Search This Blog

Thursday, January 15, 2015

7 rentung, kemalangan bas persiaran


7 rentung, kemalangan bas persiaran
TAPAH - Tujuh rentung dalam kejadian kemalangan melibatkan bas persiaran yang berlaku di Kilometer 326.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran susur keluar Tapah dalam kejadian yang berlaku awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, bas persiaran yang dipercayai membawa 30 penumpang termasuk pemandu dalam perjalanan dari Kuala Kurau menuju ke Genting Highlands sebelum terlibat dalam kemalangan tersebut.

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila bas persiaran berkenaan telah melanggar satu tayar yang berada di tengah jalan sebelum merempuh sebuah kereta Dahaitsu Charade yang diparkir di kiri jalan sebelum terbabas masuk ke dalam longkang dan terbakar.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Somsak Din Keliaw berkata, setakat ini tujuh ditemui mati,15 cedera parah dan tujuh lagi cedera ringan manakala seorang lagi masih disiasat.

Menurutnya kesemua mangsa maut termasuk 14 yang cedera parah dibawa ke Hospital Tapah manakala seorang lagi yang cedera parah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

"Setakat ini kami masih belum dapat mengenal pasti identiti mangsa maut dan siasatan masih terus dijalankan," katanya.

Suri rumah ditahan rancang sertai gerakan IS


Khalid Abu Bakar
Khalid Abu Bakar
SHAH ALAM – Seorang suri rumah antara tiga yang ditahan kerana cuba menyertai kumpulan Islamic State (IS) di Syria, hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar berkata, ketiga-tiga suspek yang merupakan warga tempatan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) antara 7 Januari hingga hari ini.

“Suspek pertama berusia 25 tahun dan merupakan bekas operator di sebuah kilang di Lembah Klang.

“Suspek kedua berusia 29 tahun dan merupakan bekas penyelia di sebuah kilang di Selangor. Manakala suspek ketiga pula suri rumah dan merupakan isteri kepada salah seorang suspek,” katanya seperti yang dipetik menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau lagi, ketiga-tiga suspek dikatakan pernah diusir dari Australia selepas didapati menyalahgunakan visa pelancongan yang dimiliki.

“Ketiga suspek disyaki terlibat dalam aktiviti merekrut dan menguruskan penghantaran tiga warganegara Malaysia ke Syria melalui sebuah negara ketiga sebelum ini,” katanya lagi.

Kesemua suspek yang ditangkap akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Lori tangki bawa petrol terbalik


Keadaan lori tangki yang terbalik menyebabkan pemandu mengalami kecederaan di Batu 15 Jalan Pahang.
Keadaan lori tangki yang terbalik menyebabkan pemandu mengalami kecederaan di Batu 15 Jalan Pahang.
TAPAH - Sebuah lori tangki membawa muatan petrol dan diesel terbalik di Batu 15, Jalan Pahang, dekat sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 pagi itu turut menyebabkan pemandu lori tangki itu cedera ringan.

Katanya, kejadian berlaku apabila pemandu lori tersebut dalam perjalanan dari Klang dengan muatan petrol dan diesel berjumlah 32,200 liter.

“Setibanya di selekoh, tiba-tiba tayar hadapan sebelah kiri masuk ke longkang kecil saluran air.

“Kejadian itu menyebabkan pemandu hilang kawalan dan mengiring ke sebelah tebing bukit,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Som Sak berkata, dalam kejadian itu minyak tidak tumpah dan proses pemindahan minyak diuruskan oleh pihak syarikat tersebut.

Menurutnya, anggota polis trafik dan bomba berkawal di tempat kejadian untuk mengelak berlaku kesesakan lalu lintas di kawasan itu.

Sementara itu, jurucakap Bomba dan Penyelamat Tapah berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 8.15 pagi dan sebaik tiba di lokasi mendapati lori berkenaan terbalik di bahu jalan dengan pemandunya cedera.

Katanya, pemandu berkenaan dikejarkan ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut.

“Kejadian itu menyebabkan berlaku kebocoran kecil pada tangki bahagian diesel dan dapat dikawal dengan menggunakan buih dan pasir,” katanya.

Wanita temui ajal lori dinaiki terbabas


Bomba terpaksa mengambil masa lebih dua jam untuk mengeluarkan kelindan tersebut.
Bomba terpaksa mengambil masa lebih dua jam untuk mengeluarkan kelindan tersebut.
PETALING JAYA - Seorang wanita dipercayai kelindan maut selepas lori yang dinaikinya terbabas sebelum terbalik ke dalam gaung di Kilometer 20 Lebuh raya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala ke Kota Damansara, tengah malam, semalam.

Difahamkan, kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, menyebabkan mangsa dikenali sebagai Mahsuri Abdul Latif, 50, maut di tempat kejadian akibat tersepit.

Bagaimanapun, pemandu lori yang berusia 50 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya mengambil masa 10 minit sebelum tiba di lokasi kejadian sebelum mendapati sebuah lori membawa muatan pasir terjunam ke gaung sedalam kira-kira 18 meter.

Menurutnya, lori tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit.

“Pemandu lori tersebut berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam. Namun, wanita terbabit mengalami kecederaan parah di anggota badan dan maut di tempat kejadian akibat di hempap kepala lori berkenaan.

“Pihaknya terpaksa menggunakan lori tunda untuk mengalihkan badan lori berkenaan sebelum mayat mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira jam 2.58 pagi,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.

Dua beranak ditetak penyamun


Keadaan Rahim yang cedera dan dirawat di HTAA, semalam.
Keadaan Rahim yang cedera dan dirawat di HTAA, semalam.
ROMPIN – Tindakan seorang pensyarah yang menjerit meminta tolong ketika kediamannya di Jalan 4 Kampung Janglau, dekat sini dipecah masuk kira-kira jam 2 pagi semalam menyebabkan dia dan anak lelakinya ditetak dengan parang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Rompin, Asisten Superintendan Zainul Mujahidin Mat Yudin, berkata, dalam kejadian itu, suspek yang dipercayai warga asing telah masuk ke dalam rumah pensyarah Kolej Vokasional Sultan Ahmad Shah Kuala Rompin, Rahim Darus, 58, melalui pintu belakang selepas mengumpilnya.

Sejurus itu katanya, empat suspek berkenaan telah pergi ke bilik seorang anak lelaki mangsa yang berusia 18 tahun dan mengikatnya terlebih dahulu sebelum membawanya ke bilik ibu bapanya.

“Suspek kemudian masuk ke dalam bilik Rahim yang sedang tidur dan seterusnya membuka lampu menyebabkan mangsa terkejut lalu menjerit tanpa henti walaupun telah diarahkan suspek supaya diam.

