Search This Blog

Sunday, January 18, 2015

Maut ditembak ketika minum

Oleh Asmah Rusman
Petaling Jaya: Seorang lelaki maut selepas terkena satu daripada empat das tembakan dilepaskan suspek menaiki kereta di kawasan parkir Taman Desa Ria, PJS5/18, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, mangsa mati akibat terkena tembakan di kepala yang dilepaskan dalam jarak kira-kira lima meter.
Beliau berkata, sebelum kejadian itu mangsa, S Suresh, 27, dikatakan sedang duduk minum bersama abang, jiran dan sepupu mangsa di belakang rumah mereka di Blok K.
"Kira-kira 12.15 tengah malam, datang seorang lelaki menaiki kereta Hyundai Sonata berwarna hitam menghampiri tempat mereka dan melepaskan empat das tembakan yang mana satu daripadanya terkena kepala mangsa," katanya.
Katanya, pemeriksaan di tempat kejadian menemui empat butir anak peluru pada ruang rumah, di hadapan pintu dan ruang dapur namun tiada kelongsong peluru ditemui.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 9:06 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/24577#sthash.QO58W4QU.dpuf

Sah kurang zat

Balik Pulau: Pemeriksaan doktor yang merawat kanak-kanak itu di Hospital Seberang Jaya mendapati kanak-kanak perempuan dipercayai dikurung dan didera di Butterworth semalam, didapati lemah dan kurang zat makanan.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, doktor mendapati kanak-kanak itu lemah kerana tidak mendapat makanan secukupnya.
“Selain kurang nutrisi, kanak-kanak itu juga mengalami gangguan psikologi dan berada dalam ketakutan apabila dihampiri orang. Mungkin mangsa trauma dengan kejadian itu (dera).
“Berdasarkan maklumat doktor yang merawatnya, ada kesan lebam lama dan baru pada badan kanak-kanak itu,” katanya pada majlis pemberian bantuan awal persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Balik Pulau, semalam.
Kanak-kanak tahun satu itu ditemui dalam keadaan lemah dan kelaparan di sebuah rumah di Sungai Dua yang tidak mempunyai bekalan air dan elektrik.
Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 5:24 AM


MANGSA yang kelaparan ketika ditemui dalam sebuah rumah di Sungai Dua, Butterworth.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/24569#sthash.cr9ax2pN.dpuf

‘Ustazah’ YouTube dikecam

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Suraya Roslan

am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tindakan wanita berusia 20-an mempertahankan isu gadis K-pop seperti seorang ‘ustazah’ tidak bertauliah dikecam pengguna laman maya selepas dia menyifatkan apa yang berlaku adalah ketentuan Allah.
Dalam video berdurasi 5 minit 42 saat itu, wanita berkenaan berkata, bukan saja gadis yang dipeluk artis K-pop itu diuji, malah masyarakat secara keseluruhannya juga menghadapi perkara sama.
“Bukan mereka saja diuji, malah kita sebenarnya diuji juga. Mereka yang berada di atas pentas dengan keizinan Allah SWT. Boleh saja sebenarnya Allah kata Aku tidak izinkan lalu mungkin akan ada perkara menghalang mereka untuk sampai ke konsert tersebut...,” katanya dalam video berkenaan... “...di sebalik video diviralkan, ALLAH sebenarnya mahu menguji kita ...yang hebat sangat menjadi keyboard warrior, yang maki, seolah-olah anda semua sangat hebat daripada anda lahir sampai sekarang. Jadi renung-renungkanlah diri sendiri apa sebenarnya hikmah dan pengajaran yang berlaku di sebalik peristiwa ini,” katanya.
Video dimuat naik ke YouTube itu kini menarik perhatian lebih 522,441 pelayar selain dikongsi 6,673 orang.
Semakan wartawan terhadap komen berkenaan mendapati kebanyakan pelayar mengecam pandangan wanita berkenaan.
Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 5:24 AM


