Search This Blog

Tuesday, January 20, 2015

Gambar kiriman daripada warga Kota Samarahan






Gambar kiriman daripada warga Kota Samarahan.Keadaan terkini Kampung Nangka, Kota Samarahan (Sarawak). Menurut sumber air mulai naik sejak petang kelmarin dan menyebabkan penduduk kampung terputus hubungan.

Polis Tahan Dua Lelaki, Rampas Dadah RM150,000

Diterbitkan: Selasa, 20 Januari 2015 10:04 AM


KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur berjaya membongkar sebuah stor memproses dadah berikutan rampasan dadah bernilai RM150,00 dan penahanan dua lelaki tempatan di sebuah rumah di Lorong Haji Taib 1, Chow Kit di sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajudin Md Isa berkata kedua-dua suspek berusia 42 tahun dan 50 tahun itu ditahan dalam Ops Khas sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, pada 10.30 pagi, 14 Januari lepas.

Menurutnya, kedua-dua suspek yang positif dadah itu disyaki menggunakan rumah itu sebagai stor memproses dadah jenis methamphetamine.

"Hasil pemeriksaan juga menemui satu paket besar dan enam paket kecil plastik lut sinar disyaki dadah jenis Syabu seberat 1,000 gram, 12 tiub straw disyaki dadah Heroin dan beberapa peralatan serta cecair dan serbuk kimia yang digunakan untuk memproses dadah methamphetamine," katanya dalam sidang media di sini Isnin.

Kedua-dua suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama tujuh hari bermula 15 Jan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu, Tajudin menyaksikan majlis Serah Terima Tugas jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Kuala Lumpur baharu yang diambil alih oleh SAC Zainuddin Ahmad menggantikan ACP Abdul Razak Abdul Gahfur yang memangku jawatan itu sebelum ini.

Abdul Razak kembali ke jawatan asalnya iaitu sebagai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Kuala Lumpur manakala ACP Mohd Firdaus Abdullah dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur menggantikan Zainuddin.

Gempa Bumi Sederhana Gegar Pantai Timur Sabah

Diterbitkan: Selasa, 20 Januari 2015 11:29 AM


KOTA KINABALU: Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.5 skala Richter melanda Laut Sulu, mengejutkan penduduk pada pukul 1.19 pagi Selasa.

Penduduk kampung di kawasan pantai di Semporna, Kunak dan Tawau keluar dari rumah-rumah mereka selepas gegaran berlanjutan selama kira-kira satu minit berikutan gempa bumi pada kedalaman 10km di Laut Sulu di Filipina, kira-kira 148km dari timur laut Semporna.

Tiada ancaman tsunami dilaporkan.

Tiada laporan sebarang kerosakan kecederaan dan kerosakan bangunan, menurut anggota bomba dan polis di tiga daerah tersebut yang segera digerakkan untuk memantau keadaan.
"Rumah saya bergegar dan saya bergegas keluar bersama keluarga. Ramai orang telah melakukan perkara yang sama dan barulah kami sedar ia adalah gegeran gempa bumi'' kata seorang penduduk di Semporna Azdil Morad, 42, dalam satu temu bual di telefon.
Azdil, yang tinggal di rumah papan di tepi pantai berkata gegaran berlaku selama kira-kira 90 saat tetapi ia sudah cukup untuk membuatkan dia yang sedang tidur nyenyak terjaga.

"Saya fikir seseorang telah menarik katil saya, hanya selepas saya bangun, saya menyedari bahawa ia adalah satu gegaran, '' kata seorang penduduk di Tawau yang mahu dikenali sebagai Chai.

Chai, yang berkata mereka pernah merasakan gegaran sama sedikit masa dulu berkata ia berlaku kira-kira satu minit dan tidak ada gempa susulan lain dirasai.

"Sedikit menakutkan apabila ia berlaku, '' tambahnya.

Polis Rampas 90 Kg Ganja Bernilai RM300,000 Di Kubang Semang

Diterbitkan: Selasa, 20 Januari 2015 2:21 PM

Datuk Abdul Rahim Hanafi menunjukkan ketulan mampatan ganja semasa mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di Bukit Mertajam, Selasa. Sebanyak 90 ketulan mampatan ganja dirampas dari sebuah kenderaan di kawasan Kubang Semang, Bukit Mertajam, Isnin. Anggaran harga pasaran ganja berkenaan adalah RM300,000. -fotoBERNAMA

BUKIT MERTAJAM: Polis merampas 90 kilogram ganja bernilai RM300,000 dalam pemeriksaan terhadap sebuah kereta yang ditinggalkan di tepi jalan di Kubang Semang, di sini, Isnin.