“Akibatnya, Rahim dipukul dengan kayu namun disebabkan dia masih enggan berhenti menjerit, suspek kemudian bertindak menetaknya dengan parang dan terkena pada tangan kanan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, dalam masa sama, anak lelakinya yang terikat itu cuba menyelamatkan bapanya namun malang bertimpa apabila dia turut ditetak.

“Bagaimanapun, kecederaan yang dialami anak lelaki mangsa tidak seteruk bapanya.

“Keadaan jadi kelam kabut apabila isteri Rahim bertindak menarik suami dan anaknya itu ke suatu sudut dan terus mengunci bilik berkenaan namun isteri mangsa tidak dicederakan kerana dia tidak menjerit,” katanya.

Katanya, apabila situasi jadi kelam kabut, berkemungkinan empat penyamun berkenaan jadi panik dan melarikan diri namun sempat mengambil dua telefon bimbit.

Zainul Mujahidin berkata, Unit Forensik dan anjing pengesan telah ke lokasi kejadian untuk membantu siasatan.

“Usaha menjejaki suspek sedang dijalankan manakala kedua mangsa dirawat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan,” katanya.

Saksi sedih tak sempat alih tayar


Keadaan bas yang terlibat dalam kemalangan tadi.
Keadaan bas yang terlibat dalam kemalangan tadi.
TAPAH - Seorang pemandu kereta melahirkan rasa sedih dan kesal kerana tidak sempat mengalih tayar yang terletak di atas jalan sehingga menyebabkan kemalangan yang membunuh lapan orang di sini, awal pagi tadi.
  
"Saya sangat terkejut dengan kejadian itu dan berasa sedih kerana niat asal saya ialah mahu mengalihkan tayar tersebut bagi mengelak kemalangan, namun sebaliknya saya melihat sendiri kemalangan ngeri di hadapan mata saya," kata Parvinder Singh, 35.
   
Beliau menceritakan tentang kemalangan yang berlaku di Kilometer 326.3 Lebuhraya Plus arah selatan berhampiran Tol Tapah kira-kira 1.15 pagi yang mengakibatkan lapan orang termasuk pemandu sebuah bas persiaran maut.
  
Bas berkenaan yang membawa 30 penumpang dari Kuala Kurau, Parit Buntar menuju Genting Highlands dilapor cuba mengelak sebuah tayar lori di tengah jalan sehingga menyebabkannya terbabas ke dalam parit dan terbakar.
  
Sebanyak 22 penumpangnya turut cedera.
   
Parvinder berkata, beliau dalam perjalanan untuk pulang ke Gopeng dan mahu melakukan Pusingan U di Tapah apabila terlihat sebiji tayar lori di tengah jalan dan terfikir untuk mengalihkannya bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
  
"Ketika saya berada di bahu jalan untuk mengawal lalu-lintas sebelum mengalihkan tayar tersebut, tiba-tiba datang sebuah bas melanggar tayar itu sehingga menyebabkan ia terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar pula kereta saya yang diletak kira-kira 100 meter dari situ," kata peronda 'bengkel bergerak' ini.
  
Beliau berkata akibat kejadian itu, api terus marak dan membakar bas persiaran terbabit dan keretanya.
  
Ketika itu beliau sedang menghubungi pihak Plus untuk mendapat bantuan.
  
Parvinder berkata, beliau sempat menolong mengeluarkan lima orang mangsa daripada bawah bas.
  
"Saya juga mendengar ramai orang menjerit meminta tolong, tapi saya tidak mampu hendak menolong semua mereka," katanya.
  
Beliau turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah. - Bernama

'Kalu mu nak tetak dia, tetak abah dulu'


Tertuduh dibawa oleh polis keluar dari mahkamah selepas dijatuhi hukuman.
Tertuduh dibawa oleh polis keluar dari mahkamah selepas dijatuhi hukuman.
KOTA BHARU - Padah buat seorang duda anak satu kerana kesalahan melakukan ugutan bunuh terhadap bapa dan adik angkatnya, dia dijatuhkan hukuman penjara dua tahun oleh mahkamah majistret, di sini, hari ini.

Tertuduh, Mohd Norizan Kamarudin, 34, didakwa mengugut dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Jusoh Hamat, 60, dan Muhammad Azim Zakaria, 17, di alamat Pasar Segar, sebelah balai polis Melor, di sini, pada jam 4 pagi, 12 Januari lalu.

Dalam kejadian itu, pengadu yang sedang tidur terdengar bunyi bising pergaduhan antara Muhamad Azim dan tertuduh dalam sebuah bilik. Pengadu pada mulanya berjaya meleraikan pergaduhan menyebabkan tertuduh keluar dari bilik, namun tanpa disangka dia masuk semula bersama sebilah golok.

Secara tiba-tiba, tertuduh mengangkat senjata ke arah Muhamad Azim menyebabkan pengadu pantas menolak mangsa ke dinding. Pengadu kemudian berdepan dengan tertuduh sambil berkata, “kalu mu nak tetak dia, tetak abah dulu.”


Malangnya, pengadu pula diacukan golok itu sebanyak tiga kali menyebabkan dia bertakbir “Allahuakhbar, Allahuakhbar, Allahuakhbar.” Tertuduh akhirnya menjauhkan diri dan keluar dari bilik sambil berkata, “nanti abah tak dok, aku akan tetak juga mu ni.”


Tertuduh pada mulanya menafikan ugutan terhadap bapanya dan berkata perbalahan itu berlaku antara dia dan adiknya sahaja, namun berdasarkan keterangan pengadu, kejadian sama sudah tiga kali berlaku tetapi pengadu tidak membuat laporan kerana mengharapkan tertuduh berubah.


Pada prosiding itu, Majistret, Nik Habri Muhamad kemudian membacakan keterangan impak pengadu yang menyatakan beliau berasa takut terhadap anak angkatnya itu kerana tertuduh adalah penagih dadah.


“Bapa kamu mohon hukuman berat dan kamu bernasib baik sebab dia tidak sebutkan berapa tahun. Kalau dia hendak lima tahun penjara pun saya akan bagi. Dia ambil kamu dari kecil dan jaga kamu sampai umur 34, tetapi yang terlalu menyedihkan ialah perbuatan kamu mengugut untuk membunuhnya. Walaupun hanya bapa angkat, dia sudah sama seperti bapa kamu sendiri,” katanya.

Debat: Selesaikan Dahulu Kes Eric Paulsen Di Mahkamah - Jakim


Diterbitkan: Khamis, 15 Januari 2015 8:41 PM
Othman Mustapha

PETALING JAYA: Kes membabitkan Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen perlu diselesaikan di mahkamah sebelum membuat cadangan untuk berdebat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di televisyen.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, kes Paulsen ketika ini masih dalam siasatan polis.
Sehubungan itu, beliau meminta supaya kes peguam berkenaan diselesaikan dahulu di mahkamah.
"Kes Eric sedang dalam siasatan polis, soal debat ini bukan soal isu, bukan soal pokok.
"Selesai dahulu kes dia di mahkamah. Dia tak boleh mengelak daripada siasatan ini dan beralih kepada usaha untuk mempertahankan diri melalui debat pula," katanya kepada mStar Online pada Khamis.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada Khamis berkata, kerajaan membuka peluang kepada peguam itu  untuk berdebat dengan Jakim di televisyen berhubung kenyataannya di Twitter mendakwa jabatan itu mempromosi ekstremisme.
Ahmad Shabery menganggap ruang tersebut perlu kerana lelaki itu bertanggungjawab memberi penjelasan mengenai kenyataannya itu supaya masyarakat lebih jelas dan dapat membuat penilaian.
Paulsen menerusi catatan di laman Twitter pada Jumaat lepas: "Jakim sedang menggalakkan ekstremisme pada setiap Jumaat dan kerajaan perlu menanganinya jika serius mahu membanteras ekstremisme di Malaysia".
Dia ditahan polis di Brickfields pada Isnin lalu, dilepaskan selepas ditahan reman dua hari.
Kertas siasatan berhubung kes itu akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara tidak lama lagi, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh.

Peguam Akan Dapat Arahan Lanjut Daripada Keluarga Altantuya


Diterbitkan: Rabu, 14 Januari 2015 10:42 PM
Dr.Shaariibuu Setev

KUALA LUMPUR: Berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Selasa, peguam Ramkarpal Singh Deo akan menulis surat kepada bapa Altantuya Shaariibuu bagi mendapatkan arahan lanjut berhubung saman yang difailkan keluarga wanita itu akibat kematiannya.

Ramkarpal berkata firmanya sedang meneliti penghakiman itu dan mungkin meminda kenyataan tuntutan yang difailkan keluarga berkenaan sebelum ini.

Pada 4 Jun 2014, ibu bapa Altantuya, Shaariibuu Setev dan Altantsetseg Sanjaa serta dua anak lelakinya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, masing-masing berusia sembilan dan empat tahun, memfailkan saman terhadap Cif Inspektor Azilah Hadri, Koperal Sirul Azhar Umar, Abdul Razak Abdullah Baginda dan kerajaan.

Dalam saman itu, keluarga Altantuya menuntut pampasan RM100 juta.

"Sebaik sahaja menerima jawapan daripada keluarga itu, kami akan failkan permohonan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk membuat pindaan terhadap afidavit yang diperlukan," katanya kepada Bernama pada Rabu. |

Ramkarpal berkata beliau juga akan menulis surat kepada mahkamah untuk memohon dipercepatkan tarikh bagi pengurusan kes itu. Katanya saman itu difailkan pada 2007, tetapi ditangguhkan prosidingnya sementara menunggu keputusan perbicaraan kes pembunuhan Altantuya.

"Oleh kerana perkara berkaitan jenayah itu kini sudah selesai, kami berharap saman ini dapat diselesaikan menjelang akhir tahun ini," katanya.

Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan membebaskan Azilah dan Sirul Azhar serta menjatuhi kukuman gantung sampai mati terhadap mereka kerana membunuh Altantuya setelah membenarkan pihak pendakwaan merayu mengenai keputusan pembebasan mereka.

Dalam kenyataan tuntutan mereka, keluarga Altantuya mendakwa kematian wanita itu mengakibatkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi, yang melayakkan mereka dibayar pampasan serta ganti rugi teladan dan teruk.

Mereka mendakwa Altantuya ditembak mati dan mayatnya diletupkan dengan bahan letupan C-4 oleh Azilah dan Sirul Azhar, anggota Unit Tindakan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan cebisan mayat wanita itu kemudian dijumpai di satu kawasan hutan di Puncak Alam, Shah Alam pada 7 November 2006.  

Mereka juga mendakwa penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, bersubahat dengan dua anggota polis itu dalam pembunuhan Altantuya.   

Kata mereka Azilah dan Sirul Azhar bertindak bercanggah dengan perlembagaan dan menyalahgunakan amanah yang diberi kepada mereka sebagai anggota PDRM dan penjawat awam dalam kerajaan Malaysia.

Keluarga itu mendakwa akibat tindakan Azilah, Sirul Azhar dan Abdul Razak,mereka mengalami kerugian, terutama dua anak lelaki Altantuya, yang kehilangan kasih sayang ibu dan satu-satunya pencari nafkah untuk mereka.

Shaariibuu, profesor psikologi dan Altantsetseg, yang tinggal di Bayangol District, 19 horoo, Block 56, Apartment 28, Ulanbaatar, Mongolia, berkata Altantuya dibesarkan di St Petersburg, Rusia dan mendapat pendidikan di Beijing, China.

Kes Deepa: Mahkamah Persekutuan Tangguh Arahan Hak Penjagaan


Diterbitkan: Rabu, 14 Januari 2015 4:30 PM

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan bapa mualaf, Izwan Abdullah untuk menangguhkan perintah supaya menyerahkan anak lelakinya berusia enam tahun kepada bekas isterinya, S. Deepa.

Keputusan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin turut membabitkan penangguhan perintah yang pernah dibuat oleh mahkamah yang lebih rendah sebelum ini.

Ia membabitkan penangguhan perintah Mahkamah Tinggi Seremban yang memberi hak penjagaan anaknya kepada ibu mereka dan mengarahkan polis mendapatkan kembali Mithran daripada Izwan pada 21 Mei 2014.

Sebelum ini Izwan memohon mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 17 Disember tahun lepas yang menolak rayuannya untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi Seremban yang memberikan hak penjagaan dua orang anaknya kepada Deepa.

Dia juga memohon kebenaran untuk merayu terhadap perintah mendapatkan semula anak yang diperoleh oleh Deepa daripada Mahkamah Tinggi yang mengarahkan pihak polis untuk mengesan Mithran yang dalam jagaan Izwan.

Pada 7 April, tahun lepas, Mahkamah tinggi menyerahkan hak penjagaan dua orang anak pasangan itu, Sharmila, 10, dan Mithran kepada ibu mereka.

Mahkamah juga memberi hak kepada Viran untuk melawat anaknya setiap minggu dan juga membenarkan permohonan Deepa bagi membubarkan perkahwinan sivil dengan Viran kerana dia (Izwan) telah memeluk Islam.

