Bekas pegawai bahagian kandungan komunikasi dan perkhidmatan pos sektor komunikasi di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Mohamad Fakhri Mansor berkata beliau membuat laporan itu kerana gambar tersebut dianggap menyentuh sensitiviti masyarakat Islam dan ia dilakukan pada bulan Ramadan.
Katanya beliau membuat laporan itu pada 12 Julai 2013 selepas melihat gambar tersebut dipaparkan dalam Facebook milik Tan.
"Saya melihat gambar pasangan tersebut selama lebih kurang sejam dan mendapati banyak komen yang turut dipaparkan," kata saksi ke-11 itu ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Faida Mohd Rasidee.
Mohamad Fakhri memberi keterangan dalam kes perbicaraan Alvin Tan atau Tan Jye Yee, dan Vivian Lee atau Lee May Ling yang didakwa menyiarkan gambar mereka sedang menikmati hidangan dengan kapsyen yang bertajuk 'Selamat Berbuka Puasa (with Bak Kut Teh...fragrant, delicious and appetising)' dan mengandungi logo halal, di laman Facebook mereka.
Mereka didakwa bersama-sama melakukan kesalahan tersebut pada 9 pagi, 12 Julai 2013, mengikut Subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan.
Mereka turut didakwa terhadap pertuduhan menyiarkan gambar pornografi dalam laman Facebook sama mengikut subseksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 antara 9 malam 6 Julai 2013 dan 2 pagi 7 Julai 2013.
Ketika disoal balas peguam Chong Joo Tian, apakah gambaran atau maksud yang ingin disampaikan melalui gambar tersebut, Mohamad Fakri berkata tindakan pasangan tersebut dianggap menghina masyarakat dan agama Islam serta seperti menyamakan Bak Kut Teh sebagai makanan halal.
Mohamad Fakri berkata beliau memahami sejak dari kecil bahawa Bak Kut Teh disediakan dengan menggunakan daging babi dan ia merupakan makanan haram untuk masyarakat Islam.
Terdahulu, saksi ke-10, seorang pengusaha kedai makanan, Yiap Geok Khin, 51,  memberitahu blogger kontroversi tersebut pernah datang ke kedainya di Jalan Ipoh, di sini bersama bekas teman wanitanya itu.
Ketika ditanya bagaimana Yiap boleh mengetahui dan mengenali pasangan tersebut datang ke kedainya, beliau berkata berdasarkan gambar di mana terdapat pagar di belakang pasangan tersebut yang merupakan pagar kedainya.
Bagaimanapun, ketika ditanya Chong, saksi itu memberitahu dia tidak mengingati tarikh dan masa pasangan itu datang ke kedai tersebut kerana pelanggan terlalu ramai.
Perbicaraan di hadapan Hakim Abdul Rashid Daud bersambung 4 Jan depan.  - Bernama