertama.

Elena bagaimanapun menjatuhkan hukuman denda RM100 setiap seorang dan sekiranya gagal membayar denda itu, mereka boleh dipenjara tiga hari.

Manakala, di Mahkamah Juvana di sini, tiga remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun dibebaskan dengan ikat jamin RM300 setiap seorang dan kes akan disebut semula pada 23 Februari depan bagi menunggu laporan sosial.

Mengikut kepada kertas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, mereka didakwa sedang menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa memiliki lesen perniagaan sah dan terdapat bilangan keping kad baucar ‘super sales’ dalam simpanan berbeza jumlah bagi setiap tertuduh.

Perbuatan itu dilakukan pada tarikh, waktu dan lokasi berbeza antara 12.30 tengah hari hingga 6 petang pada 24 Disember hingga 9 Januari lalu di beberapa pasar raya seperti Kipmart Lavender Height, Econsave Taman Forest Height, Tesco Seremban Jaya, Giant Senawang dan Tesco Seremban 2.

Buruh dipenjara 7 tahun


Mohammad Fuaad dikawal polis keluar dari mahkamah untuk dihantar ke penjara bagi menjalani hukuman yang diputuskan.
Mohammad Fuaad dikawal polis keluar dari mahkamah untuk dihantar ke penjara bagi menjalani hukuman yang diputuskan.
KOTA BHARU - Padah rompak lori dan melanggar pemiliknya dengan sebuah motosikal, seorang buruh dihukum penjara tujuh tahun dan tiga sebatan oleh mahkamah sesyen, di sini, semalam.

Mohammad Fuaad Mhd Din, 24, didakwa merompak lori jenis Isuzu milik Seli Ismail, 49, di Kampung Tukol, Peringat, Melor, pada jam 3.30 pagi, 27 Januari tahun lalu.

Ketika kejadian, mangsa bersama keluarga sedang tidur dan tersedar apabila bunyi penggera dan enjin lori dihidupkan, menyebabkan dia keluar dan terus mengejar serta memanjat lori yang dipandu tertuduh.Pada masa sama, beberapa penunggang motosikal mengekori lori berkenaan.

Tertuduh terus memandu dan berhenti berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Chengal, Ketereh dan  mengarahkan mangsa turun tetapi dia enggan lalu tertuduh melastik kepala mangsa dengan batu.

Mangsa yang turun dari lori dipukul di bahu dengan besi oleh tertuduh.

Ketika sedang bergelut, empat lagi lelaki yang menunggang motosikal melanggar mangsa dan memijak kakinya sebanyak dua kali hingga patah kaki. Tertuduh dan rakannya lari bersama lori terbabit,  sementara mangsa yang ditinggalkan menghubungi keluarganya.

Dua jam selepas rompakan, lori itu berjaya ditahan di Kompleks Imigresen Rantau Panjang ketika sedang melalui jalan keluar ke Thailand.

Selain hukuman itu, Hakim, Mohd Yusoff Yunus turut memerintahkan tertuduh membayar pampasan RM2,000 kepada mangsa atau kegagalan membayarnya akan menyebabkan tertuduh dihukum penjara tambahan selama 45 hari.

Eksekutif pemasaran mengaku tidak bersalah tipu


 Muhamed Thajudeen (tengah) tiba di mahkamah semalam diiringi oleh pegawai SPRM.
Muhamed Thajudeen (tengah) tiba di mahkamah semalam diiringi oleh pegawai SPRM.
SHAH ALAM - Seorang eksekutif pemasaran syarikat kawalan keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam terhadap empat pertuduhan menipu RM18,000, empat tahun lalu.

Muhamed Thajudeen Mohd Meerah @ Mustaffa, 44, didakwa menipu Zulaiha Be Kamaldeen, Siti Aisah Ahmad Sapial dan Mohd Ainur Jamil untuk mempercayai bahawa dia boleh menyelesaikan kes tangkapan terhadap Muhammad Faizal Mohd Farook dan Mohd Ainur atas kesalahan samun pada 27 Oktober 2009.