Pada 9 April, tahun lepas, Izwan dilaporkan telah melarikan Mithran.

Pasangan itu berkahwin pada Mac 2003 mengikut upacara agama Hindu.

Izwan, yang memeluk Islam pada 2011, menukarkan agama anaknya tanpa pengetahuan isterinya pada tahun yang sama dan kemudian memperoleh perintah daripada Mahkamah Syariah Seremban bagi hak penjagaan kanak-kanak itu.

Kali Terakhir Altantuya Masih Dilihat Masih Hidup Bersama Sirul & Azilah


Diterbitkan: Rabu, 14 Januari 2015 11:03 AM

PUTRAJAYA: Kali terakhir sesiapapun melihat wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu masih hidup ialah bersama dengan dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK), kata Mahkamah Persekutuan apabila menjatuhi hukuman mati ke atas kedua-duanya kerana membunuh model sambilan dan penterjemah berumur 28 tahun itu.

Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar yang menyampaikan keputusan sebulat suara itu berkata kehadiran dua anggota polis di rumah penganalisis politik Abdul Razak Baginda pada 19 Oktober, 2006 apabila si mati (Altantuya) dibawa, disahkan melalui keterangan mendiang P. Balasubramaniam yang merupakan penyiasat persendirian yang diupah Abdul Razak.

Beliau berkata berdasarkan bukti, mahkamah mendapati ketua Inspektor Azilah Hadri memandu kereta bekas teman wanitanya bersama-sama dengannya (bekas teman wanita) ke rumah Abdul Razak.

Katanya Azilah dan Koperal Sirul Azhar Umar bersama-sama dengan Altantuya dan bekas teman wanita Azilah, Lans Koperal Rohaniza Roslan, selepas itu kembali ke Bukit Aman (ibu pejabat polis persekutuan di Kuala Lumpur).

Suriyadi berkata pada mulanya Sirul Azhar memandu kereta Rohaniza sehingga ia sampai di satu persimpangan di mana dia keluar dan beralih ke kereta beliau untuk pulang ke Bukit Aman.

"Di Bukit Aman, PW7 (Rohaniza) meninggalkan responden (Azilah dan Sirul Azhar) bersama dengan si mati. Itulah kali terakhir sesiapapun melihat si mati masih hidup dan bersama dengan responden," katanya dalam keputusannya.

Suriyadi berkata dengan membuktikan bahawa dua anggota polis itu berada di dalam kereta bersama-sama dan kemudiannya berakhir di Puncak Alam, bukan sahaja memberikan kedua-dua orang itu dengan masa, ruang dan peluang untuk merumuskan perbuatan jenayah namun tidak mengendahkan kenyataan Azilah bahawa pembabitannya berakhir di Bukit Aman dan pembabitan Sirul Azhar berakhir di luar rumah Abdul Razak.

Suriyadi berkata rekod peranti tag pintar diambil daripada Sirul Azhar juga mengesahkan bahawa keretanya telah masuk dan keluar plaza tol Kota Damansara iaitu laluan biasa ke Puncak Alam, tempat kejadian jenayah.

Beliau berkata selipar berlumuran darah ditemui di dalam kereta Sirul Azhar dan penemuan barang kemas dalam jaketnya yang ditemui di rumahnya hanya boleh membawa kepada kesimpulan yang amat menarik - beliau mendapatkannya daripada si mati di Puncak Alam.

"Selipar yang ditinggalkan di dalam kereta sementara barang kemas disimpan di dalam rumah.. dan kenderaan untuk membawa barangan ini sudah pasti kereta kedua responden (Sirul Azhar), sambil menambah seseorang perlu berada di bukit Puncak Alam terlebih dahulu dalam usaha mendapatkan barangan itu daripada si mati.

Katanya log panggilan yang membuktikan bahawa Azilah telah membuat panggilan dari Puncak Alam menunjuk kepada kesimpulan menarik bahawa dia berada di bukit Puncak Alam bersama Sirul Azhar.

"Kereta kedua responden menjadi kenderaan yang digunakan untuk membawa responden dan si mati ke Puncak Alam," kata Suriyadi yang menambah bahawa menurut andaian secara logik, kedua-dua anggota polis itu mesti telah ada di sana lebih awal untuk berjaya menunjukkan lokasi kejadian jenayah dengan kereta Sirul Azhar sebagai mod pengangkutan.

Hakim itu berkata alibi Azilah bahawa dia tidak pernah berada di tempat kejadian pada masa itu tidak disokong dan hanya semata-mata penafian atas tuduhan bunuh itu.

Beliau berkata Azilah tidak mungkin berada di Bukit Aman atau Wangsa Maju pada masa itu kerana log panggilan menunjukkan dia telah membuat panggilan di tempat kejadian jenayah.

"Penemuan lokasi tempat kejadian jenayah dan dan kemunculan barangan tertentu yang dimiliki oleh si mati kerana maklumat yang diperoleh daripada Azilah dan Sirul Azhar,"

Beliau juga berkata Azilah dan Sirul Azhar secara sukarela membawa polis ke empat kejadian yang merupakan sebuah tempat yang jauh dan terpencil dan kawasan bukit yang tinggi, di mana mayat itu ditemui di tempat itu, yang kemudiannya terbukti adalah si mati.

"Mereka adalah anggota polis dari unit pasukan khas dan dijangka tidak mudah ditakut-takutkan, apatah lagi tidak ada keterangan yang dikemukakan oleh mereka telah ditakut-takutkan, didorong atau diseksa dalam sebarang bentuk oleh pasukan penyiasat," katanya.

Suriyadi berkata kenyataan pembelaan tidak bersumpah Sirul Azhar tidak memberikan banyak makna dan juga tidak konsisten dengan bukti lain yang meyakinkan dikemukakan di mahkamah.

Beliau berkata penemuan barang-barang kepunyaan si mati, selipar berlumuran darah dalam kereta Sirul Azhar dan barang kemas si mati ditemui di rumahnya dan keretanya dikesan di plaza Kota Damansara dalam perjalanan ke Puncak Alam, telah sama sekali mencemarkan kenyataan tidak bersumpahnya bahawa penglibatan beliau berakhir di luar rumah Abdul Razak itu, dan oleh itu meninggalkannya dengan tanpa pembelaan.

"Suriyadi berkata DSP Musa Safri yang tidak dipanggil sebagai saksi dan khidmat pesanan ringkas (SMS) antara Musa dan Abdul Razak dan Azilah yang tidak dikemukakan tidak menyebabkan ketidakadilan kepada responden.