Susulan rampasan itu, polis menahan seorang lelaki yang mempunyai rekod jenayah dalam serbuan di sebuah rumah di Tanah Liat di sini, awal pagi ini, kata Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi.

"Hasil pemeriksaan terhadap kereta Proton Waja itu pada 8.30 malam tadi, polis menemui 90 ketul daun kering disyaki dadah jenis ganja," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini Selasa.

Beliau berkata polis menemui kunci kereta Proton Waja itu dalam pemeriksaan di rumah lelaki berusia 28 tahun terbabit pada 1.30 pagi dan polis turut merampas dua telefon bimbit serta sebuah motosikal Kawasaki.

"Siasatan polis mendapati lelaki itu aktif mengedar ganja di sekitar SPT secara sendirian sejak lima bulan lepas. Dia direman sehingga 27 Januari bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata kertas siasatan kes kanak-kanak perempuan yang diselamatkan dalam keadaan kelaparan di Sungai Dua, Butterworth, Khamis lepas diserah kepada Ketua Unit Pendakwaan hari ini.

"Bapa kanak-kanak itu masih direman sehingga esok dan dia yang berusia 34 tahun akan didakwa menurut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penganiayaan dan pengabaian terhadap mangsa," katanya.

Kanak-kanak perempuan murid tahun satu itu ditemui dalam keadaan lemah dan kelaparan di sebuah rumah yang tidak mempunyai bekalan air dan elektrik selepas seorang guru membuat laporan polis mengesyaki sesuatu berlaku selepas dia tidak hadir ke sekolah.

Kastam Sabah Rampas 26 Kg Dadah Bernilai RM4.9 Juta

Diterbitkan: Selasa, 20 Januari 2015 2:26 PM

- Gambar hiasan

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas dadah methamphetamine bernilai RM4,940,000 berikutan penahanan dua individu di sebuah syarikat penghantaran barang di Tawau, Jumaat lepas.

Pengarahnya Datuk Dr Janathan Kandok berkata dadah seberat 26 kilogram itu dirampas daripada suspek yang menuntut bungkusan itu di syarikat berkenaan pada 3.45 petang.

"Dua individu lelaki yang berumur 54 dan 56 tahun ditahan ketika sedang memasukkan bungkusan itu ke dalam kenderaan," katanya dalam sidang media di Wisma Kastam, di sini Selasa.

Janathan berkata pihaknya membuat intipan selepas mendapati bungkusan itu mengandungi bahan terlarang yang dikesan melalui mesin pengimbas.

Beliau berkata suspek warga tempatan itu kini ditahan di bawah Seksyen 31B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, ini merupakan rampasan terbesar JKDM Sabah sejak 2012.

Sementara itu, Janathan berkata sejak tahun 2012 hingga Januari tahun ini, sebanyak 13 kes tangkapan dadah di rekodkan di negeri ini melibatkan nilai sebanyak RM10.1 juta.

Katanya, sebanyak 19 individu didakwa di mahkamah iaitu 10 warga tempatan dan sembilan warga asing.

Lelaki rampas pistol polis maut ditembak


Sedutan rakaman kejadian tembak-menembak di Taipei, semalam.
Sedutan rakaman kejadian tembak-menembak di Taipei, semalam.
TAIPEI - TAIWAN. Seorang penyerang maut, manakala dua lagi cedera dalam satu kejadian tembak-menembak di sebuah lapangan terbang di Taiwan, petang semalam.

Kejadian bermula apabila Chang, 45, menyerang dan menumbuk seorang anggota polis dan merampas pistol polis tersebut.

Lelaki tersebut kemudian mula menembak ke arah dua lagi anggota polis yang dalam perjalanan ke tempat kejadian. Polis kemudian berbalas tembakan dengan lelaki tersebut.

Chang disahkan maut, manakala seorang wanita dan pegawai polis yang ditumbuk Chang cedera.

Menurut straitstimes.com, kejadian tembak-menembak tersebut berjaya dirakam oleh orang awam dan telah disiarkan berita tempatan.

Sebelum itu, Chang dikatakan dalam perjalanan untuk menghantar anak perempuannya berumur 10 tahun ke lapangan terbang.

