Search This Blog

Thursday, October 1, 2015

Mati berdiri hari bercuti


Padawan: “Keluarga hairan kerana Rosnadi pergi ke kilang pada hari dia bercuti dan ketika mencarinya di kilang, mereka terkejut apabila menemuinya dalam keadaan tersepit di antara forklift dan lori,” kata Hashim Manap, 33.

Hashim adalah kenalan Rosnadi Saimin, 39, yang ditemui mati tersepit di sebuah kilang batu bata di Kilometer 17, Jalan Kuching-Serian di sini, jam 9.30 pagi, semalam.


Menurut Hashim, mayat Rosnadi ditemui ahli keluarga yang pergi ke kilang berkenaan untuk mencarinya kerana bimbang mangsa tidak pulang ke rumah.

“Rosnadi tidak bekerja hari ini (semalam), biasanya dia duduk di rumah berehat tetapi pagi tadi, dia keluar dan memaklumkan mahu ke kilang,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Hashim, selepas lebih dua jam, Rosnadi tidak pulang ke rumah, malah gagal dihubungi. Ia menyebabkan keluarganya membuat keputusan mencarinya di kilang.

“Dari jauh, keluarga ternampak mangsa dalam keadaan berdiri, tetapi apabila dihampiri, mereka terkejut Rosnadi tersepit antara lori dan forklift terbabit dengan mukanya berlumuran darah,” katanya.

Menurut Hashim, tiada pekerja di lokasi berkenaan, malah tiada siapa tahu bagaimana ia berlaku.

“Kakitangan perubatan Hospital Umum Sarawak (HUS) yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan mayatnya dibawa ke HUS untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengambil keterangan beberapa rakan sekerja mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 10:11 AM

KAKITANGAN HUS memeriksa mayat Rosnadi sebelum dibawa ke hospital.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/81566#sthash.BaD4JTS8.dpuf

No comments:

Post a Comment