ANTARA komen orang ramai di laman sosial yang mengecam pandangan wanita berkenaan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/24565#sthash.V41wJibV.dpuf

Jumpa pistol pula

Oleh Mohd Hilmie Hussin 
mohdhilmie@hmetro.com.my



Melaka: Polis menemui pistol jenis Beretta di sebuah unit kondominium yang terbakar dan menjadi tempat memproses dadah di Batang Tiga, Klebang, di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintendan Razali Abu Bakar berkata, pistol yang sebahagiannya terbakar itu ditemui hasil pemeriksaan semula di kediaman terbabit oleh sepasukan anggota bomba.
“Pistol itu ditemui pasukan bomba yang melakukan pemeriksaan semula di lokasi kebakaran jam 9 pagi tadi (semalam). Selain pistol yang ditemui di bawah sofa, kami turut menemui beberapa peluru dan kelopak peluru di kediaman berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, kegiatan memproses dadah secara besar-besaran di kediaman terbabit terbongkar selepas terbakar pada jam 10 malam, Khamis lalu.
Harian Metro semalam melaporkan, dadah seberat 20 kilogram bernilai jutaan ringgit berserta pelbagai peralatan makmal memproses dadah ditemui pihak berkuasa yang pergi ke kondominium berkenaan untuk memadamkan kebakaran.
Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 5:23 AM


KONDOMINIUM yang terbakar membawa kepada penemuan makmal memproses dadah dan pistol.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/24561#sthash.6xz159tN.dpuf

Stabil tetapi masih trauma

Oleh Mohd Hilmi Mahmud 
am@hmetro.com.my


Balik Pulau: Kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang dikurung dan disyaki mangsa dera bapa dilaporkan stabil namun masih lagi dalam keadaan trauma.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, mangsa akan terus ditempatkan di Hospital Seberang Jaya ( HSJ) sehingga pulih dan diberikan rawatan psikologi bagi mengurangkan trauma yang dialaminya.
"Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami gangguan emosi dan menyebabkan dia masih lagi dalam keadaan trauma.
"Sehubungan dengan itu, mangsa akan terus dirawat di Hospital berkenaan," katanya.
Hilmi berkata, mangsa akan dirawat sehingga pulih sepenuhnya sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarat (JKM) untuk tindakan selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 3:56 PM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/24598#sthash.5eGfZqPS.dpuf

Banjir: Lebih separuh mangsa di Perak dibenarkan pulang

KUALA LUMPUR: Lebih separuh mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Perak pulang ke kediaman masing-masing setakat 2 petang ini manakala jumlah mangsa di Kelantan mencatat sedikit penurunan.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa di kedua-dua negeri ini 769 orang berbanding 1,099 orang pagi tadi.
Di PERAK, jumlah mangsa banjir menurun kepada 267 mangsa petang ini berbanding 579 orang pagi tadi.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak berkata, jumlah mangsa di Perak Tengah kini 134 orang manakala di Hilir Perak (99) dan di Hulu Perak (34).
Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir merekodkan penurunan sedikit kepada 502 orang berbanding 520 orang pagi tadi.
Jurucakap MKN Kelantan berkata, setakat 2 petang ini, terdapat sebanyak 472 mangsa di Kuala Krai dan 30 mangsa di Machang.
Walaupun banjir sudah pulih, mereka masih ditempatkan di pusat pemindahan berikutan rumah musnah akibat banjir bulan lalu dan kerajaan sedang berusaha menyediakan kediaman sementara untuk mereka diami dalam tempoh terdekat.
- BERNAMA

Tahanan mati akibat komplikasi jantung


18 Januari 2015


GEORGETOWN - Seorang tahanan warga Afrika, mati akibat komplikasi jantung ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP), awal hari ini.
 
Phil Pott Fred, 63, dimasukkan ke HPP sejak semalam disebabkan mengalami bisul pada kaki kanannya sebelum disahkan meninggal pada 5.15 pagi.
 