Anak perempuan Chang memberitahu polis bahawa ayahnya seorang penghidap sakit mental. Polis masih menyiasat kes tersebut.

Disimbah cecair peluntur


Victoria Smith
Victoria Smith
SEORANG remaja di England mengaku bersalah menyimbah cecair peluntur pada wajah model berusia 17 tahun hingga menyebabkan mangsa mengalami buta sementara.

Rebecca Morris, 18, membuat pengakuan bersalah atas tuduhan melakukan perbuatan itu dengan niat untuk menyebabkan kecacatan pada Victoria Smith atau Toria Melody di Hull Crown Court.

Morris didakwa menyerang Smith ketika dia baru pulang dari menghadiri sebuah parti bersama rakannya di Hull pada Ogos lalu.
Mangsa memberitahu cecair peluntur yang bersifat menghakis itu turut mengakibatkan seluruh tubuhnya melecur.

Bagaimanapun, pihak pembela bertindak mempertikaikan aduan dikemukan Smith yang mendakwa kononnya dia mengalami kecederaan fizikal dan psikologi ketara.

“Ia bercanggah dengan laporan pakar mata yang mendapati kejadian itu tidak memberi kesan kekal kepada Smith. Kenyataan beliau juga tidak disokong dengan laporan daripada doktor dan pakar psikologi,” kata peguam bela, Ian Philip.

Susulan daripada itu, Hakim David Tremberg memutuskan untuk menangguhkan sesi perbicaraan tersebut selepas mendapati tiada maklumat tepat yang menunjukkan kesan ketara akibat daripada serangan terbabit. – Daily Mail

Helah makan diri


Helah makan diri
TAKTIK licik seorang saintis di Britain yang merancang dengan teliti pembunuhan bekas isterinya akhirnya terbongkar selepas muslihat tersebut gagal mengaburi mata pihak berkuasa.

Wai Hong Tsang, 33, dari Scartho,Grimsby dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Lincoln Crown Court selepas didapati bersalah membunuh Mingzi Yang, 29 pada Jun lalu.

Tertuduh yang merupakan seorang pakar kesihatan industri didakwa mula membuat rancangan itu selepas dia menerima surat daripada peguam bekas isterinya yang menuntut hak penjagaan bersama anak mereka, Lucas berusia lima tahun.

Menurut pihak berkuasa, Hong Tsang turut mereka alibi yang membuktikan kononnya dia berada sejauh 64 kilometer dari lokasi pembunuhan di Lincoln.

Susulan daripada itu, polis terpaksa menahan tunang mangsa, Darren Grundy, 32, selama tiga hari untuk membantu siasatan.

Bagaimanapun, Grundy dibebaskan selepas polis mendapati dia tidak terlibat dalam kejadian itu dan siasatan itu diteruskan terhadap tertuduh.

“Hong Tsang memberi kerjasama kepada kami dan tanpa dia sedari segala pergerakannya direkodkan oleh alat GPS yang dipasang pada keretanya.

“Dia memberhentikan kereta tersebut di hutan Sherwood sebelum menunggang basikal menuju ke rumah mangsa. Tertuduh dipercayai memukul bekas isterinya beberapa kali hingga mengakibatkan kecederaan pada otaknya,” kata jurucakap polis.

Hong Tsang akhirnya diberkas pihak berkuasa selepas laporan forensik menunjukkan kesan darah mangsa terdapat pada basikal dan jam tangannya. – DailyMail

Tanam anak perempuan hidup-hidup


Tanam anak perempuan hidup-hidup
TRIPURA - INDIA. Mengejutkan dan menyedihkan apabila seorang bapa bertindak di luar kewarasan apabila sanggup menanam anaknya sendiri dek kerana anaknya seorang perempuan.

Kejadian yang dilaporkan berlaku di India ini benar-benar mengejutkan dunia.

Memetik laporan New Delhi Television Limited Is An India (NDTV) berkata, lelaki itu cuba menguburkan anak perempuananya yang berusia 10 tahun hidup-hidup tanpa alasan logik.

Jelas laporan itu, alasan lelaki itu bagi ‘membenarkan’ perbuatannya itu adalah kerana anaknya adalah perempuan.

Menurut polis, beberapa saksi melihat ‘aksi’ tertuduh yang menggali sebuah lubang di taman belakang rumahnya ‘bagi tujuan pengebumian tersebut’ tatkala isterinya keluar.

