Search This Blog

Tuesday, December 8, 2015

Penuhi impian dengan kereta klon


Sebahagian daripada 31 buah kenderaan klon yang disita dan dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Panji, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Toyota Alphard berharga RM25,000! Demikian pendedahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhubung kegiatan mengklonkan pelbagai jenis kenderaan mewah di negara ini.
Satu sumber JPJ memberitahu, sehingga kini dipercayai kira-kira 3,000 hingga 5,000 buah kenderaan klon jenama mewah sudah diseludup masuk dari beberapa buah negara jiran seperti Thailand oleh sindiket mengklonkan kenderaan yang berpusat di ibu negara.
Bayangkan, dalam Ops Khas Kereta Klon oleh JPJ selama tiga hari bermula Jumaat lalu di daerah ini, JPJ berjaya merampas 31 buah kenderaan klon mewah seperti BMW, Mini Cooper, Mercedes-Benz, Honda dan Toyota. Semua kenderaan klon terpakai dari negara jiran itu lazimnya dijual pada harga bawah RM25,000 sebuah iaitu cuma 10 peratus daripada harga sebenar kenderaan itu.
Kata sumber JPJ itu, modus operandi sindiket yang didalangi warga tempatan itu akan mencari pelanggan yang mahu membeli kereta klon secara online dan mengambil deposit sebanyak RM5,000 bagi setiap tempahan kenderaan.
Selepas beberapa hari, kenderaan itu akan dihantar kepada pembeli menggunakan khidmat keldai kereta klon atau dihantar sendiri oleh ketua sindiket.
Kebanyakan pemilik kenderaan klon mengakui mereka tahu kereta dibeli adalah kereta klon tetapi disebabkan tidak mampu memiliki kenderaan sebenar, mereka mengambil risiko membeli kereta klon.
“Pembeli kereta klon merupakan golongan pertengahan yang ingin tampil bergaya dan ada dalam kalangan mereka merupakan penjawat awam,” kata sumber JPJ itu lagi.
Wartawan Kosmo! yang mengikuti Ops Khas Kereta Klon oleh JPJ itu sempat menemu bual seorang penjawat awam berusia 40-an yang ditahan di sini kerana membeli kereta Honda Jazz klon menerusi sebuah sindiket di ibu negara.
“Saya menghubungi sindiket itu dan memberitahu model yang diingini. Apabila ada stok, mereka meminta deposit sebelum kereta diserahkan kepada saya,” katanya.
Turut ditahan dalam operasi itu ialah sekumpulan pelajar Universiti Teknologi Mara Machang yang menaiki Honda Jazz yang diklon di Thailand.
Selain pemilik kereta klon, seorang ahli sindiket berusia 33 tahun turut ditahan JPJ di hadapan sebuah kafe berhampiran sebuah pasar raya di sini pada pukul 6.30 petang kelmarin.
Suspek ketika itu datang ke sini untuk menghantar kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Alphard berwarna putih dari Kuala Lumpur.
Suspek yang bekerja sebagai juruteknik sebuah syarikat berkaitan kerajaan di Nibong Tebal, Pulau Pinang tetapi berasal dari Temerloh, Pahang mendakwa dia melakukan kerja itu bagi menambah pendapatan.
Menjelaskan lebih lanjut, sumber JPJ itu memberitahu, Toyota Alphard itu ditempah pelanggan pada harga RM25,000 dan siasatan mendapati MPV itu menggunakan nombor pendaftaran daripada kenderaan jenis sama di negara ini.
“Apa yang membezakan kenderaan klon dan kenderaan asal hanyalah nombor casis dan nombor enjin yang telah diubah suai oleh sindiket,” kata sumber JPJ.
Dalam operasi sama, JPJ turut menahan seorang lelaki keldai kereta klon berusia 30-an yang dalam perjalanan menghantar kereta Honda Civic warna hitam kepada pelanggannya pada Jumaat lalu.
Kedua-dua suspek itu kini disiasat dan JPJ juga sedang mencari saki-baki ahli sindiket terbabit.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1208&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3tg9Wx9kj 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment