Search This Blog

Tuesday, January 6, 2015

KD Kasturi temui tiga mayat


KUALA LUMPUR – Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Kasturi menemui tiga lagi mayat terapung di Laut Jawa ketika menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang memasuki hari kesembilan semalam.
Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar menerusi akaun Twitternya semalam berkata, mayat itu terdiri daripada seorang wanita manakala dua lagi belum diketahui identitinya.
“KD Kasturi menjumpai satu jasad pada pukul 11.30 pagi di Sektor IV. Jasad itu dan dua lagi yang ditemui pada 051000H (10 pagi) tadi telah dinaikkan. Ia seorang wanita, dua lagi tidak diketahui,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0106&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3O03idrOO 
Hakcipta terpelihara 

12 bas terbakar di Johor, 20 kedai hangus di Kelantan



SEBAHAGIAN bas yang terbakar di tapak berhampiran sebuah bengkel di Jalan Kota Kecil, Kota Tinggi semalam.


KOTA TINGGI – Seorang penyelia bengkel terkejut besar apabila 12 buah bas milik seorang pengusaha yang menyewa tapak berhampiran kawasan bengkelnya dekat Jalan Kota Kecil di sini musnah dalam satu kebakaran semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, tujuh buah bas kilang hangus sama sekali sementara lima buah lagi mengalami kerosakan pada bahagian cermin.
Bagaimanapun, penyelia bengkel berkenaan, M. Yuthaya Kumar, 37, menarik nafas lega apabila 17 buah kenderaan lain termasuk lapan buah bas di kawasan yang sama terselamat.
Dalam pada itu, pengusaha syarikat bas terbabit, S. Ramakrishnan, 62, memberitahu, dia menanggung kerugian kira-kira RM600,000 akibat kejadian malang itu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0106&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz3O03YvnbR 
Hakcipta terpelihara 

Jalan raya dari Gerik ke Jeli dibuka kepada kenderaan



LALUAN di KM69 Jalan Raya Timur-Barat dari Gerik ke Jeli yang dibuka kepada semua kenderaan semalam.


KUALA LUMPUR – Jalan raya Timur Barat dari Gerik ke Jeli FT004 (Perak-Kelantan) telah dibuka mulai pukul 12 tengah hari semalam iaitu dua hari lebih awal daripada sasaran asal pada 7 Januari 2015.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof (gambar kecil) berkata, kerja-kerja pembaikan serta membina lencongan laluan sementara di tiga seksyen di Perak iaitu Kilometer (KM) 69, KM79 dan KM87 berjaya disiapkan lebih awal oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak iaitu pada 3 Januari lalu.
“Sementara satu seksyen di Kelantan iaitu di KM90 di Jeli yang paling rumit berjaya disiapkan pada awal pagi ini (semalam) selepas kerja-kerja dilaksanakan secara intensif selama 24 jam oleh JKR Kelantan melalui arahan kerja kepada syarikat konsesi yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0106&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3O02yfu66 
Hakcipta terpelihara 

Samun kepingan emas RM2 juta



MOHD. ADNAN (kanan) menunjukkan kepingan emas dan wang tunai yang dirampas pihaknya pada sidang akhbar di IPK Selangor semalam.


SHAH ALAM – Polis Selangor berjaya menahan tujuh individu termasuk seorang lelaki warga Indonesia yang disyaki menyamun seorang penjual kepingan emas sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM2 juta di Kampung Bukit Lanchong, Putra Heights dekat sini pada 24 Disember lalu.
Dalam tangkapan yang dibuat secara berasingan bermula 27 hingga 30 Disember itu, polis turut merampas wang tunai sebanyak RM259,520, empat keping emas masing-masing seberat 100 gram, 11 telefon bimbit, masing-masing seutas rantai tangan dan gelang emas, topi dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton berwarna hitam yang digunakan ketika kejadian.
Kesemua suspek yang berusia lingkungan 20-an hingga 50-an itu ditahan di tiga lokasi berasingan iaitu di Lenggong, Perak, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur dan Selayang, Kuala Lumpur.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0106&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3O02hNzbe 
Hakcipta terpelihara 

Mangsa banjir diancam bahaya


PENDUDUK yang terjejas akibat banjir boleh terdedah kepada penyakit bawaan air seperti E. coli, demam kepialu, taun dan Hepatitis A. – Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Pakar-pakar kesihatan memberi amaran kepada mangsa-mangsa bah di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor supaya berwaspada dengan penyakit bawaan banjir yang boleh menyebabkan kematian.
Antara penyakit-penyakit yang dijangka mula melanda negeri-negeri yang terlibat dengan bencana tersebut ialah demam kepialu, taun, Hepatitis A, leptospirosis atau kencing tikus, salmonella serta penyakit kulit.
Penyakit bakteria bawaan air E. coli (Escherichia coli) boleh dipulihkan dalam masa tiga hingga lima hari dengan mengambil antibiotik daripada pihak hospital sebagai langkah pemulihan.
Pakar kesihatan Hospital Kuala Lumpur, Dr. Saiful Safuan Md. Sani berkata, pesakit boleh pulih dalam masa yang singkat jika mengalami E. coli jenis keracunan makanan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0106&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3O02UkX00 
Hakcipta terpelihara 

Gempa kuat 5.6 magnitud landa New Zealand



TITIK merah menunjukkan gempa kuat 5.6 magnitud melanda Pulau Selatan New Zealand awal pagi ini. - Foto GeoNet
WELLINGTON: Gempa kuat 5.6 magnitud melanda Pulau Selatan New Zealand awal pagi ini namun tiada laporan segera mengenai kerosakan atau kehilangan nyawa.
Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa berpusat di kedalaman of 10 kilometer yang berlaku jam 6.48 pagi waktu tempatan.
Pusat gegaran gempa terletak di 45km dari pekan terdekat Methven, dan 101km dari Bandaraya Christchurch. - AFP