Dia dikatakan  meletakkan anaknya dalam lubang dengan tangannya diikat dan mulut ditutup. Lantas menimbus tanah sehingga paras dada.

Namun usaha tersebut gagal apabila sebaik sahaja isterinya pulang, isterinya mula mempersoalkan di mana anak mereka, dan perbuatannya mula dibongkarkan oleh jiran-jiran yang melihat kejadian terbabit.

Pada mulanya, suspek cuba menyembunyikan kegiatannya dengan meletakkan bakul buluh di atas kepala anak perempuan mereka, dengan niat untuk meneruskannya perbuatan tersebut selepas itu namun sudah diketahui awal oleh jirannya.

Mereka dikatakan telah memukul suspek sebelum memanggil polis.

Sempat makan lepas samun


Seh Yong (dua kanan) melihat dompet yang How Foong (kiri) yang diletakkan dalam bakul.
Seh Yong (dua kanan) melihat dompet yang How Foong (kiri) yang diletakkan dalam bakul.
BAHAU - Seorang warga emas terkejut apabila mendapati makanan yang disimpannya bersepah selepas menyedari kediamannya di Taman Timur 2 , Bahau di sini dipecah masuk penjenayah semalam.

Foo How Foong, 70, berkata, dia hanya menyedari rumahnya dipecah masuk selepas bangun tidur kira-kira jam 5.45 pagi.

Menurutnya, sewaktu dia keluar dari bilik tidurnya, lima pintu bilik tidur yang lain sudah terbuka dan dia rasa pelik melihat keadaan itu.

"Kemudian saya periksa bahagian dapur, saya lihat stok makanan yang saya simpan turut bersepah-sepah dikerjakan penjenayah.

“Mungkin masa tu, dia sedang lapar. Dia sempat makan roti, sebiji epal dan biskut oat yang saya simpan di atas rak," katanya.

Selain itu, televisyen di bahagian ruang tamu juga diletakkan dalam mod stanby, sedangkan sewaktu dia masuk tidur semua suis peralatan elektrik dipastikan akan ditutup.

How Foong berkata, dia kemudiannya memeriksa dompet yang diletakkan dalam bakul di luar bilik tidurnya dan mendapati wang tunai RM65 telah lesap.

“Saya percaya penjenayah ini masuk melalui tingkap angin rumah saya yang tingginya kira-kira tiga meter dan tingkap itu berhampiran bumbung.

"Terdapat kesan umpilan pada tingkap itu manakala pintu belakang dekat dapur juga telah terbuka," katanya.

Tambahnya, kejadian itu bukan kali pertama berlaku malah, dia adalah kali kedua sejak beberapa bulan yang lalu.

How Foong dibantu Adun Bahau, Chew Seh Yon untuk buat laporan polis di Balai Polis Bahau selepas beliau meninjau keadaan mangsa semalam.

Sinar Harian difahamkan mangsa hanya tinggal sendirian di rumah tersebut berikutan enam anaknya yang berumur 36 hingga 45 tahun bekerja di tempat lain.

SEBUAH KERETA TERBABAS DI BULATAN LCCT LAMA, KLIA




SEBUAH KERETA TERBABAS DI BULATAN LCCT LAMA, KLIA . Mangsa seorang lelaki maut di tempat kejadian. Operasi berkenaan dilakukan oleh BBP KLIA

Seramai 224 penghuni telah dipindahkan ke Dewan Ng. Mendamit.






Operasi banjir di rumah Assan Mendamit Limbang. Seramai 224 penghuni telah dipindahkan ke Dewan Ng. Mendamit.

AKSI Pegawai Bomba Wanita bersama Ular King Cobra...




AKSI Pegawai Bomba Wanita bersama Ular King Cobra...
AMARAN!!!!!
DILARANG SAMA SEKALI MENIRU AKSI INI !!!!!!
Makluman.. Aksi ini dilakukan oleh Pegawai Bomba yang berkelayakan dan bertauliah ..
(diselia oleh Wira Penyelamat)
Sekadar untuk dikongsi bersama...