Dia juga didakwa menipu Siti Aisah untuk membersihkan nama daripada kesalahan samun oleh Ibu Pejabat Daerah Gombak pada 27 Oktober 2009.

Perbuatan itu mendorong Zulaiha Be dan Siti Aisha menyerahkan wang berjumlah RM18,000 kepadanya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah Apartmen Taman Setia dan di bawah pitu gerbang Kampung Melayu batu 16, Rawang serta di luar perkarangan Mahkamah Sesyen Ampang antara 29 November dan 13 Disember 2011.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Mohamed Heikal Ismail mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan di baca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Mohamed Heikal mencadangkan jaminan RM40,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimana pun, Muhamed Thajudeen memohon mahkamah membenarkan wang jaminan yang rendah atas alasan tidak berkemampuan.

"Saya menghidap diabetis dan tidak mampu untuk bayar jamin," katanya sambil menangis di kandang pesalah.

Hakim, Datuk Noradidah Ahmad membenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Februari untuk sebutan semula kes.

Budak 5 tahun tertembak bayi 9 bulan di kepala


- Gambar hiasan
- Gambar hiasan
MISSOURI - AMERIKA SYARIKAT. Seorang kanak-kanak lelaki 5 tahun dilaporkan menembak adiknya, bayi berusia 9 bulan di kepala.

Menurut laporan CNN, ibu kanak-kanak tersebut menelefon 911 dan mengatakan bayi tersebut ditembak menggunakan senapang paintball.

Senjata yang digunakan merupakan sepucuk pistol Magnum berkaliber .22.

Pegawai polis memberitahu, kejadian tersebut dianggap kemalangan dan tiada motif pembunuhan.

Sheriff Darren White memberitahu CNN bahawa bayi tersebut berada dalam kurungan bayi ketika abangnya terjumpa pistol tersebut di atas sebuah katil.

Petugas kecemasan mengesahkan bayi tersebut ditembak di kepala dan disahkan meninggal dunia.

Kejadian yang dilaporkan berlaku Isnin lepas merupakan salah satu kes penggunaan senjata api berprofil tinggi oleh kanak-kanak.

Sebelum ini, kanak-kanak berumur 4 tahun membunuh sepupunya menggunakan pistol yang dijumpai di bawah katil.

Bulan lepas, seorang kanak-kanak berumur 2 tahun menembak ibunya menggunakan pistol yang dijumpai di dalam beg ibunya.

Pada Ogos 2014, seorang jurulatih maut selepas terkena tembakan kanak-kanak berumur 9 tahun semasa latihan menembak.

Mangsa banjir Sabah meningkat, negeri lain kekal


Banjir
KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di Sabah tengah hari ini meningkat kepada 1,131 orang berbanding 976 orang pagi tadi manakala Sarawak mencatat penurunan kepada 6,350 orang berbanding 8,218 orang.

Bagi Kelantan dan Perak, jumlah mangsa kekal seperti pagi tadi iaitu masing-masing 255 dan 78 orang.

Di SABAH, Pengawai Daerah Beaufort Shahid Othman berkata, setakat ini, 518 orang daripada 182 keluarga berada di pusat pemindahan banjir di daerah berkenaan.

Penolong Pegawai Daerah Membakut Sainudin Ismail pula berkata, jumlah mangsa banjir di daerah kecil Membakut ialah 319 orang daripada 107 keluarga manakala jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menyatakan jumlah mangsa  banjir di Tenom ialah 262 orang daripada 75 keluarga.

Menurut JPAM jumlah mangsa banjir di Sipitang ialah 32 orang daripada tiga keluarga.

Walaupun bacaan paras air Sungai Padas semakin menurun di Beaufort iaitu 9.41 meter dan 177.75 meter di Tenom, ia masih di atas paras bahaya.

Di SARAWAK, jumlah mangsa banjir berkurangan di Kuching dengan mangsa yang dipindahkan berjumlah 3,396 orang berbanding 4,817 orang pagi tadi.