QZ8501: Kumpulan pertama pasukan DVI PDRM berlepas ke Surabaya

SEPANG: Lapan pegawai dan anggota Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) akan berangkat ke Surabaya pagi ini bagi membantu tugas forensik dan pencarian mayat mangsa pesawat AirAsia Indonesia QZ8501.
Kumpulan pertama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu polis Indonesia itu akan berangkat kira-kira jam 9.30 pagi ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata pasukan berkenaan dijangka berada di Indonesia selama sebulan dan ditempatkan mengikut keperluan sama ada di Surabaya atau Pangkalan Bun.
"Pasukan ini terdiri daripada pakar cap jari, jurugambar forensik, pakar siasatan di tempat kejadian serta penyelam.
"Mereka berpengalaman luas dalam bidang masing-masing kerana pernah bertugas dalam tugas forensik semasa pencarian mayat mangsa MH17 di Ukraine dan tsunami di Aceh," katanya pada sidang media pada majlis pelepasan pasukan DVI di klia2 di sini, sebentar tadi.

Pelatih Puspen diberkas, seorang lagi masih bebas


Pekarangan Puspen Muar kelihatan tenang.
Pekarangan Puspen Muar kelihatan tenang.
LEDANG - Tindakan pantas pengurusan  dan polis bantuan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Muar,  berjaya menahan semula  seorang daripada dua pelatih yang meloloskan diri  dari pusat berkenaan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Mohd Salleh Abdul Razak berkata, pelatih tersebut ditahan di Bandar Baru Bukit Gambir, awal pagi tadi (semalam)  selepas dikesan melarikan  diri dari pusat tersebut  pada jam 8.45 malam, kelmarin.

Menurutnya, pihaknya kini sedang mengesan seorang lagi pelatih yang masih bebas dan usaha tersebut sedang dipergiat.

“Kita mengetahui kejadian tersebut selepas  menerima laporan polis berkaitan  kejadian itu kira-kira jam 9  malam, semalam (kelmarin).

“Kedua-dua pelatih itu berusia 25 tahun dan salah seorang daripada mereka ditahan polis bantuan Puspen berkenaan pada jam 2 pagi semalam,” katanya.

Beliau berkata, difahamkan pengawal keselamatan di pusat berkenaan ternampak individu berseluar panjang dan berjaket memanjat keluar  pagar Puspen.

Sehubungan itu, beliau menasihati penduduk setempat terutamanya di kawasan Bukit Gambir supaya mempertingkatkan tahap keselamatan di kediaman masing- masing dan menghubungi polis jika terlihat orang  yang mencurigakan berada berhampiran kediaman mereka.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Ayub Rahmat berkata, kedua-dua pelatih yang melarikan diri dikenali Mohd Saiful Bahri Azam dan Roslan Sulaiman.

Menurutnya, Mohd Saiful Bahri berjaya ditemui semula, manakala rakannya masih bebas.

“Pelatih ini melarikan diri ketika sesi berhimpun dan pengawal keselamatan melihat mereka memanjat pagar,” katanya.

Letupan kuat gegar asrama


Anggota bomba dan penyelamat bertungkus lumus memadamkan kebakaran kilang memproses cat.
Anggota bomba dan penyelamat bertungkus lumus memadamkan kebakaran kilang memproses cat.
MUAR - Tidur malam kira-kira tujuh penghuni sebuah asrama pekerja asing di Jeram Tepi, dekat Bakri, di sini,   terganggu selepas dikejutkan dengan puluhan letupan kuat daripada kebakaran sebuah kilang memperoses cat di kawasan berkenaan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, menyebabkan keseluruhan bangunan kilang tersebut musnah terbakar.

Saksi, Abd Razak, 27, berkata, asrama berkenaan yang menempatkan enam penghuni iaitu warga Nepal menjadi panik bukan hanya kerana letupan itu tetapi juga disebabkan keadaan api yang menjulang tinggi.

“Kedudukan asrama ini terlalu hampir pada jarak kira-kira 20 meter dari kilang itu. Saya tidak berani keluar sebaliknya hanya lihat kejadian dari dalam rumah.

“Ramai penduduk keluar rumah masing-masing dan berkumpul berhampiran kawasan kilang untuk menyaksikan kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.

Abd Razak, warga Bangladesh berkata, dia bekerja di kilang biskut yang terletak bersebelahan dengan kilang berkenaan sejak tujuh tahun lalu selepas berhijrah ke negara ini.

Menurutnya, kejadian tersebut pengalaman pertamanya menyaksikan sendiri kebakaran dan bersyukur api tidak merebak ke asrama penginapannya bersama rakan lain.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Mohd Johar Tumin berkata, 18 anggota bersama tiga jentera ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.15 pagi.

Menurutnya, operasi berkenaan turut dibantu lima anggota dan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Ledang.

“Ketangkasan anggota membolehkan api berjaya dikawal pada 40 minit awal operasi.

“Kebakaran ini turut memusnahkan beberapa kenderaan kilang seperti lori dan trak angkat susun serta tiga kenderaan awam yang diparkir berhampiran kilang berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, keseluruhan api kebakaran berjaya dipadamkan pada jam 6.35 pagi, bagaimanapun, punca kejadian dan nilai kerugian sebenar masih dalam siasatan.

