Search This Blog

Friday, January 2, 2015

Rezeki terpijak selepas banjir besar

Orang ramai memenuhi kawasan semak yang dinaiki air disebabkan banjir untuk menangkap ikan.
Orang ramai memenuhi kawasan semak yang dinaiki air disebabkan banjir untuk menangkap ikan.
PASIR MAS - Musibah banjir luar biasa yang melanda jajahan ini menyebabkan penduduk mengalami kerugian apabila rumah mereka ditenggelami air. Namun disebalik musibah itu, banjir memberikan rezeki terpijak kepada penduduk tempatan yang mengambil kesempatan untuk menjala ikan sebaik sahaja air mulai surut. Tinjauan Sinar Harian di Kampung Gaung, Tendong mendapati, puluhan penduduk sibuk menangkap ikan yang dikatakan terlepas dari sangkar berhampiran menggunakan jala di kawasan semak yang dinaiki air akibat banjir.Situasi itu seolah-olah pesta menangkap ikan yang kebiasaan dilakukan penduduk setempat ketika musim kemarau. Seorang penduduk, Mohd Shaubari Mohd Radzi, 31, berkata, dia keluar menangkap ikan sejak awal pagi sebaik sahaja banjir mulai surut. “Alhamdulillah banyak juga rezeki yang diperoleh hari ini. Kebanyakan ikan ini adalah jenis patin dan ia dipercayai terlepas daripada sangkar milik seorang penternak,” katanya. Mohd Shaubari berkata,, kebanyakan ikan yang ditangkap seberat tiga hingga empat kilogram setiap seekor. Katanya, ikan yang ditangkapnya itu akan dijual dan selebihnya dijadikan lauk. “Saya tahu kawasan ini ada ikan selepas melihat orang ramai berkumpul dan menangkap ikan. Saya pun turut singgah untuk mencuba nasib,” katanya. Seorang lagi penduduk, Mohd Zul Amini Mohd Zakaria berkata, walaupun masih berduka namun ia sedikit terubat dengan rezeki yang diperoleh itu. Katanya, hasil jualan ikan akan digunakan untuk perbelanjaan harian selepas rumahnya ditenggelami banjir.

Terima 15 jahitan angkara suami


  • kes pukul
 1 / 
GEORGETOWN - Gara-gara menegur suami yang baharu pulang rumah dalam keadaan mabuk, seorang isteri terpaksa menerima 15 jahitan di kepala selepas dipukul dengan pinggan kaca di pangsapuri Krystal Heights, Gelugor di sini awal pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa yang berusia 30 tahun dikatakan sedang tidur dan menyedari suaminya pulang dalam keadaan mabuk selepas menjerit dan membaling barang. Menurut sumber, mangsa hanya membiarkan perbuatan suaminya itu namun selepas keadaan tenang, dia cuba menegur perbuatan itu. "Sebaik keadaan reda, mangsa menegur perbuatan suaminya itu namun suspek yang masih gagal mengawal perasaan terus mengambil pinggan kaca lalu mengetuk kepala mangsa hingga berdarah. "Mangsa yang bekerja sebagai kerani akaun kemudian terus mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.Menurutnya, pemeriksaan polis di tempat kejadian menemui sebahagian pinggan kaca yang pecah. Mior Farid berkata, polis sedang mengesan suami mangsa yang berusia 33 tahun itu. "Kita akan menjalankan tangkapan ke atas suspek secepat mungkin mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. "Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil," katanya.

Eropah dilitupi salji tebal

Lapangan terbang Munich, Jerman turut dilitupi salji tebal hingga menyebabkan 45 penerbangan terpaksa dibatalkan.
Lapangan terbang Munich, Jerman turut dilitupi salji tebal hingga menyebabkan 45 penerbangan terpaksa dibatalkan.
BERLIN - JERMAN. Salji tebal dan suhu sejuk melampau melanda kebanyakan kawasan di tengah dan tenggara Eropah sejak beberapa hari lalu.
Kebanyakan laluan utama turut ditutup hingga mengakibatkan pelancong yang berhasrat untuk bermain ski di pergunungan Alp Bavaria, di selatan Jerman terkandas. Di Perancis, salji setebal 30 hingga 60 sentimeter (sm) menyebabkan pihak berkuasa terpaksa mengisytiharkan amaran peringkat jingga di kebanyakan kawasan di timur dan tenggara negara terbabit. Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri memaklumkan kira-kira 83 pusat penempatan telah dibuka kepada mana-mana pengunjung yang terkandas sebagai usaha untuk mengurangkan kesesakan. Cuaca luar biasa itu dilaporkan akan berterusan di seluruh kawasan timur dan tengah Eropah selama beberapa hari dengan suhu berada di bawah paras sifar menurut laporan TWN.

