Portal Jakarta Globe yang memetik laporan Agensi Penerbangan dan Angkasa Kebangsaan (LAPAN) berkata, berdasarkan maklumat satelit yang dikumpul bermula 21 Jun sehingga 20 Oktober lalu, dianggarkan 2,089,911 hektar kawasan hutan musnah akibat kebakaran.
Jelas laporan berkenaan, angka itu dijangka meningkat memandangkan sejumlah besar kawasan hutan termasuk kawasan tanah gambut, masih lagi mengalami kebakaran sehingga menyebabkan krisis jerebu yang teruk di Kalimantan dan Sumatera.
Daripada jumlah tersebut, LAPAN menganggarkan kira-kira 832,999 hektar kawasan hutan musnah di Sumatera, Kalimantan (806,817 hektar), Papua (353,191 hektar), Sulawesi (30,912 hektar), Bali dan Nusa Tenggara (30,162 hektar), Jawa (18,768 hektar) dan Maluku (17,063 hektar).
Pegawai kanan agensi ber­kenaan, Parwati Sofan berkata, maklumat tersebut diperolehi berdasarkan perbezaan kawasan hutan sebelum dan selepas kebakaran hutan berlaku.
“Walaupun maklumat satelit membantu mengumpulkan data, kami tidak dapat meninjau kawasan hutan secara keseluruhan disebabkan faktor awan dan jerebu yang tebal.
“Kami menjangkakan kawasan kemusnahan yang lebih luas dan maklumat ini akan dikemaskini setiap 10 hari,” katanya.