Search This Blog

Thursday, January 1, 2015

Bunuh diri lepas tertembak adik

Kosmo! Online - Negara:

SIPITANG – Seorang pengawal keselamatan bertindak menembak diri sendiri dipercayai akibat panik selepas tertembak adiknya sehingga mati dalam kejadian di kawasan hutan Kampung Ulu Meligan dekat sini kelmarin.
Kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu berlaku ketika kedua-dua mangsa bersama seorang rakan keluar memburu binatang.
Difahamkan, ketika berada di dalam hutan, adik suspek yang berusia 22 tahun dan rakannya berusia 33 tahun berada dalam satu kumpulan, manakala suspek yang berusia 27 tahun memburu bersendirian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sipitang, Asisten Superintendan Mohamad Zulkiflee Mohd. Yaacob berkata, mangsa dan rakannya dikatakan berhenti berehat untuk makan sebelum satu tembakan dilepaskan dipercayai daripada senapang patah buatan sendiri dikenali bakakok milik abang mangsa.
Katanya, tembakan yang dilepaskan suspek itu terkena belakang
mangsa menyebabkannya mati di tempat kejadian, manakala rakan mangsa cedera parah akibat terkena tembakan pada bahagian kepala dan badan.
“Dalam keadaan cedera parah, rakan mangsa bergegas pulang ke kampung untuk mendapatkan bantuan yang mengambil masa perjalanan kira-kira tiga jam sebelum dia dibawa ke Hospital Sipitang bagi mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0101&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3NXHhTA1V 
Hakcipta terpelihara 


'via Blog this'

Persembahan bunga api sambut tahun baharu

PERSEMBAHAN bunga api menerangi kawasan Sydney Harbour Bridge bagi meraikan ketibaan Tahun Baharu 2015 semalam. - REUTERS
Kosmo! Online - Dunia: "SYDNEY – Seramai 1.6 juta orang menyertai sambutan Tahun Baharu 2015 di bandar raya ini yang pernah digemparkan dengan insiden seorang lelaki bersenjata berketurunan Iran menawan seramai 17 pengunjung sebuah kafe baru-baru ini.

Orang ramai berkumpul dekat sebuah jambatan untuk tidak melepaskan peluang menonton pertunjukan bunga api di Pelabuhan Sydney, di sini.

Datuk Bandar Sydney, Clover Moore berkata, dua tebusan yang maut dalam insiden itu akan terus diingati manakala kalungan-kalu­ngan bunga diletakkan di jambatan Harbour Bridge.

“Kita meraikan bahawa kita merupakan masyarakat berbilang bangsa, komuniti yang aman damai tetapi pada masa yang sama, kita mengambil ikhtibar daripada apa yang telah berlaku,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Australia, Tony Abbot semasa mengulas mengenai serangan tersebut turut memberi amaran bahawa ancaman pengganas masih tinggi.

Namun, Moore memberitahu agensi berita AFP bahawa pihak­nya yakin sambutan ambang 2015 akan berjalan lancar dan selamat.

Sambutan meriah turut diadakan di kota-kota besar lain namun bandar raya London mencatat kelainan apabila orang ramai dikenakan bayaran untuk menonton persembahan bunga api di sepanjang tebing Sungai Thames.

Sementara itu, di New York, sejuta pengunjung berkumpul di da­taran Times Square untuk me­nyaksikan pelbagai acara yang disajikan termasuk persembahan langsung oleh beberapa bintang pop seperti Taylor Swift.

Di Benua Asia pula, Kuil Meiji Shringu di Tokyo, Jepun menyediakan stok tangkal bertuah untuk diberikan kepada hampir 3 juta orang yang dijangka berkunjung untuk berdoa.

Keadaan itu berbeza daripada Hong Kong di mana berjuta-juta penduduknya berhibur sepanjang malam sambil menikmati panorama malam Pelabuhan Victoria dengan diringi dengan pertunjukan bunga api selama lapan minit sebaik detik 2015 tiba. – AFP"



'via Blog this'

Dua mayat QZ8501 dijumpai sempurna

Kosmo! Online - Dunia: "SURABAYA – Pemeriksaan awal forensik di Hospital Bhayangkara di sini mendapati mayat seorang lelaki dan perempuan daripada pesawat penerbangan AirAsia Indonesia QZ8501 berada dalam keadaan sempurna dan cukup sifat.

Ketua Unit Identiti Bencana (DVI) Jawa Timur. Komisioner Besar Budiyono berkata, bagaimanapun, kedua-dua mayat itu sudah berbau kerana telah meninggal dunia kira-kira tiga hari lepas.

Katanya, kedua-dua mayat tersebut kini berada di Hospital Bhayangkara untuk menjalani proses bedah siasat dan pengenalan identiti.

"Maklumat lanjut mengenai identiti seperti umur dan sebagainya belum lagi boleh diperolehi kerana forensik baru menerima jenazah petang ini (semalam).

"Kami memerlukan lebih masa untuk mendapatkan identiti mangsa. Pasukan kami sedang bekerja keras," katanya dalam sidang akhbar di perkarangan hospital tersebut pada lewat petang semalam.

Jelasnya, terdapat juga pelbagai pakar lain dari bidang patologi, DNA, dan pergigian terlibat dalam bedah siasat itu.

Difahamkan kira-kira 20 doktor dan pakar forensik bersiap sedia untuk menjalankan proses bedah siasat yang dijangka dimulakan secepat mungkin serta selesai dalam tempoh 24 hingga 48 jam.

Pihaknya juga berharap untuk mendapatkan identiti dua mayat itu dengan kadar segera dengan membandingkan sampel rekod pergigian dan DNA waris serta keluarga mangsa.

Menurutnya, sebaik proses bedah siasat dan pengenalan selesai, mayat mangsa akan diserahkan kepada waris atau ahli keluarga untuk proses pengebumian.

Difahamkan, tujuh lagi mayat termasuk seorang kru penerbangan kini masih dalam proses untuk dibawa keluar oleh pasukan misi mencari dan menyelamat di Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah.

