Search This Blog

Friday, November 27, 2015

Ajal isteri balik kampung

Seremban: Kepulangan pasangan suami isteri ke kampung halaman bagi menghadiri kenduri kahwin berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 245.6, Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, di sini, kelmarin.
Mangsa Wizana Moktie, 40, yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kundang, Rawang maut di tempat kejadian manakala suaminya Mohd Fauzan Hamidon, 44, yang juga anggota bomba Pangkalan Udara Subang cedera di kepala.
Kemalangan berlaku jam 11.35 malam apabila pasangan terbabit dari Rawang, Selangor dalam perjalanan pulang ke kampung mereka di Melaka bagi menghadiri kenduri kahwin.
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila pacuan empat roda Land Cruiser Prado dipandu Mohd Fauzan merempuh belakang lori sarat muatan minyak masak.
“Kejadian mengakibatkan lori terbabit terbabas ke lorong kecemasan akibat tayar belakang rosak. Wizana yang duduk di bahagian hadapan penumpang parah dan maut di lokasi kejadian.
“Pemandu lori R Murugan, 34, bersama kelindannya M Navindan, 18, tidak cedera. Mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban untuk bedah siasat manakala suaminya dimasukkan ke Zon Kuning HTJ,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Senawang Rudi Hartono berkata, tujuh anggota dikerah ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 11.21 malam.
“Sebaik tiba, kami mendapati pemandu pacuan empat roda terbabit tersepit selepas kenderaannya remuk. Kami mengambil masa lima minit untuk mengeluarkan mangsa,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 9:43 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96123#sthash.yRFCWIS1.dpuf

No comments:

Post a Comment