Search This Blog

Monday, January 5, 2015

19 terperangkap lebih sejam dalam lif


Sebahagian 19 mangsa yang terperangkap dalam lif berkenaan menunjukkan laporan polis yang dibuat.
Sebahagian 19 mangsa yang terperangkap dalam lif berkenaan menunjukkan laporan polis yang dibuat.
IPOH - Mengecewakan! Selepas lebih sejam terperangkap dalam lif sebuah hospital di sini, mangsa akhirnya berjaya diselamatkan anggota bomba dan penyelamat.

Itu yang berlaku kepada 19 mangsa  1 Januari lalu kira-kira jam 5.20 petang selepas lif yang digunakan tersekat di antara tingkat satu dan dua hospital tersebut.

Salah seorang mangsa, Noraizan Mohd Yacob, 43, berkata, dia tidak menyangka niatnya untuk melawat rakan terbantut selepas terperangkap dalam lif berkenaan.
Menurutnya, dia ada menekan loceng kecemasan tetapi mereka terpaksa menunggu lama untuk dikeluarkan dari lif tersebut.

“Nasib baik salah seorang daripada kami berjaya menghubungi bomba dan menerusi telefon bimbitnya memaklumkan kejadian.

“Saya yang baru sembuh selepas patah kaki akibat kemalangan terpaksa berdiri lebih sejam, malah ada bayi dan kanak-kanak menangis kerana keadaan dalam lif panas dan gelap,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zul Nizam Ismail, 34, yang turut berada di dalam lif itu berkata, ini kali kedua dia terperangkap dalam lif dan dia cuba menenangkan kesemua mangsa supaya tidak terlalu panik.

Menurutnya, dalam tempoh tersebut ada dua atau tiga kali pintu lif dibuka sedikit dari luar tetapi ia tidak memberi sebarang kesan kepada mereka kerana keadaan dalam lif gelap dan panas.

“Setelah pintu lif dibuka oleh anggota bomba, saya terus mendapatkan pengawal keselamatan yang bertugas untuk mendapatkan penjelasan mengenai kejadian tersebut.

“Jawapan yang diterima daripada mereka amat mengecewakan kerana kami dikatakan tidak menekan loceng kecemasan menyebabkan mereka tidak tahu kejadian itu berlaku," katanya.

Beliau berkata, berikutan kejadian itu satu laporan polis dibuat di Balai Polis Sungai Senam pada hari sama.

Tambahnya, laporan berkenaan dibuat supaya pihak hospital dapat menyelenggara lif mengikut masa dan mengelak kejadian sama berulang.

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon ketika dihubungi memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang aduan atau laporan mengenai kejadian itu.

Menurutnya, bagaimanapun pihaknya akan memanjangkan perkara ini kepada pengarah hospital berkenaan untuk siasatan lanjut.

“Kita minta mereka yang mendakwa terperangkap dalam lif itu mengemukakan aduan dan laporan kepada pihak hospital.

“Saya tidak boleh ulas lanjut memandangkan tidak mempunyai maklumat lengkap tentang perkara itu. Apa pun kita akan beri maklum balas selepas siasatan dibuat,” katanya.

Mahkamah: Tiga Lelaki Didakwa Edar 38.98 Kg Methamphetamine


Diterbitkan: Isnin, 5 Januari 2015 1:04 PM
Tiga lelaki termasuk seorang warganegara India didakwa atas tuduhan mengedar dadah sebanyak 38.98 kilogram di Kampung Bukit Tinggi pada 22 Disember lepas di Mahkamah Majistret Jasin di sini, Isnin.

JASIN: Tiga lelaki termasuk seorang warganegara India hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 38.98 kilogram, bulan lepas.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan dicatatkan daripada ketiga-tiga tertuduh N. Sivam, 40, K. Kalitasan, 29, dan warganegara India, Antony Arockiya Raj Selvaraj, 31, semasa pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zaridah Y. Abdul Jaapar.
Sivam, seorang pemandu lori, Kalitasan seorang pemandu teksi dan Antony Arockiya seorang pekerja ladang didakwa melakukan kesalahan itu di rumah beralamat 2933, JA 5796, Jalan Bukit Tinggi, Simpang Kerayong, Kampung Bukit Tinggi di sini pada 2 petang, 22 Disember tahun lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Semua tertuduh tidak diwakili peguam dan pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Insp Muhammad Firdaus Ab Aziz.
Mahkamah menetapkan 5 Februari untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.

Istana Buckingham Terus Nafi Dakwaan Seks Libatkan Putera Andrew


Diterbitkan: Isnin, 5 Januari 2015 9:32 AM
Putera Andrew dan Jeffrey Epstein.

LONDON: Istana Buckingham sekali lagi mengeluarkan penafian berhubung dakwaan seorang gadis dari Amerika Syarikat bahawa dia menjadi 'hamba seks' bawah umur dan dipaksa tidur dengan Putera Andrew.

Gadis itu yang dikenali dalam dokumen perundangan sebagai 'Jane Doe #3' mendakwa di mahkamah bahawa dia disimpan sebagai 'hamba seks' oleh kenalan kepada putera itu iaitu Jeffrey Epstein.

Bagaimanapun Epstein dan Putera Andrew yang juga Duke Of York menafikan dakwaan itu sekeras-kerasnya.

Sebelum ini pada Jumaat lalu, Istana Buckingham berkata "apa jua dakwaan perlakuan sumbang membabitkan Putera Andrew dengan gadis bawah umur adalah tidak benar".

Bagaimanapun pihak istana mengambil tindakan yang disifatkan luar biasa apabila mengeluarkan kenyataan penafian kedua selepas akhbar-akhbar British menyiarkan wawancara bersama plaintif.

"Dengan tegas dinafikan bahawa Duke of York mempunyai sebarang bentuk hubungan seks atau hubungan 'dengan perempuan itu'.

"Dakwaan yang dibuat adalah palsu dan tidak mempunyai asas," demikian kata pihak istana.

Penumpang Etihad Terkandas 12 Jam Di Landasan Tanpa Makanan


Diterbitkan: Isnin, 5 Januari 2015 10:32 AM

SAN FRANCISCO: Beratus-ratus pelancong mendarat dengan selamat di San Francisco namun melahirkan rasa kecewa kerana terpaksa berada selama 28 jam di dalam pesawat termasuk 12 jam di landasan di Timur Tengah tanpa makanan atau mendapat maklumat yang tepat.

Emosi para penumpang pesawat Etihad Airways 183 dari Abu Dhabi semakin memuncak apabila penerbangan itu terlewat untuk berlepas selama setengah hari, demikian kata penumpangnya kepada media.

"Mereka secara berterusan memberitahu kami bahawa pesawat akan berlepas 15 minit dari sekarang, 20 minit dari sekarang, 30 minit dari sekarang dan akhirnya ambil masa selama 12 jam," kata penumpang Thomas Piani kepada pemberita di San Francisco.

Para penumpang berkata anak kapal itu memberitahu mereka bahawa lapangan terbang Abu Dhabi terlalu sesak dengan penerbangan lain yang turut terkandas.

Etihad, syarikat penerbangan nasional Emiriah Arab Bersatu menerusi kenyataan berkata, kabus tebal menjadi punca banyak penerbangan terpaksa ditangguhkan.

Syarikat penerbangan itu memohon maaf atas kesulitan pelancong namun berkata kelewatan adalah di luar kawalannya.

Mangsa banjir rugi RM30,000


Jasmawati sibuk mengasingkan barang serta pakaian yang masih dapat digunakan setelah ditenggelami banjir.
Jasmawati sibuk mengasingkan barang serta pakaian yang masih dapat digunakan setelah ditenggelami banjir.
KUALA TERENGGANU – Dua keluarga yang tinggal di sebuah rumah di Kampung Pulau Rusa Hilir, di sini terpaksa menanggung kerugian berjumlah RM30,000 apabila hampir keseluruhan perabot di dalam rumah berkenaan rosak akibat banjir yang mula surut semalam.

Jasmawati Harun, 37, berkata, mereka mula berpindah ke pusat pemindahan SK Paloh sejak 23 Disember lalu, serta terkejut apabila mendapati kebanyakan perabot telah rosak teruk sebaik pulang semula ke rumah.

“Pagi tadi (semalam) selepas Subuh, saya dan ibu, Rohani Awang, 57, pulang tengok rumah dan terkejut sebab banyak juga barang-barang rosak. Memang sedih tengok keadaan rumah macam ini tetapi hendak buat macam mana, kami kena reda.

“Saya tengok ibu termenung apabila kami sampai di rumah, selepas itu saya terus hantar dia (ibu) semula ke pusat pemindahan sebab bimbang kesihatannya terganggu.

Dia ada penyakit kencing manis dan darah tinggi, lagipun suami saya, Zul Azri Abdul Rahman, 37, yang lumpuh pada bahagian kiri badan dan tiga lagi anak, masih ada di sana (pusat pemindahan).

“Alhamdulillah hari ini, ramai datang bantu cuci rumah. Abang (suami) sakit, kalau sebelum ini dia yang tolong kemas barang-barang selepas banjir.

Kalau semuanya siap hari ini (semalam), bolehlah bawa keluarga tidur di rumah,” ceritanya kepada media yang hadir ke rumahnya, kelmarin.

Dalam pada itu, Jasmawati berharap pihak berwajib sudi membantu keluarganya, apatah lagi setakat semalam, dia belum berkesempatan menyediakan keperluan sekolah tiga anaknya yang masing-masing berusia 6, 8 dan 12 tahun.

“Baju sekolah anak-anak pun belum sempat beli, sudah seminggu lebih saya tidak bekerja. Insyaallah lepas kemas rumah dan berehat sekejap, saya akan uruskan keperluan sekolah anak-anak pula,” jelasnya.