Pada masa itu, Musa merupakan pembantu peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak, yang merupakan Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

Beliau berkata mahkamah berpuas hati bahawa SMS itu semata-mata pengesahan secara semula jadi dan yang terbaik, berguna kepada Abdul Razak hanya semata-mata kerana ia mengesahkan keterangan yang dikemukakan dua orang saksi pendakwaan bahawa sebelum itu Abdul Razak mempunyai hubungan dengan si mati dan dia meminta pertolongan Musa.

"Oleh kerana tidak ada pertikaian serius tentang hubungan ini, kami dengan itu tidak dapat melihat berapa banyak butiran yang boleh DSP Musa berikan yang boleh menyumbang kepada pembelaan responden.

"Dipanggil DSP Musa, apatah lagi mengemukakan SMS, tidak akan menjejaskan sekecilpun, bukti yang berkaitan dengan hubungan Abdul Razak sebelum itu, " katanya.

Suriyadi berkata mahkamah juga memerhatikan bahawa Musa tidak pernah mengarahkan Azilah tentang bagaimana untuk membantu Abdul Razak tetapi hanya diberitahu untuk bertemu dengan beliau dan Azilah selepas itu telah bertindak atas budi bicara dan perasaannya sendiri.

Nizar Dilepas Tanpa Bebas Daripada Pertuduhan Fitnah PM


Diterbitkan: Selasa, 13 Januari 2015 6:51 PM
Mohammad Nizar (dua kiri) bersama penguam dan kawan-kawannya ketika hadir di Mahkamah Sesyen,Ipoh pada Selasa.

IPOH: Mahkamah Sesyen di sini melepas tanpa membebaskan bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada pertuduhan memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hampir tiga tahun lepas. 

Hakim Rihaida Rafie membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal pembelaan diketuai Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden yang membangkitkan isu siapa yang sepatutnya membuat aduan dalam kes berkenaan.  

Dalam penghakimannya, Rihaida berkata mahkamah menerima hujah Timbalan Pendakwa Raya Mohd Masri Daud bahawa mengikut Seksyen 131 Kanun Tatacara Jenayah, aduan orang yang teraniaya boleh dibuat oleh Pendakwa Raya atau Timbalan Pendakwa Raya. 

Bagaimanapun, beliau memutuskan bahawa aduan yang dibuat dalam kes ini adalah cacat dan tidak boleh diterima kerana terdapat kekeliruan siapa yang sebenarnya membuat aduan, iaitu sama ada Timbalan Pendakwa Raya Datuk Hanafiah Zakaria atau Timbalan Pendakwa Raya Mohd Masri Daud. 

Rihaida juga berkata berdasarkan saman yang dikeluarkan mahkamah terhadap Mohammad Nizar, borang aduan kes itu ditandatangani seorang pegawai polis iaitu ASP Zulkarnain Samsudin.

"Jadi mahkamah mendapati ada pelanggaran terhadap Seksyen 131 Kanun Tatacara Jenayah (yang memperuntukkan bahawa aduan perlu dibuat oleh Pendakwa Raya atau Timbalan Pendakwa Raya). 

"Oleh itu, mahkamah membenarkan bantahan awal pembelaan dan tiada pilihan selain melepas tanpa membebaskan OKS (orang kena saman)," katanya. 

Pada Isnin, Mohd Yusof berhujah dalam kes ini, memandangkan Perdana Menteri tidak membuat aduan, maka orang yang sepatutnya berbuat demikian ialah Pendakwa Raya atau Peguam Negara. 

Beliau berkata jika mahkamah tidak menerima hujah itu dan memutuskan bahawaTimbalan Pendakwa Raya juga boleh membuat aduan, maka mahkamah perlu menimbang fakta bahawa borang aduan dalam kes ini ditandatangani ASP Zulkarnain, iaitu pegawai penyiasat kes berkenaan. 

Dalam hujahnya, Mohd Masri memaklumkan bahawa meskipun borang aduan dalam kes ini ditandatangani ASP Zulkarnain, Jabatan Peguam Negara menyertakan satu lampiran yang ditandatangani beliau.

Bagaimanapun, Mohd Yusof berkata nama Hanafiah turut ada dalam lampiran yang ditandatangani Mohd Masri, jadi isu yang timbul ialah siapa pengadu sebenar dalam kes ini. 

Mohammad Nizar, 58, yang beralamat di Sungai Rokam di sini didakwa memfitnah Najib dalam ucapannya kepada orang ramai di Taman Desa Pakatan di sini, antara pukul 9 malam dan 12 tengah malam, 23 April 2012. 

Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak didakwa mengetahui tohmahan seperti yang terkandung dalam transkrip ucapan dalam Lampiran A, yang disertakan bersama-sama kertas pertuduhan itu, akan merosakkan nama baik Najib.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mohammad Nizar diwakili 13 peguam yang diketuai Mohd Yusof manakala pihak pendakwaan diwakili Mohd Masri, yang juga Ketua Unit Pendakwaan Negeri Perak,dan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab. -BERNAMA

Ketua Agensi Antirasuah Indonesia Diaibkan


Diterbitkan: Rabu, 14 Januari 2015 4:59 PM
Foto yang menimbulkan pelbagai persoalan sama ada ia asli atau palsu.

JAKARTA: Mungkinkah ‘perang’ antara penyokong Presiden Joko Widodo (Jokowi) dengan agensi antirasuah Indonesia sedang berlangsung ekoran kegagalan bekas Gabenor Jakarta itu menaikkan calon ketua polis pilihannya?
Beberapa hari lalu Jokowi menamakan Budi Gunawan sebagai bakal Ketua Polis Indonesia menggantikan Jeneral Sutarman – yang sepatutnya terus berkhidmat sehingga sekurang-kurangnya Oktober ini.
Tindakan itu mengundang rasa tidak puas hati banyak pihak, terutama apabila mereka melihat pelantikan itu dibuat atas keinginan Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan, Megawati Sukarnoputri.
Pada Selasa, Komisi Pembanterasan Korupsi (KPK) mengumumkan Budi sedang disiasat kerana disyaki menyalahgunakan kuasanya sebagai pegawai polis, selain kedudukan akaun banknya yang meragukan.
Pengumuman itu sekali gus mengganggu rancangan Jokowi melantik Budi sebagai Ketua Polis Indonesia.
Hari ini beredar pula gambar Ketua KPK, Abraham Samad dalam keadaan berkucupan dengan seorang wanita tidak dikenali, tetapi disebut-sebut seperti pemenang pertandingan Puteri Indonesia 2014, Elvira Devinamira Wirayanti.
Mengulas gambarnya, tokoh antirasuah yang tegas dan pernah disebut-sebut sebagai gandingan yang baik untuk Jokowi dalam pilihan raya presiden negara itu tahun lalu berkata, ia adalah rekaan digital yang dibuat untuk mengaibkannya.
“Selama ini pun ramai orang yang meminta saya bergambar dengan mereka,” katanya.
Menurut Abraham, ada kemungkinan gambar itu dicipta sebagai tindak balas kenyataannya mengenai Budi pada Selasa.
Namun, seorang pengamal aplikasi Photoshop, Agan Harapan berkata, gambar itu adalah asli.
“Jika ia direka, pembuatnya sangat hebat dan mahir.
“Pada anggapan saya, gambar Abraham itu diambil dari telefon bimbit kerana resolusinya rendah dan menyukarkan untuk diubah suai. Saya yakin 80 peratus gambar itu asli,” katanya.