Selain itu, empat lagi pusat pemindahan ditutup menjadikan sebanyak 22 pusat masih dibuka di Kuching.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak berkata, bahagian Samarahan turut menunjukkan penurunan mangsa daripada 2,079 orang pagi tadi kepada 1,598 orang pada tengah hari dengan jumlah pusat pemindahan kekal sebanyak 13 buah.

Bagaimanapun, bahagian Mukah menyaksikan satu lagi pusat pemindahan dibuka menjadikan jumlah mangsa yang dipindahkan ke dua pusat pemindahan di bahagian itu meningkat daripada 78 kepada 112.

Di Limbang pula, jumlah mangsa masih 1,244 orang sama seperti pagi tadi.  

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 32 sekolah di seluruh Sarawak masih ditutup manakala 44 buah lagi sedang dipantau setelah kawasan sekitarnya sudah digenangi air.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir kekal 78 orang daripada 19 keluarga iaitu 44 orang di Perak Tengah dan 34 orang di Hulu Perak, kata jurucakap MKN Perak.

Di KELANTAN, bilangan mangsa banjir juga kekal 255 orang daripada 62 keluarga di lapan pusat pemindahan di Kuala Krai.

Jurucakap MKN Kelantan berkata, sehingga 8 pagi tadi, kesemua mangsa masih ditempatkan di dewan sekolah, kilang dan masjid ekoran rumah mereka hanyut atau rosak teruk akibat banjir yang berlaku bulan lepas.

Keadaan cuaca juga dilaporkan cerah di negeri itu. - Bernama

Kalimah Allah: Permohonan Gereja Roman Katolik Ditolak


Diterbitkan: Rabu, 21 Januari 2015 11:46 AM

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menolak permintaan Gereja Roman Katolik yang mahukan lebih ramai panel hakim bagi mendengar semula permohonannya berhubung kes kalimah Allah.
Penerbitan mingguannya, The Herald menghantar permohonan pada Rabu dalam usaha pihak gereja untuk mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan perintah Kementerian Dalam Negeri melarang The Herald menggunakan kalimah Allah adalah tidak mengikut undang-undang.
Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong mengetuai panel lima hakim yang terdiri daripada Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Datuk Ramly Ali dan Datuk Azahar Mohamed untuk mendengar permohonan tersebut pada Rabu.

Pihak The Herald diketuai oleh Datuk Dr Cyrus Das.

Pada 14 Oktober 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan kerajaan dan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2009.

Keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Jun tahun lalu yang menolak permohonan gereja itu untuk mendapatkan kebenaran merayu berikutan keputusan majoriti 4-3 panel tujuh hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Gereja Roman Katolik, yang ketika itu dipimpin Ketua Paderi Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 2009 dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden.

Kes Empat Individu Bogel Disebut Semula 19 Mac


Diterbitkan: Selasa, 20 Januari 2015 11:20 PM

BALIK PULAU: Kes empat individu yang didakwa menyertai pesta bogel di Teluk Kampi, Taman Negara Pulau Pinang di Teluk Bahang dekat sini, akan disebut semula pada 19 Mac.
Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit menetapkan tarikh itu selepas peguam V. Parthipan memohon tarikh baharu daripada mahkamah bagi membolehkan pihaknya meneliti rakaman video yang baru diperoleh daripada pihak pendakwaan.
Parthipan yang mewakili seorang daripada tertuduh iaitu Teh Guan Hoon ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata beliau mahu meneliti rakaman itu terlebih dahulu bagi membolehkan pihaknya membuat tindakan selanjutnya.
Pada 28 Ogos tahun lalu, tiga wanita iaitu Chew Tok Hwa, 57; Chan Chia Wen, 27; Teh,37; serta seorang lelaki, Kong Meng Leong, 38; mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan mendatangkan kegusaran kepada orang awam kerana berbogel di Pantai Teluk Kampi antara pukul 3 dan 6 petang, 30 Mei lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 294 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tiga bulan atau denda atau kedua-duanya.
Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu bersama-sama enam lagi individu - Loh Kok Hong, 41; Mu Wai Peng, 34; Justin Ang Ji Keng, 24; Yam Kam Hoong, 54; Lionel Loo Joo Heng, 52; dan R. Nanda Kumar, 40.  
Bagaimanapun enam individu terbabit mengaku bersalah dan masing-masing dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan penjara sebulan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Edward Chan.