Bagaimanapun, usaha mencari baki penumpang pesawat berkenaan dan operasi membawa pulang mayat-mayat yang dijumpai terganggu semalam ekoran cuaca buruk serta ombak setinggi tiga meter. – Bernama"



'via Blog this'

QZ8501 tidak berkecai sebelum terhempas

PASUKAN penyelamat membawa satu mayat mangsa nahas Penerbangan QZ8501 di Pangkalan Bun semalam. - AFP
Kosmo! Online - Dunia:

JAKARTA – Satu mayat yang ditemui semalam daripada pesawat Air Asia Indonesia yang terhempas didapati memakai jaket keselamatan, kata seorang pegawai agensi mencari dan menyelamat Indonesia sekali gus menimbulkan tanda tanya tentang bagaimana nahas itu berlaku.
Pasukan penyelamat percaya mereka telah menemui pesawat hilang itu di dasar laut di perairan Borneo selepas alat sonar mengesan satu objek gelap di bawah laut berhampiran lokasi di mana beberapa mayat dan serpihan dijumpai.
Beberapa buah kapal dan pesawat telah meronda Laut Jawa untuk mencari pesawat QZ8501 yang terputus hubungan pada Ahad lalu.
Pesawat yang membawa seramai 162 penumpang dan anak kapal itu terputus hubungan ketika cuaca buruk setelah 40 minit berlepas dari bandar raya Surabaya menuju ke Singapura.
Setakat ini, sebanyak sembilan mayat ditemui di laut dengan sebahagiannya berpakaian lengkap.
“Pada pagi ini (semalam), kami menemui sebanyak empat mayat dan satu daripadanya memakai jaket keselamatan,” kata seorang pegawai agensi mencari dan menyelamat, Tatang Zaenudin.
Penemuan tersebut menunjukkan pesawat jenis Airbus A320-200 itu masih sempurna apabila melanggar permukaan laut sekali gus menyokong teori bahawa jet komersial berkenaan terhenti semasa dalam penerbangan akibat tarikan udara atau aerodynamic stall.
Penemuan mayat yang memakai jaket keselamatan juga menunjukkan penumpang mempunyai masa seketika sebelum pesawat malang itu jatuh ke dalam air atau selepas ia terhempas sebelum tenggelam.
Namun, pakar-pakar masih keliru mengapa juruterbang pesawat QZ8501 tidak membuat panggilan kecemasan.
Pada hari kejadian, pesawat berkenaan terbang pada ketinggian 32,000 kaki dan meminta membelok ke kiri sebelum naik ke altitud 38,000 kaki.
Apabila pegawai trafik udara memberi kebenaran untuk pesawat QZ8501 naik pada ketinggian 34,000 kaki mereka tidak menerima sebarang maklum balas.
Sementara itu, perbincangan dalam kalangan juruterbang tertumpu berhubung data radar kedua dari Malaysia yang membayangkan pesawat itu mendaki pada kelajuan 353 knot iaitu kurang 100 knot daripada kelajuan sepatutnya yang mungkin menyebabkan kapal terbang tersebut terhenti ketika penerbangan.
Seorang juruterbang Syarikat Penerbangan Qantas dengan 25 tahun pengalaman terbang di rantau berkenaan memberitahu bahawa, penemuan serpihan hampir dengan lokasi terakhir pesawat itu muncul dalam radar menunjukkan fenomena aerodynamic stall.
Juruterbang pesawat QZ8501 merupakan warga Indonesia dan bekas juruterbang tentera udara negara itu.
Dia mempunyai pengalaman terbang selama 6,100 jam. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0101&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3NXEypXIH 
Hakcipta terpelihara 


'via Blog this'

35 maut, 42 cedera rempuhan sambutan Tahun Baharu di Shanghai

ANGGOTA keselamatan cuba menghalang orang ramai daripada memasuki sebuah hospital di mana ahli keluarga mereka menerima rawatan selepas kejadian rempuhan menjelang Tahun Baharu di Bandaraya Shanghai, China, malam tadi. Sambutan menjelang detik 12 malam yang diadakan di sebuah dataran sungai itu mengorbankan 35 orang, manakala lebih 42 lagi cedera. - Foto AFP 
35 maut, 42 cedera rempuhan sambutan Tahun Baharu di Shanghai | Berita Harian: "KHAMIS, 1 JANUARY 2015 @ 8:52 AM
35 maut, 42 cedera rempuhan sambutan Tahun Baharu di Shanghai SHANGHAI: Seramai 35 orang maut dalam rempuhan apabila orang ramai berasak-asak menyambut detik 12 malam menjelang Tahun Baharu di Bandaraya Shanghai, malam tadi, bencana kematian paling buruk menimpa bandar raya terkenal itu.

Kerajaan Shanghai dalam satu kenyataan berkata, seramai 42 orang lagi cedera dalam kejadian yang berlaku setengah jam sebelum tengah malam.

Kejadian berlaku di Bund, satu kawasan dataran tepi sungai popular di Shanghai yang biasa digunakan dalam majlis keraian besar-besaran.


Stesen televisyen CCTV America menunjukkan video keadaan jalan raya di Shanghai selepas rempuhan itu dengan dipenuhi timbunan kasut yang ditinggalkan.

Satu gambar yang dikongsi oleh Agensi Berita Xinhua menunjukkan sekurang-kurangnya seorang peserta memberikan pertolongan cemas terhadap seorang lelaki tanpa baju yang dipercayai sesak nafas, manakala beberapa orang lagi terbaring di padang berdekatan.

Punca rempuhan setakat ini masih dalam siasatan, demikian lapor Agensi Berita Xinhua.

Minggu lalu, akhbar berbahasa Inggeris, Shanghai Daily melaporkan sambutan menjelang Tahun Baharu di Bund yang biasanya akan menarik kunjungan lebih 300,000 orang, dibatalkan disebabkan masalah mengawal jumlah mereka yang datang.

Laporan itu kemudian menyatakan bahawa upacara itu tetap diadakan tetapi tidak dibuka kepada orang awam. - AP

 LAMPU limpah dan sinaran laser menyinari Lujiazui daerah pentadbiran Pudong di Shanghai semasa pertunjukan cahaya sebagai sebahagian daripada sambutan menjelang detik 12 malam. - Foto REUTERS "




'via Blog this'

Mati ditembak anak 2 tahun

Mati ditembak anak 2 tahun | Harian Metro: "Los Angeles: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun menembak mati ibunya secara tidak sengaja di sebuah pasaraya Walmart di Idaho, semalam.