KEMALANGAN MOTOSIKAL DAN SEBUAH LORI




KEMALANGAN MOTOSIKAL DAN SEBUAH LORI MEMBAWA MUATAN AYAM DI KM286 LEBUHRAYA UTARA SELATAN ARAH UTARA (Simpang Pulai). Mangsa seorang lelaki melayu meninggal dunia di tempat kejadian

Mahkamah Israel arah penempatan haram Yahudi diroboh

BAITULMAQDIS: Mahkamah agung Israel mengarahkan pihak berkuasa Israel meroboh salah satu penempatan haram Yahudi paling lama dan kontroversi di Tebing Barat.
Khamis lalu, mahkamah berkata penempatan puncak bukit di Amona mesti dikosongkan dalam tempoh dua tahun. Amona dibina pada 1995 di atas tanah persendirian Palestin, tanpa persetujuan kerajaan Israel.
Pada 2006, polis Israel memusnahkan sembilan rumah di kawasan itu, mencetuskan pertempuran berdarah antara penduduk dan penyokong yang menentang polis serta askar. Beberapa buah rumah masih tinggal.
Kerajaan menghentikan kerja-kerja meroboh baki penempatan itu, walaupun selepas tarikh akhir mahkamah.
Penduduk mendakwa mereka membeli tanah di lokasi penempatan haram itu, walaupun beberapa pemilik tanah Palestin berkata proses jual beli itu membabitkan penipuan.
Palestin mahu menubuhkan negara di Tebing Barat yang diduduki Israel. - AP
TENTERA Israel berkawal di kawasan Jabaa, selatan bandar Tebing Barat. - Foto Reuters

Kolam ternakan keli jijik, meloyakan


Oleh Muhammad Mustakim

MAKANAN ikan disyaki daripada bangkai dan isi perut haiwan yang dikisar halus di tepi sebuah kolam ikan keli ketika operasi bersepadu SPRM dan Jabatan Imigresen Putrajaya di Rasa, Batang Kali, semalam. - Foto Aizuddin Saad
Kuala Kubu Bharu: Kotor dan meloyakan. Keadaan pusat ternakan ikan keli dan patin itu menyebabkan empat anggota penguat kuasa yang menyertai operasi bersepadu di Rasa, Batang Kali, dekat sini, semalam, muntah.
Situasi itu terjadi disebabkan bau hanyir makanan ikan ternakan dipercayai mengandungi bangkai haiwan yang dikisar.
Hasil maklumat awam
Operasi Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira jam 4 petang itu adalah hasil maklumat awam yang mendakwa pemilik kolam memberikan rasuah kepada penguat kuasa untuk melindungi pendatang asing tanpa izin serta pemilik memberi ternakan memakan bangkai babi.

Tiga cedera letupan di kilang penapisan minyak Petrobras

RIO DE JANEIRO: Tiga pekerja syarikat petroleum terbesar milik kerajaan, Petrobras mengalami kecederaan selepas letupan meletus di kilang penapisan dekat utara bandar Salvador hari ini, kata syarikat itu.
Petrobras yang kini dibelenggu skandal penyelewengan terbesar membabitkan pemberian berjuta-juta dolar kepada ahli politik berkata, pihaknya sedang menyiasat punca letupan di Landulpho Alves Refinery (RLAM).
Salah seorang pekerja terbabit terbakar 75 peratus badannya manakala dua lagi mengalami kecederaan ringan dalam letupan berkenaan.
Syarikat itu berkata, kejadian berkenaan tidak menjejaskan bekalan di kilang penapisan berkenaan.
"Pekerja yang cedera dirawat dengan segera oleh kakitangan perubatan di kilang terbabit dan kemudiannya dibawa ke hospital. Kita sedang memberikan segala bantuan yang diperlukan," katanya.
Katanya, tiada "kerosakan alam sekitar dan bekalan di pasaran juga tidak terjejas." - AFP

Penumpang buka pintu kecemasan akibat kepanasan dalam pesawat

SAO PAULO: Penumpang yang terperangkap dalam sebuah kapal terbang ketika mengalami gangguan pendingin hawa akibat cuaca terlalu panas bertindak membuka pintu kecemasan, kelmarin.
Stesen televisyen Globo menyiarkan rakaman dalam pesawat itu menunjukkan penumpang yang kepanasan dengan mengipas diri mereka sebelum bertindak membuka pintu kecemasan terbabit.
Pesawat yang membawa 130 penumpang dari Rio de Janeiro ke Sao Paulo terperangkap ketika kapal terbang itu berada di atas landasan selama sejam.
Syarikat penerbangan Brazil, Gol berkata, bahagian pendingin hawa ketika pesawat berada di darat mengalami kerosakan.
Penumpang kemudiannya dipindahkan ke pesawat lain.
"Kita mengambil segala langkah yang perlu untuk mengurangkan rasa tidak puas hati penumpang," katanya.
Rio sedang mengalami cuaca panas terik dengan suhu mencecah 40 darjah Celsius. - AP

Gempar buaya tembaga muncul

Oleh MULLER ASEN


AHMAD Shahfikri (tengah) bersama anggota JPAM menunjukkan buaya tembaga yang ditangkap di kawasan IADA, Kota Samarahan semalam.