QZ8501 Tambah Kelajuan 'Lebih Daripada Biasa' Sebelum Terhenti


Diterbitkan: Selasa, 20 Januari 2015 11:30 PM

JAKARTA: Pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang terhempas di Laut Jawa pada bulan lalu didapati menambah kelajuan "lebih daripada biasa" dan kemudian terhenti.
"Pada saat akhir, pesawat menambah kelajuan melebihi daripada kadar biasa," kata Menteri Pengangkutan, Ignasius Jonan yang merujuk kepada data radar.
"Pesawat itu secara tiba-tiba menambah kelajuan melebihi had biasa di mana ia mampu untuk naik. Kemudiannya ia terhenti," katanya kepada pemberita.
Pesawat QZ8501 terhempas pada 28 Disember lalu ketika cuaca buruk dalam penerbangannya dari Surabaya ke Singapura.
Nahas itu mengakibatkan kesemua 162 penumpang dan anak kapal terkorban. - AFP

Penyanyi Lelaki Ditahan Polis Dipercayai Miliki Dadah


Diterbitkan: Rabu, 21 Januari 2015 12:45 PM

KUALA LUMPUR: Seorang penyanyi terkenal era 1990-an dan teman wanitanya ditahan polis kerana dipercayai memiliki dadah dalam  serbuan di sebuah rumah di Taman Keramat di sini, awal pagi Rabu.
Serbuan pada 12.30 tengah malam itu dilakukan pasukan Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ampang, yang menemui satu bungkusan plastik  disyaki heroin kira-kira 1.2 gram di dalam sebuah bilik.
Hasil ujian air kencing mendapati penyanyi berusia 43 tahun itu positif dadah morfin, manakala teman wanitanya yang berusia 32 tahun positif dadah amphetamine.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Khairuldin Saad mengesahkan penahanan penyanyi dan teman wanitanya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 15(1)(a) akta sama.
"Kami akan mendapatkan perintah reman terhadap mereka di Mahkamah Majistret Ampang hari ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mahkamah: Pesakit Mental Didakwa Bunuh Ibu


Diterbitkan: Selasa, 20 Januari 2015 7:12 PM

KAJANG: Seorang pesakit mental dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, Selasa atas pertuduhan membunuh ibunya minggu lepas.
Koh Fong Thiam, 36, dituduh membunuh ibunya, Koh Po Ying, 76, di rumah No. 6, Jalan Awana 19, Taman Awana Cheras, Batu 9, Cheras, di sini kira-kira 10.05 pagi, 13 Januari lalu.
Tertuduh yang berbaju kemeja-t tanpa lengan mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Abdul Jalil Salam Muhamad.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 20 April depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan dan forensik siap.
Peguam Anuar Raof yang mewakili Koh memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya itu merupakan pesakit mental sejak 15 tahun lalu dan beliau juga mengemukakan salinan kad rawatan susulan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) bertarikh 26 Januari ini.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya S Abirami.