Kejadian berlaku selepas kanak-kanak itu mengambil pistol dari beg duit ibunya.

Mangsa, Veronica Rutledge dikatakan berada bersama-sama anak dan anggota keluarganya yang lain untuk membeli-belah di pasar raya di Hayden itu.

“Kanak-kanak itu yang duduk di dalam toli mengeluarkan pistol dari begi duit ibunya lalu melepaskan tembakan yang terkena mangsa,” kata Syerif Kootenai County Ben Wolfinger.

Dia juga mengesahkan Veronica mempunyai lesen untuk memiliki senjata.
- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 5:03 AM"



'via Blog this'

8 dibunuh penjenayah

MAYAT seorang mangsa dibawa keluar dari sebuah rumah di timur laut Edmonton di Alberta, Kanada, semalam. 
8 dibunuh penjenayah | Harian Metro: "Edmonton (Kanada): Seorang lelaki mempunyai rekod jenayah membunuh enam orang dewasa dan dua kanak-kanak sebelum membunuh diri di sini, semalam.

Cindy Duong, 37, mati ditembak di kediamannya di selatan Edmonton kelmarin, sementara dua lelaki dan tiga wanita berusia antara 25 dan 50 tahun serta seorang kanak-kanak perempuan dan seorang lelaki bawah umur 10 tahun ditemui mati beberapa jam kemudian di sebuah rumah di timur laut bandar itu.

Mayat suspek pula dijumpai di sebuah restoran di sebuah asrama di Fort Saskatchewan.

Bercakap pada satu sidang akhbar, Ketua Polis Edmonton Rod Knecht menyifatkan kejadian itu sebagai pembunuhan beramai-ramai paling buruk di bandar berkenaan.

Menurutnya, tidak ada bukti menunjukkan pembunuhan itu dilakukan kumpulan samseng.

Knech turut memberitahu, motif serangan itu ialah pembunuhan beramai-ramai yang tidak masuk akal yang sudah dirancang dan sengaja dilakukan.

Dia tidak mendedahkan nama suspek tetapi berkata, polis mengenali pembunuh berkenaan yang mempunyai rekod jenayah sejak 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 5:04 AM"



'via Blog this'

Buang mayat anak dalam lubang najis

Buang mayat anak dalam lubang najis | Harian Metro: "Colombo: Seorang lelaki berusia 52 tahun membunuh anaknya menggunakan kuku kambing sebelum mencampakkan mayatnya ke dalam lubang najis.

Menurut laporan, si anak yang berusia 26 tahun sering mengugut bapanya kerana enggan memberinya wang.

Dalam kejadian itu, kedua-duanya minum teh bersama sebelum mereka bertengkar apabila si anak sekali lagi meminta wang daripada bapanya.

Marah kerana tidak memperoleh wang yang diminta, si anak menyimbah minuman itu pada muka bapanya.

Lelaki itu yang hilang sabar memukul mangsa dengan kuku kambing sehingga mati.

Dia kemudian mengheret mayat anaknya ke dalam lubang najis di belakang rumah dan menimbusnya dengan tanah.

Apabila ditanya anggota keluarga lain, lelaki itu berkata, anaknya keluar bersama-sama rakannya.

Bagaimanapun, seorang adik mangsa berusia 22 tahun mengesyaki sesuatu dan membuat laporan polis.

Ketika disoal siasat, lelaki itu mengaku membunuh mangsa dan mayatnya ditemui 25 hari selepas kejadian. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 5:05 AM"



'via Blog this'

Mangsa Jangmi meningkat

SEORANG penduduk meninjau keluar dari rumahnya selepas Jangmi melanda bandar Palo di wilayah Samar, menyebabkan banjir dan tanah runtuh. 
Mangsa Jangmi meningkat | Harian Metro: "Manila: Jumlah kematian akibat banjir dan tanah runtuh berpunca daripada ribut Jangmi meningkat kepada 53 orang, semalam.

Pegawai berkata, penduduk di beberapa wilayah mendakwa mereka tidak menyangka kesan taufan berkenaan begitu besar.

Di bandar Catblogan di wilayah Samar, 19 orang terbunuh apabila tanah runtuh menimbus kediaman dan kenderaan.

Datuk Bandar Stephany Uy-Tan berkata, bandar itu terkejut dengan kejadian berkenaan.

“Penduduk di satu kawasan lereng bukit tidak menjangka bukit itu akan runtuh kerana percaya ia kukuh,” katanya kepada wartawan.

“Tidak ada arahan meminta mereka berpindah, hanya nasihat supaya mereka bersiap sedia dengan kemungkinan berlaku tanah runtuh. Kami perlu memeriksa sistem komunikasi untuk memastikan kesilapan yang berlaku,” kata Stephany kepada wartawan.

Jangmi menjejaskan kehidupan 121,737 penduduk dengan 80,186 daripada mereka dipindahkan ke pusat perlindungan.

Jumlah kematian itu hampir tiga kali ganda berbanding Hagupit, taufan terbaru yang melanda negara itu, awal Disember.

“Di wilayah Misamis Oriental, banjir memusnahkan sawah dan ladang jagung menyebabkan kerugian dianggarkan kira-kira 400 juta peso (RM31 juta),” kata Gabenor Yevgeny Emano.

“Kami terperangkap. Kami tidak menjangka kesannya begitu teruk,” kata Emano walaupun mengaku menerima amaran.

Di wilayah Leyte, hujan lebat menyebabkan tanah runtuh dan banjir kilat, memaksa beberapa jalan utama ditutup.

Jurucakap agensi pengawasan bencana kebangsaan, Mina Marasigan mempertahankan cara kerajaan menangani ribut Jangmi dengan berkata, amaran sudah dikeluarkan ketika ribut tropika itu masih berada di Lautan Pasifik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 5:06 AM"



'via Blog this'

Padah menyombong

CHO dikerumuni wartawan sebaik tiba di mahkamah.
Padah menyombong | Harian Metro: "Seoul: Bekas eksekutif Korean Air yang mengamuk kerana tidak puas hati dengan cara dia dihidangkan kacang makadamia semalam ditahan kerana meletakkan penerbangannya dalam bahaya ketika kejadian.