Luluh hati lihat rumah tinggal tapak


Seorang penduduk cuba mengambil barang melalui bumbung rumahnya yang hampir ditenggelami banjir di Kampung Tiong, Gua Musang. - Foto Bernama
Seorang penduduk cuba mengambil barang melalui bumbung rumahnya yang hampir ditenggelami banjir di Kampung Tiong, Gua Musang. - Foto Bernama
KUALA KRAI - "Pilu hati saya apabila melihat rumah hanya tinggal tapak kerana dibawa arus deras banjir," luah seorang suri rumah lima anak.
  
Berlinangkan air mata, Siti Khadijah Mohd Nor, 48, menceritakan detik kehilangan rumahnya di Kampung Manik Urai Lama.
  
Dia berkata ketika kejadian hujan lebat pada 23 Dis lalu, paras air hanya setakat di kaki dan selepas itu naik ke paras lutut dan akhirnya menenggelamkan rumahnya, kesemuanya berlaku begitu pantas.
  
Selang seminggu selepas banjir surut, Siti Khadijah dan suaminya kembali ke rumah untuk mencari harta benda yang boleh diselamatkan.
  
"Perancangan saya ialah untuk membersihkan tapak rumah kami serta mengumpulkan barangan rumah yang masih boleh diguna pakai, selain membuat persiapan untuk anak-anak bersekolah," kata Siti Khadijah.

Ditanya mengenai kepayahan hidup ketika dilanda banjir, Siti Khadijah berkata bantuan tidak putus-putus datang.
  
"Dari segi bantuan yang diterima adalah lebih daripada mencukupi, di mana bantuan setiap hari datang. Apa yang penting sekarang ialah menerima bantuan kelengkapan persekolahan seperti baju sekolah, kasut sekolah, selain daripada bekalan makanan dan air bersih.
  
"Alhamdulillah semua bantuan itu saya dapat...saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sanggup datang dari jauh untuk membantu mangsa banjir seperti kami," katanya.
  
Buat masa ini, Siti dan keluarganya mendirikan khemah sementara yang diberi oleh pasukan sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO).
  
"Sementara menunggu rumah ganti daripada kerajaan disiapkan, saya akan membina penempatan sementara, insya-Allah dengan izin-Nya segalanya akan dipermudahkan," katanya. 
  
Cuaca mendung di Manik Urai sejak pagi tadi dan hujan gerimis sekejap-sekejap.
  
Keadaan jalan di sini, berdebu akibat kesan lumpur banjir yang kering. - Bernama

Wanita menari separuh bogel


Antara GRO warga asing yang ditahan dalam operasi awal pagi semalam
Antara GRO warga asing yang ditahan dalam operasi awal pagi semalam
SHAH ALAM - Tawaran tarian separuh bogel terbongkar selepas serbuan dilakukan di tiga lokasi di Kajang, Puchong dan Damansara Jaya oleh Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) IPK Selangor, semalam.

Ketua operasi, Asisten Superintendan Sobri Baki berkata, 49 wanita warga asing dari China dan Vietnam tersebut dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam operasi yang bermula jam 1 pagi itu.

Menurutnya, kesemua wanita itu berusia dari 23 hingga 34 tahun, menggoda pelanggan dengan tarian separuh bogel.

“Pelanggan boleh mendapatkan khidmat seks daripada mereka dengan bayaran kira-kira RM300, "katanya.

Turut ditahan enam lelaki tempatan dan warga Myanmar berusia 20 hingga 30-an, dipercayai pekerja di premis itu.

Katanya, sebuah daripada premis itu pernah diserbu beberapa kali.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk siasatan lanjut.

PM terkena jangkitan E.Coli, disuruh berehat


PM terkena jangkitan E.Coli, disuruh berehat
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak difahamkan terkena jangkitan E.Coli semasa lawatan ke kawasan banjir.

Perkara itu dimaklumkan menerusi Twitter rasmi Pejabat Perdana Menteri.

"Doktor nasihat supaya berehat. Beliau akan kembali bertugas secepat mungkin," tulis kemaskini di laman mikro tersebut.

Sementara itu, Najib menerusi Twitter beliau berkata akan terus memantau perkembangan perasi bantuan banjir dari rumah.

Perdana Menteri baru-baru ini melawat beberapa kawasan yang dilanda banjir selepas pulang daripada bercuti. 
E.Coli atau Escherichia Coli ialah penyakit bawaan banjir, merupakan sejenis bakteria yang ditemui dalam usus organisma berdarah panas.
 
Biarpun kebanyakan jenis E.Coli tidak berbahaya, ada juga yang boleh menyebabkan keracunan makanan yang serius kepada manusia, ia juga menyebabkan jangkitan cirit birit.