KOTA SAMARAHAN – Kekalutan orang ramai berdepan dengan bencana banjir kelmarin semakin menjadi-jadi selepas seekor buaya tembaga seberat 100 kilogram (kg) tiba-tiba muncul di dalam parit berhampiran Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) di sini semalam.
Lebih menghuru-harakan keadaan, reptilia ganas itu enggan berganjak daripada kedudukan asalnya di parit berkenaan meskipun sudah lebih 24 jam berada di situ.
Pelbagai usaha untuk menghalaunya dilakukan, namun buaya yang dipercayai dari Sungai Samarahan di sini masih berdegil dan semakin menunjukkan keganasannya.
“Saya takut untuk keluar rumah sebab besar kemungkinan haiwan itu menerkam kami atau paling tidak, ia akan masuk ke rumah.
“Sangat pelik, jika buaya-buaya seperti ini muncul di kawasan pedalaman, ia merupakan perkara biasa tapi bila mereka datang sini, mesti ada sesuatu,” kata seorang mangsa banjir yang cemas dengan kejadian itu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0120&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz3PKZl6xgZ 
Hakcipta terpelihara 

Pelajar UPSI lemas berkayak

 Oleh FIRDAUS HASSAN

ANGGOTA bomba mengangkat mayat Muhammad Amirul yang ditemui di dasar tasik berdekatan Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI, Tanjung Malim kelmarin. Gambar kecil ialah Muhammad Amirul.


TANJUNG MALIM – Seorang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) lemas ketika melakukan aktiviti berkayak bersama empat rakannya di kawasan tasik dekat Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang itu, mangsa, Muhammad Amirul Haqim Ishak, 24, yang merupakan mahasiswa semester empat Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional datang ke tasik tersebut untuk beriadah.
Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Ahmad Mat Isa berkata, operasi mencari dan menyelamat yang dilakukan pasukan bomba berjaya menemui mayat mangsa di dasar tasik tersebut pada pukul 8 malam berhampiran tempat dia dilaporkan lemas.
Katanya, ketika kejadian mahasiswa yang berasal dari Pokok Sena, Kedah itu berkongsi kayak dengan seorang lagi rakan untuk menyeberangi tasik tersebut.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0120&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3PKZXwz2k 
Hakcipta terpelihara 

Mati lemas treler masuk tasik




ANGGOTA pasukan skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik melakukan selaman untuk mengeluarkan pemandu treler yang terperangkap selepas kenderaan berkenaan terbabas ke dalam sebuah tasik di Jalan Batu Arang, Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Seorang lelaki maut selepas treler membawa muatan bata yang dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam sebuah tasik di Jalan Batu Arang berhampiran kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, mangsa yang masih belum diketahui identitinya itu maut akibat lemas namun berjaya dikeluarkan daripada tasik berkenaan oleh sepasukan anggota bomba dan penyelamat.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, semasa melalui lokasi kejadian, treler dari arah Puncak Alam, Kuala Selangor dekat sini itu dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam sebuah tasik berhampiran.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik di sini kemudian bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam,” katanya di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0120&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3PKZP2S4z 
Hakcipta terpelihara 

Sindiket dadah Lorong Haji Taib



Tajudin (dua dari kiri) bersama Wan Abdullah (tiga dari kanan) menunjukkan sebahagian dadah jenis syabu yang dirampas pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Taktik satu sindiket dadah yang menggunakan sebuah rumah sebagai makmal memproses syabu akhirnya terbongkar apabila polis menahan dua lelaki dalam serbuan di Lorong Haji Taib 1, Chow Kit di sini Rabu lalu.
Dalam serbuan kira-kira pukul 10.30 malam itu, polis turut merampas dadah jenis syabu bernilai RM150,000.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md. Isa berkata, kedua-dua suspek warga tempatan yang berusia 42 dan 50 tahun itu dipercayai turut menjadikan rumah tersebut sebagai stor menyimpan dadah yang telah diproses sejak lapan bulan lalu.
“Kita turut merampas beberapa peralatan yang digunakan untuk memproses dadah iaitu alat penimbang, dapur dan serbuk kimia.
“Penggeledahan menjumpai satu paket besar dan enam paket kecil plastik berisi serbuk disyaki dadah jenis syabu seberat satu kilogram (kg) serta 12 tiub straw disyaki berisi heroin seberat dua gram (g),” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0120&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3PKYqEVgG 
Hakcipta terpelihara 