Cho Hyun-ah yang juga anak pengerusi syarikat penerbangan berkenaan dikritik hebat selepas kejadian 5 Disember itu yang menyebabkan pesawat dinaikinya terpaksa berpatah balik ke New York untuk menurunkan seorang pramugara kanan.

Dia dilaporkan marah kerana dihidangkan kacang dalam beg dan bukan di atas piring menyebabkan kejadian itu digelar ‘nut rage’ (radang kacang).

Pendakwa setakat ini belum mendakwa Cho, namun undang-undang Korea Selatan membolehkan suspek ditahan enam bulan untuk mengelaknya melarikan diri atau menghapuskan bahan bukti.

Pejabat Pendakwa Seoul Barat berkata, mahkamah daerah mengeluarkan waran tangkap terhadap Cho menyebabkan wanita itu diletakkan dalam tahanan malam kelmarin.

Menurutnya, eksekutif Korean Air dikenali sebagai Yeo turut ditahan kelmarin kerana didakwa mendesak pekerja penerbangan itu supaya mendiamkan perkara itu.

Katanya, mahkamah mengesahkan pelbagai usaha dilakukan untuk menutup perbuatan Cho itu sejak ia berlaku.

Sehubungan itu, Cho berdepan pelbagai tuduhan termasuk keganasan di dalam kapal terbang dan mengubah haluan perjalanan pesawat, kesalahan yang melanggar undang-undang penerbangan.

Cho, 40, meletak jawatan sebagai Naib Presiden Korean Air dan semua jawatan di syarikat bersekutu awal bulan ini.

Seorang penumpang pesawat berkenaan memberitahu media tempatan bahawa Cho menyerang dan mengugut anak kapal ketika kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 5:07 AM"



'via Blog this'

Lelaki maut ditetak beramai-ramai

Keadaan mayat mangsa yang berlumuran darah.
Keadaan mayat mangsa yang berlumuran darah.
Lelaki maut ditetak beramai-ramai - Selangor & KL - Sinar Harian: "KUALA LUMPUR –  Seorang lelaki maut ditetak beberapa kali oleh sekumpulan lelaki warga Indonesia di hadapan pintu masuk Stadium Bukit Jalil, kira-kira jam 2.50 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner, Chong Kok Sin berkata, mangsa warga Indonesia ditemui terbaring berlumuran darah dengan kesan tetakan di seluruh tubuhnya.

“Siasatan awal mendapati, mangsa bersama rakannya dari Kota Kemuning mahu ke karnival di kawasan berhampiran sebelum dihampiri sekumpulan lelaki warga Indonesia, dianggarkan antara lima hingga 10 orang.

“Kumpulan tersebut bersenjatakan parang, turun dari sebuah bas yang berada di seberang jalan dan terus menyerang mangsa dan rakannya,” katanya.

Menurut Kok Sin, mangsa ditetak beberapa kali dan tidak dapat melarikan diri kerana diasak kumpulan terbabit.

“Rakan mangsa bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri. Kumpulan tersebut terus melarikan diri selepas menyerang mangsa.

“Polis kini giat memburu mereka yang terlibat. Dianggarkan seramai 13 lelaki  terbabit dalam pergaduhan tersebut,” katanya.

Katanya, mangsa berusia 30 tahun dan bekerja sebagai buruh binaan di Shah Alam.

“Punca kejadian masih disiasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya."



'via Blog this'

Jambatan baharu runtuh

Jambatan Aur Gading, kawasan Padang Tengku yang merentangi Sungai Tanum runtuh berikutan banjir besar melanda di daerah Lipis empat hari lepas.
Jambatan Aur Gading, kawasan Padang Tengku yang merentangi Sungai Tanum runtuh berikutan banjir besar melanda di daerah Lipis empat hari lepas.
Jambatan baharu runtuh - Pahang - Sinar Harian: "KUALA LIPIS - Jambatan baharu Aur Gading di laluan alternatif antara Bukit Kota-Chegar Perah ke Merapoh runtuh dan berlaku mendapan laluan berikutan musibah banjir melanda di daerah Lipis lima hari lepas.

Jambatan konkrit itu runtuh berikutan air Sungai Tanum melimpah dan arus deras sehingga menyebabkan tebing runtuh dan sebahagian ‘beam’ patah dan jalan raya di situ turut mendap.

Tinjauan mendapati tiga buah jambatan runtuh di Kampung Aur Gading membabitkan jambatan baharu, jambatan gantung dan jambatan besi (bailey) runtuh menyebabkan semua perhubungan darat di beberapa buah kampung terputus dan pelajar terpaksa menggunakan bot apabila sesi persekolahan bermula awal tahun hadapan.

 Turut dihanyutkan banjir sebanyak enam buah kediaman penduduk Kampung Aur Gading ditimpa musibah itu.

Adun Padang Tengku, Datuk Mustapa Long, berkata berikutan kejadian itu laluan alternatif kenderaan ke negeri Kelantan melalui Sungai Koyan ke Bukit Kota terkandas termasuk yang menghala dari arah Chegar Perah.

 “Bagaimanapun, seramai 374 orang penduduk Aur Gading dan 560 orang di Chegar Perah yang terkepung dengan banjir di situ selamat dan bantuan makanan dihantar dengan menggunakan bot di Sungai Jelai melalui kampung Seberang Jelai,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, keadaan air Sungai Tanum mulai surut dan orang ramai termasuk kenderaan diminta jangan menghampiri jambatan yang runtuh dan melalui kawasan mendapan di situ."



'via Blog this'

Penerbangan ihsan bawa dua jenazah

Penerbangan ihsan ATM membawa dua jenazah selamat tiba di padang Felda Jengka 3 ketika cuaca hujan.
Penerbangan ihsan ATM membawa dua jenazah selamat tiba di padang Felda Jengka 3 ketika cuaca hujan.
Penerbangan ihsan bawa dua jenazah - Pahang - Sinar Harian: "JENGKA - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan penerbangan ihsan membawa dua jenazah dari Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh ke Felda Jengka 3.