Bayi maut kelaparan ketika ibu bapa sedang makan


Sumber foto mirror.co.uk
Sumber foto mirror.co.uk
FLORIDA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang bayi berumur 22 hari ditemui mati kelaparan di dalam sebuah kereta ketika ibu dan ayah tirinya sedang menikmati bufet di sebuah restoran. Ibu tersebut, Ruby, 33, dan ayah tiri kepada bayi tersebut, Roy, 48 didakwa di atas tuduhan membunuh bayi berusia 22 hari tesebut. Bayi tersebut, Betsey Kee Stephens hanya berat 1.8 kilogram ketika ditemui mati minggu lepas, kurang lebih dari sekilogram ketika dia dilahirkan."Pada pendapat saya, bayi tersebut terseksa semenjak dilahirkan sehinggalah dia meninggal dunia," kata Penolong Ketua Polis Mike Link. Pegawai kesihatan mengisytiharkan Betsey maut 3 jam sebelum ibu dan ayah tirinya memanggil nombor kecemasan. Pasangan tersebut memberitahu bahawa mereka meninggalkan bayi tersebut bersama dua beradiknya di dalam kereta ketika mereka pergi makan di Golden Corral, sebuah restoran yang menghidangkan makanan ala bufet. Mereka memanggil nombor kecemasan selepas mendapati kaki Betsey sejuk sekembalinya ke kereta, lapor mirror.co.uk. Adik beradik Betsey, berumur satu dan dua tahun berkeadaan sihat dan sedang dijaga oleh pihak kebajikan. "Kalau kamu tidak mahu anak tersebut, berikan anak tersebut kepada orang lain (untuk dijadikan anak angkat)," kata Mike. "Kamu tak perlu biarkan dia mati kelaparan," tambahnya.

Ratusan rumah musnah terbakar


Anggota bomba menggunakan hos air untuk memadamkan api marak di kawasan setinggan di bandar Quezon, timur Manila. - Foto EPA
Anggota bomba menggunakan hos air untuk memadamkan api marak di kawasan setinggan di bandar Quezon, timur Manila. - Foto EPA
MANILA - FILIPINA. Ratusan rumah di kawasan setinggan di Filipina musnah dalam satu kebakaran besar di percayai berpunca daripada mercun pada malam sambutan tahun baharu, kelmarin. Pegawai kampung, Noel Carino memberitahu, kebakaran tercetus pada awal pagi dan api marak dengan cepat melalui angin kencang sehingga memusnahkan rumah hampir 1 kilometer di sebuah kampung di pinggir bandar Quezon. "Tragedi ini sangat tragis terutamanya ketika menyambut kedatangan tahun baharu,"katanya. Anggota bomba berkata, ratusan rumah musnah dijilat api dan ribuan keluarga miskin hilang tempat tinggal dalam sekelip mata. Sementara itu, Jurucakap Biro Perlindungan Kebakaran Renato Marcial memaklumkan, sekurang-kurangnya 14 kebakaran dilaporkan berlaku di seluruh negara menjelang 2015 di mana beberapa daripadanya didakwa disebabkan bunga api dan mercun. - AP

