Search This Blog

Thursday, January 8, 2015

Lelaki bersenjata serang klinik veteran


Texas: Seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di klinik veteran perang di Texas Barat kelmarin, mengakibatkan seorang mati sebelum dia sendiri turut ditembak mati.
Penyiasat bagaimanapun tidak mendedahkan sama ada lelaki terbabit menembak dirinya sendiri atau dibunuh. Butiran mengenai mangsa dan suspek termasuk motif kejadian juga tidak didedahkan.
Ketua Fort Bliss Major Jeneral Stephen M Twitty berkata, kejadian berlaku di klinik kesihatan veteran perang di El Paso, kompleks yang turut menempatkan Pusat Perubatan Tentera William Beaumont.
Seluruh kompleks berkenaan ditutup sementara bagi membolehkan pihak berkuasa menangani kejadian berkenaan.
“Suspek turut maut dan seorang mangsa mati dalam kejadian itu. Pesakit dan kakitangan klinik yang lain selamat.
“Keadaan terkawal dan tiada ancaman sama ada terhadap Fort Bliss mahupun masyarakat setempat,” kata Twitty.
Douglas Lindquist yang mengetuai siasatan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) berkata, pihaknya kini menyoal ratusan saksi, kebanyakannya pesakit klinik itu.
Klinik itu dikritik tahun lalu selepas audit persekutuan mendapati jumlah pesakit dalam senarai menunggunya paling tinggi di AS.
Kajian dijalankan terhadap ratusan veteran perang di Texas Barat tahun lalu mendapati mereka terpaksa menunggu secara purata dua bulan semata-mata untuk mendapatkan khidmat pakar kesihatan mental, malah lebih lama lagi untuk pakar perubatan.
Sementara itu, Jabatan Hal Ehwal Veteran Perang dalam satu kenyataan menyifatkan kejadian itu sebagai satu tragedi yang menyedihkan.
“Pihak kami bekerjasama sepenuhnya dengan rakan di Fort Bliss dalam siasatan kejadian ini.
“Kami tetap mengutamakan keselamatan dan penjagaan kesihatan veteran perang kami selain tidak dilupakan kakitangan kami,” katanya. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 January 2015 @ 5:02 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/22295#sthash.7QEA5ZuK.dpuf