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata lelaki terbabit ditahan di daerah Barat Daya atas kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, baru-baru ini.
 
"Suspek yang ditahan di Penjara Reman Pulau Pinang itu sepatutnya menghadiri perbicaraan kesnya di mahkamah pada 9 Feb," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
 
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati tiada sebarang kecederaan luar dikesan pada mayat lelaki itu dan doktor mengesahkan kematiannya disebabkan komplikasi jantung. - Bernama

Polis Tahan Lelaki Bawa 897 Gram Heroin


Diterbitkan: Ahad, 18 Januari 2015 1:39 PM

MELAKA: Polis menahan seorang lelaki yang membawa dua paket plastik lut sinar disyaki berisi dadah heroin seberat 897 gram dalam Ops Cegah Jenayah, malam Sabtu.
Jurucakap polis berkata, suspek berusia 21 tahun itu yang berasal dari Tambak Paya di sini ditahan ketika sekatan jalan raya di Lebuhraya Ayer Keroh berhampiran pintu gerbang Ayer Keroh di sini.
"Hasil pemeriksaan di bahagian tempat simpanan barang belakang kereta suspek, polis menemui sebuah beg hitam berisi dua paket plastik lut sinar tersebut.
"Lelaki yang kita tahan itu dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah  di beberapa kawasan Melaka Tengah," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Supritendan Razali Bakar mengesahkan penahanan berkenaan.

Trauma diserang juruteknik di pejabat


PUTRAJAYA 17 Jan. – Penjawat awam yang diserang secara tiba-tiba oleh juruteknik ketika bekerja lebih masa di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini malam semalam masih berada dalam ke­adaan trauma.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (gambar) berkata, mangsa yang sedang dirawat di Hospital Putrajaya tidak boleh tidur lena dan takut untuk menemui orang yang tidak dikenali.
“Fikiran mangsa sentiasa terganggu kerana masih bimbang di­serang secara tiba-tiba oleh orang yang tidak dikenali.
“Mangsa pada masa yang sama mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan hidung tetapi tidak mengalami pendarahan dalaman,” katanya kepada pemberita selepas melawat penjawat wanita berumur 30 tahun tersebut di Hospital Putrajaya di sini hari ini.
Kejadian serangan tersebut mendapat perhatian pelbagai pihak selepas gambar mangsa yang berlumuran darah dan sedang meminta tolong tersebar melalui Internet.
Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, mangsa yang masih bujang diserang pada kira-kira pukul 7 malam ketika bekerja melebihi masa.
“Mangsa mempunyai tugas yang belum disiapkan pada malam kejadian dan meminta bahagian penyelenggaraan bangunan supaya tidak memadamkan lampu pejabat.
“Juruteknik yang naik ke peja­batnya tiba-tiba melakukan serang­an dan mencederakannya, mangsa bagaimanapun sempat melarikan diri dan meminta tolong di kafe,” katanya.
Ahmad Shabery menjelaskan, penyelenggaraan bangunan adalah dikendalikan Jabatan Kerja Raya dan jabatan itu biasanya melantik kontraktor untuk melaksanakan tugas tersebut.
Beliau berkata, kega­nas­an terhadap wanita dan serangan di pejabat adalah perkara yang serius dan pihaknya akan memperkenalkan langkah baharu supaya kejadian tersebut tidak berulang.
“Saya akan mengadakan perjumpaan khas dengan semua warga kementerian supaya langkah ke­selamatan yang lebih kukuh dapat diperkenalkan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid ketika dihubungi berkata, suspek berusia 30-an ditahan reman selama se­minggu bermula hari ini dan disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Ke­seksaan.
Katanya, motif suspek melakukan serangan masih disiasat polis.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/trauma-diserang-juruteknik-di-pejabat-1.49093#sthash.2nUPfFqO.dpuf