Wanita berbaju merah

Mayat seorang wanita dipercayai kru kabin pesawat AisAsia Indonesia QZ8501 adalah antara enam jenazah yang diterbangkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda Surabaya, semalam.
Jasad itu diterbangkan dari Lapangan Terbang Iskandar selepas pengurusan di Hospital Sultan Imanuddin di sini, selesai.
Pengarah Eksekutif Pengecaman Mangsa Bencana Indonesia (DVI) Brigedier Jeneral Polis Dr Arthur Tampi berkata, mayat wanita itu ditemui berpakaian berwarna merah dipercayai kru kabin pesawat terbabit.
“Bagaimanapun, kita tidak dapat mengesahkan perkara itu kerana masih banyak prosedur yang perlu dilalui untuk pengesahan identiti,” katanya dalam sidang media di Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Lapangan Terbang Iskandar di sini, semalam.
Beliau berkata, tiga lagi mayat yang diterbangkan ke Surabaya semalam adalah mayat wanita berusia 40-an manakala dua lagi remaja lelaki dan lelaki dewasa.
Menjelaskan keadaan mayat ketiga-tiga penumpang itu, Dr Arthur berkata, mayat wanita berusia 40-an itu ditemui dalam keadaan berpakaian gelap manakala pakaian dalamnya berwarna putih.
“Wanita itu ditemui dengan beg berwarna hijau di sisinya, di lengan baju kirinya ada gambar salib dan berketinggian 167 sentimeter.
“Mayat remaja itu memakai baju biru bertulisan ‘3’ di lengan kiri dan berseluar coklat gelap manakala mayat lelaki dewasa itu memakai jam tangan, berbaju coklat gelap, berseluar panjang biru tua manakala pakaian dalam warna kelabu dan poket depan kiri ada satu telefon bimbit warna putih,” katanya.
Sebelum diterbangkan ke Surabaya, empat mayat itu diletakkan di dalam keranda putih yang dilekat kertas biru bertulis 003, 004, 005, 006, 007 dan 008 diuruskan di Hospital Sultan Imanuddin.
Mayat diterbangkan dengan menggunakan pesawat Hercules A-1320 milik Tentera Nasional Indonesia- Angkatan Udara (TNI-AU) dan tiba di Surabaya jam 11.50 pagi dan jam 7 malam tadi waktu tempatan.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 9:55 AM


Pasukan BASARNAS membawa jenazah seorang mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang baru tiba di Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/20986#sthash.f1VIvIkj.dpuf

Mayat hanyut lebih jauh

Kuala Lumpur: Misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang masuk hari kelima semalam disifatkan semakin sukar dan terjejas kerana keadaan cuaca dan laut bergelora serta angin kencang.
Keadaan cuaca buruk itu menyebabkan semua mayat mangsa dan serpihan pesawat dihanyutkan lebih jauh daripada lokasi penemuan mayat serta serpihan objek tiga hari lalu.
Halangan cuaca turut membantutkan perancangan pasukan SAR yang dikerah ke lokasi penemuan sembilan mayat mangsa dan puluhan serpihan objek pesawat ditemui iaitu di perairan di antara Selat Karimata dan Laut Jawa.
Sekalipun pasukan penyelam dari komando Indonesia sudah sedia untuk melakukan penyelaman di lokasi yang dikenal pasti dengan bantuan negara luar namun tugas menyelam belum mampu dilakukan.
Menurut ramalan cuaca, hujan lebat, angin kencang antara 15 dan 40 knot dan ombak setinggi 2.5 meter hingga empat meter itu dijangka berlaku hingga Ahad ini di kawasan perairan itu.
Portal berita Detiknews melaporkan keadaan cuaca buruk menyebabkan Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) akan memperluaskan kawasan pencarian mangsa nahas hingga ke Laut Jawa.
Ketua Jabatan Operasi, Mejar Cahyo berkata, tumpuan pencarian kini bukan sekadar di perairan Selat Karimata, tetapi turut membabitkan kawasan Laut Jawa.
Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar melalui Twitternya memberitahu, jarak penglihatan juga terlalu terhad hingga hanya lima batu nautika.
Sebelum itu, Abdul Aziz memaklumkan kawasan pencarian yang ditetapkan untuk KD Pahang adalah di sektor 2 sementara KD Lekir dan Lekiu di sektor 4.
Abdul Aziz juga memaklumkan sebuah helikopter turut disediakan KD Lekiu untuk misi menyelamat.
Katanya, kawasan pencarian juga diperluaskan kepada 13,500 batu nautika pada Khamis berbanding 6,160 batu nautika pada hari sebelumnya.
Melalui Twitternya, Abdul Aziz turut menunjukkan gambar laut bergelora yang dirakam daripada kapal KD Lekiu, sekali gus menjejaskan kelancaran operasi pencarian semalam.
“Sektor utara dibahagi kepada dua bahagian iaitu sektor yang dipantau TLDM. Sektor yang terdekat dengan Pontianak, Kalimantan pula dipantau Tentera Laut Singapura,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 10:03 AM