'Allahu Akbar' Kata-Kata Terakhir Kapten Irianto - Penyiasat Kotak Hitam


Diterbitkan: Rabu, 14 Januari 2015 8:10 PM
Kapten Irianto

JAKARTA: Penyiasat kotak hitam pesawat AirAsia QZ8501 yang terhempas baru-baru ini mendedahkan kata-kata terakhir Kapten Irianto.

Menurut Nurcahyo Utomo dan Pasukan Keselamatan Pengaangkutan Nasional (KNKT) berkata, ayat terakhir adalah 'Allahu Akbar' sebelum terputus hubungan.

Dalam masa sama Nurcahyo mengakui sebak ketika menjalankan siasatan kotak hitam itu yang boleh mengganggu kekuatan mental.

"Mendengar rakaman kotak hitam sesebuah pesawat bukanlah seperti mendengar muzik atau perbincangan lain.

"Ia sangat sukar untuk mendengar kata-kata seorang yang dikenali, malah dia telah mengajar saya bagaimana untuk menerbangkan pesawat ketika bersama dalam pasukan Angkatan Tentera Indonesia," jelasnya dalam kenyataan yang dipetik dari Tribune.news.com pada Rabu.

Katanya juga, percakapan terakhir itu jugalah yang akan membawa kepada punca pesawat itu terhempas.

"Daripada percakapan juruterbang dan pembantu juruterbang itu kami dapat mengetahui apa sebenarnya yang akan terjadi," tambahnya.

Bom Palsu: Penumpang Pesawat Panik


Diterbitkan: Khamis, 15 Januari 2015 10:44 AM

ROM: Suasana panik tercetus dalam pesawat ke Vienna beberapa minit sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Fiumicino di sini apabila seorang penumpang mendakwa membawa bahan letupan.
Tindakan penumpang itu memaklumkan kepada kapten pesawat berkenaan menyebabkan laporan kecemasan mengenainya beg penumpang yang didakwa mengandungi bom terpaksa dibuat.
Lebih kecoh lagi apabila semua penumpang yang menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan tambang murah Austria, Fly Niki itu diarah segera mengosongkan pesawat itu.
Sebagai langkah keselamatan, pesawat itu dibawa ke sebuah kawasan terasing di kawasan lapangan terbang sebelum penumpang diarah keluar.
Bagaimanapun kata agensi media Itali, AGI, bahan letupan berkenaan tidak ditemui selepas pihak berkuasa menjalankan operasi mencari di dalam pesawat.
Susulan itu, penumpang yang mencetuskan suasana panik itu kemudian ditahan untuk disoal siasat dan mendapati suspek adalah warga negara Slovenia.
Trafik udara di Lapangan Terbang Fiumicino, lapangan terbang antarabangsa utama di Rom terjejas hampir setengah jam. 

Wanita potong alat sulit suami dua kali


 Fan bergaduh dengan isterinya di luar hospital selepas kemaluannya digunting kali kedua . - Foto ihsan Mirror
Fan bergaduh dengan isterinya di luar hospital selepas kemaluannya digunting kali kedua . - Foto ihsan Mirror
SHANGQUI - CHINA. Seorang wanita ditahan kerana memotong alat sulit suaminya yang dikatakan curang dengan wanita lain.

Menurut laporan Mirror, Fan Lung, 32 menggunakan telefon bimbit isterinya untuk menghantar mesej kepada kekasihnya, Zhang Hung, 21, namun terlupa untuk log keluar akaun emelnya dan apabila  isterinya, Feng, 30 meneliti telefon, dia menemui mesej yang dihantar suamninya.

Berang dengan kejadian itu, wanita tersebut kemudiannya mengambil gunting dan memotong alat sulit suaminya semasa lelaki tersebut sedang tidur.

Fan kemudiannya dikejarkan ke hospital dan alat sulitnya berjaya disambung semula.

Walaubagaimanapun, Feng dikatakan menyusup masuk ke bilik hospital dan memotong kembali alat sulit suaminya dan kemudian membuangnya ke luar tingkap.

Menurut jurucakap hospital, pihaknya hanya menyedari kejadian tersebut selepas diberitahu seorang lelaki bogel sedang memukul seorang wanita di luar hospital

"Staff bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku dan mendapati darah mengalir di kaki lelaki itu", katanya.

Doktor dan polis berusaha mencari bahagian alat sulit yang telah dipotong di luar hospital tetapi tidak berjaya dan percaya ia mungkin sudah dibawa lari haiwan jalanan.

Jurucakap hospital menambah, lelaki itu kehilangan banyak darah dan telah menjalani pembedahan.

"Dia berada dalam keadaan stabil, tapi masih dalam keadaan tertekan.

Dalam pada itu, kekasih lelaki tersebut berkata mereka akan segera berkahwin.

"Saya tidak kisah dia kehilangan alat sulitnya kerana dia telah mempunyai lima orang anak", katanya.

Penduduk gempar minum air mayat reput


WARTAWAN SINAR HARIAN
15 Januari 2015


MEXICO CITY – MEXICO. Penduduk di sebuah perumahan gempar apabila pihak berkuasa memaklumkan menjumpai mayat seorang wanita terapung di dalam tangki simpanan air di blok perumahan tersebut.

Memetik laporan dari portal berita Metro.co.uk, mayat Carmen Yarira Noriega Esparza, 27, dijumpai mereput di dalam tangki tersebut selepas penduduk di kejiranan itu mengadu air yang diminum oleh mereka terasa ‘pelik’ dan aneh.

Menurut pihak berkuasa, Yarira dipercayai hilang hampir setahun lalu dan kali terakhir dilihat di sebuah gimnasium di pusat bandar pada Februari lepas.

Walaupun kertas siasatan dibuka untuk menyiasat kehilangannya, Yarira masih tidak dapat ditemui.

Sejurus selepas polis menghentikan siasatan, ahli keluarga dan rakan-rakannya memulakan carian menerusi media sosial.