20,000 epal Gala, Granny Smith dirampas di Sarawak


BALIK PULAU 18 Jan. - Kementerian Kesihatan merampas 20,000 biji epal jenis Gala dan Granny Smith yang disahkan dicemari bakteria Listeriosis di Sarawak pagi ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, rampasan itu dilakukan oleh penguat kuasa kementeriannya di Sibu dan Kuching.
Katanya, nilai rampasan mencecah RM82,000 dan hanya dua syarikat di negara ini iaitu di Sarawak yang dibenarkan mengimport buah- buahan berkenaan dari Amerika Syarikat (AS).
“Pada masa sama, kementerian menasihatkan orang ramai yang mengalami simptom seperti muntah dan batuk selepas memakan epal berkenaan supaya segera mendapatkan rawatan,” katanya. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/20-000-epal-gala-granny-smith-dirampas-di-sarawak-1.49133#sthash.p48E5PlA.dpuf

Anggota 'Geng Mamak' Didakwa Simpan Kereta Curi, Merompak


Diterbitkan: Jumaat, 16 Januari 2015 5:18 PM
Mohamad Yusof dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini, Ipoh atas tujuh pertuduhan termasuk menyimpan kereta curi dan memiliki senjata berbahaya serta peralatan pecah rumah.

IPOH: Seorang anggota 'Geng Mamak' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini atas tujuh pertuduhan termasuk menyimpan kereta curi dan memiliki senjata berbahaya serta peralatan pecah rumah.
Mohamad Yusof Abu Bakar, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.
Di Mahkamah Sesyen, dia didakwa memiliki sebilah parang panjang berhulu merah di hadapan rumah No 43, Persiaran Tembok 10, Taman Sri Desa di sini pada 6.20 petang, 6 Disember tahun lepas.
Mohamad Yusof didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Hakim Rihaida Rafie menetapkan 30 Januari untuk sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Suffian Jaafar tidak menawarkan sebarang jaminan dan memaklumkan mahkamah bahawa kes tertuduh diklasifikasi sebagai boleh mengganggu-gugat keselamatan negara.
Di Mahkamah Majistret, Mohamad Yusof berdepan pertuduhan menyimpan harta curi iaitu sebuah kereta Honda Civic yang dianggarkan bernilai RM80,000 milik Mardiyana Ahmad Halili, 34.
Dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum tujuh tahun, jika sabit kesalahan.
Majistret Nurul Asyifa Redzuan menetapkan 25 Februari untuk menyebut semula kes itu.
Di Mahkamah Majistret berasingan, Mohamad Yusof berdepan dua pertuduhan menyimpan kereta curi; dan dua pertuduhan iaitu memiliki peralatan pecah rumah seperti kuku kambing serta pemotong besar mengikut Seksyen 28(i)(ii) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan aset polis seperti gari dan vest mengikut Seksyen 89(a) Akta Polis 1967.
Dia juga didakwa memiliki dua set walkie-talkie jenama Motorola tanpa alasan munasabah mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mohamad Yusof didakwa melakukan kesemua kesalahan di tempat, pada masa dan tarikh sama.
Majistret Haslinda A. Raof menetapkan 25 Februari sebagai sebutan semula kes.
Sementara itu di TAIPING, seorang lagi anggota 'Geng Mamak' iaitu Mohamad Hanifa Abu Bakar, 32, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap Roslan Abd Ghani, 47.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Hanifa yang diwakili peguam P.Ravee, merompak wang tunai RM400 dan sebuah kereta BMW 5 series milik mangsa bersama empat lagi yang masih bebas dan didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran hentian rehat dan rawat Taiping Utara pada 10.50 malam, 18 September 2013.
Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Isa tidak menawarkan sebarang jaminan dan Hakim Mohd Sabri Ismail menetapkan 18 Februari sebagai sebutan semula kes.

Penjaja Naikkan Harga Makanan Secara Senyap


Diterbitkan: Ahad, 18 Januari 2015 8:30 AM

PETALING JAYA: Walaupun harga minyak menurun, penjaja di Lembah Klang, Pulau Pinang dan beberapa kawasan lain secara senyap telah menaikkan harga makanan sebanyak 10 hingga 20 peratus kerana bahan mentah yang mahal serta menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.

