KOTA BHARU – “Saya nak tertuduh mati.” Itu luahan isteri arwah di mahkamah tinggi di sini, semalam, kepada tertuduh yang menyebabkan kematian suaminya dalam tragedi letupan bom di Perumahan JPN Kok Seraya Chabang Empat, Tumpat, dua tahun lalu.
Dayang Idayu Mohd Nawi, 28, berkata demikian ketika memberi keterangan impak sebelum Hakim, Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun terhadap bekas sarjan tentera, Che Rosli Che Daud, 31.
Dayang meluahkan rasa hibanya kerana kehilangan suami, Mohd Yusrizal Mat Zain, 34, yang maut terkena letupan bom buatan sendiri selepas mengambil satu bungkusan yang diletakkan di atas kereta iparnya di hadapan rumah mertua antara jam 10 dan 11 pagi, 11 Ogos 2013.
“Hidup saya susah sebab terpaksa jaga anak yang masih kecil seorang diri. Arwah suami tidak bersalah, namun sebab kejadian itu, anak saya tidak kenal bapanya dan pendapatan kami juga terjejas.
“Saya nak tertuduh mati juga supaya keluarga dia dapat rasa apa yang saya rasa, tetapi saya tetap menghormati keputusan mahkamah. Saya takkan maafkan dia sampai mati atas kesengsaraan yang saya lalui selepas suami meninggal,” katanya.
Terdahulu, Peguam, Datuk Syukri Mohamed merayu bagi pihak tertuduh supaya hukuman diringankan.
Ketika kejadian, dia berusia 28 tahun, sudah berkahwin dan mempunyai tiga cahaya mata berusia dua, empat dan enam tahun.
Timbalan Pendakwa Raya negeri, Ainul Wardah Shahidan, bagaimanapun memohon hukuman setimpal dengan hujah tertuduh mempunyai kepakaran membuat letupan dan mengetahui bahan itu boleh membawa maut.
“Akibat cemburu, tertuduh bertindak keterlaluan dan melulu. Perbuatan tertuduh kejam melihat kepada keadaan fizikal si mati yang menyedihkan. Mohon hukuman yang dapat memberi pengajaran kerana bimbang tertuduh akan mengulangi kepada sasaran sebenar yang masih hidup,” katanya.
Azman dalam keputusannya berkata, perbuatan tertuduh sangat berani tanpa mengambil kira risiko dan dia bernasib baik kerana tuduhan asal iaitu membunuh dipinda serta dihukum selepas mengaku bersalah atas tuduhan pilihan yang dikemukakan.
“Kematian mangsa sangat tragis kerana berlaku pada Syawal di hadapan keluarganya. Nasi sudah menjadi bubur dan tujuan hukuman patut memberi kesan kepada tertuduh dan orang lain. Tidak boleh hanya hukuman ‘gigitan semut’ (ringan),” katanya.
Sinar Harian pada 12 Ogos 2013 melaporkan seorang  kerani Sekolah Kebangsaan Manek Urai, Kuala Krai, maut selepas bungkusan yang diletakkan di atas kenderaan pelbagai guna jenis Naza Citra milik iparnya meletup.
Mangsa melecur seluruh badan dengan kedua-dua tangan putus dan perut pula terburai.