Search This Blog

Saturday, October 31, 2015

Tiga kali restoran dipecah masuk


NORAWAZNI YUSOF
Tiga kali restoran dipecah masuk

31 OKTOBER 2015
Tiga kali restoran dipecah masuk Barangan seperti rokok dan minuman turut lesap sehingga menyebabkan Moon Peng mengalami kerugian hampir RM10,000.

KUANTAN – “Saya dah penat sebab macam-macam cara dah saya buat, tapi restoran saya tetap kena pecah masuk,".

Demikian luahan, Quek Moon Peng, pengusaha restoran di Jalan Bukit Ubi, di sini, selepas premis perniagaannya itu di pecah masuk buat kali ketiga sepanjang Oktober.

Dalam kejadian awal pagi Khamis lalu menurutnya, dia tergamam sebaik sahaja tiba di restorannya apabila melihat keadaan premis perniagaannya itu bersepah dan terdapat kesan pecah masuk di bahagian pintu sisi sebelah kanan kedai berkenaan.

Malah, barangan perniagaan yang disimpan dalam stor juga lesap sehingga menyebabkan lelaki berusia 47 tahun ini terduduk mengenangkan dugaan yang dialaminya itu.

“Sebelum tutup kedai jam 2 pagi, semua pintu dikunci. Tapi bila saya datang hari ini (Khamis), saya terkejut tengok kedai berselerak dan bekalan seperti rokok dan minuman keras lesap.

“Saya percaya kegiatan ini dilakukan oleh individu sama dan mahir memandangkan sudah tiga kali restoran saya dimasuki pencuri dalam tempoh sebulan,” katanya.

Dia berkata, pintu restoran tersebut diumpil di bahagian tengah dan mereka memasukinya dari situ sebelum bertindak memecahkan mangga di tempat penyimpanan barang perniagaan.

“Kalau tengok cara mereka buat jenayah ini, seolah-olah mereka ini ada satu kumpulan sebab kes kecurian yang berlaku pada 10 dan 22 Oktober lalu juga babitkan barang sama.

“Kali ini, saya alami kerugian dianggarkan berjumlah lebih RM10,000. Ia angka yang cukup banyak terpaksa saya tanggung,” katanya.

Moon Peng berkata, pencuri tersebut turut memotong wayar CCTV bagi mengelakkan identiti dan jenayah mereka lakukan terbongkar.

“Semua wayar CCTV mereka potong, nampak sangat mereka memang pakar dalam jenayah ini. Sebab itu saya harap sangat mereka ini berjaya ditangkap polis,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

Menurutnya, dia berharap polis dapat segera menyelesaikan masalah yang dihadapi ini kerana sekiranya kejadian rompakan ini berlaku secara berterusan menyebabkan dia mengalami kerugian.

Sementara itu, Adun Teruntum, Sim Chon Siang mendakwa jenayah ini mungkin dilakukan satu kumpulan atau sindiket kerana modus operandinya  sama iaitu mencuri minuman keras dan rokok.

“Saya lihat kejadian (curi) ini sama yang dialami Moon Peng yang mengalami kerugian sebanyak tiga kali berturut-turut dalam bulan ini. Malah dua barang yang lesap itu juga dapat permintaan daripada pengusaha kedai dan individu.

“Jadi disebabkan itu sasaran utama mereka memasuki premis perniagaan seperti restoran atau kedai dengan ambil dua barangan itu sebab harganya mahal.

"Polis juga diharap dapat terus melakukan rondaan," katanya.

No comments:

Post a Comment