Dua Lagi Didakwa Rompak Wang Tunai RM1.6 Juta Dan Jongkong Emas


Diterbitkan: Selasa, 20 Januari 2015 3:53 PM

PETALING JAYA: Selepas lima rakan didakwa atas pertuduhan rompak berkumpulan terhadap peniaga emas awal bulan lepas, pada Selasa dua lagi lelaki turut didakwa terhadap pertuduhan sama di Mahkamah Sesyen di sini.
Pada 7 Januari lepas, lima tertuduh tersebut didakwa di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Pada prosiding Selasa, tertuduh Muhammad Fuad Mat Isa dan Muszafaizan Mohamad Zawawi, masing-masing berumur 29 tahun, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azhanis Teh Azman Teh.
Mereka dituduh bersama-sama lima lagi yang masih bebas, merompak wang tunai RM1.6 juta dan empat kilogram jongkong emas bernilai RM400,000 milik Abdul Akhmal Mohamad, 26.
Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dengan menggunakan sebatang kayu dan rotan di No.6 Jalan PPRT 2, Kg Bukit Lanchong, Putra Heights, pada 10.45 malam, 23 Disember lepas.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama mengikut Seksyen 397 kanun sama dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga dikenakan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Tan Gin Han tidak menawarkan jaminan atas alasan ia melibatkan kesalahan yang serius.
Kedua-dua mereka yang tidak diwakili peguam, merayu mahkamah membenarkan jaminan ke atas mereka kerana masing-masing masih menyara keluarga.
Azhanis membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin dan melaporkan diri ke balai polis berdekatan pada 7 hari bulan setiap bulan.
Tertuduh, Muhammad Fuad diarah menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Kes disebut semula 12 Februari ini. - Bernama

Hukuman Mati: Jokowi Tak Layan Permintaan Australia


Diterbitkan: Selasa, 20 Januari 2015 5:55 PM
Pihak media mengerumuni kenderaan yang membawa mayat banduan selepas menjalani hukuman ditembak mati pada Ahad lalu.

JAKARTA: Presiden Joko Widodo atau Jokowi memutuskan untuk tidak melayan permohonan kerajaan Australia supaya membatalkan pelaksanaan hukuman mati terhadap dua warganegara itu.
Menteri Penyelaras Politik, Undang-undang dan Keamanan, Tedjo Edy Purdiyatno berkata, ketetapan itu dibuat kerana kerajaan Indonesia tidak akan memberi terhadap pesalah berkaitan dadah.
“Memang pemimpin kerajaan asing menghubungi Jokowi untuk melobi jika ada warga mereka yang akan dihukum mati.
“Bagaimanapun, Jokowi memberi komitmen untuk meneruskan hukuman mati terhadap pesalah dadah,” katanya.
Menurut Tedjo, Jokowi juga tidak bimbang jika pendiriannya itu akan mengeruhkan hubungan dua hala antara negara terbabit.
Malahan, katanya, ketika ini juga ramai warga Indonesia menjalani hukuman mati di negara lain jika didapati bersalah membabitkan kes dadah.
“Sebelum ini, ada warga Indonesia dihukum mati di Malaysia. Kerajaan beri bantuan dan selepas hukuman dijalankan, hubungan Jakarta-Putrajaya masih baik.
"Seharusnya, Perdana Menteri Australia sebagai seorang negarawan, dia seharusnya menghormati undang-undang negara berdaulat,” katanya.
Sebelum ini, Australia dikatakan mengancam untuk memanggil semula duta besarnya di Indonesia jika dua warganya dihukum mati, demikian lapor portal berita Kompas.com.
Dua warga Australia, Andrew Chan dan Myuran Sukumara, terlibat dalam penyeludupan heroin seberat lapan kilogram ke negera itu.
Perkara tersebut  ini disampaikan Menteri Luar Negeri Australia, Julie Bishop ketika ditanya adakah negara itu akan mengikut langkah Brazil dan Belanda dengan memanggil pulang duta besar mereka di Jakarta jika hukuman mati tetap dilaksanakan.
Hubungan Australia dan Indonesia sering dilanda masalah, terutamanya berkaitan isu pemohon suaka dan juga hal-hal pengintipan.
Pada 2013, pemerintah Indonesia memanggil pulang duta besarnya dan membekukan kerjasama ketenteraan antara dua negara apabila setelah terdedahnya kes mencuri dengar perbualan telefon isteri bekas presiden, Susilo Bambang Yudhoyono.