Guru diculik 3 lelaki menyamar polis


Gambar hiasan
Gambar hiasan
JERTIH - Seorang guru lelaki diculik dan dikurung hampir dua hari oleh tiga lelaki yang menyamar sebagai anggota polis yang datang ke chaletnya dekat Pantai Air Tawar, di sini.

Dalam kejadian jam 4 pagi Khamis lalu, tiga penjenayah itu mendakwa guru berumur 54 tahun itu kononnya terlibat dengan pengedaran dadah dan perlu dibawa ke balai polis.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, guru itu memberitahu, dua daripada tiga lelaki itu datang ke chaletnya dan memperkenalkan diri mereka sebagai anggota polis.

Menurutnya, mereka membawa guru itu keluar kononnya untuk ke balai polis dengan menaiki kereta Proton Perdana milik mangsa, namun mangsa sebaliknya dibawa ke sebuah rumah kayu usang milik seorang lelaki lain, dipercayai di Melor, Kelantan.

“Mereka merampas barangan milik mangsa seperti wang tunai RM700, sebuah telefon bimbit dan beberapa dokumen penting.

“Mangsa dikurung di rumah itu dan semalam (kelmarin), dia dibawa dengan keretanya itu, yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Mereka juga meminta guru itu menunjukkan rumahnya dengan alasan mahu menghantar dia pulang, tetapi sebaliknya mereka merampas kunci pendua kereta Toyota Vios milik isteri mangsa serta kunci rumah mereka,” katanya.

Khaled berkata, guru itu dibawa ke Kampung Bukit Kenak, kira-kira jam 5 pagi kelmarin, di mana dia diugut akan dicederakan.

Menurutnya, guru itu kemudian sekali lagi dibawa ke sebuah rumah kosong dan dikurung, tetapi dia berjaya melepaskan diri kira-kira jam 1 petang kelmarin.

“Sebaik berjaya melarikan diri, mangsa meminta bantuan penduduk kampung sebelum membuat laporan di Balai Polis Melor.

Khaled berkata, setakat ini, kejadian dipercayai bermotifkan samun, tetapi polis masih menjalankan siasatan bagi mengesahkan punca kejadian dan tempat mangsa dikurung.

“Siasatan awal mendapati, tiga suspek bersenjatakan pisau dan mangsa memaklumkan tidak mengenali suspek,” katanya.

Menurut Khaled, guru itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan pihaknya giat memburu tiga penjenayah itu yang turut melarikan kereta Proton Perdana milik mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik dan Seksyen 382 Kanun Keseksaan kerana pemerasan.

Reda rumah musnah dibawa arus


TEMANGAN - Hilang dalam sekelip mata. Enam sekeluarga di sini tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dibawa arus deras akibat kejadian banjir besar minggu lalu.

Ibu tunggal, Jamilah Ridzuan berkata, arus deras memusnahkan semua bahagian rumahnya yang terletak berhampiran Sungai Kelantan itu pada Selasa lalu.
Jamilah terima ujian ALLAH SWT dengan reda dan berharap ada hikmah di sebaliknya.
Jamilah terima ujian ALLAH SWT dengan reda dan berharap ada hikmah di sebaliknya.
“Air sangat deras dan naik mendadak, kami sekeluarga segera menyelamatkan diri memandangkan cucu-cucu masih kecil dan kami bimbangkan keselamatan mereka.

“Beberapa hari selepas itu, ramai penduduk ajak saya untuk melihat rumah, namun saya menolak kerana saya dapat bayangkan apa yang terjadi kepada rumah kami.
“Banjir adalah perkara biasa kepada kami namun kali ini keadaannya luar biasa dan menakutkan,” katanya.

Jamilah turut menerima kunjungan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, yang turut turun padang ke Temangan dan Kerilla dekat sini, bagi menyampaikan bantuan banjir kepada lebih 1,000 mangsa di sini.

Khairy, yang juga Ketua Pemuda Umno turut diiringi Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Pemuda Umno Machang, Eriandi Datuk Ismail.

Jamilah berkata, dengan pendapatan sebagai pekerja di kantin sekolah berdekatan, dia tidak mampu membina rumah dalam masa terdekat apatah lagi anaknya yang tinggal bersama juga mengalami masalah kesihatan dan tidak ada pekerjaan tetap.

Katanya, buat sementara waktu, mereka sekeluarga akan tinggal di gerai makan miliknya yang terletak di hadapan rumah bersama anak dan cucu.

Tambahnya, gerai itu tidak lagi digunakan dan sebahagian bumbungnya tercabut akibat banjir itu namun mereka akan membaikinya sebagai tempat berteduh untuk sementara waktu.

“Buat masa sekarang saya masih tinggal di pusat pemindahan kerana saya sekeluarga tiada tempat untuk dituju namun selepas gerai itu dibersihkan, saya akan balik ke rumah.

“Tiada kata yang mampu saya luahkan bagi menggambarkan kesedihan kami sekeluarga namun saya terima ujian ALLAH ini dengan reda dan berharap ada hikmah di sebaliknya,” katanya.