Ia berikutan laluan Temerloh-Bandar Tun Abdul Razak Jengka dekat jambatan Sungai Nerek ditutup kepada semua jenis kenderaan apabila dinaiki air setinggi satu meter.

Dua jenazah tersebut merupakan seorang penerokawati Felda Jengka 6, Rokiah Embong Atamat, 64, yang meninggal dunia di HoSHAS.

Manakala seorang lagi adalah anak peneroka Felda Jengka 3, Marina Awang Teh, 31, yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kanser paru-paru, Sabtu lalu.

Zainuddin Awang Teh, 44, abang sulung kepada Marina berkata, jenazah adiknya dibawa dari HKL menaiki trak ATM sebelum terkandas di jambatan Sungai Nerek pada jam 7 petang.

Menurutnya, keadaan tersebut menyebabkan trak berkenaan berpatah balik ke HoSHAS sementara mencari cara lain untuk sampai ke Jengka 3.

“Pada mulanya keluarga merancang untuk menggunakan bot sebelum menyambut jenazah di seberang jambatan tersebut.

“Namum pada malam itu, saya dimaklumkan bahawa jenayah akan dihantar dengan helikopter atas pertolongan Adun Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin yang menghubungi pihak ATM.

“Alhamdulillah, jenazah adik dan seorang lagi selamat tiba di Jengka 3 walaupun kelewatan kerana faktor cuaca,” katanya."



'via Blog this'

Ada laluan bakal terputus hubungan

Laluan ke Bandar 32 dan Felda Gugusan Bera turut dinaiki air Sungai Bera, dan dijangkakan kawasan terbabit bakal terputus hubungan berdasarkan trend air sungai yang semakin naik.
Laluan ke Bandar 32 dan Felda Gugusan Bera turut dinaiki air Sungai Bera, dan dijangkakan kawasan terbabit bakal terputus hubungan berdasarkan trend air sungai yang semakin naik.
Ada laluan bakal terputus hubungan - Pahang - Sinar Harian: "BERA - Laluan ke Bandar 32 Bera dan beberapa perkampungan Felda Gugusan Bera bakal terputus hubungan dalam beberapa jam berikutan air Sungai Bera yang semakin naik.

Sehingga jam 3 petang semalam, laluan berdekatan jambatan Sungai Bera itu sudah dinaiki air, dan hanya kenderaan berat sahaja yang boleh melaluinya.

Penduduk, Ismayuddin Suib berkata, keadaan banjir tahun ini hampir serupa dengan bah pada tahun 2007, malah lebih teruk terjejas.

“Jika laluan itu terputus hubungan, kami akan terkepung dan mungkin akan menghadapi pelbagai masalah termasuk kekurangan bekalan makanan.

“Bagaimanapun, setakat ini, penduduk masih boleh memperoleh barangan keperluan dan stok makanan di beberapa kedai runcit di setiap perkampungan Felda dan pasar raya di Bandar Bera,” katanya.

Berdasarkan pengalaman sebelum ini, penduduk pernah menghadapi kekurangan makanan, dan ada segelintir peniaga yang mengambil kesempatan menjual dengan harga yang mahal.

Baginya, persediaan bekalan makanan dan keperluan harian sudah disediakan namun berharap, penduduk di kawasan ini turut diberikan perhatian sekiranya mereka terkepung untuk beberapa hari.

Difahamkan, Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) memaklumkan bahawa jambatan berdekatan Loji Air Bera akan tenggelam sepenuhnya dalam tempoh dua air berdasarkan trend air Sungai Bera yang semakin naik.

Semua penduduk di Felda Sebertak, Tementi, Rentam, Kumai, Kepayang, Purun, Mayam, Triang 3 dan Felda Plantation bersedia dengan bekalan makanan dan keperluan lain."



'via Blog this'

‘Kali ini lebih teruk dan dahsyat’

Aliran air yang deras menyebabkan tanah runtuh hingga menyebabkan sebuah rumah di Pulau Tioman musnah.
Aliran air yang deras menyebabkan tanah runtuh hingga menyebabkan sebuah rumah di Pulau Tioman musnah.
‘Kali ini lebih teruk dan dahsyat’ - Pahang - Sinar Harian: "TIOMAN – “Keadaan hujan lebat ditambah dengan air bukit yang deras mengalir melalui kawasan kampung dan angin yang kuat semalam (kelmarin) memang di luar jangkaan serta menakutkan kami yang tinggal di Pulau Tioman ini," kata Ketua Kampung Tekek, Zulkarnaini A Hamid, menceritakan keadaan sebelum berlaku banjir di pulau peranginan terkenal di Pahang itu, kelmarin.

Menurutnya, banjir kali ini lebih teruk dan dahsyat berbanding tahun-tahun sebelum ini kerana air naik sebanyak tiga kali dalam satu hari.

Katanya, ia adalah disebabkan fenomena unik di pulau tersebut iaitu banjir akan mengikut keadaan air pasang besar yang bertembung dengan hujan lebat yang turun tanpa henti dan air bukit.

“Apa yang berlaku semalam (kelmarin) adalah di luar jangkaan kerana hujan lebat dan banjir menyebabkan banyak jalan yang rosak dan ada jambatan yang retak selain beberapa rumah serta chalet yang rosak akibat tanah runtuh.

“Bagaimana pun cuaca hari ini (semalam) kelihatan semakin baik walaupun terdapat hujan renyai sekali-sekala dan banjir juga sudah surut,” katanya kepada Sinar Harian.

Seramai 82 mangsa banjir di Pulau Tioman yang melibatkan 18 keluarga kini ditempatkan di kuarters Jabatan Kastam dan kuarters Malaysian Airline Berhad (MAB).

Dalam pada itu, Zulkarnaini berkata, walaupun cuaca semakin baik tetapi penduduk yang terlibat masih tidak dibenarkan pulang kerana keadaan cuaca kini yang sukar dijangka kerana bimbang berlaku hujan dan air pasang besar lagi.

“Mangsa yang yang kini ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara dalam keadaan baik dan mempunyai bantuan yang mencukupi. Kami harap keadaan seperti semalam (kelmarin) tidak akan berulang cuaca akan kekal baik,” katanya."