Dua Bekas Pengarah Syarikat Didakwa Pecah Amanah Lebih RM100,000


Diterbitkan: Selasa, 20 Januari 2015 3:20 PM

KUALA LUMPUR: Dua bekas pengarah syarikat jualan hartanah mengaku tidak bersalah terhadap tujuh pertuduhan pecah amanah wang syarikat membabitkan lebih RM100,000 pada 2005 hingga 2009.
Bagi semua pertuduhan, N. Ganesh, 45, dan P. Janarthiny, 37, yang ketika itu pengarah syarikat Fairview Properties Sdn Bhd, bersama-sama didakwa pecah amanah wang syarikat dengan membuat pembayaran bagi kepentingan sendiri berjumlah RM107,143.50 tanpa persetujuan lembaga pengarah syarikat berkenaan.
Mereka didakwa melakukan semua kesalahan itu di Ambank Berhad, Menara Dion, Jalan Sultan Ismail di sini antara 27 Januari 2005 dan 11 Februari 2009.
Dakwaan di Mahkamah Sesyen itu dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan Ganesh dan Janarthiny masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Februari untuk sebutan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahadhir Mohd Khairudin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent.

Dua Pati Cedera Terjun Bangunan Elak Serbuan Imigresen


Diterbitkan: Rabu, 21 Januari 2015 3:01 PM

MELAKA: Dua pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia cedera ketika cuba melarikan diri daripada serbuan Jabatan Imigresen dalam satu operasi di sini pagi Rabu.
Mereka dipercayai terjun dari bilik mereka di tingkat dua Pangsapuri Sri Rampai, Tengkera di sini semasa kediaman mereka diserbu oleh enam anggota penguatkuasa jabatan itu kira-kira pukul 2.45 pagi Rabu.

Pemangku Pengarah Imigresen Melaka Abu Bakar Sidek Hasan berkata mereka berusia 26 dan 27 tahun itu merupakan pekerja kontrak binaan di kawasan berdekatan dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

"Setelah pintu diketuk beberapa kali oleh pegawai penguatkuasa, kedua-dua lelaki tersebut dipercayai bertindak terjun dari tingkap bilik mereka kerana cuba mengelak daripada diperiksa anggota penguatkuasa.
Beberapa minit kemudian kedengaran bunyi seperti benda jatuh dan apabila siasatan dijalankan, dua lelaki ditemui terjatuh di tingkat bawah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini Rabu.
Abu Bakar berkata seorang dari lelaki itu cedera parah di bahagian kaki dan retak di kepala, manakala seorang lagi cedera di bahagian kaki dan tangan dan mereka telah dihantar ke Hospital Melaka di sini.
Sementara itu, dalam operasi bermula 12 tengah malam dan berakhir lima jam kemudian di tiga lokasi sekitar Melaka Tengah itu, seramai 52 orang pendatang asing ditahan atas pelbagai kesalahan.
Beliau berkata mereka yang ditahan terdiri daripada empat lelaki dan enam  wanita warga Indonesia, lapan lelaki dan dua wanita warga Myanmar, 25 lelaki warga Bangladesh dan tujuh lelaki warga Nepal.

KPN Sahkan Penahanan Sirul Di Queensland


Diterbitkan: Rabu, 21 Januari 2015 2:04 PM
Khalid Abu Bakar.

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan penahanan bekas Anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Koperal Sirul Azhar Umar di Queensland oleh polis Australia.
Beliau berkata, Sirul, 43, yang didakwa atas sabitan kes bunuh model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, ditahan pada pagi Selasa.
"Dia sedang ditahan di pusat tahanan Imigresen negara itu.

"Kami akan menghubungi rakan sejawat di Australia untuk mendapatkan maklumat lanjut," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Terdahulu agensi berita ABC News melaporkan, Sirul, 43, diletakkan dibawah jagaan pegawai Imigresen di Brisbane semalaman selepas Interpol mengeluarkan notis merah terhadapnya.

Notis merah Interpol bermaksud usaha mencari serta menangkap individu yang dikehendaki tersebut akan dilakukan oleh suatu bidang kuasa kehakiman atau tribunal antarabangsa, dengan tujuan untuk mengekstradisi.

