Search This Blog

Thursday, November 19, 2015

Pemuda dihukum mati bunuh rakan serumah


WARTAWAN SINAR HARIAN
18 NOVEMBER 2015

TEMERLOH - Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang pemuda selepas disabitkan kesalahan membunuh rakan serumah akibat perselisihan faham dua tahun lalu.

Tertuduh Muhammad Faizal Dzulkifli, 25, yang bekerja sebagai peniaga lembu didapati bersalah membunuh rakan serumahnya Mohamad Borhan Md Radzali, 18, di sebuah rumah disewa mereka di Taman Bahagia antara jam 12 tengah malam hingga 1 pagi 10 Jun 2013.

Hakim Datuk Abd Karim Ab Rahman membuat keputusan itu selepas tertuduh dan pihak pembelaan tidak dapat menimbulkan keraguan ke atas dakwaan bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan keterangan sepanjang perbicaraan yang berlangsung sejak 2014, tertuduh mengaku bersama beberapa yang lain memukul mangsa akibat perselisihan faham.

Bagaimanapun tidak ada sebarang senjata digunakan dalam perkelahian itu kecuali siku dan lutut.

Mangsa kemudian dihantar ke hospital oleh tertuduh sendiri tetapi koma beberapa hari akibat kecederaan parah pada otak dan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Tertuduh diwakili Ahmad Nizam Hamid manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mustafa.

Ahmad Nizam berkata, pihaknya Akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat.

Seramai 13 saksi pendakwaan dipanggil sepanjang perbicaraan manakala hanya seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri memberi keterangan di mahkamah.

No comments:

Post a Comment