Mior Faridalathrash
Kesemua suspek yang berusia antara 25 hingga 40 tahun itu diberkas sepasukan anggota dari Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut kira-kira pukul 1.45 pagi.
Penahanan suspek dilakukan selepas salah seorang daripada mereka merempuh mangsa yang bertugas sebagai anggota polis peronda (MPV) dari IPD Timur Laut, Md. Khairuddin Ab Razak, 32, dalam kejadian pada 24 Oktober lalu.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4 pagi itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan luka di dahi dan belakang kepala.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Fari­dalathrash berkata, bertindak atas maklumat, sekumpulan pegawai dan anggota D9 IPD di sini telah pergi ke sebuah pusat beli-belah di Kota Bharu, Kelantan dan terjumpa kenderaan yang dinaiki suspek iaitu Proton Wira Aeroback berwarna merah.
“Sebaik sahaja anggota memperkenalkan diri, suspek bertindak agresif melanggar dua buah kereta polis sehingga mengalami kerosakan,” katanya di sini.
Bagaimanapun katanya, kesemua suspek berjaya ditahan setelah kereta mereka dipintas polis.
Beliau memberi­tahu, dua daripada le­laki itu merupakan penjenayah yang dikehendaki berkaitan kes dadah dan manakala seorang lagi dipercayai terlibat dalam kes curi.
Mior Faridalathras memberi­tahu, hasil pemeriksaan mendapati kereta yang dinaiki mereka dilaporkan hilang di Georgetown pada 17 September lalu.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.