Warga emas maut pondok terbakar

Oleh DJ Dolasoh

am@hmetro.com.my


Lenggong : Seorang warga emas maut dalam kebakaran pondok di Jalan Lori Kampung Sumpitan di sini, 1.40 petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.41 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, setiba di tempat kejadian pihaknya mendapati pondok itu terbakar 100 peratus.

"Seorang lelaki berusia 80-an didapati mati di dalam pondok itu.

"Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya dan operasi tamat 3.11 petang," katanya.

Menurutnya, operasi diketuai ketua Balai Bomba Lenggong Penolong Penguasa Bomba Ahmad Izuan Zakaria.

Katanya, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 7:12 PM

PONDOK yang terbakar. FOTO ihsan Bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/24818#sthash.DPDgnHNL.dpuf

Remaja maut terjatuh tingkat enam

Oleh Hadzlihady Hassan

hadzlihady@hmetro.com.my


Georgetown: Seorang remaja lelaki yang juga anak anggota polis maut selepas terjatuh dari tingkat enam kuarters Unit Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Padang Tembak, Air Itam, 1.15 petang tadi.

Mangsa, Mohd Hizri Jaafar, 18, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala dan anggota badan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, mangsa maut lima minit sebelum ambulan tiba di lokasi kejadian.

"Siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan mayat dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.

"Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 4:11 PM

LOKASI mangsa terjatuh.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/24806#sthash.85wDmx2A.dpuf

Warga emas ditemui rentung dekat Papar

Oleh Junaidi Ladjana
Papar: Seorang lelaki warga emas berusia 80 tahun ditemui rentung di dalam rumahnya di Kampung Manggis, Jalan PLKN, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, mangsa Jakri Busing, ditemui rentung oleh anggota bomba sebaik api berjaya dipadam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Papar Dunstan Peter berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.04 malam dan tiba di lokasi kejadian 22 minit kemudian.

"Satu jentera bomba dengan kekuatan lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran berkenaan.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian hampir keseluruhan rumah berkenaan musnah terbakar dan operasi pemadaman terus dilakukan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, api berjaya dikawal pada 8.46 malam dan seorang mangsa ditemui rentung di dalam rumah terbabit.

"Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 11:19 PM
RUMAH mangsa musnah terbakar. FOTO ihsan bomba.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/24832#sthash.sysFjZTH.dpuf

Jumpa mayat pekerja di belakang kilang


 Oleh Raja Noraina Raja Rahim
Seremban: Seorang pekerja kilang kayu warga Myanmar dipercayai dibunuh kira-kira lima hari lalu sebelum mayatnya dijumpai di Kampung Dato Wong Seng Chow, Sikamat, dekat sini, petang tadi.

Mayat mangsa dikenali sebagai Aung Kyaw, 32, ditemui dalam keadaan tertiarap dengan kepala tinggal tengkorak dan keseluruhan badan hampir reput di bahagian belakang kilang berkenaan, kira-kira 2.30 petang.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdullah Roning berkata, pihaknya menerima laporan penemuan itu daripada pengurus kilang berusia 38 tahun sebelum sepasukan polis dan forensik ke lokasi kejadian.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai dibunuh berdasarkan kesan tikaman di bahagian belakang kepala selain turut menemui telefon bimbit, wang tunai RM10, kunci dan selipar kira-kira tiga meter dari lokasi penemuan mayat mangsa.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 10:18 PM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/24827#sthash.7cRP8txz.dpuf