ANGGOTA TNI menunda mayat selepas ditemui terapung jauh di Laut Jawa.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/20992#sthash.1g5j4wXw.dpuf

Nak cuba rasa ‘ice’

Oleh Fardy Bungga

fardy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: "Kakak angkat ajar saya hisap 'ice' (dadah syabu)," dakwa seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang diberkas bersama seorang wanita di sebuah pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama di sini.
Remaja itu diberkas anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang melakukan operasi bersepadu sempena sambutan tahun baru 2015, awal pagi semalam.
Pasangan itu yang diarahkan menjalani ujian air kencing didapati positif mengambil dadah syabu.
Ketika ditahan, pelajar sebuah sekolah menengah di Sungai Buloh itu turut mengaku mengambil dadah bagi tujuan mendapatkan keseronokan.
Menurutnya, dia bukanlah penagih dadah tegar, tetapi lebih kepada melayan sifat ingin tahu terhadap 'rasa' dadah.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 5:09 AM


ANGGOTA penguat kuasa AADK memeriksa seorang wanita yang ditahan.
- Lihat lebih lanjut di: http://www.hmetro.com.my/node/20880#sthash.McsaGBE4.dpuf

Dua beradik maut kereta bertembung lori hantar bantuan


02/01/2015 7:59pm

KUANTAN - Dua beradik dilaporkan maut selepas kereta mereka bertembung dengan sebuah lori yang menghantar bantuan bagi mangsa banjir, di Kilometer 52, Jalan Lipis - Merapoh dekat Kuala Lipis malam tadi.
Mangsa ialah pekerja kilang, Mohd. Haniff Mustafa, 30, dan adiknya, Mohd. Affandi Mustafa, 29, pekerja sebuah syarikat swasta yang kedua-duanya berasal dari Tanah Merah, Kelantan.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, dalam kemalangan 10.45 malam itu, isteri, Mohd. Haniff, Shahrina Arapali, 24, cedera parah dan dirawat di Hospital Kuala Lipis.
"Mangsa bertiga dalam perjalanan dari arah Kuala Lipis menghala ke Merapoh apabila kenderaan mereka dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori itu," katanya.
Lori itu dilapor baharu selesai menghantar bantuan di Kelantan.
Pemandunya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.
Abdul Razak berkata, siasatan awal mendapati jalan di situ berselekoh dan bercerun selain gelap kerana tidak mempunyai lampu jalan. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0102&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_26.htm#ixzz3NfzMtHjk 
Hakcipta terpelihara 

Jalan Kuantan-Pekan ditutup kepada semua kenderaan


02/01/2015 9:37pm

KUANTAN - Jalan Kuantan-Pekan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Ubai ditutup kepada semua kenderaan setelah dinaiki air sedalam 400 milimeter sepanjang 500 meter.
Menurut laman Facebook Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang, hakisan juga berlaku antara persimpangan lampu isyarat Lamir dan Petronas Ubai.
Kerja-kerja pembaikan sementara telah dijalankan oleh JKR Pekan tetapi keadaan hakisan bertambah kritikal disebabkan paras air semakin meningkat dan arus deras.
Berikutan itu, jalan utama antara Pekan ke Kuantan perlu ditutup untuk lalu lintas bagi tujuan keselamatan pengguna dan kerja pembaikan sepenuhnya akan dilaksanakan setelah keadaan air di kawasan tersebut surut.
Pengguna jalan raya yang ingin ke Kuantan atau Pekan perlu menggunakan laluan di Leban Chondong-Muadzam-Gambang. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0102&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_27.htm#ixzz3NfzChjW6 
Hakcipta terpelihara 

Kecut perut sekolah bergegar

Kuala Krai: "Bangunan sekolah memang bergegar seperti mahu runtuh ketika itu. Ia sangat menakutkan apabila dikenang kembali," kata Wan Zainab Wan Ismail, 54, mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Manek Urai, di sini.
Ketika ditemui kelmarin, Wan Zainab masih menghuni pusat berkenaan berikutan rumahnya di Kampung Manek Urai Lama tidak boleh diduduki lagi.
Menurutnya, kejadian mengerikan itu berlaku berkali-kali bermula 23 Disember menyebabkan dia trauma dan sukar tidur malam.
"Ia seperti menghantui saya. Bayangkan kami sedang berehat di aras bawah sekolah, tiba-tiba air naik mendadak secara tiba-tiba dalam tempoh tidak sampai setengah jam.
"Kami semua lari bertempiaran ke tingkat satu untuk menyelamatkan diri apatah lagi malam itu hujan lebat.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 5:15 AM


