Search This Blog

Monday, November 16, 2015

Bawa Yahya balik Perak

Ipoh: Kisah seorang warga emas berasal dari Batu Kurau, Taiping yang didakwa merempat di Sabah sehingga menjadi viral di media sosial sudah mendapat pembelaan dan kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di negeri berkenaan.
Dalam viral di laman Facebook berkenaan menceritakan mengenai seorang lelaki yang dikenali sebagai Yahya Ahmad, 70, dipercayai sudah menetap di Tawau, Sabah, sejak 1970 dan berhasrat untuk pulang ke pangkuan keluarga selepas hidup sebatang kara di belakang sebuah bank di situ.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kurau Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, pihaknya yang mendapat maklumat mengenai warga emas itu terus bertindak menjejakinya bagi memberikan bantuan sewajarnya.
“Selepas menerima maklumat awal, saya terus menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri Datuk Rusnah Kassim bagi meminta bantuan berurusan dengan JKM.
“JKM Sabah berjaya mengesannya dan kini Yahya berada di bawah jagaan JKM,” katanya.
Muhammad Amin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri berkata, warga emas berkenaan ke Sabah selepas dipercayai menerima skim pekerjaan yang ditawarkan kerajaan pada ketika itu untuk melakukan pekerjaan seperti pembalakan dan menoreh getah.
“Saya terpanggil memberikan bantuan kerana warga emas berkenaan tinggal di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) saya dan kini dia berada dalam keadaan baik sementara menunggu siasatan selesai.
“Kerajaan negeri bersedia untuk membayar kos membawanya pulang dan urusan itu akan dilakukan JKM minggu depan,” katanya.
Sementara itu, abang kepada Yahya, Hassan Ahmad, 74, yang berjaya ditemui berkata, dia sebelum ini pernah mencuba untuk mengesan adiknya itu melalui rakan lain, namun pada waktu itu adiknya itu enggan pulang.
“Kami terputus hubungan selepas itu dan sekiranya dia (Yahya) ingin pulang, kami sekeluarga akan menerimanya,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2015 @ 5:04 AM


KISAH Yahya yang diviralkan dalam media sosial Facebook.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/93314#sthash.b5yn7Hao.dpuf

No comments:

Post a Comment