KINSHASA - CONGO. Sekurang-kurangnya tujuh maut selepas sebuah pesawat kargo terbabas dari landasan dan melanggar beberapa rumah, pegawai berkata.
Insiden berlaku kira-kira jam 4 petang waktu tempatan semalam apabila pesawat Airbus A310 milik Services Air yang cuba mendarat di Lapangan terbang di bandar Mbuji Mayi terbabas dari landasan dan melanggar beberapa rumah yang berdekatan lapangan terbang itu.
Gabenor Kasai-Oriental, Ngoyo Kasanji memberitahu AFP, sekurang-kurangnya tujuh terbunuh dalam nahas tersebut, lapor AFP.
"Kesemua mangsa adalah penduduk yang tinggal di perumahan dikawasan tersebut manakala empat krew penerbangan yang berada dalam penerbangan selamat dan tidak mengalami kecederaan," katanya.
Sumber memberitahu Radio Okapi, insiden berlaku selepas dua kali percubaan mendarat.
Pesawat gagal berhenti selepas mendarat di tengah-tengah landasan menyebabkan pesawat terbabas lebih 500 meter.