Rahmat di sebalik bencana


Orang ramai memilih barangan yang dilonggokkan sebuah pasar raya di bandar Kuala Krai, semalam.
Orang ramai memilih barangan yang dilonggokkan sebuah pasar raya di bandar Kuala Krai, semalam.
KUALA KRAI - Bencana banjir yang menenggelamkan kedai dan pasar raya di bandar ini mempunyai rahmat tersendiri bagi orang ramai apabila berpeluang mendapatkan barangan yang ditenggelami air secara percuma.

Tinjauan di sekitar bandar itu, semalam mendapati pemilik pasar raya dan beberapa kedai melonggokkan barang jualan yang ditenggelami air di hadapan premis mereka untuk dipilih oleh orang ramai.

Biarpun masih disaluti lumpur dan berbau agak busuk, orang ramai tetap tidak melepaskan peluang memilih barangan seperti kasut, selipar dan barang makanan yang masih elok.

Seorang pemilik kedai pakaian yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Meng mendakwa, dia kerugian lebih RM50,000 apabila kedainya ditenggelami air dalam bencana tersebut.

“Beberapa hari sebelum banjir, saya baru ambil barangan seperti selipar, kasut dan peralatan sukan dari gudang tetapi sekarang, semuanya sudah tidak boleh dijual.

“Selain barang jualan, semua peralatan dalam kedai termasuk peralatan elektrik dan perabot juga musnah dan rosak,” katanya ketika ditemui di premisnya, semalam.

Seorang penduduk yang enggan dikenali pula berkata, walaupun masih berlumpur, kasut dan selipar yang diberi secara percuma itu masih elok dan boleh dipakai.

“Kami sekeluarga tinggal sehelai sepinggang akibat banjir tempohari, jadi saya tak lepaskan peluang ambil selipar dan kasut untuk anak-anak,” katanya yang tinggal di Guchil 7, dekat sini.

Rel putus, KTMB rugi RM250 juta


Nawawi membersihkan rumah seorang kakitangan di kuarters KTMB Kuala Krai, semalam.
Nawawi membersihkan rumah seorang kakitangan di kuarters KTMB Kuala Krai, semalam.
KUALA KRAI - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengalami kerugian dianggarkan RM250 juta akibat banjir besar yang melanda Pantai Timur termasuk Kelantan, minggu lalu.

Pengerusinya, Datuk Ir Nawawi Ahmad berkata, anggaran itu berdasarkan kerosakan pelbagai infrastruktur milik KTMB termasuk landasan, stesen, terowong, lokomotif dan koc penumpang.

Paling mengejutkan, katanya, jambatan kereta api di Kemubu, dekat Dabong, sepanjang hampir 50 meter turut dihanyutkan banjir dalam bencana yang disifatkan paling teruk dalam sejarah 128 tahun perkhidmatan kereta api di negara ini.

“Landasan rosak apabila tebing tanah runtuh dan menutupi landasan serta terowong, jambatan dihanyutkan air, lokomotif dan koc tenggelam manakala beberapa stesen tenggelam dan ada yang roboh.

“Kunjungan saya hari ini (semalam) adalah untuk melihat bagaimana kita dapat bantu supaya rakyat dapat menggunakan perkhidmatan kereta api secepat mungkin,” katanya.

Beliau yang diiringi Presiden KTMB, Datuk Elias Kadir sebelum itu melawat kuarters kakitangan KTMB daerah ini dan menyampaikan bantuan makanan kepada kakitangan syarikat itu yang menjadi mangsa banjir.
Menurut Nawawi, kerosakan jambatan kereta api di Kemubu yang menyebabkan laluan antara Gua Musang dan Tumpat terputus akan mengambil masa lama untuk dibaiki.
“Kita tidak pasti ‘time frame’ bila kereta api dapat beroperasi semula cuma untuk baiki jambatan, kita jangka masa paling minimum ialah 12 bulan.

“Buat masa ini, kita akan segerakan dahulu perkhidmatan di bahagian yang boleh dilalui iaitu dari Gemas ke Gua Musang dan dari Dabong ke Tumpat,” katanya.
Tambahnya, untuk perkhidmatan dari Gua Musang ke Dabong yang terputus di Kemubu, pihaknya mungkin akan menggunakan perkhidmatan bas bagi menghubungkan penumpang dengan dua stesen berkenaan.

Mengenai kebajikan 256 kakitangan KTMB yang terjejas akibat banjir, Nawawi berkata, setiap kakitangan berkenaan akan menerima RM2,000 termasuk pembayaran ex-gratia sebanyak RM500 atau setengah bulan gaji.

Tragedi kebakaran berulang


Keadaan Bazar Haji Ibrahim selepas berlakunya kebakaran jam 1 petang semalam.
Keadaan Bazar Haji Ibrahim selepas berlakunya kebakaran jam 1 petang semalam.
RANTAU PANJANG – Pada 6 Januari tahun lalu, sebahagian premis di Zon Bebas Cukai yang sinonim dengan syurga membeli belah, hangus dalam kebakaran pada jam 11.25 malam.

Ini menyebabkan 60 premis kedai di Blok B Zon Bebas Cukai dan sebahagian Bazar Mimi hangus sama sekali.

Genap setahun selepas itu, ia kembali menghantui peniaga apabila kebakaran sama berulang di bangunan bersebelahan bazar berkenaan, jam 1 petang semalam.

Suasana panik peniaga dan api yang marak menyebabkan banyak kelengkapan jualan tidak sempat diselamatkan.

Biarpun ada peniaga mengalihkan barang jualan di laluan pejalan kaki, namun bahang panas menyebabkan ia turut musnah.