Minggu lalu dilaporkan bahawa polis akan bekerjasama dengan Interpol untuk memburu Sirul, selepas satu permohon ekstradisi akan difailkan kepada negara berkenaan.

Sirul dipercayai pergi ke Australia pada Oktober tahun lalu.

Namun, dia dikatakan tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk pulang ke Malaysia bagi menghadapi hukuman itu.

Sirul dan bekas cif inspektor, Azilah Hadri dijatuhkan hukuman mati kerana membunuh Altantuya pada 2008.

Kedai Terbakar Sebabkan Kerugian Lebih Setengah Juta Ringgit


Diterbitkan: Selasa, 20 Januari 2015 10:03 PM

PETALING JAYA: Pemilik sebuah kedai peralatan dan perkakasan rumah di Jalan Klang Lama dekat sini mengalami kerugian lebih setengah juta ringgit apabila kedainya musnah terbakar pada malam Isnin.
Penguasa Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan, Nik Mohd Fadhil Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu yang berlaku di Jalan Klang Lama Batu 4 ½ pada pukul 9.33 malam dan tiba ke lokasi kejadian 10 minit kemudian. 
Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 malam apabila api mulai marak hingga memusnahkan hampir seratus peratus premis terbabit.
"Enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh, Bukit Jalil dan Hang Tuan dikerahkan ke lokasi kejadian dan operasi memadam api selesai 15 minit kemudian.
"Api dapat dikawal 15 minit kemudian sebelum merebak ke gudang berdekatan," katanya.
Nik Mohd Fadhil berkata, bahan mudah terbakar seperti cat merupakan antara punca api cepat merebak dalam kejadian itu.
Tambahnya, unit forensik bomba turut ke tempat kejadian bagi mengenal pasti punca kejadian dan nilai kerugian sebenar dalam siasatan.

'Hero' Pasar Raya Paris Yang Diserang Dapat Kerakyatan Perancis


Diterbitkan: Rabu, 21 Januari 2015 2:12 PM
Lassana Bathily selepas menerima sijil kewarganegaraan Perancis daripada Menteri Dalam Negeri negara itu dalam satu majlis khas yang berlangsung di Paris pada Selasa, 20 Januari 2014.

> Lassana Bathily, 24, yang dilahirkan di Mali selamatkan enam pelanggan pasar raya yang diserang
> Dia menyembunyikan beberapa pelanggan di dalam peti sejuk beku sebelum menutup suis
> Lassana kemudiannya keluar secara senyap melalui pintu belakang untuk bantu polis serbu
> Pendatang itu adalah seorang beragama Islam
PARIS: seorang pendatang dari Mali yang beragama Islam telah dianugerahkan kerakyatan penuh oleh Perancis kerana tindakan beraninya menyelamatkan enam orang pelanggan sebuah pasar raya Yahudi di sini yang diserang oleh dua orang ekstremis baru-baru ini.
Lassana Bathily, 24, menerima sijil kewarganegaraannya daripada Menteri Dalam Negeri, Bernard Cazeneuve dalam satu majlis khas yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri Perancis, Manuel Valls.
Cazeneuve berkata, tindakan berani Bathily itu adalah simbol kepada semangat keamanan dan toleransi Islam yang sebenar.
Bathily, walaupun bersekolah di Paris, tetapi masih memegang status pendatang yang dibenarkan bermastautin dan bekerja di Perancis kerana Mali adalah bekas tanah jajahan Perancis.
Sambil menitiskan air mata, Bathily menyifatkan ini adalah hari yang penuh bersejarah dan bermakna dalam hidupnya.
"Saya bukanlah seorang hero, saya hanyalah seorang insan biasa bernama Lassana. Saya adalah diri saya yang sebenar. Semua orang pada kaca mata saya adalah sama," katanya selepas menerima sijil kerakyatannya itu.
Ketika pasar raya itu diserang oleh seorang pelampau bernama Amedy Coulibaly, pada 9 Januari lalu, Bathily sedang mengemas barangan stok di bilik bawah tanah. Dia adalah pekerja pasar raya berkenaan.
Coulibaly kemudiannya menembak mati empat orang awam di dalam pasar raya khas yang menjual barangan-barangan dan makanan 'halal' untuk kaum Yahudi di Paris.
Bagaimapaun, Bathily secara senyap-senyap telah menarik turun para pelanggan yang berada di belakang pasar raya itu ke bilik beku yang terletak di tingkat bawah dan menyembunyikan mereka di situ.
Dia kemudiannya menutup suis bilik beku tersebut dan keluar menerusi pintu belakang untuk membantu polis menyerbu masuk ke pasar raya itu.

