Search This Blog

Saturday, December 26, 2015

Gembira bertukar duka

Oleh Mohd Shukor Amin

hmetroshahalam@hmetro.com.my
Sabak Bernam: Pada mulanya, Razali Ahmad, 67, dan isteri, Norhotifah Masdar, 53 gembira menerima menantu, namun kini berduka apabila mayat anak sulung mereka ditemui di dalam parit di Jalan Haji Anwar Kampung Batu 39, di sini, semalam.
Anak mereka, Mohd Haslam, 31, dipercayai terbabas ke dalam parit ketika menunggang motosikal selepas diserang sawan sebelum mayatnya ditemui penduduk kampung yang melalui kawasan berkenaan pada 8 pagi semalam.
Razali berkata, dia, isteri, dan beberapa ahli keluarga menghantar anak keduanya yang bernikah di Kuala Krai, Kelantan pada pagi Rabu dan pulang ke Sabak Bernam selepas selesai majlis.
Katanya, sebaik tiba di rumah pada 11 malam, Mohd Haslam, tiada di rumah.
“Saya risau kerana dia jarang keluar malam.
“Dia ada penyakit sawan, saya takut jika ada apa-apa berlaku. Sebelum pergi Kelantan saya dah pesan banyak kali supaya tidak ke mana-mana, duduk di rumah..dah ajalnya,”katanya.
Menurut Razali, anak sulung daripada tujuh beradik itu sering diserang sawan hingga sesekali hilang ingatan selepas terbabit dalam kemalangan motosikal, kira-kira lima tahun lalu.
“Mungkin dia keluar minum, tetapi tiba-tiba diserang sawan menyebabkannya tidak dapat mengawal motosikal hingga masuk ke dalam parit," katanya.
Norhotifah pula berkata, kali terakhir dia menghubungi anaknya itu pada petang sebelum kejadian ketika dia dan suami masih berada di Kelantan.
“Saya pesan supaya dia jaga diri baik-baik dan ajak pakcik teman (bapa saudara) di rumah. Suaranya ketika bercakap dalam telefon pun lain macam seperti tidak mahu bercakap lama dengan saya.
“Tak sangka itulah perbualan terakhir dengannya,” katanya.
Muhammad Hafiz Ahmad, 28, yang menemui mayat Mohd Haslam berkata, dia baru keluar dari rumahnya di Batu 2 Tebuk Pulai sebelum ternampak sebuah motosikal di dalam parit di Jalan Haji Anwar Kampung Batu 39.
“Saya berhenti di situ dan terkejut apabila nampak mayat mangsa tertiarap berhampiran motosikal. Saya segera hubungi rakan dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di kawasan ini untuk maklumkan kejadian berkenaan,” katanya.
Rakan sekerja mangsa, Misran Wahidon, 44, berkata, Mohd Haslam bekerja sebagai pembantu am di Unit Vektor Pejabat Kesihatan Sabak Bernam sejak empat tahun lalu.
“Kali terakhir saya jumpa arwah di pejabat Selasa lalu apabila dia mempelawa saya keluar minum, tetapi saya tidak boleh pergi kerana ada urusan lain.
“Saya tahu dia menghidap sawan, saya biasa tenangkannya dengan bacaan ayat al-Quran,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa mengesahkan menerima laporan kemalangan itu dan ia disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2015 @ 8:23 PM




Polis menjalankan siasatan di lokasi mayat Mohd Haslam ditemui. FOTO Mohd Shukor Amin
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/102549#sthash.Tzb6g9LO.dpuf

No comments:

Post a Comment