Ada peniaga terpaksa membuka pintu Pasar Lama Rantau Panjang yang ditutup sejak tahun lalu, bagi meletakkan barang jualan ke tempat selamat.

Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut bertindak pantas dengan memotong bekalan di kawasan berdekatan, bagi mengelakkan kebocoran arus elektrik.

Laluan sehala ke bazar berkenaan menjadi dua hala kerana dipenuhi kenderaan peniaga sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Peniaga berdekatan juga bertindak pantas dengan menyelamatkan barang perniagaan antaranya di pembahagi jalan.


20 anggota dikerah ke tempat kejadian

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kelantan, Azmi Osman berkata, anggaran awal mendapati sebanyak 20 kedai di Bazar Haji Ibrahim hangus dalam kebakaran tersebut.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan jam 1.50 petang dan seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Pasir Mas serta Pengkalan Kubor menaiki empat jentera, satu tangki air bagi operasi menyelamat ini.

“Kita turut dibantu pasukan bomba dan penyelamat dari Sungai Golok, anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Rela.

“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan api berjaya dikawal dalam masa 90 minit kemudian. Punca dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Azmi berkata, melihat kepada rentetan kejadian kebakaran yang berulang ini, mungkin ia disebabkan masalah sistem pendawaian ekoran banjir.

Beliau turut menasihati peniaga dan penduduk agar mengambil langkah awal dengan memeriksa sistem pendawaian kerana ia mungkin boleh menyebabkan litar pintas.


Jatuh ditimpa tangga

Sementara itu, peniaga, Rohani Mohd Salleh, 45, berkata, dia hanya menyedari kebakaran itu apabila salah seorang pekerjanya, Mohd Hafize Che Daud, 18, menjerit kerana melihat asap tebal dari bumbung stor.

Menurutnya, stor yang terletak di hujung bazar ini dipercayai punca meletusnya kebakaran yang memusnahkan 20 premis di sini.

“Kami hanya mampu menjerit meminta tolong kerana terlalu panik melihat asap tebal dan bahang panas.

“Belumpun sempat mengemas kedai akibat dilimpahi banjir, kami berdepan satu lagi ujian apabila kesemua barang jualannya hangus dalam kebakaran,” katanya.

Mat Ruzi Abd Rahman, 46, berkata, banjir tempoh hari menyebabkan dia mengalami kerugian apabila sebahagian besar beg sekolah, selimut tebal dan kelengkapan dapur ditenggelami air.

Namun katanya, walaupun ditenggelami air, dia masih mampu menjualnya dengan harga yang murah.

“Sekarang, tak mungkin saya dapat menjualnya semula kerana semua barang dah hangus.

“Saya anggarkan kerugian melibatkan tiga kedai peralatan dapur dan kelengkapan rumah ini, mencecah ratusan ribu ringgit,” katanya.

Cubaan rompak wang mahu dimasukkan dalam ATM gagal


Seorang suspek yang berjaya ditangkap.
Seorang suspek yang berjaya ditangkap.
SEREMBAN – Tindakan dua pengawal sebuah syarikat keselamatan mempertahan dan menyelamatkan diri berjaya menggagalkan cubaan merompak oleh tiga lelaki di Terminal One di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu berlaku, ketika mangsa turun dari van syarikat keselamatan dinaiki mereka untuk menyelesaikan tugasan memasukkan wang ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik sebuah bank di situ.
Malah salah seorang daripada penjenayah terbabit berjaya ditangkap oleh orang awam ketika cuba melarikan diri.
Menurut sumber, ketika kejadian, van keselamatan berkenaan berhenti di tepi jalan di pasar raya tersebut untuk memasukkan wang ke ATM milik sebuah bank di situ.
“Dua pengawal ditugaskan menyelesaikan urusan tersebut iaitu seorang daripada mereka yang membawa senjata pump gun berperanan sebagai pengawal, manakala seorang lagi membawa beg dipercayai berisi wang.

“Kedua-dua mereka difahamkan memasuki premis menggunakan pintu kecemasan di bahagian tepi pasar raya dan ketika itulah suspek cuba melakukan rompakan terhadap mangsa,” katanya.

Difahamkan, suspek cuba merampas beg dibawa pengawal syarikat keselamatan itu, namun gagal apabila mangsa berjaya melarikan diri bagi menyelamatkan wang yang dibawa.

Katanya, suspek juga yang panik cuba merampas senjata pump gun dibawa oleh pengawal keselamatan tersebut menyebabkan berlaku pergelutan.

“Mangsa ditumbuk oleh suspek di bahagian hidung sebelum masing-masing bertindak melarikan diri.
“Orang ramai yang melihat kejadian itu berjaya menangkap salah seorang daripada suspek tersebut dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan seterusnya,” katanya.

23 kematian, 3 kehilangan dicatat setakat hari ini


Khalid Abu Bakar
Khalid Abu Bakar
KUALA LUMPUR - Sebanyak 23 kematian dan tiga kes kehilangan dicatat akibat bencana banjir yang melanda beberapa negeri di negara ini sejak tiga minggu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Kelantan mencatatkan 11 kematian, manakala Terengganu dan Pahang masing-masing lima kematian dan Perak pula dua kematian.

"Mangsa yang masih hilang berjumlah tiga orang dengan Kelantan mencatatkan dua orang dan Terengganu seorang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Intergriti Ketua Polis Balai di Pusat Latihan Polis di sini, hari ini.

Menyentuh mengenai 24 buah balai polis di seluruh negara yang terjejas akibat banjir, Khalid berkata pada masa ini, usaha sedang dijalankan untuk kerja-kerja pembersihan sebelum taksiran nilai kerugian dapat dijalankan.