Seorang Maut, Tiga Cedera Bom Meletup Ketika Tonton Bola Sepak


Diterbitkan: Rabu, 21 Januari 2015 8:57 AM

CONAKRY (Guinea): Seorang maut manakala tiga lagi cedera parah selepas bom tangan yang dibaling seorang lelaki ke arah orang ramai yang sedang menonton perlawanan bola sepak di sini meletup.
Pihak berkuasa berkata, insiden berlaku ketika penonton sedang menyaksikan perlawanan skuad kebangsaan negara itu menentang Ivory Coast pada aksi Piala Negara-Negara Afrika di Equatorial Guinea.

Jurucakap polis, Mamadou Alpha Barry berkata, suspek dipercayai membaling bom tangan tersebut ketika Ivory Coast menjaringkan gol penyamaan pada perlawanan berkenaan yang berkesudahan seri 1-1.
Suspek yang membaling bom tangan itu turut mengalami kecederaan parah.

Pada awalnya, beberapa penduduk memberitahu tiga mangsa dilaporkan terkorban dalam kejadian itu.

Bagaimanapun, polis hanya mengesahkan seorang saja yang meninggal dunia.

Bapa Mengaku Tidak Bersalah Dera Anak


Diterbitkan: Rabu, 21 Januari 2015 11:58 AM
Mohd Shaikful mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret terhadap pertuduhan mendera anaknya. - fotoBERNAMA

BUTTERWORTH: Seorang bapa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu terhadap pertuduhan mendera anaknya berusia tujuh tahun di Sungai Dua, dekat sini.

Mohd Shaikful Adli Mohd Afendi, 34, didakwa menganiaya dan mendedahkan kanak-kanak di bawah jagaannya itu kepada kecederaan fizikal dan emosi di sebuah rumah di Sungai Dua, Seberang Perai Utara pada pukul 7.23 malam, 15 Januari lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairul Fairuz Rahman memohon mahkamah supaya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin atas alasan kes itu adalah serius, selain kekerapan kes penderaan kanak-kanak sejak kebelakangan ini.

"Saya memohon tertuduh tidak boleh dijamin kerana mangsa juga adalah anak kepada tertuduh dan ada kemungkinan tertuduh akan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan," katanya.

Peguam yang mewakili Mohd Shaikful Adli, Saiful Ambar Abdullah Ambar kemudian memohon mahkamah membenarkan jaminan kepada anak guamnya berdasarkan kes Lolanopita Sadi, ibu remaja Orang Kurang Upaya, Muhammad Firdaus Dullah, yang berdepan dua pertuduhan mengikut Akta Kanak-kanak 2001, yang dibenarkan diikat jamin oleh mahkamah.

Majistret Muhammad Firdaus Abdul Wahab kemudian membenarkan Mohd Shaikful Adli diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan, jika gagal, jaminan akan ditarik balik.

Muhammad Firdaus turut menetapkan 25 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Kanak-kanak berkenaan yang merupakan murid Tahun Satu ditemui dalam keadaan lemah dan kelaparan di sebuah rumah di Sungai Dua yang tidak mempunyai bekalan air dan elektrik pada Khamis lepas (15 Januari).

Kanak-kanak itu masih dirawat di Hospital Seberang Jaya.