Jamilah berkata, keadaan air Sungai Kelantan yang naik mendadak sejak Selasa lalu jauh berbeza dengan banjir sebelum ini.

Katanya, dia hanya sempat mengemas pakaian dan kelengkapan rumah seperti biasa namun apa yang terjadi sebaliknya apabila segala-segalanya hilang dibawa arus.

Langgar prosedur standard?


Helikopter milik Amerika Syarikat turut menyertai operasi SAR di Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah, semalam. - Foto AFP
Helikopter milik Amerika Syarikat turut menyertai operasi SAR di Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah, semalam. - Foto AFP
JAKARTA - INDONESIA. Satu laporan rasmi mendakwa pesawat AirAsia Indonesia, QZ8501 melanggar prosedur kerana juruterbang tidak menerima laporan cuaca sebelum ia berlepas.
Perkara itu dibongkar sehari selepas media tempatan mendedahkan pesawat tersebut tidak mendapat kebenaran untuk terbang di laluan Surabaya-Singapura pada setiap hari Ahad.

Difahamkan, dokumen tersebut diserahkan oleh Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) kepada Menteri Pengangkutan Indonesia, Ignatius Jonan pada Rabu lalu.
Ketua badan itu, Andi E Sakya berkata, AirAsia mengambil laporan itu pada jam 7 pagi (waktu tempatan) pada 28 Disember lalu kira-kira dua jam selepas pesawat QZ8501 itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda pada jam 5.35 pagi (waktu tempatan).

"Pegawai operasi penerbangan AirAsia hanya menerima laporan itu selepas pesawat tersebut terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik udara Jakarta pada jam 6.17 pagi (waktu tempatan)," jelasnya.

Sementara itu, bekas penyiasat Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional (KNKT), Ruth Hanna Simatupang memberitahu setiap juruterbang perlu mendapatkan laporan cuaca dari BMKG sekurang-kurangnya 10 minit sebelum pesawat berlepas.

"Berdasarkan prosedur standard, setiap juruterbang yang merangka pelan penerbangan perlu mengambil kira laporan cuaca BMKG.

"Adakah kakitangan Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda menyediakan laporan itu pada waktu sepatutnya kerana mereka perlu membuat persediaan awal sekurang-kurangnya dua jam setengah sebelum pesawat penerbangan antarabangsa berlepas.

"Atau ia mungkin berpunca akibat kecuaian BMKG?" katanya. 

Dalam satu kenyataan lain, Pengarah Presiden Indonesia, Sunu Widyatmoko menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.

"AirAsia Indonesia sentiasa peka dengan laporan cuaca yang diperoleh dari BMKG dan ia dihantar melalui emel kepada pusat operasi kami di seluruh negara sebanyak empat kali sehari serta salinannya turut disimpan oleh setiap juruterbang," tegasnya.

Terdahulu, Kementerian Pengangkutan memaklumkan bahawa mereka akan melakukan siasatan untuk memastikan sama terdapat unsur penyelewengan dan pihak bertanggungjawab bakal berdepan hukuman tegas. - Jakarta Post

Mangsa banjir di Pahang, Kelantan, Perak, Johor terus menurun, Sabah kekal




SURIANI Ramli, 33, mengemas barang keperluan rumah yang musnah akibat banjir di Kampung Aur Gading, Kuala Lipis. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Pahang, Kelantan, Perak dan Johor semakin baik dengan bilangan mangsa dipindahkan terus menurun setakat malam ini, berbanding petang tadi manakala Sabah kekal dengan jumlah sama.
Jumlah mangsa banjir di PAHANG berkurangan sedikit kepada 31,921 orang berbanding 33,342 orang petang tadi.
Menurut laporan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, daerah Temerloh menempatkan mangsa paling ramai iaitu 12,748 orang diikuti Pekan (11,124), Maran (2,769), Bera (2,389), Jerantut (1,732), Kuantan (1,128) dan Lipis (31).

MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir sempena Program Gelombang Sukarelawan 1MINDEF membersihkan kawasan SK Manek Urai, Kuala Krai. - Foto Syamsi Suhaimi
Di KELANTAN, jumlah mangsa berkurangan sebanyak 2,541 orang kepada 6,141 orang malam ini berbanding 8,682 petang tadi.
Menurut Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan, kesemua mangsa yang terdiri daripada 1,387 keluarga ditempatkan di 49 pusat pemindahan di empat jajahan.
Setakat ini, jumlah mangsa di Kuala Krai adalah sebanyak 2,627 orang, Gua Musang (2,154), Tanah Merah (1,106) dan Machang (254).
Di PERAK, jumlah mangsa banjir terus menurun kepada 5,793 orang daripada 1,628 keluarga malam ini berbanding 6,067 orang daripada 1,675 keluarga petang tadi.
Jurucakap MKN Perak berkata kesemua mangsa masih berada di 38 pusat pemindahan di lima daerah iaitu di Perak Tengah menempatkan 4,555 mangsa, Hulu Perak (610), Hilir Perak (300), Kuala Kangsar (168) dan Manjung (160).
PENGERUSI Jawatankuasa Bencana Sabah, Tan Sri Sukarti Wakiman (tiga dari kiri) melawat kampung yang terjejas akibat banjir di Sikuati, Kudat. - Foto ihsan Penerangan Sabah
Di JOHOR, jumlah mangsa menurun sedikit iaitu daripada 28 orang petang tadi kepada 20 orang malam ini di satu pusat pemindahan di Segamat.
Jumlah mangsa di SABAH tidak menunjukkan perubahan iaitu 50 orang daripada 23 keluarga di satu pusat pemindahan di Pitas, menyamai jumlah petang tadi. - BERNAMA