Ia dilakukan bagi menemukan sebarang petunjuk baharu berhubung kehilangan gadis itu.

Difahamkan, Yarira merupakan pelajar psikologi yang bercita-cita untuk menjadi pelakon.

Seorang rakan, Pal Javier Paz, 30, berkata, Yarira merupakan seorang gadis cantik yang baik dan berbakat.

“Bila dia tidak muncul di klinik, di mana tempat dia bekerja, kami ingat dia diculik dan dijadikan hamba dalam perdagangan seks.

“Rupa-rupanya selama ini (mayat) dia  berada di blok apartmentnya sepanjang masa,” katanya.

Polis China selamatkan 37 bayi


Seorang daripada 37 bayi yang diselamatkan polis dalam serbuan di beberapa lokasi dijadikan kilang bayi di wilayah timur Shandong.
Seorang daripada 37 bayi yang diselamatkan polis dalam serbuan di beberapa lokasi dijadikan kilang bayi di wilayah timur Shandong.
BEIJING - CHINA. Polis China menyelamatkan puluhan bayi baru lahir selepas menyerbu beberapa kilang haram yang dikendalikan geng pemerdagangan manusia di wilayah timur Shandong.

Menurut Press TV, dalam serbuan itu, polis menyelamatkan 37 bayi dan menahan 103 suspek di empat bandar iaitu Taian, Linyi, Qufu dan Jining.

Ketika diselamatkan, bayi-bayi berkenaan ditemui di atas lantai yang kotor serta diberi makan mi dan sisa sayuran.

"Kami menemui 37 bayi dan tiada seorang pun dalam keadaan sihat. Malah, sekurang-kurangnya tujuh bayi dilahirkan dengan Aids," kata jurucakap polis.

Pihak berkuasa percaya, ahli sindiket membayar beberapa wanita untuk menjadi ibu tumpang dan melahirkan bayi di dalam kilang.

"Biasanya, ibu tumpang dibayar AS$7,500 (RM26,968)," kata Pengarah Unit Antipenyeludupan China, Chen Shiqu.

CIA didakwa terlibat


Suspek serangan Charlie Hebdo kelihatan tenang sebelum menyerang pejabat majalah itu di Paris, minggu lalu.
Suspek serangan Charlie Hebdo kelihatan tenang sebelum menyerang pejabat majalah itu di Paris, minggu lalu.
SACRAMENTO - CALIFORNIA. Serangan berdarah di Paris minggu lalu dipercayai operasi palsu Biro Penyiasat Pusat (CIA), menurut penyelidik bebas Soraya Sepahpour Ulrich, di California.

Maklumat terbaharu mengesahkan, salah seorang lelaki yang bertanggungjawab dalam serangan mengorbankan 12 orang itu didakwa pernah tinggal bersama lelaki Nigeria yang gagal dalam sebuah misi pengeboman lima tahun lalu.

Menurut Press TV, Umar Farouk Abdulmutallab didapati bersalah cuba meletupkan bahan letupan disembunyikan dalam seluar dalamnya ketika menaiki penerbangan 253 Northwest Airlines dari Amsterdam ke Detroit, Michigan.

"Kejadian di Paris menimbulkan banyak teka teki dan seseorang perlu mencari jawapan serta hubung kait tentang apa sebenarnya yang berlaku," katanya.

Menurutnya lagi, seperti contoh pada 2012 dunia diberitahu bahawa Abdulmutallab bekerja dengan perisikan Arab Saudi dan CIA ketika melalui keselamatan lapangan terbang di Amerika Syarikat.

"Pembaca dihidangkan dengan banyak penipuan di mana maklumat akhir akan kembali kepada perkhidmatan perisikan seperti CIA. Seperti kes di Paris, ia mempunyai banyak keraguan dan tanda tanya," katanya.

29 maut keracunan alkohol di India


Lebih 100 orang dimasukkan ke hospital. - Foto BBC
Lebih 100 orang dimasukkan ke hospital. - Foto BBC
UTTAR PRADESH - INDIA. Sekurang-kurang 29 maut manakala lebih 100 orang lagi masih dirawat di hospital selepas minum alkohol bertoksik di sini, semalam.

Penduduk di beberapa buah kampung di Lucknow dan Unnao jatuh sakit selepas meminum minuman tersebut.

Pegawai kerajaan, Anil Garg berkata, mangsa adalah terdiri daripada penonton yang menyaksikan perlawanan kriket di sebuah kampung di daerah Lucknow.

Memetik laporan BBC, keadaan beberapa mangsa adalah kritikal dan sebilangan diletak dibawah pemerhatian dan ada sebahagian kehilangan penglihatan.

Dalam pada itu, penjual minuman berkenaan telah ditahan dan bahan kimia yang dijumpai di kedai berkenaan turut dirampas untuk di uji kaji.

Anak dipenjara kerana cuba selamatkan ibu


Benjamin Wilson
Benjamin Wilson
SEORANG remaja lelaki yang bertindak memukul bapanya dengan tukul besi untuk mempertahan dan menghentikan serangan lelaki itu terhadap ibunya dijatuhi hukuman penjara enam tahun.

Menurut laporan Mirror, ketika kejadian, Benjamin Wilson, 22, terdengar jeritan ibunya dari bilik tidur di tingkat atas dan segera mencapai senjata sebelum memukul Craig, 46, yang ketika itu sedang menyerang ibunya.

Wilson memukul bapanya lebih lima kali di kepala dan muka sebelum meninggalkan rumah. Bagaimanapun, dia kemudiannya menyerahkan diri di balai polis dan memberitahu pegawai dia telah membunuh bapanya.

Setelah mendengar keterangan kes, Mahkamah Teesside Crown pada awalnya menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun berikutan kecederaan parah dan kerosakan otak yang dialami bapanya.

Namun sebaliknya, hukuman dikurangkan setelah hakim berpendapat tindakan Wilson adalah disebabkan provokasi daripada Craig.

Hukuman yang dijatuhkan ke atas Wilson menimbulkan rasa tidak puas hati ramai orang dan difahamkan, ribuan petisyen telah ditandatangani menggesa agar Wilson dibebaskan kerana dia hanya mangsa keadaan.

Pesakit mental bunuh jururawat


Sharon Wall
Sharon Wall
GARA-GARA membunuh jururawat yang menjaganya di sebuah hospital psikiatri, seorang lelaki warga emas terpaksa menghabiskan sisa hidupnya di sebalik tirai besi selepas dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Menurut laporan Mirror, Ryan Matthews, 62, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah membunuh Sharon Wall, 53, di Hospital Wotton Lawn di Gloucester, England, pada 9 Julai tahun lalu.