KEADAAN SMK Manek Urai yang ditenggelami banjir minggu lalu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/20889#sthash.g9ucTYLK.dpuf

Cuaca, ombak halang operasi

Pangkalan Bun: Usaha mencari perakam kotak hitam pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 kemungkinan mengambil masa seminggu selepas pasukan penyelam tidak dapat menyambung operasi hari ini akibat cuaca buruk dan laut bergelora.
Reuters melaporkan, kru penyelam sudah bersiap sedia untuk turun menyiasat objek besar yang dikesan sonar di dasar laut yang terletak pada kedalaman 30 hingga 50 meter.
“Saya berharap maklumat terkini itu betul dan pesawat dijumpai,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes di Twitter.
Seorang penyelidik keselamatan udara yang berkhidmat dengan Jawatankuasa Kebangsaan bagi Keselamatan Pengangkutan, Toos Sanitiyoso, berkata, beliau berharap kotak hitam data penerbangan dan perakam suara dapat ditemui dalam masa seminggu.
“Perkara utama adalah mencari kawasan utama bangkai dan kemudian kotak hitam.
“Tiada satu pun isyarat ‘ping’ kotak hitam yang dapat dikesan. Terdapat dua langkah untuk mencari kotak hitam. Satu cara ialah kita cuba mencari bahagian terbesar bangkai...,” katanya.
Setakat ini, tujuh mayat diambil dari perairan berhampiran lokasi kemalangan bersama-sama serpihan seperti beg pakaian, gelongsor kecemasan dan jaket keselamatan.
Mayat yang ditemui dari Laut Jawa dibawa menggunakan beberapa keranda ke Surabaya, di mana saudara-mara mangsa sudah berkumpul untuk pengenalan.
Pihak berkuasa sudah mengumpulkan DNA daripada saudara-mara untuk membantu mengenal pasti mayat.
“Kami meminta universiti dari seluruh negara untuk bekerjasama dengan kami,” kata Pengarah Eksekutif Jawatankuasa Pengenalan Mangsa Bencana Indonesia Anton Castilani. - REUTERS
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 9:52 AM


TENTERA Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI-AU) bersiap sedia untuk menjalankan misi menyelamat dan mencari jenazah mangsa nahas penerbangan QZ8501 di Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/20984#sthash.lYhyPwPC.dpuf

36 maut sambut tahun baharu



GAMBAR yang dirakam dari udara menunjukkan sebahagian mangsa bergelimpangan dalam kejadian rempuhan semasa sambutan tahun baharu di Shanghai malam kelmarin. - AFP


SHANGHAI – Sambutan tahun baharu di sini bertukar tragedi apabila 36 orang dilaporkan maut, manakala 48 lagi cedera dalam rempuhan dipercayai kerana berebut wang palsu di sini malam kelmarin.
Dalam kejadian di Dataran Chen Yi di Bund sebelum menjelang tengah malam itu, kebanyakan mangsa yang mati terdiri daripada pelajar dan 25 orang adalah wanita.
Punca sebenar kejadian rempuhan itu belum dapat dipastikan, namun media tempatan dan saksi berkata, insiden itu disebabkan orang ramai cuba untuk mengutip wang palsu.
Seorang lelaki yang membantu mangsa cedera berkata, kepingan wang palsu dilemparkan daripada bar yang terletak di atas sebuah bangunan ke jalan raya yang merupakan sebahagian daripada acara sambutan tahun baharu.
“Orang ramai berebut-rebut mengutip wang itu dan saling merempuh antara satu sama lain,” kata lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Wu.
Sementara Cui Tingting, 27, mengakui dia turut berebut mengutip wang kertas yang jatuh bertaburan, namun membuangnya apabila melihat wang kertas tersebut adalah palsu.
“Perbuatan ini sangat kejam, kerana berebutkan wang kertas palsu orang ramai ditolak sehingga jatuh dan dipijak-pijak oleh mereka yang masih mengejar taburan wang tersebut,” katanya.
Pihak pengurusan bar yang didakwa membuat taburan wang palsu tersebut bagaimanapun enggan membuat sebarang kenyataan.
Kerajaan Shanghai dalam satu kenyataan memberitahu, siasatan awal telah pun bermula dan semua acara sambutan tahun baharu di sini telah dibatalkan.
Sementara itu, Kementerian Luar Malaysia mengesahkan seorang rakyat Malaysia yang menuntut di sebuah universiti di Hangzhou, wilayah Zhejiang terbunuh dalam kejadian itu, manakala seorang lagi cedera.
Menurut kenyataan, pihak kementerian sedang berusaha menghubungi keluarga mangsa yang terbunuh, manakala mangsa yang cedera, Ooi Hooi Yi, 20, kini dirawat di Hospital Changzheng. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0102&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3Nfx9Wxz1 
Hakcipta terpelihara 