'via Blog this'

Wanita maut, adik lelaki parah nahas

Mayat Asnida dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.
Mayat Asnida dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.
Wanita maut, adik lelaki parah nahas - Pahang - Sinar Harian: "KUALA LIPIS - Seorang wanita maut manakala adik lelakinya parah setelah kenderaan yang mereka naiki terbabit dalam satu kemalangan di sini kira-kira jam 9.50 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, kejadian yang meragut nyawa Asnida Hassan, 28, berlaku di kilometer 59 jalan Lipis-Merapoh berhampiran Bukit Tujuh.

“Siasatan awal mendapati kereta Proton Saga yang dipandu Asnida bersama adiknya, Mohd Hisyam Hassan, 25 datang dari arah Lipis menuju ke Merapoh.

“Sampai di tempat kejadian, kereta yang dipandu mangsa gagal dikawal ketika menuruni bukit lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah pacuan empat roda,” katanya di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, akibat pertembungan berkenaan kedua beradik tersebut tersepit di dalam kenderaan.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dalaman.

“Manakala Mohd Hisyam mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan dihantar ke Hospital Lipis untuk rawatan lanjut. Pemandu dan penumpang pacuan empat roda pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang awam yang melihat kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sub Inspektor Abdul Rahman Yunan di talian 09-3122222 atau tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis untuk membantu siasatan,” katanya."



'via Blog this'

Kerosakan berganda akibat bencana banjir - Pahang - Sinar Harian

Keadaan dinding rumah Tajuddin tercabut akibat banjir.
Keadaan dinding rumah Tajuddin tercabut akibat banjir.
Tajuddin menunjukkan paras air banjir yang hampir menenggelamkan rumahnya tahun lalu.
Tajuddin menunjukkan paras air banjir yang hampir menenggelamkan rumahnya tahun lalu.
Kerosakan berganda akibat bencana banjir - Pahang - Sinar Harian: "KUANTAN  - Kerosakan rumah akibat banjir tahun lalu pun masih belum dapat dibaiki, kali ini kerosakan yang dialami mangsa banjir boleh dikatakan berganda.

Bagi Tajuddin Mohd, 33, dan Wan Zubaidah Wan Ismail, 30, dari Kampung Bukit Rangin di sini berkata, keadaan rumah mereka yang rosak menjadi semakin teruk apabila dilanda banjir sejak lima hari lalu.

Tajuddin berkata, kerosakan akibat banjir tahun lalu masih belum mampu dibaiki dan kini terpaksa berdepan dengan kerosakan yang baharu.

“Keadaan dinding rumah sedikit tercabut malah lantai juga semakin mereput. Walaupun banjir tahun ini tidak seteruk tahun lalu namun kami terpaksa berdepan dengan kerosakan rumah.

“Buat masa ini, kami tidak tahu bagaimana mahu membaiki rumah yang rosak,” katanya ketika ditemui di sini.

Tajuddin berkata, tahun lalu rumahnya ditenggelami air setinggi lebih tiga meter berbanding tahun ini iaitu dua meter.

Katanya, hujan lebat minggu lalu menyebabkan rumahnya tenggelam dan terpaksa ke pusat pemindahan di Sukpa.

Bagaimanapun katanya, hanya isteri dan tiga anaknya berpindah manakala dia terpaksa tinggal di dalam khemah di hadapan rumahnya.

“Saya pasang khemah di atas jalan dan duduk di situ untuk melihat keadaan rumah,” katanya.

Katanya, kebanyakan rumah di kawasan itu ditenggelami air setinggi dua meter."



'via Blog this'

Usah viralkan jumlah kematian - Kelantan

Kakitangan pejabat berkenaan membersihkan lumpur kesan bah minggu lalu.
Kakitangan pejabat berkenaan membersihkan lumpur kesan bah minggu lalu.
Usah viralkan jumlah kematian - Kelantan - Sinar Harian: "KUALA KRAI - Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menafikan viral di laman sosial mengenai permintaan ratusan meter kain kapan untuk digunakan di kawasan terlibat banjir di Kuala Krai dan Tanah Merah.

Menurutnya, khabar angin yang disebar melalui laman sosial dan aplikasi whatsapp itu adalah tidak benar sama sekali walaupun ada kematian yang berlaku sebagaimana yang telah diumumkan pihak berkuasa sebelum ini.

“Jangan sebarkan perkara tidak betul. Kepada mereka di luar sana, dapatkan info dari sumber sah,” katanya kepada media selepas mendengar penerangan daripada Panglima 8 Briged, Briged Jeneral Datuk Azmy Yahya di Pejabat Tanah Kuala Krai.

Turut serta, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Che Paudzi Che Mamat  dan rombongan kerajaan negeri yang turut membawa dua lori bekalan air mineral, beras dan makanan segera dalam tin serta tuala wanita ke beberapa lokasi terutamanya di sekitar Kampung Manek Urai Lama.

Dalam perkembangan yang sama, ketika ditanya mengenai penggunaan jambatan Sultan Yahya Petra, beliau berkata, sehingga kini ia masih selamat digunakan orang ramai.

“Sebelum ini kita tutup sebab paras air dengan bahagian bawah jambatan itu terlalu dekat, ini sangat bahaya, apabila bacaan air di Tambatan DiRaja menurun sehingga 6.5 meter, maka laluan di jambatan itu selamat digunakan,” katanya. 

Rombongan tersebut turut ke, Tanah Merah, Taman Barakah dan Kampung Kelewek."



'via Blog this'

Pisau terpacak di leher

POLIS membawa mayat mangsa yang ditemui di kediamannya. FOTO Farhan Najib 
Pisau terpacak di leher | Harian Metro: " Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

hafizee@hmetro.com.my


Ipoh: Seorang wanita warga emas ditemui mati dalam keadaan separuh bogel dengan pisau masih terpacak di leher di kediamannya di Jalan Hospital, di sini lewat malam tadi.

Dalam kejadian 11.30 malam itu, mangsa berusia 79 tahun ditemui adik lelakinya dalam keadaan hanya memakai baju di bilik rumah flatnya.

Sumber berkata, mangsa seorang bujang dan tinggal bersendirian di kediamannya dipercayai dibunuh dengan ditikam pada bahagian leher.

"Adik lelaki mangsa yang bekerja di bandar raya ini singgah di rumah kakaknya pada 11.30 malam dan mendapati pintu rumah tidak berkunci.