"Data kerugian masih belum dapat diperoleh...ambil masa dalam seminggu dua lagi. Tumpuan lebih kepada kerja-kerja pembersihan ketika ini," katanya. - Bernama

Didakwa tipu pengurus projek lebih RM 100,000


5 Januari 2015

KAJANG - Seorang lelaki hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap sembilan pertuduhan menipu seorang pengurus projek syarikat pembinaan lebih RM100,000 tiga tahun lepas.

Harizat Abdul Rahaman, 39, didakwa menipu Tiu Boon Hui, 57, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa dia boleh mendapatkan projek membabitkan Jambatan Kedua Pulau Pinang, projek Aliran Transit Massa (MRT) dan projek daripada Plus Malaysia bagi membekalkan kon dan penghadang plastik kepada syarikat mangsa.

Perbuatan itu mendorong Tiu menyerahkan wang tunai berjumlah RM114,050 kepada tertuduh.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu masing-masing di No.9, Jalan Kajang Impian, 1/8 Taman Kajang Impian dan di CIMB Bank Pekan Kajang, di sini antara 17 Disember 2012 hingga 18 Mac 2013, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya S.Abirami tidak menawarkan sebarang jaminan namun peguam Mohd Fadli Yaakob memohon anak guamnya dibenarkan diikat jamin atas alasan tertuduh menanggung isteri, dua anak dan ibu yang uzur.

Majistret Abdul Jalil Salam Muhamad membenarkan Harizat diikat jamin RM36,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 9 Februari untuk sebutan semula kes. - Bernama

Polis rakam keterangan enam pelajar terlibat buli


Mohd Nashir
Mohd Nashir
ALOR SETAR - Polis mengambil keterangan enam murid sebuah sekolah kebangsaan, di sini, bagi membantu siasatan kes buli seorang rakan tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, tiada sebarang tangkapan dibuat.

“Setakat ini, enam pelajar dipanggil dan dirakam percakapan untuk membantu siasatan. Mereka dibebaskan selepas dirakam keterangan,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, satu rakaman video memaparkan seorang murid sekolah dibuli menjadi viral di laman sosial.

Menurut laporan itu, video berdurasi 1 minit 51 saat itu mencetuskan kegusaran dan kemarahan orang ramai.

Kes dipercayai berlaku di sebuah sekolah kebangsaan dekat pusat bandar, di sini, pada September lalu.

Video itu bermula dengan beberapa murid berusia 12 tahun bertindak menendang pada bahagian muka mangsa.

Tidak cukup dengan itu, muka mangsa kemudian ditutup menggunakan bakul sampah dan diletakkan penyapu.

Cari anak di empat hospital


    Bapa pelajar Malaysia, Tan Chang Hing (tengah) mengiring mayat anaknya, Tan Wei, 20, ke Kuil Dong Zhen, Jenjarom di sini hari ini untuk upacara keagamaan. - Foto Bernama
    Bapa pelajar Malaysia, Tan Chang Hing (tengah) mengiring mayat anaknya, Tan Wei, 20, ke Kuil Dong Zhen, Jenjarom di sini hari ini untuk upacara keagamaan. - Foto Bernama


KUALA LANGAT - Bapa kepada Tan Wei, 20, pelajar Malaysia yang terkorban dalam insiden rempuhan di Dataran Chen Yi, Shanghai, China Rabu lepas, terpaksa memeriksa empat buah hospital di bandar raya berkenaan sebelum mendapat tahu anak perempuan tunggalnya maut dalam kejadian tersebut.

Dalam nada sedih, Tan Chin Hin menceritakan bahawa sebaik tiba di Shanghai dari Kuala Lumpur pada Khamis lepas, setelah dimaklumkan oleh isterinya Lee Siew
Yan yang sedang bercuti di China bahawa anaknya terlibat dalam kejadian rempuhan itu, beliau tidak dapat mengesan nama anaknya dalam senarai awal mangsa insiden
itu yang dikeluarkan pihak berkuasa China.

"Saya tidak dapat mencari di mana anak saya berada, setelah bertanya kepada beberapa pihak saya difahamkan mangsa kejadian itu dihantar ke empat buah
hospital berlainan sekitar Shanghai.

"....saya pun pergi ke setiap hospital yang dinyatakan. Setelah saya sampai di hospital keempat dan memeriksa bilik mayat hospital itu, baru saya tahu anak saya sudah tiada," kata Ketua Kampung Jenjarom itu kepada rakan-rakan dan pemberita ketika ditemui di Kuil FGS Dong Zhen, Jenjarom dekat sini.
Tan dan isteri tiba bersama mayat mendiang Tan Wei, pelajar di salah sebuah universiti di wilayah Hangzhou, wilayah Zhejiang, di sini hari ini.

Pesawat yang membawa mayat mendiang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kira-kira 7 petang tadi dan sampai di perkarangan kuil di sini, kira-kira 40 minit kemudian.

Ketibaan mayat mendiang Tan Wei disambut kira-kira 300 orang yang terdiri daripada kaum keluarga, rakan-rakan serta penduduk setempat.

Selain Tan Wei, Tan Chin Hin mempunyai dua lagi anak lelaki.

Difahamkan mayat mendiang akan ditempatkan di kuil berkenaan sehingga Rabu ini untuk rakan-rakan dan saudara-mara memberi penghormatan terakhir, sebelum
mendiang disemadikan di Taman Peringatan Nirvana, Shah Alam.