Ribut Jiangmi ragut 54 nyawa di Filipina



SEBiLANGAN penduduk tempatan berdiri di atas jambatan sambil melihat paras air yang telah mencecah bumbung kediaman setelah di landa ribut tropikal Seniang di kepulauan Mindanao, Filipina pada 29 Disember lalu. - REUTERS


MANILA – Ribut tropika Jiangmi yang melanda Filipina menyebabkan sekurang-kurangnya 54 orang mati, manakala 13 orang lagi hilang ekoran kejadian banjir dan tanah runtuh, lapor pegawai.
Jumlah kematian itu meningkat tiga kali ganda berbanding mangsa kejadian Taufan Super Hagupit yang melanda awal Disember kerana tindakan langkah berjaga-jaga yang diambil lebih awal.
Ketua Pertahanan Awam Filipina, Alexander Pama berkata, sepatutnya amaran bencana seperti itu dihebahkan secara lebih meluas oleh pihak media massa bagi membolehkan penduduk membuat persediaan awal.
“Mungkin kita tidak mengeluarkan amaran yang cukup,” katanya.
Tambahnya, sesetengah penduduk tidak mempedulikan amaran pihak berkuasa termasuk enggan meninggalkan kediaman masing-masing manakala sebilangan lagi tetap ke laut.
“Kejadian ini akan menjadi pengajaran kepada semua, selepas ini mereka mungkin akan terus berpindah dan tidak lagi berdegil,” kata Pama.
Ribut tropika Jiangmi dengan kelajuan angin 80 kilometer sejam membadai bahagian selatan dan tengah Filipina pada awal minggu ini termasuk di kawasan penempatan yang sebelum ini tidak pernah terkena bencana alam.
Lebih 120,000 orang terjejas dalam kejadian ribut itu dan lebih 80,000 orang terpaksa dipindahkan.
Filipina dilanda ribut sekurang-kurangnya 20 kali dalam setahun. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0102&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3NfvsDMqB 
Hakcipta terpelihara 

QZ8501 mendarat di atas air - Pakar


SEKUMPULAN anggota polis membawa satu serpihan dipercayai gelonsor kecemasan boleh kembung milik pesawat QZ8501di Pelabuhan Kumai di Pangkalan Bun semalam. - Reuters