Mangsa banjir perlu bantuan khemah sementara


MANGSA banjir, Wan Kalsom Isnin, 60, bersama anak serta cucunya Hanida Zakaria, 25, Hazrin Harizan, 2, hanya mampu berteduh di dalam khemah yang didirikan selepas rumah mereka dibawa arus deras akibat limpahan air dari Sungai Negiri di Kampung Pulau Layak dekat Kuala Krai, minggu lalu. - Foto BERNAMA
KUALA KRAI: Selepas banjir mulai surut, antara keutamaan mangsa adalah memperoleh segera khemah sementara untuk dijadikan tempat berteduh bagi mangsa yang rumahnya rosak teruk atau hilang dihanyutkan air.
Walaupun kerajaan telah menyediakan pusat pemindahan banjir, namun selepas bencana itu reda sejak beberapa hari ini, membuatkan mereka mulai pulang ke rumah masing-masing.
Tinjauan di sekitar Kampung Manik Urai Lama, di sini, mendapati banyak keluarga terpaksa memasang payung dan menggunakan kain kanvas serta papan di tepi jalan bagi mendirikan kediaman sementara.
Selain itu, mereka juga dilihat memasang zink untuk dijadikan bumbung daripada sebahagian rumah mereka yang rosak untuk dijadikan sebagai tempat berteduh.
Ibu kepada tiga anak, Rohaiza Abdul Rahim, 45, berkata bahawa kediamannya di kawasan itu hampir semuanya ditenggelami air hingga mengakibatkan rumah rosak teruk.
Beliau berkata, dia dan suaminya terpaksa membina sendiri tempat berteduh sementara menggunakan kain kanvas serta beralaskan tikar mengkuang di tapak rumah mereka yang rosak.
"Kami terpaksa berbuat demikian kerana untuk mencari harta benda yang masih boleh diselamatkan dan diguna pakai.
"Saya mohon bantuan pihak kerajaan menyegerakan bantuan khemah sementara untuk dijadikan tempat berteduh kerana pada waktu malam, cuaca di sini amat sejuk," katanya ketika ditemui Bernama.
Tinjauan di sekitar Manik Urai Lama, amat menyedihkan kerana banyak jalan yang rosak serta berdebu, selain banyak rumah yang musnah dan kedai yang rosak akibat banjir.
Sementara itu, Jusoh Yahya, 56, berkata dia terpaksa mendirikan sebuah pondok apabila rumah milik peninggalan kedua arwah ibu bapanya rosak teruk.
"Saya hampir pitam apabila melihat rumah peninggalan arwah musnah, bagaimanapun saya sanggup menetap di sini bagi mengemas dan membersihkan rumah itu.
"Untuk membersihkannya rumah itu, ia mengambil masa dan saya terpaksa membina sebuah pondok khas tempat saya tidur, sementara menunggu bantuan khemah tiba," katanya.
- BERNAMA

11 bas hangus gudang simpanan terbakar


KOTA TINGGI: Sebelas bas terbakar dalam kebakaran sebuah gudang menyimpan kenderaan berhampiran sebuah stesen minyak di Kota Kecil, dekat sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, enam bas pekerja hangus keseluruhannya manakala lima termasuk sebuah bas sekolah hanya terbakar sebahagian sahaja.
Jurucakap bomba bagaimanapun berkata ketika kejadian tiada mangsa terbabit dan punca anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Misi timbulkan pesawat

