14 Januari 2015
PUTRAJAYA - Keharuan menyelubungi perasaan seorang ibu hari ini apabila setelah sembilan bulan terpisah, dia berpeluang bertemu semula dengan anaknya yang menjadi fokus dalam pertikaian hak penjagaan setelah bekas suaminya memeluk Islam.
S. Deepa, 32, tidak dapat menahan air mata ketika berbual selama kira-kira lima minit dengan anak lelakinya yang berusia tujuh tahun itu. Pertemuan itu ditemani bekas suaminya, Izwan Abdullah, yang bernama N. Viran ketika beragama Hindu.
Izwan, 31, membawa anaknya ke Mahkamah Persekutuan hari ini bagi mematuhi perintah mahkamah.
"Dia memberitahu saya dia sayang kepada saya, tapi tidak tahu hendak berbuat apa-apa kerana sekiranya saya bercakap dengannya, bapanya akan menariknya, jadi dia takut dan hanya berdiam diri," kata Deepa apabila ditanya pemberita sama ada anaknya berkata apa-apa kepadanya dalam pertemuan itu.
Ditanya sama ada anaknya, yang memakai songkok, menangis ketika bertemu dengannya, Deepa menjawab dalam bahasa Malaysia: "dia dalam ketakutan".
Ditanya sama ada anaknya membuat sebarang permintaan kepadanya, ibu kepada dua anak itu berkata "dia diamkan diri sahaja".
"Sudah lama saya menunggu anak saya dipulangkan kepada saya, tetapi sampai sekarang, saya belum mendapatnya. Di mahkamah ini, saya kena tunggu hingga pendengaran akan datang pula," kata Deepa dengan sebak.
Terdahulu, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, yang mempengerusikan panel lima anggota Mahkamah Persekutuan, memaklumkan kepada pihak terbabit bahawa kanak-kanak itu, yang diiringi pegawai mahkamah, akan ditempatkan di bilik saksi apabila prosiding berlangsung.
Panel itu kemudiannya memberi penangguhan kepada Izwan terhadap perintah agar dia mengembalikan kanak-kanak itu kepada Deepa.
Mahkamah itu juga memberi kepadanya penangguhan terhadap perintah Mahkamah Tinggi Seremban pada 7 April tahun lepas yang memberi hak penjagaan anak perempuan pasangan itu, yang berusia 10 tahun serta anak lelaki mereka, kepada Deepa.
Panel itu, yang turut dianggotai hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan hakim Mahkamah Rayuan Datuk Zaharah Ibrahim, juga memberi kebenaran kepada Izwan untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan tentang keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan berhubung perintah penjagaan dan pemulangan kanak-kanak berkenaan.
Ia juga memberi kebenaran kepada Ketua Polis Negara (KPN) dan Peguam Negara (AG) untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan berhubung perintah pemulangan itu.
Zulkefli memberi kebenaran itu kepada Izwan, KPN dan AG berdasarkan dua persoalan undang-undang yang akan diputuskan Mahkamah Persekutuan dalam perbicaraan rayuan kelak.
Demi kepentingan kanak-kanak berkenaan, beliau juga memerintahkan agar tarikh lebih cepat ditetapkan bagi mendengar rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini.
Pada 17 Disember tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Izwan untuk mengetepikan perintah penjagaan itu. Ia juga menolak rayuan Izwan, KPN dan AG terhadap perintah pemulangan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi agar polis mengesan Izwan dan mengembalikan kanak-kanak itu kepada Deepa.
Pada 9 April tahun lepas, Izwan dilaporkan mengambil anaknya. Pasangan itu berkahwin pada Mac 2003 mengikut upacara agama Hindu.
Izwan, yang memeluk Islam pada 2011, turut membawa anak-anaknya memeluk agama itu, tanpa pengetahuan isterinya pada tahun sama dan kemudian mendapatkan perintah untuk menjaga, membesarkan dan mengawal mereka daripada Mahkamah Syariah Seremban.
Sementara itu, di luar mahkamah, ibu Deepa, Siti Aisyah Abdullah, 50, juga seorang saudara baharu, berkata dia amat rindu kepada cucunya itu dan menyatakan kanak-kanak itu memang patut tinggal dengan ibunya. - Bernama