JAKARTA – Beberapa pakar penerbangan percaya juruterbang pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang hilang pada Ahad lalu berjaya membuat pendaratan cemas di atas air tetapi kapal terbang berkenaan tenggelam akibat dibadai ombak besar menyebabkan semua penumpang gagal menyelamatkan diri.
Pesawat yang dalam penerbangan dari Surabaya menuju ke Singapura itu juga tidak mengeluarkan sebarang isyarat kecemasan yang biasanya diaktifkan apabila sesebuah kapal terbang terhempas atau tenggelam di dalam air.
Pakar percaya, itu menunjukkan Kapten Iriyanto yang mengendalikan pesawat tersebut berjaya membuat pendaratan selamat di atas air.
Editor kanan majalah penerbangan Angkasa, Dudi Sudibyo berkata, Iriyanto seorang juruterbang yang berpengalaman dan ada kemungkinan dia berjaya membuat pendaratan di atas permukaan laut.
“Pemancar Pengesan Kecemasan (ELT) akan diaktifkan jika ada impak yang kuat sama ada di darat, laut atau di lereng gunung.
“Saya percaya ELT tidak diaktifkan kerana tidak ada impak yang kuat semasa pendaratan dibuat.
“Bagaimanapun, semua ini dapat disahkan jika kotak hitam yang mengandungi data penerbangan dan rakaman suara kokpit dapat dijumpai,” katanya.
Pesawat penerbangan QZ8501 yang membawa seramai 162 penumpang termasuk tujuh kru itu terputus hubungan ketika cuaca buruk kira-kira 40 minit selepas berlepas dari Surabaya.
Beberapa pakar penerbangan yang merujuk data radar percaya pesawat tersebut terhenti ketika penerbangan atau ketika mendaki untuk mengelak cuaca buruk.
Pesawat Airbus A320-200 dipercayai mengalami aerodynamic stall kerana terbang terlalu perlahan atau mendaki terlalu menegak.
Juruterbang tersebut juga dipercayai tidak membuat sebarang panggilan kecemasan sebelum hilang dari pada radar.
Sehingga semalam, pasukan penyelamat sudah menemui sembilan mayat yang masih sempurna termasuk seorang yang memakai jaket keselamatan dan serpihan kapal seperti pintu pesawat serta gelongsor kecemasan.
Bekas komander tentera udara Indonesia, Chappy Hakim percaya pesawat itu tidak berkecai di udara atau mengalami kerosakan yang teruk ketika mendarat di permukaan laut.
“Jika pesawat ini berkecai di udara atau terhempas dengan kuat di laut, tidak mungkin mayat yang dijumpai masih dalam keadaan sempurna.
“Badan pasawat juga tidak berkecai selepas imej sonar berjaya mengesan satu objek besar di dasar Laut Jawa tidak jauh dari lokasi serpihan dan mayat dijumpai,” ujarnya.
Bekas Menteri Pengangkutan Indonesia, Jusman Syafii Djamal pula yakin, penemuan pintu kecemasan dan gelongsor boleh kembung menunjukkan ada penumpang memulakan proses keluar dari pesawat sebaik ia mendarat di laut.
“Pintu kecemasan itu mungkin dibuka seseorang.
“Kemungkinan ketika penumpang sedang menunggu kru mengisi angin pada rakit keselamatan, satu ombak besar telah membadai muncung pesawat menyebabkan pesawat itu terus tenggelam,” ujarnya.
Mengikut standard keselamatan penerbangan, semua penumpang perlu dikeluarkan daripada pesawat dalam tempoh 90 saat selepas sesebuah kapal terbang membuat pendaratan cemas. – AFP


Artikel Terpelihara  
 

QZ8510: 14 lagi mayat mangsa pesawat ditemui



Oleh Fitri Nizam

KERANDA jenazah penumpang nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 diusung masuk ke pesawat Tentera Udara Indonesia di lapangan terbang di Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah sebelum berlepas ke Surabaya hari ini. - Foto Reuters
PANGKALAN BUN : Empat belas lagi mayat mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia, QZ8510 ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pelbagai negara, pada hari keenam SAR di sekitar perairan Selat Karimata, di sini, hari ini.
Jumlah itu termasuk 10 jasad penumpang pesawat malang itu yang diterbangkan dari Pangkalan Bun dan sudah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya lewat petang ini.
Kesemua jenazah yang sudah diuruskan itu diterbangkan menggunakan pesawat Charlie CN-295 milik Tentera Nasional Indonesia (TNI). Terdahulu, setiap keranda membawa jenazah itu ditampal kertas berwarna biru tertulis angka 009 sehingga 018.
Sementara itu, empat lagi jasad mangsa pesawat yang tiba jam 6.45 petang waktu tempatan pula akan ditempatkan di Rumah Sakit Imanuddin, di sini, sebelum dijadual diterbangkan ke Surabaya, esok.
Kebanyakan mangsa yang berjaya diperoleh itu, ditemui terapung di sekitar perairan Teluk Kumai, di sini.
Pengarah Operasi Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS), SB Supriyandi, berkata kerja-kerja mengangkat mangsa berjalan lancar berikutan cuaca pada hari keenam operasi baik walaupun diselangi angin kencang dan hujan.
"Jumlah keseluruhan mangsa yang kini sudah berjaya diambil adalah 22 orang. 18 daripadanya sudah berada di Surabaya manakala empat lagi masih di sini (Pangkalan Bun)," katanya.
Operasi SAR yang turut disertai pasukan daripada Malaysia diwakili Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menangguhkan misi pencarian hari ini lewat petang tadi.