Serbuan pada pukul 2.30 petang dilakukan oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan selepas me­lakukan intipan ke atas suspek selama dua bulan.
Ketua JSJN Kelantan, Superintenden Mit Emong berkata, ketika serbuan, hanya si isteri yang ber­usia 29 tahun berada di rumah.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan tiga bungkusan kertas surat khabar mengandungi 506 biji pil kuda yang disimpan di atas almari di bahagian ruang tamu.
“Sebanyak tiga bungkusan kertas akhbar yang mengandungi 594 biji pil kuda lagi ditemukan di bawah tempat duduk sebuah motosikal jenis Suzuki di garaj rumah.
“Keseluruhannya kita menemukan sebanyak 1,100 pil dengan anggaran berat kasar 110 gram dan bernilai RM27,500. Dalam serbuan ini, kita turut merampas kereta Proton Wira suspek,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mit berkata, selepas wanita itu ditahan, suaminya yang ber­usia 38 tahun dan bekerja sebagai kelindan lori menyerah diri di pejabat JSJN Kelantan pada pukul 7 petang hari sama.
“Suami mengaku bekalan dadah tersebut adalah miliknya. Siasatan lanjut mendapati lelaki ini mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan kesalahan dadah. Dia juga didapati positif dadah jenis amphetamine.
“Mereka direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Mit dalam pada itu berkata, polis percaya pasangan suami isteri yang mempunyai tiga anak itu terlibat dalam satu rangkaian pengedaran dadah di sekitar Kota Bharu dan usaha memburu ahli sindiket terbabit sedang giat dijalankan.