Contohnya harga semangkuk mee atau koay teow telah dinaikkan yang kosnya hanya di antara 50 sen dan RM1 lebih,  malah saiz hidangannya juga semakin kecil.

Pengurus Resolusi Pertikaian dan Undang-Undang Pusat Aduan Khidmat Pengguna Nasional (NCCC), Santhosh Kannan berkata, banyak aduan diterima melibatkan penjaja yang menaikkan harga tinggi atau mengurangkan saiz hidangan.

"Kami kerap mendapat aduan sejak November lalu. Rata-rata, kenaikan adalah antara 30 sen dan 40 sen tetapi untuk sesetengah jenis makanan, kenaikkan sehingga RM2, " katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah Mary Chew, 50, berkata penjual mee wan tan di Jalan Klang lama telah menaikkan harga sebanyak RM1 tanpa sebarang notis.

"Sebelum ini harga sepinggan RM5, namun kini dinaikkan RM6 tanpa menambah sebarang kandungan," katanya.

Beberapa kedai kopi di Bangsar dan Kota Damansara juga turut telah menaikkan harga sekurang-kurangnya 10 peratus sejak tahun baharu ini.

Seorang eksekutif, Bernadette Eng, 37, berkata harga semangkuk mi kepala ikan di Sri Kembangan, Selangor telah dinaikkan daripada RM7.50 kepada RM8.

Di Pulau Pinang, kenaikan harga ini memberi kesan terhadap imej negeri ini yang dianggap sebagai syurga makanan penjaja.

Amy Wong, 36, berkata sepinggan char koay teow bersaiz sederhana di George Town telah dinaikkan kepada RM6.50 sejak minggu lepas.

"Penjual memberitahu dia terpaksa mengenakan bayaran lebih RM1 kerana harga udang telah meningkat kepada RM80 sekilo, atau lebih daripada RM20 pada Disember," katanya.

Di Bayan Baru yang terkenal dengan char koay teow, penjaja mengenakan bayaran RM5 untuk pinggan bersaiz kecil.

"Kamu perlu makan empat pinggan untuk kenyang," jelas seorang pelanggan tetap di situ.

Pelajar Jane Ng, 21, berkata harga choo-char Cina (masak dan goreng) di Bayan Baru telah meningkat dengan ketara sejak dua minggu lalu.

"Pada Selasa, saya bersama rakan-rakan dikenakan bayaran RM60 untuk hidangan yang sama bagaimanapun sebelum ini harganya RM40.

"Ramai penjaja lain di pulau itu juga telah menaikkan harga kerana mereka berasa bimbang mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)," katanya.

Pengasas kumpulan PG Food Hunter A di facebook, Dr Joeson Khor berkata, makanan lebih mahal kerana penjaja mendakwa bahawa harga bahan-bahan mentah semakin meningkat.

Kumpulan itu kini mempunyai kira-kira 78,000 ahli itu ditubuhkan untuk memantau harga, perkhidmatan dan kualiti kedai makanan di Pulau Pinang.

Banjir: SPRM terima 45 aduan


KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga kini menerima sebanyak 45 aduan daripada mangsa banjir.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, berkata sembilan daripada aduan berkenaan berhubung ketidakpuasan hati berikutan tidak menerima bantuan bencana berkenaan.