"Rumah itu dalam keadaan gelap dan mayat mangsa ditemui terbaring di atas lantai di dalam bilik rumah itu dengan pisau masih terpacak di leher serta tidak berseluar dan baju terangkat ke atas," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 7:34 A"



'via Blog this'

Berjaya selamatkan tiga anak OKU


  • Anak Mohamad, Mohd Hafiz, 26, diturunkan dari lori semasa perpindahan dari SK Kedai Piah ke SK Kubang Kiat.Anak Mohamad, Mohd Hafiz, 26, diturunkan dari lori semasa perpindahan dari SK Kedai Piah ke SK Kubang Kiat.

KOTA BHARU - Semasa air naik mendadak separas pinggang di dalam rumah, dia kelam-kabut mengangkat tiga anak Sindrom Down (SD).

Bapa cekal, Mohamad Junoh, 49, juga perlu mengawal emosi isterinya, Sepiah Junoh,44, yang menghidap masalah mental.

“Air naik mendadak ketika kami masih tidur ketika jam 3 pagi dan sebaik sahaja tersedar dari tidur, saya terus kejutkan anak-anak.

“Dalam keadaan kelam kabut, saya angkat mereka ke tali air dekat rumah dan terpaksa mengharung air untuk sampai ke tempat tinggi,” katanya kepada Sinar Harian semasa Program Pengagihan Kupon Bantuan di Sekolah Kebangsaan Kubang Kiat, Ketereh, di sini.

Sudah terbiasa dengan hidup menjaga anak-anak kelainan upaya (OKU) itu, Mohamad bagaimanapun mengakui air mata lelakinya jatuh ketika melihat anaknya tidak keruan menghadapi saat getir itu.

“Ini kali pertama kawasan rumah kami banjir dan paras air pula baik mendadak, di luar jangka.

“Anak-anak saya menggigil takut, tetapi saya laungkan kepada mereka supaya bergerak cepat semasa kami berada dalam air pagi itu,” katanya yang tinggal di Kampung Kedai Piah, di sini.

Mohamad berkata, dia sebenarnya mempunyai empat anak SD, tetapi salah seorang, Mohd Farizal, 23, meninggal dunia tahun lalu.

Dia yang bekerja kampung dan hanya mengharapkan bantuan anak-anak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM150 seorang amat mengharapkan simpati.

“Barang-barang terutama enjin air paling saya sayang sebab susah kalau tiada air d rumah, tapi sudah pasti enjin air itu rosak tenggelam air,” katanya.

40 kampung lumpuh akibat banjir besar


  • Pelbagai barangan jualan Noraini turut terkesan akibat banjir di Kampung Bagan Atas.Pelbagai barangan jualan Noraini turut terkesan akibat banjir di Kampung Bagan Atas.

MACHANG - Kira-kira 40 daripada 60 kampung di Pulai Chondong, di sini, lumpuh apabila dinaiki air sejak Rabu lalu, sekali gus menyebabkan penduduk terputus hubungan keluar masuk kecuali menggunakan perahu dan bot.
Air Sungai Kelantan yang dikatakan melimpah masuk ke kawasan penempatan penduduk sejak jam 8 pagi itu kemudiannya menyebabkan bekalan elektrik turut terputus diikuti bekalan air bersih.

Hidup tanpa bekalan elektrik dan air bersih  hingga semalam, memaksa penduduk menggunakan ‘pelita minyak’ seperti mana orang dulu-dulu dan bergantung kepada air mineral yang dijual sebagai minuman.

Sekalipun kehidupan agak berbeza, kelengkapan rumah musnah dan pelbagai kemudahan termasuk telekomunikasi tidak berfungsi namun penduduk di sini menganggapnya sebagai perkara biasa dan menerima ujian ALLAH itu dengan sabar.
Turut terkesan, apabila lebih 100 kenderaan pelbagai jenis termasuk kereta mewah tenggelam akibat kejadian itu kerana gagal diselamatkan ke tempat yang lebih tinggi.

Kenderaan itu diletakkan di satu tempat yang tidak dinaiki air namun keadaannya jauh berbeza pada tahun ini apabila semua kenderaan itu turut ditenggelami air.

Banjir terburuk dalam sejarah

Penduduk Kampung Bagan Atas, Ahmad Ismai berkata, banjir ini terburuk dalam sejarah hidupnya sejak 63 tahun lalu dan ada yang mendakwa, lebih teruk daripada banjir besar yang dikenali sebagai air merah.

“Kampung ini memang terletak di kawasan rendah dan mudah dinaiki air. Jadi apabila tiba musim tengkujuh, kami akan membuat persediaan awal termasuk menyimpan stok makanan.

“Saya bersama 29 ahli keluarga yang lain tidak berpindah dan tinggal di tingkat atas rumah seperti mana tahun-tahun sebelumnya namun kali ini, air naik sangat tinggi hingga menimbulkan keresahan di hati kami.
“Bimbang kalau-kalau ia mampu membahayakan nyawa terutamanya cucu-cucu yang masih kecil. Lima anak saya bekerja sebagai guru dan akan pulang bercuti setiap kali musim cuti sekolah,” katanya yang juga bekas penghulu Mukim Bagan, di sini.

Ahmad berkata, cucunya yang baharu dilahirkan terpaksa dibawa ke hospital menaiki bot kerana demam kuning dan ditempatkan di wad Hospital Machang.

Katanya, dia dan keluarga mempunyai bot sendiri sebagai persediaan pada musim tengkujuh dan turut digunakan untuk menyelamat penduduk kampung yang memerlukan bantuan.

Banjir luar biasa

Seorang peniaga, Noraini Mamat berkata, banjir kali ini luar biasa dan sebahagian kecil barangan kedainya gagal diselamatkan apabila air naik terlalu tinggi melebihi paras biasa.

Katanya, dia membuat persiapan dengan meletakkan barangan jualan di tempat tinggi dan selebihnya dibawa ke tingkat atas rumah kedai miliknya namun turut terkesan akibat banjir.

“Saya dah kemas barang-barang jualan seperti biasa dan letak di tempat tinggi namun tidak dapat diselamatkan.  Mujurlah air tidak masuk ke tingkat atas kalau tidak lebih banyak kerugian yang terpaksa ditanggung.