Jakarta: Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS), hari ini, mengerahkan semua sumber termasuk anggota penyelam ke lokasi penemuan dua bongkah dipercayai badan pesawat AirAsia QZ8501 di perairan Selat Karimata, Kalimantan Tengah.
Ketua BASARNAS, Bambang Soelistyo, berkata pihaknya lega sebaik menerima maklumat penemuan bahagian badan pesawat berskala besar hari ketujuh pencarian.
“Akhirnya kita berjaya. Berikutan penemuan terbabit, semua penyelam akan diarahkan ke lokasi berkenaan. Mereka akan mencari mangsa dan mengangkatnya naik,” kata Bambang.
Beliau berkata, Kapal KRI Banda Aceh kini dalam perjalanan membawa pasukan penyelam ke titik koordinat diarahkan.
“Lokasi penemuan membabitkan kedalaman sekitar 30 meter dan boleh dicapai penyelam. Kapal itu nanti akan menjadi tempat pemindahan mangsa,” katanya.
Terdahulu, Bambang memberitahu pasukan pemindahan BASARNAS menemui dua serpihan besar metal diyakini bangkai pesawat AirAsia QZ8501 di perairan Selat Karimata, Kalimantan Tengah menerusi teknologi sonar.
Bangkai pesawat itu diimbas dalam bentuk dua dan tiga dimensi kira-kira 12.40 tengah malam tadi waktu tempatan.
Satu daripada objek berkenaan berukuran 7.2 x 0.5 meter, sementara objek lain yang berukuran 9.4 meter.
Mengikut Tempo.co, kapal KRI Banda Aceh dijangka tiba di lokasi penemuan ekor pesawat, kira-kira 3 petang Waktu Indonesia Barat (WIB).
Lokasi ekor pesawat berkenaan dikesan kapal USS Sampson dan KRI Bung Tomo di koordinat 03 55 52:LS/110 33 86 BT.
Sementara itu, lapan mayat mangsa nahas QZ8501 yang tiba dengan helikopter TNI di Lapangan Terbang Pangkalan Bun dihantar ke Hospital Sultan Imanuddin untuk diuruskan sebelum dihantar ke Surabaya.
Pengurusan lapan mayat itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa ditemui kini adalah 30 mayat.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 2:45 PM


KEADAAN laut bergelora menyukarkan usaha menaikkan objek dari permukaan laut ke KD Lekir. FOTO ihsan TLDM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/21283#sthash.mrVyObUh.dpuf

Cacat dibaham dua anjing

Oklahoma: Seorang budak lelaki berusia 10 tahun mungkin terpaksa menjalani pelbagai pembedahan muka untuk tempoh beberapa tahun akibat serangan ganas dua anjing baka pit-bull milik jirannya.
Bernie Molnar bermain basikal hadiah Krismas di luar rumahnya pada 27 Disember lalu sebelum dua anjing itu menyerangnya.
Ibunya Christina Dettling berkata, dia mendengar anaknya meraung dan terkejut apabila melihat Bernie berlumuran darah manakala telinganya koyak dan tangannya patah.
Seorang jiran lain bernama Patrick berjaya menghalang anjing berkenaan daripada terus membaham Bernie sebelum mangsa dibawa ke hospital.
Akibat kejadian itu dia memerlukan pelbagai pembedahan untuk memulihkan keadaan mukanya.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 January 2015 @ 5:35 AM


KEADAAN wajah Bernie.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/21551#sthash.CYs60nko.dpuf

5 mayat terikat pada kerusi

Semarang: Sayu dan sedih. Itu gambaran diberikan anggota pasukan Kapal Perang Republik Indonesia (KRI) Bung Tomo ketika melakukan pemeriksaan ke atas lima mayat masih terikat di kerusi penumpang pesawat AirAsia Indonesia QZ8501, kelmarin.
Keinginan untuk membantu menyebabkan pasukan berkenaan sanggup berhadapan cabaran ombak besar dan angin kencang semata-mata untuk mengangkat mayat berkenaan ke atas kapal.
Dua baris kerusi penumpang iaitu masing-masing tiga kerusi bergabung kini berada di geladak KRI Bung Tomo. Masih terdapat genangan air laut pada kerusi beberapa bahagian kerusi penumpang itu.
Komandan KRI Bung Tomo, Kolonel Yayan Sofiyan berkata, ketika pihaknya melakukan pemeriksaan, keadaan ombak bergelora disertai angin kencang namun atas semangat mahu membantu, mereka tetap mahu mengambil kerusi yang masih terikat tiga mayat dan terumbang ambing dibawa arus.
"Dipercayai tiga mayat itu membabitkan ibu bapa dan anak serta masing-masing masih berada di atas kerusi sambil memakai tali pinggang keledar. Hati kami cukup sayu.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 January 2015 @ 5:40 AM


TEMPAT duduk pesawat AirAsia yang ditemui.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/21552#sthash.fd7KIwbN.dpuf