JKM jaga lima beradik tiri kanak-kanak yang didera


Butterworth: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memberi perlindungan terhadap lima beradik tiri kanak-kanak perempuan dipercayai dikurung dan didera di Sungai Dua, di sini, jika ibu tirinya turut didakwa.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun, berkata JKM akan bertanggungjawab menjaga kebajikan mereka yang berumur bawah 18 tahun.
“Untuk jaga kanak-kanak bawah 18 tahun adalah tanggungjawab JKM. Sekiranya ibu bapa kanak-kanak itu didakwa, JKM akan ambil tindakan dan memberi perlindungan kepada mereka.
“Ini kerana jika ada apa-apa kesalahan pun anak-anak bukannya pihak yang buat salah, kebajikan mereka mesti diambil kira,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun itu di Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini, hari ini.
Hadir sama pengarah HSJ, Dr Azlina Muhamad Radzi dan pengarah JKM Pulau Pinang, Dr Zaitol Salleh.
Polis mendapat perintah lanjutan reman selama tiga hari terhadap bapa kanak-kanak itu bermula hari ini dan polis juga mengambil keterangan ibu tiri kanak-kanak itu Sabtu lepas.
Kanak-kanak berkenaan yang juga murid tahun satu ditemui dalam keadaan lemah dan kelaparan di sebuah rumah di Sungai Dua yang tidak mempunyai bekalan air dan elektrik.
Berikutan itu, polis menahan bapa mangsa, berusia 34 tahun bagi membantu siasatan.
Chew berkata, kanak-kanak itu masih menerima rawatan di hospital berkenaan dan pihaknya turut menggiatkan usaha mencari waris mangsa.
“Sekiranya waris kanak-kanak ini tidak dijumpai, perintah meletakkan sementara dia di rumah kanak-kanak Taman Bakti Kepala Batas akan diambil sehinggalah kanak-kanak ini diserahkan kepada anggota keluarganya atau orang yang layak dan sesuai (menjaganya),” tambahnya.
Sementara itu, Dr Azlina berkata pihaknya memberi makanan secara berperingkat kepada kanak-kanak itu dan akan mengambil sekurang-kurangnya sebulan bagi mengembalikan berat ideal.
“Dia dah lama tak diberi makan. Oleh itu, kita beri dia makanan perlahan-lahan sehingga dia boleh capai berat badan memuaskan. Sehingga ini, dia belum boleh lagi ambil makanan pepejal. Sekarang berat dia sudah naik dua kilograam kepada 10 kg dan kita cuba untuk capai antara 15 ke 20kg,” katanya. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 10:13 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/24825#sthash.Pz3oU7Cs.dpuf

Jumpa bayi dalam bungkusan sarung batik


Oleh Rosliza Mohamed
Kota Bharu: Bayi lelaki seberat 3.2 kilogram yang masih hidup dan bertali pusat ditemui berhampiran rumah di Kampung Gual Nering, Rantau Panjang, pada 24 Disember lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, bagaimanapun, laporan baru dibuat seorang kerani lelaki berusia 44 tahun di balai polis berdekatan, semalam kerana negeri ini dilanda banjir ketika itu.
Katanya, bayi lelaki itu ditemui dalam satu bungkusan batik sarung oleh kerani terbabit, kira-kira 6.30 petang sebelum penduduk di kampung terbabit menghubungi pihak bomba dan membawanya ke Hospital Pasir Mas.
"Kita dapati bayi lelaki yang masih bertali pusat itu ditemui masih hidup dalam bungkusan sarung batik berhampiran rumah kerani terbabit.
"Bayi terbabit kini dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 6:37 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/24814#sthash.mN3gLoTg.dpuf

Diberkas ketika cuba bakar surau


Oleh Mohamad Nafis Nawawi

am@hmetro.com.my
Rawang: Seorang lelaki berusia 36 tahun diberkas polis selepas dua kalu cuba membakar surau di Taman Jati, di sini, dalam tempoh kurang 12 jam.
Sumber berkata, dalam kejadian pertama 2.20 pagi ini, suspek dikatakan muncul menaiki motosikal sebelum membaling botol berisi petrol ke arah bumbung Surau Assyakirin.
Susulan kejadian itu, sepasukan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor melakukan siasatan di lokasi kejadian pada kira-kira 2 petang.
“Bagaimanapun, suspek muncul sekali lagi dengan membawa bom petrol. Lelaki itu kemudian membaling botol berkenaan ke dalam surau sebelum jatuh berhampiran anggota forensik,” katanya.
Dia berkata, anggota forensik itu kemudian bertindak mengejar suspek sebelum berlaku pergelutan.
“Suspek berbahaya itu akhirnya diberkas. Siasatan mendapati suspek pernah terbabit dalam jenayah memecah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Rawang,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 11:15 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/24830#sthash.D6ZALkpR.dpuf