Dalam kejadian semasa sambutan ambang tahun baharu itu, seramai 35 orang terbunuh dan 48 yang lain cedera dalam kejadian yang disifatkan antara yang
terburuk pernah berlaku di Shanghai.

Sementara itu, seorang lagi rakyat Malaysia yang tercedera dalam rempuhan itu, Ooi Hooi Yi masih menerima rawatan di Hospityal Changzheng dan dilaporkan bertambah baik. - Bernama

Kemusnahan cecah berbilion ringgit


PUTRAJAYA - Kerajaan menganggarkan kemusnahan akibat bencana banjir yang berlaku di beberapa negeri, menelan kos berbilion ringgit.
Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, arahan telah dikeluarkan untuk mendapatkan jumlah sebenar melibatkan semua mangsa.

“Sukar untuk saya tafsirkan (kerugian sebenar), tetapi saya sudah keluarkan arahan kepada Jawatankuasa Khas Banjir di peringkat daerah dan negeri untuk mula buat pengiraan tahap kerosakan di semua kawasan terlibat.

“Bukan sahaja harta kerajaan, tetapi termasuk hak individu, supaya kita dapat lihat kesan banjir itu serta langkah-langkah yang perlu diambil,” katanya ketika berucap melepaskan konvoi sukarelawan Jabatan Perdana Menteri Membantu Mangsa Banjir di sini, semalam.
Beliau, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, pasca banjir merupakan tempoh paling sukar bukan sahaja buat mangsa, malah kepada semua rakyat di negara ini.

“Apabila keadaan sudah pulih sedikit, semua mula pulang ke rumah masing-masing. Bermulalah urusan seperti bersihkan kawasan dan sebagainya.

“Cabaran pasca banjir adalah sangat hebat. Kita lihat banyak rumah yang sudah rosak dan dihanyutkan banjir. Air deras dan harta benda rosak. Banyak peralatan rumah tidak boleh digunakan lagi,” katanya.

Beliau berkata, ia turut melibatkan sekolah di mana peralatan sekolah seperti buku dan komputer musnah akibat banjir.

“Saya mahu semua kementerian mengambil inisiatif membantu (ketika) pasca banjir ini.

“Ini merupakan tugas yang amat mencabar. Kementerian Pendidikan, misalnya, akan mengurus dan menyelaraskan semua urusan (pemulihan keadaan sekolah) di Kelantan,” katanya.

Beliau turut menyuarakan harapan supaya lebih banyak pihak tampil memberi bantuan.

“Saya harap semua badan bukan kerajaan, persatuan dan syarikat swasta tampil menghulurkan bantuan, bukan hanya makanan, malah tenaga dan keperluan lain.

“Banyak kerja yang perlu diuruskan. Saya seru semua pihak ini memberikan bantuan sewajarnya,” katanya.

Muhyiddin menegaskan, kerajaan tidak akan mengabaikan nasib mangsa banjir.

“Kita berdoa supaya semua mangsa banjir terus diberi semangat.

“Kita akan terus turun ke kampung-kampung membantu supaya kehidupan mereka dapat pulih seperti sediakala,” katanya.

Lokasi pesawat AirAsia QZ8501 ditemui


QZ8501
PANGKALAN BUN - INDONESIA. Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Indonesia dilaporkan telah menemui lokasi pesawat AirAsia QZ850, lapor Kompas.com.

Sehubungan itu, menurut Komandan Lanud Iskandar Pangkalan Bun, Leftenan Kolonel Penerbangan, Johnson Simatupang, semua pesawat yang melakukan operasi udara dalam misi pencarian tersebut akan terbang di bawah 5,000 kaki.

"Kita sudah dapatkan perintah operasi dari Basarnas. Semua penerbangan akan berada di bawah 5,000 kaki," katanya.

Jelasnya, lokasi pencarian akan dibahagi kepada empat sektor melibatkan pesawat Tentera Angkatan Udara Nasional Indonesia (TNI AU), Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat.

Sebelum ini, Basarnas memastikan pesawat AirAsia QZ8501 jatuh di lokasi terakhir berhubung dengan Unit Kawalan Trafik Udara (ATC) dan pasukan SAR memfokuskan pencarian di titik koordinat tersebut.

"... meyakinkan bahawa AirAsia jatuh di lokasi perhubungan terakhir" kata Pengarah Operasi Basarnas, SB Supriyadi, semalam.

Berdasarkan maklumat, perhubungan terakhir AirAsia QZ8501 di titik koordinat yang berada di sebelah utara Laut Jawa dekat dengan Selat Karimata.

Katanya, lokasi pencarian akan dilakukan sejauh 60 nautical mile dari titik terakhir itu.