Indonesia laksana hukuman tembak 6 pengedar dadah, termasuk 5 warga asing


ANGGOTA polis Indonesia mengawal ketat penjara dekat Nusakambangan di Cilacap, Jawa Tengah. - Foto AFP
JAKARTA: Indonesia melaksanakan hukuman tembak ke atas lima warga asing dan seorang wanita negara itu atas kesalahan mengedar dadah meskipun terdapat rayuan dari kerajaan negara rakyat terbabit.
Empat lelaki warga Brazil, Malawi, Nigeria dan Belanda serta wanita Indonesia itu ditembak mati secara serentak sebaik tengah malam tadi, beberapa kilometer dari penjara berciri keselamatan tinggi di Pulau Nusakambangan.
Seorang lagi wanita warga Vietnam melaksanakan hukuman itu di Boyolali, demikian menurut jurucakap Peguam Negara, Tony Spontana.
Kedua-dua penjara terletak di wilayah tengah Jawa.
Mayat mereka kemudian dibawa keluar dari pulau berkenaan oleh ambulans awal pagi ini sama ada untuk dituntut ahli keluarga atau kedutaan negara masing-masing.
Presiden Joko Widodo pada Disember lalu menolak rayuan terakhir pesalah terbabit.

MARCO Archer Cardoso Moreira, 53. - Foto Reuters
Beliau juga menolak di saat akhir rayuan yang dikemukakan Presiden Brazil, Dilma Rousseff dan kerajaan Belanda terhadap Marco Archer Cardoso Moreira, 53, (warga Belanda) dan Ang Kiem Soe, 52, yang dilahirkan di Papua namun memiliki kerakyatan Belanda.
Menteri Luar Belanda, Bert Koenders dalam satu kenyataan lewat malam tadi berkata, beliau sudah memanggil sementara dutanya di Indonesia dan mengarahkan wakil kerajaan di The Hague untuk memprotes hukuman terhadap Ang.
Beliau berkata, hukuman itu dijalankan meskipun Raja Willem-Alexander dan Perdana Menteri, Mark Rutte secara peribadi menghubungi Widodo.
Beliau menyifatkan pelaksanaan hukuman itu sebagai "kejam dan tidak berperikemanusiaan, menafikan hak dan maruah kemanusiaan."
Peguam Negara Indonesia, Muhammad Prasetyo berkata, pengedar dadah tidak dapat lari dari hukuman dan berharap hukuman berkenaan akan memberi kesan kepada yang lain. - AP

Lima maut keganasan anti-Charlie Hebdo di Niger

NIAMEY: Lima maut dalam keganasan membantah penyiaran kartun Nabi Muhammad dalam majalah mingguan satira Charlie Hebdi di ibu negara Niger apabila penunjuk perasaan membakar gereja, rumah dan premis perniagaan.
Penunjuk perasaan yang marah membakar sekurang-kurangnya lapan gereja di Niamey, selain mensasarkan hotel, bar dan beberapa bangunan kerajaan yang dimiliki bukan Islam atau ada kaitan dengan firma Perancis.
Keganasan masuk hari kedua di negara Afrika Barat itu meletus selepas lima terbunuh manakala 45 lagi cedera dalam tunjuk perasaan besar-besaran di bandar raya kedua terbesar, Zinder semalam.
"Ramai penduduk terpaksa mengurung diri di rumah kerana ketakutan," kata seorang penganut Kristian.
"Kerajaan patut menghentikan keganasan ini. Ia tidak baik untuk negara kita," katanya.
Setakat ini, pasukan polis masih berkawal di pinggir bandar serta ditempatkan di beberapa bangunan agama di Niamey.
"Di Niamey, angka korban adalah lima orang, semua mereka adalah orang awam," kata Presiden Niger, Mahamadou Issoufou dalam siaran televisyen yang meminta penduduk agar bertenang.
Beliau berkata, angka korban di Zinder meningkat kepada lima hari ini dengan empat mayat ditemui rentung di dalam sebuah gereja. - AFP

Remaja perempuan dikhuatiri lemas, empat terselamat bot karam di Mukah


PASUKAN menyelamat yang dibantu penduduk tempatan mencari seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang selepas perahu tambang dinaikinya karam di Sungai Mukah, di sini, hari ini. - Foto ihsan bomba
MUKAH: Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun dilaporkan hilang selepas perahu tambang dinaikinya karam di Sungai Mukah, di sini, kira-kira jam 6 pagi tadi.
Bagaimanapun, empat lagi mangsa, termasuk pemilik bot berkenaan berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai sebelum dibantu penduduk kampung.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika arus Sungai Mukah agak deras susulan hujan lebat yang berlanjutan sejak pagi semalam.
Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan kira-kira jam 7 pagi tadi oleh Balai Bomba dan Penyelamat Mukah.
Operasi SAR turut membabitkan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan tumpuan pencarian di sepanjang sungai berkenaan.