Terus siasat isu izin terbang

Jakarta: Kementerian Pengangkutan Indonesia sudah mengambil keterangan daripada beberapa pihak bagi mencari pihak bertanggungjawab memberi kebenaran untuk pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 melakukan penerbangan dari Surabaya ke Singapura pada hari kejadian.
Menterinya, Ignasius Johan berkata, berdasarkan keterangan itu, tindakan bukan hanya membabitkan pesawat berkenaan, malah dipercayai turut membabitkan syarikat penerbangan lain.
“Kami sudah mengambil keterangan daripada beberapa pihak yang memberi kebenaran pesawat itu melakukan penerbangan termasuk pihak dalaman kementerian. Saya tegaskan kebenaran yang diberikan itu tidak sah kerana tidak pernah ada daripada kementerian. Saya syak perkara ini juga dilakukan penerbangan lain.
“Penyiasat dari kementerian saya melakukan siasatan secara terperinci. Jadual penerbangan juga sudah diketahui AirAsia sejak 28 Oktober lagi. Kami akan siasat hingga menemui pihak sebenar yang bertanggungjawab mengeluarkan kebenaran itu,” katanya.
Presiden AirAsia Indonesia Sunu Widyatmoko pula berkata, pihaknya akan membuat pertimbangan semula selepas laluan AirAsia Indonesia Surabaya ke Singapura dibekukan.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 January 2015 @ 6:43 AM


KAPAL Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI-AL), KRI Usman Harun-359 berlepas dari Dermaga Koarmatim Ujung Surabaya menuju ke Laut Jawa, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/21624#sthash.lBm12fxO.dpuf

Ais rosak enjin pesawat

Jakarta: Cuaca ialah faktor penyebab tragedi pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang hilang dari radar pada 28 Disember lalu sebelum terhempas ke laut berdekatan Selat Karimata, di mana ais mungkin menjadi penyebab kerosakan enjin, menurut agensi meteorologi Indonesia.
“Berdasarkan data yang diterima di lokasi akhir pesawat dikesan, cuaca adalah faktor yang mencetuskan kemalangan itu,” katanya seperti dilaporkan AFP.
Menurutnya, pengaisan pesawat berkemungkinan menjadi fenomena cuaca yang menyebabkan kerosakan enjin akibat proses penyejukan.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 January 2015 @ 6:46 AM


MAYAT penumpang penerbangan QZ8501 dibawa naik ke atas dek kapal Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL), KRI Banda Aceh sebelum dibawa naik helikopter di perairan Pangkalan Bun.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/21629#sthash.9GjpSup1.dpuf

Menyusur cari baju bayi

Gua Musang: Jajahan Gua Musang yang kedudukan bersebelahan dengan jajahan Kuala Krai turut menerima tempias bencana banjir tahun ini.
Setibanya wartawan di bandar Gua Musang kira-kira jam 6 petang kelmarin wartawan terkejut keadaannya jauh berbeza dengan bandar Kuala Krai yang kini dipenuhi debu dan lumpur.
Suasananya berjalan seperti biasa seolah-olah tidak dilanda banjir walaupun pernah merekodkan antara jumlah mangsa tertinggi sehingga mencecah puluhan ribu mangsa.
Difahamkan kawasan berkenaan terselamat daripada musibah banjir.
Pada waktu malam saya melihat beberapa kawasan masih belum mendapat bekalan elektrik dan air.
Bagaimanapun, semalam saya berkesempatan memasuki kawasan perkampungan iaitu Kampung Nerang di sini suasananya menceritakan segala-galanya.
Dari jauh wartawan melihat seorang ibu yang sedang sarat mengandung sedang mencari barang di bawah timbunan barang yang musnah akibat banjir.
Saya dapat melihat riak wajah wanita berusia lingkungan 30-an yang memakai kemeja-T, bertudung dan berkain batik kelihatan muram dan sedih.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 January 2015 @ 6:52 AM


KAK Ani termenung mengenangkan nasibnya yang bakal bersalin bulan depan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/21642#sthash.WtoO58MK.dpuf

‘Macam mana nak kemas...’

Temerloh: “Sudah lebih lima hari air surut, tapi air bersih pun tak ada, macam mana kami nak kemas rumah?
“Bukan itu saja, kami terpaksa bernafas dengan bau lumpur malah ada yang tidur di rumah dalam keadaan berlumpur,” kata Ruslina Mahussin, 47, mangsa banjir di Taman Sri Desa, Kuala Krau.
Ibu kepada tiga anak itu berkata, keperitan terpaksa tinggal dalam keadaan sesak dengan lebih 700 mangsa lain di pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krau, dekat sini, sejak 14 hari lalu masih belum berakhir kerana tidak boleh melakukan kerja pembersihan apabila kawasan perumahan itu terputus bekalan air.
Katanya, apa yang boleh dilakukan sejak beberapa hari lalu adalah mengasingkan barang dan perabot dan diletakkan di depan rumah.
“Kenapa terlalu lewat nak buat penyambungan semula air, sanggup mereka biarkan kami semua menghidu bau busuk selama berhari-hari.
“Semalam, lebih 1,000 sukarelawan daripada badan bukan kerajaan (NGO) datang, tapi semua tak boleh buat apa-apa sebab air tiada,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 January 2015 @ 6:55 AM


KEADAAN Taman Seri Desa, Kuala Krau yang berlumpur dan berdebu selepas dilanda banjir selama enam hari.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/21650#sthash.qtQsNG9p.dpuf