Polis Tahan Lima Lelaki Kes Pecah, Larikan Mesin ATM


Diterbitkan: Isnin, 5 Januari 2015 4:54 PM
Mohd Adnan Abdullah

SHAH ALAM: Polis menahan lima lelaki yang disyaki memecah dan melarikan mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah stesen minyak di Bukit Kemuning di sini pada 27 Disember lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata suspek yang berusia antara 29 dan 39 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar Bandar Kinrara (Puchong), Subang Permai dan Bukit Jelutong.
"Mereka ini ditahan pada 29 dan 30 Disember lepas. Melalui siasatan, kita tidak menolak kumpulan ini turut terlibat dalam cubaan melarikan mesin ATM di Seksyen U16 dan U8 di Bukit Jelutong di sini pada 19 Oktober dan 15 Disember lepas," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Isnin.
Beliau berkata, hasil serbuan itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM27,560, sebuah Toyota Hilux, sebuah Perodua Kancil, pelbagai jenis telefon bimbit dan beberapa peralatan besi yang digunakan dalam kegiatan jenayah terbabit.
Siasatan awal mendapati tiga daripada mereka turut memiliki rekod jenayah melibatkan kes samun dan curi kenderaan.
"Kesemua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan," katanya.
Sementara itu dalam kes lain, polis Selangor sedang memburu seorang lelaki bagi membantu siasatan kes samun di Bukit Lanchong, Putra Heights pada 23 Disember lepas.
Mohd Adnan berkata suspek dikenal pasti sebagai Muhamad Fuad Mat Isa berusia 25 tahun yang berasal dari Taman Dagang, Ampang.
"Suspek dipercayai terlibat dalam melakukan kegiatan samun berkumpulan ke atas seorang ahli perniagaan dan mangsa mendakwa kehilangan wang tunai berjumlah RM1.65 juta beserta 40 kepingan emas yang setiap satunya seberat 100 gram.
"Susulan kejadian itu, polis telah berjaya memberkas tujuh suspek termasuk seorang lelaki Indonesia berusia antara 20 dan 50 tahun pada 27 Disember lepas," katanya.
Mohd Adnan berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Muhamad Fuad diminta menghubungi Pegawai Risikan Operasi Ibu Pejabat Polis Subang Jaya, Asisten Superintendan Rodney Pasla Haris ditalian 0168977664 atau mana-mana balai polis berdekatan.

KPN Nafi Kumpulan 14K Wujud Di Negara Ini


Diterbitkan: Isnin, 5 Januari 2015 9:09 PM
Khalid Abu Bakar.

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Isnin menafikan dakwaan bahasa sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang dikenali sebagai kumpulan 14K wujud di negara ini.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan terdapat rakyat Malaysia menyertai kumpulan itu di luar negara, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Intergriti Ketua Polis Balai di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini Isnin.

Khalid berkata kewujudan undang-undang yang ketat dalam membasmi aktiviti pengedaran dadah telah menyekat kemasukan kumpulan terbabit di negara ini.

Menyentuh mengenai rakyat Malaysia Paul Phua Wei Seng dan anaknya, Darren Wai Kit Phua yang kini ditahan di Amerika Syarikat untuk dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan menjalankan operasi perjudian haram semasa pertandingan bolasepak Piala Dunia 2014 di negara itu, beliau enggan mengulas kerana proses pendakwaan sedang dijalankan ke atas Phua dan anaknya.

Beliau hanya berkata: "Nasihat saya kepada Phua, fokus kepada pendakwaannya."

Beliau turut mengesahkan pihaknya sentiasa berhubung dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mengenai perkara itu.

Sementara itu, Khalid turut menyatakan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) masih berada di dalam seliaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beliau tidak bercadang untuk mengasingkannya daripada PDRM.

JIPS ditubuhkan 25 Julai tahun lalu bertujuan memantapkan integriti pegawai di samping memastikan tugas dilaksanakan dengan mematuhi standard yang telah ditetapkan oleh PDRM.

Mahkamah Persekutuan Kekalkan Hukuman Mati Terhadap Penyelenggara Stor


Diterbitkan: Isnin, 5 Januari 2015 6:14 PM

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini Isnin mengekalkan sabitan kesalahan dan hukuman mati terhadap seorang penyelenggara stor yang membunuh teman wanitanya dengan menjerut lehernya dengan kain tudung.

Panel lima hakim dipengerusikan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara menolak rayuan akhir Shahrul Nizam Mohd Shah untuk mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman terhadapnya.

Zulkefli berkata setelah menimbang hujah pihak pembelaan dan pendakwaan, mahkamah mendapati sabitan kesalahan terhadap Shahrul Nizam mempunyai asas yang kukuh.

Katanya pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesnya terhadap Shahrul Nizam di luar keraguan munasabah dan dengan itu mengukuhkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati perayu bersalah membunuh Nurul Hazira Bharum, 26, dan menjatuhi hukuman mati terhadapnya.

Panel itu turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Zainun Ali dan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha.

Pada 22 Mac 2010, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Shahrul Nizam bersalah kerana membunuh teman wanitanya itu setelah mendapati mangsa akan berkahwin dengan lelaki lain.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di rumah sewanya di Kampung Gombak, Kuang, Rawang, antara pukul 9 dan 10 pagi 7 Oktober 2008.

Rayuan Shahrul Nizam ditolak Mahkamah Rayuan pada 9 Mei 2012.

Ketika membela diri, Shahrul Nizam memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa dia dan bekas kerani itu pada mulanya bercadang membunuh diri dengan meminum racun "seperti Romeo dan Juliet", dan mendakwa mangsa memaksanya meminum racun terlebih dahulu dan akibatnya, dia pengsan.

Shahrul Nizam berkata apabila sedar kembali, dia mendapati Nurul Hazira sudah tidak bernyawa dan dia pun segera berlari ke rumah jiran untuk meminta pertolongan.

Shahrul Nizam mendakwa mangsa memberitahunya bahawa dia tidak mencintai lelaki yang meminangnya dan oleh itu meminta perayu menjadikannya sebagai isteri.

Bagaimanpun, dia meminta teman wanitanya itu bersabar kerana ketika itu dia tidak mempunyai wang.

Laporan bedah siasat mendapati Nurul Hazira meninggal dunia akibat cekikan dan tiada racun ditemukan di dalam tubuhnya.

Shahrul Nizam diwakili peguam Kitson Foong, manakala pihak pendakwaan diwakili timbalan pendakwa raya Hamdan Hamzah.