QZ8501: Bahaya Terbang Di Langit Sesak


Diterbitkan: Ahad, 18 Januari 2015 11:20 AM

JAKARTA: Terperangkap dalam ribut menyebabkan juruterbang AirAsia QZ8501 meminta untuk terbang lebih tinggi, bagaimanapun kebenaran untuk berbuat demikian tidak diperoleh serta merta kerana keadaan trafik udara yang sesak dan beberapa ketika selepas itu, pesawat berkenaan hilang dari radar.
Ketika punca tragedi di Indonesia itu masih dalam siasatan, pakar berkata, saat-saat akhir sebelum kemalangan itu menjurus kepada berbahayanya melakukan penerbangan di kawasan di mana keselamatan cuba dipenuhi seiring dengan keadaan langit yang sentiasa sesak.
Sektor penerbangan Asia Tenggara mencatatkan pertumbuhan pesat kebelakangan ini, di mana Indonesia menunjukkan peningkatan kerana ekonomi yang kukuh.
Bagaimanapun, pemerhati percaya kebanyakan syarikat penerbangan  usaha untuk mengutamakan aspek keselamatan tetapi kurangnya kakitangan terlatih dan infrastruktur sesuai berbanding jumlah pesawat yang bertambah adalah sesuatu yang membimbangkan.
Pengasas syarikat penyelidikan penerbangan berpangkalan di Malaysia, Endau Analytics, Shukor Yusof berkata, Malaysia dan Singapura cuba memenuhi aspek keselamatan itu, tetapi tidak di negara lain termasuk Indonesia.
"Mereka (Indonesia) perlu memperuntukan lebih masa dan usaha untuk membangunkan keupayaan untuk mengendalikan perkara ini," katanya sambil menambah ia termasuk latihan, infrastruktur dan keselamatan.
Sesetengah penganalisa bimbang sama ada kapasiti sistem kawalan trafik udara dapat bertahan atau sebaliknya, walaupun tiada sebarang tanda ke arah itu.
Aspek ini juga adalah punca pesawat AirAsia Indonesia terhempas pada 28 Disember lalu ketika dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura.
Keseluruhan 162 penumpang pesawat Airbus A320-200 itu terkorban dan setakat ini, 51 mayat ditemui, selain kotak hitam pesawat itu.
Tekanan terhadap kawalan trafik udara dikesan menjadi punca kemalangan pesawat Russia Sukhoi pada Mei 2012 di kawasan pergunungan di kepulauan Jawa yang mengorbankan 45 penumpang.
Walaupun kesalahan diletakkan pada juruterbang kerana tidak menghiraukan amaran daripada sistem pesawat itu, pada masa sama  petugas di bilik kawalan udara di Jakarta terpaksa berkomunikasi dengan 14 pesawat lain pada masa sama, menurut laporan siasatan kemalangan itu.
Malahan, sistem radar juga gagal memberi amaran kepada pesawat yang ketika itu terbang terlalu rendah.


Pemerhati juga menganggap selain juruterbang dan pengawal trafik udara berpengalaman, lebih ramai kakitangan berkemahiran juga diperlukan dalam keseluruhan industri penerbangan, termasuk pekerja penyelenggaran dan inspektor keselamatan.

Walaupun bimbang dengan situasi itu, pakar menegaskan bahawa Indonesia telah berjaya meningkatkan tahap keselamatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini susulan beberapa kemalangan maut sebelum ini.

Pada 2007, Kesatuan Eropah melarang semua syarikat Indonesia terbang ke rantau itu, kecuali Garuda.