Ketika kejadian, Wall yang telah bekerja selama lebih 20 tahun dengan pesakit mental dipercayai baru selesai bertugas syif malam selepas dia melakukan rutin pemeriksaan pusingan keadaan pesakit sebelum pulang.

Polis percaya, suspek hanya mengambil masa beberapa minit untuk menyerang dan menikam mangsa dengan pisau dapur di laluan kaki lima di Unit Montpellier hospital itu.

Serangan yang berlaku sekitar pukul 7.30 malam (waktu tempatan) itu, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia beberapa jam selepas dirawat.

Kira-kira seminit sebelum insiden serangan, rakaman kamera litar tertutup menunjukkan suspek sempat menghisap rokok sebelum menyerang dan membunuh mangsa dengan kejam.

Dalam video pembunuhan selama beberapa minit itu, suspek kelihatan tenang dan selesa sambil bersandar di dinding hospital berkenaan. Bagaimanapun, ketenangannya itu dilihat berbeza ketika dia memulakan serangan terhadap Wall.

Empat penumpang rentung


Dhaka: Empat penumpang bas Bangladesh rentung selepas terbakar hidup-hidup apabila penunjuk perasaan antikerajaan melontar bom petrol ke arah kenderaan yang penuh dengan penumpang semalam.
Kejadian itu meningkatkan jumlah kematian akibat mogok di seluruh negara itu kepada 18.
Bangladesh dilanda keganasan politik sejak beberapa dekad dan krisis terbaru meletus 5 Januari lalu selepas tunjuk perasaan diadakan sempena ulang tahun pertama pilihan raya yang dipertikaikan tahun lalu.
Mogok berkenaan diketuai Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) untuk memaksa kerajaan mengadakan pilihan raya baru. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 5:02 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/23857#sthash.LZ2Hev5U.dpuf

Seludup isteri dalam beg


London: Seorang lelaki Latvia cuba menyeludup isterinya dalam beg pakaian untuk memasuki Britain selepas permohonannya untuk mendapatkan visaditolak.
Perbuatan Bogden Croitor terbongkar selepas keretanya ditahan oleh pegawai imigeresen ketika tiba di pelabuhan kereta di Dover, Kent.
Selepas menemui beg itu di dalam kereta, mereka membukanya dan menemui si isteri di dalam beg berkenaan.
Croiter, 30, dibenarkan tinggal di United Kingdom, tetapi isterinya, warga Moldova, sudah dua kali gagal mendapatkan visa untuk memasuki negara itu.
Dia memberitahu pegawai, ketika berada di Calais di utara Perancis untuk menghabiskan hujung minggu bersama isterinya Oktober lalu, wanita itu mengesyorkan supaya dia bersembunyi dalam beg pakaian berkenaan.
Peguam Croitor, Natasha Spreadborough memberitahu Mahkamah Canterbury Crown, isteri anak guamnya sudah berulang kali memohon visa tetapi ditolak.
Croiter dihukum penjara 14 bulan yang ditunda selama dua tahun serta kerja kemasyarakatan tanpa gaji selama 100 jam di samping membayar kos mahkamah sebanyak £400 (RM 2,185). - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 5:02 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/23856#sthash.pKGqQPIU.dpuf

Bakar keluarga suami


Bergville (Afrika Selatan): Seorang wanita dilapor membakar keluarga suaminya selepas menuduh mereka bercakap buruk mengenainya.
Pelajar kejururawatan Zanele Zikode, 34, mati akibat melecur selepas seminggu dirawat di hospital.
Tiga lagi anggota keluarganya, termasuk wanita berusia 75 tahun, masih dalam Unit Rawatan Rapi di hospital berkenaan.
Seorang mangsa yang terselamat berkata, kejadian bermula apabila suspek menuduh mereka bercakap buruk mengenainya kira-kira sebulan lalu.
“Dia keluar dari rumah keluarga kami bersama-sama suaminya kerana marah selepas menuduh kami bercakap buruk mengenainya. Dia juga tidak mahu berterus terang,” kata Nathi Zikode.
Kelmarin, bapa Nathi mengadakan pertemuan keluarga tetapi wanita itu enggan menjelaskan masalahnya.
“Beberapa minit kemudian, dia menyimbah petrol pada mangsa sebelum mencampakkan api ketika mereka duduk di bawah pokok,” katanya.
Menurut Nathi, suspek dibebaskan dengan ikat jamin selepas dihadapkan ke mahkamah, semalam.
“Dia langsung tidak datang untuk meminta maaf. Malah, keluarganya juga tidak muncul. Dia menghilangkan diri begitu saja bersama-sama abang saya,” kata Nathi. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 5:02 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/23858#sthash.hZhaCvl2.dpuf

80 mayat dalam sungai

AFP
Lucknow, India: Lapan puluh mayat ditemui terapung dalam sungai Gangga, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai masalah kebersihan sungai yang dianggap suci oleh penganut Hindu, tempat jutaan mereka membakar mayat anggota keluarga masing-masing.
Mayat itu ditemui terapung dalam anak sungai yang cetek berhampiran kawasan membakar mayat di Uttar Pradesh, negeri di utara India.
Rakaman televisyen turut menunjukkan anjing dan burung memakan mayat yang sudah kembung dan reput yang terapung di permukaan air.
Seorang pegawai menganggarkan sebanyak 80 mayat sudah diangkat naik tetapi memberi amaran jumlah itu mungkin meningkat.
“Mungkin terdapat sekitar 100 mayat tetapi kami belum dapat memastikan jumlah sebenar,” kata majsitret daerah Saumya Agarwal.
Mayat berkenaan timbul selepas air semakin cetek.
“Kami berusaha mencari punca dan sudah menghantar sepasukan doktor ke tempat itu untuk mengumpul sampel daripada mayat berkenaan untuk menyiasat kes itu,” katanya.
Pegawai kanan polis Satish Ganesh berkata, mayat terbabit mungkin ditanam di hulu sungai di kawasan pembakaran mayat yang dikenali Pariyar Ghat sebelum ia hanyut dan terperangkap di kawasan air cetek.
Sudah menjadi kebiasaan penganut Hindu membakar mayat anggota keluarga mereka secara terbuka sebelum menabur abu mayat ke dalam sungai Gangga.
Bagi keluarga miskin yang tidak mampu membeli kayu api dan bahan lain untuk membakar mayat, mereka sering menempatkan mayat anggota keluarga masing-masing di dalam sungai tanpa membakarnya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 5:04 AM


PENGANUT hindu mandi di Sungai Gangga sempena festival Makar Sankranti, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/23860#sthash.sXcT2Edy.dpuf