Rayuan Bekas Pengurus Restoran Ketepi Hukuman Ditolak


Diterbitkan: Isnin, 5 Januari 2015 11:38 PM
Riduan (kiri) bersama peguamnya, Ram Singh.

KOTA KINABALU: Bekas pengurus restoran, Riduan Masmud gagal dalam rayuannya terhadap hukuman penjara 12 tahun dan sebatan atas kesalahan merogol gadis bawah umur tahun lalu.

Riduan, 42, yang bebas dengan ikat jamin kelihatan kurus ketika Hakim Mahkamah Tinggi, Stephen Chung menolak rayuannya pada Isnin.

Beliau kemudiannya mengarahkan Riduan untuk mula menjalani hukuman penjara dan dua sebatan.

Stephen berkata hukuman penjara tersebut akan berkuat kuasa serta-merta dan turut menolak rayuan peguam tertuduh, Ram Singh untuk menangguhkan hukuman ke atas Riduan.

Mahkamah Sesyen pada 3 Februari tahun lalu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan ke atas Riduan, 41, selepas dia didapati bersalah merogol seorang kanak-kanak perempuan dalam sebuah kereta berhampiran air terjun Kionsom, Inanam, dekat sini, kira-kira jam 10 pagi pada 18 Februari 2013.

Riduan sebelum ini dituduh mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan atas dakwaan merogol gadis bawah umur kerana ketika kejadian mangsa berumur 13 tahun.

Dia kemudian dihadapkan ke mahkamah pada 28 Februari 2013.

Babi Hutan Sesat, Terperangkap Di Perpustakaan MMU


Diterbitkan: Isnin, 5 Januari 2015 11:44 PM
Gambar babi hutan yang terperangkap di perpustakaan MMU menjadi viral di media sosial.

CYBERJAYA: Seekor babi hutan jantan tersesat dan terperangkap kira-kira dua jam di perpustakaan Universiti Multimedia Malaysia (MMU) di sini, Isnin.

Dalam kejadian pada 1.30 tengah hari, babi hutan tersebut dipercayai merempuh panel dinding kaca pada pintu belakang perpustakaan MMU lalu terperangkap.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Cyberjaya yang tiba kira-kira 10 minit kemudian mengosongkan perpustakaan untuk menangkap haiwan itu.

Babi hutan itu berjaya ditangkap pasukan bomba dan dibawa keluar dari bangunan tersebut kira-kira dua jam kemudian.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pustakawan MMU Kamal Sujak berkata kejadian itu amat mengejutkan, namun dengan kerjasama semua pihak termasuk pasukan bomba, Perhilitan dan Jabatan Keselamatan MMU, keadaan berjaya dikawal.

"Binatang liar ini mungkin tersesat dari kawasan hutan berdekatan memandangkan pembangunan pesat sekitar Cyberjaya," katanya.

Kamal berkata bahagian perpustakaan utama terpaksa ditutup disebabkan keadaan berselerak akibat usaha menangkap haiwan itu namun ruang bacaan utama 24 jam tetap dibuka seperti biasa.

Beliau menegaskan bahawa keadaan adalah selamat dan pembersihan sedang dijalankan.

"Kami akan memaklumkan kepada pelajar bila bahagian utama akan dibuka semula dalam masa terdekat," katanya.

Sehubungan itu, Kamal berkata MMU mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu.

Sebelum ini, gambar haiwan yang kelihatan tersesat di dalam perpustakaan ini menjadi viral di laman sosial.

Hanya Tinggal 34,260 Mangsa Banjir Di Empat Negeri Malam Ini


Diterbitkan: Isnin, 5 Januari 2015 10:50 PM
Penduduk Kampung Aur Gading, Nur Farah Asyikin Man Hazelan, 18, sedih mengenang nasib setelah rumah yang didiami bersama keluarga musnah dihanyutkan arus deras Sungai Tanum di Lipis dalam kejadian banjir besar 23 Disember lepas. - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan di empat negeri yang masih terjejas banjir sehingga malam Isnin, menurun kepada 34,260 orang berbanding 38,332 petang tadi.
Setakat 9.30 malam Isnin, sebanyak 4,072 mangsa dari Pahang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat sejak petang tadi.

Di PAHANG, keadaan banjir semakin pulih apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan berkurangan kepada 22,896 orang berbanding 27,073 petang tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata daerah Pekan menempatkan mangsa paling ramai 11,154 orang diikuti Temerloh (4,662), Maran (2,771), Bera (2,191), Kuantan (1,130) dan Jerantut (988).

Di PERAK, mangsa banjir meningkat seramai 105 orang daripada 5,637 mangsa petang tadi kepada 5,742 orang malam Isnin, berikutan hujan sekejap-sekejap di Perak Tengah.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak berkata kesemua mangsa masih berada di 36 pusat pemindahan di lima daerah iaitu Hulu Perak, Kuala Kangsar, Perak Tengah, Manjung dan Hilir Perak.

Jumlah mangsa banjir di Manjung, Hilir Perak, Kuala Kangsar masing-masing kekal 150, 304 dan 84 orang manakala Perak Tengah meningkat kepada 4,598 orang dan Hulu Perak (606 orang).

Di Kelantan dan Johor, jumlah mangsa masih kekal, masing-masing 5,602 dan 20 orang.

Di KELANTAN, jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri berkata jumlah mangsa yang direkodkan ialah Kuala Krai sebanyak 2,522 orang, Gua Musang (2,076), Tanah Merah (810) dan Machang (204).

Sementara di JOHOR, Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Johor berkata masih ada satu pusat pemindahan yang aktif di daerah Segamat iaitu Balai Raya Kampung Batu Badak.