“Buat masa sekarang kami bergantung kepada pelita minyak dan air telaga untuk meneruskan kehidupan sehingga kedua-dua bekalan itu pulih seperti sediakala,” katanya.
Menjadi sebahagian daripada pasukan penyelamat di kalangan penduduk, Ya’cob Sulaiman berkata, lebih 20  bot penduduk kampung digunakan dalam usaha itu dan bersyukur semua mangsa dapat dipindahkan dengan selamat.
Katanya, yang lebih dikenali sebagai Pak Nik dalam kalangan masyarakat sekitar, kebanyakan penduduk di sekitar Pulai Chondong itu memiliki bot memandangkan rumah mereka sering dinaiki air dan perhubungan jalan utama Pangkal Gong ke Kemubu turut mengalami nasib sama.

Tambahnya, bagi memastikan tiada penduduk yang terperangkap, dia dan beberapa penduduk lain turut menjalankan rondaan ke kampung-kampung terlibat bagi menghulurkan bantuan, sekali gus meringankan tugas memindahkan penduduk oleh pihak berwajib.

Kampung macam kena tsunami!


  • Keadaan Kampung Manek Urai, Kuala Krai yang kembali pulih setelah dilanda banjir besar baru-baru ini,Keadaan Kampung Manek Urai, Kuala Krai yang kembali pulih setelah dilanda banjir besar baru-baru ini,

SETELAH mengetahui keadaan Kuala Krai kembali pulih, saya bersama wartawan Rosalwani Che Soh dan jurufoto Khirul Shaleh merancang untuk sedaya upaya untuk memasuki kawasan yang paling teruk dilanda banjir di Kelantan iaitu Manek Urai Lama.

Lokasi inilah dikatakan pasukan bantuan tidak dapat disalurkan sama ada melalui darat mahupun udara ketika kemuncak banjir yang melanda daerah ini Rabu lalu.

Setelah mengharungi jalan dari Kota Bharu, kami tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krai di sini, akibat laluan yang masih digenangi air kami terpaksa terpaksa meredah banjir sehingga 500 meter sebelum tiba di bandar Kuala Krai.

Di kawasan bandar, kesan-kesan kemusnahan akibat banjir mula kelihatan, beberapa anggota polis kelihatan mengawal beberapa pasaraya  yang dikatakan diceroboh oleh orang ramai kerana kelaparan.

Satu-satunya stesen minyak di Kuala Krai yang masih beroperasi dikerumuni orang ramai sepanjang satu kilometer meter.

Rasanya di Malaysia, saya tidak pernah melihat sebegitu ramai orang yang ingin mendapatkan sesuatu barangan.

Untuk bergerak ke Manek Urai Lama, lebih kurang lima kilometer dari bandar Kuala Krai, kami mendapat bantuan seorang pemimpin tempatan untuk ke lokasi.

Hentian pertama kami adalah di Guchil 4, kami saksikan rumah di atas rumah. Bayangkan begitu kuat arus deras air sehingga boleh mengubah kedudukan sebuah rumah.

Lebih mengharukan rumah milik Rahim Ismail, 58, berada di atas rumah anaknya sendiri.

Tiba di Manek Urai Lama jam 12 tengah hari, beberapa anggota tentera membenarkan kami agar memasuki kawasan tragedi tetapi dengan berjalan kaki kerana suasana masih kelam kabut  selain kesan runtuhan rumah yang masih belum dibersihkan.

Ia sekaligus menutup cakap-cakap yang di viral media sosial mengatakan tentera tidak membenarkan kawasan ini dimasuki ini dengan alasan mahu menyembunyikan sesuatu.

Sejurus melepasi jambatan Manek Urai, saya tergamam seketika menyaksikan kemusnahan yang amat dahsyat sekali.

Bagaikan tsunami!, kawasan yang pernah saya lawati ketika PRK Manek Urai pada 2009 alu bagaikan padang jarak pandang tekukur.

Ada sebahagian kediaman hancur berkecai hanya meninggalkan tiang untuk kenangan pemiliknya.

Dicelah runtuhan itu, terdapat pemilik-pemilik rumah yang termenung kebingungan melihat kediaman lesap sekelip mata. Air mata ada di mana-mana.

Tiada lagi rumah yang sempurna, kesan runtuhan di mana-mana, menceritakan kisah kejadian di sana.

'Sekelip mata sahaja semuanya hancur'


  • Antara kawasan yang ditenggelami air di sekitar Manek Urai pada kejadian banjir di sekitar Kelantan. - Foto BernamaAntara kawasan yang ditenggelami air di sekitar Manek Urai pada kejadian banjir di sekitar Kelantan. - Foto Bernama

KUALA KRAI - Bagaikan dilanda tsunami, begitulah pengalaman ngeri penduduk di Kampung Manek Urai Lama, di sini dalam bencana banjir sejak 23 Disember lalu yang turut kehilangan harta benda dan tempat tinggal dalam sekelip mata.

Penduduk, Ruslaina Yusoff, 40, berkata air dari hulu sungai Lebir yang bertembung dengan sungai Manik Urai Lama, yang naik secara mendadak disebabkan hujan berterusan menyebabkan air terkepung di sekitar kampung.

“Melihatkan keadaan itu, saya terus menyelamatkan barangan dalam rumah dua tingkat dan meletakkan di bahagian siling rumah.

“Pada mulanya air hanya berada di paras paha kira-kira jam 5 petang namun naik mendadak sehingga ke paras dada dan melihat keadaan itu saya dan empat anak dan suami terus menyelamatkan diri menggunakan bot milik orang kampung,” katanya.

Ruslaina berkata, semenjak sembilan tahun tinggal di kawasan itu, banjir tidaklah pernah sampai ke tingkat atas rumah, namun kali ini amat luar biasa.

“Kejadian ini seolah-olah bencana tsunami kepada kami yang membawa lumpur dan memusnahkan rumah dan barangan dalam sekelip mata.

“Ketika kejadian saya tidak memikirkan lagi tentang keselamatan barangan namun nyawa keluarga lebih penting dan kami tekad tinggalkan rumah untuk berlindung di tempat lebih selamat,” katanya.