Spyware yang dipercayai diprogramkan dari China dan mampu diperoleh dengan percuma melalui laman web tertentu dikatakan mampu menyedut semua maklumat berkaitan syarikat yang menjadi sasaran mereka.
Menerusi spyware ini, penggodam mampu mendapatkan maklumat peribadi seperti kata kunci, alamat Internet Protocol (IP), e-mel serta nombor kad kredit tanpa sebarang pengetahuan mangsa atau syarikat.
Sumber berkata, dalam kebanyakan kes melibatkan penipuan ini, anggota sindiket yang juga pakar teknologi maklumat (IT) dikesan memperoleh spyware daripada penggodam lain sebelum melakukan aktiviti menggodam e-mel syarikat.
“Kebanyakan anggota sindiket berkebolehan dan mereka ini dikesan mencari mangsa secara rawak di Internet seperti Facebook sebelum meletakkan spyware untuk menggodam komputer atau cakera pemacu komputer mangsa.
“Pelbagai maklumat peribadi akan disedut oleh spyware ini termasuklah interaksi e-mel berkaitan urusan syarikat. Di sini mereka akan memperoleh maklumat tentang syarikat termasuk e-mel ketua atau pembuat keputusan syarikat mangsa lalu aktiviti menggodam seterusnya berlaku.
“Mangsa tidak akan menyedari komputer mereka sedang digodam kerana spyware aktif tanpa melibatkan kebenaran mangsa atau aktiviti yang mencurigakan,” katanya.
Jelas sumber lagi, spyware yang diaktifkan di dalam komputer mangsa boleh memperoleh apa sahaja urusan yang dijalankan di dalam e-mel.
“Disebabkan itulah, banyak peniaga atau pemilik syarikat yang berurusan secara e-mel mengalami kerugian besar apabila sindiket ini mengesan urusniaga yang dijalankan melalui e-mel.
“Mereka dikesan mampu memperoleh keuntungan besar bernilai jutaan ringgit dengan pantas sejurus ‘mengambil alih’ urusniaga antara pelanggan dan syarikat,” katanya.