Search This Blog

Monday, December 7, 2015

Serangan pisau di Kota London


REUTERS - ANGGOTA polis menutup stesen kereta api bawah tanah Leytonstone, timur London kelmarin susulan insiden serangan pisau oleh seorang lelaki.


LONDON – Polis Britain menyiasat kejadian tiga orang cedera akibat ditikam di sebuah stesen Kereta Api Bawah Tanah London kelmarin sebagai ‘insiden keganasan’ dengan kesan darah dilihat merata-rata di dewan tiket.
Serangan pada hujung minggu itu berlaku selepas Parlimen Britain mengundi untuk memperluaskan serangan udara terhadap kumpulan militan Islamic State (IS) dari Iraq ke Syria.
Pasukan AntiPengganas Britain (CTC) sedang menyiasat serangan tikaman itu.
“Kami menganggap serangan ini insiden keganasan. Saya menasihati orang ramai supaya bertenang tetapi terus berwaspada,” kata ketua CTC, Komander Richard Walton dalam satu kenyataan akhbar oleh pihak polis.
Seorang lelaki ditahan dalam kejadian tersebut di sebuah stesen kereta api bawah tanah Leytonstone, timur London. Rakaman video amatur yang disiarkan di internet menunjukkan kesan darah pada pagar-pagar automatik berhampiran kaunter jualan tiket di stesen tersebut.
Beberapa penumpang meneruskan perjalanan mereka sementara sebahagian lagi melarikan diri dari tempat kejadian. Rakaman itu menunjukkan seorang anggota polis menjerit ‘letakkan pisau itu’ sebelum melepaskan tembakan menggunakan pistol renjatan elektrik.
Satu rakaman lain menunjukkan suspek ditindih ke lantai oleh beberapa anggota polis dan orang awam. Seorang lelaki di tempat kejadian menjerit: “Kamu bukan orang Islam! Kamu bukan orang Islam! Kamu bukan orang Islam!”
Polis memaklumkan pihaknya menerima aduan bahawa beberapa orang telah ditikam oleh seorang lelaki di stesen kereta api bawah tanah itu pukul 7.06 malam (waktu tempatan).
Polis mengesahkan seorang suspek ditangkap dalam serangan itu dan dibawa ke ibu pejabat polis di timur London untuk siasatan lanjut. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1207&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3taKfxIYz 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment